Friday, 5 July 2013

Namaku Bukan Flora!.... 53





BAB 53

“Flora... bangun solat...!!” sayup – sayup kedengaran suara Aqel dekat denganku. Perlahan – lahan aku mengangkat kelopak mataku. Aqel sedang menatapku dengan senyuman yang semanis madu di bibirnya. Bingkas aku bangun. Terasa malu pula diperhatikan sedemikian. Malah seumur hidupku Aqel lelaki pertama yang aku nampak tatkala aku membuka mataku setelah tidur lena. Maksudnya Aqel juga orang pertama yang berpeluang melihat aku bangun dari tidur.
Orang kata kalau hendak menilai kecantikan seorang perempuan inilah masanya. Ketika itu akan terserlah sama ada dia betul – betul cantik ataupun sebaliknya. Secara logiknya adakah orang nampak cantik  bangun  dari tidur dengan rambut kusut masai, lingkaran panjang air liur kering di tepi bibir sehingga ke pipi serta tahi mata yang nampak meloyakan. Langsung tidak cantik pun! Kalau orang kata cantik itu bohong.
“Buat apa nak malu awak nampak comellah bangun tidur” tutur Aqel mengerti dengan tindak balasku. Aqel berbohong. Tidak mahu membalas bicara Aqel memandangkan aku belum berus gigi lagi. Aku hanya mencebik muka ke arah Aqel. Aqel mempamerkan lagi senyuman semanis madunya. 
“Marilah solat sama – sama” ajak Aqel. Bergegas aku melangkah ke bilik air. Aku terus saja menatap wajahku di cermin. Rambutku tidak kusut masai, tiada air liur kering di pipiku dan tiada tahi mata. Kutenung wajahku lagi. Mungkin pujian Aqel tadi ikhlas. Aku tersenyum sendiri.
“Flora.... jangan berkhayal dalam bilik air tu. Cepat.... tak elok lengah – lengahkan solat” kedengaran suara Aqel berkicauan awal – awal subuh ini. Beberapa minit kemudian aku muncul di muka pintu dengan muka masam.
“Saya berus gigilah bukan berkhayal pun” sahutku geram menafikannya.
“Mesti awak lama menilik wajah awak di cerminkan? Orang perempuan memang pantang dipuji” perli Aqel.
“Mana ada!” tingkahku menafikan. Alamak, macam mana Aqel boleh tahu? Macam ada pula matanya yang tertinggal di bilik air itu sedang memerhatikan aku? Jangan – jangan ada cctv yang tersembunyi di situ.
“Saya tak pasang cctv pun. Saya tahulah perangai perempuan” tutur Aqel. Aku tersentak. Aqel memang bijak membaca fikiran orang lain. Menggerunkan juga anak teruna Mak Long ini. Kalau begini susahlah aku hendak menyimpan rahsia.
“Tengok berkhayal lagi. Cepat pakai telekung awak” arah Aqel. Terkocoh – kocoh aku mencapai telekungku yang tergantung lalu bergerak ke arah kain sejadah yang Aqel sudah bentangkan untukku.

“Seikhlasnya awak bangun tidur memang pun nampak comel” ujar Aqel seakan berbisik namun cukup jelas di telingaku. Aku terdiam lalu tersenyum sendiri. Berbunga riang juga hatiku mendengar pujian Aqel itu. Kedengaran suara Aqel melafazkan niat solat Subuh yang diimamkannya lalu aku pun menyusul dan mula mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Tatkala Aqel menadah tangan memohon doa, suaranya kedengaran begitu syahdu dan menyentuh kalbuku. Terasa hikmahnya solat berjemaah. Seusai doa Aqel berpaling ke arahku lalu menghulurkan tangan. Aku menyambut huluran tangan Aqel lalu tunduk mengucupnya. Tanda penghormatan seorang isteri buat suaminya. Aku mengangkat muka. Aqel sedang menatapku. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan dengan mulut yang terkunci.
“Masih awal lagi. Awak pergilah tidur semula” suara Aqel memecah keheningan subuh ini. Aqel bangkit dari sejadahnya.
“Biarkan saja di situ sekejap lagi saya lipat” tegahku tatkalaku melihat tangan Aqel menarik sejadah yang terbentang. Aqel tersenyum lantas meninggalkannya di situ.
“Saya di bilik sebelah nak siapkan kerja pejabat sebelum kita bertolak esok” tutur Aqel lantas menguak daun pintu. Kelibat Aqel hilang. Aku menarik nafas panjang. Terasa kekoknya aku berkongsi bilik dengan Aqel. Aku merebahkan tubuhku ke tilam semula. Mula berfikir apa akan aku lakukan sepanjang hari di rumah ini. Lebih menyukarkan berbanding sebelum aku ada ikatan dengan Aqel. Aku perlu menyiapkan keperluan Aqel. Mulai hari ini mencuci pakaian dan menyediakan hidangan makanan untuk Aqel. Ringkasnya aku sudah mengambilalih tugas Mak Long yang menjaga Aqel dengan baik selama ini. Mampukah aku melaksanakannya dengan baik? Berpuas hatikah Aqel nanti? Oh... semuanya membinggungkan aku! Sukar sangat kehidupanku sekarang. Aku memejamkan mataku.     
“Mak yakin Aqel tu sebaik – baik lelaki yang Allah ciptakan untuk menyayangi dan menjaga kamu, Lia. Apa yang berlaku segalanya ada hikmah. Pertunangan olok – olok yang kamu cipta telah menemukan jodoh kamu berdua. Setiap perkara yang berlaku di sekeliling hidup kamu semuanya ada kaitan dengan Aqel. Sesungguhnya Allah sudah mendekatkan jodoh kamu tanpa kamu sedari. Yakinlah kamu akan hidup bahagia bersama Aqel” suara mak terngiang – ngiang di telingaku.
