BAB 12
“ Yaz, kita ada masalah”
beritahu Iwan seraya meletakkan fail itu di depan Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha
menatap fail itu. Kemudian pandangan beralih ke wajah Iwan. Cuba lebih memahami
kata-kata pemuda itu.
“ Pengurus baru Syarikat Restu
menolak perancangan ini. Kerja – kerja di lapangan terpaksa ditangguhkan buat
sementara” jelasnya. Niyyaz Nazuha meneliti data-data yang terbentang di
depannya ini.
“ Ohh.... ada kesilapan” ujar Niyyaz Nazuha mengakui
percanggahan maklumat dengan yang telah dipersetujui. Iwan menatapnya hairan.
Dia nampak keliru mendengar kenyataan Niyyaz Nazuha itu.
“Mengapa?” soal Iwan.
“Saya perlu jumpa Idlan
sekarang” ujar Niyyaz Nazuha tanpa sempat menjawab persoalan pemuda ini. Laju
langkah Niyyaz Nazuha menghala ke bilik Idlan. Daun pintu diketuk. Niyyaz
Nazuha terus sahaja melangkah masuk. Tidak sempat menunggu suara pemuda itu
memberi arahan kepadanya kerana masalah yang wujud sedikit meresahkan dirinya.
Niyyaz Nazuha perlu segera berrsemuka dengan Idlan Raid.
“ Opss.....” Niyyaz Nazuha
kematian langkah serentak dengan lenyapnya gelak tawa itu. Idlan Raid
tersentak. Gadis itu pantas berpaling ke
arah Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha menyesali tindakan terburu – burunya sebentar
tadi. Dia tidak menyangka pemuda ini ada tetamu istemewa sekarang.
“ Maaf mengganggu. Saya fikir
tak ada tetamu tadi” ujar Niyyaz Nazuha rasa bersalah. Dia merasakan dirinya
telah mengganggu pasangan kekasih itu. Gadis itu hanya tersenyum. Idlan Raid
tidak bersuara. Pandangannya tepat ke wajah Niyyaz Nazuha.
“ Tak apalah saya keluar dulu”
ujar Niyyaz Nazuha kerana rasa begitu terasing di bilik itu dan tidak senang
hati dengan pandangan mata Idlan Raid.
Daun pintu ditutup kembali.
Rasa malu dan bersalah menyelubungi diri. Niyyaz Nazuha sedar dia telah mengganggu
sepasang kekasih itu. Kesal tidak sudah-sudah. Sepatutnya dia tidak menerjah masuk
tanpa menunggu kebenaran Idlan Raid terlebih dahulu. Di matanya masih terbayang
ekspresi wajah Idlan Raid dengan kehadirannya yang tidak diundang. Kelihatan Idlan
Raid terkedu. Niyyaz Nazuha mengeluh.
Idlan Raid terus sahaja keluar
mencari gadis itu.
“ Yaz mana?” soalnya sebaik sahaja
tidak menemui kelibat gadis itu.
“ Izeq telefon tadi. Yaz dah keluar
bertemu Izeq” cerita Iwan yang kebetulan berada di situ. Idlan Raid
mengeluh kecil. Ada perkara yang hendak dijelaskan kepada gadis itu. Perkara yang
terlalu penting walaupun tidak sepenting yang dirasakan oleh gadis itu.
“Apa halnya?” soal Iwan yang
kehairanan melihat gelagat anak muda itu. Tampak cemas. Idlan Raid menggeleng. Ditinggalkannya
anak muda itu dengan persoalan yang tidak terjawab.
******
Niyyaz Nazuha menghela nafas lega. Masalah
itu sudah selesai. Mujur juga Izeq mudah dibawa berbincang. Kesilapan kecil
yang boleh menjejaskan perancangan. Niyyaz Nazuha mengerti ahli perniagaan yang
berjaya sangat mementingkan kesempurnaan dalam apa-apa hal yang melibatkan
mereka.
“Idlan, saya minta maaf dengan
tindakan saya semalam” ujar Niyyaz Nazuha rasa bersalah. Pemuda ini kehairanan
menatapnya.
“Saya tak sepatutnya tergesa-gesa
masuk ke bilik pejabat awak. Kesal juga. Masalah yang wujud buat saya hilang
pertimbangan” keluh Niyyaz Nazuha tanpa berselindung.
