Wednesday, 11 June 2014

Awak Jodohku Lagi!....13




BAB 13
“Awak semakin kurus, Yaz” komen Izeq sambil merenung gadis itu. Niyyaz Nazuha tersenyum panjang. Tiada yang mengejutkan. Keletihan akibat kesibukan kerja sering kali mematikan seleranya. Mengejar waktu yang bergerak pantas membuatkan kepentingan dirinya sedikit terabai.
“Awak pun saya tengok bertambah kurus juga. Susah sangatkah jadi bos?” usik Niyyaz Nazuha cuba menceriakan suasana.
“ Lebih susah dari pikat perempuan” sahut Izeq berjenaka.
“Tapi saya rasa susah lagi nak pikat awak” tambahnya buat Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Izeq tidak melepaskan peluang untuk mengaitkan diri gadis ini pula.
“Macam mana dengan projek terbaru itu sekarang?” soal Niyyaz Nazuha
“Segalanya berjalan lancar. Maklumlah hasil kerja perancang yang hebat” pujinya.
“Awak jangan puji saya lebih-lebih” tegah Niyyaz Nazuha.
“ Mengapalah awak ini susah sangat mahu terima pujian?” soal Izeq hairan.
“Kadangkala pujian itu tak ikhlas” tingkah Niyyaz Nazuha. Izeq tertawa kecil.
“Awak suka sangat prasangka yang bukan-bukan” tegur Izeq. Niyyaz Nazuha tersenyum. Telefon bimbit Izeq berdering. Perbualan mereka terhenti. Laju jari Izeq menekan punat panggilan diterima.
“Apa? Dato di mana sekarang?” soalnya. Niyyaz Nazuha menatap wajah cemas Izeq. Bagaikan ada sesuatu telah berlaku.
“Okey.... sekejap lagi saya datang” putusnya seraya mematikan perbualan itu.
“ Mengapa Izeq?” soal Niyyaz Nazuha ingin tahu apa yang telah berlaku kepada Dato Ramlan. Ada debaran dirasakannya.
“ Papa mengalami sesak nafas di seminar itu. Sekarang papa sedang berehat di bilik hotel itu” cerita Izeq.
“Saya dah banyak kali melarangnya pergi tapi orang tua itu berdegil juga mahu pergi” keluh Izeq kesal.
“Bertenang. Pasti dato pun tidak mahu semua ini berlaku. Apatah lagi berniat membuatkan awak cemas” pujuk Niyyaz Nazuha agar pemuda ini mengambil pendekatan positif dengan apa yang telah menimpa Dato Ramlan.
“Maafkan saya, Yaz” ujar Izeq perlahan. Niyyaz Nazuha senyum. Sangat mengerti sikap yang dipamerkan oleh Izeq tika ini adalah atas dorongan rasa kasihnya kepada Dato Ramlan.
“Apa awak nak buat sekarang?” soal Niyyaz Nazuha bertanyakan tindakan lanjut pemuda ini. Barangkali dia boleh menghulurkan bantuan kepada Izeq.
“Saya nak pergi jemput papa. Marilah ikut saya sekali” ajaknya.
Niyyaz Nazuha sudah terbayang wajah tua Dato Ramlan yang semakin cengkung. Sejak kesihatannya sering terganggu jarang juga dia bertemu dengan lelaki itu. Lebih-lebih lagi setelah Izeq mengambil-alih segala urusan perniagaannya. Seingatnya kali terakhir dia  berjumpa dengan Dato Ramlan beberapa bulan lalu ketika menghadiri majlis makan malam Syarikat Restu Sdn. Bhd. sempena pelancaran projek baru itu.
“Awak nak pergi?” soal Izeq. Niyyaz Nazuha tersentak. Laju sahaja dia mengangguk.
“Kita pergi sekarang” ajak Izeq seraya memulakan melangkah. Niyyaz Nazuha mengekori tanpa sebarang persoalan. Mereka harus segera tiba di situ. Izeq mesti berada di sisi Dato Ramlan sekarang. Izeq dan Niyyaz Nazuha bergegas mencari bilik yang menempatkan  Dato Ramlan berehat.
“Ini biliknya” ujar Izeq lalu mengetuk daun pintu beberapa kali. Senyap.
“ Papa.... Izeq datang” Izeq memaklumkan kedatangannya sambil mengetuk daun pintu bertalu – talu. Tiada suara yang menyahut. Izeq nampak bertambah risau.
“Betulkah  biliknya? Senyap saja macam tiada orang” tutur Niyyaz Nazuha musykil. Izeq menatap sebaris nombor yang terpamer di daun pintu itu. Dia yakin inilah bilik yang dimaklumkan oleh lelaki yang menelefonnya sebentar tadi. Lelaki yang tidak sempat dikenalinya. Lantas Izeq mengangguk menjawab persoalan yang diajukan Niyyaz Nazuha sebentar tadi.
“Mengapa tiada orang buka pintu? Ke mana pembantu – pembantu papa?” keluhnya.
“Mungkin dato sedang tidur dan mahu bersendirian ” ujar Niyyaz Nazuha cuba menenangkan pemuda ini.
“Saya bimbang berlaku sesuatu yang tak diingini” luahnya berterus-terang meluahkan kekhuatirannya. Tombol pintu dipusing. Tersentak Izeq dan Niyyaz Nazuha tatkala pintu tidak berkunci.Mereka berpandangan. Terasa diri mereka diperbodohkan. Izeq dan Niyyaz Nazuha melangkah masuk ke bilik itu. Sunyi sepi. Pandangan mereka terarah  pada katil itu. Kosong.  Tiada sesiapa terbaring di situ. Niyyaz Nazuha memandang Izeq.
“Lelaki itu beritahu saya tadi, papa berehat di sini” jelas Izeq curiga. Izeq masih tidak berputus asa. Dia masih mencari-cari Dato Ramlan di dalam bilik air dan di luar balkoni. Tiada sesiapa di situ selain dirnya dan Niyyaz Nazuha. Hanya mereka berdua sahaja.
“Mana papa pergi ya” keluh Izeq masih dalam kerisauan. Apatah lagi saat ini Dato Ramlan perlukannya. Niyyaz Nazuha melabuhkan duduknya di birai katil.
“Mungkin juga dato keluar sekejap. Tengok saja katil ini masih belum dikemas lagi. Maksudnya dota belum check out lagi” teka Niyyaz Nazuha sambil memerhatikan katil dan selimut yang masih bertaburan di katil.
“Awak dah telefon dato?” soal Niyyaz Nazuha. Izeq mengangguk.
“Papa tak angkat telefon. Inilah yang merunsingkan saya” keluh Izeq masih mundar – mandir di situ.
“Biar saya telefon lelaki yang menghubungi saya tadi” ujar Izeq. Niyyaz Nazuha mengangguk setuju. Langkah yang paling tepat. Laju sahaja jemari Izeq membuat panggilan. Malangnya panggilan itu tidak dijawab. Dicuba sekali lagi. Perkara yang sama juga. Pemuda ini gagal menghubungi lelaki pemilik nombor telefon yang tidak dikenalinya ini.
“Pelik. Nombor telefon ini tak dapat dihubungi” keluh Izeq buntu. Dia dan Niyyaz Nazuha saling berpandangan.
“Kita tunggu sekejap di sini. Mana tahu papa akan datang semula ke sini” tutur Izeq membuat keputusan. Niyyaz Nazuha mengangguk setuju. Tiba – tiba daun pintu bertalu – talu diketuk.
“ Agaknya itu papa” teka Izeq yang mula nampak lega. Niyyaz Nazuha juga berharap sepertinya. Laju sahaja Izeq melangkah ke muka pintu lalu memusing tembol pintu. Daun pintu sudah terkuak.
“ Assalamualaikum...............” Terpancul beberapa orang lelaki berserban putih dan berkopiah di muka pintu. Serta-merta muka Niyyaz Nazuha pucat. Begitu juga dengan Izeq menyambut kedatangan tetamu yang tidak diundang ini. Izeq kematian akal. Niyyaz Nazuha seakan mahu menjerit dan meraung - raung di situ. Namun suaranya tersekat di kerongkong. Dia dan Izeq tergamam dan kaku. Peluh dingin mula membasahi dahi.  

******

 ‘Usahawan muda terperangkap.....,’ ‘Pengurus Syarikat Restu Sdn. Bhd. & pegawai SPPN ditemui di Kamar Hotel’..... ‘ Usahawan Muda DiTangkap Berkhalwat bersama kekasihnya....’.

Niyyaz Nazuha  mengetap bibir menahan perasaan. Terlalu menyeksakan menatap paparan ruangan utama setiap akhbar yang dikeluarkan hari ini sehingga Niyyaz Nazuha tidak sanggup terus menatapnya. Sudah pasti berita ini merupakan berita paling sensasi. ‘Bagaimana aku nak berhadapan dengan rakan sekerja nanti? Bagaimana pula reaksi mereka terhadapku? Akukah yang akan dipersalahkan?’ bisik hati Niyyaz Nazuha bersoal – jawab sendiri. Rungsing. Dia kematian akal. Segala – galanya serba tidak kena. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya sekarang. Perlahan – lahan terasa panas mengalir di pipinya.
“Yaz betulkah semua itu?” soal Iwan yang sedang menanti kedatangannya di muka pintu pejabat. Nampak pemuda ini tidak sabar – sabar mahu mengetahui cerita sebenar. Namun yang pasti tuduhan dirinya ditangkap berkhalwat dengan pemuda itu sudah tersebar luas. Niyyaz Nazuha diam.  Dia meneruskan langkah ke tempat duduknya. Sepanjang aturan langkahnya ada sahaja mata yang memandangnya. Pandangan yang sangat sinis. Dirinya dipersalahkan sebelum sempat membela diri.
“ Apa yang telah berlaku?” soal Salwa pula.’ Ya Allah tabahkanlah hatiku menghadapi semua ini. Aku perlukan sokongan-Mu’... hati Niyyaz Nazuha berdoa.  Salwa dan Iwan masih menatapnya. Telefon bimbitnya berdering.
“ Yaz, saya dah baca akhbar hari ini.......” suara Nina. Masih perkara yang sama yang mahu dibicarakan kepadanya. Niyyaz Nazuha semakin tertekan.  
 “Mengapa jadi macam tu?” tanya Nina. Niyyaz Nazuha masih diam. Mulutnya sudah terkunci rapat. Tiada sebarang penjelasan keluar dari mulutnya.
“ Okey... Yaz, nanti saya datang jumpa awak” pesan Nina.
“ Saya tak sangka awak akan lakukan semua ini” tuduh Iwan penuh kekesalan. Niyyaz Nazuha berpaling. Dia menatap wajah pemuda itu. Perasaannya terguris menerima tuduhan yang tidak berasas itu. Iwan meninggalkannya dengan hati yang hancur berkecai. Salwa menatapnya dengan satu pandangan yang  dirasakannya pandangan penghinaan kepadanya.
“Yaz, macam mana semua ini boleh berlaku?” soal Salwa.
“Saya pun masih memikirkan persoalan itu” tutur Niyyaz Nazuha buntu. Dia tertunduk. Terasa panas meluncur laju di pipinya.
“Yaz.....” Salwa mendekati lalu memegang bahunya.
“Tolong tinggalkan saya sendirian” pinta Niyyaz Nazuha tidak dapat mengawal emosinya lagi. Betapa malang dirinya ditimpa musibah yang berat ini. Salwa berlalu meninggalkannya bersendirian. Telefon bimbitnya berdering lagi. Niyyaz Nazuha membiarkan sahaja deringan itu. Senyap. Berdering sekali lagi. Panggilan itu dijawab dengan longlai.
“Yaz ..... maafkan saya. Saya dah baca akhbar hari ini” luah suara itu kesal. Niyyaz Nazuha mengesat air matanya. Semua ini bukan salah Izeq. Inilah dugaan berat yang harus mereka hadapi bersama.
“ Awak menangis? Saya harap awak tabah menghadapi semua ini” nasihatnya cuba menenangkan hati Niyyaz Nazuha.
“Yaz.....” suaranya terhenti. Kedengaran Izeq menarik nafas panjang. Cuba mengumpulkan kekuatan yang ada.

“Saya akan bertanggungjawab. Kalau awak sudi saya akan hantar rombongan berjumpa keluarga awak” Izeq mengulangi bicaranya semalam.

“ Maaf Izeq, buat masa ini saya tak nak fikirkan apa - apa. Saya hanya berharap saya tabah menghadapi semua ini. Bye.....” Panggilan diputuskan. Suara Izeq lenyap. Terasa betapa berat tekanan dan bebanan yang dipikulnya saat ini. ‘Ya Allah janganlah biarkan aku tertewas menghadapi semua ini’.... bisik hati Niyyaz Nazuha . Dia tertunduk. Niyyaz Nazuha menangis lagi.

“ Yaz..........” Perlahan-lahan Niyyaz Nazuha mengangkat mukanya. Idlan Raid sudah terpacak di depannya. Wajah pemuda ini bercelaru. ‘Ya Allah.... aku tidak tahu apa yang harus aku perkatakan kepadanya’.. bisik hati Niyyaz Nazuha sambil menatap wajah pemuda ini. Akhirnya Niyyaz Nazuha tertewas melawan pandangan Idlan Raid. Dia tertunduk lagi.


No comments:

Post a Comment