Sunday 12 February 2012

'143......Tiada Penghujungnya' 19



BAB 17

“Betul ler hidup Abang Zek memang perlukan Liya, apa makna semua nie?” suara Daniel mempersoalkan bicara ini asyik berulang – ulang di telingaku sejak semalam sehinggalah ke hari ini. Suara Daniel benar – benar berpuaka.

Aku mendengus bosan. Sakit kepalaku memikirkan perangai Daniel. Bingkas aku bangkit dari sofa lantas ke dapur. Liar saja anak mataku meninjau setiap genap ruangan dapur. Mencari – mencari kerja yang boleh aku lakukan demi mengisi masa yang terluang sekarang. Tidak mahu aku memikirkan tentang Daniel lagi. Segalanya menyesakkan kepalaku.

Kutatap cermin tingkap dapur yang baru dua hari lepas kulap. Masih kelihatan berkilat. Pasti belum sempat lagi habuk – habuk singgah di situ. Terus saja aku ke bilik air mengisi air dan mencurah cecair Ajax Fabuloso di baldi lalu mencapai mop di sudut tepi almari kabinet itu. Aku terus  mengemop lantai dapur. Cepat saja beres semuanya. Lantai dapur sudah bersih berkilat. Namun belum cukup meletihkan yang membolehkan aku tidur. Lantas kuteruskan mengemop lantai di ruang tamu sehingga keseluruhan lantai rumah. Akhirnya aku terdampar di sofa. Kali ini baru terasa letih.

Baru saja aku hendak memejamkan mata, tiba – tiba kedengaran bunyi ketukan bertalu – talu di pintu dan suara lelaki memberi salam. Kurapati jendela. Sedikit menguak cermin jendela. Nama syarikat penghantaran barang tertera pada lori yang berada di halaman rumah. Aku terus saja menarik daun pintu. Terpancul seorang lelaki lengkap berpakaian seragam syarikat. Dia memperkenalkan diri lalu meminta tandatanganku pada resit sebagai bukti penghantaran barang telah dilakukan. Kemudian muncul tiga orang lelaki membawa kotak – kotak yang tidak kuketahui isi di dalamnya. Aku diserbu rasa hairan yang panjang. Pekerja syarikat penghantaran barang itu sudah berlalu. Kini lima buah kotak besar yang dibalut indah lengkap dengan bunga reben merah hati kiriman atas nama Daniel Adhwa bin Rdzuan Helmi sudah berada di depanku. Terasa kedinginannya tatkala tanganku tersentuh kotak – kotak ini. Lantas saja tanganku menguaknya. 

Tatkala kotak pertama terkuak, aku tergamam menatap enam bekas aiskrim yang isipadunya tercatat nombor 2.5 liter. Aiskrim yang berbeza perisa. Ada perisa vanila, jagung, keladi, coklat, strawberi dan kopi. Besar saja anak mataku menatap aiskrim yang sudah berada di depan mataku ini. Kubuka kotak kedua, ketiga dan kotak - kotak seterusnya. Lengkap sudah lima buah kotak ternganga di depanku. Kutepuk – tepuk pipiku. Memang tidak masuk akal. Barangkali ketidakwarasan Daniel sudah menyerang dirinya kembali. Aku tidak boleh teruskan kegilaan Daniel ini. Aku tahu dia boleh lakukan apa saja. Manusia yang bernama Daniel itu memang tidak makan saman. Kekebalannya tiada tandingan. Istilah malu dan segan tiada dalam dirinya. Kalau aku tidak menghalang Daniel, dia boleh bertindak lebih jauh lagi. Bahkan dia mampu melakukan sesuatu yang di luar dugaanku.

Segera aku berlari ke bilik tidurku. Kucapai telefonku lalu menekan nombor telefon Daniel. Tidak menunggu lama untuk panggilanku dijawab.

“Kau kat mana sekarang?” serangku terus tidak menyempat memberi salam. Sudah hilang tatasusilaku seketika. Rasa geramku ini sudah tidak boleh ditahan – tahan lagi. Memang perangai Daniel tidak dapat kuterima. Jauh sekali rasa teruja.

