Thursday, 4 July 2013

Namaku Bukan Flora! ....52




BAB 52

Aku tersentak dengan kedatangan Datin Sofea bersama Bella berkunjung ke bilik ini. Kunjungan yang memang sudah dijangkakan. Tiada sapaan mahupun senyuman. Sinis dan tampak garang.
“Saya nak cakap dengan awak sekarang” tutur Datin Sofea garang lantas melabuhkan duduknya di sofa diikuti oleh Bella. Aku mengangguk. Bingkas aku bangkit dari dudukku lalu melangkah mendekati mereka. Aku turut sama duduk di sofa bertentangan dengan Datin Sofea. Gemuruh. Bella menjelingku tajam.
“Saya tak mahu buang masa saya di sini. Saya terus terang saja. Saya tak suka awak jadi menantu saya. Tinggalkan Haqem sekarang juga” tegas Datin Sofea sambil matanya tajam menatapku. Aku menggetap bibir menahan rasa.
“Banyak sebab mengapa saya tak suka awak. Saya tahu niat awak mahu bersama Haqem. Awak nak tumpang kesenangannya. Hidup bersama Haqem banyak memberi keuntungan kepada awak dan keluarga awak. Saya dah tahu niat kotor awak ni” uja Datin Sofea angkuh.
“Datin salah faham...” tingkahku. Datin Sofea tersenyum lirih.
“Awak gunakan Aqel untuk kepentingan awak. Kemudian awak beralih pula pada Haqem. Saya tak suka perempuan murahan yang suka menjaja cintanya” tuduhnya.
“Datin....” terpukul aku mendengar bicara Datin Sofea ini. Bella tersenyum sinis.
“Haqem pun membesar tanpa ayah, tapi dia terdidik menjadi anak yang baik. Sejak mengenali awak dia telah banyak berubah. Ternyata mak awak tak pandai mendidik awak”
“Datin tak boleh menghina mak saya demikian” tingkahku terguris dengan bicaranya ini. Datin Sofea tersenyum sinis.
“Mungkin mak awak pun macam awak ni juga perempuan murahan. Jual anak nak tumpang kesenangan orang kaya. Arwah ayah awak dalam kubur tu terseksa” lancang Datin Sofea berkata – kata.
“Cukup datin...!” tinggi suara kulontar. Aku melawan pandangan Datin Sofea.
“Tinggalkan Haqem sekarang. Awak takkan bahagia kalau terus bersama Haqem” ujar Datin Sofea memberi amaran keras. Datin Sofea dan Bella bangkit dari sofa, lantas beredar meninggalkan aku bersendirian di sini. Sedih dan pilu hatiku menelan kata – kata pahit Datin Sofea. Aku tidak mampu membuat apa – apa selain mematungkan diri menerima semua penghinaan itu. Aku langsung tidak mampu membela diri. Terasa maruah keluargaku dipijak – pijak. Kasihan mak dihina sedemikian. Aku mengetap bibir menahan geram. Perlahan – lahan terasa hangat menuruni cerun pipiku. Betapa terlukanya perasaanku tika ini.
“Flora....!” Aku mengangkat mukaku. Aqel melewati pintu sedang melangkah mendekatiku.
“Apa yang Datin Sofea dan Bella telah buat pada awak?” soal Aqel cemas. Tangisanku semakin kuat.
“Mereka sakiti awak?” soal Aqel cemas. Aku geleng kepala.
“Cakaplah Flora...!” gesa Aqel sambil menatapku.
“Mungkin mak awak pun macam awak ni juga perempuan murahan. Jual anak nak tumpang kesenangan orang kaya. Arwah ayah awak dalam kubur tu terseksa” lancar mulutku mengulangi bicara Datin Sofea sebentar tadi. Aqel terkedu. Pandangannya masih tidak beralih dari wajahku.
“Saya bukan anak yang baikkan, Aqel. Sewenangnya orang menghina keluarga saya” getusku kesal sambil mengesat rembesan air mataku. Mahu segera menghentikan tangisan ini.

