Wednesday, 21 May 2014

Awak Jodohku Lagi....! 4



BAB 4

NIYYAZ NAZUHA menatap wajah tua itu. Bukan niatnya mahu melukai perasaan Datin Sharifah. Dia sudah tidak mampu meneruskan semua ini. Sudah sampai masa dia memberi peluang kepada Idlan Raid dan dirinya sendiri untuk merencana kehidupan mereka seterusnya. Biarlah mereka meneruskan perjuangan hidup dalam mencari kebahagiaan sendiri andai sudah termaktub kehidupan sekarang telah menemui kegagalan.
“Maafkan Yaz, mama. Yaz tak sangka akan jadi begini dan Yaz tak sanggup terus menyek
sa abang Idlan” luahnya pilu.
“Bukankah Yaz sayangkan Idlan?” soal Datin Sharifah buat dirinya serba salah.  Kenyataan tersebut memang tidak dinafikannya.
“ Ya.... kerana itulah Yaz harus berundur sekarang. Selama Yaz bersama abang Idlan, abang Idlan langsung tak bahagia. Yaz sayangkan abang Idlan sebab tu Yaz tak sanggup  menyeksanya lagi” ujarnya berterus-terang.  Datin Sharifah tertunduk menatap lantai. Dia begitu kecewa.
“ Mama kesal apa yang telah Idlan lakukan pada kamu, Yaz. Kalaulah mama ada anak muda lain, mama takkan jadikan Idlan suami kamu. Kalau mama boleh halang semua ini alangkah baiknya” keluh Datin Sharifah kecewa yang mendalam. Niyyaz Nazuha hanya senyum. Bangga. Sekurang-kurangnya  masih ada juga  insan yang menyayangi dan menghargai kewujudannya.
“Walau apapun terjadi, mama berharap hubungan kita takkan terputus. Yaz masih sudi panggil saya mama sampai bila – bilakan....” pinta Datin Sharifah. Dia mengangguk.
“Yaz dah kemaskan semua barang Yaz. Sekejap lagi kawan Yaz akan datang jemput Yaz. Yaz  minta maaf jika Yaz sakiti hati mama. Minta maaf juga sebab Yaz buat keputusan mengejut tanpa berbincang dengan mama terlebih dahulu” ujarnya bersedih. Datin Sharifah geleng-geleng kepala. Pantas sahaja dipeluknya tubuh Niyyaz Nazuha. Erat. Dia sangat mengerti bahawa hati gadis itu telah terluka kerana sikap anak mudanya. Walaupun dia bersedih dengan perpisahan itu, namun sama sekali dia tidak akan menghalang kepergian Niyyaz Nazuha. Gadis ini berhak mencari kehidupan yang bahagia dan lebih bermakna. Niyyaz Nazuha harus mencari kebahagiaan itu setelah Idlan Raid gagal memberikannya. Di halaman kedengaran deruan kereta. Pastinya Nina sudah sampai.
“ Yaz harus pergi sekarang, mama” ujarnya memaklumkan detik perpisahan sudah tiba. Terlalu sukar Datin Sharifah hendak melepaskannya pergi. Perlahan-lahan dilepaskan tubuh Niyyaz Nazuha dari pelukannya. Niyyaz Nazuha mengatur langkah beredar dari situ.
“ Yaz....” Langkahnya mati. Dia berpaling ke arah Idlan Raid yang  sedang melangkah mendekatinya. Idlan Raid menatapnya lama. Namun pemuda ini masih tidak mampu berbicara dengannya. Niyyaz Nazuha tersenyum. Sejak dia mengenali Idlan Raid, dirinya menjadi seorang yang begitu murah dengan senyuman.
“Yaz letak cincin pernikahan kita di bilik tidur. Ada kelapangan nanti kita sama – sama uruskan perceraian ini” ujarnya dengan tabah. Niyyaz Nazuha bagaikan tidak memiliki kekuatan mendengar Idlan Raid melafazkan talak ke atasnya. Namun dia mesti berhadapan dengan perkara itu. Perkara yang pasti talak akan jatuh sebaik sahaja Idlan Raid melafazkannya di depan saksi selaras dengan syarat hukum hakam Islam. Dia yakin perkara ini akan diselesaikan dengan mudah berdasarkan persetujuan dan kerelaan bersama kedua belah pihak. Malah dia sanggup jadi pesalah andai dapat memudahkan prosuder penceraian tersebut. Nun jauh di sudut hatinya, dia mahu menebus segala kesilapannya kepada Hadi. Maka sudah sampai masa berpisah dengan pemuda ini.

