Monday 6 February 2012

NamaKu Bukan Flora! 22


BAB 22

Aku menggeliat beberapa kali. Rasa malas sangat hendak bangun. Hari ini langsung aku tidak bersemangat hendak menjejakkan kaki ke KDUT. Banyak sangat wajah – wajah yang melemahkan semangatku untuk berada di situ. Wajah Haqem dan Aqel silih berganti mendatangiku. Kemudian menyusul pula wajah Rania. Aku melepaskan keluhan beratku tatkala mengingati kegilaan gadis itu terhadap Aqel. Dia sanggup menjadikan aku musuh gara – gara salah fahamnya yang melihat aku sebagai pesaingnya. Aqel pun satu suka sangat menyibuk hal aku. Sebenarnya bukan salah dia sepenuhnya. Mak pun terbabit sama dalam hal ini. Dialah yang beria – ia sangat menyuruh Aqel sentiasa menjagaku. Sudah banyak kali aku menyatakan kepada mak aku tidak perlukan pengawasan Aqel. Aku sudah cukup dewasa untuk menjaga diri sendiri. Mak seakan tidak percaya akan kedewasaanku. Ketahuilah mak, anak gadis mak ini tidak akan memusnahkan hidupnya hanya kerana seorang lelaki. Sejarah lalu tidak akan berulang.
Kugagahi diriku mengangkat tubuhku dari terus berbaring di tilam ini. Terasa berat saja untukku bangkit lalu melangkah ke bilik air. Lama juga aku termenung merenung pancutan air sebelum membawa diriku berada di bawah simbahannya. Terketar – terketar aku tatkala pancutan air menyimbahi tubuhku. Usai mandi, aku berbaring kembali ke tilam dengan tuala yang masih membaluti kepalaku. Sengaja aku melambat – lambatkan masaku. Biarlah hari ini aku terlewat sampai ke pejabat.   

“Lia, kamu dah bangun ke?” keluar suara mak melaung dari tingkat
bawah. Aku bingkas bangun. Risau pula kalau mak tiba – tiba saja muncul di muka pintu. Nasib tidak baik percuma saja aku dimarahi oleh mak. Paling kurang pun mendengar khutbah pagi mak. 

“Lia!” suara mak berkumandang lagi.
“Ye mak, Lia dah bangun nie” sahutku sedikit melaung. Aku cepat – cepat menyiapkan diri. Sebelum mak melangkah masuk ke sini baik aku yang mendahului mak bagi menyelamatkan diri daripada kemarahannya. Aku yakin mak akan bising – bising kalau aku lambat bergerak ke tempat kerja. Banyak sebabnya dan semua yang mak bicarakan ada logiknya. Aku menghadap sarapan yang mak sediakan. Nasi goreng dan kuih karipap berserta air milo susu panas membuatkan aku tidak sabar – sabar untuk merasanya. Aku meneguk air milo susu perlahan – lahan.   

“Suruh Aqel datang rumah nanti” ujar mak mengarahkan aku menyampaikan pesanannya kepada anak buah tunggalnya itu.

“Rasanya Lia tak jumpa dia hari nie. Mak call saja ler dia” sahutku. Mak berpaling. Dipandangnya wajahku.

“Kamu nak pergi mana? Kan kamu dan Aqel kerja sebumbung, macam mana pula tak boleh jumpa” bidas mak mempersoalkan bicaraku. Aku terdiam. Sejujurnya memang aku tidak mahu bertembung dengan Aqel hari ini. Inikan pula hendak datang mencari dia semata – mata untuk menyampaikan pesanan mak. Hey, tidak sanggup aku!

“Malas ler Lia nak jumpa dia. Mak call saja ler Aqel nanti” ujarku berterus terang. Daripada aku bertemu dengan pemuda itu lebih baik aku berterus terang saja pada mak. Jadi tidak payahlah mak berharap sangat padaku.

“Kenapa kamu tak nak jumpa Aqel?” soal mak lagi. Aku mengeluh kecil. Banyak soal pula mak ini.

