BAB 1
TATKALA ini jantung Niyyaz Nazuha
berdebar-debar menanti suara Idlan Raid melafazkan ungkapan yang mengesahkan
dirinya milik pemuda itu dan pemuda itu miliknya. Hatinya berbunga riang. Apa
yang yang dimpikannya selama ini akan menjadi kenyataan pada bila-bila masa sahaja.
Suasana riuh-rendah, gelak tawa dan jeritan anak kecil menambah kemeriahan
majlis itu.
“Yaz.......!
“ panggil satu suara yang tidak asing di halwa pendengarannya. Pantas Niyyaz
Nazuha berpaling ke muka pintu. Nina
memandangnya dengan wajah yang sayu. Langsung tiada kegirangan. Idlan Raid seperti
biasa tidak ceria. Niyyaz Nazuha lantas tersenyum menyambut kedatangan
sahabatnya itu.
“Saya fikir awak tak sudi datang “ sapanya ceria.
“Saya tak sangka awak lakukan juga kerja gila ini“
keras sedikit suara Nina. Niyyaz Nazuha masih tersenyum. Dari awal lagi dia
tahu Nina menentang keras impiannya itu. Nina fikir dia sekadar berangan-angan
dengan impiannya. Namun tatkala Nina mula menyedari kesungguhannya, Nina sedaya-upaya
menggagalkan impiannya itu. Nina berharap sangat agar dapat mematahkan
semangatnya yang sentiasa berkobar-kobar itu. Namun akhirnya Nina tewas juga. Nina
tidak mampu menentang keinginannya. Nina kalah dengan kedegilannya. Tatkala dia
mengkhabarkan yang dirinya akan jadi
isteri Idlan Raid, wajah Nina
mendung. Dia langsung tidak gembira menerima perkhabaran itu. Berita yang
betul-betul Niyyaz Nazuha harapkan terjadi dalam hidupnya.
Dia tahu Nina kecewa dengan keputusannya. Lantaran
itu, dia mengingatkan kepada dirinya agar jangan berharap sangat akan
kedatangan Nina untuk menyaksikannya mengukir satu sejarah berharga dalam
hidupnya. Walaupun hakikatnya dia mahu berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan
itu bersama Nina. Sudah banyak perkara yang mereka lalui bersama dan kali ini
juga dia mahu Nina merasakan apa yang dirasakannya tika ini. Namun dia tidak
mampu memaksa Nina. Nina ada haknya sendiri.
Dia tahu Nina tidak pernah cemburu dengan
pernikahan ini atau bimbang akan kehilangan sahabat baiknya, tetapi perkara
yang nyata Nina tidak mahu melihat dia kecewa suatu hari nanti. Nina tahu siapa
Idlan Raid malah Nina sedar
siapa dirinya di hati pemuda itu. Apa yang disaksikan Nina antara dirinya
dengan pemuda itu selama ini
yang membuatkan Nina menentang keras tindakannya. Nina tidak pernah percaya
hubungan ini akan berhasil. Apatah lagi menyakini akan berputiknya cinta
selepas pernikahan. Niyyaz Nazuha sedar perjalanan hidupnya pasti sukar. Maka
dia sudah bersedia menghadapi semua itu.
“Saya tak mampu nak halang tindakan awak. Walaupun
saya tak setuju tapi saya tetap berdoa semoga awak bahagia “ suara Nina
bertukar hiba. Nina terus memeluk tubuhnya. Dia mendengar esakan tangisan Nina.
Niyyaz Nazuha turut menitiskan air mata.
“Maafkan saya Nina, saya telah mengecewakan awak…”desus
hati kecil Niyyaz Nazuha. Hiba hatinya.
“Andai ada apa - apa berlaku pada awak selepas
ini, jangan lupakan saya” ujarnya penuh makna. Nina masih tidak meyakini Idlan
Raid. Dari dahulu sehingga ke hari
ini dia tidak pernah percayakan Idlan Raid.
“ Ingat, awak sedang mempertaruhkan kebahagiaan awak.
Jangan terlalu yakin pada diri sendiri. Segalanya masih jauh dan banyak rintangan
yang bakal awak hadapi” nasihat Nina. Niyyaz
Nazuha mengangguk dan cukup menghargai nasihat sahabatnya itu. Dia berjaya
memiliki Idlan Raid sebagai
suaminya tetapi tidak bermakna pemuda ini akan menganggap dirinya milik lelaki
itu. Bukan mudah bagi Niyyaz Nazuha menempatkan dirinya di hati Idlan
Raid. Buktinya sehingga sekarang dia
gagal menembusi benteng kukuh di hati Idlan Raid.
Niyyaz Nazuha menyedari betapa dia pentingkan diri
sendiri. Demi cintanya kepada Idlan Raid, diketepikannya pandangan Nina. Dia tidak hiraukan layanan dingin pemuda
itu terhadapnya selama ini. Tindakannya membuatkan Idlan Raid tertekan dan sering menimbulkan kemarahan
pemuda itu malah sangat benci dengan kewujudannya. Pada anggapan Idlan
Raid, dirinya hanyalah bebanan yang
menyeksakan. Tika ini pasti pemuds ini berduka tetapi dia langsung tidak mempedulikan semua itu.
