BAB 11
Dalam aku berserabut menyiapkan diri, Nana muncul bersama dua orang sepupunya iaitu anak – anak gadis Pak Ngahnya, Mila dan Miera. Kedatangan mereka begitu dialu – alukan. Apatah pada saat – saat begini. Dengan pertolongan mereka aku menyiapkan diri. Tidak ketinggalan mak juga turut menyumbang khidmatnya. Aku memang perlukan sangat kepakaran mak untuk menyanggul rambutku. Maka maklah yang menguruskan bahagian rambutku. Tatarias wajahku dilakukan oleh Nana yang turut dibantu oleh kedua – dua orang sepupunya itu. Lebih sejam mereka bertungkus lumus menghias dan mempersiapkan diriku.
Aku terpacak di depan cermin merenung lama diriku. Sanggul yang mak buat begitu rapi. Mak memang pakar dalam kerja sanggul menyanggul ini. Solekan Nana juga mengubah sedikit wajahku. Kebaya merah berbunga hitam halus yang dipadankan dengan kain batik hitam milik mak ketika zaman muda – mudanya dulu memang padan dengan saiz tubuhku. Kiranya ketika zaman mudanya dulu mak persis aku. Mila menghulurkan tas tangan merah berlabuci serta cermin mata gelap kepadaku melengkapkan penampilanku pada malam ini. Kupandang mereka yang sedang tersenyum.
“Cantik ler Kak Lia, betul – betul macam seniwati Sarimah” puji Miera selangit. Nana dan Mila mengangguk mengiyakan. Lantas Nana menunjukkan ibu jarinya. Aku tersenyum.
“Tak pelik ke penampilan macam nie?” soalku gusar dan kurang berkeyakinan. Serentak ketiga – tiganya geleng kepala.
“Elegan sangat” giliran Nana pula yang memujiku.
“Jom ambik gambar kenangan” pinta Nana lalu menyerahkan telefonnya kepada Miera. Nana dan Mila sudah berdiri di sebelah kanan dan kiriku sambil menguntum senyuman lebar bersedia untuk digambar. Flash. Kemudian Miera pula bertukar tempat dengan Mila. Sekali lagi gambar diambil. Terasa macam pengantin pula saat ini.
“Dah siap ke?” suara mak kedengaran di ambang pintu. Pantas aku berpaling. Mak menatapku sambil tersenyum.
“Tengok Lia, mesti mak cik teringat zaman muda – muda dulu kan. Masa tu mak cik macam Lia nie ke?” soal Nana kepada mak. Mak tersenyum dan mengangguk.
“Tapi Lia lebih cantik dari mak cik” tambah mak memujiku. Aku tersenyum lebar mendengar pujian mak. Begitu besar ertinya pujian mak itu buatku.
“Pukul berapa nak pergi? Kalau dah siap beritahu mak nanti”
“Tak pe mak cik. Biar kami yang hantar ambil Lia. Kebetulan saya ada dua orang bodyguard malam nie. Jadi taklah merisaukan ibu bapa saya nak keluar malam” laju saja Nana memintas bicaraku.
“Betul ke nie? Risau juga menyusahkan kamu” pertanyaan mak disambut oleh anggukan kepala Nana dan sepupu – sepupunya itu. Rupanya dari awal sudah mereka merancang semua ini.
“Terima kasih ler. Kalau dah siap pergilah minum kat luar tu. Mak cik dah buat air dan sedikit kuih untuk kamu. Nak ajak makan malam kamu tak mahu” ujar mak.
Nana, Mila dan Miera hanya tersenyum. Sememangnya tadi mak telah mengajak mereka makan malam bersamanya dan Aziq. Namun pelawaan mak ditolak. Kononnya Nana telah masak banyak di rumah. Risau pula kalau kenyang tiada siapa yang makan masakan di rumah.
Kebetulan juga mereka telah berjanji akan makan bersama – sama keluarga nanti. Kesempatan makan beramai - ramai memang sukar untuk dilepaskan. Bukan selalu pun menikmati hidangan dalam suasana meriah begitu. Aku yakin Nana memang bercakap benar.
“Baiklah mak cik, kejap lagi kami keluar. Terima kasih” balas Nana. Mak berlalu dengan senyuman panjangnya. Kutatap wajah Nana.