“Susah mahu jumpa dia tu” balasku samar – samar.

“Kamu pergi ler pejabat dia. Tak susah manapun” balas mak masih mahu khidmatku. Tidak sukalah aku dipaksa – paksa begini. Aku diam.

“Kamu tak nak kerja ke hari nie?” soal mak mula sangsi.

“Kerja” balasku malas.

“Habis tu kamu tak boleh jumpa Aqel tu, kenapa?” soal mak cuba menyiasat. Aku mengeluh. Bingkas aku menghabiskan suapan terakhirku. Lantas bangkit dari dudukku lalu ke sinki membasuh pinggan dan cawan. Mak sekadar memerhatikan gelagatku. Pinggan dan cawan yang sudah bersih kuletak di tempat pengeringan. Kutatap wajaha mak.

“Lia, minta maaf ler mak. Lia betul – betul malas nak jumpa Aqel tu. Nanti mak call ler sendiri Aqel ye. Please.....” rayuku memohon pertimbangan mak. Mak mengeluh dan geleng kepala.

“Ntah apa hal kamu takut sangat dengan Aqel tu. Nie mesti kamu ada buat salah nie” ujar mak ragu – ragu. Aku menelan liur.

“Lia tak takut Aqel tapi Lia tak mahu girlfriend dia serang Lia lagi” tingkahku meluahkan perkara yang terbuku di hatiku.

“Apa? Girlfriend dia serang Lia? Bila?” bertalu – talu persoalan yang keluar dari mulut mak. Mak nampak terkejut mendengar kenyataanku itu. Pertanyaan mak tidak kujawab.

“Aqel dah ada girlfriend rupanya” tutur mak perlahan bagai orang patah hati. Pasti pelamin angan – angan mak musnah sekarang. He...he....he...

“Cukup ramai” balasku memperkukuhkan hujahku.

“Yeler budak tu lawa mesti ler ramai yang berkenan” sahut mak menyokong membuatkan aku mencebik bibir. Tidak boleh puji sikit, mak sudah puji lebih – lebih. Sempat juga mak menumpang rasa bangga.

“Kempunan ler mak nak bermenantukan pemuda Korea” ujarku mengusik mak. Mak menjelingku. Aku terus saja tergelak.

“Selagi Aqel tu belum jadi suami orang selagi tu mak peluang mak nak bermenantukan dia masih terbuka luas” ujar mak mematahkan bicaraku sekaligus membuatkan aku ternganga mendengarnya. Tidak tahu pula mak senekad itu. Entah anak gadisnya yang mana pula hendak disorongkannya pada Mak Long ini. Kalau aku, awal – awal aku sembah ampun pada mak. Tidak sanggup aku hendak menjadi teman hidup Aqel sepanjang hayat ini.

“Kalau macam tu, mak cepat – cepat ler cari ayah baru untuk Lia dan Aziq. Kemudian lahirkan baby girl. Lepas tu baru ler mak boleh kahwinkan adik baru tu dengan Aqel” cadangku sekaligus memberikan amaran kepada mak agar tidak mengaitkan aku dengan impiannya itu.

“Merepek ler kamu nie, Lia” rungut mak dengan wajah berkerut. Aku terus saja tertawa. Suka menyakat mak awal – awal pagi ini. Kalau betul mak mahu menjadikan Aqel menantunya, hanya itu sajalah satu – satunya cara yang mak ada. Betulkah aku akan tega membiarkan saja adikku menjadi suri hidup Aqel lelaki yang tiada kesetiaan dalam hubungan? Tidak mahukah aku melindunginya sedangkan aku tahu Aqel bakal menduakan dirinya? Aku geleng – geleng kepala. Tidak sekejam itu aku akan membiarkan Aqel memusnahkan kebahagiaan adikku itu. Pasti aku akan memaklumkan kepada mak betapa Aqel sebenarnya tidak layak untuk menjadi suami sesiapa saja selagi dia tidak belajar menjadi setia. Jauh sekali untuk menjadi adik iparku sedangkan menjadi sepupunya sudah cukup menyusahkan aku.