“ Sebelum pergi Yaz nak minta maaf banyak-banyak pada abang. Yaz tahu Yaz telah banyak menyusahkan hidup abang. Yaz tahu  menyintai seorang tak bermakna memiliki dirinya. Yaz harus terima kenyataan ini” ujarnya jujur. Niyyaz Nazuha tampak begitu tabah. Nina sudah tercengat di muka pintu menanti kedatangannya.
“ Maafkan Yaz bang, Yaz harus pergi sekarang” ujarnya perlahan memujuk hati.  Dia menyambung langkahnya. Namun laju sahaja tangan Idlan Raid memegang tangannya. Pautannya begitu erat. Wajah Idlan Raid mendung. Niyyaz Nazuha terkedu tatkala melihat anak mata pemuda ini berkaca. Tidak percaya Idlan Raid akan menangis di depannya.
“ Saya tahu saya telah banyak melukai hati awak. Selama ini saya tak pernah minta apa-apa daripada awakkan. Hari ini saya mahu minta sesuatu” ujar Idlan Raid menatap Niyyaz Nazuha. Mereka saling berpandangan.
“Apa yang patut saya lakukan demi mengembalikan isteri saya kepangkuan saya semula? Saya dah sedar sekarang yang saya harus belajar mencintainya” luah Idlan Raid bersungguh-sungguh. Air mata Niyyaz Nazuha menitis tatkala mendengar ungkapan bicara pemuda ini. Alangkah bahagianya andai dari dahulu Idlan Raid berkata sedemikian. Sudah pasti tiada hati yang kecewa.
“Tak apalah bang. Yaz dah ambil keputusan nak ikut Nina ke Amerika setelah semuanya selesai. Kawan baik Nina ada tawarkan kerja pada Yaz. Yaz nak memulakan hidup baru. Mungkin nak pujuk hati. Abang  belajarlah  merindui Yaz. Yaz yakin, andai masih ada jodoh antara kita, kita akan dipertemukan lagi. Jika cinta abang teguh kepada Yaz, Yaz akan tetap milik abang. Biarlah takdir menentukan semua ini. Yaz pergi sekarang” ujarnya tabah. Sebetulnya dia sudah kecewa dengan Idlan Raid. Rajuk hatinya begitu dalam. Idlan Raid melepaskan tangannya dari genggaman. Dia terus mengatur langkah ke hadapan meninggalkan pemuda itu di situ.
“ Yaz....Yaz....”  Namanya masih bermain di bibir Idlan Raid. Namun Niyyaz Nazuha sudah nekad dengan keputusannya. Dia hanya mampu meninggalkan titisan air matanya untuk Idlan Raid kerana masih sudi menyebut namanya.
‘Semoga keputusan ini tepat....’ bisik suara hatinya. Sesungguhnya Niyyaz Nazuha sudah nekad dengan keputusannya. Tiada sesiapa yang mampu menghalangnya.

SEBULAN KEMUDIAN..... di kamar Mahkamah Syariah....
“Saya ceraikan awak... Niyyaz Nazuha binti  Muhammad Nazrie dengan talak satu...” tutur Idlan Raid tenang. Maka sah sudah dirinya bukan lagi berstatus isteri kepada lelaki yang dicintainya. Setitis air matanya gugur ke pipi. Laju sahaja tangannya menyapu titisan air mata itu.
“Idlan Raid.... semoga awak bahagia...” bisiknya berdoa. Niyyaz Nazuha dan Idlan Raid saling berpandangan. Ada senyuman yang terukir di bibirnya biarpun hatinya berduka saat ini meratapi penghujung jodohnya dengan pemuda itu. Nina terus merapatinya. Lantas memeluk erat tubuh sahabatnya itu. Puan Nazibah dan Datin Sharifah juga saling berpelukan dalam tangisan yang menyayat hati. Kecewa dengan nasib anak – anak mereka.
“Mari kita balik...” tutur Nina memaut bahunya. Cuba menyuntik semangat kepada sahabatnya. Berat sahaja langkah yang diaturnya.
“Jalan terus... pandang ke depan... Jangan sesekali menoleh ke belakang...” arah Nina. Dia memejamkan matanya seketika. Menarik nafas dalam – dalam.
“Selamat tinggal Idlan Raid....” bisiknya lalu mengatur langkah dengan tenang meninggalkan perkarangan Mahkamah Syariah itu sekali gus menjauhi Idlan Raid yang masih melontar pandangan kepadanya.
Puan Nazibah sedang berada di dalam kereta menanti kedatangan mereka. Manakala Datin Sharifah sudah tidak kelihatan kelibatnya lantaran menghilang membawa rawan hatinya.

********************

Niyyaz Nazuha memeluk tubuhnya erat-erat. Terasa kedinginan yang amat mencengkam tulang-temulangnya. Baju sejuk tebal yang membaluti tubuhnya masih tidak mampu melawan kedinginan musim salji yang telah melanda bumi Amerika. Pandangannya masih fokus pada jalan raya di seberang sana. Gumpalan salji yang semakin membukit menutupi setiap permukaan jalan tersebut.
“ Nina.... saya nak balik Malaysialah” suaranya memecah kesepian yang tercipta  beberapa minit yang lalu. Dia  menoleh ke arah Nina yang sedang tekun menyiapkan kerjanya. Tangan gadis itu terhenti sambil beradu pandangan dengannya.
“ Awak dah fikir betul-betul?” soal Nina tanda tidak pasti dengan niat Niyyaz Nazuha itu. Suatu keputusan yang agak mengejut.
Niyyaz Nazuha mengangguk menyokong hasrat hatinya yang baru sahaja diluahkan. Kedengaran Nina mengeluh kecil. Entah apa yang sedang difikirkannya tika ini. Barangkali juga Nina kurang setuju dengan niatnya. Dia tahu Nina tidak akan menghalangnya kalau dia bersungguh mahu meninggalkan negara ini.
“Mengapa Nina? Awak risau saya akan kembali pada Idlan Raid?” soalnya bergurau. Dia tersenyum. Sudah lama mulutnya tidak menyebut nama lelaki itu. ‘Bagaimana keadaan Idlan Raid sekarang? Barangkali dia sudah menemui perempuan yang betul-betul layak menjadi isterinya dan mungkin juga pemuda itu sudah memiliki cahaya mata pelengkap sebuah keluarga bahagia. Barangkali.... Semuanya ada kemungkinan’.... Niyyaz Nazuha bermonolog sendiri. Nina mendekatinya. Bahunya dipegang. Nina mengeluh lagi.