Betulkan firasat mak ini? Mampukah aku hidup bahagia bersama Aqel sedangkan di mataku sekarang aku masih melihat Aqel sebagai sepupuku bukan sebagai suamiku. Ketika aku akur pada permintaan mak dan Mak Long untuk bernikah dengan Aqel, ketika itu aku hanya terfikir untuk menjaga Aqel dan membahagiakan orang yang aku sayangi. Aku tidak tega mengecewakan mak dan Mak Long. Malah aku sudah berikrar untuk tidak melukakan hati mak lagi. Bagaimanakah aku hendak menyemai perasaan kasih dan sayangku kepada Aqel sebagai kasih dan sayang seorang perempuan kepada lelaki? Bilakah aku akan jatuh cinta kepada Aqel menandingi cinta Rania? Bolehkah Aqel mencintaiku juga? Oh... otakku berserabut dengan pelbagai persoalan. Bengang dan binggung bercampur aduk menjadi satu.
“Apa khabar pengantin baru?” soal Mak Long tersenyum menyambut kedatanganku dan Aqel di ruang  santapan. Aqel tersenyum panjang sedangkan  mukaku terasa panas membahang. Soalan Mak Long cukup sensitif . Tiada apa – apa yang berlaku malam tadi Mak Long, bisik suara hatiku. Mak Long menatapku.
“Aqel tidur berdengurlah, Mak Long” tuturku. Mak Long tersenyum.
“Mamalah bukan Mak Long” tegur Aqel membetulkan panggilanku. Aku tersengih sambil menggaru – garu kepala. Memang terlupa. Mak Long tersenyum lagi.
“Mula – mula memang macam ni tapi lama – lama nanti biasalah tu. Kalau Lia mahu terus panggil Mak Long boleh juga” tutur Mak Long bertimbang rasa.
“Nanti bila dah biasa mestilah panggil suami abang. Biar nampak romantik” tutur Long Mak lagi yang secara tidak langsung menegurku  dengan cara halus. Aqel senyum. Aku turut sama memaksa diri tersenyum.
“Minum Lia” tutur Mak Long mengajakku.
“Biar dia yang buat mama. Sekarang memang dah jadi tanggungjawabnya melayan kita” tutur Aqel menegah Mak Long menuang air teh panas ke dalam cawan sekali gus mengenakan aku. Alah.... bukan susah sangat aku hendak menuang air teh dan menceduk nasi goreng ini ke dalam pinggan.
“Ya biar Lia yang buat” tuturku bersetuju dengan bicara Mak Long. Aku terus menuang air teh dan menyeduk nasi goreng untuk Mak Long dan Aqel. Mak Long tersenyum.
“Mulai hari ini juga Flora akan masak untuk kita” tutur Aqel lagi masih belum cukup mengenakan aku. Aku tersenyum.
“Kamu janganlah nak mendera Lia” tingkah Mak Long tidak bersetuju.
“Tak pe Mak Long, tak jadi masalah Lia masak asalkan dia sanggup makan nanti. Lia masak tak sedap” tuturku berterus terang sambil mengerling ke arah Aqel.
“Sama ada sedap ke tak, awak mesti masak juga” perintah Aqel. Aku mengangguk. Saat ini Aqel boleh kenakan aku. Tidak apa, tengah hari nanti tahulah aku hendak beri pengajaran kepada Aqel. Selepas itu nanti, baru dia tahu betapa seksanya hendak menghabiskannya. Saat itu barulah diketahui keputusannya sama ada mahu terus menyuruhku memasak untuknya atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, sudah menjadi kewajipanku menyediakan makanan untuk Aqel. Jadi aku mesti cuba – cuba memasak. Malanglah bagi Aqel kerana terpaksa merasa masakan isteri yang baru belajar memasak. Aku tersenyum sendiri.
Usai mencuci pinggan mangkuk dan mengemas dapur, aku terus saja mengutip pakaian Aqel yang perlu dibasuh. Kukumpul di dalam bakul sebelum membawanya ke bilik cucian. Sementara itu aku mengemas bilik cadar katil dan menyelak langsir lantas menguak jendela. Terasa nyaman dan segar tatkala hembusan angin singgah ke wajahku serta membelai lembut rambutku. Tiba – tiba halwa pendengaranku menangkap bunyi curahan air. Rupanya Aqel berada di bilik air sekarang. Bergegas aku ke muka pintu mahu beredar dari bilik ini sebelum Aqel keluar dari bilik air. Tidak mahu bertembung dengan Aqel. Risau juga kalau Aqel fikir aku sengaja mahu mencuri pandang ke arahnya yang hanya dibaluti tuala.
“Awak nak pergi mana?” suara Aqel singgah di telingaku. Tanganku tidak sempat memusing tembol pintu. Kutegakkan kepalaku.Tidak mahu berpaling ke arah Aqel.
“Saya nak keluar, Mak Long panggil” tuturku berbohong.
“Awak nak basuh pakaian ke?” soal Aqel. Aku mengangguk. Banyak soal pula Aqel ini. Aku sudah tidak tenang berada di dalam bilik ini bersama Aqel.
“Baju – baju saya basuh tangan, ya. Saya tak mahu awak basuh guna mesin” tuturnya mengarah. Cerewet juga lelaki ini. Aku tahulah pakaiannya semua mahal – mahal harganya. Mungkin sebelum ini Aqel sendiri yang membasuh pakaiannya.
“Okey...” sahutku mengerti.
“Memang cara terbaru awak bercakap tak tengok orang?” soal Aqel memperliku. Aku mengetap bibir. Geram kepada Aqel yang buat – buat tidak faham.  
