BAB 36
“Lia......!” Aku tersentak
mendengar suara yang begitu ceria menyapaku. Lantas aku melontar pandanganku ke
muka pintu. Marnie tersenyum lebar sedang melangkah ke arahku. Aduh.... peminat
setia Aqel sudah sampai!
“Hey.... kenapa dengan dahi dan
bibir awak ini, Lia?” soal Marnie terlopong menatapku. Aku tersenyum sekilas.
“Saya tergelincir di bilik
air” jelasku meneruskan pembohonganku. Berkerut dahi Marnie. Direnungnya
wajahku.
“Betulkah ini, Lia?” soalnya
sangsi. Aku mengangguk.
“Macam tidak percaya saja aku.
Jangan – jangan semua ini perbuatan kejam Rania” teka Marnie. Aku mengunci
mulutku. Tiada mahu memberikan tindak balas pada bicara Marnie ini. Malas mahu
memanjang – manjangkan cerita. Paling utama tidak suka cerita ini akan heboh
dalam kalangan warga KDUT.
“Apa yang awak bawa ini?”
soalku mengubah topik perbualan. Marnie tersenyum meleret memandangku.
“Just for you and Encik Aqel.
Tahniah atas pertunangan kamu berdua. Happy sangat – sangat” tutur Marnie
begitu teruja sambil menghulurkan kotak cantik di tangannya. Aku menatap
Marnie. Berat saja hatiku mahu menerimanya memandangkan perkara tersebut tidak
pernah terjadi. Maka aku tidak layak menerimanya.
“Ambillah....” arah Marnie.
Dengan berat hati aku menyambut bungkusan yang dihulurkan kepadaku.
“Terima kasih” tuturku lemah
dan rasa bersalah yang menggunung. Aku tidak dapat membayangkan andai Marnie
mengetahui kisah sebenarnya.
“Sorry terlewat sehari jumpa
awak, Lia. Semalam saya ambil cuti temankan mak balik kampung” tutur Marnie menjelaskan
ketidakmunculannya semalam. Memang menjadi persoalanku.
“Selepas majlis malam itu ke
mana awak dan Encik Aqel menghilangkan diri? Telefon awak pun tidak diangkat.
Tercari – cari juga saya dan Reka ke mana awak pergi” tutur Marnie lagi.
“Sorry.... saya ada hal
sedikit hendak bincang dengan Encik Aqel” jelasku. Marnie tersenyum mengusik.
“Sudah bertunang masih hendak
berencik – encik lagikah” tegur Marnie cuba mengenakan aku. Aku terdiam
seketika.
“Mestilah. Urusan personal
dengan kerja tidak boleh dicampuradukkan” tegasku. Marnie terus saja tergelak.
“Memang layak awak dan Encik
Aqel memadu kasih asrama. Memang sebiji kepala otak kalian” tutur Marnie
tergelak – gelak lagi. Aku mengetap bibir.
“Hulurkan tangan awak” pinta
Marnie tiba – tiba. Aku menatap Marnie dengan dahi yang berkerut. Hairan dengan
permintaannya itu.
“Untuk apa?” soalku.
“Cepatlah....” arah Marnie
tidak sabar – sabar. Dia terus saja mencapai tanganku lalu ditatapnya. Tidak
sempat aku bertindak. Kemudian pandangan matanya beralih ke wajahku.
“Mana cincin pertunangan
awak?” soal Marnie mengejutkan aku. Aku terdiam seketika. Marnie masih
menatapku buat aku jadi serba salah.
“Saya simpan di rumah. Tidak
biasa pakai cincin” jelasku berbohong lagi. Marnie geleng – geleng kepala.
“Berat sangatkah cincin Encik
Aqel beri pada awak? Awak tidak boleh buat macam itu tahu” tegur Marnie serius.
Aku hanya membisukan diri. Sudah kematian akal untuk merencana cerita palsu.
Marnie geleng – geleng kepala lagi. Nampak kesal.
“Awak wajib pakai cincin pertunangan
itu, Lia” tegas Marnie mengingatkan sekaligus memberi tekanan baru padaku. Aku
ada cincin tapi cincin itu sudah biasa kupakai malah langsung tidak
menggambarkan cincin pertunangan mewah yang setaraf dengan kedudukan Aqel.
Mustahil pula aku hendak beli cincin baru yang mahal. Aku tidak mahulah!
Sesekali aku tidak sudi membazirkan duitku untuk menghidupkan terus pembohongan
ini.
“Esok lusalah saya pakai”
tuturku menjawab pandangan Marnie sekaligus memadamkan kekesalan gadis ini.