Tiba – tiba saja Aqel melangkah mendekatiku dengan wajah seriusnya. Tanganku dicapai lalu menarikku sehingga tubuhku terdorong bangkit dari kerusi.
“Awak nak buat apa ni, Aqel?” soalku terpinga – pinga diperlakukan sedemikian oleh Aqel.
“Mari ikut saya” arah Aqel seraya menarik tanganku menuruti langkahnya.
“Awak nak bawa saya ke mana?” soalku bingung dan tidak senang dengan tindakan Aqel. Aku cuba menahan langkahku serta menarik pautan tanganku dari pautan tangan Aqel. Namun aku tidak berdaya melepaskan diri dari mengikuti saja aturan langkah Aqel. Genggaman tangan Aqel kian kemas. Aku terpaksa mengikut gerak arah langkah Aqel. Berpasang – pasang mata menatap kami. Tampak mereka sedang kehairanan.
“Aqel, awak buat apa ni?” soalku tergamam menatap Aqel yang memberhentikan langkahnya di depan pintu bilik ini. Tangan Aqel terus saja menolak daun pintu. Kupandang Aqel yang sudah kehilangan ketenangan tika ini. Kunjungan luar biasa ini mengejutkan Marnie. Marnie tercengang – cengang menatapku dan Aqel.
“Haqem ada?” soal Aqel tanpa kemesraan. Marnie yang diserbu kehairanan hanya menggangguk. Lantas Aqel menarikku melangkah ke bilik Haqem. Tanpa ketukan mahupun salam yang diberi, Aqel terus menolak daun pintu. Haqem nampak terkebil – kebil menyambut kedatangan kami. Malah sempat juga pandangan Haqem singgah pada pautan tangan Aqel di tanganku. Laju saja aku menarik tanganku.
“Apa hal Aqel?” soal Haqem dengan tenang.
“Saya datang nak maklumkan kepada awak bahawa saya dan Flora akan bernikah sedikit masa lagi. Saya harap mulai hari ni awak lepaskanlah Flora” tutur Aqel bagaikan menyentap tangkai jantungku.
“Aqel....” panggilku perlahan. Aku tergamam menatap Aqel. Begitu juga dengan Haqem.
“Saya akan jaga Flora dengan baik melebihi diri saya sendiri. Saya akan bahagiakan dia. Jadi awak tak perlu risau” tutur Aqel serius.
“Aqel....” panggilku lagi. Sukar mempercayai Aqel bertindak senekad ini.
“Mari Flora...” Aqel menarik tanganku mengajak aku beredar dari bilik ini. Aku yang kematian akal dan masih tergamam dengan tindakan Aqel hanya menurut saja. Langkah Aqel mati. Aqel berpaling semula. Seketika dia beradu pandangan dengan Haqem yang masih terpaku.
“Sesukar mana sekalipun awak mesti lupakan Flora. Kalian memang tiada jodoh untuk bersama” tegas Aqel. Kemudian menyambung langkah kembali. Sempat juga aku melihat Marnie yang sedang terpinga – pinga menatapku ketika melewatinya.
“Awak buat apa ni, Aqel” tegasku seraya menarik tanganku daripada pautan tangan Aqel. Beradu pandangan seketika dengan Aqel.
“Kita akan nikah dalam masa terdekat ni. Saya dah memaklumkan perkara ni kepada mama dan Mak Usu yang saya bersedia memenuhi permintaan mereka” jelas Aqel.
“Apa...!” Besar anak mataku menatap Aqel. Betapa terkejutnya aku mendengar kenyataan Aqel ini.
“Apa dah jadi dengan awak ni?” soalku sinis. Aqel hanya menatapku dengan wajah bersahaja membuatkan aku sakit hati. Mungkinkah dia sekadar mahu mempermainkanku.
“Keputusan dah dibuat. Kata sepakat antara keluarga kita juga dah dicapai. Kita hanya menunggu hari untuk jadi suami isteri” tutur Aqel lagi.
“Awak serius ke, Aqel?” soalku gusar. Aqel mengangguk.
“Saya memang serius dan keputusan saya juga tak akan berubah. Saya dah bersedia menjadi suami awak” tegas Aqel bersahaja sekali gus menimbulkan kegusaranku. Betulkah aku akan jadi isteri Aqel? Isteri kepada seorang lelaki yang tidak kucintai. Lelaki yang kukasihi hanya sebagai saudara. Oh... kalutnya! Sukar sangat aku hendak menerima semua ini.
“Saya mahu bersendirian sekarang” tuturku lalu memulakan langkah longlaiku meninggalkan Aqel yang masih terpacak di situ.
“Awak nak ke mana, Flora?” suara Aqel yang melaung singgah di telingaku tidak kuendahkan. Aku terus menyusun langkah semakin jauh meninggalkan dirinya.