“Kita perempuan malang, Yaz. Kita sama-sama gagal dalam rumahtangga kita” keluh Nina sambil melontor pandangan jauh ke hadapan. Dia menatap wajah itu. Nampak penderitaan lalu masih bersarang dalam diri Nina.
“Awak tak gagal Nina, cuma takdir yang menghalangnya” balasnya meningkah kata-kata Nina sebentar tadi. Padanya kisahnya dengan Nina adalah cerita yang berbeza. Nina geleng kepala. Ada air mata yang bertakung di tebing birai matanya. Dia  menatap Nina lalu menggenggam tangan sahabatnya itu.
“Jangan hukum diri awak lagi, Nina. Halil pergi bukan salah awak. Semua itu dah takdirNya. Awak harus terima hakikat ini dengan tabah” nasihatnya.
“Tidak Yaz......” Nina geleng-geleng kepala. Dia dapat merasakan Nina masih tidak mampu melupakan kisah lalu. Nina tetap mahu menyalahkan dirinya dengan perkara yang berlaku. Dia cukup sedar pendirian Nina telah termaktub mahu menanggung musibah itu.
“Betul awak nak balik Malaysia?” soalnya meminta kepastian. Niyyaz Nazuha mengangguk. Keputusannya muktamad.
“Dah lama saya tinggalkan Malaysia. Saya rindukan mak dan rajuk saya dah hilang” ujarnya sambil sempat bergurau. Nina tertawa kecil. Laju sahaja tangannya menepuk bahu Niyyaz Nazuha. Mereka tergelak.
“Pernah tak awak rindukan Idlan Raid?” soalnya tiba-tiba. Niyyaz Nazuha terdiam seketika. Nina masih menatapnya. Dia geleng kepala.
“...... tetapi saya rindukan cara dia layan saya dahulu” balasnya berjenaka. Niyyaz Nazuha dan Nina tertawa lagi.
“Saya rasa kali ini kalau Idlan Raid jumpa awak mesti dia akan terpikat dengan awak. Pasti dia tak sangka jandanya semakin jelita” tambah Nina mengusiknya. Niyyaz Nazuha tergelak. Dia belum bersedia bertemu dengan pemuda itu. Gusar kisah lalu berulang lagi. Bukan dia menyesali pertemuan itu tetapi dia belum cukup kuat dan tidak setabah dahulu. Tiga tahun dia tidak menemui Idlan Raid, dia belum mampu menentang pemuda itu dalam apa-apa hal. Dia sedar dirinya tiada kekuatan mahu berhadapan dengan Idlan Raid.
Niyyaz Nazuha  melepaskan keluhan. Mengapa dia harus membicarakan tentang  pemuda itu? Bukankah sudah sekian lama dia menguburkan Idlan Raid dari ingatannya? Dia sudah melepaskan pemuda itu setelah menyedari selama ini dia hanya pentingkan diri sendiri sehingga menyeksa hidup Idlan Raid dengan cintanya. Dia sedar ketaksuban cinta butanya telah menjadikan kehidupan pemuda itu menderita dengan disulami rasa kebencian yang mendalam. Melepaskan orang yang dicintai adalah jalan terbaik dan keputusan yang sukar. Dia pasrah ketika itu persis sekarang dia pasrah.
**************

