Bab 3
Nek Gayah hanya geleng kepala merenung wajah anak muda itu. Semerbak wangi itu menusuk ke rongga hidung malah dirasakan menikam kerongkongnya. Tajam. Begitu segak dan bergaya seperti selalu. Seluar jeans hitam dipadankan dengan kemeja putih, biarpun ringkas tetapi cukup mengikat pandangan anak-anak gadis untuk terus menatapnya.
Fizikal yang cukup sempurna yang Tuhan anugerahkan kepada anak muda itu. Terdetik rasa bangga di hati tuanya. Kaca mata hitam diangkat menyonsong rambut daripada mencecah dahi anak muda itu bagi memudahkan penglihatannya. Nek Gayah mengeluh sendirian. Bukan dia tidak pernah menegurnya malah acapkali jua. Sememangnya style anak muda sudah sebegitu.
“Fandi nak ke mana lagi nie?” sudah biasa sangat soalan itu diajukan kepada anak muda itu. Anak muda itu melabuhkan punggung di sisinya. Merapatkan tubuhnya dan cuba bermanja dengannnya. Tangan tuanya diusap-usap lembut. Terasa kasih sayang antara mereka terjalin padu.
“Fandi nak keluar jumpa Julie, dah janji nak dinner dengan dia nek” tuturnya lembut memujuk hati tua itu. Perempuan tua itu mengeluh berat. Satu perangai yang tidak digemarinya pada cucu kesayanganya itu.
“Semalam keluar dengan Maria. Entah esok lusa dengan sapa pula. Berapa ramai kawan pempuan yang kamu ada kat luar tu, Fandi. Kalau ada yang kamu berkenan terus bawa jumpa nenek, nenek buatkan kendurinya. Tak payah angkut anak dara orang ke hulu hilir. Perkara tu bukan elok sangat” leternya panjang lebar.
Fandi tertawa kecil mendengar kuthbah serta melihat muka masam neneknya. Sudah banyak kali bicara itu meniti di bibir tua itu.
“Budak nie sengih-sengih pula. Nie...tengok nie... punggung nie mana reti duduk diam” rungutnya seraya menghadiahkan sebuah cubitan.
“Aduhhh.... nek!” Fandi terjerit kecil sambil tertawa.
“Bila kamu nak beristeri Fandi?” soalan itu diungkit lagi. Fandi tersengih dengan muka seposennya.
“Okeylah nek, Fandi nak keluar sekarang, bukan elok sangat pun buat orang tertunggu-tunggu” tuturnya Nek Gayah mencebik bosan. Muak hatinya mendengar bicara itu. Langsung tidak boleh diterimanya.
“Nenek belum habis cakap lagi nie. Bila kita tanya pandai pula dia mengelak. Geram betul nenek dengan kamu nie Fandi” rungutnya. Fandi tertawa. Dikucupnya pipi tua itu. Sempat juga dia mengenyitkan mata sengaja menyakat Nek Gayah.
“Fandi pergi dulu, nenek tak payah tunggu Fandi balik yea. Nanti bagitau kat atuk Fandi dah keluar, tak sempat nak tunggu atuk lagi” pesannya.
“Pempuan nie kalau dah merajuk susah nak pujuk. Betulkan nek...” usiknya lagi. Nek Gayah mendengus geram dengan telatah cucunya itu. Fandi ketawa lagi. Suka benar dia mengusik neneknya.
“Jangan balik lewat sangat, esok kamu tu kerja” laungnya berpesan. Kelibat anak muda itu sudah tidak kelihatan. Yang kedengaran hanyalah bunyi deruan kereta meninggalkan halaman.
“Ya Allah, engkau berilah petunjuk pada anak muda tu. Temukanlah jodoh yang terbaik buatnya” bisiknya berdoa. Perlahan-lahan keluahannya tercetus lagi. Pening dia memikirkan telatah cucu tunggalnya itu. Nek Gayah mengharapkan sangat dalam masa terdekat ini Fandi akan menemui gadis pujaannya, berkahwin dan hidup berkeluarga. Belajar memikul tanggungjawab dan lebih serius dengan hidupnya.
“Termenung panjang nampak. Fikirkan apa tu Cik Gayah?” tegur satu suara mematikan lamunannya. Dia sedikit tersentak.
“Orang tua nie kejutkan kita je” rungutnya seraya mengurut-urut dadanya. Tun Adam tersengih. Lucu dia melihat gelagat isterinya itu. Kesian juga. Bukan dia sengaja mengejutkan perempuan itu.
“Tulah layan sangat perasaan tu. Abang datang pun tak sedar. Ntah...apa yang ada dalam fikiran Yah tu” rungut Tun Adam pula.
“Yah tengah fikirkan cucu kesayangan abang tulah” luahnya berterus terang.