“Jangan – jangan belakang awak tu dah tumbuh mata” tutur Aqel lagi. Aku mendengus geram. Terus saja kupusing tembol pintu, menguak daun pintu lalu melangkah keluar meninggalkan Aqel bersendirian di bilik.


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Saigon memakan masa kira-kira 1 jam 30 minit dengan jarak kira-kira 1000 kilometer. Kami bertolak dari KLIA pada jam 2:00 petang dan selamat sampai ke Saigon kira-kira jam 3:00 petang waktu Vietnam. Waktu di Saigon adalah lewat 1 jam dari waktu di Malaysia. Memandangkan masa singkat berada di sini, aku hanya sempat berehat seketika. Aqel sudah ada perancangan  untuk perjalanan cuti bulan madu kami ini. Jelasnya, Aqel tidak mahu melengahkan masa yang singkat ini begitu saja. Penerbangan ke Incheon, Korea dari Saigon pula ialah pada jam 11.35 petang. Kira-kira 8 jam lagi. Sesuatu yang merugikan andai masa yang terluang ini dibazirkan begitu saja dengan menanti. Maka, dari airport kami bergerak keluar menuju ke pusat bandar Saigon untuk melihat persekitaran dan kehidupan  rakyat Saigon yang juga dikenali sebagai Ho Chinh Minh City.
Memandangkan aku dan Aqel belum solat, maka lokasi pertama yang dituju ialah Saigon Central Mosque yang dibina oleh pendatang India Muslim dari Selatan negara India yang datang berdagang pada tahun 1935. Masjid ini terletak di tengah-tengah kesibukan bandar di Dong Du, Quan 1, Ho Chi Minh City. Sayu hatiku menyaksikan kedaifan rakyat tempatan yang berniaga dan menagih simpati di kaki-kaki lima. Di hadapan masjid ini aktiviti perniagaan kecil-kecilan dan kelihatan juga beberapa orang anak muda yang siap bersedia menawarkan perkhidmatan mengilatkan kasut.
“ Jangan mudah terpedaya dan bersimpati. Awak akan terkejut dengan jumlah bayaran yang diminta nanti. Niat mahu  bersedekah mungkin boleh bertukar menjadi marah” tutur Aqel mengulas tentang suasana yang ada di depan mataku saat ini. Aku sangat mengerti maksud di sebalik bicara Aqel ini. Kesimpulannya, aku harus berhati – hati dengan pengilap kasut ini. Usai solat, kami bergerak ke sebuah pejabat pos utama di Saigon.
Saigon Post Office is one of Vietnam tourists favourite travel site in Ho Chi Minh City. It was designed and constructed by the famous architect Gustave Eiffel, the fellow who also built the Eiffel Tower and the Statue of Liberty” Ini catatan maklumat yang aku baca tentang pejabat pos ini.
“ Pejabat pos ini dibina sekitar tahun 1886 sehingga tahun 1891” tutur Aqel. Pejabat Pos Saigon ini memang indah dan unik dari segi seni binanya. Selain masih berfungsi sebagai salah sebuah pejabat pos terbesar di Saigon, malah berperanan sebagai salah satu pusat tarikan pelancong dan pusat jualan cenderahati. Aku dan Aqel  meluangkan masa sekitar 45 minit di sini. Sempat juga kami merakam gambar kenangan bersama – sama. Gambar yang boleh aku tunjukkan kepada mak dan Mak Long nanti. Pasti mak dan Mak Long begitu gembira menatapnya. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhan. Hakikat sebenarnya tidak serupa seperti yang diperlihatkan dalam gambar ini.
Kemudian Aqel membawaku melawat kawasan menarik di sekitar kawasan ini seperti Notre Dame dan juga City Hall. Kebanyakan bangunan pejabat di sini kelihatan seperti bangunan-bangunan Eropah dari segi seni binanya mahupun batu merah yang digunakan bagi tujuan pembinaan. Mungkin pengaruh peninggalan penjajah suatu masa dahulu. Dari Pejabat Pos Saigon ini kami bergerak ke Golden Dragon Theatre untuk menonton persembahan yang dikenali sebagai Vietnamese Water Puppet Show.  Persembahan puppet berlangsung kira-kira 50 minit dengan harga tiket kira-kira RM30. Persembahan yang agak unik. Puppet atau patung pelbagai bentuk  dipersembahkan membentuk pelbagai cerita tradisional rakyat Vietnam. Uniknya ialah lakonan patung-patungnya serta tok dalangnya berada di dalam air.
“Awak rasa mereka tu tak rasa sejuk kah?” soal Aqel mengulas persembahan itu. Aku hanya tersenyum. Mustahil mereka tidak merasakannya setelah berendam di dalam air begitu lama. Setiap pergerakan dan jalan cerita diiringi dengan muzik dan nyanyian tradisional Vietnam. Walaupun aku langsung tidak faham namun persembahan ini tetap menghiburkan. Kemudian aku dan Aqel terus bergerak menuju ke restoran halal yang dikenali sebagai Kedai Makan Melayu. Selain  Kedai Makan Melayu, terdapat beberapa buah restoran Halal lagi di Saigon seperti  Halal @ Saigon, D’Nyonya, Sate House, Kedai Mamak dan juga beberapa buah restoran Turki. Kebanyakannya berada di kawasan yang tidak jauh daripada Saigon Central Mosque.
“Selepas ini kita pergi lapangan terbang meneruskan perjalanan ke Incheon, Korea” tutur Aqel buat aku rasa teruja. Tidak sabar rasanya mahu berkunjung ke negara kelahiran lelaki yang telah berjaya mencuri hati Mak Long sehingga melahirkan pemuda tampan di depan mataku ini.  Perjalanan sejauh lebih 3500 kilometer dari Saigon, Vietnam ke bandar Incheon, Korea, mengambil masa kira-kira 4 jam 30 minit menerusi penerbangan Vietnam Air. Kami selamat sampai ke bandar Incheon kira- kira jam 6.40 pagi.