“Kamu tak payah risau dia ada di rumah ni sekarang” tutur mak. Aku memasang telinga mencuri dengar perbualan mak dan Aqel.
“Waalaikumussalam....” Gagang telefon diletak. Mak terus berpaling menatapku buat aku tidak keruan. Tidak tahan bertentang mata dengan mak, kualih mukaku ke kaca tv. Cuba berlagak biasa walaupun hakikatnya ada perasaan gemuruh tatkala menunggu saat mak mahu membicarakan perkara itu.
“Mak rasa nak terima saja lamaran Mak Long kamu tu. Mak yakin Aqel boleh jaga kamu dengan baik” suara mak singgah di pendengaranku. Lambat – lambat aku berpaling ke arah mak. Mak menatapku.
“Kamu setuju, Lia?” soal mak. Kelu lidahku hendak menjawab pertanyaan mak ini.
“Dah sampai masanya mak campur tangan. Mak tak nak biarkan hidup kamu berterusan begini” ujar mak serius. Aku masih membisu.
“Mak yakin Aqel itu sebaik – baik lelaki yang Allah ciptakan untuk menyayangi dan menjaga kamu, Lia. Apa yang berlaku segalanya ada hikmah. Pertunangan olok – olok yang kamu cipta telah menemukan jodoh kamu berdua. Setiap perkara yang berlaku di sekeliling hidup kamu semuanya ada kaitan dengan Aqel. Sesungguhnya Allah telah mendekatkan jodoh kamu tanpa kamu sedari. Yakinlah kamu akan hidup bahagia bersama Aqel” ujar mak menyentakkanku. Mak sudah mengetahui segala – galanya. Pasti mak juga mengetahui aku dan Haqem sering berhubung. Indah bicara mak, namun besar bebanannya. Serasa aku tidak mampu memikul bebanan itu.
“Mak tahu di hati kamu masih ada Haqem, tapi hubungan tu tak direstui keluarga Haqem. Mak takkan biarkan anak gadis mak hidup dalam kebencian mak mertuanya. Kamu renungkanlah kasih sayang Mak Long kamu terhadap kamu selama ni” tutur mak memberi nasihat. Aku masih membisu. Kasih sayang Mak Long kepadaku memang melimpah ruah. Mak Long memang begitu menyayangiku.
“Kamu setuju?” soal mak lagi sambil menatapku. Pertanyaan mak sukar hendak kujawab. Sekali kata putus diberi, pasti tidak akan dapat diundur lagi. Keputusan yang bakal menentukan kehidupanku pada masa hadapan. Tersilap tingkah bakal melukakan banyak pihak. Andai aku bernikah dengan Aqel, Haqem dan Rania akan terluka. Aku dan Aqel bagaimana pula? Pernikahan bukan lahir dari kesediaan diri dan keikhlasan tidak akan membahagiakan. Andai Aqel bersedia menjadi suamiku demi memenuhi impian keluarga, pasti hidup Aqel tidak akan bahagia bersamaku.
“Terus terang mak kata Haqem bukan menantu pilihan mak. Mak tak mahu Haqem jadi anak derhaka semata – mata kerana mahu hidup bersama kamu. Mak mahu kamu berpisahlah dengan Haqem sekarang” pinta mak meluahkan isi hatinya tanpa berselindung.
“Lia, tak tega melukai perasaan Haqem, mak” ujar mula bersuara. Mak menatapku. Kedengaran keluhan mak.
“Hubungan kamu dan Haqem takkan membawa apa – apa makna Datin Sofea takkan merestuinya. Mak tak mahu mereka menyeksa kamu lagi. Terima saja keputusan mak dan bersedia menjadi isteri Aqel” tegas mak. Begitu mudah mak menuturkannya. Aku menggetap bibir. Bagaikan pengertian mak selama ini sudah terhakis sepenuhnya. Mak serius dengan keputusannya.
“Beri Lia masa berbincang dengan Aqel” pintaku.
“Aqel dah bersetuju bernikah dengan kamu” sahut mak. Senyap. Kali ini mak benar – benar nekad.
“Mak beri kamu masa menjelaskan perkara ini kepada Haqem” ujar mak lalu bangkit dari sofa lantas meninggalkan aku bersendirian di ruang tamu ini. Ternyata mak sudah membuat keputusan muktamadnya. Aku dan Aqel akan bernikah.
‘Ya Allah, benarkah setiap perkara yang berlaku di sekeliling hidupku semuanya ada kaitan dengan Aqel? Bukankah semua itu secara kebetulan, bukannya atas ketentuanMu? Benarkah ya Rabbi, Engkau telah mendekatkan jodohku dengan Aqel tanpa kusedari? Betulkah aku boleh yakin yang aku akan hidup bahagia bersama Aqel?’..... suara hatiku bermonolog.