“Kenapa dengan Fandi? Mana dia?” soalnya bertalu.
“Dia dah keluar. Tak menyempat nak bagitau abang. Pandai-pandai dia tinggalkan pesanan” rungutnya seraya mengajuk kata-kata Fandi sebentar tadi, disambut dengan gelak tawa Tun Adam. Gelihati dia melihat telatah isterinya yang melakonkan semula gelagat dan dialog cucunya itu.
“Buat apa nak fikirkan sangat. Bukan perkara baru kalau Fandi tu asyik keluar. Tak heran pun. Abang akan lebih terkejut kalau tiba-tiba je dia melekat kat rumah nie. Biarlah...., dia tu anak lelaki, dah besar panjang pun. Takde yang patut dirisaukan sangat. Pandailah dia tu jaga diri nanti” tingkah Tun Adam acuh tak acuh.
“Tulah abang, bukan nak bagi nasihat. Galakkan budak tu melepak kat luar adalah” rungutnya.
“Dia bukan budak lagilah Yah. Kalau ada janggut dah tumbuh pun” usiknya disusuli dengan gelak kecilnya. Tun Adam tahu dia bakal mengundang kemarahan isteri kesayangannya itu. Sememangnya dari dahulu lagi dia suka mengusik perempuan itu.
“Tahu pun abang. Sepatutnya umur dia tu sekarang dah ada anak dan isteri. Duduk kat rumah dengan keluarga bukannya ke hulu hilir bawa anak dara orang” keluhnya lagi.
“Soal jodoh kita tak boleh paksa. Kalau dia dah bersedia, kahwinlah Fandi tu nanti. Lagi pun umur 27 tahun tu bukan tua sangat buat lelaki” balasnya tenang. Nek Gayah mengeluh sendirian. Risau bukan kepalang memikirkan cucu tunggalnya pewaris keluarga itu. Dicurahkan segala kasih sayang dan perhatian mereka suami isteri kepada anak muda itu. Tidak pernah ditengking, jauh sekali dijentik. Kasih sayang melimpah ruah dan dilengkapi dengan nilai-nilai kesopanan.
Apabila difikirkan balik, Fandi bukanlah teruk sangat. Dia bukan pemuda liar. Komitmennya terhadap kerja sememangnya mendapat pujian. Dalam usia yang muda sudah mendapat kepercayaan memegang jawatan Pengurus Besar. Dalam perhubungan seharian nampak sangat dia menyayangi dan menghormati sepasang suami isteri itu. Malah dia boleh bergaul mesra dengan semua orang.
Namun perkara yang memusingkan kepala Nek Gayah ialah hobi Fandi yang berkawan dengan ramai perempuan. Tidak pula diketahuinya sejauhmana hubungan mereka. Apa yang pasti Fandi tidak pernah menunjukkan keseriusan pada mana-mana gadis. Sukar sangat dia memberikan perhatian yang istimewa kepada seseorang.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Aku membimbit beberapa buah beg plastik yang berisi nasi dan air sirap yang kubeli dari gerai seberang sana. Hari ini aku dan Kak Sofea sepakat hendak makan nasi bungkus saja sebagai hidangan tengahari ini. Sekali sekala teringin juga hendak tukar selera sebab selalunya orang gaji Kak Sofea yang akan masak.
Sedang aku leka, tiba-tiba pandanganku tepat pada satu susuk tubuh yang sedang berbicara dengan Kak Sofea. Pantas aku menyembunyikan diri di sebalik deretan kereta agar tidak kelihatan. Bukankah itu pemuda yang aku marah tempoh hari? Apa dia buat kat sana? Beli bunga? Mustahil.
Barangkali dia datang mencariku. Mungkin dia tidak puas hati bila aku marahkan dia begitu saja sedangkan dia hanya berdiam diri pada hari itu. Habislah aku kalau dia mengamuk nanti. Aku juga bakal menyusahkan Kak Sofea. Tahu-tahulah kalau gangster ini memang pantang dimusuhi. Aku tidak akan biarkan dia buat sesuka hati kat situ sekiranya dia hendak mengamuk mahupun untuk mencederakan Kak Sofea.
Aku nampak dia melangkah keluar lalu masuk ke dalam kereta Honda sportnya yang mengotorkan aku tempoh hari sekaligus mengundang kemarahanku. Apabila pemuda itu sudah lenyap barulah aku meneruskan langkahku.
Ketika melewati Kak Sofea, aku sempat melirik ke wajah itu. Tampak tenang seperti tiada apa-apa yang telah berlaku. Kupandang lagi Kak Sofea yang sedang leka dengan kerjanya.
“Apa Nitie beli tadi?” soalnya tiba-tiba buat aku tersentak. Mujur tidak disedari oleh Kak Sofea.