“Waktu di Korea ialah awal 1 jam dari waktu Malaysia” jelas Aqel. Sebaik saja kaki memijak bumi Korea Selatan, terasa aku disapa angin dingin yang menggigit sehingga ke tulang, lantas memaksa baju tebal dikeluarkan. Aku tergamam tatkala tangan Aqel lebih pantas menyarungkan baju tebal di tubuhku. Aku memerhatikan Aqel melayanku persis anak – anak kecil yang tidak mampu memakai pakaian sendiri. Betapa prihatinnya Aqel terhadapku.
“ Walaupun mengikut kalendar peredaran musim Korea Selatan memasuki musim bunga, suhunya masih rendah sehingga ada kalanya mencecah 6 darjah celsius” jelas Aqel memberikan informasi yang berguna. Kesejukan ini tidak sedikitpun memadam keterujaanku apabila membayangkan Pulau Nami yang bakal menjadi destinasi kunjungan kami. Aqel sudah menyatakan akan membawaku melawat ke tempat itu. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, aku dan Aqel menaiki bas yang mengambil masa kira-kira 2 jam terus ke hentian feri untuk ke Pulau Nami yang terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar Seoul.
 “Pulau Nami bersempena nama seorang jeneral tentera yang bernama Jeneral Nami. Beliau merupakan pejuang negara yang hebat berperang mempertahankan kedaulatan negara dan terkorban pada usia muda 26 tahun” jelas Aqel mengulas destinasi kami seterusnya. Aku mengangguk – angguk dan kagum dengan pengetahuan Aqel ini.
“Sudah sampaikah?” soalku tatkala bas ini berhenti.
“ Berhenti sekejap untuk makan tengah hari di restoran tradisional Korea” jelas Aqel buat aku tersenyum senang. Masa yang tepat memandangkan tika ini perutku memang berkeroncong minta diisi. Di restoran ini, hidangan dinikmati dengan cara duduk bersila di atas lantai kayu tetapi hidangan dihidangkan di atas meja ala Jepun. Pada awalnya risau juga duduk di atas lantai kayu tersebut kerana agak panas.
“Ada pemanas dipasang yang disalurkan menerusi lantai kayu tersebut. Tak payah risau punggung awak tak akan terbakar” tutur Aqel mengusikku. Aku menjeling Aqel, namun di dalam hati aku tergelak sendiri. Memang aku rasa takut – takut hendak duduk di sini pada mulanya. Namun sekarang keadaan ini memberikan keselesaan kepadaku. Hilang kedinginan yang menyelubungiku seketika tadi. Andai pernikahanku dengan Aqel terbina atas dasar cinta – mencintai sudah pasti aku akan memeluk tubuh Aqel, agar haba di tubuh Aqel boleh menghangatkan aku. Kini aku dan Aqel menghadap pelbagai hidangan yang disediakan tetapi semuanya dalam kuantiti yang sedikit di dalam mangkuk kecil. Nasi pula dihidang di dalam mangkuk yang bentuknya seperti lesung batu.
“ Diet orang Korea memang sihat. Kebanyakan hidangan yang disediakan adalah berasaskan sayuran dan protein” jelas Aqel. Aku mengangguk bersetuju dengan kenyataan Aqel ini. Salah satu hidangan wajib ialah kimchi iaitu sejenis kobis jeruk yang masam-masam pedas rasanya.
“Jangan makan banyak sangat risau tak serasi dengan perut awak” tutur Aqel memperingatkan aku. Aku akur saja dengan bicara Aqel. Sekadar merasa sedikit agar tidak kempunan. Sekurang – kurannya nanti boleh juga aku ceritakan kepada Marnie dan Bella rasa kimchi ini.
Usai menikmati hidangan tengah hari di restoran ini, aku dan Aqel berjalan kaki menuju ke pelabuhan feri untuk ke Pulau Nami kira – kira 5 minit. Pada mulanya risau juga kalau perjalanannya jauh. Maklumlah dalam keadaan perut penuh terisi sekarang sudah pasti tidak selesa untuk mengerah tenaga yang banyak. Aku menatap pintu gerbang yang tertulis ‘Welcome to Naminara Republic : Immigration’. Hairan.
“ Jangan risau..bukan ‘immigration’ betul. Hanya sekadar gimik seolah-olah kita akan memasuki sebuah republik yang baru..Republik Naminara. Selamat datang ke Republik Naminara, Immigration” tutur Aqel tersenyum menatapku. Aku turut tersenyum. Tiket masuk ke Republik Naminara termasuk harga tambang feri untuk pelancong luar ialah 8000 Korean Won (KRW).
“Mahalnya….” keluhku. Aqel berpaling menatapku. Aku hanya tersengih. Mahal pun tidak apa. Bukan aku yang bayar. Segala – galanya ditanggung oleh suamiku yang kaya raya ini.
“Taklah. Cara paling mudah untuk menganggarkan tukaran wang antara Korean Won dengan Ringgit Malaysia ialah buangkan 3 angka kosong yang terakhir dan darabkan angka yang tinggal dengan 3, maka 8000 won adalah bersamaan dengan kira-kira RM 24” sahut Aqel sekali gus mengajar aku pertukaran mata wang RM dengan KRW. Aku tersenyum lagi. Aqel memang sentiasa berpengetahuan tentang tempat – tempat yang kami lawati. Untuk berkunjung ke Pulau Nami, kami perlu menaiki feri di Pelabuhan Gapyeong untuk menyeberangi Sungai Han selama lebih kurang 10 minit dengan menikmati pemandangan indah. Terbukti, drama Winter Sonata sememangnya meninggalkan impak besar hinggakan pulau yang satu ketika dulu langsung tidak dikenali secara tiba-tiba menjadi masyhur. Ini info yang aku peroleh daripada Aqel.