Air mata Niyyaz Nazuha menitis tatkala dia memeluk tubuh Puan Nazibah. Ternyata petang yang hening itu tangisannya dan Puan Nazibah bersatu. Pertemuan yang begitu menyayat hati. Sudah sekian lama dia meninggalkan maknya. Maka dengan kesabaran ini akhirnya mereka dipertemukan jua.
Puan Nazibah  masih memeluk tubuhnya melepaskan kerinduannya yang terbuku selama ini. Beberapa kali Puan Nazibah mengucup pipi Niyyaz Nazuha tanda kasih sayangnya yang tidak pernah surut.
‘Terima kasih Allah kerana Engkau sentiasa melindungi makku selama ini, biarpun bukan dari penglihatan pandangan mataku’ ....bisik Niyyaz Nazuha bersyukur atas limpahan kesejahteraan yang Maha Esa berikan kepada Puan Nazibah.

***************

Niyyaz Nazuha masih leka duduk di situ sambil memerhatikan wajah senja yang mula melabuhkan diri. Kicauan burung memberikan ketenangan kepadanya. Sudah sekian lama dia tidak menikmati suasana seperti itu. Betapa selama ini dirinya sudah terbiasa di selubungi kedinginan dan suasana empat musim yang silih berganti. Dia memanjat kesyukuran kerana masih diberi kesempatan menikmati semula suasana demikian.
“Termenung panjang, Yaz” sapa Puan Nazibah. Dia berpaling. Puan Nazibah sedang mengorak langkah mendekatinya. Dia tersenyum menyambut kedatangan maknya. Puan Nazibah  melabuhkan duduknya di hadapan anak gadisnya ini. Ditatapnya wajah Niyyaz Nazuha lama. Kerinduaannya kepada anak gadisnya ini belum habis lagi.
“Apa rancangan kamu seterusnya nanti?” soal Puan Nazibah memulakan bicara.
“ Yaz dah dapat kerja. Minggu depan Yaz akan mula bertugas” jelasnya.
“Mengapa cepat sangat nak kerja? Rehatlah lama-lama, kamukan baru balik” ujar Puan Nazibah meluahkan pendapatnya.
Dia hanya senyum. Sepi seketika. Puan Nazibah masih mahu memerhatikan wajah anak gadisnya sehingga menimbulkan kehairanan Niyyaz Nazuha.  Dia tertanya – tanya dengan kelakuan maknya yang tidak sudah – sudah menatap wajahnya tika ini. Terasa maknya sedang  membuat perbandingan dirinya yang dahulu dengan dirinya yang sekarang. Dia dapat merasakan perempuan ini mahu mempastikan keadaannya tika ini. Pasti maknya risau andai dia masih menyeksa diri dan menderita kerana peristiwa lalu. Peristiwa yang terjadi antara dirinya dengan Idlan Raid. Bukankah maknya cukup kenal dengan sikap degilnya.
“ Mak...., Yaz  dah cukup dewasa sekarang. Peristiwa yang lalu itu mengajar Yaz menjadi insan yang lebih tabah.....” bisik hati Niyyaz Nazuha menjawab pandangan mata Puan Nazibah. Hatinya mengerti. Mungkin persoalan itulah yang bersarang dalam diri perempuan ini.
“Mengapa mak pandang Yaz macam tu?” soalnya. Puan Nazibah tersenyum sambil menggeleng kepala.
“Mak macam bermimpi saja tengok kamu berbual dan duduk di depan mak sekarang” luah Puan Nazibah disusuli dengan senyuman cerianya. Betapa girang hatinya dengan kepulangan anak gadis tunggalnya ini. Paling penting rajuk gadis ini sudah lenyap.
“Pada pandangan mata mak, adakah Yaz dah berubah sekarang?” soalnya semula menguji. Mahu mendengar pendapat maknya.
“Yaz dah bertambah cantik” usik Puan Nazibah.
“Mak ni ke situ pula.....” rengeknya manja.  Dia tersenyum sendiri. Diam lagi. Puan  Nazibah mengalih pandangannya ke satu sudut. Dia masih menanti dan memberi peluang kepada Puan Nazibah meneruskan bicaranya.
“Kamu tak nak jenguk Datin Sharifah?” soal Puan Nazibah tiba-tiba. Niyyaz Nazuha menatap wajah maknya. Soalan yang terlalu sukar hendak dijawabnya.
“ Dia selalu juga telefon mak bertanyakan khabar” cerita Puan Nazibah. Perkara yang berlaku antara Niyyaz Nazuha dengan Idlan Raid tidak pernah memutuskan hubungan persahabatannya dengan Datin Sharifah. Mereka masih saling berhubung bertanyakan khabar.

Niyyaz Nazuha hanya diam. Terbayang di matanya wajah putih bersih yang sarat dengan kasih sayang itu. Kasih sayang untuknya suatu waktu dahulu. Kasih sayang kepada menantunya.  Masih terasa hangat pelukan Datin Sharifah, malah dia tidak boleh melupakan air mata kekecewaan Datin Sharifah ketika dia meninggalkan banglo itu suatu waktu dahulu. Pertemuan terakhir mereka di Mahkamah Syariah juga begitu menyayat hati. Malah dia tidak mampu berbual panjang dengan Datin Sharifah ketika itu. Sebak hatinya membuatkan dirinya tidak mampu menyusun bicara.
‘Maafkan Yaz mama. Yaz telah kecewakan mama dan musnahkan impian mama untuk memiliki sebuah keluarga yang sempurna dan bahagia’ suara hatinya berbicara lagi. Berfikir. Layakah dirinya memanggil perempuan itu sedemikian? Masihkah Datin Sharifah menyayanginya seperti dahulu setelah dia meninggalkan perempuan itu dalam tangisan pada waktu itu? Salahnya  kerana tidak mampu bertahan untuk jangka masa yang lebih panjang lagi.

