Monday, 20 February 2012

'143......Tiada Penghujungnya' 21


 BAB 21

Anak mataku tidak lari – lari dari menatap jam di dinding. Menghitung detik berlalu. Betapa terasa lambatnya masa bergerak. Ya Allah, Engkau berilah perlindungan kepada Daniel. Engkau berikan kesempatan untuknya terus bernafas untuk meneruskan kehidupannya di alam fana ini. Doaku dari tadi tidak putus – putus. Betapa mesej yang kuterima dua jam lalu begitu mengejutkan aku. 

“Ayah tengok Liya nie nampak gelisah je dari tadi” tegur ayah yang baharu saja melangkah ke ruang tamu sebaik saja selesai menikmati makan tengah hari. Ayah terus saja melabuhkan punggungnya di sofa bertentangan denganku.

“Liya, ada masalah ke?” soal ayah sambil menatapku. Aku geleng kepala. Ternyata aku tidak mampu menyembunyikan gelodak perasaanku. Pandangan ayah buat aku tidak keruan.

“Kawan Liya cedera. Nie yang Liya risau ayah. Liya belum tahu lagi bagaimana keadaan dia sekarang” jelasku.

“Antara yang bertiga tu yang mana satu cedera tu?” soal ayah bertanya lanjut. Pasti difikiran ayah sekarang antara Zatul, Umie ataupun Fatin. Setahu ayah hanya merekalah sahabat akrabku. Aku geleng kepala.

“Bukan mereka ler ayah” sahutku.
“Budak lelaki yang hantar Liya balik rumah dulu tu ke?” soal ayah fokus pada Daniel pula. Tepat tekaan ayah. Aku mengangguk.

“Kenapa dengan dia? Teruk ke cedera dia?” soal ayah bertubi – tubi. Aku geleng kepala. Pertanyaan ayah tidak mampu kujawab. Sebenarnya persoalan ayah itu juga sedang bermain di kepalaku. Aku berharap sangat kalau Zatul, Umie mahupun Fatin akan menghubungiku untuk menjelaskan perkara ini lebih lanjut. Risau hatiku bila memikirkan keadaan Daniel sekarang. Simpati juga pada Nek Jah. Aku teringin juga berada di sisi Nek Jah dalam situasi cemas sekarang. Namun keadaanku sekarang tidak mengizinkan aku untuk bergerak jauh.

“Liya cuba tekan nombor telefon dia, mana tahu ahli keluarga dia akan jawab” cadang ayah cuba melenyapkan kebuntuanku. Kupertimbangkan bicara ayah sedalamnya. Wajarkah aku menghubungi Daniel ketika hubunganku dengan dirinya berantakan? Tambahan pula aku yang meminta dirinya menjauhiku. Andai kata aku menelefonnya, sudikah Daneil menjawabnya nanti?  Aku mengeluh kecil. Sungguh aku dalam delima sekarang. Perasaanku berbelah bahagi. Kupandang telefonku yang masih terletak di atas meja.

“Liya tak boleh ler telefon dia sekarang takut mengganggu” putusku memberi alasan. Ayah mengangguk.

“Kalau macam tu tak payah ler Liya telefon dulu. Rasanya tak ler serius sangat cedera dia tu” ujar ayah. Kali ini ayah cuba pula menenangkanku. Aku pun berharap sangat kecederaan Daniel tidaklah teruk.

“Siapa nama budak tu?” soal ayah.
“Daniel” balasku ringkas. Ayah tersenyum sendiri. Tidak tahu apa yang ada dalam fikiran ayah sekarang.

“Ayah nak siap sedia sekarang. Kejap lagi nak kerja balik” tutur ayah lalu bangkit dari duduknya. Aku mengangguk sambil menyoroti langkah ayah. Melihat ayah aku rasa terharu pula. Kalau aku sudah bekerja nanti, aku tidak akan benarkan ayah bersusah payah mencari rezeki untuk kami lagi. Biarlah aku yang menyara hidup ayah sepanjang hayatnya. Aku mahu membahagiakan hidup ayah. Tiba – tiba saja nadi dering telefonku berkumandang. Bicara hatiku terus padam. Laju tanganku mencapai telefonku di atas meja ini. Nama Zatul terpamer pada skrin. Panggilan yang betul – betul kuharapkan tika ini. Tidak sabar rasanya untuk aku berbual dengan Zatul. Gadis yang penuh informasi tentang Daniel. Zatul sentiasa saja ada cerita berkaitan Daniel. Justeru, dia mampu memberikan pengetahuan atau keterangan tentang diri Daniel. Jatuh hatikah Zatul pada Daniel pemuda yang selalu saja diagung – agungkannya itu?

“Assalamualaikum, Liya. Kau sihat hari nie?” suara Zatul menyapaku.