“Alamak, garangnya! Aku kat rumah nie menunggu kau call. Kau dah terima aiskrim – aiskrim yang aku kirim tu. Aku tak tahu mana satu perisa kegemaran kau so aku cuba hantar beberapa perisa yang dicadangkan pekedai. Maklumlah aku nie tak tahu sangat tentang aiskrim” ujar Daniel bersahaja dan cukup tenang. Langsung tidak terganggu dengan suara kasarku. Bahkan dia sudah dapat mengagak aku akan menghubunginya.

“Sorry ler Nia, sebab kemunculan aku semalam kau dan kawan kau tu tak jadi pergi makan aiskrim. So aku beli ler aiskrim nie untuk kau nikmati sepuas – puasnya. Harap – harap sejuk beku aiskrim tu boleh cairkan kemarahan kau kat aku sekarang nie” tambah Daniel berbicara masih bersahaja.

“Kau datang kat sini sekarang juga!” arahku lantang.

“Betul ke kau suruh aku datang rumah kau nie? Macam tak caya je aku” ujar Daniel ceria dan teruja.

“Cepat datang sini sebelum aiskrim - aiskrim nie cair!” arahku geram.

“He...he...he.... takpe kejap lagi aku muncul kat sana temankan kau menikmati aiskrim – aiskrim tu. Kalau tak habis nanti kita ajak ler sekali Fatin, Umie dan Zatul” cadang Daniel berangan – angan.

“Whatever! Aku tunggu kau sekarang!” tegasku lantas mematikan saja panggilan itu. Tidak mahu mendengar lebih banyak bicara merapu Daniel. 

Tidak sampai 30 minit, kereta sport merah milik Daniel sudah berada di halaman rumah. Pasti dia membawa kereta itu bagai peleset. Aku bukan tidak tahu cara pemanduannya persiss pelumba Formula 1. Dia bukan sayang nyawanya pun. Daniel tersenyum lebar melangkah mendekatiku yang terpacak di muka pintu pagar rumah. Kubalas dengan renungan tajam.

“Tunggu sini kejap” tegasku tanpa mempelawanya masuk ke dalam rumah. Sekalipun tidak akan aku lakukan meskipun Abang Zekri tetamuku tika ini. Aku tidak pernah membawa lelaki menjejakkan kaki ke dalam rumah ini ketika ketiadaan ayah. Bahkan seingat aku tiada juga lelaki yang bertandang ke sini ketika aku bersendirian kecuali kemunculan para pekerja tadi dan Daniel tika ini.

“Biar aku tolong kau angkat kotak – kotak nie masuk ke dalam rumah” kedengaran suara Daniel sedikit melaung dari luar menawarkan khidmatnya.

“Jangan bergerak dari situ!” arahku lantang. Kucapai kotak terakhir lalu mengangkatnya keluar. Kotak yang berisi 15 liter aiskrim yang terdiri daripada enam perisa yang berbeza yang berada dalam pelukanku segera aku hentakkan tepat – tepat di depan Daniel membuatkan dia sedikit berganjak dari tempatnya. Barangkali terkejut dan cuba mengelak kotak itu dari menindih kakinya.

“Kau ingat aku nak buka kedai aiskrim ke kat rumah nie” radangku. Daniel tersengih. Pasti hatinya tercuit mendengar bicaraku ini.

“ Bawa balik sekarang aiskrim – aiskrim nie!” arahku serius.

“Aik, aiskrim – aiskrim nie kau yang punya! Aku sengaja beli untuk kau buat apa pula aku nak bawa balik ” sahut Daniel tidak faham - faham.

“Aku tak nak aiskrim – aiskrim nie!” tegasku.

“Kan semalam kau nak makan aiskrim” balas Daniel berkeras. Aku geleng – geleng kepala. Jariku menunding ke arah kotak – kotak itu.

“Aku tak nak makan aiskrim yang kau beli nie. Bawa balik sekarang!” tegasku lagi. Daniel menatapku. Wajahnya serius.

“Mengapa? Kau dah puas makan aiskrim bersama pemuda tu?” Pandangan Daniel cukup tajam menatapku. Persis era permusuhan kami dahulu.

“Kau tak perlu tahu. Sekarang kau bawa balik semua aiskrim nie” tegasku mengulangi arahanku tadi.

“Betul kau tak nak aiskrim yang aku hadiahkan nie?” soal Daniel.
Laju saja aku  mengangguk. Sepatutnya dia berfikir dahulu sebelum bertindak. Hendak harapkan aku menghabiskan semua aiskrim ini memang tidak larat. Rasanya atlet bina badan yang  makan banyak pun belum pasti berkemampuan untuk menghabiskannya.

“Kau betul – betul marahkan aku, Nia?” soal Daniel serius. Aku menatap wajah Daniel sekilas lantas mengalih wajahku dari bertentangan dengannya.

“Pandang aku, Nia. Aku mahu pertanyaanku dijawab” tegas Daniel. Senyap. Aku tetap berdegil dengan posisiku.

“Baliklah sekarang” arahku tanpa mempedulikan permintaannya tadi. Seketika masih senyap. Daniel masih terpacak di depanku. Sedikit pun tidak mahu berganjak. Kedegilannya memang sudah kuketahui.

“Kalau kau tak nak balik terpulang ler. Aku tak boleh berdiri lama – lama di sini” ujarku lalu meninggalkan Daniel terpacak di situ. Kututup rapat daun pintu. Cuba tidak mempedulikan kewujudan Daniel di luar rumah.

“Kau serius tak nak jumpa aku lagi, Nia? Betul kau dah benci aku?” suara Daniel begitu lantang menimbulkan kegelisahanku. Aku khuatir seluruh taman perumahan ini akan mendengar suara Daniel. Bukankah ini akan mencemarkan maruah keluargaku. Aku pasti malu dengan penghuni taman ini terutama keluarga Abang Zekri yang begitu kukenali dan rapat denganku. Kebetulan pula rumah kami bersebelahan. Mahu tidak mahu, aku terpaksa juga menjengukkan mukaku di jendela. Kelihatan Daniel masih terpacak pada posisinya tadi. Aku mengeluh dengan kedegilan yang Daniel tunjukkan. Dialah manusia yang paling degil yang pernah aku kenali.

“Balik ler jangan buat bising kat sini lagi” arahku cuba mengawal
kemarahanku. Daniel melontar pandangan ke arahku. Wajahnya begitu serius.

“Betul kau tak nak jumpa aku lagi?” suaranya dilontarkan lagi.

“Lebih baik kita kembali pada keadaan seperti dulu saling tidak mengenali. Sekarang balik ler” pintaku serius. Aku sudah memutuskan untuk kembali pada kehidupan yang tiada kaitan dengan Daniel. Aku tidak akan meluahkan sebarang bicara untuk mengkritik dirinya agar tidak wujud permusuhanku dengan Daniel seperti dahulu. Daniel mendengus kasar. Tidak puas hati dengan bicaraku.  

“Dan tolong bawa kotak – kotak itu. Aku tak boleh menerima apa saja pemberian kau” tegasku menokok bicara. Senyap.

“Maafkan aku. Aku tak sepatutnya terpengaruh dengan bicara Fatin untuk menerima salam persahabatan yang kau hulurkan dulu. Aku silap, Daniel” luahku berterus terang dengan niat cuba mematahkan kedegilan Daniel untuk terus bersamaku. Bila saja Daniel meluahkan perasaannya kepadaku, maka aku dan dia tidak boleh saling berhubung lagi. Cukuplah setakat di sini saja aku mengenali Daniel. Sesungguhnya aku tidak mahu seperti gadis – gadis lain yang jatuh cinta pada Daniel.

“Tak sangka sedalam itu benci kau padaku, Nia” keluh Daniel perlahan.

“Aku tak benci kau tapi kita dah tak boleh bersama sekarang” ujarku memperbetulkan bicaranya itu.

“Sebab aku suka kau? Aku tak boleh kawal perasaan tu, malah aku tak pernah paksa kau untuk membalasnya. Tindakan kau untuk menjauhi aku memang kejam Nia” tutur Daniel terluka.

“Maafkan aku Daniel. Aku mahu menumpukan perhatian pada pelajaran. Hanya aku ler satu – satu yang ayah aku harapkan untuk mengubah nasib keluargaku. Aku tak boleh bersama kau lagi sebab kau dah tak anggap aku sebagai sahabat” luahku lagi. Sejak Daniel meluahkan isi hatinya kepadaku, aku terus saja rasa kekok untuk berdampingan dengan Daniel. Justeru, keputusan yang aku ambil ini memang tepat. Perasaan Daniel yang baru saja berputik itu akan padam. Aku yakin perkara ini akan berlaku. Bukanlah sesuatu yang agak sukar untuk dirinya melakukan. Daniel mampu buat apa saja.

“Pergi ler” pintaku untuk sekian kalinya. Kedengaran keluhan berat Daniel.

“Terima kasih kerana sudi menjadi sahabatku untuk seketika. Mengenali kau memang cukup membahagiakan aku. Namun begitu menyedihkan bila kau tak rasa perkara yang aku alami sejak mengenali kau. Minta maaf juga sebab selama nie aku banyak menyusahkan hidup kau. Aku janji takkan ganggu kau lagi. Jangan risau aku akan jelaskan pada Cikgu Tehran dan warga sekolah tentang status hubungan kita” tutur Daniel panjang lebar dan begitu tenang.

Aku membisu panjang. Bicara Daniel begitu menyentuh hatiku. Daniel berlalu meninggalkan halaman rumah ini. Sekelip mata saja bayangan dirinya lenyap. Aku tahu Daniel tersinggung dengan sikapku. Sesungguhnya aku tiada pilihan. Aku tahu Daniel hanya merajuk buat seketika. Sekejap lagi hidup Daniel akan ceria kembali. Terlalu ramai insan yang ingin mendampingi dan membahagiakan dirinya. Dia akan melupakan semua ini. Apa yang Daniel rasakan saat ini hanyalah mainan perasaan. Dia tidak akan begitu mudah jatuh cinta. Apatah lagi jatuh cinta kepadaku seorang gadis yang tidak layak untuk jadi kekasihnya. Sebetulnya hati Daniel sudah jadi milik Sara. Aku pasti Daniel terkeliru sekarang. 

Aku kembali berbaring di sofa panjang ini. Lantas kupejamkan mataku serapat – rapatnya. Cuba mengusir jauh bayangan Daniel. Tidak mahu aku memikirkan tentang Daniel lagi. Aku akan tetap dengan keputusanku untuk menjauhi Daniel. Hubungan persahabatan antara aku dengan Daniel sudah kuletakkan noktahnya.

“Ya Allah, semoga aku dan Daniel dikurniakan oleh – Mu kehidupan yang lebih bahagia untuk selama – lamanya” bisik hati kecilku menggantung harapan kepada Allah yang maha berkuasa. Kukosongkan mindaku. Bayangan Daniel sudah kulontarkan jauh. Terasa keletihan menyelubungiku. Aku menguap beberapa kali. Seminit kemudian aku sudah tidak ingat apa – apa lagi.

AKU mengekori langkah geng akrabku memasuki kafeteria. Tamat saja perjumpaan gerko sebentar tadi, semua sepakat untuk menghilangkan dahaga di sini. Langkah teman – temanku terhenti di ambang pintu. Serentak dengan itu juga langkahku turut terhenti.

“Apa hal nie?” soalku hairan.

“Tengok meja kat hujung sana tu” arah Zatul. Aku patuh saja. Tatkala anak mataku terarah ke situ, aku terpandang Daniel bersama Boney dan Farhan. Kelihatan mereka sedang rancak berbual. Rupanya di sini dia membuang masanya sedangkan waktu perjumpaan tadi dia tidak muncul – muncul. Tidak pasal – pasal aku dihujani pelbagai persoalan Mr. Wong gara – gara hendak menjejaki dirinya. Daniel betul – betul menyusahkan orang. Sikap tidak bertanggungjawab dalam dirinya belum terkikis sepenuhnya. Daniel.... Daniel.... susah sangatkah untuk kau berubah?

Fatin dan Umie memilih meja dekat dengan pintu. Aku dan Zatul langsung tidak membantah. Kami bergilir – gilir memesan minuman kegemaran sendiri. Fatin, Umie dan Zatul sudah bergerak ke meja bersama minuman yang dipesan. Maka tinggallah aku seorang diri terpacak di depan kaunter ini menanti minuman yang kupesan siap disediakan.

“Nie minuman adik” ujar Mak Cik Kiah pengusaha kafeteria di sekolah ini.

“Terima kasih. Berapa mak cik?” soalku. Mak Cik Kiah tersenyum.

“Seperti biasa” balasnya. Aku menghulurkan wang kertas RM5.00. Seketika menanti Mak Cik Kiah memulangkan bakinya.

“Nie baki duit adik” ujar Mak Cik Kiah menghulurkan wang kertas bernilai RM 3.00. Aku menyambutnya dengan senyuman.

“Terima kasih” ujarku lalu memasukkan baki wang itu ke dalam saku seluar trek yang kupakai. Aku segera bergerak untuk mendapatkan Fatin, Umie dan Zatul yang kelihatan rancak berbual – bual. Kelihatan juga aksi – aksi Zatul yang mengiringi bicaranya itu. Tanpa diduga, di pertengahan jalan aku bertembung dengan Daniel bersama Boney yang hendak melangkah ke kaunter pembayaran. Langkah kami serentak terhenti. Aku dan Daniel berpandangan seketika. Hampir – hampir saja aku mengukir senyuman, namun bila saja aku teringat situasi aku dan Daniel sekarang, terus saja aku padamkan niatku itu.

“Kenapa kau tak datang perjumpaan kelab tadi? Mr. Wong cari kau” tiba – tiba saja aku bersuara mengajak Daniel berbicara. Daniel menatapku dengan pandangan kosong.

“Kau siapa nak tanya aku tentang hal nie? Sama ada aku nak pergi atau tak, itu urusan aku. Kau tak payah ler sibuk – sibuk nak ambil tahu” ujar Daniel langsung tidak beradab. Aku tersentak. Wajahku terasa panas membahang. Tika ini rasa malu sangat pada Boney.

“Disebabkan kita saling tidak mengenali, sila buat hal sendiri” tambah Daniel menguris perasaanku. Daniel menyambung langkahnya sambil diikuti oleh Boney. Langsung aku tiada kesanggupan untuk memandang wajah Boney. Perasaan malu begitu menebal dalam diriku. Aku tertunduk seketika menyesali ketelanjuran tingkahlakuku sebentar tadi. Aku terlupa pada permintaanku sendiri. Aku yang mengarahkan Daniel agar kami sama – sama kembali pada situasi yang menunjukkan aku dan Daniel saling tidak mengenali.

“Kejamnya kata – kata kau, Daniel. Kamu bergaduh ke?” soal Boney meluahkan persoalan yang terpendam dalam hati. Sungguh terkejut juga dirinya mendengar bicara kesat yang keluar dari mulut sahabatnya itu. Daniel hanya menatap wajah sahabatnya itu tanpa niat mahu menjawab pertanyaan itu. Persoalan Boney tergantung. Lantas dia terus saja mendiamkan diri. Diam Daniel bermakna dia tidak mahu berbicara. Dia cukup faham perangai Daniel. Namun melihat sudah tiada kemesraan Daniel terhadap gadis itu mengundangkan rasa hairannya. Boney masih memikirkan perubahan drastik sikap sahabatnya itu. 

“Liya, cepat ler datang sini!” laungan suara Zatul menyentakkanku. Aku segera mendapatkan mereka sambil mengukir senyuman cuba melindungi ekspresi wajahku sebentar tadi. Namun senyumanku terasa tawar saja. Aku terus saja duduk di sebelah Zatul yang kebetulan tidak mengalih – alih pandangannya dariku. Rasa kurang senang diperhatikan sedemikian.

“Apa Daniel cakap sampai muka kau merah begini?” soal Zatul. Aku tesentak lagi. Pertanyaan Zatul ini di luar jangkaanku. Semua menatapku bagaikan sedang menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutku. Lantas aku mengukir senyuman cuba mengabaikan saja pertanyaan Zatul itu.

 “Daniel marahkan kau ke atau dia dah luahkan perasaan suka dia kat kau?” soal Zatul bersama andaiannya sendiri. Zatul, Fatin dan Umie masih tidak menganjak pandangan mereka untuk menjauhi wajahku. Nampak sangat mereka
ingin mendengar bicaraku.

“Dia kata aku jahat dan sombong buat dia macam tu” tuturku perlahan. Aku terpaksa menuturkan bicara ini agar tidak mengundang amarah teman – temanku. Tambahan pula aku tidak mahu mereka turut tersinggung dengan bicara Daniel tadi. Cukuplah aku seorang yang merasakannya.

“Really?” soal Umie seakan tidak percaya. Aku mengangguk.

“Memang patut pun Daniel cakap macam tu kat kau, Liya” celah Zatul berpihak kepada Daniel. Nampak Zatul sedang geram kepadaku.

“Zatul....” Umie menegur Zatul. Zatul mengeluh. Aku diam. Aku tidak ambil hati dengan bicara Zatul itu. Seperti Daniel, dia juga berhak meluahkan pendapatnya.

