Monday, 7 November 2011

NamaKu Bukan Flora! 12


BAB 12

 “Lia....” Aku tersentak mendengar suara yang memanggil namaku itu. Perlahan – lahan aku berpaling. Aku tergamam. Gelas yang kupegang terlepas dari tanganku lalu pecah berderai tatkala berpadu dengan lantai. Tetamu yang berada di sekelilingku melontar pandangan kepadaku. Aku menggelabah. Dalam keadaan tidak keruan itu aku buru – buru cuba mengutip serpihan kaca yang bertaburan di lantai. Belum sempat aku melangsaikan kesemuanya, tangan itu menangkap tanganku menegah aku dari terus mengutip taburan kaca di lantai.

“Bersihkan kawasan nie sekarang” arahnya kepada dua orang lelaki yang lengkap berpakaian seragam hotel itu. Keduanya menunduk patuh. Tanganku ditarik mengajakku berdiri semula. Kupandang sekelilingku. Masih banyak mata yang sedang menatapku.Aku malu dengan pandangan orang di sekelilingku.

“Are you okay?” soalnya. Aku menatap wajah pemuda ini. Lama. Lidahku kelu. Kedengaran suara di sekelilingku berbisik – bisik.

“Lia, awak tak apa – apa?” soalan yang sama diulang lagi tapi dalam versi yang lain. Aku tersentak. Bagaikan baru saja sedar dari khayalan. Kutatap lagi wajah pemuda ini. Terasa kelukaan semalam kembali berdarah. Aku bagaikan tidak mampu untuk berhadapan dengan pemuda ini.

“Haqem, apa hal?” Seorang gadis datang merapatinya lalu memaut lengan Haqem dengan mesra. Kupandang gadis itu. Barangkali gadis inilah gerangan tunangnya yang dipilih oleh ibunya. Dia memang gadis yang cantik. Mereka memang pasangan yang sepadan. Tanpa diarahkan aku terus saja mengatur langkah meninggalkan Haqem bersama gadis itu dengan persoalannya yang belum dijawab.

 “Lia, kau nak pergi mana tu?” Aku tidak pedulikan suara itu. Langkahku kian laju meninggalkan ruang legar. Aku rasakan tika ini semua orang sedang memandang ke arahku. Langkahku terhenti di taman ini. Terasa lemah seluruh tubuhku. Lantas kulabuhkan punggungku di bangku kayu ini lalu bersandar lemah di situ. Aku terpaku lama di situ. Perlahan – lahan terasa panas mengalir di pipiku. Semakin lama kian lebat. Akhirnya aku menangis teresak – esak. Betapa apa yang telah berlaku tadi mengaibkan diriku. Nampak sangat aku belum bersedia untuk bersemuka dengan Haqem. Paling nyata Haqem menyaksikan betapa lemahnya diriku. Aku tidak berupaya untuk berhadapan dengan dirinya.

“Flora.....” Aku mendongak. Lelaki berbaju Melayu kelabu cair  lengkap bersongkok tinggi sedang menatapku. Pandangan yang penuh bersahaja. Kuamati betul – betul. Ohh....., rupanya dialah yang berada di atas pentas yang mempersembahkan petikan piano tadi. Tidak sangka pemuda yang dingin membeku ini boleh bermain piano dengan baik.

Dia melabuhkan punggungnya di sebelahku di bangku kayu ini. Laju saja tanganku mengesat air mata yang telah membasahi pipiku. Sedu sedanku kutahan – tahan. Cuba melenyapkannya. Tidak mahu pemuda ini mendengar mahu pun menyaksikan deraian tangisanku. Aku melirik ke arahnya. Dia mendongak memerhatikan bintang di langit. Begitu tenang lagaknya.

“Buat apa nak menangis, kan makanan kat dalam tu masih banyak lagi. Awak boleh makan sampai kenyang pun” ujarnya tanpa menatapku. Pandangannya masih setia pada hamparan langit.

“What! Awak ingat saya nie budak kecil yang menangis kerana nakkan makanan!” tinggi saja suaraku. Dia diam. Namun senyuman sudah terukir di bibirnya. Kali ini pandai pula dia tersenyum.

