Sunday 19 February 2012

'143......Tiada Penghujungnya' 20



BAB 20

Aku mempercepatkan langkahku tatkala menyedari Daniel bersama – sama kawan – kawannya di belakangku. Tidak mahu aku bertentang mata dengannya. Rasa tergurisku masih membara. Kiranya persahabatanku dengan Daniel sudah sampai noktahnya. Namun tidak bermakna Daniel boleh melukai perasaanku sesuka hati. Perpisahan yang kukehendaki tidak bermakna permusuhan yang kupinta. Aku hanya mahu kami membawa haluan hidup sendiri.

Aku mengatur langkahku mendaki satu – persatu anak tangga blok bangunan yang menempatkan kelasku. Langkahku terhenti. Segera aku berdiri di tepi memberi ruang pada Sara yang kelihatan bergegas bagai ada kecemasan. Pandanganku dan Sara bertembung. Senyuman yang kulemparkan tidak bersambut. Sara menatapku dengan pandangan kosong. Tanpa kuduga Sara terus saja mengambil jalan tepi lalu bertembung denganku. Tubuhku ditolak kasar. Dalam keadaan yang tidak bersedia, aku jatuh tersungkur bergolek menuruni dua anak tangga batu ini. Buku – buku di tanganku bertaburan. Sara memandangku sekilas dengan senyuman sinis lalu beredar meninggalkan aku bagai tiada apa – apa yang berlaku.

Tubuhku terasa sakit. Aku berpaut pada dinding lalu bangun perlahan – lahan. Seketika aku duduk di anak tangga cuba menghilangkan rasa sakit akibat jatuh tadi. Ternyata buku laliku lebam. Kugagahi diriku bangun lalu terbongkok – bongkok mengutip buku – buku yang bertaburan di lantai simen.

“Liya, apa halnya nie?” ada suara lelaki menegurku. Aku berpaling ke arah suara itu. Farhan sudah berada di depanku. Boney dan Daniel juga ada bersama. Aku diam.

“Awak jatuh ke?” Kali ini Boney pula yang bersuara. Aku mengangguk. Daniel hanya menatapku sekilas lalu meneruskan langkah beredar meninggalkan teman – temannya yang berniat mahu membantuku.

“Daniel, tunggu ler kejap!” laung Farhan tatkala melihat Daniel langsung tidak mempedulikan aku yang masih terkial – kial di depan tangga batu ini.

“Tak pe, kamu pergi ler dulu. Saya okey” ujarku mengarahkan Boney dan Farhan berlalu. Laju saja tangan Farhan mengutip buku – bukuku yang masih bertaburan di lantai simen ini.

“Macam mana awak boleh jatuh nie? Ada orang langgar awak ke?” soal Boney sangsi. Aku geleng kepala. Tidak mahu membesar – besarkan kejadian ini. Memang sudah nasibku. Kiranya hari ini aku bernasib malang.

“Betul awak okey? Boleh jalan sendiri?” soal Boney masih mahu mempedulikan aku. Aku mengangguk.

“Kalau macam tu kami pergi dulu ler” tutur Farhan meminta diri. Aku mengangguk dan mengalu – alukan kepergian mereka.

“Terima kasih” tuturku. Farhan dan Boney tersenyum lalu meneruskan langkah cuba mengejar kelibat Daniel yang sudah tidak kelihatan lagi. Aku mengibas – ngibas pakaian sekolahku yang sedikit kotor. Dalam keadaan terhinjut – hinjut aku berusaha mengatur langkah ke kelas. Mujur  juga Zatul, Fatin dan Umie kelihatan sibuk sangat lantas tidak menyedari kedatanganku ini. Aku terus saja duduk mematungkan diri di kerusiku. Tidak mahu banyak bergerak. Diam – diam aku menahan rasa sakit ini.

“Apa hal dengan kau nie, Daniel?” soal Boney kurang senang dengan
perlakuan pemuda ini tadi. Daniel menatapnya tajam.

“Kau buat tak tahu je kat Liya ye” rungut Boney lagi.

“Kau langsung tak de perasaan kasihan tengok dia macam tu. Aku rasa kejadian tadi mesti angkara Sara. Apa pendapat kau, Farhan?”soal Boney mula sangsi. Farhan angkat bahu. Tidak berani membuat kenyataan risau tersilap. Kebetulan pula perang dingin sedang tercetus antara Daniel dengan Liya. Khuatir juga dia andai bicara yang keluar dari mulutnya akan menimbulkan kemarahan Daniel. Namun dia tidak menyangkal kalau kejadian yang menimpa gadis itu adalah angkara Sara. Sara begitu bencikan Liya. Sara membenci Liya sebab Daniel rapat dengan gadis itu.