“Kamu belum nak gerak lagi ke? Nanti terlewat pula nak sampai di tempat kerja” suara mak menyedarkanku.

“Ye mak, Lia pergi dulu” sahutku bergegas ke muka pintu. Mak geleng – geleng kepala sambil menyoroti pandangan ke arahku.  

“Jangan lupa call Aqel nanti tau” ujarku mengingatkan mak sekaligus memberitahu kepadanya yang aku tidak akan berhubung dengan Aqel sama ada melalui udara mahupun secara bertentang mata. Cepat – cepat aku melarikan diri dari pandangan mak. Tidak mahu berlaku tawar menawar antara aku dengan mak. Selepas ini terpulanglah kepada mak untuk menghubungi lelaki itu ataupun sebaliknya. Yang pasti aku sudah tidak terbabit sama dalam hal ini.

Dalam aku berwaspada menunggang motor cabuk kesayanganku ini, sempat juga aku berfikir – fikir. Memang aku tiada keinginan walaupun sedikit untuk muncul di KDUT. Tiba di simpang jalan, aku terus membelok ke kanan bertentangan dengan arah yang sepatutnya aku tuju. Aku sudah membuat keputusan tidak akan memunculkan diri di KDUT pada pagi ini. Aku meletakkan motorku di ruang parking kebiasaanku. Sudah sekian lama juga aku meninggalkan tempat ini kosong. Kereta Pesona Nana sudah ada di parking. Nana memang tidak pernah datang lewat. Dia begitu berdisiplin dengan masa. Apatah lagi dalam situasi hubungan Puan Rosie dengan Encik Mukhtahir berantakan sekarang, komitmen Nana memang diperlukan sangat – sangat.   

Aku melangkah masuk dan melewati pintu utama tanpa disedari oleh teman – teman yang lain. Kebetulan pula semua orang belum sampai lagi. Aku mengetuk daun pintu. Senyap. Tiada kedengaran suara Nana. Aku terus saja menolak daun pintu lalu meninjau – ninjau ke dalam mencari kelibat Nana. Nana tidak berada di bilik ini sekarang. Aku terus saja melangkah masuk. Rasanya tidak menjadi kesalahan untukku berada di bilik ini memandangkan aku juga penghuni bilik ini. Aku terus saja melabuhkan punggung di kerusi lalu meletakkan beg galasku di atas meja. Kukeluarkan laktop dan terus memulakan tugasku. Sekurang – kurangnya aku melakukan kerjaku biarpun jasadku tidak berada di KDUT. Maka tidak bolehlah aku dituduh makan gaji buta.

“Hey, apa kau buat kat sini!”suara Nana yang bernada terkejut singgah di telingaku. Aku mengalih pandanganku dari skrin laktop ke wajah Nana.

“Tengah buat kerja ler. Mustahil kau tak nampak” sahutku bersahaja.

“Aku tahu ler kau buat kerja. Maksud aku kenapa kau ada kat sini sekarang? Kau tak kerja kat KDUT lagi ke?” soal Nana kehairanan. Laju saja aku mengangguk. Pandai – pandai aku buat keputusan sendiri.

“Dah tamat kontrak” ujarku. Nana terus saja mendekatiku. Sempat juga dia memandang paparan di skrin laktopku.

“Kata dah tamat kontrak tapi masih juga buat kerja – kerja di KDUT. Kau nie biar betul Lia. Jangan – jangan kau melarikan diri lagi” serkap jarang Nana mencurigai tindakanku. Aku tersengih dan menulikan telinga. Nana terus saja duduk di kerusinya. Pandangannya masih tidak beralih dariku.

“Buat ler kerja kau sekarang tak payah perhatikan aku” arahku tanpa sempat menatap wajah Nana. Dia mendengus geram. Aku hanya tersenyum sendiri. Pasti fikiran Nana sedang berserabut sekarang memikirkan kewujudanku di CNFL ini.