“Terima kasih Nana. Terima kasih juga pada Mila dan Miera. Sokongan kalian begitu bererti buatku” luahku sedikit beremosi.
“Jangan ngangis nanti rosak makeup tu” tegah Nana mengusikku buat Mila dan Miera tertawa. Ingin saja rasanya aku mengajak mereka bertiga pergi bersamaku. Namun adalah mustahil mereka akan menerima ajakanku ini. Justeru, kupendamkan saja hajat hatiku ini.
Kira – kira 15 minit majlis hendak bermula, barulah aku mengajak mereka keluar rumah untuk menghantarku ke Hotel Pancawara tempat berlangsungnya majlis itu. Sengaja aku melambat – lambatkan kedatanganku ke situ. Langsung tiada perasaan terujaku. Kedatanganku malam ini sekadar memenuhi janjiku kepada Encik Mukhtahir.
“Good luck, Lia” kata – kata motivasi yang keluar dari mulut Nana sebelum meninggalkan aku tepat di muka pintu utama bangunan kaca yang tersergam mewah ini. Ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Nana berlalu. Lambaian tangan Mila dan Miera sudah tidak kelihatan. Aku menarik nafas dalam – dalam. Dengan kalimah pujian ke atas Allah S.W.T. aku melangkah ke pintu utama Hotel Pancawara. Kedatanganku disambut senyuman mesra pemuda yang bertugas di muka pintu.
“Jangan lupa pakai kaca mata gelap nie nanti” kedengaran suara Nana yang memberi peringatan sebelum keluar rumah tadi. Kaca mata itu masih tersimpan dalam tas tanganku. Perlukah aku memakainya dalam suasana malam begini? Bukankah nampak pelik berkaca mata hitam pada waktu malam? Kalau aku memakainya nanti tidakkah persis si buta? Ohh......, banyak sangat persoalan yang bermain di kepalaku.
Aku mengekori langkah beberapa orang lelaki dan perempuan yang berpakaian luar biasa daripada kebiasaan. Aku yakin mereka juga sepertiku yang merupakan tetamu Majlis Makan Malam ini. Terasa terasing juga terpaksa melangkah bersendirian sedang tetamu lain semuanya berpasangan. Inilah kekurangan seorang gadis yang tidak memiliki buah hati sepertiku. Tiada siapa yang boleh dijadikan teman dan pelindung diri. Aku terus membuntuti langkah di depanku yang melalui satu pintu. Daun pintu ditolak. Aku sedikit tergamam bila saja melihat suasana yang bergemerlapan di depanku. Kelihatan tetamu begitu ramai.
Sebelum memasuki ruang legar dewan yang sudah dihias berkonsepkan era klasik ini, aku mendaftarkan diri kepada sepasang penyambut tetamu yang tampak begitu mesra. Sedikit lega hatiku melihat mereka juga berpenampilan sepertiku. Jadi tidaklah aku nampak pelik dalam kalangan tetamu yang hadir yang kebanyakannya mengayakan gaun bangsawan Eropah klasik yang dilengkapi dengan topi pelbagai saiz dan gaya lengkap bersarung tangan. Persis suasana dalam filem Titanic pula.
“Saya Nur Dahlia binti Sallehudin, wakil Encik Mukhtahir dan isteri dari CNFL” ujarku selengkapnya memperkenalkan diri sambil menghulurkan kad yang dikepilkan bersama surat jemputan tempoh hari. Kad ini merupakan pas kebenaran untuk masuk ke dewan. Pemuda itu mencatat sesuatu.
“Selamat datang. Silakan masuk and happy enjoy” tutur gadis itu penuh bertatasusila. Aku tersenyum.
“Terima kasih” Aku terus saja melangkah masuk ke dewan dengan perasaan yang berdebar – debar. Ada beberapa pasang mata melontar pandangan ke arahku. Mereka sedikit menunduk menyapaku. Saling bertukar senyuman. Aku membawa diri ke ruangan yang tidak berapa sesak dengan tetamu. Lantas saja aku duduk di kerusi sambil liar memerhatikan sekeliling cuba menjejaki bayangan Marnie dan Reka. Kedatanganku malam ini sengaja tidak kukhabarkan. Biar menjadi kejutan kepada mereka. Hampir sejam berlalu, aku hanya duduk termangu di situ.
“Bersendirian saja ke?” aku berpaling ke arah datangnya suara itu. Lalu mendongak wajah milik suara lelaki itu. Seorang pemuda yang lengkap berpakaian lelaki Arab persis Alladin dan lampu ajaibnya sedang tersenyum menatapku. Aku mengangguk.
“Boleh saya duduk di sini?” soalnya. Aku mengangguk lagi. Pemuda itu terus saja melabuhkan punggung tepat di hadapanku. Aku dan dia saling bertukar senyuman seketika.
“Saya Ummar. Nama awak?” ujarnya memperkenalkan diri sekaligus melontor persoalan kepadaku. Nama dan iras wajahnya persis orang Arab. Memang padan dengan gaya penampilan dirinya malam ini.
“Saya Nur Dahlia” balasku ringkas.
“Nice name persis tuan punya nama” pujinya. Aku hanya senyum.
“Saya suka sangat tengok penampilan awak malam nie. Berbeza dengan tetamu yang lain. Penampilan gadis – gadis bangsawan Eropah tu dah biasa saya tengok” bisiknya melirik – lirik ke arah tetamu yang berada di sekeliling.
“Thanks” ujarku.
“Ada bawa kaca mata hitam?” soalnya pula. Aku mengangguk.
“Jangan lupa pakai nanti” arahnya sama seperti Nana.
“Penampilan awak nampak unik” komenku. Ummar tersenyum.
“Thanks. Saya nak cari jejaka Melayu klasik nak padankan dengan awak. Kebetulan awak datang sorang – sorang. Kasihan juga tengok awak nie” ujar Ummar bersimpati sekaligus mengejutkan aku dengan kenyataannya.
“Hey, tak perlulah Ummar. Saya bukan nak lama – lama kat sini pun” luahku berterus terang tentang perancangan yang telah kubuat. Besar biji mata Ummar menatapku.
“Awak tak boleh meninggalkan majlis. Awak mesti tunggu sampai majlis nie berakhir” balas Ummar serius.
“Wajib ke macam tu?” soalku kebingungan. Laju saja dia mengangguk. Aku kurang pengetahuan majlis macam ini. Namun rasanya kalau aku meninggalkan majlis ini sebelum tamat masanya tidaklah keterlaluan. Lagi pun mana ada orang perasan pun kalau aku balik lebih awal. Lainlah kalau aku ini tetamu yang terpenting dan teristimewa malam ini. Kedengaran bunyi mesej masuk. Lantas saja jariku membuka tas tangan merah ini.
“Saya kena pergi dulu. Ingat awak tak boleh balik selagi majlis nie belum tamat” sekali lagi Ummar memperingatkan aku sebelum dia melangkah pergi. Nampak sangat dia bersungguh – sungguh mengeluarkan peringatan itu. Aku kebingungan memikirkan tingkahlaku Ummar yang agak pelik itu. Pemuda yang baru saja aku kenali ini memang mengundang kemusykilanku.
Kulupakan seketika tentang Ummar serta kepelikan sikapnya itu. Sejak bekerja bersama KDUT memang banyak perkara pelik menimpaku. Bermula dengan panggilan namaku Flora. Sehingga kini aku masih memikirkan mengapa pemuda dingin membeku itu memanggilku Flora. Mesej Nana yang sudah terpamer kubaca. Lantas saja aku membalasnya menceritakan keadaan di sini yang penuh kebosanan. Di penghujung ayat, kumaklumkan tentang perkenalanku dengan Ummar yang bersikap sedikit pelik. Tidak lama kemudian, mesej Nana datang lagi. Aku tersenyum sendiri bila Nana menyatakan bahawa Ummar mungkin prince charming untukku. Jauhnya Nana berimaginasi.
“Hey, Miss Laundry pun ada sini” suara sinis milik perempuan singgah di telingaku. Aku mengangkat kepala mencari pemilik suara itu. Rania tersenyum sinis menatapku.
“Miss Laundry?” seorang pula yang menyahut bicaranya itu. Muncung Rania sedang menjuih ke arahku. Betul – betul macam itik yang sedang menyudu air he...he....he..... Jahatnya mulut aku. Kedua – dua sahabatnya itu sedang menatapku. Perangai ketiga – tiganya serupa. Mudah sangat menimbulkan persengketaan dan permusuhan.