“Mungkin ramai tak mengetahui pulau indah ini sebenarnya bukan semula jadi, sebaliknya terhasil daripada pembinaan Empangan Cheongpyeong pada tahun 1944” jelas Aqel persis pemandu pelancong pula memberi penerangan kepadaku. Saat feri berlabuh di jeti dan kaki melangkah mula menyusuri pulau sekitar 460,000 meter persegi ini, aku seakan-akan terpaku melihat keindahannya. Persis berada di pulau cinta, suasana romantik dan udara nyaman menyambut kedatangan pengunjung.
“ Walaupun Pulau Nami ini ada sejarahnya sendiri namun dikatakan mula popular selepas drama Winter Sonata. Wajah hero dan heroin drama tersebut berada di merata-rata tempat di pulau ini. Rakyat Malaysia harus berbangga kerana cara kita menghargai artis, drama dan filem hampir sama dengan cara orang Korea. Lebih daripada menghargai negarawan dan nilai sejarah itu sendiri” tutur Aqel agak sinis dipendengaranku. Mungkin bicara Aqel ada benarnya.
“Salah satu lokasi popular di Pulau Nami ini ialah kawasan deretan pokok-pokok kayu besar  yang di tanam lurus. Tak tahu sebabnya. Mungkin  popular kerana ada kaitan dengan cerita Winter Sonata itu . Mungkin di sinilah tempat hero dan heroin drama tersebut berkejar-kejaran ala-ala Shah Rukh Khan dan Kajol agaknya” tutur Aqel buat aku tergelak. Bicara Aqel telah mencuit hatiku. Pelancong begitu ramai berkunjung di pulau ini. Semuanya taksub untuk mengambil gambar kenangan pelbagai gaya dicelah-celah pokok tersebut. Maka aku dan Aqel pun turut sama mengambil gambar kenangan di celah-celah pokok tersebut. Nanti boleh aku tunjukkan kepada Nana yang aku sudah pernah bertandang ke pulau cinta ini. Pasti Nana akan cemburu kepadaku.
Pulau yang  diberi nama sempena Jeneral Nami, pahlawan muda zaman Dinasti Choseon yang mati pada usia 26 tahun dikatakan milik orang perseorangan. Berjalan di sepanjang jalan di pulau ini, pengunjung seolah-olah dapat merasakan keasyikan kisah percintaan watak utama drama bersiri popular itu. Malah babak  Kang Joon-Sang lakonan Bae Yong Jun dan Yu-Jin, lakonan Choi Ji Woo, berbasikal sambil memadu kasih jelas terlayar di mataku. Maka Aqel tidak mahu melepaskan peluang berbasikal bersamaku persis babak lakonan dan menghayati saat romantis itu. Sesuatu yang tidak aku jangka. Sesungguhnya, Aqel juga seorang yang romantik. Aku tersenyum sendiri.
“Awak kata tadi nama pulau ini sempena Jeneral Nami. Mengapa beliau terkorban pada usia muda?” soalku mengungkit kenyataan Aqel tadi.
“Jeneral Nami merupakan seorang pahlawan dan jeneral yang gagah dan bijak. Disebabkan kebijaksannan dan pengaruh beliau, maka beliau telah dihukum bunuh penggal kepala oleh pihak istana. Mereka khuatir  jika suatu masa Jeneral Nami akan memberontak dan mengambil alih kerajaan, maka beliau telah difitnah dan dihukum pancung semasa berumur 26 tahun pada tahun 1965. Mayat beliau telah disemadikan di pulau ini. Kita akan dapat melihat terdapat hanya satu-satunya makam Jeneral Nami di pulau ini” jelas Aqel panjang lebar. Banyak juga yang Aqel ketahui tentang tempat ini. Sebetulnya suatu masa dahulu Aqel dan Mak Long pernah bermastautin lama di negara ini. Aqel membesar  di Korea Selatan. Tambahan pula Aqel memang minat membaca. Banyak membaca luas pengetahuan. Maka aku tidak mahu mempertikaikan pengetahuan Aqel tentang sejarah Jeneral Nami.
Bukan saja poster pelakon drama Winter Sonata memenuhi pulau, malah patung gangsa menyerupai pasangan romantis itu turut dibina. Di segenap pelusuk pulau ini dipenuhi pengunjung dan bunyi petikan kamera juga kedengaran hampir tidak berhenti kerana pengunjung tidak melepaskan peluang merakam detik terindah ini. Aku mula membuat perkiraan. Pulau yang dibuka kepada pengunjung sepanjang tahun bermula jam 8 pagi hingga 9 malam itu hanya mengenakan bayaran KRW5,000 bersamaan RM15.00 bagi dewasa, KRW3,500 bersamaan RM10.50 dan kanak-kanak KRW2,500 bersamaan RM7.50. Satu harga yang berpatutan. Aku pernah menjadi peminat setia drama percintaan, Winter Sonata. Ketika itu  aku terbayangkan keindahan dan kecantikan Pulau Nami yang menjadi salah satu lokasi utama penggambaran drama tersebut. Tidak sangka saat ini aku sudah berada di sini bersama Aqel. Tempat ini menjadi saksi cinta dua insan, Ju-sang dan Yu-jin terbukti apabila mereka saling melahirkan perasaan kasih sayang yang selama ini tersembunyi sejak di bangku sekolah. Taman indah pulau berbentuk sehelai daun yang terapung di atas Tasik Cheongpyeop itu seakan-akan menjadi saksi cinta murni mereka yang mahu dikekalkan selama-lamanya. Adakah turut menjanjikan sesuatu kepadaku dan Aqel setelah berkunjung ke sini?