“Kalau pun Liya tak suka Daniel, dia mana boleh tolak perasaan Daniel macam tu. Kejam tau cara kau tu, Liya” tambah Zatul mengalih pandangnya kepadaku. Aku masih diam.

“Zatul, kalau pun kau peminat nombor satu Daniel, janganlah cakap macam nie kat Liya. Liya nie kawan kita. Kau dah lupa ke?” tingkah Umie tidak merestui perbuatan Zatul sekaligus berpihak kepadaku.

 “Sebab Liya kawan kita ler aku cakap begini. Aku tak nak Liya menyesal kemudian hari gara - gara kesilapannya sekarang” balas Zatul.

“Kalau Liya tak boleh terima Daniel buat apa nak paksa – paksa dia. Daniel sepatutnya menerima keputusan Liya dengan hati terbuka” sahut Umie lagi. Ketegangan mula terasa. Seorang berpihak kepada Daniel dan seorang lagi masih mahu mempertahankan aku. Namun niat keduanya serupa iaitu mahu kebaikan buatku.

 “Attention please.....!” suara Fatin menarik perhatian kami. Semuanya
mengarah pandangan kepada Fatin.

“Rasanya biar Liya dan Daniel saja yang selesaikan perkara nie. Kita tak payah masuk campur mahupun menangkan siapa – siapa. Aku yakin Liya mampu lakukan yang terbaik buat dirinya dan buat Daniel” tegas Fatin buat Umie dan Zatul terdiam. Terserlah sifat kepimpinan Fatin tatkala mendamaikan ketegangan yang mula berputik antara Umie dan Zatul.

“Jadi tak payah ler kamu berdua bergaduh ye” ujar Fatin memandang Zatul dan Umie sambil tersenyum. Umie dan Zatul menarik muka masam.

“Sorry.... aku pergi dulu” celahku lantas bangun dan melangkah ke pintu.

“Liya....! Liya....!” serentak suara Umie dan Zatul berpadu memanggil namaku. Mereka berpandangan.

“Tengok .... semua nie salah kamu berdua” rungut Fatin lantas bangun dan cuba mengejar langkah Liya. Zatul dan Umie pun bingkas bangun. Mereka bersama – sama mengejar langkah Liya yang sudah jauh di depan.

Daniel masih mengarah pandangannya ke muka pintu. Dia juga sempat memerhatikan gelagat sekumpulan gadis itu yang seorang demi seorang beredar pergi. Tampak situasi tegang telah berlaku. Melonjak keinginannya untuk mengetahui perkara sebenar yang telah berlaku.      

“Bicara kau pada Liya tadi bertentangan dengan kemahuan hati kau kan?” teka Boney. Pantas Daniel menoleh lalu beradu pandangan dengan Boney. Farhan yang tidak tahu apa – apa terkebil – kebil menyaksikan gelagat Daniel dan Boney.

“Aku ikut saja apa kemahuan Nia kalau itu boleh memberikan kepuasan hatinya” balas Daniel serius. Boney tersenyum sambil geleng – geleng kepala.

“Kamu berdua nie macam orang yang sedang bercinta pula. Masing – masing membawa rajuk sendiri” ujar Boney tersengih panjang.

“Memang aku ingin bercinta dengan Nia, tapi dia tolak aku mentah – mentah. Kamu tahu tak sekarang yang aku nie tengah sakit hati!” bentak Daniel.

“What!” Serentak Boney dan Farhan bersuara. Keduanya nampak terkejut sangat. Pengakuan serius Daniel membuatkan mereka terlopong panjang. Sedar – sedar Daniel sudah berada di ambang pintu kafeteria. Lantas Boney dan Farhan buru – buru bangun mengejar langkah Daniel.

“Kau percaya tak dengan pengakuan dia tu?”ujar Boney menyoal Farhan.

“Kau pun dengar ke tadi? Maksudnya aku tak salah dengar ler nie” balas Farhan seakan baru saja tersedar. Boney mengangguk.

“Aku ingatkan aku hanya bermimpi je tadi” tambah Farhan sambil keduanya masih mengejar langkah Daniel.

2 comments:

  1. uwaaa....!!! sakit jntung bley bce n3 kli ni... cayalah!!! nk agi !!!

    ReplyDelete
  2. tq aznie coz sudi join blog sy. lps nie gerenti lbh sakit lg jantung aznie hehhehe. gurau je jgn mare

    ReplyDelete