Tuesday, 20 May 2014

Awak Jodohku Lagi....! 3





BAB 3

NIYYAZ NAZUHA bergegas turun menyambut kepulangan suaminya. Hairan juga melihat Idlan Raid balik awal hari ini. Selalunya pemuda ini tidak akan muncul waktu tengah hari begini. Langkahnya yang sedang menuruni anak tangga terhenti. Idlan Raid muncul bersama seorang perempuan tetapi bukan perempuan tempoh hari. ‘Apalah agaknya yang nak Idlan lakukan kali ni? Adakah dia mahu terus mengujiku?’ ... bisik suara hati Niyyaz Nazuha. Namun bezanya kali ini Idlan Raid serius sahaja bersama gadis yang nampak begitu sopan memenuhi ciri – ciri perempuan idamannya.
“Yaz..... perkenalkan Idah, tolong layannya sebaik mungkin” pinta Idlan Raid lalu meninggalkan Niyyaz Nazuha bersama gadis ini di ruang tamu. Idah tersenyum lalu menghulurkan tangan kepadanya. Dia menyambut tangan gadis ini dengan senyuman. Dapat dirasakannya bahawa gadis ini adalah tetamu istimewa pemuda itu. Barangkali terjalin hubungan istimewa antara Idlan Raid dengan gadis ini.
“Apa khabar?” tanya Niyyaz Nazuha.
“Baik. Yaz bagaimana pula?” balas gadis ini mesra.
“Macam yang Idah tengok. Rasa sunyi bersendirian di rumah ini” balasnya.
“Janganlah segan - segan” tambahnya lagi. Senyap seketika. Idah menatapnya. Gadis ini mula membuat penilaian terhadap Niyyaz Nazuha. Tiada yang kurangnya. Cantik dan bersopan – santun. Begitu sempurna.
“Selalunya kalau abang Idlan balik awal mesti ada sebab tertentu. Idah tentu fahamkan maksud saya?” soalnya tidak mahu terus berteka-teki. Gadis ini mengangguk.
“Sebenarnya.....” Bicaranya terhenti setakat itu.
“Kalau ada apa-apa cakap saja. Janganlah segan, saya memang dah biasa terima kejutan” ujar Niyyaz Nazuha ikhlas tanpa sebarang niat tersembunyi.
“Maaf Yaz, sebenarnya saya dan Idlan dah lama menjalin hubungan sebelum Yaz jadi isterinya lagi. Kami saling mencintai sebab itu idlan tak boleh terima Yaz dalam hidupnya” jelas Idah perlahan malah seakan cukup arif tentang keadaaan hubungan mereka suami isteri. Niyyaz Nazuha tersentak. Namun masih mampu mengawal perasaan.
“Kami bercadang nak nikah. Kami tak nak merahsiakan semua ini kerana cinta kami betul-betul ikhlas” jelas Idah lembut.
Niyyaz Nazuha tersentak. Hidup bermadu? Seketika dia terdiam. Hatinya terguris namun dia masih mampu tersenyum panjang. Idah nampak kehairanan menatap Niyyaz Nazuha yang langsung tidak melenting mahupun menyerangnya. Tenang sahaja.