Asal usul pulau ini sebenarnya adalah sebuah bukit saja, apabila empangan Cheongpyeong dibina maka tempat ini bertukar menjadi pulau. Dahulunya pulau ini hanya menjadi tempat perkhemahan dan langsung tak popular. Kemudiannya seorang ahli perniagaan Korea Mr Byeong-Do Minn telah membeli pulau ini dan menjadikannya sebagai tempat rekreasi dengan landskap yang cantik. Setelah menanam semula beribu pokok, maka mulalah menjadi tarikan. Tempat ini menjadi popular selepas drama Korea terkenal Winter Sonata menjadikan pulau ini salah satu lokasi penggambarannya” sambung Aqel menambah penerangannya.
Setelah puas berlegar-legar di sekitar pulau kecil ini, kami terus bergerak mencari sebuah restoran. Bukan untuk makan, sebaliknya hendak  solat. Menurut Aqel di situ telah disediakan bilik solat. Terletak di kedai yang bertentangan dengan Nami Historium, kami terpandang sebuah pintu gerbang kecil dan kemudian sebuah restoran,  Japaneese Bistro namanya. Aku dan Aqel terus saja masuk ke dalam bistro ini  dan terus naik ke tingkat 1. Bilik solat init amat selesa, luas dan bersih. Tempat mengambil wuduk juga ada disediakan. Namun aku kurang selesa tatkala terpandang pelbagai jenis hiasan dinding atau patung-patung yang pelbagai bentuk di sepanjang laluan ke bilik solat ini. Melihat Aqel hanya mendiamkan diri, maka aku juga tidak mahu memberikan sebarang ulasan tentang perkara ini. Andai diminta memberikan cadangan, aku dengan senang hati akan meminta pihak pengurusan pelancongan di sini menggantung ayat – ayat suci Qalam Allah menggantikan patung – patung ini.
“Kita bermalam di sini. Saya dah tempah bilik. Nanti bolehlah kita bergambar sepuas hati dengan pokok-pokok yang ada di sini. Nak  panjat pokok itu pun boleh  rasanya. Nak tebang pokok itu boleh juga kalau berani atau sekadar ingin mencari cara mudah untuk popular. Pasti boleh masuk berita utama televisyen dan akhbar beberapa buah negara nanti” tutur Aqel buat aku tergelak besar. Dalam diam rupanya ada juga lawaknya Aqel ini.
“Betulkah nak bermalam di sini? Bila kita nak pergi ke rumah ayah awak?” soalku bertalu – talu. Aqel mengangguk.
“Esok kita pergi. Malam ini kita berehat di sini saja. Saya dah bayar 90 000 KRW untuk bilik itu” jelas Aqel tanpa pengetahuanku. Adakah di sini berlangsungnya malam pertamaku bersama Aqel bagi merealisasikan bulan madu ini? Kutatap wajah Aqel.
“Jangan risaulah saya takkan apa – apakan awak. Saya nak berehat di sini sebab rasa letih sangat sekarang. Lagipun dah 24 jam kita tak mandi” tutur Aqel bagai mengerti apa yang sedang aku fikirkan saat ini. Serta – merta wajahku merah merona. Rasa segan dan malu kepada Aqel. Sepatutnya aku tidak terfikir perkara itu.
“Mari kita pergi” ajak Aqel seraya menarik tanganku. Aku hanya mengikut langkah kaki Aqel. Rasa tidak selesa tanganku dipimpin oleh Aqel. Maka perlahan – lahan kutarik tanganku daripada pautan tangan Aqel. Aqel menatapku.
“Rasa tak selesa begini” ujarku. Aqel hanya tersenyum. Lega. Sekurang – kurangnya aku tidak menyinggung perasaan Aqel ketika ini. Terima kasih Aqel sebab memahamiku, bisik hati kecilku. Kami mendaftar masuk ke bilik yang sudah ditempah oleh Aqel. Hanya ada sebuah bilik kelamin di bilik ini. Maka aku dan Aqel terpaksa berkongsi bilik lagi. Aqel terus saja melemparkan tubuhnya di katil sambil diperhatikan olehku yang masih terpacak di depan katil ini.
“Baringlah di sini. Pasti awak juga letihkan…” tutur Aqel mengajak aku berbaring sama dengannya di katil ini. Laju aku menggeleng.
“Saya nak mandi dulu” tuturku, lantas mencapai tuala yang disediakan di bilik ini. Laju aku mengatur langkah ke bilik air. Lama juga aku berada di bilik air ini. Usai berpakaian di bilik air ini, barulah aku melangkah keluar. Sehingga ke saat ini aku tidak pernah memakai pakaian di depan Aqel. Kedengaran dengkuran Aqel. Kulontar pandanganku ke arah Aqel yang tidur dengan lenanya. Tersentak aku menatap Aqel yang hanya memakai seluar pendek tanpa baju. Sungguh aku tidak biasa melihat keadaan Aqel sebegini. Segan pula rasanya melihat Aqel dalam keadaan ini. Aku berjengket – jengket memijak lantai. Tidak mahu membuatkan Aqel terjaga. Kukutip seluar jeans dan baju – t Aqel yang terletak di hujung katil. Pantang aku melihat pakaian berselerak di atas katil. Suasana yang tidak menyenangkan hatiku. Kutarik selimut lalu menutup tubuh Aqel yang separuh bogel ini. Kemudian bergerak ke jendela, lalu melontar pandangan keluar. Lama juga aku terpacak di depan jendela ini menikmati pemandangan indah dan udara segar Pulau Nami ini. Aku menguap beberapa kali. Mula terasa mengantuk. Keletihan begitu terasa. Aku bagaikan tidak mampu bertahan lagi dan akhirnya memaksa aku turut berbaring di sebelah Aqel di katil ini. Kucapai bantal peluk membina tembok pemisah dan sempadan antara aku dengan Aqel. Aku mula memejamkan mataku. Sekejap saja aku sudah terlena.