“Waalaikumussalam. Alhamdulillah ada kurang sikit sakitnya tapi pergerakanku masih terbatas” jelasku.

“Kejap lagi sihat ler tu” tutur Zatul cuba melapangkan dadaku.

“Insya – Allah" balasku redha dengan ketentuan Allah. Semua ini adalah ujian Allah buatku. Ujian yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan dugaan yang diberikan kepada hambaNya yang lain. Namun semua ini  memerlukan kesabaran dan ketabahanku untuk mengharunginya.

“Kau dah dengarkan apa yang berlaku pada Daniel” teka Liya.

“Aku hanya tahu dia cedera. Kenapa dengan dia Zatul?” soalku. Senyap. Kedengaran keluhan kecil Zatul. Nampak dia kurang selesa untuk bercerita tentang hal ini sedangkan hatiku melonjak – lonjak ingin mengetahui cerita sebenarnya.

“Tangan Daniel kena tujuh jahitan. Teruk juga lukanya. Mujur luka tu bukan kat pergelangan tangan” cerita Zatul. Kali ini giliranku pula yang mengeluh.  Aku membayangkan nadi nyawa manusia di kawasan pergelangan tangan. Bukankah sudah menghampiri pusat pergerakan nadi.  

“Macam mana tangan dia boleh luka? Dia bergaduh ke?” soalku bertubi – tubi. Zatul senyap lagi. Kali ini dia tidak teruja bercerita tentang Daniel tidak seperti selalu. Mungkinkah dia cukup berhati – hati untuk memperkatakan tentang Daniel di depanku memandangkan hubunganku dengan Daniel tegang sekarang.

“Tak tahu apa pasalnya dia tumbuk cermin muka kat bilik air di sekolah waktu rehat tadi” jelas Zatul.

“Apa!” Aku terlopong mendengar cerita Zatul tu. Daniel memang manusia yang tidak tahu untuk merasa sakit. Bahkah dia juga tidak terlalu sayang dengan nyawanya. Seringkali tindakannya membahayakan dirinya. Bilakah agaknya dia akan berubah sikap dan hidup lebih berhati – hati?

“Tapi aku rasa ......” bicara Zatul tergantung.
“Apa yang kau rasa?” cepat saja aku menyoal Zatul.
“Kalau aku cakap kau jangan marah ye, Liya” pinta Zatul.
“Ya, cakap ler” gesaku. Zatul menghela nafas panjang.

“Aku rasa hal nie ada kaitan dengan kau ler Liya. Sejak kau minta Daniel menjauhkan dirinya dari kau, nampak sangat emosinya tak stabil. Farhan kata, sebelum kejadian tu, dia dan Boney ada cakap pasal kau. Mereka setuju ler kau dan dia tak rapat lagi memandangkan Sara selalu membahayakan kau. Lepas tu Daniel terus saja   pergi tanpa sebarang kata meninggalkan Boney dan Farhan. Tup – tup... dengar Daniel cedera parah di bilik air” jelas Zatul panjang lebar.

“Mungkin dia marah sebab Boney dan Farhan mengaitkan Sara dalam hal nie” ujarku  berandaian sendiri sekaligus cuba mententeramkan gelodak perasaanku tika ini. Sukar untukku terima kalau tindakan Daniel itu berpunca daripadaku.

“Kau masih mahu menafikannya, Liya” keluh Zatul. Aku diam. Tidak tahu
apa yang harus aku perkatakan pada Zatul. Fikiranku buntu.

“Perasaan Daniel pada kau memang ikhlas. Dia betul – betul sukakan kau, Liya” suara Zatul ditekan. Betapa Zatul ingin memberitahu padaku bahawa seriusnya dia mengatakan semua itu. Aku terdiam panjang. Tiada tindak balas yang aku berikan pada bicaranya itu. Kedengaran keluhan kecil Zatul. Barangkali dia kecewa dengan sikapku yang hanya membisukan diri.

“Okey ler Liya, aku tak nak ganggu kau. Berehat ler ye. Assalamualaikum...” Klik. Suara Zatul sudah tidak kedengaran lagi. Lagak Zatul persis orang yang sedang merajuk. Mungkin betul Zatul sedang merajuk denganku. Kuletakkan telefonku di atas meja semula lalu aku membaringkan tubuhku di sofa ini. Cuba berlagak tenang sedangkan fikiranku berkecamuk. Dalam masa yang sama aku turut risau pada Daniel. 