Idlan Raid masih diam. Mungkin pemuda ini terkilan dengan tindakannya
semalam. Dia telah mengganggu perbualan pemuda ini dengan kekasihnya. Niyyaz
Nazuha bukannya tidak tahu perangai Idlan Raid. Dari dahulu lagi Idlan Raid
memintanya melayan tetamu dengan hormat. Namun tingkahlakunya semalam telah
menjatuhkan air muka pemuda itu. Niyyaz Nazuha merasakan dirinya bertindak sesuka
hati tanpa arif tentang protokol pertemuan orang bawahan dengan ketua
jabatannya. Begitu menebal perasaan malu Niyyaz Nazuha.
“Semalam saya cari awak nak berbincang
perkara ini” beritahunya.
‘Ahh... nampaknya aku telah melakukan
kesalahan yang berat. Barangkali kekasihnya tak berpuas hati dengan tindakanku
semalam dan barangkali juga dia curiga. Nampaknya aku telah mendatangkan
masalah kepada Idlan’.... keluh Niyyaz Nazuha bermonolog sendiri.
“Saya keluar dengan Izeq berbincang” terang
Niyyaz Nazuha.
“ Dah okey semuanya?” Niyyaz Nazuha
mengangguk. Lega. Tumpuannya kembali kepada fail di depannya. Pasti pemuda ini
tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang kejadian semalam.
“ Yaz....” Niyyaz Nazuha mengalih
pandangannya ke arah pemuda ini. Seketika mereka berlawan pandangan.
“Sebenarnya saya dengan Suzie hanya berbincang
tentang bisnes, seperti awak dengan anak muda Dato Ramlan” tuturnya perlahan. Niyyaz
Nazuha diam. Tidak mengerti niat Idlan Raid di sebalik penjelasannya.
“... tapi... tak tahulah andaian saya
tentang hubungan awak dengan Izeq itu betul atau sebaliknya” ujarnya
berteka-teki. Niyyaz Nazuha terkedu. Tiba-tiba sahaja telefon bimbit Idlan Raid
berdering. Laju sahaja dia menjawab panggilan itu. Niyyaz Nazuha cuba memahami
bicara Idlan Raid sebentar tadi. Kalau Idlan Raid tidak berbual tika ini sudah
pasti Niyyaz Nazuha mahukan penjelasan lanjut pemuda ini.
“ Saya keluar dulu. Ada hal mustahak.
Suzie yang telefon saya” tutur Idlan Raid memaklumkan kepada Niyyaz Nazuha. Idlan
Raid berlalu bersama persoalan Niyyaz Nazuha yang belum terjawab. Niyyaz Nazuha
keliru. ‘Ahh.... sehingga ke hari ini aku tak memahami Idlan. Mungkin untuk
selamanya’...... Niyyaz Nazuha melepaskan keluhannya.
******
Ketawa Niyyaz Nazuha dan Izeq berpadu.
Cerita Izeq begitu menggeletek hatinya. Sejak mengenali pemuda ini, Niyyaz Nazuha mudah
sangat ketawa. Pemuda ini bukan sahaja menjadi rakan niaga yang baik malah
sahabat yang boleh berkongsi pelbagai topik cerita. Sikap terbuka dan peramah
Izeq membuatkan hubungan mereka semakin mesra malah mendatangkan masalah kepada
Niyyaz Nazuha. Kadangkala Niyyaz Nazuha tidak mampu menjawab segala pertanyaan
pemuda ini. Dalam banyak hal Niyyaz Nazuha begitu menyenangi Izeq. Tidak rugi
dirinya bersahabat dengan pemuda ini.
Langkah Niyyaz Nazuha dan Izeq
terhenti. Ketawa mereka terus lenyap. Idlan Raid muncul di hadapan kami. Niyyaz
Nazuha melemparkan senyuman kepada pemuda ini.
“Nak pergi mana?” soal Niyyaz
Nazuha.
“Ada hal” jawabnya ringkas
seraya mengalih pandangan kepada Izeq. Mereka bertukar senyuman.
“Idlan, ini Izeq, anak muda
Dato Ramlan” ujar Niyyaz Nazuha saling memperkenalkan kedua – dua lelaki ini. Pertama
kali Idlan Raid dan Izeq bersemuka.
“Gembira jumpa awak” sapa
Idlan Raid sambil menghulur tangan kepada Izeq.
“Saya juga gembira berkenalan
dengan awak” balas Izeq seraya menyambut huluran salam perkenalan itu.
