BAB 14
“Kenapa fail – fail nie bertaburan kat lantai? Ada peperangan tercetus kat sini ke tadi?” dua soalan dilontarkan kepadaku untuk dijawab. Aku diam. Tanpa kuduga Aqel turut sama terbongkok – bongkok membantuku mengutip fail – fail yang berselerakan di lantai. Fail – fail ditangannya diletakkan di meja. Wajahku ditenung.
“Awak tengok saya macam ternampak hantu. Tak cukup handsome ke muka saya ni?” satu soalan lagi diajukan kepadaku. Aku menatap wajah pemuda dingin membeku ini. Tetiba saja hari ini dia jadi peramah. Musykil aku dengan perubahan sikapnya ini.
“Kali ini saya percaya dengan awak tapi kalau saya tengok awak bersama dengan dia lagi, sumpah saya takkan lepaskan awak” suara Rania yang memberi peringatan kepadaku kembali menerjah pendengaranku.
“Apa hal Encik Aqel datang sini?” soalku. Berkerut dahinya mendengar pertanyaanku itu. Memang tidak logik soalan itu ditanyakan kepadanya memandangkan syarikat ini adalah miliknya. Justeru, dia boleh pergi ke mana saja dia suka termasuklah berkunjung ke bilik ini.
“Saya tak boleh ke datang sini?” soalan seterusnya dikemukakan kepadaku lagi. Aku tersengih. Lantas saja kucapai fail – fail yang memenuhi meja ini lalu menyimpannya ke dalam kabinet kaca ini. Dia hanya memerhatikan tingkahlakuku.
“Apa yang saya perlu tolong Encik Aqel?” soalku formal. Aku tidak mahu pemuda ini lama – lama di sini. Peringatan yang keluar dari mulut Rania sentiasa saja berbisik ditelingaku. Risau kalau Rania dapat tahu Aqel berada di sini sekarang. Tidak mustahil Rania akan sentiasa mengawasi pergerakanku di sini. Begitu juga dengan pergerakan pemuda ini. Apatah lagi terasa janggal setiap pergerakanku jadi perhatiannya.
“Bawa dokumen – dokumen yang perlu saya signature” pintanya. Aku menatap wajah itu lagi. Cuba lebih memahami arahannya.
“Saya nak signature baucer bayaran dobi kepada CNFL” jelasnya lebih detail sekaligus menghentikan aku terus berfikir tentang arahannya tadi. Kucapai fail yang berkaitan baucer pembayaran.
“Aqel Indra Putra bin Abdullah” suara hatiku menyebut sebaris nama ini. Cukup indah nama ini. Tidak sangka rupanya pemilik nama ini adalah pemuda dingan membeku yang berada di depanku sekarang. Kuletakkan fail di depannya lalu menunjukkan ruangan yang perlu ditandatanganinya satu persatu.
“Cantik nama Encik Aqel” pujiku ikhlas. Langsung dia tidak terusik dengan pujian yang kuberikan. Wajahnya kembali dingin. Rasanya angin salji kembali bertiup ke arahnya membuatkan dirinya tetiba saja jadi dingin membeku.
“Awak sedang kutuk saya ke?” soalnya mengejutkan aku.
“Aa...apa?” soalku gagap. Tahu – tahu saja aku sedang cakap sesuatu tentang dirinya. Pen ditangan diletak ke tepi. Aqel bingkas bangun lalu melangkah ke pintu. Langsung wajahku tidak sempat ditatap olehnya. Bayangannya hilang di sebalik pintu. Aku menarik nafas lega. Mujur juga dia tidak meluangkan masa yang lama di sini.
Daun pintu diketuk lagi. Sedikit berdebar hatiku. Mungkinkah kunjungan Rania lagi? Mustahil pula gadis itu begitu bersopan kali ini. Terpancul wajah Marnie dengan senyuman lebar. Sedikit melegakan hatiku kerana yang datang bukan Rania. Jadi Perang Dunia ke-3 belum dilancarkan lagi. Selamat....selamat...!