Kupandang lagi telefon di atas meja ini. Mula membuat pertimbangan yang tidak sudah – sudah. Banyak kali aku berfikir namun satu keputusan muktamad belum aku temui. Patutkah aku menghubungi mahupun mengirim mesej kepada Daniel untuk bertanyakan keadaan dirinya? Haruskah aku tunjukkan rasa simpati dan kerisauanku ini kepadanya? Nanti bagaimana pula penerimaan Daniel? Bersediakah aku andai Daniel terus mengguris perasaanku ini? Ohh, banyaknya persoalan yang bercambah di kepalaku. Pening! Pening! Aku benci situasi yang aku alami sekarang. Barangkali kerana keletihan berfikir, akhirnya aku tertidur di sofa ini. Lupa seketika tentang Daniel dan lupa tentang segala – galanya.

“Liya bangun! Bangun Liya dah nak Maghrib nie. Astagfirullah budak nie waktu Maghrib macam nie masih tidur” sayup – sayup kedengaran suara ayah mengomel menusuk pendengaranku. Perlahan – lahan aku membuka mata. Ayah sedang menatapku di ambang pintu. Rupanya ayah baharu saja sampai rumah.

“Cepat pergi mandi. Kejap lagi kita solat Maghrib berjemaah” tutur ayah seperti selalu. Aku mengangguk. Namun belum berganjak lagi. Masih terasa mamai selepas lena yang panjang. Tidak pernah – pernah aku tertidur lama begini. Sebetulnya kalau aku sihat jarang sangat aku berada di rumah. Hanya kerana aku dan Daniel ada masalah, tambahan pula kecederaan di buku laliku yang membuatkan aku jadi penunggu setia rumah ini. Melihat ayah masih menatapku, perlahan – lahan aku bangkit dari sofa. Niat mahu ke bilik air untuk mandi membersihkan diri sebelum menghadap Allah yang Maha Esa.

“Hati – hati” pesan ayah tatkala melihat aku mula bergerak meninggalkan ruang tamu. Aku mengangguk dan sempat mengukir senyuman pada ayah.

Usai memanjatkan doa solat Maghrib, aku dan ayah membaca surah yasin sebagai pengisian waktu menantinya solat Isyak. Aku terus saja mencium naskhah yasin setelah selesai membacanya bersama ayah. Terasa diriku begitu tenang. Sesungguhnya Allah mendengar suara hatiku yang memohon kelapangan dada sepanjang hayatku. Aku juga meminta pada Allah agar membimbing setiap tindakanku agar aku tidak terpesong dalam melayari bahtera hidup ini. Usai solat Isyak, aku memohon pada ayah untuk berehat di bilik. Aku ingin sekali berbaring – baring sekarang.

Sudah berkali – kali aku menatap telefon di depanku ini. Sikap was – was sangat disukai oleh syaitan. Lantaran itu, aku nekadkan diriku untuk menghantar mesej pada Daniel. Tidak peduli sama ada dia menerima baik mesej yang aku hantar ataupun terus dingin padaku. Aku sudah bersedia menerima sebarang reaksi Daniel padaku. Niatku cuma satu. Aku ikhlas untuk mengetahui keadaan dirinya. Lantas laju saja jari – jemariku menekan huruf – huruf lalu membina ayat yang bertanyakan keadaan dirinya serta doa pengharapan agar dia pulih seperti sediakala. Kemudian aku terus saja menghantar mesej itu pada Daniel. Betapa leganya hatiku bila saja akhirnya aku mampu berkomunikasi tanpa lisan dengan Daniel.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi mesej yang kuterima. Aku tersenyum dan teruja dengan kedatangan mesej itu. Barangkali mesej balasan daripada Daniel. Laju saja jari – jemariku membuka kotak mesej. Senyumanku terus saja lenyap tatkala menatap sebaris nombor yang tertera pada mesej yang belum dibaca sepenuhnya. Nombor ini bukan milik Daniel. Nombor yang aku nampak siang tadi mengunjungiku lagi. Timbul persoalan gerangan siapakah pemilik nombor ini? Mengapa dia menghantar bait – bait puitis ini kepadaku? Adakah aku mengenali dirinya? Ada bicara indah lagi dikirimkan padaku. Betulkah bait – bait indah ini untukku?    
       ~ If I could choose only one person in this world with whom I could live.... That  would be YOU! ~ 

 Lantas kuhantar mesej balasan.

~ Who are you? ~ 

Nada dering mesej yang baru masuk kedengaran lagi. Tetap nombor yang sama. Masih juga bait – bait indah dan puitis. Persoalanku tidak dijawab.

~ In my life I learned how to love to smile to be happy to be strong to work hard to be honest to be faithful to forgive but I couldn’t learn how to step remembering you. MISS YOU! ~

Mesej kedua yang dihantar lebih panjang lagi. Tiba – tiba aku rasa mahu marah saja pada si pengirimnya. Sungguh aku tidak menyenangi diperlakukan begini! Manakala mesej yang kuhantar pada Daniel belum dibalaslagi. Mungkin  Daniel tidak mahu membalas mesejku itu. Aku pasrah.

2 comments: