Thursday, 3 November 2011

'143......Tiada Penghujungnya' 18


BAB 18

Tepat seminggu berlalu. Tika ini Daniel duduk termenung di ruang santai di laman rumah ini. Lama sudah dia dalam keadaan begitu. Nek Jah yang memerhatikan gelagat pemuda itu hanya geleng kepala. Terasa benar perubahan sikap pemuda itu.

“Kenapa nie?” soalnya sambil memegang bahu pemuda itu. Daniel mendongak menatap wajah itu. Dia tersenyum tawar. Nek Jah terus saja melabuhkan punggung di situ meluangkan masa bersama pemuda itu.

“Sejak kebelakangan nie nenek tengok Daniel diam je. Daniel ada masalah ke?” soalnya memulakan bicara. Dia tersenyum lagi. Kepalanya digeleng – gelengkan. Rahsia hati dipendam saja. Berat untuknya meluahkan segala – galanya. Ego diri menghalangnya. Kali ini terasa lain benar dirinya. Sukar untuk Daniel memahami kehendak hatinya.

   “Dah lama tak dengar cerita tentang Nia. Dia apa khabar sekarang?” soal Nek Jah. Reaksi wajah Daniel berubah tatkala mendengar nama itu. Perubahan yang turut disedari oleh Nek Jah. Justeru, Nek Jah dapat membuat kesimpulan bahawa perubahan sikap pemuda ini ada kaitan dengan gadis itu. lantas dia tersenyum sendiri.

“Lama dah Daniel tak jumpa dia” luah Daniel berterus terang.

“Aik, pelik juga satu sekolah tak jumpa. Sebelum nie hari – hari boleh jumpa Nia. Patut ler Daniel tak minta nenek masak spigetti special sejak kebelakangan nie” ujar Nek Jah sudah dapat mengagak perkara yang berlaku. Daniel tersenyum tawar. Selalunya dia bersungguh – sungguh minta Nek Jah menyediakan spigetti special yang akan dibawanya ke sekolah untuk dinikmati bersama gadis itu. Dania memang gemar makanan yang disediakan oleh Nek Jah. Tiba – tiba terbayang detik bersama gadis itu menikmati spigetti special di bawah pohon pokok itu. Mereka akan berbual panjang yang seringkali disusuli dengan gelak tawa. Sungguh indah detik itu. Daniel tersenyum sendiri. Riang saja hatinya tatkala mengenang gadis itu.

“Nenek suka Nia?” soalnya.

“Suka sangat” balas Nek Jah tersenyum.

“Bukan setakat suka malah sayang kepada Nia” tambah Nek Jah. Daniel tersenyum lebar. Bahagia hatinya mendengar pengakuan perempuan ini. Sedikit pun tiada perasaan cemburunya.

“Daniel pun suka Nia juga kan?” duga Nek Jah. Daniel tersenyum. Perlahan – lahan dia mengangguk. Kata hatinya memang sukar untuk dibohongi. Anggukan kepalanya sedikit mengurangkan delima dalam dirinya.

“Kalau Daniel suka Nia, Daniel mesti jaga Nia dengan baik. Mesti sentiasa buat dia gembira dan tak boleh sakitkan perasaannya. Daniel boleh lakukan semua nie?” soal Nek Jah menuntut kepastian.

Ada makna tersirat yang cuba Nek Jah sampaikan. Nun jauh di sudut hatinya, dia mahu Daniel berubah menjadi seorang yang lebih baik dan bertanggungjawab. Dalam masa yang sama, Nek Jah dapat merasakan betapa istemewanya gadis itu. Biarpun hatinya tidak menggalakkan percintaan pada usia muda ini, namun dia berharap juga pada masa hadapan, Daniel akan dipertemukan jodoh dengan gadis sebaik Dania. Alangkah bahagia hatinya kalau gadis itu ialah Dania. Namun perjalanan hidup mereka masih panjang. Sukar untuk diramal apa yang akan berlaku pada masa depan.


Daniel terdiam panjang mendengar bicara yang seolah – olah sebuah pengharapan yang digantung kepada dirinya. Dia melihat kesungguhan yang dipamerkan di wajah perempuan itu. Tika ini seakan Nek Jah dan Dania berkongsi jiwa raga. Bermakna kalau Dania terluka, pasti Nek Jah juga akan turut terluka. Hati Daniel dipagut kerisauan. Tidak larat dirinya hendak mencalar balar perasaan suci nan murni Nek Jah insan yang terlalu istimewa dalam hidupnya. Dia sanggup lakukan apa saja demi perempuan ini.

“Janjilah dengan nenek yang Daniel akan jaga Nia dengan baik” pinta Nek Jah mempamerkan rasa sayangnya kepada gadis itu. Laju saja Daniel mengangguk kepala. Dia langsung tidak terasa terbeban dengan permintaan perempuan itu, malah cukup menyenangkan hatinya. Lalu Daniel tersenyum sendiri.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“Lepas pergi Books Store nie, kita makan ye. Abang Zek rasa lapar ler” adu Abang Zekri persis anak kecil. Aku mengangguk dan tersenyum.

Kuturuti langkah Abang Zekri. Lalu membuang masa di situ membelek – belek buku – buku yang dipamerkan di rak sementara menunggu Abang Zekri mencari buku yang diarahkan oleh pensyarah untuk dibelinya. Menurut Abang Zekri buku pengurusan ekonomi. Memandangkan aku tidak arif tentang buku itu, maka aku biarkan saja Abang Zekri menguruskannya sekaligus memenuhi fungsiku sekadar peneman dirinya. Kira – kira sejam lamanya berada di premis ini, Abang Zekri mengajakku pergi. Buku yang dihajatinya tidak ditemui. Sedikit hampa yang terpamer di wajah Abang Zekri. Pastinya dia mengharapkan untuk memiliki buku ini.
“Kita cari kat kedai buku yang lain lagi” cadangku cuba memberikan semangat kepada Abang Zekri. Dia tersenyum.

“Kita makan dulu. Lapar sangat dah nie” luah Abang Zekri yang laparnya sudah tidak dapat ditahan – tahan lagi. Aku tergelak kecil melihat wajah Abang Zekri seakan menagih simpati. Lantas menyetujui saja permintaannya. Risau juga kalau dilambat – lambatkan akan memudaratkan dirinya. Paling menakutkan kalau boleh buat Abang Zekri pengsan gara – gara kebuluran sangat. Naya....naya!

Dua pinggan nasi campur berserta dua gelas milo ais sudah terhidang di meja menunggu masa untuk dinikmati. Tekak Abang Zekri boleh menerima menu pilihanku. Kata Abang Zekri tadi apa saja yang aku gemari pasti juga akan turut digemarinya. Bicaranya itu memberi kesan pada jiwaku. Terharu dengan sikap Abang Zekri yang begitu baik dan memahami diriku.

“Abang, teh susu ais satu!” laung satu suara milik lelaki. Bagai terkena magnet aku menoleh arah datangnya suara itu. Seorang pemuda India baru saja mengangkat tangan kepada si pemilik restoran menghantar pesanannya. TEH SUSU AIS cukup sensitif diperdengaranku. Ada kisah yang terjadi di sebaliknya.

“Kenapa? Tak nak makan lagi ke?” suara Abang Zekri menyentakkanku sekaligus melenyapkan bayangan Daniel yang baru saja hendak singgah di kepalaku. Aku tersenyum memberikan reaksi pada persoalan Abang Zekri.

“Abang Zek suka teh susu ais?” soalku ingin tahu. Berkerut dahi Abang Zekri menatapku. Pasti hairan dengan persoalan yang aku ajukan itu.

“Daniel suka sangat teh susu ais” tiba – tiba saja bicara itu meluncur laju di bibirku tanpa terniat untuk meluahkannya.

“Apa?” soal Abang Zekri sekali lagi menyentakkanku. Kupandang Abang Zekri. Sedikit hairan dengan pertanyaannya itu.

“Apa yang apa?” soalku semula. Abang Zekri tersenyum.

“Apa yang Liya cakapkan tadi tu, tak berapa jelas” terang Abang Zekri.

“Ohh...., tak de apa – apa” laju saja aku memutuskannya. Aku menarik nafas lega. Selamat dari dihujani pelbagai soalan yang bisa keluar dari mulut Abang Zekri. Abang Zekri sudah menikmati nasi campur di pinggan. Lantas aku menyusulinya.

“Liya, suka minum teh susu ais ke?” soal Abang Zekri kembali kepada pertanyaanku tadi. Laju saja aku geleng kepala.

“Langsung tak boleh minum. Alergik sangat” tambahku menguatkan kenyataan itu. Abang Zekri tersenyum.

“Kalau macam tu Abang Zekri pun tak mahu minum ler” balasnya.

“Kenapa pula?” soalku hairan.

“Mana best minum sorang – sorang kalau Liya tak boleh minum” jelas Abang Zekri buat aku terharu dengan keprihatinannya itu.

“Terima kasih Abang Zek” luahku berbesar hati. Dia tersenyum lagi.

Abang Zekri dan Daniel terlalu berbeza. Daniel menyamakan seleraku dengannya sedangkan Abang Zekri menyamakan seleranya denganku. Daniel meminta aku mengikut geraknya sebaliknya Abang Zekri hanya mahu mengikut gerakku. Sudah semestinya keduanya berbeza. Kehidupanku dengan Daniel bagaikan langit dan bumi. Tidak seperti aku dan Abang Zekri yang memiliki kehidupan yang sama. Suatu hakikat yang tidak akan aku lupakan.

“Kalau nak termenung bila masa nak habiskan nasi kat pinggan tu” suara Abang Zekri berkumandang melenyapkan khayalanku lagi. Abang Zekri sedang menatapku buat aku diserbu rasa bersalah. Laju saja tanganku menyuap nasi di pinggan menyambung kembali selera yang tergendala sebentar tadi. Usai makan dan melunaskan bayaran, aku dan Abang Zekri meneruskan pencarian yang tertangguh sebentar tadi. Misi hari ini harus berjaya. Harap – harap buku yang dicari akan ditemui. Tidak ralat hatiku hendak menatap wajah hampa Abang Zekri. Lantas aku berjanji dalam diri akan turut sama mencari buku itu. Mana tahu mataku ada magik yang boleh mengesannya. He...he...he...he... Sempat pula suara hatiku berloyar buruk.

Bagai yang dijanjikan, aku bertungkus lumus mengeksplorasi deretan buku yang terletak di setiap rak berpandukan maklumat yang Abang Zekri berikan tadi. Ini merupakan kedai ketiga yang kami kunjungi. Penjelasan Abang Zekri kepada jurujual berkaitan buku itu kurang difahami. Lantas aku dan Abang Zekri memutuskan untuk mencarinya sendiri. Sepanjang pencarian itu, aku tidak pernah lupa bermunajat kepada Allah agar mempermudahkan pencarianku ini. Aku pohon pada Allah untuk menggembirakan Abang Zekri dengan penemuan buku itu.

Alhamdulillah, berkat doa dan pengharapan yang tinggi serta usaha gigih, akhirnya aku menemui juga buku pengurusan ekonomi dambaan hati Abang Zekri. Segera aku mendapatkan Abang Zekri bersama buku itu dengan senyuman lebar.

“Abang Zek, nie ke buku yang kita cari?” soalku mahu membuat pengesahan sambil menayang buku tebal ditanganku tika ini. Abang Zekri berpaling. Dia mengangguk seraya mengusap dadanya tanda kelegaan. Senyuman lebar terukir di bibirnya lantas bergerak ke arahku.

“Terima kasih Liya” ditepuk – tepuknya bahuku. Betapa seronoknya Abang Zekri dengan penemuan buku ini. Agaknya kalau aku dan dia sama jantina sudah pasti dipeluknya tubuhku ini melempiaskan rasa gembiranya itu.

“Kalau Liya nie isteri Abang Zek sudah pasti Abang Zek akan peluk Liya
sekarang” tutur Abang Zekri yang ingin memperlihatkan betapa gembira hatinya.

“What!” Aku tertawa. Tidak sangka Abang Zekri boleh bertutur sedemikian. Namun aku tahu niatnya hanya untuk meluahkan betapa dia gembira dan rasa terhutang budi kepadaku. Nampak sangat betapa pentingnya buku itu buat Abang Zekri. Sekurang – kurangnya aku boleh tumpang gembira.

“Betul ler hidup Abang Zek memang perlukan Liya” luah Abang Zekri. Aku tersenyum meleret. Bangga habis bila Abang Zekri berbicara sedemikian.

“Jom abang belanja makan aiskrim” ajaknya.

“Nak makan lagi ke?”Membutang biji mataku menatap wajah Abang Zekri. Rasa terkejut.

“Alah, cuma makan aiskrim je” pujuk Abang Zekri. Aku tersenyum. Lagak Abang Zekri persis Si Kecil yang sedang merayu – rayu ibunya. Aku tiada pilihan selain memenuhi hajat hati Abang Zekri. Tersenyum lebar Abang Zekri ketika melihat aku mengangguk – angguk tanda setuju.