“Busy ke?” sapanya lantas duduk di depanku. Aku geleng kepala. Hari ini ramai juga tetamu yang mengunjungiku. Selalunya aku asyik terkebil – kebil saja sendirian di bilik ini.
“Baru lepas busy” balasku tersenyum. Sibuk pun gara – gara tindakan ganas Rania. Gadis itu mengamuk tidak tentu pasal. Aku meletakkan fail terakhir di kabinet kaca lalu duduk di kerusi empuk menghadap Marnie. Sesuatu yang Marnie keluarkan dari sampul putih itu lalu diletakkan di atas meja di depanku.
“Kamu berdua memang pasangan ideal” puji Marnie. Belum sempat aku merenungnya, laju saja tanganku mencapai gambar – gambar itu lantas memasukkannya ke dalam laci. Siap sekali dikunci. Marnie terkebil – kebil melihat tingkahlaku spontanku yang begitu pantas berlaku.
“Awak tak nak tengok gambar awak dengan Encik Aqel tu?” soal Marnie meluahkan kehairanannya.
“Huusssh......” Kuletakkan telunjukku di bibir. Meminta dia mengawal suara agar tidak didengari oleh orang lain. Liar saja anak mata Marnie mengawasi sekeliling. Dia menatapku.
“Kenapa?” soalnya berbisik.
“Tak boleh bagi orang lain tengok” jelasku turut berbisik.
“Why?” Marnie menuntut penjelasan lanjut.
“Encik Aqel, saya tengok selamba saja biarkan gambar – gambar ni terletak di meja. Malah ramai juga yang tumpang sekaki melihatnya” tambah Marnie musykil dengan tingkahlaku.
“Cik Rania ada tengok?” soalan itu cepat saja keluar dari mulutku. Marnie berfikir – fikir seketika. Ditatapnya wajahku.
“Awak takut dia tengok gambar ni ke? Dia ada jumpa awak mengamuk tak tentu pasal?” bukan jawapan yang diberikan oleh Marnie sebaliknya soalan yang bertubi – tubi diajukan kepadaku. Aku terkejut mendengar pertanyaan Marnie itu. Bagaikan dia tahu – tahu saja perangai Rania sedemikian.
“Ni mesti Rania datang serang awak ni. Alah, tak payah ler awak pedulikan perangai dia tu! Dia memang macam tu pantang tengok orang dekat dengan Encik Aqel. Macam ler Encik Aqel tu milik dia” rungut Marnie geram. Aku hanya diam. Bicara yang keluar dari mulut Marnie bercanggah dengan pengakuan Rania.
“Bawa sini gambar – gambar tu. Saya belum puas tengok lagi” pinta Marnie. Aku geleng kepala. Peringatan Rania betul – betul berbekas dihatiku. Sama ada Aqel dan Rania ada hubungan, aku tidak peduli. Paling penting aku tidak mahu mencucuh api yang boleh menyala – nyalakan hati Rania. Tidak sanggup aku bergaduh dan bercakaran sesama kaum sejenis gara – gara seorang lelaki. Nauzubillah....!
“Awak pernah diserang Rania ke? Nanti saya cakap kat Encik Aqel” duga Marnie yang nampak bersungguh – sungguh sangat.
“Jangan!” tegahku tidak bersetuju.
“Awak takut sangat dengan gadis tu ke?” soalnya lagi.
“Saya bukan takut tapi tak mahu bising – bising pasal lelaki. Encik Aqel tu kekasih dia, memang patut pun Rania jaga lelaki tu” balasku.
“Ex – couple. Mereka hanya jadi pasangan kekasih di universiti je. Pastu takde hubungan apa – apa lagi. Encik Aqel yang tinggalkan dia” cerita Marnie buat aku terdiam panjang. Aqel telah tinggalkan Rania? Kasihan Rania.