“ Okeylah Yaz, Izeq saya pergi
dulu” ujar Idlan Raid meminta diri. Niyyaz Nazuha dan Izeq mengangguk. Mereka
kembali menyambung langkah. Sepi seketika. Izeq melirik ke arah Niyyaz Nazuha.
Kebetulan pula gadis itu menoleh ke arahnya. Pandangan mereka bersatu.
“Mengapa awak pandang saya macam
tu?” soal Niyyaz Nazuha. Izeq tersenyum sendiri.
“Saya kagum dengan awak, Yaz”
tuturnya perlahan. Bulat anak mata Niyyaz Nazuha menatapnya.
“Kagum?” Niyyaz Nazuha kurang
mengerti.
“Awak tabah. Saya pandang tinggi pada awak”
pujinya lagi.
“ Tiada istimewanya saya. Kalau
tak mengapa saya disingkirkan” ujar Niyyaz Nazuha merendah diri seraya
tersenyum sendiri.
“ Orang yang tak tahu hargai
awak itu bertindak bodoh, Yaz” bidas Izeq serius. Niyyaz Nazuha tersentak. Tidak
pernah dia mendengar pemuda ini berbicara kesat sedemikian. Ditatapnta Izeq
yang kelihatan serius.
“Jangan terlalu menyanjungi
saya” tingkah Niyyaz Nazuha kurang senang dengan pujian – pujian pemuda ini.
Dia tidak suka mendengar semua itu.
“ Saya tak pernah jumpa
perempuan seperti awak. Awak terlalu istimewa” puji Izeq lagi membuatkan Niyyaz
Nazuha tertawa.
“Saya susah nak puji perempuan
lebih-lebih. Banyak dah perempuan yang saya
temui, tapi awak terlalu berbeza dari mereka” tambah Izeq.
“Jadi awak ini kira buaya
jugalah” usik Niyyaz Nazuha. Izeq tersenyum.
“ Kadangkala saya seperti tak
percaya masih wujud perempuan sebaik awak dalam dunia materialistik ini. Saya
ingin sekali mendengar awak mencaci atau sekurang-kurangnya menunjukkan rasa
tak puas hati awak kepada orang yang pernah sakiti awak” ujar Izeq tersirat.
“Masih banyak lagi perempuan
baik yang belum awak temui. Saya tak suka berdendam” balas Niyyaz Nazuha
mengulas bicara pemuda ini.
“ Tapi seorang yang suka
memendam” sampuk Izeq. Niyyaz Nazuha tersenyum. Mungkin.
*********
Salwa tersenyum lebar bersama
sejambak bunga mawar segar di tangannya. Langkahnya semakin mendekati Niyyaz
Nazuha.
“Yaz, beruntunglah awak ada
peminat” usiknya seraya meletakkan mawar merah itu di atas meja Niyyaz Nazuha.
Niyyaz Nazuha menatap Salwa yang masih tersenyum.
“Untuk saya?” soalnya hairan. Salwa
mengangguk. Sudah sekian lama Niyyaz Nazuha tidak menerima bunga. ‘Siapalah
agaknya yang bermurah hati ini?’.... hati Niyyaz Nazuha tertanya – tanya. Pandangannya
terarah pada kad yang terselit di situ.
~ Terima Kasih Segalanya......
- Izeq -
Niyyaz Nazuha tersenyum
sendiri. Dihidu haruman bunga itu. Wangi.
“ Daripada siapa?” soal Salwa
ingin tahu.
“ Izeq....” balasnya ringkas.
“ Saya rasa anak Dato Ramlan itu
ada hati pada awak” komennya. Niyyaz Nazuha tertawa kecil. Lucu mendengar
kenyataan Salwa itu.
“ Tak mungkin, Sal” balas
Niyyaz Nazuha sambil tangannya masih bermain-main dengan jambangan bunga mawar
itu.
“ Rasanya awak sendiripun tahu.
Tengok saja caranya melayan awak. Kecualilah kalau awak buat-buat tak tahu” perli
Salwa. Dia diam. Izeq adalah sahabat
yang baik. Pemuda itu pendengar yang setia dan penasihat yang mampu
mengeluarkan buah fikiran yang bernas. Dia menghargai persahabatan mereka
selama ini.
“ Yaz.....” Niyyaz Nazuha
tersentak. Pantas sahaja dia berpaling. Idlan Raid sedang memerhatikan
gelagatnya. Dia terus meletakkan bunga mawar di atas meja. Segan.