“Kamu jangan cakap sebarangan. Semua tu tak de kena – mengena dengan Sara. Kalau dah nak jatuh, sendirian pun boleh jatuh” tingkah Daniel menyangkal tanggapan Boney. Boney mengeluh.

“Ada bezanya jatuh sendiri dengan jatuh yang dibuat orang, Daniel” sahut Boney tidak mahu mengalah. Daniel mendengus. Panas hatinya bila Boney terus – terusan membela gadis itu.

“Kalau betul Sara yang menolak dia bagus ler. Itulah balasan atas kesombongannya” ujar Daniel membuatkan Boney dan Farhan terkedu.

“Daniel, tak baik awak cakap macam tu” tegur satu suara. Serentak mereka menoleh. Aku dan Zatul berlawanan pandangan dengan mereka. Kutatap Daniel. Namun cepat saja dia mengalih wajahnya. Boney dan Farhan masih kelihatan terkejut. Zatul pula masih dengan wajah marahnya.

“Zatul, mari kita pergi” pintaku seraya memaut lengan Zatul. Lantas Zatul memimpinku membawaku pergi.

“Kamu nak pergi mana?” soal Boney melihat kedua gadis itu bergerak
meninggalkan blok itu. Langkahku dan Zatul terhenti. Zatul terus saja berpaling ke arah Boney.

“Saya nak hantar Liya pergi klinik. Buku lalinya lebam dan bengkak” jelas Zatul sedikit melaung kepada Boney malah turut didengari oleh Farhan dan Daniel.

“Zatul....” tegurku kurang senang dengan tindakannya yang memaklumkan perkara ini kepada mereka. Boney terus saja berlari ke arahku dan Zatul.

“Biar saya tolong hantar kamu pergi klinik” ujar Boney menghulurkan pertolongan. Aku jadi tidak senang hati. Apatah lagi pandangan Daniel begitu tajam.

“Bagus juga kalau macam tu” sahut Zatul tersenyum.

“Tak pe....” Aku pula cuba menolak pertolongan yang cuba Boney berikan. Boney adalah sahabat karib Daniel. Sudah pasti aku tidak selesa kalau Boney bersikap baik denganku.

“Saya nak tolong kamu ikhlas” jelas Boney bila saja aku mahu menolaknya.

“Boleh ler Liya. Tak payah ler kita telefon ayah kau nak minta hantar pergi klinik. Nanti risau pula orang tua tu” nasihat Zatul. Kata – kata Zatul ada benarnya.

“Macam mana? Boleh kan?” soal Boeny lagi. Aku mengangguk. Zatul terus saja tersenyum lebar senang hati. Lantas aku, Zatul dan Boney beriringan melangkah ke kawasan tempat letak kereta. Kulupakan saja renungan tajam mata Daniel tadi.

“Aku rasa kecederaan Liya serius ler, Daniel” tutur Farhan sambil masih memerhatikan ke arah Boney dan dua orang gadis itu. Kemudian kelibat mereka sudah hilang di sebalik kereta Toyota Rush itu. Daniel terdiam panjang. Ekspresi wajahnya sukar untuk diterjemahkan.
 
###########################


Hari ini masuk hari kedua aku cuti sakit. Doktor mengeluarkan surat sakit untukku selama 5 hari. Kiranya serius jugalah kecederaan di buku laliku. Hari ini juga sudah berkurang sedikit rasa sakitnya. Dua hari lepas seakan aku tidak boleh memijakkan kakiku ini. Sakitnya menyengat – nyegat. Aku berhati – hati melunjurkan kakiku di sofa panjang ini. Lantas kucapai remote tv lalu menghidupkannya. Dalam keadaan sekarang tiada banyak yang boleh aku lakukan.

Keasyikanku menonton drama Melayu di tv terganggu dengan nada dering bunyi mesej yang masuk. Kupanjangkan tanganku mencapai telefon bimbitku di atas meja di depanku. Sempat juga anak mataku melirik ke arah jam. Sudah mencecah ke pukul 2.00 petang. Mungkin mesej daripada salah seorang teman – temanku yang sudah sampai ke rumah selepas menamatkan waktu persekolahan hari ini. Lantas kubuka. Mesej ini bukan daripada Zatul, bukan dari Fatin mahupun Umie. Aku memandang sederet nombor yang tidak kukenali ini. Barangkali mesej yang dikirim oleh abang Zekri. Lantas saja aku paparkan mesej penuhnya.

~ Waiting for sunrise, waiting for another day, waiting alone again in the same old way. Waiting for you to be back as nothing is the same without you. I miss you so much! ~

Dua tiga kali aku membaca mesej puitis dan romantik ini. Siapakah gerangan yang menghantar mesej ini? Mungkin juga ada yang tersilap hantar. Perkara ini biasa berlaku. Lantaran itu kuabaikan saja mesej ini. Langsung aku tidak rasa terganggu dengan kedatangan mesej ini sebab aku sudah memutuskan bahawa si pengirimnya tersilap hantar. Baru saja aku hendak meletakkan telefon ini di meja kembali, tiba – tiba berdering pula. Terpamer nama Fatin di dada skrin. Aku tersenyum senang hati menerima panggilan gadis ini. Laju saja jariku menekan panggilan diterima.

“Assalamualaikum Liya. Awak dah sihat?” Salam Fatin kusambut.

“Okey sikit tapi masih terasa sakitnya” jelasku tanpa berselindung.

“Dah lama kita tak jumpa, rindu ler kat kau” ujar Fatin buat aku tersenyum sendiri.  Bahagia mendengar ungkapan rindu Fatin itu. Sebenarnya aku pun rindu juga kepada teman – temanku. Namun aku kenalah redha menerima dugaan Allah ini.

“Bagaimana dengan kelas p & p?” soalku gusar memikirkan sudah banyak pelajaran yang aku tertinggal.

“Kau tak payah risau. Kami dah salin nota – nota untuk kau. Nanti kau rujuk ler nota – nota tu” ujar Fatin menyenangkan hatiku. Aku menarik nafas lega. Terasa lapang dadaku. Rasa bersyukur sangat kerana aku dikurniakan sahabat – sahabat yang begitu baik dan bertimbang rasa. Bahkan sangat prihatin kepadaku. Merekalah sahabat susah senangku. Terima kasih Allah kerana Engkau kurniakan aku sahabat – sahabat yang terbaik buatku. Tidak semua orang akan dipertemukan dengan sahabat yang sehati sejiwa. Malah ramai juga kawan yang makan kawan pada zaman meterialistik ini.  

“Terima kasih Fatin dan sampaikan terima kasih aku juga pada Umie dan Zatul. Kalian ler sahabat terbaikku dunia akhirat” ujarku beremosi. Fatin tergelak kecil.

“Awak nie tetiba je sentimental” usik Fatin membuatkan aku tersenyum sendiri. Tiba – tiba saja aku terharu dengan kebaikan mereka. Sukar untukku mencari sahabat sebaik mereka.

“Okey awak rehat ler ye. Jangan lupa makan ubat. Semoga kau cepat sembuh” doa Fatin. Keprihatinan Fatin buat aku bertambah terharu.

“Thanks Fatin” Klik. Perbualanku dengan Fatin sudah terputus. Tetiba rasa dahaga pula. Barangkali kerana baru saja habis berbicara dengan Fatin. Logiknya tidaklah lama sangat aku berbual dengan Fatin sehingga membuatkan aku kering air liur.

Aku bangkit dari sofa dengan berhati – hati lalu mengatur langkah perlahan – lahan ke dapur. Kucapai gelas kosong dari rak lalu membuka peti sejuk lantas menuang air sejuk ke dalam gelas tadi. Dengan kalimah Allah, aku meneguk air kosong ini. Terasa nikmat tatkala kedinginannya menjalar membasahi tekakku yang kering. Aku bergerak ke sinki lalu mencuci gelas yang baharu saja aku gunakan ini. Kuletakkan gelas yang sudah bersih ini di rak pengeringan. Kemudian aku melangkah kembali ke ruang tamu.    

Skrin telefonku menyala. Baharu saja lepas menerima mesej. Kulabuhkan punggungku di sofa lantas dengan berhati – hati aku mengangkat kakiku lalu melunjur di sofo panjang ini. Kucapai telefon untuk membaca mesej yang dihantar itu. Tertera nombor yang sama seperti tadi. Mesejnya tetap berbunga – bunga.

~ I’ve made so many mistakes in my life, but something I did right was to have you as a friend and I definitely wont make another mistake of losing someone like you ~

Aku berfikir panjang cuba mengingati sederet nombor ini. Namun tidak kutemui jawapannya. Mungkin juga si pengirimnya masih tidak mengetahui yang dia sebenarnya telah tersilap hantar mesej ini. Aku mengambil keputusan untuk membalas balik mesej ini. Kunyatakan kepada si pengirim bahawa dia tersalah orang. Lantas kuhantar mesej balasanku kepada sederet nombor yang terlalu asing ini. Laporan mesej telah berjaya dihantar kuterima. Aku menanti kalau – kalau ada lagi mesej balasan yang kuterima daripada nombar tadi. Beberapa minit berlalu telefonku senyap saja. Terbukti memang pemilik nombor itu tersalah hantar. Sedikit lega hatiku kerana tidak perlu memikirkannya lagi.

DANIEL menatap sekumpulan gadis yang berada di bangku kayu itu sedang berbual rancak tidak berapa jauh dari mereka. Selalunya mereka berempat tetapi sekarang mereka hanya tinggal bertiga. Sudah beberapa hari kumpulan itu kehilangan seorang ahlinya. Keadaan itu menggusarkan hati Daniel. Ada keinginan yang melonjak – lonjak dalam dirinya namun terpaksa dipendam saja. Ingin sekali hatinya merisik perkhabaran gadis itu tetapi pada siapa patut diajukannya persoalan itu. Orang sekeliling menilai ada pemusuhan yang wujud antara dirinya dengan gadis itu. Akhirnya dia hanya mampu mengutus doa kesejahteraan buat gadis itu dalam diamnya sedangkan hati dan perasaannya kian diselubungi kerisauan yang panjang.

“Kau betul – betul tak kisah dengan keadaan Liya?” suara Boney menyentakkannya. Daniel berpaling menatap sahabatnya itu.

“Kasihan aku tengok dengan Liya tu. Tak pasal – pasal jadi mangsa pula” tutur Boney kesal dan bagaikan sedang menyalahkan seseorang. Mungkin juga sedang menyesali kejadian yang menimpa gadis itu. Sikap ambil berat dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Boney kepada gadis itu mengundang rasa cemburu Daniel.

“Maksud kau?” soal Farhan mencelah. Sedikit melegakan Daniel mendengar Farhan mengutarakan persoalan itu. Hakikatnya dia pun inginkan penjelasan lanjut pada bicara yang keluar daripada mulut Boney itu. Namun keegoan yang tinggi menghalangnya untuk bersuara.

“Aku bukan nak menyalahkan kau, Daniel. Tapi aku cukup sedar Sara bertindak kasar pada Liya adalah disebabkan kau. Aku rasa ada baiknya juga kau dan Liya tak rapat lagi” tutur Boney meluah isi hatinya. Daniel kurang senang dengan ayat terakhir yang keluar dari mulut sahabatnya itu.

“Aku pun rasa macam tu juga” sokong Farhan turut bersimpati pada Liya. Daniel tiba – tiba saja mendengus. Hatinya mendidih. Entah pada siapakah kemarahan itu harus dilempiaskan? Pada Sara yang mencetuskan musibah kepada Liya? Pada kedua sahabatnya yang mula bersimpati pada gadis itu lalu menyalahkan dirinya? Atau pada Liya sendiri kerana menolak isi hatinya lantas dia menjauhi gadis itu dan tidak mampu melindunginya. Daniel tidak mampu menahan kemarahannya lagi lantas diatur langkahnya meninggalkan kedua – dua sahabatnya itu. Farhan dan Boney terkebil – kebil melihat tindakan Daniel yang tiba – tiba saja meninggalkan mereka.

“Daniel, kau nak pergi mana tu?” laung Farhan bertanya. Laungan sahabatnya itu langsung tidak diendahkannya.

“Biar ler dia pergi. Dia perlu bersendirian untuk berfikir” ujar Boney. Farhan dan Boney berpandangan. Kemudian kedengaran keluhan Farhan.

“Aku rasa ler memang Daniel perlukan Liya” luah Farhan. Boney mengangguk. Sesuatu yang sedang bermain di mindanya.