“Terima kasih berterus-terang. Saya tak kisah kalau abang Idlan mahu kahwin lagi” ujarnya jujur. Idah terkejut mendengar kenyataan itu.  Niyyaz Nazuha sudah tiada pilihan selain mengikut rentak Idlan Raid. Kalau itu boleh membahagiakan pemuda itu, dia akan merima seikhlasnya. Biarpun hati kecilnya tidak mampu menidakkan dari terluka. Padanya, Idlan Raid telah sanggup berkorban menikahinya tanpa cinta. Maka gilirannya pula berkorban demi merelakan Idlan Raid hidup bahagia bersama perempuan yang dicintainya.
“Kalau abang Idlan bahagia, saya juga akan bahagia. Saya sangat menyintainya. Saya rela berkorban apa saja demi kebahagiaannya. Saya tak pernah menyesal jadi isterinya. Hanya saya kecewa kerana sehingga ke hari ini saya tak mampu membahagiakannya. Saya harap Idah akan jaga abang Idlan dengan baik” ujar Niyyaz Nazuha penuh dengan harapan. Dia ikhlas menuturkannya. Idah tertunduk. Kedengaran esakan tangisannya. Niyyaz Nazuha tersentak menyaksikan tindak balas gadis ini. Dia tidak menyangka Idah akan tersentuh dengan bicaranya.
“Idah janganlah bersedih. Saya tak pernah pun  salahkan Idah. Saya yang bersalah sebab rampas kekasih Idah” ujarnya jujur. Dia tidak mengetahui rupa - rupanya Idlan Raid sudah ada kekasih. Patutlah hati pemuda itu tertutup rapat untuk menerimanya biarpun dia sudah sedaya upaya melaksanakan tugas seorang isteri sebaik – baiknya. Sehingga detik ini sedikit pun dia tidak pernah berjaya menawan hati Idlan Raid. Dia mulai sedar bahawa dirinya telah melukakan Idah, kekasih hati pemuda itu. Gadis ini geleng kepala.
“Maafkan saya, Yaz. Saya tak sanggup melukai perasaan seorang isteri sebaik Yaz. Saya hanyalah setiausaha suami Yaz, yang diminta berlakon. Saya telah pun bertunang. Semua ini tipu” ujar Idah berterus-terang sekali gus mengejutkan Niyyaz Nazuha sekali lagi.
“ Encik Idlan yang nak saya lakukan semua ini. Sangkaan saya Yaz tak seperti orang yang berada di hadapan saya sekarang. Saya tahu hati Yaz suci murni dan saya berdoa suatu hari nanti Yaz akan hidup bahagia dengan Encik Idlan” ujar Idah bersungguh-sungguh lalu menggenggam erat tangannya. Niyyaz Nazuha tersenyum. Idlan Raid yang sedang melangkah turun kematian langkah. Kali ini dia tewas lagi.

