Tuesday, 27 May 2014

Awak Jodohku Lagi!...6





BAB 6
“ Yaz, jom makan sama” ajak satu suara.
Niyyaz Nazuha mengangkat mukanya. Iwan sudah terpacak di depannya sambil tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.  Niyyaz Nazuha terkebil – kebil menatap Iwan. Kurang pasti dengan pelawaan pemuda ini.
“ Hoi.... sekarang dah waktu rehatlah” jelas Iwan cuba menyedarkan Niyyaz Nazuha yang belum memberikan jawapan atas pelawaannya itu. Niyyaz Nazuha menatap jam di tangannya. Memang sudah sampai waktu rehat sekarang. Betapa masa itu bergerak pantas.
“Awak ini kuat sangat bekerja. Kalau awak tak hiraukan kesihatan awak, awak akan jatuh sakit nanti.  Awak  juga akan menyusahkan diri sendiri” omel Iwan meleterinya. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Lucu. Sejak dia bekerja di situ, Iwanlah sahabat yang paling  mengambil berat terhadap dirinya. Sahabat yang boleh membuatkannya ketawa. Salwa pernah memaklumkan bahawasanya anak muda ini ada hati kepadanya.
“Ambil berat juga awak pada saya ya” ujar Niyyaz Nazuha mengusiknya.
“Mestilah. Kalau saya dah sayang seseorang, saya akan pastikan dia sentiasa sihat walfiat dan ceria” balas Iwan tersenyum  mekar. Niyyaz Nazuha senyum lagi. ‘Pandai juga anak muda ini menabur kata-kata manisnya. Ahh... lelaki, siapa yang tidak tahu lelaki! Makhluk yang bijak memujuk rayu, tatkala berbicara ibarat lembut gigi dari lidah’.... Niyyaz Nazuha bermonolog sendiri.
“Paling penting saya nak pastikan awak sentiasa tersenyum. Senyuman awak sangat mempesonakan” ujar Iwan berbisik. Pemuda ini berlagak romantis pula.
 “Alaa..... Wan, awak  pandai juga puji orang lebih-lebih ya. Maaflah saya tiada duit lebih nak belanja awak” balas Niyyaz Nazuha berjenaka. Iwan ketawa terkekeh-kekeh.
“Kalau macam tu saya belanja awak makan” ujarnya masih berusaha memancing kesudian gadis ini. Setakat ini pelawaannya masih tidak diterima oleh Niyyaz Nazuha. Gadis ini bijak sangat memberi alasan. Bukan mudah hendak keluar dengannya. Persis jinak – jinak merpati. Mesra. Namun semakin didekati semakin menjauh pula. Di sebalik kemesraannya, sukar pula hendak mendampinginya. Tampak sangat Niyyaz Nazuha terlalu berhati – hati.
“Betul?” soal Niyyaz Nazuha.
“Yalah, bukankah dari dulu dah saya ajak awak makan. Itulah awak taksub sangat dengan kerja” bidas Iwan tidak melepaskan peluang mengkritik  gadis ini. Niyyaz Nazuha tersengih.
“ Okey.... okey...” sahut Niyyaz Nazuha mengalah. Dia terus sahaja bangun. Tidak sanggup mendengar leteran pemuda ini lagi. Dia juga tidak sampai hati menolak pelawaan Iwan yang sudah banyak kali. Tidak wajar dirinya terus menghampakan Iwan kerana dia tidak mahu dikatakan sombong nanti.
“Awak ini suka sangat berleterlah, Wan” komen Niyyaz Nazuha mengusik Iwan.
“Sebab itu saya nak cari perempuan seperti awak. Tak banyak cakap, hanya tahu tersenyum saja” usik Iwan lagi disusuli dengan senyuman yang tidak pernah lenyap. Niyyaz Nazuha turut tersenyum. Di pertengahan jalan  langkah mereka terhenti. Niyyaz Nazuha menatap Idlan Raid yang terpacak di depannya. Segera Niyyaz Nazuha tersenyum. Mujur Idlan Raid sudi membalasnya.
“Idlan marilah makan sekali” ajak Iwan ramah.
“Tak pelah saya banyak kerja nak selesaikan sekarang” ujar Idlan Raid menolak ajakan Iwan itu.