“Ikan masak kari dan sayur kacang goreng” balasku ringkas.
“Emm... sedapnya” Sepi. Aku menanti-menanti kalau Kak Sofea akan bersuara lagi menceritakan tentang kehadiran pemuda itu tadi. Sesaat, seminit, aku mula gelisah kerana Kak Sofea masih juga berdiam.
“Kak, ada orang cari Nitie tadi tak?” soalku cuba memecahkan persoalanku.
“Takde. Adie nak datang ke?” soalnya semula. Aku hanya tersengih menyembunyikan gelodak perasaanku. Kuperhatikan Kak Sofea masih leka dengan kerjanya. Cuba kusambung kembali kerjaku yang terhenti sebentar tadi. Langsung tiada konsentrasi. Tidak boleh jadi nie!
“Kak, apa pemuda Cina tu buat kat sini tadi?” soalku terus fokus kepada perkara sebenarnya. Kak Sofea menatapku. Nampak dia berfikir-fikir seketika. Dia cuba mengingati pelanggan-pelanggan yang datang sepanjang hari ini.
“Pemuda Cina? Seingat akak takde pun pemuda Cina yang masuk ke sini tadi. Kalau perempuan Cina adalah” jelas Kak Sofea langsung tidak mencurigaiku. Mustahil Kak Sofea boleh terlupa akan pertemuaannya dengan pemuda itu sebentar tadi. Barangkali Kak Sofea cuba menyembunyikan sesuatu agar aku tidak perlu risau.
“Ohh...tadi ada seorang pemuda Cina datang. Dia nak tempah 20 kuntum mawar hidup. Petang nie dia ambik. Nitie jangan lupa buat ye” Kak Sofea bersuara lagi sekaligus memecahkan persoalanku tadi.
Dia datang sekadar hendak tempah bunga? Boleh dipercayaikah? Jangan-jangan ada niat tersembunyi siapa tahu. Paling penting sekarang aku harus berhati-hati. Kualih lagi pandanganku kepada Kak Sofea. Lega. Mujur dia tidak menyedari tingkahlaku ganjilku sebentar tadi.
Aku menatap jam untuk kesekian kalinya. Kemuadian melontar pandangan ke muka pintu. Tetamu yang kunantikan belum menampakkan bayangnya. Bagaimana kalau motif sebenar kedatangannya untuk menyerangku? Apa yang perlu aku lakukan? Ligat otakku berfikir.
“Tulah lain kali kalau nak marah tengok orang dulu” kutukku untuk diri sendiri. Aku mengalih pandanganku ke muka pintu lagi. Aku mengeluh kecil. Aku betul-betul telah kehilangan tumpuan gara-gara dengan kehadiran pemuda itu tadi. Hatiku gundah-gelana.
Ting tong...! Pantas aku berpaling ke muka pintu. Dua orang pelanggan perempuan yang muncul di muka pintu lalu memanjangkan langkah masuk.
“Nak cari bunga apa puan?” kedengaran suara Kak Sofea ramah menyapa. Aku sempat melemparkan senyuman. Kemudian menyambung kembali tugasku biarpun aku tahu aku benar-benar telah kehilangan tumpuan saat ini. Aku biarkan saja Kak Sofea melayan pelanggan yang datang.
“Nitie tolong gubah bunga tulip nie dalam vase nanti” pinta Kak Sofea. Aku mengangguk lantas menyambut bunga yang ada pada tangan Kak Sofea.
“Puan nak guna vase yang mana?” soalku memberikannya peluang untuk memilih.
“Adik pilihlah yang mana sesuai dengan bunga tu” arahnya memberikan kebenaran kepadaku untuk membuat pilihan sendiri. Aku senyum. Senang hati kerana menerima arahan sebegitu. Memudahkan aku menyelesaikan tugasku dengan cepat. Kira-kira dalam 15 minit, bunga-bunga tulip itu sudah menjadi sebuah gubahan yang lengkap. Aku menghantarnya ke kaunter dan meminta dua orang pelanggan tadi berurusan dengan Kak Sofea.
“Terima kasih puan” Aku dan Kak Sofea meneruskan tugas masing-masing. Sesekali anak mataku melirik ke muka pintu, memerhatikan di luar sana.
“Senyap je Nitie” tegur Kak Sofea. Aku tersentak sedikit. Pandangan mata Kak Sofea tepat-tepat pada wajahku. Aku senyum.
“Kena konsentret kat bunga-bunga nie kak” balasku walaupun hakikatnya sejak sekian lama tadi aku sudah kehilangan fokus pada bunga-bunga ini. Kak Sofea tersenyum. Kutatap bunga-bunga di depanku. Lama. Hari ini terasa aku telah mengabaikan kewujudan ‘mereka’.