“Assalamualaikum..... Saya nak jumpa awak sekarang. Tolong datang ke bilik ni” arahku serius, lantas memutuskan talian sebelum sempat mendengar suara Aqel. Aku tidak mahu mendengar alasan Aqel andai dia tidak dapat menemuiku sekarang. Sungguh aku tidak mahu menangguhkan pertemuan ini memandangkan mak tidak akan bertolak – ansur denganku lagi.
Pandanganku fokus ke muka pintu. Menanti kedatangan Aqel bersama persoalan yang bakal aku utarakan nanti. Aku tidak mahu Aqel mengorbankan dirinya menjadi suamiku kerana terpaksa. Sungguh aku tidak akan memusnahkan impian Aqel untuk hidup bersama insan yang dicintainya. Daun pintu ditolak. Aqel muncul di sebalik pintu.
“Apa hal awak nak jumpa saya?” soal Aqel seraya melabuhkan duduknya di sofa. Aku melepaskan keluhanku. Bangkit dari duduk lalu melangkah mendekati Aqel. Aku duduk bertentangan dengan Aqel. Aku dan Aqel berlaga pandangan.
“Mengapa awak nak bernikah dengan saya?” soalku tidak mahu membuang masa. Senyap. Nampak Aqel belum bersedia hendak menjawab pertanyaanku ini.
“Saya tak mahu musnahkan masa depan awak. Kalau awak nak jadi suami saya semata – mata nak penuhi hasrat keluarga kita mahu pun bersimpati pada saya, jangan lakukannya” tegasku. Aqel tenang menatapku.
“Saya nak bertanggungjawab....” sahut Aqel. Aku kehairanan menatapnya.
“Bertanggungjawab?” soalku keliru.
“Awak tak pernah buat salah pada saya. Awak tak de hutang apa – apapun pada keluarga saya” tingkahku tidak mengerti dengan bicaranya.
“Awak dah lupa. Dulu saya pernah kata akan bertanggungjawab ke atas awak. Awak dah lupa kejadian di rumah awak?” soal Aqel membinggungkanku. Sungguh bicara Aqel tidak kufahami.
“Kejadian di rumah saya....” tuturku perlahan. Cuba memutar ingatanku kembali. Mengingat detik Aqel mengutarakan bicaranya itu. Tiba – tiba aku teringat kemuncalan Aqel awal pagi di rumah keluargaku. Kejadian yang memalukan itu terakam kembali. Aqel masih ingat tentang perkara itu. Aduh.... sungguh memalukan mengingati Aqel menatapku yang hanya berkembankan tuala separa lutut!
“Awak jangan jadi budak – budak, Aqel. Perkara ni serius tak de kaitan dengan kejadian tu. Lagi pun awak tak sengaja nampak saya dalam keadaan tu. Kalau betul awak rasa bersalah dan terganggu dengan kejadian itu, saya seikhlas hati menghalalkannya saja” ujarku tanpa berfikir panjang. Aqel tergelak. Tercuit hatinya mendengar bicaraku.  
“Saya tak pernah mungkir janji, kecuali kalau awak tak nak pernikahan ini dilangsungkan” tutur Aqel. Kelu lidahku mendengar kenyataannya ini.
“Awak dah lupa dengan janji awak untuk menjaga saya seumur hidup awak” tutur Aqel mengungkit kata – kata itu.
“Itu kalau awak hilang keupayaan diri” jelasku. Nauzubillahminzalik. Aku tidak mahu Aqel menjadi cacat, apatah lagi disebabkan tindakanku.
“Selepas awak langgar saya, saya sakit” jelas Aqel serius. Aku tersentak.
“Jangan main – main, Aqel. Awak nampak sihat walfiat saja” tingkahku. Aqel menggeleng – geleng.
“Organ dalaman saya tak berfungsi dengan baik lagi akibat hentakan kuat tu” jelas Aqel berwajah sayu. Aku tergamam. Adakah Aqel berkata benar? Mustahil pula Aqel sanggup meminta – minta perkara tidak elok menimpa dirinya.
“Awak serius ke ni? Bukan ke kaki awak saja yang cedera dulu. Lagi pun saya langgar awak bukannya kuat pun” ujarku diselubungi kebimbangan. Aqel mengangguk sugul. Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Kalau benarlah Aqel sakit sekarang disebabkan kemalangan itu, maka aku wajib bertanggungjawab ke atas Aqel. Patutlah mak tiba – tiba saja berubah sikap. Mesti mak juga mahu aku bertanggungjawab atas kesilapanku. Mengapa Aqel, mak dan Mak Long merahsiakan semua ini daripadaku? Mungkin Mak Long dan Aqel tidak mahu aku kerisauan dan menyalahkan diri.
Aqel tersenyum – senyum sendiri memerhatikan gelagat gadis ini. Tidak sangka semudah itu gadis ini dipermainkan olehnya. Niat hatinya sekadar bercanda. Tiba – tiba saja Aqel berasa seronak hendak bersendiwara dengan gadis ini.
“Kalau sakit awak serius, saya akan dermakan organ saya pada awak. Organ mana yang rosak tu?” soalku serius. Aqel tersenyum.
“Terima kasih, Flora. Sungguh saya terharu mendengarkannya” ujar Aqel masih dengan senyumannya.
“Saya serius, Aqel. Saya akan bertanggungjawab atas kesilapan saya. Walaupun saya tak sengaja langgar awak, tapi semua tu salah saya juga” tegasku serius.
“Awak sangat baik hati” puji Aqel.
“Organ apa yang rosak?” soalku mengulangi pertanyaan tadi. Aqel tersengih.
“Jantung, paru – paru, punci kencing. Paling parah hati saya” tutur Aqel tenang saja.
“Ya Allah....Ampunkan dosa saya, Aqel” pintaku bersedia menerima hukuman. Aqel tersengih panjang.
“Penuhi hasrat keluarga kita” tutur Aqel. Aku terdiam. Terjerat dengan sumpahan sendiri. Yang pasti aku tidak tega membiarkah Aqel melalui saat – saat sukar ini sendirian.
“Janji saya dulu akan menjaga awak seumur hidup saya, bukan menjadi isteri awak” jelasku. Aqel tersengih lagi.
“Awak mahu bersama saya seumur hidup awak tanpa sebarang ikatan? Tak elok setiap detik awak bersama saya tanpa ikatan” tutur Aqel. Aku diam lagi. Bicara Aqel memang ada logiknya.
“Awak tak menyesal menikahi perempuan yang awak tak cintai?” soalku.
“Awak juga akan hidup bersama lelaki yang tak awak cintai” sahut Aqel membalas bicaraku. Aku terdiam. Demi menebus segala kesalahanku kepada Aqel, aku akan sanggup melalui semua itu. Barangkali inilah jalan penyelesaian hubunganku dengan Haqem yang Allah tunjukkan kepadaku. Terima semua ini sebagai suratan hidupku dengan penuh redha. Tiba – tiba saja Aqel tergelak memecah kesepian ini.
“Mengapa dengan awak ni?” soalku hairan.
“Tak usah jadi isteri saya jika awak berat hati” tutur Aqel. Terkebil – kebil aku menatap Aqel yang tiba – tiba saja berubah hati.
“Saya akan hidup lama untuk pastikan awak tak disakiti” tutur Aqel menyentuh hatiku.
Betapa aku tersentuh mendengar bicara Aqel ini. Sebak dan terharu. Semangat Aqel memang sentiasa mahu melindungiku. Ikatan ukhwah begitu mendalam dalam diri Aqel. Bertuahnya mak memiliki anak saudara persis diri Aqel yang sentiasa mahu menjaga ahli keluarganya.
“Saya akan menjaga awak seumur hidup awak. Saya dah bersedia jadi isteri awak” ujarku sambil menatap Aqel. Aqel tergamam. Barangkali tidak menyangka dalam masa yang singkat ini aku telah membuat keputusan muktamad. Keputusan yang bakal merubah hidupku.
Aku terus saja mengeluarkan telefon bimbitku dari saku beg galas ini. Laju aku menekan nombor telefon rumah. Aqel di depanku sekadar memerhatikan gelagatku.
“Assalamualaikum.... mak. Lia dah bersedia jadi isteri Aqel. Mak tolong maklumkan perkara ini pada Mak Long. Biarlah majlis ni dibuat secepat mungkin” ujar serius meminta majlis pernikahan ini segera dilangsungkan. Aku mendengar suara riang mak memanjat kesyukuran. Berita yang paling menggembirakan mak. Betapa terharunya hatiku mendengar suara keriangan mak.
“Flora, awak serius ke?” soal Aqel seakan tidak yakin dengan keputusanku. Aku mengangguk. Inilah keputusan muktamadku. Aku telah berikrar akan menjaga Aqel sebaik – baik mungkin. Aku mahu sepanjang hayatku berada di sisi Aqel demi menebus kekhilafan diriku padanya. Tiba – tiba saja wajah sugul Haqem terbayang di ruang mataku. Hatiku terusik. Sayup – sayup aku mendengar suara raungan tangisan hatiku. Pilu dan hiba.