“Kau belum cerita apa – apa kat aku pasal semalam” ujar Nana mengungkit kejadian semalam. Senyap. Seketika aku dan Nana saling berpandangan. Aku berfikir cuba mencari kata – kata terbaik yang boleh aku bicarakan pada Nana.

“Dalam situasi sekarang kasihan juga aku tengok kau yang menanggung banyak bebanan. Aku nak tolong kau kat sini” ujarku memberi alasan. Nana mengeluh. Bicaraku tidak memuaskan hatinya.

“Kau ingat aku akan bercaya cakap kau tu” ujar Nana menolak mentah – mentah bicaraku.  

“Kau tak caya aku nak tolong kau?” soalku semula. Aku menarik muka masam. Buat – buat merajuk. Harapanku Nana akan melupakan saja  pertanyaannya tadi. Aku tidak ingin memberi penjelasan pada Nana tentang perkara semalam.

“Aku tak caya kau datang sini semata – mata nak tolong aku. Kau ada masalah ke dengan KDUT?” soal Nana melempiaskan curiganya. Perlahan – lahan aku mengeluh. Bagaikan aku tidak boleh melepaskan diri dari Nana lagi.

“Aku malas nak jumpa Haqem, Aqel dan Rania. Mereka tu monster yang berwajahkan manusia” tuturku lambat – lambat. Nana terus saja ketawa. Aku menarik muka masam. Tidak suka Nana menjadikan bicaraku satu bahan lawak buatnya. Aku serius.

“Rania? Siapa pula tu?” soal Nana ingin tahu.

“Manusia yang kuat cemburu” sahutku.

“Siapa Rania? Dia cemburu pada siapa? Cemburu pada kau?” bertalu – talu persoalan keluar dari mulut Nana. Sesuatu yang sudah aku jangkakan. Aku tahu Nana akan menghujuni aku dengan persoalannya.

“Rania kekasih Aqel si buaya darat tu. Dia cemburu kat aku sebab
pernah nampak Aqel ada bersamaku. Sebenarnya dia tak tahu pun aku dan Aqel adalah sepupu sebab tu dia pernah warning aku” jawabku lengkap. Besar anak mata Nana menatapku.

“Teruknya!” Keluh Nana bagaikan tidak percaya seorang gadis akan bertindak sedemikian kepada kaum sejenisnya hanya kerana seorang lelaki. Aku mengangguk. Lalu aku ceritakan kejadian yang menimpaku semalam yang berpunca daripada tindakan Rania. Maka terjawablah segala persoalan yang bermain di kepala Nana. Selepas ini Nana akan faham mengapa aku berada di CNFL sekarang.

 “Kau cakap ler kat perempuan tu yang kau nie sepupu Aqel. Mesti dia malu dan akan layan kau dengan baik selepas nie” ujar Nana memberi cadangan.

“Kalau boleh aku tak nak beritahu sesiapa kat situ yang Aqel tu sepupu aku” luahku. Tiada keuntungan untuk aku mencanang bahawa Aqel ialah anak saudara arwah ayahku. Sebaliknya aku merasakan lebih banyak masalah bakal menimpaku jika kenyataan ini diketahui oleh warga KDUT. Setahuku setakat ini Marnie dan Reka saja yang tahu bahawa aku dan Aqel bersaudara. Aku telah pun menuntut janji mereka agar merahsiakan perkara ini.

“Kenapa? Kau takut orang tak percaya yang kau dan Aqel bersaudara? Aqel kan handsome dan bos KDUT, mesti kau risau kalau orang  mengata yang kau tumpang tuah Aqel” ujar Nana berandaian sendiri.

“100% andaian kau tu silap. Aku tak mahu orang tahu Aqel ialah sepupu aku sebab aku malu ada saudara yang jadi buaya darat macam dia tu” luahku menzahirkan isi hatiku yang tersirat.