**************

“Saya  dah  tak  tahu nak  buat  apa  lagi. Dah  macam-macam saya lakukan semuanya tak menjadi. Dia langsung tak pernah marahkan saya. Agaknya dia dah tak de perasaan” keluh Idlan Raid yang sedang kematian akal dengan kekebalan Niyyaz Nazuha. Fikirannya buntu.
“Pelik benarlah awak  ini. Isteri sebaik itu awak nak sakiti hatinya. Kalau saya jadi awak, pasti saya bangga sebab ada orang yang sangat sayangkan saya” komen Asli, teman baiknya. Asli mengeluh dan geleng – geleng kepala. Tidak mengerti kemahuan Idlan Raid.
“ Awak bukan tak tahu dari dahulu saya tak sukakannya. Saya nikah dengannya pun sebab mama yang desak saya. Kalau bukan kerana mama jangan mimpi saya nak jadikan Niyyaz Nazuha itu isteri saya” ujar Idlan Raid angkuh.
“Awak ini pendek akallah, Idlan. Awak tak akan jumpa orang yang betul-betul sayangkan awak sedalam itu. Tengok apa yang awak buat kepadanya selama ini, dia langsung tak kisahpun” rungut Asli tidak merestui tindakan Idlan Raid. Senyap. Kedengaran keluhan berat Idlan Raid. Asli hanya geleng – geleng kepala. Sukar hendak memahami sikap sahabatnya ini. Egonya melangit. Gagal menilai kebaikan Niyyaz Nazuha gadis yang begitu sempurna dijadikan isteri.
“Awak tahu, adakalanya lebih baik kita memiliki orang yang sangat mencintai kita daripada orang yang kita cintai. Dia akan lebih tahu menghargai kewujudan kita. Percayalah” nasihat Asli bermadah. Idlan Raid hanya berdiam diri.
“Saya tengok Yaz memang baik. Beruntung awak jadi suaminya. Dia cantik memang padan dengan awak pun. Layanlah dia dengan baik, awak takkan rugi apa-apapun” nasihatnya lagi. Idlan Raid terus diam. Bayangan wajah Niyyaz Nazuha bermain di matanya.
“Betulkah awak langsung tak ada hati padanya?” soal Asli menguji Idlan Raid. Senyap. Ternyata Idlan Raid tidak mampu menjawab persoalan itu. Dia terus berdiam diri.
“Jangan kusutkan fikiran awak dengan hal ini. Kalau saya jadi awak dari awal lagi saya akan jadi suami dia yang sebenar - benarnya. Awak faham maksud sayakan?” duga Asli.
“Apakah dengan layanan buruk saya selama ini tak cukup membuktikan.....” kata-katanya tergantung.
“Alah...manusia ini ada hipokritnya. Kadangkala apa yang dilakukan bertentangan dengan perasaan sendiri semata-mata mahu melindungi ego diri. Kita sama-sama lelaki tahu kelemahan sendiri” balas Asli cepat sahaja memintas bicara Idlan Raid. Dia kembali diam.
“Setiap kali saya berhadapan dengan Yaz, saya betul-betul tak boleh berkomunikasi baik dengannya” keluh Idlan Raid.
“ Mungkin awak masih sakit hati  dengan cara dia memiliki awak, tapi ingat Idlan jangan biarkan awak kehilangannya. Selalunya orang kebal sepertinya kalau dah terluka susah nak pujuk. Saya risau awak akan menyesal seumur hidup awak nanti. Perkara yang menyakitkan sekarang boleh jadi penawar suatu hari nanti tau” ujarnya memperingatkan Idlan Raid.
Kedengaran keluhan berat Idlan Raid. Diraupnya ke dua belah telapak tangannya ke muka. Dia cuba  melupakan  kekusutan itu  dengan mencari  ketenangan  yang  sudah sekian lama meninggalkannya. Kehidupannya sekarang dipenuhi dengan kemarahan yang tidak pernah surut. Sebetulnya semua itu  bukan kehendak hatinya. Dia sudah bosan melalui semua itu. Fikirannya buntu.

********************

NIYYAZ NAZUHA dapat merasakan sejak akhir-akhir ini Idlan Raid seperti tertekan. Mahu sahaja dia bertanya kepada pemuda itu.  Dia teringin sangat berkongsi masalah dengan Idlan Raid andai pemuda itu ada masalah. Namun dia sedar siapalah dirinya mahu mencampuri urusan peribadi pemuda itu. Sesungguhnya ada tembok penghalang yang memisahkan mereka.
Niyyaz Nazuha hanya mampu menghadiahkan seulas senyuman kepada Idlan Raid. Walaupun senyuman itu tidak sesuai dalam semua keadaan tetapi hanya itulah caranya untuk melawan kemarahan pemuda itu. Niyyaz Nazuha percaya seulas senyuman ikhlas boleh melembutkan hati seseorang. Itulah yang diharapkannya berlaku walaupun sehingga kini belum menampakkan hasil. Namun yang pasti senyuman itu adalah lambang ketabahan dan kekuatannya melawan api amarah Idlan Raid.