“Haqem, hari ni saya nak habiskan masa bersama awak. Boleh ke?” soalku. Haqem tersenyum meleret sampai ke telinga. Gembira sungguh hatinya. Laju saja Haqem mengangguk.
“Nak pergi mana?” soalnya ceria.
“Jalan – jalan” tuturku. Haqem tersenyum lagi.
“Jalan – jalan saja ke? Tak de makan – makan?” soalnya mengusikku.
“Mestilah ada. Nanti saya belanja awak makan” sahutku berjanji. Haqem terus – terusan mengukir senyuman di bibirnya.
“Marilah kita habiskan masa bersama sekarang” ajak Haqem tidak mahu melengahkan masa. Aku mengangguk.Sudah dirancang aku ambil cuti hari ini dan sudah datang berkunjung ke pejabat Haqem, memang niatku mahu terus mengajak Haqem keluar. Biarlah Haqem ponteng kerja setengah hari. Selepas ini aku dan Haqem tidak akan berpeluang meluangkan masa bersama – sama lagi.
Destinasi pertamaku dan Haqem, singgah di Kedai Buku Saujana. Kedai buku yang yang sering kami kunjungi bersama. Di sini aku dan Haqem terpikat pada beberapa buah buku. Lantas aku dan Haqem membuat keputusan untuk bertukar – tukar buku sebagai hadiah. Novel yang Haqem hadiahkan ini akan menjadi kenangan yang terpahat dalam sanubariku. Menghabiskan masa kira – kira sejam di Kedai Buku Saujana, aku dan Haqem melangkah pula ke pusat membeli belah. Berlegar – legar di ruangan pakaian lelaki dan perempuan.Tiada satupun yang menarik minatku walaupun Haqem menggesa mahu membelikan aku gaun hitam untuk makan malam. Rasanya gaun hitam itu tidak sesuai denganku. Terkedu juga aku tatkala Haqem menyatakan mahu melihat aku memakai gaun hitam itu ketika keluar makan malam denganku pada satu tarikh yang sangat istimewa. Aku tidak akan berkesempatan melakukan semua itu bersama Haqem.