“Aku pun rasa macam tu juga” sahut Boney menyokong. Akhirnya keduanya terdiam panjang melayan perasaan sendiri. Daniel menatap cermin di depannya dengan wajah yang menyinga. Tidak siapa yang berani menyapanya tatkala melihat keadaan dirinya itu. Tiba – tiba saja kedengaran bunyi deraian kaca yang pecah. Perlahan – lahan panas mengalir keluar lalu membasahi jari – jemarinya. Rintik – rintik merah itu sudah jatuh ke lantai simen itu. Daniel baharu merasakan ada kepedihan yang menyucuk – nyucuk. Pandangannya mula berpinar – pinar. Dia menyandarkan tubuhnya ke dinding konkrit itu.

“ Farhan! Boney!” Serentak dua orang sahabat itu mengalih pandangan ke arah suara itu. Seorang pelajar lelaki kelihatan cemas berlari ke arah mereka.

“Tangan Daniel luka. Banyak darah keluar. Dia kat bilik air sekarang” cerita lelaki itu dengan nafas yang tercungap – cungap. Farhan dan Boney terus saja berlari mendapatkan Daniel. Pandangan pelajar – pelajar lain menyoroti pecutan mereka. Masing – masing tertanya – tanya. Situasi itu turut menarik perhatian Zatul, Umie dan Fatin. Lantas Zatul bertindak lebih pantas menjejaki perkara itu demi mengetahui cerita sebenarnya. Kelihatan pelajar – pelajar berkumpul di luar bilik air itu. Perasaan ingin tahu Zatul kian melonjak – lonjak. Diredahnya tubuh – tubuh yang menghalang perjalanan. Pandangannya terikat pada pakaian putih seragam sekolah yang sudah bercorak – corak merah itu, Zatul tergamam. Anak matanya beralih. Tatkala terpandang seraut wajah pucat itu, Zatul terkedu lagi. Mujur juga dia tidak jatuh pengsan di situ. Langkahnya perlahan – lahan meninggalkan tempat kejadian.

“Apa yang telah berlaku, Zatul?” soal Umie sambil menghampirinya. Zatul geleng kepala. Tekaknya terasa loya. Fatin dan Umie berpandangan.

“Cuba bertenang. Tarik nafas perlahan – lahan” arah Fatin sambil memaut tangan Zatul. Zatul menarik nafas. Cuba menghirup udara memberikan oksigen yang cukup untuk dirinya.

 “Aku tak tahu apa yang berlaku tadi. Tapi aku nampak darah Daniel banyak keluar” cerita Zatul setelah keadaannya tenang.

“Apa!” Serentak Umie dan Fatin meluahkan rasa terperanjat mereka tatkala mendengar kenyataan itu.

“Umie.... Fatin.... Aku rasa nak muntah ler tengok darah tu” tutur Zatul perlahan sambil memegang perutnya.

“Cepat pergi ke bilik air” arah Fatin lalu Zatul terus berlari meninggalkan Fatin dan Umie. Senyap. Fatin dan Umie diam melayan perasaan masing – masing. Rasa terkejut yang belum padam.

“Perlu ke kita maklumkan perkara nie pada Liya?” soal Umie keliru. Fatin dan Umie berpandangan seketika. Fatin mengangguk.

“Jom, kita jumpa Cikgu Yatie pinjam telefon dia” ajak Fatin. Umie mengangguk. Lantas keduanya bergerak ke bilik guru. Mujur juga Cikgu Yatie berada di situ. Lantas disampaikan hajat mereka. Tanpa banyak bicara, Cikgu Yatie bermurah hati memenuhi hajat mereka. Lantas sebuah mesej dihantar kepada Liya.

Ada mesej yang baharu masuk di telefonku. Mungkinkah si pengirim mesej tadi ingin mengutus permohonan maafnya. Laju saja tanganku membuka kotak mesej. Bukan nombor yang tadi tetapi nombor yang lain pula yang tertera pada skrin ini.

~ Salam. Liya, aku nie Umie. Daniel cedera sekarang. Darahnya banyak keluar ~


Telefon di tanganku terlepas dari genggamanku. Aku tergamam. Perlahan – lahan terasa panas menuruni cerun pipiku.


2 comments:

  1. WHAT HAPPENED??????? ARGHHH....!!
    IT'S BOTHERING ME !!!! TELL ME WHAT HAD HAPPEDED TO DANIEL!!!! HUHUHUHUH.....!! :(

    ReplyDelete
  2. bertenang chuu....hehehe... nia pun tgh tertanya2 apa yg berlaku pd Daniel??????????? Nak tahu? sama2 ler kita tuuuuunnnggggguuu! kan sy dah ckp jantung chuu kan lbh berdebar lepas nie....hehehehe. tq...

    ReplyDelete