“Niyyaz Nazuha...!!!” Dia tersentak. Suara lantang Idlan Raid memenuhi setiap sudut banglo besar ini. Dia menarik nafas dalam – dalam. Cuba dicekalkan hatinya. Dia berharap semoga dirinya masih mampu menempuhi apa yang bakal terjadi sebentar lagi. Kali ini Idlan Raid betul – betul marah kepadanya.
“Kan saya dah beri peringatan jangan berani sentuh harta benda saya di rumah ini. Awak ini degil juga ya. Tengok...  buat menyemak saja...!” Sepantas kilat tangan Idlan Raid membaling bunga bersama vas kaca itu yang sedikit tersasar ke arahnya. Niyyaz Nazuha terjerit kecil dan sempat tertunduk menatap kaca itu berderai tatkala berpadu dengan lantai. Darah mengalir di dahi Niyyaz Nazuha. Idlan Raid terpaku. Dia bertindak di luar sedarnya. Tidak menduga vas kaca itu akan singgah di dahi Niyyaz Nazuha sekali gus mencederakan gadis itu. Bukan niat Idlan Raid hendak berlaku kejam kepada gadis itu. Dia tidak pernah terfikir mahu mencederakan gadis itu. Cukuplah kata – kata kesatnya menggoyahkan kesabaran Niyyaz Nazuha.
Perlahan-lahan Niyyaz Nazuha membongkok mengutip serpihan kaca itu. Terasa panas di dahinya. Darah menitis keluar. Hatinya hiba.
‘Ya Allah... janganlah biarkan air mata ini berderai. Bukankah aku cukup kuat menghadapinya selama ini....’ Niyyaz Nazuha mendongak Idlan Raid yang terpaku terpacak di hadapannya.
“Abang maafkan Yaz. Nanti Yaz bersihkan semua ini” ujarnya perlahan. Dia masih mampu mengukir senyuman. Namun kali ini dia gagal menahan air matanya dari menitis keluar. Idlan Raid sendiri menyaksikannya. Pantas sahaja dia berlari meninggalkan pemuda itu di situ.  
Di bilik air ini, Niyyaz Nazuha menangis sepuas-puas hatinya. Terlalu sukar hendak menyembunyikan esakan tangisan itu. Idlan Raid sendiri dapat mendengarnya. Akhirnya dia terduduk lemah di situ buat seketika. Dia menarik nafas panjang. Sisa-sisa air mata sudah habis dikesatnya. Perlahan-lahan dia kembali melangkah ke bilik itu. Idlan Raid sudah tiada di situ. Dia membongkok mengutip serpihan kaca tadi. Kelihatan rintik-rintik darah masih ada di situ.
“ Yaz.....” Bahunya disentuh lembut. Dia berpaling lalu mendongak. Idlan Raid sudah berada di sisinya sedang menatapnya dengan mulut terkunci.Wajah pemuda itu nampak bercelaru. Dia dapat rasakan bahawa Idlan Raid mahu menyatakan kekesalan atas tindakannya sebentar tadi. Namun tidak terluah.
Niyyaz Nazuha bangkit dan berhajat mahu beredar dari situ. Namun tangan Idlan Raid tangkas sahaja memaut tangannya membuatkan langkahnya terhenti. Dia  berpaling ke arah Idlan Raid. Masing-masing membisu. Perlahan-lahan Niyyaz Nazuha menarik tangannya kembali lalu beredar dari situ.
*********
Niyyaz Nazuha sangat  terkejut  dengan   kepulangan  ibu   mertuanya. Melihat dahinya bertampal, mulut Datin Sharifah berbicara panjang. Marah sangat kepada Idlan Raid lantaran tidak menjaga isterinya dengan baik.
“ Idlan.... kamu memang tak pandai jaga isteri. Tengok tu.. macam mana Yaz boleh jatuh” rungut Datin Sharifah merenung tajam wajah anak mudanya itu. Laju dia melontar pandangan ke arah Niyyaz Nazuha. Terkejut mendengar kenyataan itu. Ternyata Niyyaz Nazuha telah menyembunyikan perkara sebenar. Gadis ini merahsiakan perbuatannya.
“ Tak apalah mama, sakitnya bukan serius pun” balasnya cuba mematikan keriuhan mulut Datin Sharifah di awal pagi ini. Tidak tega dia mahu membiarkan Idlan Raid diletari oleh Datin Sharifah. Mahu melindungi dan melakukan yang terbaik buat pemuda itu.
“ Entahlah... apa lagi yang berlaku sejak mama tiada di sini. Rasa pelik pula tengok kamu berdua macam ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Aah..Yaz ... Idlan ada buat perkara tak elok?” soal Datin Sharifah cuba menyiasat sesuatu.
“ Alah... mama, soal yang pelik-pelik pula” balasnya dalam pelarian. Idlan Raid tetap membisu.  Pandangannya juga tetap terarah kepada Niyyaz Nazuha membuatkan gadis ini tidak keruan. Terasa luar biasa dirinya diperlakukan sedemikian oleh pemuda ini. Walaupun dia pernah berharap agar Idlan Raid sentiasa menatapnya.