Aku mengajak Haqem singgah di kedai aiskrim. Sibuk memilih aiskrim yang mahu dipesan. Kuserahkan sepenuhnya kepada Haqem untuk membuat pesanan. Ternyata Haqem tidak mengetahui aiskrim kegemaranku. Namun aku tetap menikmati aiskrim strawberi ini dengan gembiranya. Berusaha menghabiskan aiskrim ini walaupun tidak menyukainya. Sesungguhnya, aku ahu menghargai apa yang Haqem lakukan untukku.
“Awak suka aiskrim apa?” soal Haqem tiba – tiba. Barangkali melihat betapa perlahannya aku hendak menghabiskan aiskrim strawberi ini. Aku dan Haqem berpandangan. Berat saja hatiku hendak mengatakannya. Sebaliknya Haqem memang mahu mengetahuinya.
“Vanila...” ujarku perlahan.
“Oh... saya silap orderlah ni” rungut Haqem kesal. Aku senyum.
“Biar saya order aiskrim vanila untuk awak” ujar Haqem mahu memesan aiskrim vanila pula. Aku menggeleng.
“Saya nak habiskan aiskrim strawberi ni saja” ujarku menghalang Haqem.
“Jangan paksa diri kalau tak suka” ujar Haqem memperingatkan aku. Aku hanya senyum. Selalunya itulah yang akan aku lakukan. Sungguh aku sering tiada kesempatan untuk membuat pilihan. Senyap. Mungkin Haqem kesal tidak mengetahui aiskrim kegemaranku. 
“Aqel tahu aiskrim kegemaran awak?” soal Haqem sambil menatapku. Aku terdiam. Kupandang Haqem. Perlahan – lahan aku mengangguk.
“Selepas ni saya akan mengetahui apa yang awak suka dan apa yang awak tak suka” tutur Haqem bersungguh – sungguh. Kelu lidahku hendak membalas bicara Haqem. Perasaan bersalah menyelubungiku. Rasa tidak ralat lama – lama bersama Haqem. Terasa sangat membebankan. Aku terus mengeluarkan pen dari beg galasku bersama novel yang dihadiahkan Haqem kepadaku. Novel dan pen ini kuhulurkan kepada Haqem. Haqem terkebil – kebil menatapku.
“Awak tulis sesuatu untuk saya” pintaku sambil membuka halaman kosong untuk diisi oleh Haqem. Haqem tersenyum, lantas mencoret sesuatu.
“Awak sentiasa dalam ingatan saya” Aku membunyikan tulisan tangan Haqem itu. Tersentuh hatiku. Kalimah yang sangat bermakna kepadaku.
“Hey.... Macam tak sesuai je... rasa macam nak berpisah pula” ujar Haqem. Aku terdiam.
“Tulis lainlah....” Cepat saja aku menghalangnya. Novel ini terus kusimpan dalam beg galasku. Tiba – tiba saja Haqem menghulurkan buku yang kuhadiahkan padanya.
“Awak tulis sesuatu untuk saya pula” pinta Haqem mahu meniru permintaanku tadi. Aku tersenyum. Kucapai pen lalu mencoretkan sesuatu.
“Bersama awak adalah memori terindah saya” suara Haqem membunyikan ayat yang kutulis.
“Saya tak nak jadi memori awak. Saya nak bersama awak sepanjang hayat saya. Awak tulis semula” pinta Haqem. Kututup buku ini tanpa mengendahkan bicara Haqem. Kuletakkan buku ini di tangan Haqem.
“Setiap kali rindukan saya, awak tengok buku ini. Setiap kali awak teringat pada saya, awak tengok juga buku ni” pesanku memaksa diri tersenyum. Cuba menyembunyikan perasaan sebakku. Laju saja tanganku menceduk aiskrim strawberi ini lalu melontar ke dalam mulutku.
“Emm..... sedap aiskrim ni” ujarku menikmati kembali aiskrim strawberi ini.
“Aiskrim adalah penawar mujarab tika hati bersedih dan berduka” ujarku.
“Awak mesti ingat perkara ni” ujarku memberi peringatan kepada Haqem. Haqem mengangguk dan tersenyum.
“Dah semestinya saya akan ingat. Semua yang awak perkatakan dan semua tentang awak, saya akan simpan dalam kotak memori ingatan saya” sahut Haqem menambah rawan hatiku. Aku terdiam dan tertunduk. Bagaikan sudah kehilangan kekuatan diri hendak berhadapan dengan Haqem.
“Haqem, mari kita balik....” ajakku lalu bangkit dari dudukku. Haqem nampak terkebil – kebil dengan tindakan mengejutku ini. Namun laju saja langkahnya mengekoriku. Langkahku pantas menghala ke muka pintu di depan sana. Tinggal beberapa langkah melewati pintu itu, langkahku terhenti. Begitu juga dengan Haqem. Kupandang wajah Haqem sedalamnya.
“Mengapa Lia?” soal Haqem kehairanan.
“Haqem.... saya sayangkan awak sebab itu saya tak nak awak jadi anak derhaka” tuturku perlahan. Haqem tersenyum.
“Saya juga sayangkan awak” balas Haqem tersenyum lebar. Aku menarik nafas dalam – dalam. Hatiku bergetar. Sungguh aku rasa terbeban saat ini.
“Maafkan saya, Haqem. Setakat ini saja hubungan kita. Saya akan jadi isteri Aqel” tuturku perlahan. Haqem tergamam dan terpaku.
“Lia.....” Perlahan – lahan namaku meniti di bibirnya.
“Maafkan saya sebab tak mampu membahagiakan awak walau hanya sedetik. Selepas ni, saya tak boleh jumpa awak lagi tanpa keizinan Aqel. Saya harap awak akan hidup dengan baik” pesanku. Haqem membisu seribu bahasa. Hatiku terpukul menatap anak mata Haqem berkaca – kaca. Ada air mata lelaki yang cuba ditahan dari gugur ke pipinya. Air mataku menitis ke pipi. Pantas saja tanganku menyapunya. 
“Selamat tinggal, Haqem” ujarku mengulangi peristiwa duka tiga tahun lalu. Namun sedikit berbeza cerekanya. Kali ini aku yang meninggalkan Haqem yang terpaku memerhatikan langkah longlaiku ke muka pintu membawa diri bersama kelukaan yang paling dalam.