 “Sebab Haqem, kau marahkan semua orang, Lia. Kau sedar tak nie?” soal Nana membuatkan aku terdiam. Nana menatapku.

“Minta maaf, Nana. Aku tak mahu cakap hal nie lagi” putusku sekaligus meminta Nana turut sama menoktahkan topik bicara kami ini. Nana terus saja diam. Sekarang aku dan Nana memberi tumpuan pada tugas masing – masing. Suasana sepi ini hanya berlanjutan beberapa minit apabila kedengaran nada dering telefon bimbitku. Nama Aqel tertera pada skrin telefon. Kupandang telefon bimbit yang sedang menjerit – jerit meminta diangkat itu. Aku sudah mengambil keputusan tidak akan menjawab panggilan itu. Senyap. Tidak sampai beberapa minit, telefon ini berbunyi lagi. Masih nama yang sama tertera pada skrin. Aku tetap dengan keputusanku membiarkan saja panggilan itu. Berdering lagi untuk kesekian kalinya. Aku tetap tidak mahu mengalah. Keputusanku adalah muktamad.

“Jawab ler panggilan tu” arah Nana. Barangkali dia terganggu dengan bunyi bising ini. Laju saja tanganku meletak telefon ini pada mode senyap. Nana geleng kepala melihat tindakanku. Kelihatan skrin telefon bimbit ini masih menyala – nyala. Genap sepuluh kali panggilan tidak dijawab, akhirnya Aqel mengalah juga.
“Sampai bila kau nak larikan diri? Kalau betul kau dah takde perasaan pada Haqem kau takkan bertindak begini, Lia” tegur Nana. Belum sempat aku menyahut bicara Nana, skrin telefon bimbitku menyala lagi. Kali ini Marnie yang menghubungiku. Aku berfikir seketika. Perlukah aku menjawab panggilan ini atau membiarkan saja? Jarang benar Marnie menelefon aku kalau bukan perkara mustahak. Selalunya dia hanya akan sms aku. Laju saja tanganku menekan butang panggilan diterima lalu mendakapnya ke telinga.

“Assalamualaikum Mar....” sapaku perlahan.

“Awak kat mana sekarang? Kenapa belum sampai – sampai lagi nie?”
Salamku tidak sempat dijawab oleh Marnie. Suara Marnie kedengaran cemas.

“Saya kat CNFL” jawabku memaklumkan kedudukanku tika ini.

“Oh my God, Lia. Kenapa ler awak pergi sana hari nie. Semua orang dah lama tunggu awak. Awak tak tahu ke ada penggambaran usahasama dengan pihak luar hari nie? Bos orang puteh tu dah marahkan Aqel dan Haqem sebab masa penggambaran yang sepatutnya dah bermula terbuang begitu saja” jelas Marnie panjang lebar dengan suara yang tegang. Aku tergamam. Sungguh aku tidak mengetahui perkara ini. Rasa bersalah menerpaku.

“Saya datang sekarang” ujarku lalu mematikan panggilan itu. Aku bergegas mengemas barang – barangku ke dalam beg galasku. Tidak kupedulikan pandangan hairan Nana padaku.

“Saya pergi dulu” ujarku berlari anak ke muka pintu.

“Kau nak pergi mana? Apa halnya?” laung Nana bertanya. Malangnya aku tidak sempat menjawab pertanyaan itu. Aku berlari ke parking. Terus saja aku menunggang motorku sepantas yang mampu. Lupa seketika tentang keselamatan diri. Aku harus segera berada di KDUT. Tiba – tiba wajah Rania menjelma di ruang mataku. Kenapa dia tidak memaklumkan kepadaku perkara ini? Sepatutnya seminggu lebih awal dia sudah menghantar senarai kostum yang diperlukan untuk slot penggambaran itu. Setahuku hanya semalam Rania muncul di depanku ketika berada di Kafeteria Chantek Ria. Itupun dengan tujuan jahatnya. Pasti Rania sengaja menimbul musibah kepadaku.    