Ternyata aku dan Rania senasib. Tiba – tiba saja aku rasa marah kepada Aqel. Pemuda ini serupa saja dengan Haqem. Kedua – duanya tidak tahu menghargai perempuan. Sewenangnya mereka mempermainkan perasaan insan yang mencintai mereka. Patutlah keduanya boleh menjadi sahabat akrab. Rupanya mereka spesies manusia yang sama. Ohh.... sakitnya hatiku! Wajahku sudah terasa membahang. Terasa menggelegak – ngelegak saja hatiku.
“Muka awak merah je tiba – tiba. Awak sakit ke?” soal Marnie lantas mendakapkan telapak tangannya ke dahiku. Sungguh aku tidak mampu menyembunyikan amukan perasaanku ini. Kalaulah Marnie boleh nampak dalamanku, pasti dia melihat kemarahan yang sedang marak dalam diriku tika ini.
“Awak betul – betul ke tak nak tengok gambar – gambar tu?”
“Tak sudi saya nak tengok” balasku radang. Terkebil – kebil saja biji mata Marnie menatapku yang sedang ditimpa peralihan emosi ini.
“Aik, awak marah?” Banyak soal pula perempuan ini. Aku hanya diam. Cuba menahan gelodak emosi yang berantakan.
“Kalau saya yang buat awak marah, sorry ler Lia” tutur suara Marnie cukup perlahan. Dia melirik ke wajahku.
“Saya tak marahkan awak tapi marah seseorang” luahku. Marnie menatapku. Tidak berani dia bertanya lebih lanjut.
“Kalau macam tu saya nak balik ler dulu. Saya datang balik bila dah emosi awak stabil” tutur Marnie bangkit dari duduknya lalu melangkah ke muka pintu. Kupandang Marnie dengan rasa serba salah. Telanjur pula mempamerkan
kemarahanku sehingga membuatkan dirinya tidak selesa berada di sini.
“Kalau awak jumpa gambar - gambar tu masih ada kat bilik Encik Aqel, tolong ambik dan serahkan kepada saya” pintaku kepada Marnie. Pantas saja Marnie berpaling kepadaku. Wajahku direnung. Mesti dia rasa pelik dengan sikapku ini.
“Ambik gambar - gambar awak dengan Encik Aqel? Kemudian serahkan gambar – gambar tu kat awak?” soal Marnie. Aku mengangguk.
“Awak boleh tolong saya?” giliranku pula bertanya. Marnie tersenyum dalam paksa. Dia garu – garu kepala. Serba tidak kena saja lagaknya.
“Sebagai perempuan awak mesti tolong saya perangi kaum Adam yang kejam ni. Kita tak boleh lepaskan lelaki buaya seperti mereka” nekadku bersungguh – sungguh. Terkebil – kebil biji mata Marnie sedang menatapku.
“Awak marahkan Encik Aqel ke?” soal Marnie kehairanan. Persoalan Marnie kuabaikan.
“Awak mesti dapatkan semula gambar – gambar tu” tegasku serius.
“Awak takut gambar tu dilihat oleh Rania ataupun awak tak mahu gambar tu disimpan oleh Encik Aqel?” soal Marnie yang tidak pernah habis dengan pertanyaannya. Aku mencebik bosan.
“Kedua – dua sekali” putusku. Memang aku tidak mahu Rania menatap gambar – gambar itu kerana akan menambah kelukaan hatinya. Dalam masa yang sama aku tidak mahu menjadi penyebab penyeksaan jiwa raga gadis itu. Seterusnya, aku tidak redha kalau gambar itu dijadikan bahan gosip kepadaku dan Aqel. Aku langsung tidak mahu dikaitkan dengan pemuda itu.
“Saya tak janji saya boleh tolong awak ambik balik gambar – gambar
tu. Kerja ni susah nak buat. Bilik Encik Aqel bukan boleh dimasuki sesuka hati” jelas Marnie tentang hakikat yang sememangnya kuketahui.