“Abang Zekri bayar buku nie dulu” ujarnya. Aku hanya mengangguk. Abang Zekri berlalu ke kaunter di depan sana. Menanti kemunculan Abang Zekri kembali, aku membelek – belek buku yang belum sempat aku tinjau tadi.

“Nia...!” Pantas aku berpaling. Aku terkedu menatap Daniel yang sedang terpacak di rak di belakangku tadi sedang menatapku serius. Seketika aku dan Daniel berlawanan pandangan.

“Betul ler hidup Abang Zek memang perlukan Liya, apa makna semua nie?” soal Daniel masih menatapku tajam. Aku tersentak. Rupanya Daniel memasang telinga terhadap perbualanku dan Abang Zekri. Panas hatiku dengan perlakuannya.

“Kau curi – curi dengar perbualan kami” radangku.

“Kenapa? Kau dan dia sedang bercinta ke?” soal Daniel serius. Aku menatap tajam wajah Daniel. Bicaranya tidak kusenangi. Mudah saja dia menuduh aku dan Abang Zekri. Dia ingat Abang Zekri persis dirinya yang sewenangnya menjaja cinta tanpa mengenal siapa saja.

“Itu bukan urusan kau!” tegasku lalu berpaling mahu meninggalkan Daniel.

“Aku belum habis cakap lagi, Nia” Aku tidak pedulikan bicara Daniel. Namun baru aku melangkah, pantas saja tangan Daniel menarik tanganku. Langkahku terus saja mati. Tajam mataku menatap Daniel.

“Lepaskan tanganku” arahku dengan kemarahan yang ditahan – tahan. Cuba mengelakkan daripada disedari oleh pengunjung yang lain termasuklah Abang Zekri. Kutarik tanganku, namun genggaman Daniel begitu erat. Dia masih berdegil mahu menghalangku dari berlalu dari situ.

“Daniel, lepaskan tanganku” ulangku sekali lagi. Pandangan Daniel masih tajam menatapku. Kutarik tanganku lebih kuat lagi. Daniel masih juga tidak mahu mengalah. Langsung dia tidak mahu melepaskan aku pergi. Terasa genggaman tangan Daniel di pergelangan tanganku kian erat.

“Daniel......” marahku sambil menarik – narik tanganku. Saat ini Daniel diserang penyakit gila. Langsung dia tidak menghiraukan permintaanku. Aku masih cuba melepaskan diri.

“Apa hal nie?” suara Abang Zekri kedengaran begitu dekat. Terus saja aku berpaling. Pandanganku dan Daniel bersatu di wajah Abang Zekri yang sedang memerhatikan kami. Terpamer kehairan di wajah itu. Dia mengamati wajah Daniel yang kelihatan begitu serius.

  “Daniel, lepaskan tanganku sekarang” arahku lebih tegas.

Kali ini barulah Daniel mematuhi arahanku. Terlepas saja dari genggaman tangan Daniel, aku terus memaut lengan Abang Zekri membawanya berlalu dari situ. Daniel masih terpacak pada kedudukannya tadi sambil terus menatapku bersama Abang Zekri. Mujur juga Abang Zekri tidak bertindak yang bukan – bukan memandangkan sikapnya yang sukar diramal. Daniel boleh melakukan apa saja demi memenuhi kehendak hatinya.
Tiba di tempat meletak kereta, Abang Zekri menatapku. Lantas saja aku menjatuhkan tanganku dari terus memaut lengan Abang Zekri. Abang Zekri masih menatapku. Pandangannya meminta penjelasan dariku.

“Siapa lelaki tu, Liya?” soal Abang Zekri cuba memecah persoalan yang bermain di kepalanya tika ini.

“Kawan” balasku pendek dan tidak berniat mahu memberikan penjelasan yang lebih lanjut. Abang Zekri masih menatapku. Belum cukup dengan jawapan yang aku berikan.

“Jom kita balik” ajakku seraya mendahului Abang Zekri melangkah ke kereta.

Zekri mengekori langkah gadis itu. Di matanya masih terbayang wajah kacak pemuda itu. Pelbagai persoalan di kepalanya yang masih belum terjawab. Tiba – tiba saja dia rasa tidak tenang. Kemunculan pemuda itu membuatkan dirinya diserbu rasa gelisah yang panjang.  

No comments:

Post a Comment