Sebaik saja kakiku memijak lantai marmar KDUT, aku terus berlari ke bilik studio yang menjadi lokasi penggambaran. Tiada sesiapa yang berada di sini lagi. Kelihatan beberapa peralatan penggambaran yang ditinggalkan. Krew – krew produksi serta model – model mahupun pelakon – pelokon sudah meninggalkan studio ini. Sekarang aku sudah menimbulkan satu masalah besar. Tiada apa yang mampu aku lakukan lagi. Aku melangkah longlai ke muka pintu. Kutinggalkan studio ini dengan perasaan kecewa. Betapa terasa segunung kesalahan yang terpaksa aku tanggung. Bertimpa – timpa nasib malang mendatangiku.

Langkahku kian lemah. Aku terus saja melabuhkan punggungku di kerusi. Aku tersandar dengan dibebani rasa bersalah. Fikiranku bercelaru dan berserabut. Bagaimana untuk aku berhadapan dengan Aqel dan Haqem setelah kejadian ini? Bagai akulah punca masalah ini. Aku terpaksa menanggung segala kesalahan ini. Rania, kenapa awak tidak memaklumkan kepadaku sejelasnya perkara ini? Adakah dia sengaja merencanakan semua ini untuk memusnahkan diriku? Oh, mengapalah aku tidak lebih berwaspada sedangkan gadis itu pernah mengingatkan aku untuk menyusahkan hidupku. Tiba – tiba saja daun pintu ditolak kasar. Muncul Aqel dengan wajah seriusnya. Bingkas aku bangun menyambut kedatangan Aqel ini.

“Awak pergi mana tadi?” soal Aqel dengan suara yang tegang.

“Aqel saya minta maaf. Saya betul – betul tak tahu tentang perkara nie” luahku berterus terang dan mengharapkan pengertian dan pertimbangan lelaki ini. Sekurang – kurangnya Aqel mahupun Haqem akan bertindak lebih adil sebelum menjadikan aku pesalah yang harus menanggung kesalahan ini sepenuhnya. Aqel menatap wajahku dengan begitu serius.    

“Macam mana awak nak tahu sedangkan awak berada di CNFL sejak petang semalam” tegas Aqel dengan suaranya yang lantang. Aku terdiam. Bicara Aqel memang tepat.

“Apa nak jadi dengan awak nie, Flora. Awak dah heret sama syarikat nie dalam masalah awak. Awak langsung tak profesional, tak tahu nak bezakan hal peribadi dengan hal kerja” keluh Aqel kecewa.

“Maafkan saya Aqel” pintaku lagi turut sama menyesali kejadian ini.

“Maaf tu tak cukup untuk menyelesaikan masalah nie” keluh Aqel.

“Awak nak saya buat apa? Ganti rugi yang terpaksa syarikat awak tanggung? Atau awak nak saya letak jawatan sekarang?” soalku bertubi – tubi.

“Pertama kalinya, awak kena ubah sikap awak tu. Awak tak boleh terus hidup begini” tegas Aqel.

“Maksud awak?” soalku kurang faham akan bicaranya itu.

“Awak tak seharusnya membiarkan hidup awak selamanya dibelenggu dengan kenangan lalu. Kalau awak terus begini hidup awak akan musnah. Tidak mustahil awak akan terus hidup dalam kesedihan yang berpanjangan” ujar Aqel.

“Aqel....” Terasa begitu kejam saja bicara ini untuk aku terima.

“Saya tahu kejadian hari nie salah saya. Saya sanggup bertanggungjawab atas kecuaian saya nie. Namun awak tak berhak nak komen tentang kehidupan saya. Saya tahu nak atur perjalanan hidup saya. Sekalipun saya akan bersedih sepanjang hayat saya, itu bukan hal awak” tegasku.

“Saya tak boleh terus tengok awak jadi manusia yang tak bertanggungjawab. Awak akan menghancurkan orang yang berada di sekeliling awak termasuklah diri awak sendiri. Awak sanggup ke melihat keluarga awak terus bersedih melihat kegagalan awak untuk memulakan hidup baru? Awak nak jadi anak yang memberikan kesedihan sepanjang hayat mak awak?” tingkah Aqel dengan pandangan yang tajam menatapku. 