Logik juga alasan Marnie. Aku pernah sekali bertandang ke bilik pemuda itu. Kunjungan yang tidak dialu – alukan oleh warga KDUT. Bilik itu dijaga kemas dan rapi. Sudah cukup membuktikan bilik yang terlindung dan terpelihara privasinya. Encik Aqel juga tidak memiliki setiausaha yang khusus. Pemuda itu penuh dengan kemisteriannya.
“Tak pe biar saya sendiri yang minta gambar tu nanti kat dia” putusku buat Marnie menarik nafas lega. Terlepas dirinya dari dipertanggungjawabkan tugas berat yang membebankannya. Kedengaran telefon bimbitku berdering. Panggilan daripada mak.
“Assalamualaikum mak, apa hal?” soalku. Kedengaran suara mak begitu ceria. Pasti berita gembira yang bakal mak sampaikan sekejap lagi.
“Mak dah menerima jawapan dari Tabung Haji, terpilih permohonan mak dan Aziq untuk ke Tanah Suci” suara mak begitu ceria.
“Alhamdulillah mak...” aku turut marasakan kegembiraan mak. Kupanjat rasa kesyukuran. Rasa marahku sebentar tadi terus saja padam. Marnie yang masih berada di bilik ini asyik memerhatikanku. Pasti dia kehairanan melihat perubahan drastikku ini.
“Esok mak nak pergi Tabung Haji nak uruskan apa yang patut. Paling penting mak nak maklumkan penerimaan mak nak pergi Mekah kepada mereka” ujar mak girang dan tidak sabar - sabar.
“Saya boleh ambik cuti temankan mak pergi sana” ujarku teruja. Kedengaran tawa mak menyahut bicaraku. Mesti mak rasa bahagia dengan
keprihatianku.
“Hari ni pun Lia nak balik awal sikit” ujarku berjanji kepada mak.
“Bagus ler kalau macam tu. Boleh temankan mak beli barang untuk masak. Mak nak sedekah kat surau dan ajak Mak Long kamu datang makan kat rumah kita malam ni” ujar mak begitu teruja.
“Sejam lagi Lia balik. Mak tunggu Lia ye” pintaku lalu menamatkan saja perbualanku dengan mak. Marnie masih menatapku.
“Ceria saja wajah awak. Ada apa – apa yang menggembirakan ke?” soal Marnie. Aku senyum.
“Hari ni saya nak balik awal sikit. Esok saya ambik cuti nak temankan mak saya berurusan dengan pihak Tabung Haji” tuturku menjawab persoalannya.
“Mak awak nak pergi Mekah?” Aku mengangguk. Syukurlah impian mak hendak melaksanaka Rukun Islam ke-5 bersama Aziq bakal tertunai. Semoga segalanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul. Semoga juga mak dan Aziq sentiasa sihat sejahtera agar mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
“Cepat sangat mood awak berubah ye” komen Marnie tersengih. Aku mengangguk tidak menyangkal bicaranya.
“Saya balik dulu Lia, nanti tercari – cari pula Encik Haqem” Marnie meninggalkan aku bersama lambaikan tangan.
“Jangan lupa kita kena perangi Sang Buaya – Sang Buaya yang ada kat syarikat ni” tuturku memperingatkannya sekaligus membayangkan wajah Aqel dan Haqem saat ini.
Mereka itulah buaya darat yang bermaharajalela di sini. Wajah Marnie berkerut memikirkan bicaraku itu. Bayangan diri Marnie sudah hilang di sebalik pintu. Aku terus saja menelefon Encik Mukhtahir memohon kebenaran untuk balik lebih awal sekaligus memohon cuti untuk keesokannya. Kumaklumkan tentang keperluan permohonanku itu.