Wangian bau kopi menerjah rongga hidungku. Aku turut terhidu bau mi segera membangkitkan seleraku. Tiba – tiba aku rasa lapar. Perlahan – lahan aku mengangkat kelopak mataku. Pandanganku terus sahaja bertembung dengan pandangan Aqel yang kebetulan sedang mengarah kepadaku. Kutatap Aqel yang sudah lengkap berpakaian jeans dan baju – t tidak seperti tadi. Baru aku menyedari selimut yang membungkusi tubuh Aqel tadi sudah membalut tubuhku. Akukah yang merampas selimut ini daripada Aqel sehingga membuatkan dirinya terjaga?
“Saya yang letakkan selimut tu tadi. Kasihan tengok awak tidur macam udang galah yang dah dibakar” tutur Aqel menjawab persoalan hatiku. Lega. Aqel perhatikan aku tidur?
“Lain kali kalau awak kesejukan sangat, jangan segan – segan peluk saya . Tubuh saya ni hangat berapi tau” tutur Aqel tanpa segan silu. Besar anak mataku menatap Aqel.
“Tengok tu muka awak merah. Mesti awak rasa segan sekarangkan...” tutur Aqel mengusikku. Aku buat - buat tergelak.
“Mana ada..” nafiku. Kali ini Aqel tersenyum  menatapku. Sungguh manis senyuman anak muda Mak Long ini. Manis semanis madu.
“Pergi cuci muka cepat. Saya dah buat air kopi untuk awak ni. Sekejap lagi saya masak mi untuk awak” tutur Aqel begitu baik hati. Aku mengangguk. Perlahan – lahan aku bangun meninggalkan katil. Terasa malas juga hendak bangkit dalam kedinginan begini. Namun perutku harus diisi. Kebetulan pula Aqel baik hati sudah menyediakan semua itu untukku. Aku melangkah ke bilik air membasuh mukaku, kemudian mengelapnya dengan tuala kecil bersih yang telah disediakan. Aku melangkah ke arah Aqel, lalu melabuhkan dudukku semeja dengan Aqel. 
“Kopi dan mi segera untuk awak. Selamat menikmati” tutur Aqel berlagak seorang pelayan. Aku tersenyum.
“Terima kasih” tuturku. Aku terus saja mengangkat cawan itu, lalu mendekatkannya dengan bibirku. Perlahan – lahan menghirupnya.
“Hati – hati .... panas kopi tu” tutur Aqel memperingatkan aku.
“Awak ni layan saya macamlah saya ni budak – budak lagi” rungutku.
“Saya dah janji dengan Mak Usu dan mama akan sentiasa melindungi awak” tutur Aqel bersahaja. Aku mencebik ke arah Aqel.
“Awak sungguh baik hati” tuturku memperlinya.
“Mulai sekarang saya takkan biarkan Rania, Datin Sofea dan Bella.... termasuklah Haqem sakiti awak. Tiada sesiapa yang boleh sakiti awak, Flora” tutur Aqel serius buat aku tergamam dan terkesima. Senyap. Terus saja lidahku kelu untuk berbicara. Aku dan Aqel beradu pandangan. Namun cepat saja aku mengalih mukaku. Sungguh aku tiada kekuatan mahu bertentang mata dengan Aqel tika ini. Tiba – tiba saja aku rasa berdebar – debar.

USAI menikmati aura cinta Winter Sonata di Pulau Nami, kami meneruskan perjalanan lagi. Riak kepuasan jelas terpamer di wajahku tatkala meninggalkan pulau ini. Pastinya detik indah ini akan kekal terakam di kotak memoriku. Destinasi seterusnya, Aqel telah membawa aku ke Namdaemun Market, pasar terkenal di Korea Selatan. Tempat ini terkenal dengan jualan kerongsang wanita yang sering menjadi tumpuan penggemar aksesori ini. Di sini juga aku berpeluang mendengar Aqel bercakap dalam bahasa Korea. Maka aku tidak melepaskan peluang menggunakan kefasihan Aqel berbahasa Korea untuk membeli – belah dengan harga yang lebih murah. Seronoknya dapat memanfaatkan  kelebihan Aqel. Aqel juga nampak teruja memilih kerongsang yang mahu dijadikan buah tangan untuk Mak Long dan mak.
“Banyaknya awak beli” tegur Aqel sambil menatap kotak – kotak kerongsang yang tersusun di telapak tanganku. Aku tersenyum.
“Saya beli untuk mak, Mak Long, Nana, Marnie, Reka dan Mak Tie” tuturku menyenaraikan gerangan yang akan menerima buah tangan dariku. Untuk Mak Teh nanti aku kirimkan kepada Aziq saja agar dapat memberikan kepada Cikgu Firdaus.
“Mak Tie? Siapa tu?” soal Aqel dengan dahi berkerut. Nama yang begitu asing padanya. Aku tersenyum.
“Mak Cikgu Firdaus merangkap mak angkat Aziq” jelasku. Senyap. Aqel menatapku.
“Awak masih berhubung dengan Cikgu Firdaus lagi?” soalnya. Aku geleng. Cemburukah Aqel? Kupandang Aqel.
“Mengapa?” soalku meminta penjelasan lanjut terhadap persoalannya itu. Aqel hanya menggeleng.
“Bukankah saya dah beli untuk mama dan Mak Usu” tutur Aqel kembali pada topik perbualan kami tadi.
“Itu hadiah daripada awak, yang ni daripada saya” tingkahku tidak mahu berkongsi hadiah dengan Aqel. Aqel menggeleng.
“Sama sajalah” rungut Aqel.