“ Leka nampak....” komen Idlan
Raid dengan ekspresi wajah yang sukar ditafsir. Niyyaz Nazuha tersenyum.
“Saya nak bincang dengan awak
tentang projek di Taman Kenangan. Ada masalah sedikit” terangnya.
“Sekarang?” tanya Niyyaz
Nazuha. Idlan Raid mengangguk.
“Saya tunggu awak di bilik
saya” ujarnya lalu beredar pergi. Salwa tersenyum meleret menatapnya.
“Lama dia perhatikan awak
tadi” cerita Salwa. Besar anak mata Niyyaz Nazuha mendengar kenyataan Salwa itu.
Segan. Pasti pemuda itu fikir dirinya sedang dilamun cinta sekarang.
“Mengapa awak tak cakap tadi dia
perhatikan saya?” keluh Niyyaz Nazuha kesal. Salwa hanya tersenyum.
“ Saya pun baru tahu. Bila saya
berpaling saya nampak Idlan sedang terpacak di situ” tambah Salwa meneruskan
ceritanya. Niyyaz Nazuha melepaskan keluhan. Lantas mencapai fail projek Taman Kenangan
itu. Lima minit sudah berlalu. Tentunya pemuda itu sedang menanti kedatangannya.
Terus sahaja Niyyaz Nazuha mengatur langkah ke bilik itu mendapatkan Idlan
Raid.
Niyyaz Nazuha melepaskan tubuhnya
ke tilam. Kehidupan yang dilaluinya sekarang sangat meletihkan. Setiap masa
menuntut komitmen. Dia mendongak menatap siling terbentang putih. Anak matanya
beralih pada gambar itu. Laju sahaja tangan Niyyaz Nazuha mencapai gambar itu
lalu merenungnya lama.
“Awak masih nak simpan gambar
itu?” tegur Nina dengan nada kurang senang.
Gambar berbingkai kayu
bercorak itu diletak di atas mejanya. Niyyaz Nazuha mengangguk dengan pandangan
yang masih melekat pada gambar itu.
“Saya sayang sangat dengan
gambar ini. Gambar ini merupakan satu kenangan berharga” ujar Niyyaz Nazuha
disambut keluhan Nina.
“ Kenangan yang menyeksakan”
bidas Nina menyahut.
Niyyaz Nazuha tidak berniat mahu
membalas bicara Nina itu. Dibiarkan sahaja bicara itu berlalu. Tidak perlu
dirinya menjelaskan lebih lanjut tentang pendiriannya itu. Namun cukuplah jikalau
Nina mengetahui bahawa dirinya begitu menghargai sebuah kenangan kerana semua
ini tidak akan berulang lagi ibarat waktu yang tidak boleh diundur. Justeru, Niyyaz
Nazuha merasakan tidak salah dirinya menghargai dan mengagungkan gambar itu.
Kenangan itu adalah sebahagian
sejarah hidupnya. Lantas mengingatkan Niyyaz Nazuha pada kata-kata Muhammad
Yusof Iberahim dalam penulisannya, sebuah buku lama yang ditemuinya di
perpustakaan ketika bergelar pelajar dahulu. Menurut penulis itu, manusia
perlukan masa lalu atau sejarahnya sebagai sebahagian daripada pengalaman.
Sebahagian masa lalu akan dilupakan dan sebahagian lagi akan diabadikan.
Ada masa lalu yang tidak akan
dapat dilupakan. Peristiwa penting yang berlaku kepada seseorang pada masa lalu
dianggap peristiwa yang bersejarah. Lantas hidup dengan peristiwa tersebut
seiring dengan pertambahan usia. Pengalaman dapat dijadikan landasan bagi merangkakan kehidupan masa hadapan. Setiap insan akan cuba merangka
masa depan yang cemerlang. Kehidupan masa depan yang bahagia dan tidak
menghadapi kekurangan dalam serba-serbinya. Kehendak yang merupakan harapan dan
cita-cita menunjukkan perhubungan antara
masa lalu dengan masa kini dan seterusnya dengan masa yang akan datang.