“Aqel Indra Putra bin Abdullah Ho, aku nikahkan dikau dengan Nur Dahlia binti Sallehudin dengan mas kahwin sebanyak RM 1000, tunai” suara Tok Kadi berkumandang.
“Aku terima nikahnya Nur Dahlia binti Sallehudin dengan mas kahwin sebanyak RM 1000, tunai...” suara Aqel begitu tenang menyambut lafaz ijab kabul Tok Kadi. Maka rasmilah ikatan janji, izin berwali, ijab bersaksi antara dua hati. Syahdu aku mendengarkannya. Air mataku menitis tanpa dapat ditahan – tahan lagi.
“Sah.... sah...sah....” sahut suara saksi – saksi. Hanya sekali lafaz saja aku telah sah menjadi isteri Aqel. Mak dan Mak Long berpelukan sambil tersenyum bahagia. Nana, Reka dan Marnie turut tersenyum.  Hanya Izeq yang nampak bersahaja. Aku terus saja mengucup tangan Aqel. Terasa hangat tatkala kucupan Aqel singgah di dahiku. Aqel menyarungkan cincin berlian yang terpahat namanya ke jariku. Lalu aku membalasnya dengan menyarungkan cincin suasa yang tertulis namaku ke jari Aqel. Kini rasmilah ikatan suami isteri antara aku dengan Aqel. Semua ini berlaku dengan pantas. Sekelip mata saja aku telah bergelar isteri Aqel. Bagaikan aku sedang bermimpi.