“Idlan pun sering juga jenguk mak di sini. Dia rasa bersalah sangat pada kamu dan mak” cerita Puan Nazibah. Niyyaz Nazuha masih juga diam. Nyatanya dia kematian akal menyahut bicara Puan Nazibah itu.
“Kamu berdendam dengan Idlan, Yaz?” soal Puan Nazibah. Dia menatap wajah Puan Nazibah yang sedang menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutnya. Lantas dia geleng kepala dan tersenyum.
“Apa yang berlaku antara Yaz dengan Idlan dah ditakdirkan. Mungkin setakat itu saja jodoh kami. Tiada siapa yang perlu disalahkan dalam hal ini” balasnya jujur dari hati nuraninya. Puan Nazibah tersenyum lalu menggenggam jemarinya. Bangga dengan ketabahan gadis ini.
“Mak tahu kamu tabah menghadapi semua ini. Kadangkala mak kesal juga sebab Idlan tak layan kamu dengan baik sedangkan mak tahu kamu sememangnya isteri yang baik. Kamu anak mak, mak cukup kenal dengan kamu, Yaz. Betapa bodohnya Idlan lepaskan kamu” keluh Puan Nazibah kesal. Bersedih dengan nasib yang menimpa anak gadisnya ini.
“Mak.....” tegurnya kurang senang dengan bicara Puan Nazibah. Tidak adil andai maknya menghakimi dirinya dengan Idlan Raid sedemkian.
“ Mak janganlah cakap macam tu, nanti datin dengar kecil pula hatinya” ujarnya memperingatkan Puan Nazibah. Puan Nazibah melepaskan keluhannya.
“Kamu masih juga nak dahulukan kepentingan orang lain. Janganlah baik hati sangat nanti senang orang ambik kesempatan ke atas kamu” nasihat Puan Nazibah.
“Mak..., dahulu Yaz pentingkan diri sendiri sehingga Idlan terseksa. Itu kesalahan besar yang pernah Yaz lakukan. Kalau boleh Yaz mahu menebusnya” keluhnya kesal. Puan Nazibah menatapnya.
“ Syukurlah kamu dah matang sekarang, Yaz. Kalau dahulu kamu fikir begini mungkin hidup kamu lebih mudah sekarang” ujar Puan Nazibah.