Niyyaz Nazuha melepaskan
keluhan. Sudah 28 tahun dia meneruskan perjalanan hidup. Banyak perkara yang
telah dilakukan dan dilaluinya. Kadangkala dia pernah terfikir sama ada dirinya sudah
memenuhi matlamat dan impiannya. Namun ada tikanya dia sendiri tidak mengerti
akan matlamat dan impiannya itu. Lantas dia merasakan inilah ciri-ciri manusia
yang tertewas dalam sebuah kehidupan. Pepatah pernah mengatakan orang yang
tidak mempunyai matlamat dan impian adalah manusia yang gagal.
“Kamu seorang yang tabah, Yaz.
Betapa beruntungnya mama mempunyai menantu seperti kamu” luah Datin Sharifah. Terasa
ada kerinduan kepada wanita itu. Sudah lama juga dia tidak menjenguk perempuan
itu. Bimbang juga jikalau Datin Sharifah beranggapan bahawa dia telah
melupakannya. Dia sama sekati tidak akan melupakan Datin Sharifah. Kalau boleh
dia mahu menemui Datin Sharifah lebih
kerap lagi. Namun bimbang dengan penerimaan Idlan Raid. Niyyaz Nazuha tidak
mahu pemuda itu fikir yang bukan-bukan tentang dirinya. Paling merisaukan jikalau
Idlan Raid fikir dirinya mahu menagih simpati perempuan itu.
Deringan telefon bimbit
menyentakkannya. Laju sahaja tangannya mencapai telefon bimbit itu, lalu
menjawab panggilan itu.
“ Assalamualaikum.....” sapa
Niyyaz Nazuha.
“ Yaz.., saya nak ajak awak
keluar makan malam ini” pelawa suara itu.
Suara yang sering bermain di pendengarannya
sejak akhir – akhir ini. Bayangan yang sering mengejar setiap langkahnya.
Tiba-tiba hatinya dilanda keresahan.
Resah pada sebuah kenyataan yang bakal melukakan. Dia tidak tega lelaki ini terluka
persis yang pernah dirasakannya.
******
Niyyaz Nazuha melemparkan
pandangan ke wajah anak muda ini. Kelihatan sedikit bercelaru dan keletihan.
Maklumlah terpaksa memikul tanggungjawab yang besar. Lebih-lebih lagi sejak
kebelakangan ini kesihatan Dato Ramlan sering terjejas. Barangkali pemuda ini
risau dengan situasi yang dihadapinya sekarang.
“Kadangkala rasa menyesal juga
jadi anak tunggal ini” keluh Izeq.
“Semuanya terletak di bahu
kita membuatkan kadangkala terasa seolah-olah hidup ini diatur, tiada pilihan
dan terkongkong” tambahnya.
“Takkan begitu cepat awak
berputus asa” tegur Niyyaz Nazuha.
“Saya manusia biasa, Yaz.
Kemampuan saya ada hadnya” tingkah Izeq.
“ Saya faham tapi Izeq yang
saya kenali tak punya sikap seperti ini” tambah Niyyaz Nazuha cuba menyedarkan
Izeq betapa kuat dirinya suatu waktu dahulu.
“Mungkin awak belum cukup
mengenali saya” Niyyaz Nazuha hanya diam. Dia harus mengakui akan kebenaran
kata-kata pemuda itu.
“ Macam mana dengan keadaan
dato sekarang?” soal Niyyaz Nazuha mengubah topik perbualan mereka. Kedengaran
keluhan kecil Izeq. Wajahnya muram.
“Papa masih seperti itu,
batuk-batuk dan kadangkala sesak nafas. Biasalah penyakit tua” keluhnya. Niyyaz
Nazuha dapat merasakan kerisauan yang cuba disembunyikan Izeq di sebalik bicaranya
itu. Dia tahu betapa sayangnya Izeq kepada lelaki itu. Lelaki yang selama ini
menjadi ayah dan ibunya.
“Saya harap dato akan cepat
sihat” ujar Niyyaz Nazuha menitip doa buat lelaki itu.
“Sayapun harap macam itu juga”
sahut Izeq lemah.
Sepi lagi. Masing-masing
kematian akal meneruskan berbicara. Niyyaz Nazuha menyedari Izeq menjadi begitu
pendiam. Dia pula sememangnya seorang yang sering kekeringan idea bagi memanjangkan
berbicara. Maka Niyyaz Nazuha mengambil keputusan terus berdiam selagi Izeq
tidak mahu berbicara. Biarlah mereka berbicara dengan diri masing-masing. Cuba mencari ketenangan sendiri
malam ini.
best 3x.
ReplyDelete