“Awak  serupa macam Yaz , kerja... kerja... kerja.... Tak habis – habis dengan kerja” rungut Iwan berleter. Idlan Raid hanya tersenyum mendengar leteran Iwan sedangkan Niyyaz Nazuha sekadar menjadi pemerhati dan pendengar sahaja.
“Okeylah saya pergi dulu” pinta Idlan Raid memohon diri, lalu menyambung langkah kembali. Iwan dan Niyyaz Nazuha meneruskan langkah mereka. Restoran berhampiran dengan tempat kerja mereka menjadi destinasi pilihan. Mahu segera mengisi perut bagi menghilangkan pedih perut yang sedang kelaparan.
“Awak dengan Idlan memang sesuai jadi suami isteri. Sama-sama kuat kerja” ujar Iwan meluahkan pendapatnya. Niyyaz Nazuha tersentak lalu menatapnya.
“Kalau jadi pasangan masing-masing tak terabai, adilkan” tambahnya lagi. Niyyaz Nazuha hanya berdiam diri. Ada rahsia yang tersimpan rapi yang tidak mungkin dikongsi bersama pemuda ini mahupun teman sekerja yang lain.
“Bagaimana? Awak setuju?” soalnya tiba-tiba. Niyyaz Nazuha tersentak. Wajah Iwan ditatapnya lagi. Serba salah hendak menunjukkan pendiriannya.
“Awak tak cemburukah kalau saya jadi isterinya?” soal Niyyaz Nazuha semula. Iwan hanya tersenyum panjang. Dia sangat berhati – hati. Maka tidak dijawab persoalan gadis ini. Niyyaz Nazuha pula berbicara sekadar mahu melarikan diri daripada menjawab pertanyaan pemuda ini.
“Pelik juga....” ujar Iwan dengan dahi berkerut.
“Mengapa?” soal Niyyaz Nazuha laju.
“Awak dengan Idlan tak begitu mesra, tak seperti dengan rakan sekerja yang lain. Mengapa? Awak dan Idlan bergaduhkah?” soal Iwan persis penyiasat. Niyyaz Nazuha tersentak. Namun cepat sahaja dia tertawa kecil. Silap tingkah Iwan boleh memerangkap dirinya. Justeru dia mesti bijak menangani setiap persoalan yang diajukan oleh pemuda ini.
“Fikiran awak selalu menjangkau jauh sangat” bidas Niyyaz Nazuha. Iwan tersenyum.
“Yaz....” Niyyaz Nazuha menatap Iwan untuk kesekian kalinya.
“Apa pandangan awak tentang Idlan?” soalnya lagi. Iwan merasakan pemuda itu adalah saingannya. Niyyaz Nazuha sekali lagi terkejut dengan pertanyaan Iwan. Hairan dengan tingkahlaku Iwan yang suka sangat membicarakan tentang  Idlan Raid.  ‘Agaknya Iwan dah dapat menangkap sesuatu dari penilaian pandangan mata kasarnya ataupun dia merasakan pemuda itu sebagai saingan terhebatnya. Lelakikan sememangnya suka bersaing. Siapa tahu.....’ bisik hati Niyyaz Nazuha berbicara sendiri. Timbul kerisauan di hati dengan sikap pemuda ini.
“Okey....” balas Niyyaz Nazuha ringkas. Tidak mahu memberi ulasan panjang.
“Takkan setakat itu saja komen awak tentang Idlan” ujar Iwan tidak puas hati.
“Awak nak saya cakap apa tentang dia?” soal Niyyaz Nazuha bingung.
“Saya nak dengar komen ikhlas lahir dari hati awak” pinta Iwan. Niyyaz Nazuha mengeluh kecil. Terlalu tinggi permintaan pemuda ini. Sebetulnya dia kurang senang hendak berbicara tentang Idlan Raid. Bimbang jika penilaiannya terhadap pemuda itu tidak adil. Pasti Idlan Raid yang sekarang  berbeza dengan yang dahulu.
“Saya tak berapa mengenalinya. Rasanya awak lebih tahu tentang dirinya. Bukankah kamu berdua dah lama jadi rakan sekerja? Awak ceritalah pada saya” balas Niyyaz Nazuha beralasan. Niyyaz Nazuha terpaksa berbohong. Dia tidak mahu mengungkit kisah lalu itu. Perkara yang terjadi biarlah berlalu. Itu prinsipnya! Apatah lagi kisah lalu itu bukannya indah untuk dikenang – kenang.