“Aqel saya belum bersedia lagi untuk malam ini” tuturku perlahan. Aqel menatapku. Dia tiba – tiba saja tergelak besar.
“Tidurlah saya tak akan rogol awak” tutur Aqel bersahaja. Terasa membahang wajahku. Aku terus saja berbaring di sebelah Aqel namun bantal peluk ini menjadi sempadan pemisah kami. Kuletakkan bantal di mukaku. Bersembunyi dari pandangan mata Aqel. Kalaulah Aqel  langsung tidak terfikir akan perkara itu nampak sangat aku yang sedang memikirkannya. Malunya kepada Aqel. Dia mesti sedang mentertawakan aku sekarang. Kupejamkan mataku rapat – rapat tidak sanggup membayangkan semua itu.

Aqel tersenyum sendiri sambil melirik ke arah gadis itu. Hakikatnya tidur sekatil dengan gadis ini cukup mendebarkan hati lelakinya. Namun dia tidak mahu terburu – buru mahupun mendesak gadis itu memenuhi tuntutan naluri seorang suami. Dia tidak akan bahagia bertindak begitu. Gadis ini juga akan terseksa.

“Flora.... saya akan tunggu sehingga awak telah bersedia menyerah diri seikhlasnya pada saya. Hati bertenanglah..... bersabarlah” bisik hati kecil Aqel lalu memejamkan mata serapatnya. 


3 comments:

  1. Best.... #^_^
    Akhirnya flora dan aqel berkahwin jugak....

    ReplyDelete
  2. akhir berkahwin flora & aqel ,best nak lagi.

    ReplyDelete
  3. Akhirnya aqel dan flora...harap mereka bahagia..

    ReplyDelete