“Mesti pakai tahu” tutur
Marnie sebelum melangkah meninggalkan aku. Kelibat Marnie hilang dari pandangan
mataku. Aku menyandarkan tubuhku di kerusi sambil memejamkan mataku. Kulepaskan
keluhan beratku. Rasa terbeban dengan pembohongan besar ini. Sayup – sayup aku
mendengar bunyi derap langkah kian dekat. Kubuka mataku. Haqem sedang tersenyum
mendekatiku. Kaget. Kehadiran Haqem ini mengejutkanku.
“Tidak sihatkah?” suara Haqem
menyapaku. Aku geleng kepala. Beg kertas di tangannya diletakkan di atas meja
di depanku.
“Pakaian awak semalam. Saya
sendiri yang basuhnya untuk awak” ujar Haqem tersenyum. Aku tersentak.
“Oh.... sorry menyusahkan awak
saja... Saya terlupa semalam. Thanks....” tuturku rasa bersalah. Haqem hanya
tersenyum.
"Bagaimana dengan awak? Masih sakit lagikah luka itu?" soal Haqem bertanyakan kecederaanku angkara perbuatan Rania semalam.
"Tidak sakit lagi. Ubat itu betul - betul mujarab" tuturku. Haqem tersenyum.
"Maksud saya ubat yang Aqel beli itu" tuturku melenyapkan senyuman yang terukir di bibir Haqem. Bukan niatku mahu menyinggung perasaannya namun itulah kenyataannya. Aku tidak sempat menggunakan ubat yang Haqem beli memandangkan ubat yang Aqel tinggalkan di meja solek begitu mujarab. Teringat aku masih berhutang dengan Haqem lantas aku mencapai
dompetku. Not RM 50 sebanyak 6 keping kutarik keluar lalu kuhulur pada Haqem.
Haqem terpinga – pinga menatapku.
“Saya bayar kos rawatan dan
pakaian semalam” jelasku sekaligus mengingatkan Haqem pada perkara itu. Laju
Haqem geleng kepala.
“Saya tolong ikhlas. Jadi awak
tidak perlu bayar” ujar Haqem menolaknya.
“Saya tidak suka berhutang
mahupun terhutang budi” luahku berterus – terang. Senyap. Pasti Haqem kurang
senang dengan bicaraku. Haqem menatapku.
“Kalau macam itu awak belanja
saya makan tengah hari ini. Selepas itu awak tidak ada hutang apa – apa dengan
saya lagi” pinta Haqem. Senyap. Aku tidak terus memberikan jawapan pada
permintaan Haqem itu. Aku perlu mempertimbangkannya terlebih dahulu.
“Awak boleh ajak Aqel sekali
kalau awak tidak selesa berdua – duanya dengan saya. Lagipun sekarang awak
sudah jadi tunang Aqel” tutur Haqem. Aqel sudah balik? Mengapa aku tidak
bertembung dengannya di rumah tadi? Mungkin baru saja sampai.
“Tidak perlu Aqel pasti akan
faham. Saya setuju makan tengah hari dengan awak tapi bagaimana pula dengan
tunang awak” jelasku bersikap berhati - hati.
“Saya belum bertunang lagi”
jelas Haqem. Aku tidak terkejut mendengar pengakuan Haqem. Kalau dia boleh
berbohong mencintaiku suatu waktu dahulu maka tidak sukar juga baginya
menafikan hubungannya dengan gadis itu. Dasar lelaki buaya memang suka menipu.
“Kalau macam itu rehat tengah
hari nanti kita makan di Kafeteria Chantek. Awak tunggu saya di sana” arahku.
Haqem mengangguk dan tersenyum. Suka benar hatinya dapat bertemu dengan gadis
ini. Inilah peluang yang dinanti – nantikannya selama ini.
“Saya pasti akan tunggu awak.
Okey kita jumpa rehat nanti. Saya pergi dulu” tutur Haqem meminta diri lalu
mula mengatur langkah ke pintu meninggalkan aku. Aku menarik nafas dalam – dalam.
Betulkah tindakanku ini? Apa yang aku lakukan hanyalah untuk membalas jasa
Haqem semalam. Kutatap beg kertas di atas meja di depanku ini lantas
menguaknya. Kelihatan kemeja yang kupakai semalam sudah dilipat kemas dan
wangi. Kuketepikan beg kertas itu. Bukan kemahuanku Haqem bertindak sebaik itu.
Cukup kalau Haqem menyerahkan balik kemeja ini tanpa membasuhnya.
Tepat pada waktu rehat, aku
melangkah ke Kafeteria Chantek. Ternyata Haqem sudah berada di sini menanti
kedatanganku. Aku mendapatkan Haqem di meja hujung sekali. Lantas melabuhkan
punggung di kerusi bertentangan dengan kedudukan Haqem.
“Awak sudah buat pesanan?”
soalku. Haqem geleng kepala.
“Saya tunggu awak” jelasnya.
Laju saja tangan Haqem melambaikan ke arah pekerja lelaki itu. Oh.... Zamri!
“Assalamulaikum.... Encik
Haqem, Cik Lia. Kita berjumpa lagi” tutur Zamri tersenyum sambil menganggukkan
kepala. Aku tersenyum. Haqem menatap Zamri kemudian beralih kepadaku.
Barangkali dia hairan melihat aku dan Zamri saling mengenali.
“Oh... tahniah atas
pertunangan Cik Lia dengan Encik Aqel” tutur Zamri.
“Terima kasih. Panggil saya
Lia tidak payah panggil cik” pintaku. Zamri hanya tersenyum. Haqem sekadar jadi
pemerhati.
“Maaf ...pesanan apa ya?” soal
Zamri bersedia untuk menerima pesanan makanan daripada Haqem. Haqem tersenyum.
“Saya mahu nasi paprik dan jus
oren” pinta Haqem.
“Itu sajakah?” soalku. Haqem
mengangguk. Selera Haqem masih seperti dahulu.
“Saya mahu nasi ayam dan jus epal hijau ya”
pintaku.
“Sekejap lagi pesanan akan
dihidangkan. Terima kasih” tutur Zamri begitu bertatasusila. Aku dan Haqem
tersenyum dan mengangguk. Zamri berlalu meneruskan tugasnya.
“Bagaimana awak kenal dia?”
soal Haqem meminta penjelasan tentang perkenalanku dengan Zamri. Kupandang
Haqem. Betulkah Haqem sudah lupa pada seraut wajah pemuda itu.
“Pemuda itulah yang pernah
awak tengking” tuturku mengarah Haqem berfikir mengingati kejadian malang itu.
“Oh.... dia yang langgar awak
di sini tempoh harikan” tutur Haqem. Ternyata Haqem sudah mengingati kejadian
itu.
“Saya yang langgar dia” ujarku
membetulkan bicara Haqem. Haqem terdiam. Senyap. Tidak banyak yang dapat aku
dan Haqem bualkan saat ini. Perkara yang berlaku antara aku dengan Haqem
menjadi penghalang untuk kami lebih mesra. Zamri muncul semula bersama hidangan
yang dipesan tadi.
“Selamat menjamu selera” tutur
Zamri mempersilakan aku dan Haqem menikmatinya.
“Terima kasih” tuturku
mendahului Haqem. Zamri tersenyum lagi.
“Saya minta maaf pada awak
atas tingkahlaku saya yang lepas” tutur Haqem sambil menatap Zamri membuatkan
pemuda ini terpingga – pingga. Kupandang Haqem. Sedikit mengejutkan aku dengan
tindakan Haqem ini. Namun cukup kusenangi. Menyedari dan menyesali kesilapan
diri sendiri memang sikap yang terpuji.
“Hey.... bukan salah Encik
Haqem. Tidak perlu minta maaflah” tutur Zamri segan dengan tindakan Haqem.
“Awak mesti maafkan dia. Kalau
tidak dia tidak akan berselera makan” ujarku mengusik mereka. Zamri tergelak.
Haqem turut tersenyum. Bahawasanya masih ada nilai mulia dalam diri Haqem yang
kusedari sejak aku mengenali dirinya.
“Kalau macam itu saya
terimalah permohonan maaf Encik Haqem” tutur Zamri sambil tersenyum. Aku dan
Haqem turut tersenyum.
“Saya mohon diri. Silalah
makan” tutur Zamri mempersilakan lantas beredar meninggalkan aku dan Haqem.
Senyap. Aku dan Haqem menatap menu pilihan masing – masing.
“Makanlah...” arahku lalu
memulakan suapan pertamaku dengan kalimah Allah. Haqem juga mula menikmatinya. Seketika
aku dan Haqem asyik melayan selera sendiri. Kali ini aku seakan memiliki
kekuatan yang luar biasa menyebabkan aku begitu tenang berhadapan dengan Haqem.
Barangkali sudah sampai masanya untuk aku menjadi sahabat Haqem.
“Mana cincin pertunangan
kamu?” soal Haqem sambil menatap jariku. Aku tersentak. Namun cepat saja aku
mempamerkan senyumanku.
“Saya simpan di rumah. Rasa
sayang pula hendak pakai” tuturku ikut sesuka hatiku berbicara. Terasa persis
alasan budak – budak pula.
“Cincin itu adalah simbolik
yang menandakan awak sudah dimiliki. Sepatutnya awak pakai cincin itu” tutur
Haqem memberi ulasan buat aku terdiam seketika.
“Cincin sekadar simbolik.
Paling penting kesetiaan kita pada orang yang kita cintai. Tidak guna juga
pakai cincin pertunangan setiap masa kalau tidak setia” tuturku meluahkan
pendapatku. Serta merta reaksi wajah Haqem berubah. Barangkali Haqem ingat aku
menyindir dirinya. Sumpah aku tidak terfikir ke arah itu.
“Lia.... maafkan saya” tutur
Haqem. Kutatap wajah Haqem.
“Kalau awak hendak jadi kawan
saya, awak wajib lupakan kisah lalu kita. Saya juga tidak mahu Aqel jadi serba
salah pada awak” tuturku mengharapkan Haqem lebih memahami situasi sekarang.
Walaupun pertunanganku dengan Aqel secara olok – olok namun aku mengharapkan
Haqem akan mempercayainya juga.
“Lia.... betulkah awak ada
perasaan cinta pada Aqel?” soal Haqem menyentakkanku.
“Kenapa awak tanya begini?”
soalku cemas. Haqem mula mencurigai pertunanganku dengan Aqel. Haqem melepaskan
keluhannya.
“Pertunangan awak dengan Aqel
berlaku secara mengejut. Sejujurnya saya tidak percaya kalau awak dan Aqel
sedang bercinta” tutur Haqem begitu yakin.
“Terus terang saya beritahu
awak bahawa pertunangan saya dan Aqel memang atas kehendak keluarga kami. Saya
dan Aqel buat masa ini belajar saling mengenali hati budi masing – masing. Tapi
saya percaya jodoh yang ditentukan oleh keluarga adalah yang terbaik” tuturku
tenang. Wah, hebat juga aku bermain dengan kata – kata! Kalau Aqel mendengar
bicaraku ini pasti dia akan tersenyum sinis padaku. Tidak pun akan termuntah –
muntah. Pedulikanlah! Paling penting Haqem tidak akan meragui pertunangan olok
– olokku dengan Aqel.
“Awak mesti doakan kebahagiaan
kami” pintaku. Haqem tersenyum tawar.
“Walaupun saya tidak gembira
dengan pertunangan ini namun saya akan mendoakan kebahagiaan awak dan Aqel.
Pasti saya mahu melihat kawan karib saya dan gadis yang saya sayang hidup
bahagia selamanya” tutur Haqem membuatkan aku terdiam. Betulkah Haqem masih
menyayangiku? Ikhlaskah Haqem meluahkan perasaannya itu?
“Terima kasih Haqem” tuturku
sambil memaksa diri tersenyum. Hakikatnya hatiku terusik juga mendengar bicara
Haqem sebentar tadi. Salah Haqem juga kerana telah mempermainkan perasaanku.
Kalau Haqem setia pada percintaan kami pasti aku dan Haqem sudah bersatu
sekarang.
“Cepatlah habiskan nasi awak
sebab saya tidak boleh duduk lama – lama di sini” arahku. Haqem menatapku.
Sebetulnya aku tidak mahu meluangkan banyak masa bersama Haqem.
“Kecualilah awak hendak makan
bersendirian di sini” tuturku memberi pilihan. Haqem geleng kepala. Kali ini
laju saja suapan demi suapan dilontar ke dalam mulutnya. Secara tidak langsung
aku telah menderanya. Kasihan Haqem. Tidak sampai sejam aku bersama Haqem. Usai
saja melangsaikan kos makan tengah hari, aku dan Haqem beriringan meninggalkan
Kafeteria Chantek. Banyak juga pandangan mata yang dilontarkan ke arahku dan
Haqem. Namun aku tidak menghiraukannya. Begitu juga dengan Haqem. Sudah menjadi
kelaziman sama ada Haqem mahupun Aqel, mereka memang sentiasa menjadi perhatian
banyak mata. Tanpa diduga kami bertembung dengan Rania. Tajam pandangan Rania
menatapku.
“Awak keluar dengan Haqem.
Mana Aqel?” soal Rania sambil tersenyum sinis padaku. Tidak tahu sama ada
senyuman yang dipamerkan itu untuk menunjukkan kegembiraannya lantaran aku
tidak bersama kekasih hatinya ataupun kutukan kepadaku yang kononnya tidak
setia pada Aqel. Aku menyepikan diri. Tidak tahu apa yang harus aku perkatakan
padanya sedangkan hatiku masih bengkak atas perlakuannya terhadapku semalam.
Memang aku rasa marah pada Rania dengan tindakannya menyerangku. Kalaulah aku
pandai dalam bab bergaduh ini pasti aku tidak akan mematungkan diri saja.
Sekurang – kurangnya aku mampu melindungi diri daripada serangan pukulan gadis
ini.
“Oh.... Rania... saya ada hal
hendak jumpa awak” suara Haqem memecah kesepian. Haqem tersenyum menatap Rania
yang nampak kehairanan.
“Apa halnya awak mahu jumpa
saya?” soalnya tidak sabar – sabar.
“Nanti kita bincang. Jangan
lupa datang ke pejabat saya nanti” ujar Haqem mengingatkan Rania. Rania hanya
mengangguk. Kemudian menyambung langkahnya meninggalkan aku dan Haqem tanpa
sempat memaklukmkan kepergiannya itu. Memang gadis ini tidak tahu beradap pada
ketua jabatannya. Mungkin juga kerana aku bersama Haqem. Aku berpaling menatap
Haqem.
“Mengapa Aqel berpisah dengan
Rania?” soalku. Haqem kaget.
“Aqel tinggalkan dia” sahut
Haqem. Aku melepaskan keluhanku. Tidak terkejut mendengar kenyataan yang sudah
aku ketahui itu.
“Sebabnya saya kurang jelas.
Awak mesti tanya Aqel sendiri” tutur Haqem menyambung bicaranya. Aku tersenyum
sinis pada Haqem.
“Lelaki memang suka
mempermainkan perasaan perempuan” tuturku tanpa dapat ditahan – tahan lagi. Dalam
hal ini aku memang sangat sensitif.
“Aaa....” Haqem terpinga –
pinga menatapku.
“Saya pergi dulu. Bye....”
tuturku lalu meninggalkan Haqem yang masih terpacak di situ. Mungkin Haqem
terkejut dengan tindakanku ini.
“Lia..... terima kasih sebab
belanja saya makan” laung Haqem. Aku meneruskan langkahku tanpa sempat
berpaling ke arah Haqem lagi.
“Saya bukan belanja awak makan
tapi bayar hutang pada awak” tuturku sendirian membetulkan bicara Haqem.
Ternyata Haqem sudah salah mentafsir. Mungkin juga Haqem sudah lupa tujuanku
keluar dengannya. Aku meneruskan langkah semakin jauh meninggalkan Haqem. Kisah
aku dan Haqem sudah lama berlalu dan kami tidak mungkin dapat bersama lagi.
********************************************
Baru saja Puan Helda hendak melangkah keluar dari bilik
anak terunanya itu, dia berpaling ke arah meja kecil di tepi katil itu. Kotak
baldu kecil merah itu menarik pandangannya. Laju saja langkahnya menghala ke
situ.
“Hey.... kotak cincin ini” tuturnya. Dicapainya kotak
baldu merah itu. Dengan berhati – hati jarinya menolak bahagian atas kotak itu.
“Wah....!” Terpegun mata Puan Helda menatap kilauan
cincin berlian itu.
“Hyeon..... sudah ada buah hatikah? Hyeon hendak
bertunang?” bisik hati Puan Helda. Dia tersenyum gembira. Hatinya riang. Namun
sekejapa saja. Puan Helda mempamerkan wajah muramnya. Ada sesuatu yang
mengusutkan fikirannya.
“Bukankah aku sudah ada pilihan terbaik untuk Hyeon?”
tuturnya bersoal – jawab sendiri. Hatinya berbelah bahagi. Antara kehendak
sendiri dengan kehendak anak teruna itu.
“Kalau Hyeon sudah ada pilihan sendiri dan akan bahagia
dengan pilihannya itu, aku tidak boleh halang dia” keluh Puan Helda buntu.
Bukan kepalang kecewa hatinya. Direnungnya cincin berlian itu lama – lama.
“Siapakah gerangan gadis pilihan Hyeon yang akan memiliki
cincin ini” tutur Puan Helda berteka – teki sendiri. Ditutupnya kotak baldu merah
itu lalu diletakkan di meja itu kembali. Puan Helda melepaskan keluhannya
sambil melangkah longlai ke muka pintu meninggalkan bilik itu.
“Mak Long.... Lia sudah siap masak mee goreng. Sekejap
lagi kita minum petang sama – sama ya” ajakku. Mak Long menatapku lama.
Terdetik rasa hairanku. Mak Long terus saja melangkah mendekatiku. Terkejut aku
tatkala kedua – dua belah tangan Mak Long mendakap lembut pipiku.
“Kempunanlah Mak Long hendak bermenantukan Lia” bisik
suara hatinya.
“Kenapa Mak Long?” soalku hairan dengan tingkahlaku Mak
Long ini. Mak Long tersenyum dan geleng kepala. Tangannya terus saja dijatuhkan
dari pipiku.
“Mari kita minum” ajak Mak Long mendahului langkahku ke
dapur. Pelik betul perangai Mak Long tika ini.
“Tidak mahu tunggu Aqel balik dulukah, Mak Long?” soalku.
Mungkin sebentar lagi Aqel akan muncul di sini. Laju Mak Long geleng kepala.
“Dia balik lewat. Mungkin dia hendak jumpa kekasihnya”
jelas Puan Helda membuat andaian sendiri diikuti dengan keluhannya. Aqel jumpa
kekasihnya? Aqel sudah ada kekasih? Wah, berita baik ini! Mengapa Mak Long
tidak nampak gembira saja? Bukankah Mak Long memang mengharapkan Aqel
berumahtangga sekarang. Cinta terhalangkah ini? Mustahil Mak Long tidak
merestui percintaan Aqel. Kalau inilah hakikatnya kasihanlah Aqel.
“Lia, pergi ambil cawan” arah Mak Long menyentakkanku.
“Baiklah Mak Long” sahutku lantas bergerak ke rak
penyimpanan peralatan dapur. Beberapa minit kemudian aku dan Mak Long mula
menikmati hidangan minum petang. Anak mata Mak Long asyik tertumpu padaku buat
aku tertanya – tanya. Tiba – tiba saja Mak Long
jadi pendiam. Tidak banyak perkara yang Mak Long dan aku bualkan. Rasa
bersalah pula aku kalau aku ada tersilap kata dan terlanjur tingkahlaku yang
boleh menyinggung dan menyakiti perasaannya. Tidak pernah – pernah Mak Long
bersikap begini. Mungkin juga Mak Long ada masalah.
“ Mak Long ada masalahkah atau Lia ada buat salah?”
soalku berhati – hati. Mak Long geleng kepala. Dia tersenyum.
“Lia setuju kalau Hyeon bertunang dalam masa terdekat
ini?” soal Mak Long masih mahu membicarakan tentang anak terunanya itu.
“Setuju.....
setuju....” sahutku teruja. Selesai satu masalah. Tidak payah aku menyamar jadi
tunang Aqel lagi. Biasalah zaman sekarang bercinta dengan Rania, bertunang
dengan aku, olok – olok saja dan akhirnya bernikah dengan kekasihnya sekarang.
Inilah namanya takdir hidup.
“Kalau Aqel hendak bertunang mahupun nikah, Lia tolong
Mak Long buat persediaan. Jangan risaulah Mak Long” tuturku riang. Agaknya
perkara inilah yang merunsingkan fikiran Mak Long. Mungkin Mak Long hendak
mengadakan majlis yang gilang – gemilang untuk anak teruna tunggalnya itu.
“Kalau Hyeon nikah dengan gadis pilihannya, Lia gembira?”
soal Mak Long lagi. Aku mengangguk. Mestilah aku tumpang gembira kerana
percintaan Aqel akhirnya sampai ke jinjang pelamin. Semua pasangan kekasih
berharap agar mengakhiri percintaan mereka dengan pernikahan yang membolehkan
mereka berkongsi hidup. Penyatuan dua jiwa yang mengharapkan kebahagiaan.
“Mestilah Mak Long. Mak Long tidak gembirakah?” soalku
menguji.
“Lia, sebenarnya Mak Long berharap sangat Hyeon akan
nikah dengan Lia” tutur Mak Long berterus terang. Opocot...!!!! Terkejut sangat
aku mendengar bicara Mak Long ini. Mee goreng yang kutelan tersekat di
kerongkongku. Laju aku meneguk air teh di cawan. Lega. Aku tidak menyangka Mak
Long ada perancangan sedemikan. Hey.... tidak bolehlah aku nikah dengan Aqel!
Kami tidak sesuai jadi pasangan suami isteri. Tidak sanggup aku membayangkan
apatah lagi untuk melaluinya. Tidak sanggup juga aku mempertaruhkan kehidupanku
kepada seorang lelaki buaya.
“Apa boleh buat Mak Long sudah tidak ada jodoh” tuturku
cuba memujuk hati Mak Long. Alhamdulilah.... Aqel sudah ada kekasih. Selamat
juga aku dari menjadi isteri Aqel. Aku menyembunyikan senyumanku dari pandangan
Mak Long. Lega rasanya. Sebenarnya ingin juga aku membentangkan senarai panjang
sebab musabab aku dan Aqel tidak boleh menjadi pasangan suami isteri pada Mak
Long. Namun melihat muramnya wajah Mak Long tidak sampai hati pula aku hendak
meluahkannya. Risau menguris hati Mak Long.
“Mak Long tidak sukakah dengan gadis pilihan Aqel?” soalku
berhati – hati. Mak Long menatap wajahku.
“Mak Long memang suka Lia” tutur Mak Long buat aku tidak
selesa. Saat ini tidak gembira aku mendengar bicara Mak Long. Aku terdiam.
Kematian akal aku berhadapan dengan Mak Long tika ini.
“Walaupun Lia pernah kata pada Mak Long yang Hyeon
sekadar main –main tapi Mak Long memang memandang serius bicara Hyeon yang mahu
kahwin dengan Lia” tutur Mak Long buat aku tergamam. Mak Long masih mengingati
perkara itu. Senyap. Perlahan – lahan keluhan Mak Long dilepaskan.
“ Tapi demi kebahagiaan Hyeon, Mak Long akan terima siapa
saja pilihannya” tutur Mak Long tidak bersemangat namun cukup mendalam maknanya.
Aku menarik nafas lega. Terima kasih Mak Long sebab memahami kemahuan hati Aqel
sekaligus menyelamatkan aku daripada menjadi isteri Aqel. Aku memang
mengimpikan mak mertua sebaik Mak Long namun tidak pernah bermimpi untuk
bersuamikan lelaki seperti Aqel. Selain tindakan Aqel yang pernah melukakan
perasaan perempuan yang mencintainya, aku melihat Aqel juga sebagai saudaraku yang
selayaknya aku anggap ibarat abangku.
“Lia sudah ada kekasih?” soal Mak Long. Aku diam.
Berfikir seketika.
“Ada.... Mak dan Aziq” jawabku. Mereka itulah kekasih
awal dan akhirku. Mak Long terus saja tergelak. Aku senyum. Gurauanku kembali
menceriakan Mak Long. Namun aku masih risau memikirkan hajat hati Mak Long.
Patutkah aku maklumkan perkara ini pada Aqel?
“ Lia tolong cuci pinggan dan cawan yang Mak Long guna
ini ya. Mak Long hendak berehat di bilik” tutur Mak Long masih tidak
bersemangat.
“Tidak apa tinggalkan saja di sini. Sekejap lagi Lia
cuci” tuturku. Mak Long tersenyum. Lantas Mak Long beredar dari sini. Aku
melepaskan keluhanku. Berat saja hajat hati Mak Long itu. Tidak pernah – pernah
difikirkan olehku. Aku ke sinki mencuci pinggan dan cawan. Leka seketika aku
memikirkan bicara Mak Long tadi.
“ Mana mama?” suara Aqel menyapa di awangan.
“Opocot...!!” Cawan di tanganku hampir – hampir terlepas.
Aku menatap geram ke arah Aqel. Kalaulah aku ada penyakit jantung yang serius
pasti aku sudah jatuh pengsan sekarang.
“Mak Long dalam bilik. Pelik betul perangai dia tadi”
jelasku. Berkerut dahi Aqel.
“Apa yang peliknya?” soal Aqel. Patutkah aku jelaskan
pada Aqel yang Mak Long tidak gembira dengan percintaannya sekarang. Kutatap
wajah Aqel. Kasihan juga aku hendak memaklumkan perkara ini pada Aqel.
“Entahlah...” keluhku sambil angkat bahu.
“Mama tidak sihatkah?” soal Aqel lagi.
“Sihat....” jawabku. Dari luaran memang Mak Long nampak
sihat pun. Mungkin Mak Long kecewa lantaran hajatnya tidak tertunai.
“Tidak apalah saya tengok dia sekarang” tutur Aqel lantas
melangkah meninggalkan aku. Tiba – tiba saja aku merasakan ada sesuatu yang
harus aku perkatakan kepada Aqel.
“Aqel....!” panggilku. Langkah Aqel terhenti. Lalu
berpaling menatapku.
“Tahniah...!” tuturku tersenyum.
“Tahniah untuk apa?” soal Aqel hairan.
“Tahniah sebab awak sudah ada kekasih. Mak Long kata awak
sedang sibuk bercinta sekarang” jelasku tersenyum gembira.
“Karutlah” tutur Aqel lantas menyambung kembali
langkahnya. Karut? Apa maksud Aqel? Jangan – jangan Mak Long sudah salah faham
pada Aqel yang sebetulnya belum ada kekasih. Ya Allah janganlah jadi begini.
Terasa ada sesuatu bakal terjadi dalam hidupku. Harap – harap Aqel sudah ada
kekasih. Aku meninggalkan dapur lalu melangkah ke anak tangga. Kedengaran suara
Aqel dan Mak Long berborak – borak. Kubiarkan dua beranak itu meluangkan masa
bersama. Aku terus saja masuk ke bilikku. Kurebahkan tubuhku ke tilam.
Perbualanku dengan Mak Long tadi kembali bermain di kepalaku. Risau bukan
kepalang aku dibuatnya. Bertambah merisaukan melihat reaksi Aqel sebentar tadi.
Aqel telah menafikannya. Bagaimana pula Mak Long boleh tahu yang Aqel sudah ada
kekasih? Aku terkejut mendengar daun pintu diketuk. Aku melangkah ke pintu
dengan malas. Daun pintu terkuak. Aqel sedang terpacak di depan pintu.
“Apa hal Aqel?” soalku. Harap – harap Mak Long tidak
mengatakan apa – apa pada dirinya. Kedatangan Aqel juga bukan untuk bertanyakan
persetujuanku. Mana tahu hati Aqel cair setelah berdepan dengan Mak Long. Aqel
menyeluk saku seluarnya. Ada sesuatu yang dikeluarkan dari situ. Laju saja
tangan Aqel menghulurkannya padaku. Aku menyambutnya lalu menatap kotak baldu
merah ini.