“ Dua tahun saya kerja dengan Idlan. Dia seorang yang pendiam dan sememangnya dia lelaki hebat. Namun peliknya... dia.....” bicara Iwan tergantung.
Niyyaz Nazuha menatap pemuda ini. Dia masih menanti bicara seterusnya dari mulut Iwan. Dia juga mahu mengetahui perkara sebenar yang hendak Iwan perkatakan tentang Idlan Raid. Dia hendak tahu tentang Idlan Raid kerana banyak perkara berkaitan dengan pemuda itu tidak difahaminya. Detik yang menemukan mereka  dan detik yang memberi kesempatan bersama pemuda itu dahulu belum cukup untuknya mengenali siapa Idlan Raid. Kurang sangat pengetahuannya tentang pemuda itu.
“ Saya tak pernah tengok dia keluar dengan perempuan selain Datin Sharifah, maknya. Sedangkan saya tahu ramai juga gadis yang sukakannya. Di pejabat kita ada dua tiga orang perempuan ada hati dengan Idlan termasuklah Salwa” cerita Iwan membuka rahsia yang selama ini langsung tidak diketahui oleh Niyyaz Nazuha.
Niyyaz Nazuha tersentak. Sukar dipercayai jikalau Idlan Raid mahu bersendirian. Idlan Raid tidak pernah kecewa dengan hidupnya. Setahunya hanya perkahwinan mereka yang membuatkan pemuda itu betul-betul kecewa dan menderita. Justeru Niyyaz Nazuha mengundur diri. Dia tidak tega menyeksa hidup pemuda itu.
Paling mengejutkan kawan baiknya menyimpan perasaan kepada pemuda itu. Kenapa dia tidak menyedari perkara itu? Agaknya kerja yang banyak membuatkan dirinya tiada masa hendak memerhatikan dunia sekeliling. Justeru perkembangan semasa yang berlaku di persekitarannya tidak disedari.
“ Saya benar - benar kagum dengannya. Dia tak pernah menggunakan kelebihan diri untuk bertukar – tukar perempuan” ujar Iwan memandang tinggi pemuda itu. Perkara lalu melintas di benak Niyyaz Nazuha. Dia yakin bicara Iwan tentang Idlan Raid. Memang benar Idlan Raid tidak akan berfoya – foya dengan perempuan.
“Mungkin dia pernah dikecewakan perempuan? Apa pendapat awak, Yaz?” suara Iwan bertanya mengejutkan Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha hanya mampu angkat bahu. Tiada sebarang pendapat diberikan. Berdiam diri itu lebih baik.
“ Alaa... lupakan saja tentang Idlan Raid. Saya dah lapar sekarang” ujar Niyyaz Nazuha mahu mematikan topik perbualan itu dengan segera. Iwan hanya senyum. Bersetuju sangat dia dengan permintaan Niyyaz Nazuha itu. Kesempatan bersama Niyyaz Nazuha ini seharusnya digunakan sebaik mungkin. Bukan mudah untuk dirinya berdampingan dengan gadis ini.

******

Niyyaz Nazuha melepaskan tubuh di sofa. Terasa lesu seluruh tubuh. Dia mendongak ke atas. Matanya menatap hamparan siling putih dan kipas yang berputar ligat. Fikirannya letih memikirkan kerja-kerja di pejabat yang belum dilangsaikan. Projek yang dikendalikan ketika ini memerlukan komitmen sepenuhnya. Niyyaz Nazuha mahu semuanya berjalan lancar dan membuahkan kejayaan. Dipejamkan mata cuba merehatkan diri.
                        “ Datin Sharifah telefon kamu tadi, Yaz” suara Puan Nazibah memecah kesepian. Diangkat kelopak matanya. Dia berpaling ke arah Puan Nazibah yang sedang bergerak mendekatinya di ruang tamu ini.
“ Dia teringin sangat nak cakap dengan kamu” ujar Puan Nazibah sambil meneliti reaksi gadis itu. Niyyaz Nazuha masih diam. Perlahan-lahan keluhan kecil dilepaskan.
“Barangkali ada perkara yang mahu dibualkan dengan kamu” tambah Puan Nazibah. Dia masih diam. Dimatanya sudah terbayang wajah perempuan itu.
“ Kalau kamu ada masa lapang datanglah jenguknya. Ataupun telefon saja Datin Sharifah. Jangan sampai dia fikir kamu tak nak jumpanya” ujar Puan Nazibah penuh makna tersirat. Bimbang perempuan itu beranggapan Niyyaz Nazuha menyalahkan dirinya.
“Nantilah mak bila kerja Yaz dah selesai” sahutnya setelah diam seketika. Kedengaran keluhan Puan Nazibah kurang setuju dengan tindakannya.
 “ Mak tengok kamu kerja kuat sangat. Kamu tak reti letihkah?” keluh Puan Nazibah. Niyyaz Nazuha tersenyum mendengar persoalan maknya ini. Soalan yang Puan Nazibah sudah tahu akan jawapannya.
“ Kamu tak fikir nak mulakan hidup baru? Maksud mak hidup berumahtangga lagi. Kamu dah ada pilihan hati, Yaz?” soal  Puan Nazibah lagi. Semakin lebar senyuman Niyyaz Nazuha mendengar pertanyaan maknya ini. Ternyata Puan Nazibah masih sangsi terhadap dirinya.
“Mengapa mak ni?” soal Niyyaz Nazuha semula.
“Kalau kamu dah jumpa lelaki baik  jangan tangguh lagi, Yaz. Perkenalkan pada mak. Mak teringin sangat tengok kamu berkeluarga dan hidup bahagia” ujar Puan Nazibah serius.
“Terlalu tinggi permintaan mak ni. Yaz belum terfikir tentang hal ini, mak. Insya Allah kalau dah jodoh Yaz sampai, kahwinlah Yaz nanti” balasnya cuba menyenangkan hati mak.
“ Mak bukannya apa, cuma mak nak pastikan  ada orang yang akan jaga kamu. Mak dah tua, nanti kalau mak tiada lagi siapa yang akan tengok-tengokkan kamu” getus Puan Nazibah beremosi. Sebak perasaan Niyyaz Nazuha mendengar bicara Puan Nazibah sedemikian. Dia masih perlukan maknya berada di sampingnya. Selama yang boleh dia perlukan sokongan perempuan ini.
“ Mak janganlah cakap macam tu. Yaz dah besar. Yaz boleh jaga diri sendiri”
“Takkan selamanya kamu mahu hidup macam ni. Kamu akan sunyi” nasihat Puan Nazibah gusar. Dia mengeluh. Ditatapnya wajah Niyyaz Nazuha. Bimbang jika anak gadisnya ini trauma hendak melayari bahtera perkahwinan lagi. Kegagalan rumahtangga yang lalu pasti memberi impak yang bersar kepada gadis ini.
“Mungkin peristiwa lalu yang membuatkan kamu takut, Yaz” ulang Puan Nazibah cuba mengungkit kisah lalu. Niyyaz Nazuha terdiam. Sesungguhnya, dia tidak berkeinginan memaksa orang lain menerima cintanya. Dia sedar betapa seksanya berhadapan dengan paksaan itu.
Yaz.....” Puan Nazibah cuba mengembalikan anak gadisnya ke dunia realiti.
“Tak pelah mak. Yaz letih sekarang, Yaz nak berehat di bilik. Yaz masuk bilik dulu” ujar Niyyaz Nazuha meminta diri lalu bangun meninggalkan ruang tamu. Puan Nazibah menggeleng kepala sambil melepaskan keluhan. Gadis itu terus melangkah ke bilik. Tubuhnya dibaringkan  ke  tilam empuk itu. Bicara maknya kembali bermain diingatannya. Tiba-tiba sahaja perbualannya dengan Iwan tengah hari tadi menyusul.
“Idlan.... betulkah apa yang Iwan katakan itu? Kalau betullah keadaannya seperti itu, apakah puncanya?” Niyyaz Nazuha berbicara sendiri.

Dia mula memikirkan jika  semua ini ada kaitan dengan dirinya. Dia bimbang jikalau Datin Sharifah yang menekan Idlan Raid sehingga kehidupan pemuda itu menjadi sedemikian. Dia tidak rela andai semua itu ada kaitan dengan dirinya.
‘Sumpah... aku tidak mahu membelenggu dirimu hanya kerana peristiwa lalu itu. Sungguh aku  mahu membebaskan kau dari semua itu, Idlan. Aku harus menemui Datin Sharifah. Biarlah Idlan bebas sebebasnya!!!’... suara hati Niyyaz Nazuha berbicara lagi.