Syukur Encik Mukhtahir tanpa banyak soal memberikan keizinan sekaligus memberikan kelegaan kepadaku. Tanpa meninggalkan sebarang notis mahupun pesanan lisan berkaitan cutiku esok, aku terus saja melangkah meninggalkan bilik operasiku.
Di pertengahan jalan, di ruang legar bangunan ini, aku bertembung dengan Aqel. Aku hanya menatapnya sekilas melawan pandangan matanya yang singgah di wajahku. Langsung tiada sapaan, jauh sekali senyuman di bibirku untuknya. Begitu juga dengan dirinya.
Namun ekspresi wajahnya jelas menunjukkan ada persoalan yang sedang bermain di fikirannya. Aku tidak akan menjalinkan hubungan baik dengannya. Aqel tidak berhak dihormati. Saat ini aku sudah menobatkan dirinya sebagai musuhku yang harus aku perangi. Laju saja kakiku melangkah ke muka pintu utama.
“Alhamdulillah akhirnya tercapai juga hajat mak” tuturku tatkala kakiku melangkah masuk ke rumah dan bertembung dengan mak di ruang tamu. Kupeluk tubuh mak. Mak tersenyum lebar. Hatinya girang panjang.
Keesokannya, aku dan mak menguruskan segala – galanya. Mak perlu menyerahkan passport dan 2 keping gambar dan diberi buku kesihatan untuk pemeriksaan dan vaccination. Mak dan Aziq juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan kemudian keputusan pemeriksaan ini perlu dimaklumkan kepada pihak Tabung Haji.
Daripada penerangan pegawai Tabung Haji ini, aku dapat tahu nama pemohon yang terpilih akan didaftarkan oleh Syarikat Pengelola Jamaah Haji (PJH) di dalam sistem komputer Tabung Haji. Tertakluk pula kepada kouta PJH itu. Seterusnya, pihak Tabung Haji akan menentukan nombor KT dan tarikh penerbangan serta waktu melapor diri ke Tabung Haji Permai Muhibbah untuk berangkat. Semua proses ini direkodkan dalam sistem komputer Tabung Haji. Banyak juga perkara yang perlu diuruskan.
Aku menghumbankan tubuhku ke tilam. Rasa letih sangat setelah sepanjang hari menemani mak menguruskan perkara – perkara yang perlu sebelum keberangkatannya ke Tanah Suci Mekah. Petangnya aku kembali sibuk membantu mak di dapur menyediakan bahan – bahan masakan. Hari ini banyak yang mak masak untuk disedekahkan di surau. Mak juga tidak lupa menjemput Mak Long dan anaknya makan bersama – sama kami malam ini.
Hampir – hampir solat Isyak selesai, barulah aku menghantar makanan tapau yang dimasak oleh mak untuk disedekah kepada jemaah surau. Kebetulan pula aku cuti solat hari ini jadi aku ada masa tadi untuk berlengah - lengah. Usai melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh mak, aku kembali ke rumah. Tatkala aku sampai di halaman rumah, kereta Mak Long sudah berada di situ. Bergegas aku masuk ke rumah memandangkan sudah terlewat. Risau mak dan Mak Long menungguku lama untuk menikmati hidangan makan malam.
“Assalamualaikum.....” Aku melangkah masuk. Kedengaran suara yang menyahut salamku dari dapur. Semuanya sudah berada di meja makan menungguku untuk sama – sama menikmati hidangan makan malam.
“Lia, mari makan dah lapar ni” ajak mak.
“Kejap Lia datang” sahutku seraya melangkah ke ruangan makan.
Tatkala aku berada di ambang pintu............
“Awak!” Aku tersentak menatap seraut wajah yang sedang memandangku tika ini. Wajah itu seperti kebiasaannya, tetap dingin membeku. Pandangan mak dan Mak Long juga bersatu di wajahku. Mereka nampak kematian akal dengan tingkahlaku yang aku tunjukkan saat ini.
No comments:
Post a Comment