“Mana ada sama. Awak pilihlah kerongsang yang cantik untuk Marnie... untuk Rania” tuturku perlahan sambil menatap Aqel. Marnie adalah setiausaha yang sering dipinjam oleh Aqel. Jadi memang patut Aqel beli sesuatu untuk Marnie sebagai penghargaan atas pertolongannya selama ini. Kerongsang ini juga boleh dijadikan kenangan buat Rania.
“Saya hanya beli untuk orang yang penting dalam hidup saya” tutur Aqel merujuk gerangan yang menerima hadiahnya yang sudah semestinya ialah Mak Long dan mak, merangkap mak mertuanya. Kalau begitu sudah kata Aqel, maka aku tidak mampu memaksanya membeli hadiah untuk orang lain. Sekurang – kurangnya aku rasa bangga atas kesetiaan Aqel ini. Usai membeli – belah, Aqel mendapatkan teksi untuk menghantar kami ke rumah ayahnya.
“ Esok kita melawat Istana Kyongbok yang dibina pada tahun 1394 iaitu tahun ketiga Dinasti Chusun dan merupakan istana utama raja. Selepas itu kita boleh pergi ke Yeudo Street untuk menyaksikan bunga sakura. Sebelah petangnya, kita pergi ke National Ginseng Outlet dan Amethyst Factory. Di sana awak berpeluang melihat batu berwarna ungu ” jelas Aqel merangka jadual perjalanan seterusnya. Aku mengangguk akur. Hatiku teruja.
“Flora.... tengok itu... Itulah Blue House, kediaman Presiden” jelas Aqel seraya menunding jari pada bangunan kukuh yang tersergam indah itu. Kagum aku melihat keutuhan bangunan konkrit itu. Tatkala teksi ini berhenti di halaman rumah banglo sebahagian besar berdindingkan kaca ini, sekali lagi aku tergamam dan terpaku sekali gus mengingatkan aku pada banglo Aqel. Banyak persamaan dengan banglo ini. Mungkin inilah caranya untuk Aqel merasa dekat dengan ayahnya. Banglo mewah yang sangat cantik ini  memukau pandangan mataku. Jelasnya, ayah Aqel juga daripada kalangan golongan elit. Aku mengekori langkah Aqel. Berhenti di depan pintu. Laju sahaja tangan Aqel menekan barisan angka pada papan kekunci yang terlekat di tepi daun pintu. Teknologi di negara ini memang canggih. Daun pintu terus saja terkuak.
“Masuklah.... Ayah belum balik lagi” tutur Aqel yang sudah sedia maklum tentang jadual kerja lelaki itu. Aku mengangguk dan melangkah masuk. Liar anak mataku memerhatikan sekeliling. Memang sangat cantik banglo milik ayah Aqel ini. Bertemakan gabungan warna putih dan hitam begitu menyerlah. Kelihatan kemas dan bersih.
“Di situ bilik kita” tutur Aqel sambil menunding jari ke arah bilik itu. Aku mengekori langkah Aqel. Daun pintu disorong ke tepi, bukan ditolak. Aqel meletakkan beg pakaian di tepi.
“Awak mandilah dulu, saya nak ke dapur” tutur Aqel lantas melangkah ke pintu. Aku terus saja mengunci daun pintu. Selagi aku belum siap mandi dan berpakaian, Aqel tidak boleh masuk ke bilik ini. Aku berbaring seketika di tilam empuk ini. Betul – betul rasa selesa. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling bilik ini. Aku terpandang gambar keluarga yang tergantung di dinding bilik ini. Kira – kira umur Aqel ketika ini 7 tahun. Nampak sungguh comel Aqel dalam gambar ini. Mak Long juga kelihatan masih muda. Timbul juga rasa kagumku kepada pemilik banglo mewah ini. Walaupun sudah lama berpisah dengan Mak Long, namun lelaki ini masih mahu menggantung gambar keluarga di bilik ini. Barangkali juga atas kehendak Aqel. Teringat pada hajatku mahu mandi, bingkas aku bangkit, lalu melangkah ke bilik air. Lama juga aku mengurung diri di bilik air ini. Apa tidaknya, aku mengambil peluang berendam di dalam tab. Sempat juga aku tertidur sejenak di sini.
Ketika aku melangkah keluar dari bilik air, kedengaran suara lelaki berbual – bual dengan Aqel. Pasti ayah Aqel sudah pulang. Usai mandi dan menyiapkan diri, aku terus melangkah keluar dari bilik mahu bertemu dan bertegur sapa dengan ayah Aqel, merangkap ayah mertuaku. Sedikit berdebar – debar hatiku untuk bertemu dengan lelaki itu. Kulihat Aqel dan lelaki itu sedang duduk di ruang tamu.
“Oh.... awak dah ada di sini” tegur Aqel menyambut kedatanganku.
“Ayah... ini isteri saya, Flora...” tutur Aqel memperkenalkan aku kepada lelaki ini.
“Flora.......” nama itu meniti di bibirnya. Dia menatapku lama, kemudian beralih kepada Aqel. Nampak dia seakan terkejut.
“Bukan... Nama saya, Lia” tuturku membetulkan bicara Aqel. Lelaki ini menatapku semula. Melihat pandangannya yang dalam aku jadi keliru.
“Dia memang seiras...Flora....” perlahan – lahan bicara ini meniti di bibirnya. Aku tersentak. Rasa hairanku kian memuncak. Kupandang Aqel dan lelaki ini yang sedang melontar pandangan ke arahku.
“Saya Lia...” tuturku membetulkan namaku lantas menyalami tangannya. Laju saja dia berpaling ke arah Aqel. Dia dan Aqel bertentangan mata lagi. Tiba – tiba saja benakku diserang kemusykilan. Flora.... Siapakah gadis itu? Kekasih Aqel? Adakah lelaki ini juga mengenali gadis yang bernama Flora itu? Oh.... buntunya fikiranku!   

2 comments: