Tuesday, 8 November 2011

NamaKu Bukan Flora! 13



BAB 13

Dia sekejap – sekejap duduk sekejap – sekejap bangun di kerusi empuk itu. Beberapa minit kemudian dia bangkit lagi dari kerusinya. Lalu berlegar – legar di ruang biliknya itu. Sesekali dia melontar pandangan keluar melalui cermin itu. Hatinya dirusuh kegelisahan. Betapa dia tidak tenteram sejak semalam sehinggakan dia tidak boleh tidur lena. Wajah gadis itu mengunci pergerakannya. Dia jadi serba tidak kena. 

Ditatap lagi interkom di meja untuk sekian kalinya. Berfikir – fikir lagi. Namun sebarang keputusan langsung tidak ditemui. Kata hati dan luahan fikirannya seringkali bercanggahan. Kalut. Buntu. Sukar untuk digambarkan akan keadaan dirinya tika ini.

“Betulkah Aqel ada hubungan dengannya?” ujarnya bersoal jawab dengan dirinya sendiri. Haqem geleng – geleng kepala menafikan kenyataan sendiri.

“Mustahil. Aqel ada Rania. Mana mungkin dia bercinta dengan dua orang gadis dalam masa yang sama” bantah hatinya pula cuba menafikan.

“Bukankah dia sudah putus hubungan dengan Rania sejak sekian lama? Lagipun Aqel boleh bercinta dengan sesiapa saja walaupun dengan ramai perempuan dalam satu masa kerana Aqel ramai peminat” suara hatinya lagi.

 Dipegang kepalanya. Terasa berserabut diserbu pelbagai persoalan. Dia tahu Aqel tidak boleh dipandang ringan. Aqel boleh melakukan apa saja kerana pemuda itu berkemampuan apatah lagi untuk mencairkan hati perempuan. Terasa dirinya tercabar. Dia betul – betul tidak boleh duduk diam memikirkan perkara yang berlaku semalam. Laju saja dia kembali di tempat duduknya lantas tanpa boleh ditahan – tahan lagi interkom yang berada di depannya ditekan.

“Ye Encik Haqem” kedengaran suara perempuan di corong interkom.

“Saya nak jumpa awak sekarang juga” suaranya mengeluarkan satu arahan. Beberapa minit kemudian kedengaran daun pintu di ketuk. Dia menarik nafas panjang menanti kemunculan perempuan di sebalik pintu itu.

“Ye, apa hal Encik Haqem?” soal Marnie penuh sopan. Dia masih berfikir bagaimana untuk menzahirkan persoalan yang menyelubungi dirinya. Dipandangnya Marnie yang menatapnya kehairanan dengan sikapnya itu. Tidak pernah dia berkeadaan sedemikian di depan orang bawahannya.

“Encik Haqem, ada masalah serius ke?” soal Marnie setelah bos mudanya itu hanya mendiamkan diri. Laju saja dia geleng kepala. Nampak sedikit menggelabah membuatkan Marnie tersenyum sendiri. Buat pertama kali dia menyaksikan perangai bosnya sebegini. Nampak pelik dan sedikit melucukan. Bagai orang yang kehilangan keyakinan diri.

“Ada pekerja yang bernama Nur Dahlia binti Sallehudin di sini?” akhirnya terpancul juga soalan itu setelah sekian lama disimpan di kerongkongnya. Sedikit lega hati. Marnie mengangguk.

“Ya, dialah yang menguruskan bahagian kostum syarikat nie” jelas Marnie hairan. Dipandangnya wajah bos muda ini.

“Encik Aqel tak bincang ke perkara nie dengan encik?” soalnya menduga. Mustahil pula rakan kongsi membuat keputusan bersendirian dalam hal yang berkaitan KDUT. Marnie tidak percaya kalau Encik Aqel, bosnya yang seorang lagi akan bertindak sedemikian. 

Walaupun pengambilan pekerja di bawah bidang tugas Human Resource Departmant, namun segala perkara perlu dirujuk kepada Encik Aqel mahupun Encik Haqem. Begitu juga sebarang keputusan yang berkaitan urusan syarikat perlu mendapat persetujuan kedua – dua orang bos muda ini. Apatah lagi kewujudan gadis ini adalah atas kerjasama Syarikat KDUT dengan CNFL yang merupakan sesuatu yang penting.

“Ada dia cakap nak bekerjasama dengan CNFL” jawapan yang diberikan oleh pemuda ini melegakan hati Marnie. Sudah pasti Marnie tidak mahu hubungan akrab kedua – dua pemuda ini berantakan.

“Namun saya belum sempat berkenalan dengan dia” tambah Encik Haqem lagi buat Marnie tersenyum.

“Mesti Encik Haqem dah tengok Lia semalam kan. Lia dan Encik Aqel memang nampak pasangan yang paling ideal. Saya betul – betul setuju dengan pilihan para juri” ujar Marnie meluahkan pendapatnya. Berubah ekspresi wajah Haqem mendengar bicara setiausahanya itu. Rasa cemburu menjalar dalam dirinya.

“Encik Haqem setuju tak dengan keputusan para juri semalam?” soal Marnie ingin tahu pendapat pemuda itu. Senyap. Pertanyaannya tidak dijawab. Marnie menatap pemuda itu. Nampak Haqem sedang termenung jauh.

“Encik Haqem...” panggilnya. Dia tersentak mendengar namanya dipanggil. Serba salah dirinya bila saja direnung sedemikian oleh setiausahanya itu.

“Okey, tak de apa – apa yang saya nak tanya lagi. Awak boleh sambung kerja awak sekarang” tuturnya lalu mula menyibukkan diri dengan fail – fail yang terbuka di meja. Sengaja dia bertindak demikian demi menutup kelemahan diri. Marnie terus saja melangkah ke muka pintu sambil geleng – geleng kepala memikirkan perangai bos mudanya itu.

“Mungkin Encik Haqem jealous sebab dia dan Cik Farah tak memenangi anugerah pasangan ideal tu” bisik Marnie sambil tersenyum sendiri.

Hilang saja setiausahanya di sebalik pintu itu, Haqem terus saja melontarkan keluhan beratnya seraya menyandarkan tubuh di kerusi empuk itu. Kemudian dia mendongak kepalanya menatap hamparan siling. Fikirannya buntu. Kerja di depannya tika ini langsung tidak boleh diselesaikannya. Di matanya asyik terbayang tangan gadis itu memaut lengan sahabatnya itu. Begitu mesra.

“Ini pertemuaan terakhir kita. Lepas nie jangan cari aku lagi. Kau mesti teruskan hidup kau dengan baik sepertimana yang akan aku lakukan. Anggaplah kita tak pernah bertemu dan berkenalan. Mulai sekarang aku melupakan kau, Lia” tuturnya nekad biarpun hatinya terguris tatkala menuturkan bicara itu. Air mata gadis itu berlinangan membasahi pipi. 

Terasa dia begitu kejam dengan tindakannya. Namun dia tiada pilihan lain. Permintaan mamanya harus diutamakan. Bahkah perkara yang dilakukan adalah untuk masa depan gadis itu.

“Selamat tinggal, Lia” tuturnya lalu melangkah menjauhi gadis itu.

“Kenapa? Kenapa kita harus berpisah Haqem?” suara gadis itu berselang seli dengan suara tangisan menuntut penjelasan. Dia cuba berlakon menjadi begitu cekal meninggalkan gadis yang bernama Nur Dahlia binti Sallehudin itu. Hakikatnya, hatinya turut sama hancur luluh.

“Aku tak pernah hidup dengan baik, Lia. Malah aku tak pernah melupakanmu selama nie” bicara itu meniti di bibir Haqem perlahan – lahan. Perkara yang berlaku antara dirinya dan gadis itu begitu dikesalinya. Dia langsung tidak diberi pilihan selain menuntut pengorbanan dirinya. Dia korbankan cintanya demi kasih sayangnya kepada seorang ibu yang terlalu mengagungkan harta, darjat dan pangkat. Hatinya terasa disusuk sembilu. Setitik air jernih mengalir di pipinya.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“Congratulation, awak memang nampak hebat malam tadi” puji Reka yang duduk tersengih di depanku. Aku hanya tersenyum. Malam yang memilukan hati. Namun masih ada sedikit kegirangan walaupun aku kurang menyenanginya.

“Awak dan Encik Aqel memang nampak pasangan yang ideal. Saya begitu menyukainya berbanding kalau Encik Aqel bersama Rania” ujar Reka masih lagi dengan sengihannya. Aku menatap wajah Rania. Bicaranya itu menarik hatiku. 

Aku bukan suka sangat dipadankan dengan Aqel tetapi Aqel bersama Rania itulah yang menarik perhatianku. Adakah mereka pasangan kekasih? Oh, kalau betullah ini kenyataannya, pasti perasaan Rania terguris tika ini. Aqel juga yang akan menerima tempias kekecewaan gadis itu. Kasihannya mereka.

“Mereka pasangan kekasih ke?” soalku meminta kepastian. Reka sudah tergelak – gelak. Entah apa yang begitu melucukannya. Dia menjungkit bahunya.

“Saya kurang pasti” balasnya. Reka kurang jelas tentang hubungan Aqel dan Rania. Namun aku tahu Rania memang ada hati dengan Aqel. Aku sangat pasti perkara ini kerana Rania tidak mampu menyembunyikan perasaannya itu. Mungkin dia dingin denganku juga disebabkan Aqel ada bersamaku. Jelasnya Rania telah salah faham terhadapku.  

“Yang saya tahu dia memang suka kat Encik Aqel” tutur Reka bercerita. Aku hanya mengangguk – angguk. Tidak terkejut aku kalau mereka adalah pasangan kekasih. Tiada yang cacat celanya malah begitu sempurna menjadi pasangan dua sejoli. Bekerja pun dalam bidang yang sama.

“Kenapa awak panggil dia dengan formal?” soalku musykil. Bulat anak mata Rania menatapku.

“Awak tak tahu ke dia tu bos kita. Rakan kongsi Encik Haqem pemilik syarikat nie” jelas Reka buat aku terlopong. Betapa fakta ini mengejutkan aku. Timbul kekaguman dalam diri terhadap kedua pemuda itu. Dalam usia muda mereka sudah menempah kejayaan. Aset yang bernilai jutaan ringgit ini bukan mudah untuk dimiliki mahupun diuruskan. Pasti banyak cabaran dan halangan yang perlu mereka hadapi.

“Kedua – dua pemuda tu bukan saja handsome malah jutawan. Mereka ada package lengkap sebab tu ramai anak gadis di luar dan di KDUT yang ada hati kat dia termasuklah diri saya hehehehe” jelas Reka lagi. Aku menatap Reka. Pengakuannnya begitu telus.

“Really?” soalku musykil kerana aku tahu hati Reka sudah dimiliki oleh jejaka peranakan Serani. Reka mengangguk dan tersenyum.

“Itu dulu tapi sekarang dah tak de lagi” ujar Reka mengeluarkan kenyataan baru. Aku tersenyum. Mestilah hatinya sekarang diserahkan sepenuhnya kepada Ricky Merior tunangannya itu. Pemuda pilihan Reka sekarang pun bukan calang – calang orang.

“Antara Encik Haqem dan Encik Aqel awak pilih siapa?” soalku menguji sekaligus ingin mengetahui pilihan hati Reka. Reka diam berfikir. Jarinya bermain – main di dagu. Tampak sukar untuknya membuat pilihan.

“Rasanya saya akan pilih Encik Aqel” ujar Reka dengan yakin.
“Kenapa?” soalku lagi.
“Wajah peranakan Korea susah nak jumpa kat Malaysia nie” jelas Reka merujuk pemuda dingin membeku itu.

“Tapi sikapnya dingin membeku. Awak suka orang macam tu ke?” soalku sekaligus membidas sikap pemuda itu. Reka tertawa. Kemudian dia mengangguk mengakui kebenaran bicaraku itu.

“Itu yang membuatkan dirinya semakin bernilai ha..ha...ha...” ketawa Reka semakin kuat. Aku memcebik boring. Tidak setuju dengan pendapat Reka. Sikapnya yang dingin membeku itu menyukarkan orang lain untuk memahami dirinya. Ahh, buat apa aku menyusahkan diri untuk memahami sedangkan aku dan dia saling tiada kaitan.

 “Awak tak de kerja ke hari?” soalku sambil mula menatap fail di depanku menyambung kerja yang tergendala dengan kehadiran Reka.

“Awak nak halau saya ler tu” rungut Reka mula memasamkan wajahnya. Mulalah hendak merajuk.

“Saya tanya  ikhlas ler. Kalau awak nak temankan saya kat sini sampai habis waktu keja pun boleh malah sangat dialu – alukan” ujarku tersenyum mengusik Reka. Dia tersengih. Kalau Reka ada di sini tidaklah aku bosan keseorangan. Reka pun sentiasa ada cerita yang hendak dipendengarkannya.

“Kejap lagi saya ada temujanji dengan Encik Hafiz. Dia nak saya peragakan rekaan baru dia” cerita Reka lantas bangkit dari duduknya.

“Awak nak pergi mana?” soalku hairan meihat dia sudah melangkah ke muka pintu. Tiada salam tiada perkhabaran macam itu saja dia berlalu meninggalkan aku.

“Bye Lia, saya pergi dulu” balasnya sambil melambaikan tangan tanpa sempat menatapku. Aku hanya geleng – geleng kepala. Namun langsung
tidak ambik hati dengan tingkahlakunya itu. Bayangan Reka hilang di sebalik pintu. Pasti dia sedang memburu waktu yang akan berlalu.

“Lia, kalau kau diberi pilihan, antara Encik Aqel dengan Encik Haqem awak nak pilih siapa?” wajah Reka terpancul di sebalik pintu.

“Oppocot!” pen di tanganku terpelanting. Nafasku turun naik. Aku betul – betul terkejut dengan kemunculan Reka semula. Reka sudah tertawa – tawa di muka pintu. Jembalang betul perempuan ini.

“Awak betul – betul mengejutkan saya. Mujur saya tak mati terkejut tau” marahku. Reka masih bersama sisa – sisa tawanya. Suka sangat hatinya.

“Sorry, sorry... Saya terlupa nak tanya tadi” ujarnya tersengih. Aku menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.

“Cepat jawab siapa pilihan awak?” soal Reka menggesaku. Aku masih juga diam. Langsung tidak terfikir akan didatangi soalan mudah tetapi sukar untukku jawab. Reka nampak terkebil – kebil menagih jawapan dariku.

“Tentu awak akan pilih Encik Haqem kan sebab awak tak suka sikap Encik Aqel yang dingin membeku tu. Saya dah agak nie jawapan awak. Bye, see you later” Reka sekali lagi meninggalkan aku bersama lambaian tangannya. Lima minit berlalu aku masih melontar pandangan di muka pintu kalau – kalau Reka akan muncul lagi. Namun fikiranku masih memikirkan persoalan sekaligus jawapan
yang diberikan oleh Reka sebentar tadi.

“Memang aku pernah memilihnya untuk jadi teman hidupku tapi hanya untuk seketika. Kemudian dia melontorkan aku jauh dari hatinya” bicaraku sendirian dengan perasaan yang pilu.

Pupp! Aku tersentak bila saja daun pintu berlaga dengan dinding konkrit bilik ini. Rania melangkah kasar mendekatiku. Mejaku ditepuk kuat. Anak matanya mencerlang menatapku. Wajahnya merah menyinga.