Ternyata sejak peristiwa malam itu, masing-masing semakin menyepikan diri. Dia tidak pernah ambil hati mahu pun berdendam dengan Idlan Raid sehingga merubah tingkahlakunya. Yang nyata cintanya terhadap pemuda itu tidak berkurang sama sekali. Walau apapun, dia mula menyedari semua itu tidak cukup untuk memiliki Idlan Raid. Dia mula belajar menerima hakikat bahawa kewujudannya di situ tidak pernah membahagiakan pemuda itu. Teringat pada ikrarnya akan melakukan apa sahaja demi kebahagiaan Idlan Raid.
“ Saya tak setuju kalau awak mahu terus seksa diri hanya kerana cinta buta awak tu. Tiada gunanya awak lakukan semua ini kalau Idlan tak pernah hargai awak!” bentak Nina tidak puas hati. Senyap. Dia hanya membisukan diri.
“Saya tahu kesan di dahi awak bukan kerana awak jatuh. Mungkin ini ada kaitannya dengan Idlan” marah Nina lagi. Nina membuat hipotesisnya sendiri yang sememangnya tepat.
“Sampai  bila  awak mahu sembunyikan  tindakannya? Terus-terang  saya katakan saya lebih senang kalau kamu berpisah saja. Tak guna menghambakan diri pada orang yang tak tahu menilai dan menghargai!” bentak Nina lagi. Dia tidak terkejut mendengar kata-kata Nina itu. Sememangnya sejak dahulu lagi Nina tidak yakin dengan ikatan ini. Nina tahu Idlan Raid tidak akan melayannya dengan baik, sebab itu Nina berharap sangat agar dia awal-awal lagi putus harapan terhadap pemuda itu.
*************
Seperti biasa Niyyaz Nazuha menyiapkan sarapan untuk Idlan Raid. Sudah menjadi rutin walaupun dia tahu selama ini pemuda itu tidak pernah menjamahnya. Mungkin kali ini juga Idlan Raid hanya sudi memandang seketika. Niyyaz Nazuha berdiri di sisi meja menanti Idlan Raid yang sedang mengorak langkah menuruni anak tangga. Mungkin kali ini juga dia hanya mampu memandang pemuda itu berlalu begitu sahaja. Namun tubuh sasa itu belum juga melewatinya. Derap langkah Idlan Raid tepat-tepat terhenti di belakangnya. Laju dia berpaling. Pemuda itu menatapnya. Diam.
“Abang nak sarapan?” suaranya memecah kesepian itu. Idlan Raid masih menatapnya. Laju sahaja dia menarik kerusi mempelawa Idlan Raid duduk. Pemuda ini menurut sahaja. Cawan yang sudah diisi teh panas serta kuih di pinggan diletak di hadapan Idlan Raid.
“Abang minumlah” pelawanya dengan senyuman manis. Kali ini Idlan Raid tidak mengecewakannya. Perlahan sahaja Idlan Raid menghirup air teh itu. Dia hanya memerhatikan pemuda itu. Rasa gembira menyelubunginya. Masih sempat juga dia berhadapan dengan Idlan Raid di meja makan ini. Sungguh tindakan pemuda ini telah membahagiakannya.
Idlan Raid mengalih pandangan ke arahnya. Dia tersenyum lagi. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukannya. Kemudian pandangan pemuda itu beralih ke dahinya. Lama. Wajah Idlan Raid mendung. Dia mula menyedari ada sesuatu yang telah mengusik hati pemuda ini.
“Abang minum ya, Yaz pergi dapur dulu” ujarnya meminta diri lalu bangun meninggalkan Idlan Raid bersendirian di situ. Dia menatap wajahnya di cermin. Peristiwa beberapa hari lalu meninggalkan kesan di dahinya. Sepatutnya calar ini disembunyikan di sebalik rambutnya daripada penglihatan pemuda itu. Barangkali inilah yang membuatkan perubahan ekspresi wajah Idlan Raid tadi. Timbul kekesalan andai membuatkan pemuda itu rasa bersalah.