***********

Niyyaz Nazuha berpaling beberapa kali. Dia ternampak Idlan Raid tercengat di situ. Anehnya dia sering sahaja terserempak pemuda itu setiap kali ada kerja luar. Seolah-olah dirinya dibayangi oleh kelibat Idlan Raid. Namun dia cuba berfikiran positif. Semua itu mungkin hanya secara kebetulan. Tiba-tiba sahaja Niyyaz Nazuha  melihat langkah Idlan Raid menghala ke arahnya. Lantas Niyyaz Nazuha tersenyum menyambut kedatangan pemuda ini.
“ Dah selesai perbincangan?” sapanya. Niyyaz Nazuha mengangguk.
“ Saya dah lama berada di sini. Saya nampak Dato Ramlan tadi” terangn Idlan Raid persis mengerti dengan pandangan tersirat Niyyaz Nazuha. Pertama kali Idlan Raid memulakan perbualan baik dengannya. Niyyaz Nazuha senyum lagi.
“Boleh saya duduk?” soalnya meminta kebenaran.
“Oh... maaf...terlupa nak jemput. Silalah duduk” arah Niyyaz Nazuha. Idlan Raid terus melabuhkan duduknya di hadapan gadis ini. Dia menatap Niyyaz Nazuha. Namun laju sahaja Niyyaz Nazuha melarikan wajahnya. Tidak selesa bertentang mata dengan pemuda ini.
“Bagaimana dengan projek itu?” soalnya cuba menghidupkan suasana.
“Semua berjalan lancar. Syukurlah Dato Ramlan memberikan bekerjasama dengan baik. Taklah pening kepala nak layan karenahnya” balas Niyyaz Nazuha. Idlan Raid senyum membuatkan Niyyaz Nazuha terpaku seketika. ‘Ya Allah betapa sempurnanya hambaMu ini... Dirinya dihiasi dengan keindahan anugerahMu yang tidak ternilai’... bisik hati Niyyaz Nazuha memuji kesempurnaan fizikal milik Idlan Raid yang sedang dinikmati oleh pandangan matanya. Hatinya pernah tertawan kepada pemuda ini suatu waktu dahulu.
“ Baguslah kalau macam tu” tambah Idlan Raid. Niyyaz Nazuha mengangguk. Sepi seketika. Pelanggan semakin ramai mengunjungi restoran hotel ini. Maklumlah waktu makan tengah hari sudah tiba. Niyyaz Nazuha memerhatikan sekeliling. Rata-rata pelanggan di sini semuanya berbincang tentang bisnes. Di sinilah destinasi ahli korporat yang berjaya.
“ Datin apa khabar?” soal Niyyaz Nazuha mematikan kesepian tadi.
“ Baik. Mama kirim salam” sahut Idlan Raid.  Niyyaz Nazuha menyambut salam itu  dalam hati. Senang hatinya mendengar perkhabaran baik Datin Sharifah itu. Memang itu yang diharapkan sampai bila – bila. Insan sebaik Datin Sharifah memang patut disayangi.
“ Bila awak nak datang ke rumah?” diulanginya lagi persoalan itu. Niyyaz Nazuha diam. Pemuda ini masih menanti jawapan daripadanya.
“Tengoklah jika ada kelapangan nanti....” balas Niyyaz Nazuha tidak pasti. Idlan Raid tertunduk merenung meja seketika. Melihat reaksi Idlan Raid sedemikian, lantas dia merasakan telah menyinggung perasaan pemuda ini.
“Sejak bila pula awak bekerja di SPPN?” soal Niyyaz Nazuha cuba melenyapkan kesepian yang tiba – tiba sahaja mendatang. Kurang selesa dengan situasi sedemikian.
“Sebulan selepas awak tinggalkan rumah” ceritanya tenang. Niyyaz Nazuha diam seketika. Begitu juga dengan Idlan Raid.
“Saya nak mulakan hidup baru.....” suara Idlan Raid perlahan sahaja.
“Baguslah kalau macam tu. Saya senang hati kalau awak mahu melakukannya” ujar Niyyaz Nazuha menyokong tindakan pemuda ini. ‘Semoga awak berjaya melakukannya, Idlan’.... bisik hati Niyyaz Nazuha mendoakannya. Sepi lagi. Adakalanya mata bertentangan. Hanya senyuman terukir di bibir gadis ini. Perbualannya mereka tidak begitu rancak.