“Penampilan awak malam nie memang sesuai dengan diri awak, Miss Laundry” suara Rania seakan – akan memerliku. Aku hanya mendiamkan diri saja. Satu perkara pelik lagi. Tiada hujung pangkalnya, gadis ini sudah melancarkan peperangan denganku. Aku sama sekali tidak mengerti sebab musabab dia melayanku sebegitu dingin. Sebelum ini aku tidak pernah mengenali Rania.
“Awak baru je keluarkan pakaian mak awak dari storkan” celah seorang sahabatnya membangkitkan rasa sakit hatiku.
“Memang tak de citarasa langsung. Nampak kuno sangat” tambah seorang pula. Rania dan kawan – kawannya tersenyum meleret. Puas hati memperliku sedemikian rupa.
“Memang padan ler dengan diri dia.... Miss Laundry” tambah Rania lalu menarik tangan kawan – kawannya meninggalkan aku. Aku menarik nafas lega. Mujur juga mereka tidak berada lama di sini. Aku risau kalau – kalau aku hilang sabar. Tidak mustahil tanganku akan hinggap di wajah jelita mereka itu.
Kulontar pandangan pada kelibat Rania yang masih jelas dimataku. Gaun kembang hitam tanpa lengan yang mendedahkan leher dan sebahagian dadanya yang putih mulus itu. Ala – ala Rania sedang berkemban sekarang. Tampak begitu seksi. Sarung tangan hitam separas siku. Rambutnya ditutupi bunga bersama jaringan net. Rania sudah jadi Rose kekasih hati Jack dalam filem Titanic. Memang dia gadis yang jelita. Namun bila saja ingatkan bicara Ummar tadi, aku tersenyum sendiri. Tidak sangka juga Rania akan melayanku sedingin ini.
Terasa lapar pula. Segera aku menghampiri deretan menu yang dihidangkan. Kucapai pinggan, sudu dan gerpu. Aku mula memilih – milih makanan yang memenuhi seleraku. Puas hati dengan makanan yang kuambil, aku melangkah semula di tempat dudukku tadi. Alunan petikan piona yang beralun lembut mula berkumandang memenuhi ruang legar dewan ini. Seorang lelaki yang lengkap berpakaian baju Melayu memakai bersongkok tinggi ala – ala penampilan golongan lelaki sebelum era merdeka yang sedang memetik piano di atas pentas itu.
Penampilan yang cukup sederhana dengan baju Melayu tebuk belanga berwarna kelabu cair itu. Wajahnya tidak kelihatan. Hanya susuk tubuh tingginya saja yang sedang membelakangiku tika ini. Dia memang berbakat. Melodi indah yang dimainkannya mengajak berpasang – pasang kekasih mengatur langkah dan gerak tubuh di lapangan tari.
Kelihatan Rania terpegun dengan persembahan lelaki di pentas itu. Dia begitu leka sehingga pandangannya langsung tidak berganjak walau seincipun meninggalkan lelaki yang sedang mempersembahkan alunan petikan pianonya itu. Agaknya Rania sudah jatuh cinta pandang pertama kepada lelaki di atas pentas itu.
Petikan piano yang dipersembahkan telah memikat hati Rania yang penuh kesombongan itu. Tetiba saja aku tersenyum sendiri. Sebentar tadi bukan main lagi dia dan kawan – kawannya kutuk penampilanku. Sekarang tengoklah dia sudah jatuh cinta kepada si pemain piano yang juga berpenampilan persisku. Padan muka....he....he....he...!
Kedengaran tepukan sorak tetamu bila saja aluan petikan piano itu berakhir. Kelihatan Rania dan kawan – kawannya bertepuk sakan sedikit menjejaskan keayuan mereka. Tatkala aku melontar pandangan ke pentas semula, lelaki yang membuat persembahan piano tadi sudah tidak kelihatan lagi. Gara – gara memerhatikan gelagat Rania dan kawan – kawannya tadi aku terlepas peluang untuk menatap wajah lelaki itu.
Siapakah gerangan si pemain piano yang berbakat itu?
No comments:
Post a Comment