“Nitie 20 kuntum mawar tadi kamu dah siapkan gubahannya?” Aku tersentak lagi. Pantas aku berpaling. Sudah ada seorang pemuda Cina sedang berdiri di hadapan Kak Sofea. Aku menatap lelaki itu. Bukan dia! Aku menarik nafas lega.
“Nie bunganya kak” sahutku sambil meletakkan jambangan bunga mawar tadi di kaunter.
“Ohh... nice. Thanks” ujar pemuda itu kepadaku. Aku hanya mengangguk.
“Thanks. Lain kali datang lagi”
“Sure. Bye....” Pemuda Cina yang kunantikan kedatangannya sudah pun muncul. Tetapi kenapa bukan dia sedangkan pagi tadi aku nampak dia berbual-bual dengan Kak Sofea. Tidak mungkin pula aku yang silap tengok.
“Alamak akak terlupa nak bagitau Nitie” ujar Kak Sofea sambil menepuk kepala membuatkan aku berdebar. Kak Sofea sedang bergerak mendekatiku. Sekeping kertas diletakkan di depanku.
“Sorry ada satu jambangan lagi yang perlu Nitie buat” ujarnya tersenyum.
“Akak nie kejutkan Nitie jelah” Kak Sofea tertawa kecil. Kubaca kertas di depanku. 99 kuntum mawar merah. Sejak kebelakangan ini semakin ramai pula jejaka romantik. Nampaknya bukan setakat pada Valentine Day saja aku berpeluang mengubah bunga sebanyak ini.
“Nanti kalau dah siap Nitie tolong selitkan kadnya ye”
“Dah takde yang lupa kak” selorohku. Kak Sofea tertawa kecil. Harap-harap tidak seperti si jejaka romantik yang pelupa itu.
“Kali nie awal-awal lagi akak dah ingatkan dia. Ada kat depan nie kadnya” balas Kak Sofea. Aku tersenyum sendiri. Aku mengambil masa 30 minit untuk menyiapkannya. Kuambil kad di kaunter.
‘-To Julie: I Miss You – Fandi.’
Tersentak aku menatap nama si pengirimnya. Rupanya dia lagi! Berapa ramai teman wanita yang dia ada? Teruknya dia nie.
“Apa hal dahi kamu tu berkerut-kerut Nitie?” Rupanya Kak Sofea sedang memerhatikan gelagatku. Agaknya dia dapat membaca apa yang sedang aku fikirkan tadi.
“Orang seperti tulah yang akan melariskan jualan bunga kita” seloroh Kak Sofea. Aku tertawa mendengar gurauan Kak Sofea. Tidak boleh disangkal lagi. Setiap hari tempah bunga 99 kuntum bukan sedikit harganya. Membazir! Kaya benar dia! Agaknya dia sudah tidak tahu di mana hendak salurkan duit yang bertimbun-timbun itu. Nampaknya si Mamat bunga nie betul-betul kaki perempuan. Bahaya betul! Terutama kepada kaum perempuan!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Nek Gayah sedang leka di halaman rumahnya mencantas bougainvillaea yang menghiasi halaman rumah. Masa-masa terluang sebegitu banyak dihabiskannya di situ. Beramah mesra dengan bunga-bunga yang ditanamnya.
“Tun Puan buat apa tu? Air dah terhidang nie”
“Mak Mah mari kejap” panggilnya. Di dekatinya majikannya itu.
“Apa halnya Tun Puan?” soalnya kehairanan.
“Mak Mah ada simpan ilmu jampi tak?”
“Ilmu jampi?” Ditatapnya Nek Gayah. Hairan sungguh dia dengan pertanyaan sedemikian.
“Jampi apa pulak nie Tun Puan?” soalnya semula.
“Jampi nak suruh cepat-cepat kahwin” balas Nek Gayah selamba buat Mak Mah tersenyum lebar. Tercuit hatinya mendengar penjelasan majikannya itu.
“Nak jampi siapa pulak Tun Puan?” soalnya masih tidak dapat menangkap maksud sebenarnya.
“Mestilah untuk anak teruna kita sorang tu, takkan nak jampi Tuan pulak” Sekali lagi Mak Mah ketawa. Digaru-garunya kepala.
“Tun Puan risaulah dengan gaya hidup Fandi tu Mak Mah. Kata tak suka pempuan terlebih suka pulak sampai keliling pinggang. Agaknya dia tak kahwin-kahwin nie sebab pening kepala nak pilih yang mana satu kot” tambahnya membuat andaian sendiri.
“Tun Puan janganlah risau, sampai jodohnya nanti kahwinlah dia tu” pujuk Mak Mah cuba menenangkan hatinya majikannya.
“Harap-harap macam tulah” keluhnya.
No comments:
Post a Comment