“Awak dah jumpa lelaki yang lebih baik dari saya?” soalnya. Niyyaz Nazuha terdiam. Dipandangnya Idlan Raid. Pandangan mereka bersatu. Tanpa disedari keluhannya tercetus. Kemudian Niyyaz Nazuha mengalih wajahnya dari pandangan Idlan Raid.
“ Maafkan saya, Yaz ........” suara Idlan Raid bernada kesal.
“ Maaf untuk apa?” soal Niyyaz Nazuha hairan dengan permintaan pemuda ini.
“Saya telah banyak melukai perasaan awak. Sampai sekarang saya masih rasa bersalah pada awak” keluh Idlan Raid menyesali perkara lalu.
“Hey.... bukan salah awaklah. Saya langsung tak berdendam dengan awak” jelas Niyyaz Nazuha sejujurnya.
“ Saya telah musnahkan kebahagiaan awak. Itu kesalahan besar saya pada awak. Lepas itu awak tak pernah ceria lagi. Awak boleh maafkan saya?” soal Niyyaz Nazuha mengharap. Idlan Raid geleng kepala. Dia dapat merasakan bahawa Idlan Raid tidak bersetuju dengan pendapatnya itu.
“Memang betul dan saya rindukan kehidupan lalu kita, Yaz” keluh Idlan Raid tidak meningkah bicara gadis ini. Niyyaz Nazuha melepaskan keluhan kecil. Terbeban hatinya mendengar pengakuan yang lahir dari mulut pemuda ini. Ternyata Idlan Raid sendiri mengakui hakikat itu. Kebahagiaan dan keceriaan hidup Idlan Raid musnah disebabkan dirinya.
“Awak masih nak buli saya?” soal Niyyaz Nazuha berjenaka. Cuba mengusir kegusaran hati. Idlan Raid tersenyum.
“Suka rasanya nak melalui hidup macam dulu” ujar Idlan Raid lagi. Masih berkisar tentang kehidupan silam mereka. Niyyaz Nazuha menatap wajah Idlan Raid yang kelihatan mendung itu. Tiada senyuman indah menghiasi bibir nipisnya.
“ Tak usahlah dikenang perkara yang lalu. Saya dah lupakan semua itu” balas Niyyaz Nazuha yang sudah nekad mahu memulakan hidup baru yang lebih bermakna dan membahagiakan. Riak wajah Idlan Raid berubah. Dia melepaskan keluhan beratnya.
“ Bukankah awak nak mulakan hidup baru? Inilah masanya walaupun saya tahu agak terlewat sedikik awak bertindak. Sepatutnya awak lakukan semua ini sebaik saja saya keluar dari rumah awak dulu” luah Niyyaz Nazuha memberi cadangan ikhlas kepada Idlan Raid.
“Awak seperti mahu saya melenyapkan kenangan lalu itu”

Niyyaz Nazuha mengangguk. Memang  itulah harapannya sekarang dan demi kebaikan Idlan Raid. Dirinya? Niyyaz Nazuha tidak mahu mengutamakan kepentingan sendiri persis yang pernah  dilakukannya dahulu. Dia sedar yang dia telah gagal. Buktinya pemuda ini terus hidup kecewa dan dia tetap menyalahkan diri sampai bila-bila pun. Itu yang Niyyaz Nazuha rasakan sekarang.
“Sebenarnya kisah lalu kita itulah yang nak saya kenang selamanya. Kalau boleh saya nak mengulanginya lagi, tapi dalam suasana yang berbeza. Ingat saya masih ada hak ke atas awak, Yaz” tegas Idlan Raid dengan serius. Niyyaz Nazuha terkedu dengan ketegasan pemuda ini. Lama dia tergamam memikirkan bicara Idlan Raid itu. Sedar – sedar Idlan Raid sudah beredar meninggalkannya. Dia hanya sempat melihat kelibat pemuda itu melangkah menghala ke muka pintu.

‘Ingat saya masih ada hak ke atas awak,  Yaz! ‘ Kata-kata Idlan Raid menyerang benaknya. ‘Betulkah apa yang Idlan katakan ini? Apa maksudnya? Adakah dia berdendam lantas menuntut  balasan dariku supaya kesengsaraannya dahulu dapat ditebus’ hati Niyyaz Nazuha bersoal – jawab sendiri. Sungguh Niyyaz Nazuha terkeliru dengan kenyataan Idlan Raid itu.

No comments:

Post a Comment