“Encik Aqel, sekarang kita bercakap tentang kejadian hari nie. Nampaknya awak sendiri yang mencampurkan hal peribadi saya dengan hal kerja” ujarku geram.

“Awak masih tak faham – faham lagi. Berpunca dari sikap awak nie ler kejadian ini berlaku. Sebab itu saya nak perjelaskan sikap awak itu agar awak faham betul – betul” bidas Aqel lebih lantang.

“Cukup! Saya tak nak dengar awak mengata tentang saya lagi. Saya tahu saya salah dalam hal nie, tetapi tak bermakna awak boleh cakap sesuka hati tentang diri saya. Saya juga ada maruah diri” ujarku terluka.

“Maruah?” Aqel mempersoalkannya lagi. Dia tersenyum sendiri.

“Ye maruah diri agar saya tidak dipersalahkan sepenuhnya sebelum diadili. Kalaupun hari nie saya datang awal dan berada di sini, saya pasti saya takkan menyediakan kostum – kostum yang diperlukan kerana saya tak pernah dimaklumkan perkara nie” luahku. Aqel menatapku.

“Awak lupa ler Cik Lia. Sebenarnya bulan lepas dah saya beritahu awak tentang hal nie” ada suara mencelah dari luar pintu yang sememangnya sudah terkuak. Pantas aku dan Aqel berpaling ke muka pintu. Rania muncul dengan senyuman mekar di bibir.

“Awak bohong dan sengaja mahu menganiaya sayakan” tingkahku.

“Tengok sekarang awak mempersalahkan saya pula. Saya ada buktinya Cik Lia” ujar Rania lantas mendekatiku.

“Mana buktinya?” soalku mencabarnya. Rania terus saja menerpa  meja di depanku. Lantas tangannya mencapai fail hitam itu lalu menyelaknya satu persatu. Tangannya terhenti. Fail yang terbuka diletakkan di depanku.

“Nie buktinya. Cuba awak tengok betul – betul” arahnya. Aku menatap helaian kertas itu. Sukar untuk aku percaya akan kewujudan memo peringatan ini. Setahuku aku tidak pernah melihatnya sebelum ini.

“Awak sengaja nak kenakan saya kan? Awak dah rancang semua nie” ujarku geram. Tidak semudahnya aku akan mempercayai perempuan licik seperti Rania. Aku tahu Rania yang melakukan semua ini dengan penuh terancang. Dia sengaja hendak mengenakan aku di depan Aqel.

“Ya Allah Cik Lia sampai macam tu sekali awak tuduh saya” ujar Rania dengan wajah sedih yang dibuat – buatnya. Pasti mahu menagih simpati Aqel.

“Saya tak pernah pun tengok memo nie. Sekarang dah tersimpan dalam fail nie. Semua nie mesti angkara awak kan” tegasku radang.

“Aqel, kenapa dengan Cik Lia nie?” Rania sudah mengadu kepada Aqel. Sengaja pula menayangkan wajah sedihnya kononnya dituduh yang bukan – bukan olehku. Pandai sungguh dia berlakon. Aku semakin geram dengan sikap talam dua muka Rania.

“Cukup Flora! Saya paling benci orang yang menyalahkan orang lain demi melindungi kesalahannya sendiri” tegas Aqel setelah seketika berdiam diri. Terguris hatiku dengan tuduhan yang Aqel lemparkan kepadaku. Aku nampak Rania tersenyum sendiri. Kemenangan sudah berpihak kepadanya. Memang dia mengimpikan Aqel akan menyebelahinya. Aku tersenyum kecewa. Sakit hatiku bertambah – tambah.