“Kenapa nie Cik Rania?” soalku hairan dengan kedatangannya bersama kemurkaannya ini.

“Saya beri last warning kat you, Miss Laundry, jangan cuba nak dekati atau nak pikat Aqel. Dia tu milik saya!” lantang saja suara Rania. Aku berishtigfar beberapa kali. Tuduhan gadis ini begitu berat buatku. Jelas dia tersalah sangka sekarang. Aku dan Aqel langsung tiada sebarang hubungan.

“Minta maaf kalau buat Cik Rania salah faham. Saya langsung tak de hubungan dengan Encik Aqel selain atas urusan kerja” ujarku berterus terang.

“Awak peluk lengannya semalam, tu pun atas urusan kerja juga ke!” jerkahnya dengan pandangan yang cukup tajam. Aku tersentak. Lama – lama kerja di KDUT ini boleh buat aku diserang sakit jantung. Aku menelan liur pahit. Serta merta adegan pertemuanku dengan Haqem sehinggalah kemunculan pemuda itu kembali terakam diingatanku. Kesal atas silapku yang bertindak di luar kawalan semalam. Semuanya berpunca ingin melepaskan diri daripada Haqem.

“Itu kesilapan yang tak disengajakan. Saya minta maaf tapi saya berani sumpah, saya memang tak de hubungan apa – apa dengan Encik Aqel” luahku bersungguh – sungguh.

“Kali ini saya percaya dengan awak tapi kalau saya tengok awak bersama dengan dia lagi, sumpah saya takkan lepaskan awak” ujarnya memperingatka aku sebagai satu ancaman yang berbahaya. Aku diam. Rania yang masih terpacak di depanku ini tiba – tiba saja bertindak ganas. Tidak semena – mena fail – fail yang di atas mejaku dibaling kuat ke lantai. Aku tergamam menyaksikan tingkahlakunya.

“Saya boleh buat apa saja untuk menghalang orang lain dari memiliki Aqel” bicaranya penuh nekad menimbulkan rasa gentarku. Rania berlalu meninggalkan aku yang masih terpaku. Kusandarkan tubuhku di kerusi empuk ini. Betapa kesungguhan gadis itu menakutkan aku. Bukan sedikit rasa cintanya kepada pemuda itu. Dia sanggup melakukan apa saja demi cintanya terhadap pemuda itu.

“Semoga jodoh awak dengan pemuda itu” bisik hatiku. Aku ikhlas mendoakannya. Rania wajib hidup bersama pemuda itu. Kalau tidak hidup Rania akan menderita. Aku tidak mahu kesedihan yang kualami turut dirasai oleh Rania.

Terbongkok – bongkok aku mengutip fail – fail yang bertaburan di lantai. Keluhan beratku tercetus. Kasihan Rania. Dia sentiasa diselubungi ketakutan dan kerisauan yang panjang. Hidupnya pasti tidak tenteram. Ya Allah, mengapakah wujudnya cinta sedemikian? Bukankah perasaan cinta itu anugerah yang terindah yang harus dinikmati buat kaum Adam dan Hawa dengan tenang dan rasa bahagia? Mengapa pula cinta itu terasa menyesakkan lantas memusnahkan kehidupan seseorang? Lalu lahirlah manusia yang menjadi hamba cinta.

“Satu – satunya cinta yang kekal abadi adalah cinta kepada Allah.
Cintailah diriNya sepenuh jiwa anda. Pasti anda tidak akan kecewa bahkan rasa bahagia yang berpanjangan. Sesungguhnya, diriNya tidak pernah menolok kunjung cinta setiap hambaNya” suara Ustaz Farid terngiang – ngiang ditelingaku.

“Flora, awak buat apa tu?” Pantas aku berpaling ke muka pintu. Pemuda itu sedang menatapku. Serta merta ekspresi wajahku bertukar. Lidahku keluku untuk berbicara sedangkan padangan pemuda itu masih setia menatapku.

No comments:

Post a Comment