***********

Niyyaz Nazuha melabuhkan duduknya di birai katil. Matanya menatap sekeliling. Idlan Raid menghilangkan diri lagi. Meja di bilik ini kosong dan beberapa buah fail berselerak di situ. Sudah beberapa hari dia tidak mendekati meja itu. Semuanya gara-gara peristiwa itu. Bukan gerun kepada Idlan Raid, cuma kalau boleh sedikit waktu yang ada ini dia tidak mahu menimbulkan sebarang kemarahan pemuda itu. Dia berusaha menyenangkan pemuda itu walaupun sampai saat ini dia belum berjaya memenuhi hajatnya itu.
Pandangannya terhenti tepat-tepat pada sudut itu. Dia mengamati wajah yang tersenyum indah dalam gambar itu. Wajah sempurna. Patutlah  Idlan Raid menjadi rebutan dalam kalangan siswi suatu ketika dahulu. Mata, kening, bibir, hidung terukir indah. Senyuman yang menampakkan lesung di pipinya.
Niyyaz Nazuha sempat mengimbau perkara yang paling  menggembirakan dalam hidupnya tatkala maknya memaklumkan bahawa Datin Sharifah, mama Idlan Raid berkenan dengannya. Lantaran itu, Datin Sharifah mahu menjodohkan mereka. Hari itu dia tersenyum panjang dan semalaman tidak boleh tidur. Ada taman di hatinya. Hati yang dipenuhi bunga – bunga cinta. Idlan Raid akan jadi  miliknya  adalah satu  kenyataan yang  pasti  kerana  pemuda itu tidak  pernah  membantah kata-kata mamanya. Datin Sharifah adalah segala-galanya buat Idlan Raid. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri mengingati perkara itu. Sungguh indah tika itu. Bukan mudah untuk bersama pemuda itu sebab itu juga dia berusaha tidak mahu melepaskannya. Seboleh – bolehnya Niyyaz Nazuha cuba bertahan sedaya upaya untuk berkongsi hidup bersama pemuda itu. Sesungguhnya dia tidak mahu cintanya kecundang.
Idlan Raid... tiba-tiba sahaja hatinya tersentuh. Kegembiraan bertukar kesedihan. Ada tembok penghalang antara dirinya dengan pemuda itu. Tembok yang terlalu kukuh yang tidak mampu dirobohkan oleh kasih sayangnya. Nalurinya terseksa sebagai perempuan dan isteri kepada lelaki yang dicintainya. Impiannya mahu menyedarkan Idlan Raid bahawa dialah isteri pemuda itu belum berhasil. Tidak berhasil mungkin untuk selamanya......
‘Ya Allah, tabahkanlah hati ini....’ bisik Niyyaz Nazuha. Air matanya menitis. Semakin lama semakin lebat sehingga akhirnya dia hanya mampu membenamkan mukanya ke tilam cuba menyembunyikan tangisan itu.
“Yaz....”Ada suara lembut memanggil namanya. Dia matikan esakannya. Laju dikesatnya sisa-sisa air mata yang tertinggal. Dia menarik nafas perlahan. Kemudian berpaling. Idlan Raid sudah berada di hadapan sambil menatapnya. Wajah pemuda itu tetap mendung.
“Abang nak minuman panas, Yaz buat sekarang” ujarnya tanpa menunggu arahan pemuda itu. Dia terus sahaja bangkit dari katil itu lalu meninggalkan Idlan Raid yang masih terpacak di situ. Kesal Idlan Raid mendengar esakan itu.

‘Ya Allah, ya Tuhanku, janganlah tambahkan dukanya kerana aku. Aku betul-betul menyayanginya dan aku mahu dia gembira selalu’ ujar Niyyaz Nazuha sebak.

No comments:

Post a Comment