“Apa ini?” soalku.
“Saya tidak mahu rakan – rakan kita bertanya tentang
cincin pertunangan awak. Saya mahu awak pakai cincin ini esok” tutur Aqel
berpesan. Marnie dan Haqem memang sudah mempersoalkan perkara ini.
“Cincin....” perlahan meniti di bibirku. Aqel mengangguk.
Macam tahu – tahu saja Aqel tentang perkara ini.
“Cincin pertunangan olok – olok kita” jelasnya.
“Tidak payah saya ada cincin sendiri” tuturku enggan
menyarungkan cincin dalam kotak baldu ini ke jari manisku. Aqel menatapku.
“Alang – alang sudah berlaku perkara ini biarlah buat
betul – betul. Kalau awak pakai cincin yang saya beli ini orang akan lebih
percaya” tutur Aqel penuh makna tersirat. Aqel terus saja melangkah
meninggalkan aku yang masih terpacak di muka pintu menatap kotak baldu merah di
tanganku ini. Kututup daun pintu kembali. Aku duduk di birai katil sambil
menatap kotak baldu merah ini. Terus saja kukuak. Tergamam aku menatap sebentuk
cincin berlian yang berkilau – kilau memukauku. Biar betul Aqel ini. Sanggup
pula dia membeli cincin yang mahal ini. Teringat pada bicara Aqel sebentar
tadi. Aku mulai faham. Hanya cincin berlian yang layak menggambarkan taraf
status sosial Aqel. Sombong dan bongkak sangat lelaki ini. Aku mendengus.
“Saya tahulah awak banyak duit tapi janganlah membazir
pada perkara yang tidak betul” rungutku. Kututup kembali kotak baldu ini.
Lantas menyimpannya di dalam laci. Satu langkah berjaga – jaga. Tidak mahu Mak
Long menemuinya. Nanti tertanya – tanya pula Mak Long. Paling merisaukan kalau
Mak Long tahu cincin itu adalah cincin yang Aqel beli. Bukankah niaya jadinya.
Tidak sanggup aku memikirkannya! Yang aku rasakan Mak Long pasti tersenyum
lebar. Kalau keadaan mendesak barulah aku menyarungkan cincin itu ke jari
manisku. Berfikir lagi. Dari sudut positifnya sekurang – kurangnya aku pernah
juga memakai cincin berlian yang mahal harganya. Kalau harapkan wang aku sendiri
yang membelinya sampai matilah aku tidak merasanya kecuali aku dapat suami yang
kaya persis Aqel. Aku tersenyum sendiri. Sempat pula aku berangan - angan.
Sesungguhnya
tiada batasan bagi angan-angan. Bak kata orang apabila kita berangan-angan,
kita tidak lagi hidup di alam realiti tetapi di alam fantasi. Angan-angan yang merupakan
gambaran atau bayangan dalam fikiran seseorang yang sedang berkhayal akan
menerbitkan sebuah cita-cita. Kalau kita berusaha mencapai apa yang diangan-angankan
maka tidak mustahil akan menjadi kenyataan. Lantaran angan-angan akan
membuatkan seseorang itu menaruh harapan, hasrat atau keinginan kuat untuk
mencapai. Betulkah aku mahu angan – anganku bersuamikan lelaki kaya akan menjadi
kenyataan? Aku tersenyum panjang sendiri. Gara – gara cincin berlian ini fikiranku
terpesong jauh.
salam di hujung minggu. bertemu lg setelah menyepi lantaran kesibukan tuntutan rutin kerja. sudah baca? rasa pelik pengolahan ayat? bermula dari bab ini sy terpaksa menulis dgn gaya bahasa formal tanpa penggunaan singkatan demi memenuhi syarat pihak penerbit sekaligus menggurangkn bebanan pengeditan tatkala novel ini dihantar utk penilaian penerbit. apapun sy tetap menghrpkn anda semua terhibur n msh setia dgn permata nilam. terima kasih suma...
ReplyDeleteHi Permata!!
ReplyDeleteVery happy to read the story.. takpe la.. formal ke atau tak formal best juga cerita ni..i enjoyed and i guarantee others also happy wt it...
tqvm saluja ats kesetiaan anda bersama permata nilam.
ReplyDeleteBest.....
ReplyDelete#^_^
Best sllu, mau lagi sist. . .ヽ(^。^)丿
ReplyDeletetqvm nuratiza, asih n u all ats kesetiaan kalian bersama permata nilam
ReplyDeletesalam. cepat sambung dah xsbr nk tau cite selanjutnya mst sweetkn....
ReplyDelete