Dia tersenyum  menyambut bicara maknya. Dia faham makna di sebalik bicara itu. Dia juga mengerti perasaan maknya. Mesti maknya fikir andai dirinya tidak tergila-gilakan Idlan Raid tika itu, pasti kehidupannya bahagia sekarang. Tidak payahlah dia merawat kekecewaannya di negara orang. Membawa rajuk hati.
“ Mak... sekarangkan hidup Yaz baik – baik saja. Mak tak nampak?”
“ Mak tak percaya andai kamu langsung tak ambil hati atas tindakan Idlan dahulu. Kamu bukan malaikat boleh menerima semua itu dengan mudah” balas Puan Nazibah cuba memperingatkan dirinya tentang keterbatasannya sebagai makhluk Allah yang serba kekurangan.
“ Ya... Yaz tahu, tapi Yaz dah ingatkan pada diri sendiri semua itu bukan salah  Idlan tapi salah Yaz. Yaz terima semua ini sebagai takdir hidup Yaz” balasnya redha.
“Kamu masih juga berpihak pada Idlan, Yaz. Mak nak dengar kalau kamu luahkan rasa kekesalan kamu padanya. Mak rasa itu yang sepatutnya kamu lakukan agar kamu menunjukkan diri kamu sebenar, seorang yang pernah kecewa dengan kehidupan lalunya” bidas Puan Nazibah tidak puas hati.
“Mak tak percaya Yaz? Mak dah lupa siapa Yaz?” tanyanya penuh makna tersirat.
“Kamu adalah anak gadis tunggal mak. Mak nak kamu bahagia dengan impian kamu selama ini termasuk mengahwini lelaki yang kamu kasihi. Mak tak kisah kalau sedikit masa lagi kamu nak hidup berumahtangga lagi, tapi mak harap kali ini biarlah kamu fikir betul-betul agar jangan tersilap langkah lagi” nasihat Puan Nazibah panjang lebar. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri.  Dia sedar betapa menggunung kasih sayang perempuan ini kepadanya. Dia sedar betapa kesal maknya dengan apa yang telah  menimpa dirinya selama ini. Pastinya sebagai anak tunggal, maknya sering mengharapkan kebahagiaannya.
“Maafkan Yaz kalau Yaz telah kecewakan mak, tapi Yaz tak pernah menyesal melalui semua itu” ujarnya tersenyum lalu menggenggam erat tangan Puan Nazibah. Senyap. Puan Nazibah melepaskan keluhan panjangnya.
“Bila kamu nak jumpa datin?” soal Puan Nazibah. Niyyaz Nazuha menarik nafas panjang. Ditatapnya wajah Puan Nazibah.
“Yaz belum bersedia lagi. Tunggulah masa yang sesuai” jelas Niyyaz Nazuha berterus – terang serta tidak menjanjikan kepastian pertemuannya dengan Datin Sharifah.
“Mak tak paksa kamu cuma mak harap kamu masih sudi berjumpa dengannya. Dia rindu sangat pada kamu. Biar dia tahu yang kamu tak pernah menyalahkannya dengan apa yang telah berlaku kerana selama ini Datin Sharifah sering saja meluahkan rasa kesalnya” cerita Puan Nazibah.  Niyyaz Nazuha mengangguk. Suatu hari nanti pasti dia akan menemui Datin Sharifah juga. Banyak perkara yang harus dia bualkan dengan perempuan itu.
“Datin Sharifah seorang perempuan yang baik hati, tapi malangnya sampai sekarang......” kata-kata Puan Nazibah terputus. Dia menatap wajah maknya yang sarat dengan kekesalan.
“Mengapa dengan datin, mak?” soalnya risau. Dia tidak bersedia menerima sebarang perkhabaran buruk yang berlaku kepada perempuan itu. Biarlah dia bertemu dengan Datin Sharifah nanti dalam keadaan baik – baik sahaja. Dia sayangkan Datin Sharifah.
“Datin Sharifah masih menyalahkan dirinya, Yaz” keluh Puan Nazibah. Niyyaz Nazuha menyambut keluhan maknya dengan keluhan juga. Dia kesal. Sungguh dia tidak mahu menyalahkan atau membebankan sesiapa dengan apa yang telah berlaku antara dirinya dengan Idlan Raid. Semua itu sudah takdir dan suratan buat mereka. Sebagai hambaNya, Niyyaz Nazuha menerima semua itu sebagai dugaan dan ujian keimanannya sebagai makhluk Allah yang serba kekurangan. Dia pasrah dan redha. Dia berharap mudah – mudahan orang lain juga persis dirinya.
“Biarlah Yaz cakap dengan Datin Sharifah nanti. Yaz tak mahu Datin Sharifah terus menyalahkan diri. Yaz akan kesal kalau Datin Sharfah terus juga macam tu. Semua ini salah Yaz” luahnya bersedih. Puan Nazibah  hanya diam. Di wajahnya masih terpancar rasa tidak puas hati. Dia sedar maknya sangsi dengan ketabahannya. Mungkin maknya fikir dirinya berpura – pura saat ini.
‘Mak..... tempoh  tiga tahun itu dah cukup untuk Yaz berfikir tentang tindakan Yaz dahulu’ bicara hati kecilnya.

Sesungguhnya, dialah yang sepatutnya menanggung segala kesalahan itu kerana telah memusnahkan kehidupan Idlan Raid. Dia belenggu pemuda itu dengan cintanya. Dia kurung Idlan Raid dengan cinta itu sehingga membuatkan pemuda itu dibelenggu kebencian. Benci yang sangat mendalam terhadap dirinya. Perlahan – lahan Niyyaz Nazuha melepaskan keluhan kecilnya menyesali kisah lalunya.

‘Ya Allah betapa terseksanya Idlan tika itu. Betapa kejamnya aku menghukum Idlan  memaksanya melalui semua itu’ suara hatinya terus berbicara lagi.

Suatu hari nanti andai Idlan Raid dipertemukan dengannya, dia mahu menyaksikan perubahan  hidup lelaki itu. Dia mahu menatap Idlan Raid tersenyum ceria seperti mula-mula dia mengenali pemuda itu dahulu. Dia langsung tidak berdendam dengan Idlan Raid. Cuma dia bimbang kalau pemuda itu yang berdendam dengannya. Dia telah melakukan kesalahan yang berat tatkala memaksa pemuda itu menerimanya.

‘Semoga aku boleh menjadi sahabat baik Idlan....’ doa hati Niyyaz Nazuha penuh pengharapan.


No comments:

Post a Comment