“Kalau begitu awak kena berhenti menangis. Nanti orang ingat awak tak cukup makan” tambahnya lagi.

Dia menyamakan orang lain sepertinya. Aku merenung dirinya yang lengkap dengan persalinan baju Melayu dengan aksoserinya sekali. Kemudian menatap diriku yang sedang memakai kebaya ini. Duduk berdua – duaan begini persis Uda dan Dara yang sedang memadu kasih asmara di taman bunga. Aku tersenyum sendiri menyedari semua ini.

“Kan lebih cantik tersenyum begitu” ujarnya masih juga tidak mahu menatap wajahku. Aku tersenyum lagi. Dia pun turut sama tersenyum. Tiba – tiba muncul seorang lelaki yang berpakaian tentera bangsawan Inggeris berambut ikal putih yang dipakai oleh hakim mahkamah dengan nafas yang tercungap – cungap. Nampak begitu lawak penampilan dirinya ini. Dia mengurut dada. Aku dan pemuda ini menatap hairan ke arah lelaki yang baru saja muncul ini.

“Apa hal Rasul?” soalnya. Rupanya dia mengenali lelaki ini.

“Aqel awak dah menang anugerah tu. Cepat pergi ambik hadiah awak kat pentas. MC dah panggil tu. Bawa sekali gadis nie” tutur lelaki yang bernama Rasul dengan deruan nafasnya yang tersekat – sekat. Aku dan pemuda ini hanya tercengang – cengang. Tidak mengerti bicara yang disampaikan oleh Rasul. Kami langsung tidak bergerak dari tempat duduk ini.

“Awak Nur Dahlia kan?” soalnya. Aku mengangguk.

“Awak pun dapat anugerah tu. Cepat! Kedatangan kamu berdua sedang dinanti – nantikan” ujar Rasul lagi seraya menarik tangan pemuda ini mengarahkannya untuk bergerak. Aku diminta bergerak sama. Dalam keadaan yang masih keliru, aku dan pemuda ini beriringan melangkah kembali ke ruang legar dewan.

“Tunggu dulu” pintaku. Dalam keadaanku sekarang terasa malu aku hendak berhadapan orang ramai. Mataku mesti nampak merah selepas menangis tadi. Apatah lagi kejadian yang menimpaku sebentar tadi. Serasa tidak kuat saja aku hendak berdepan dengan mereka. Mujur juga aku teringatkan kaca mata hitam yang berada di dalam tas tangan merah ini. Laju saja tanganku mengeluarkannya lalu memakainya.

“Okey tak?” sempat juga aku meminta pendapat pemuda ini. Dia mengangguk. Begitu serius saja wajahnya. Kemudian dia terus saja menyambung langkahnya. Laju langkahku mengekorinya. Kemunculan kami di ruang legar dewan mendapat tepukan gemuruh membuatkan aku tergamam. Pemuda ini juga nampak terkejut. Dadaku berdebar – debar.

“Anugerah pasangan yang paling ideal pada malam nie milik Encik Aqel Indra Putra bin Abdullah dengan Cik Nur Dahlia binti Sallehudin” suara lelaki yang bergema disambut tepukan gemuruh tetamu. Kupandang sekeliling. Semuanya sedang memandang ke arah kami. Aku dan pemuda ini saling berpandangan. Terkesima dengan pengumuman tadi.

“Dipersilakan pasangan ini naik ke pentas untuk menerima anugerah yang akan disampaikan oleh Encik Ummar Zaib bin Abdul Khatib selaku ketua juri pencarian pasangan ideal pada malam nie. Pemarkahan diberi 100% berdasarkan pakaian yang pakai” ujar MC memberi penjelasan.

Kulontar pandanganku ke pentas. Ummar Si Alladin yang aku kenali tadi sedang tersenyum menanti kedatanganku dengan pemuda ini. Aku terus saja teringat akan pesanan Ummar tadi. Agaknya inilah motifnya menghalang aku meninggalkan majlis lebih awal. Paling mengejutkan tidak sangka pula ada anugerah sebegini. Ingatkan majlis ini sekadar makan malam semata - mata.

Tiba di pentas aku dan pemuda ini bersalaman dengan Ummar. Ada mahkota yang diletakkan di kepalaku dengan kepala pemuda ini. Persis seorang putera dan puteri raja. Aku juga menerima sejambak bunga ros segar. Begitu juga dengan pemuda ini. Tepukan tangan para tetamu kedengaran lagi. 

Dari kaca mata hitam ini aku dapat memerhatikan air muka Rania tika ini yang nampak keruh. Pasti dia kurang senang dengan anugerah yang aku terima bersama pemuda ini. Terus saja aku teringatkan kutukannya bersama kawan – kawannya tadi. Begitu juga dengan pandangannya ketika pemuda ini mempersembahkan petikan pianonya di atas pentas. Ketika ini juga baru aku ternampak Marnie dan Reka yang sedang melambai – lambai tangan ke arahku.

Sesi bergambar turut diadakan. Usai saja bergambar aku terus saja melangkah meninggalkan pentas. Kurang senang terus – terusan jadi tontonan tetamu yang lain. Pemuda itu masih berbual – bual dengan Ummar.

“Lia...” Langkahku terhenti. Haqem muncul di depanku. Terasa degupan jantung begitu rancak. Ingin saja aku melarikan diri lagi, namun tubuh Haqem menghalang langkahku. Justeru, aku memusing tubuhku semula cuba berpatah balik ke laluan awal tadi. Namun laju saja tangan Haqem memaut lenganku. Langkahku terhenti lagi. Kutatap wajah Haqem. Kurang senang dengan perlakuannya ini.

“Lepaskan aku” tegasku. Tangan Haqem langsung tidak mahu berganjak dari situ.

“Flora............!” tiba – tiba saja ada suara yang terlalu dekat denganku. Tangan Haqem jatuh dari lenganku. Aku berpaling. Pemuda dingin membeku ini sudah berada di sebelahku.

“Flora?” Nama itu terpancul dari mulut Haqem. Hairan. Selamba saja pemuda ini mengangguk.

“Aqel, awak kenal dia?” soal Haqem terkejut. Dia mengangguk lagi.  Aku juga turut terkejut. Tidak sangka mereka saling mengenali. Mujur juga otakku cepat bertindak. Kesempatan yang ada aku gunakan sebaik – baiknya. Lantas kupaut lengan pemuda ini untuk membawanya beredar dari sini. Dia nampak tersentak dengan tindakan drastikku.

“Hantar saya balik rumah sekarang” pintaku berlakon. Mujur juga pemuda ini patuh saja dengan bicaraku. Mungkin dia mengetahui aku perlukan pertolongannya untuk berlakon tika ini.

“Haqem, kami pergi dulu” ujarnya lalu mengikut gerak langkahku meninggalkan Haqem yang terkebil – kebil. Keluar saja dari dewan itu, aku terus saja melepaskan pautan tanganku pada lengan pemuda ini.

“Maaf...” tuturku lalu melangkah meninggalkannya di situ.
“Flora!” Aku menoleh ke belakang. Pemuda itu sedang berlari mengejar langkahku.
“Biar saya hantar awak balik” ujarnya mengejutkan aku.
“Tak pe, saya boleh balik sendiri” jelasku menolak pelawaannya.

“Mari...” Dia berdegil juga lalu menarik tanganku ke keretanya. Aku terpaksa mengikuti langkahnya. Kebetulan juga aku masih risau kalau – kalau Haqem mahu mengintip pergerakan kami. Sekurang – kurangnya melihat keadaan sekarang Haqem akan berfikir yang aku sudah ada pengganti dirinya dan hidup bahagia sekarang. Biar Haqem rasa tercabar dan menyesal meninggalkan aku suatu waktu dahulu.

Sekarang aku sudah berada di dalam Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe , Model 308 cc. Tidak sangka aku akan berkesempatan duduk di sebelah seorang lelaki kacak di dalam kereta mewah sebegini. Betul – betul bagaikan mimpi yang indah. Paling tidak sangka pemuda dingin membeku ini juga yang membantuku. Aku terhutang budi kepada pemuda ini untuk kali seterusnya. Lapang dadaku tatkala Peugeot RCZ Sports Coupe mula meninggalkan perkarangan Hotel Pancawara bergerak laju di jalan raya.

“Saya tinggal di Taman.........”

“Tak pe, saya tahu alamat rumah awak” cepat saja dia memintas bicaraku. Aku menatapnya. Kenyataannya begitu menghairankan aku.

“Bagaimana awak tahu tempat tinggal saya?” soalku cuba memecah kebingungan. Senyap. Dia tidak terus menjawab pertanyaanku. Tampak tenang saja lagaknya.

“Awakkan bekerja dengan KDUT. Maklumat diri awak ada dalam fail” jelasnya menjawab pertanyaanku. Logik juga jawapan yang diberikan. Namun masih ada kemusyikilan. Begitu tajam fikiran dia hendak menghafal maklumat setiap pekerja KDUT. Rasanya perkara ini tidak logik.

“Jadi awak hafallah semua maklumat pekerja KDUT yang lain?” soalku menguji ketelusan jawapan yang bakal diberikannya. Senyap. Pertanyaanku tidak terus dijawab. Dia berpaling menatapku sesaat. Kemudian kembali fokus pada pemanduannya.

“Hafal alamat beberapa orang yang ada kaitan dengan saya saja” jawapannya sedikit terlewat. Kusandarkan tubuhku di kerusi. Begitu selesa. Aku kembali teringat kepada Haqem dan gadis itu. Mungkinkah mereka sudah menjadi pasangan suami isteri sekarang. Timbul rasa cemburu dalam diriku.

“Awak kenal Haqem?” soalan yang keluar dari mulutnya mengejutkan aku. Kutatap wajah pemuda ini seketika. Macam tahu – tahu saja dia yang aku sedang memikirkan Haqem. Aku mengangguk. Aku cukup kenal siapa Haqem. Dialah lelaki pertama yang pernah memiliki hati ini. Tiada restu keluarga telah menjadi penghalang pada percintaan ini. Haqem telah meninggalkan aku untuk bersama gadis pilihan ibunya. Kutatap pemuda ini. Dia tidak mahu berbicara lagi. Persoalannya setakat itu saja.

Bicaranya memang tepat. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe , Model 308 cc berhenti tepat – tepat di pintu pagar rumah keluargaku.

“Saya hadiahkan bunga ini pada awak” ujarnya seraya menyerahkan sejambak bunga ros segar itu kepadaku. Aku kehairanan menatapnya. Kusambut bunga ros yang dihulurkannya kepadaku.

“Bukan ke nie hadiah awak?” soalku.
“Saya hadiahkan kat awak sebab awak nampak cantik dengan penampilan malam nie” bicaranya bersahaja buat aku tergamam.

“Thanks for everthing. Hati – hati pandu kereta” ujarku sambil mengingatkannya lalu menolak daun pintu kereta dengan penuh hati – hati. Peugeot RCZ Sports Coupe belum bergerak meninggalkan halaman. Barangkali pemuda itu ingin mempastikan aku betul – betul selamat barulah dia mahu meninggalkan aku. Mulia juga hatinya.

“Flora!” Aku berpaling ke arah pemuda itu. Biarpun itu bukan namaku tapi aku tahu dia memanggilku. Aku dan pemuda itu saling berpandangan.

“Terima kasih belanja saya makan tempoh hari. Awak boleh panggil saya Aqel” ujarnya memperkenalkan diri dengan wajah yang bersahaja lalu memandu keretanya meninggalkan halaman rumah ini.

Aku tersenyum sendiri. Sekurang – kurangnya dia menghargai pemberianku yang tidak seberapa nilainya itu. Kutatap jam di tanganku. Ingin saja aku menelefon Nana memaklumkan kepadanya yang aku sudah sampai rumah. Namun sudah terlewat untukku menelefon Nana. Risau kalau mengganggu lenanya. Lantas kuhantar saja sms memaklumkan kepulanganku yang dihantar oleh prince charming. Sengaja mahu menyakat Nana.

Dua minit kemudian mesej Nana sampai bertanyakan banyak soalan. Namun laju saja jariku mematikan telefonku. Aku hendak tidur sepuas – puasnya tanpa sebarang gangguan. Aku mahu tatkala aku membuka mata esok fikiranku kosong agar aku boleh mencorak hidup yang lebih membahagiakan. Amin.

No comments:

Post a Comment