“Ye memang saya suka menyalahkan orang lain. Sebab itu saya rasa menyesal sangat bertemu dengan awak. Kalau saya tak pernah kenal awak hidup saya akan lebih mudah. Begitu juga kalau saya tak pernah kenal Haqem, pasti saya bahagia sekarang” ujarku lantang bagaikan mendapat suntikan semangat baru. Rania terpinga – pinga memandangku. Aqel menatapku serius. Dadaku berombak kencang. Rasa sakit hati menyucuk – nyucuk. Aku cuba menahan diriku dari menitiskan air mata ini. Kalau aku tidak mengenali Aqel, Rania tidak akan menjadikan aku musuhnya. Rania membenciku sebab Aqel.

“Kenapa dengan dia nie, Aqel?” keluh Rania lalu mendekati Aqel. Mungkin khuatir juga akan keselamatan dirinya kalau aku hilang sabar lantas menerkam ke arahnya.

“Tinggalkan saya sendirian di sini sekarang. Saya tak nak tengok muka kamu berdua” ujarku mengarahkan Aqel dan Rania beredar meninggalkan bilik ini. Rania mendengus.

“Memang dia nie bermasalah” tutur Rania memperliku.

“Jom kita pergi” Rania sudah menarik tangan Aqel untuk bergerak meninggalkan bilik ini. Aqel membiarkan saja Rania menarik tangannya. Lantas dia melangkah beriringan dengan Rania meninggalkan aku yang berada dalam api kemarahan. Sesungguhnya sikap Rania bisa membuatkan aku hilang pertimbangan. Aku tersandar di kerusi. Dadaku terasa sesak. Deruan nafasku begitu pantas. Kupejamkan mata. Perlahan – lahan terasa panas menuruni cerun pipiku. Akhirnya aku menangis teresak – esak di situ.

Aqel terus saja menyentap kasar tangannya dari pautan mesra tangan Rania. Rania tersentak dengan tindakan kasar Aqel itu. Langkah keduanya terhenti. Aqel menatap Rania dengan pandangan tajam.

“Apa niat awak melakukan semua nie?” soal Aqel kasar.

“Maksud awak?”

“Semalam saya masuk bilik Flora. Semua fail di atas meja tu saya dah semak. Saya tak nampak pun memo yang awak tinggalkan tu. Kenapa hari nie memo tu ada dalam fail tu?” soal Aqel curiga. Rania tersentak. Wajahnya terus saja pucat. Tidak dia menyangka akan terperangkap begitu mudah oleh Aqel sedangkan baru sebentar tadi dia meraikan kemenangannya.

 “Tak cukup ke apa yang awak buat selama nie pada dia? Kalau betul awak suka saya, awak sepatutnya tak mengulangi kesalahan awak semalam. Mulai hari nie, kalau awak nak rasa selamat di KDUT, hentikan perbuatan jahat awak tu. Seberapa banyak awak cuba menyakiti Flora, lebih banyak lagi keinginan saya untuk melindungi dirinya” tegas Aqel.

“Aqel....” Terluka hatinya mendengar bicara pemuda yang dicintainya sedemikian rupa.

“Ingat baik – baik apa yang saya katakan tadi. Saya betul – betul serius” ujar Aqel memberi peringatan. Rania terkedu dan kehilangan suara untuk terus berbicara. Aqel terus saja berlalu meninggalkannya.

“Tak semudahnya saya akan lepaskan awak, Aqel” ikrar hatinya sambil memandang langkah pemuda itu yang semakin jauh meninggalkannya. Rania menggigit bibirnya hingga berbekas.

5 comments:

  1. geramnye dkt rania...
    nasib baik aqel x tertipu dgn sikap rania...
    kesian dkt lia...
    cepat2 sambung...

    ReplyDelete
  2. kalau cemburu menguasai diri, hilang segala pertimbangan, maka seseorang itu akan bertindak kejam

    ReplyDelete
  3. Kerana cinta orang sanggup melakukan apa saja. Rania tak salah, Aqel x salah, lia x salah and Heqeem juga x salah, yang salah adalah bila terburu-buru membuat keputusan.

    ReplyDelete