Adakah dirinya pentingkan diri sendiri hanya
kerana mahu merealisasikan keagungan cintanya kepada pemuda itu? Kejamkah
dirinya hanya semata-mata mahu mempersembahkan cinta suci ini menjadi sebuah
ikatan pernikahan? Barangkali juga tindakannya ini telah menyakiti dirinya
sendiri? Kalau diajukan soalan ini kepada Nina, sudah pasti jawapannya ‘ya’.
Nina akan kata dia mengorbankan dirinya untuk sesuatu yang tidak pasti malah
dia sangat yakin Nina akan menuduhnya tidak waras. Hanya orang yang tidak waras
sahaja sanggup melakukan semua ini.
Dia menatap wajah Nina yang tetap mendung
sepanjang menemaninya dari kejauhan.
Tatkala kedengaran suara Idlan Raid menyambut suara Tok Kadi, Nina mengesat air matanya lagi. Tika ini Niyyaz
Nazuha menyedari sekian kalinya yang Nina betul-betul risaukan dirinya. Nina
sungguh-sungguh menyayanginya. Betapa Nina bimbang jika dia tidak akan bahagia
suatu hari nanti. Sesungguhnya, Nina belum bersedia melihat sebarang
kemungkinan menimpa dirinya. Yang pasti Nina tidak sanggup melihat dirinya tersungkur.
“Nina…. awaklah satu-satunya sahabat saya yang
terbaik di dunia ini” bisik hati kecil Niyyaz Nazuha yang menyedari akan kegusaran
gadis itu terhadap dirinya.
“Sah……sah....”suara bersahutan memecah ilusinya. Niyyaz
Nazuha mendongak ke wajah Idlan
Raid yang telah sah menjadi suaminya.
Tatapan Idlan Raid dan Tok
Kadi sudah terarah di wajahnya.
Acara pembatalan air sembahyang sudah tiba. Tatkala
tangannya menyambut huluran tangan Idlan Raid jantungnya berdegup kencang. Dia sekalipun tidak
pernah menyentuh tangan putih bersih ini. Niyyaz Nazuha mengucup lembut tangan Idlan
Raid yang kini menjadi suaminya. Air
matanya menitis di situ. Idlan Raid menatap Niyyaz Nazuha dengan pandangan seribu makna tersirat. Bukan
pandangan kasih sayang mahupun tatapan renungan cinta yang baru bersemi. Yang
pasti kedinginan membeku masih membelenggu dirinya.
Di satu sudut, Nina sedang memerhatikan pasangan
pengantin baru itu. Kemudian dia menatap Idlan Raid. Bagai ada sesuatu yang mahu diungkapkannya
kepada pemuda itu namun tidak terluah. Di sudut yang lain pula, Datin Sharifah,
mama Idlan Raid, ibu mertua
Niyyaz Nazuha tersenyum bahagia, manakala Puan Nazibah mengesat air mata dengan
hujung tangan bajunya. Turut gembira lantaran impian anak gadisnya telah
termakbul. Dalam gembira terselit sedikit kesedihan kerana tanggungjawab
menjaga anak gadis tunggalnya sudah diserahkan kepada pemuda itu. Kini Idlan
Raid lebih berhak ke atas diri Niyyaz
Nazuha. Di wajahnya menggambarkan harapan agar jodoh ini akan berkekalan dan
yang paling penting generasi seterusnya akan lahir. Puan Nazibah dan Datin Sharifah
memang bahagia dengan penyatuan anak –anak mereka ini.
SUASANA sepi berterusan. Dia melontar pandangan di
sekitar bilik pengantin yang dihiasi indah ini. Dialih pandangannya ke arah Idlan
Raid yang sedang terpaku duduk di
situ membelakanginya. Sudah lama pemuda ini berkeadaan seperti itu. Rupa - rupanya Idlan
Raid tidak pernah berubah. Dia tetap dingin terhadap dirinya.
“Abang… Yaz dah mengantuk. Biar saja Yaz tidur di
bawah, abang kalau nak tidur, tidurlah atas katil nanti ya” tuturnya lembut.
Niyyaz Nazuha memberanikan diri bersuara. Dia berharap
Idlan Raid akan
menyahutnya namun hampa. Idlan Raid terus membisu. Langsung tidak menoleh ke arahnya.
Dicapainya bantal dan selimut lalu merebahkan tubuhnya di permaidani pembalut
kedinginan lantai simen ini. Dia memejamkan
mata. Rasa mengantuk yang terhingga. Akhirnya Niyyaz Nazuha terlena bersama
ingatan yang sedang sarat memikirkan tingkahlaku Idlan Raid itu.
Awal pagi Niyyaz Nazuha sudah bangun. Usai solat
Subuh dia terus menyiapkan sarapan untuk Idlan Raid. Sebelum jam 8.00 pagi Idlan Raid mesti bersarapan. Dia menatap jam di
dinding yang sudah mencecah ke angka tujuh setengah pagi . Kelibat Idlan
Raid belum muncul-muncul juga. Dia
cukup prihatin dengan keadaan kota besar ini. Terlewat sedikit sahaja natijahnya
terperangkaplah dalam kesesakan lalu lintas jalan raya nanti. Sudah pasti
terlewat masuk ke pejabat. Diaturnya langkah ke bilik tidur. Kelihatan Idlan Raid masih lena.
“Abang.... bangun dah lewat ni” panggilnya lembut cuba mengejutkan pemuda itu.
Idlan Raid langsung tidak mengendahkan
panggilan itu. Dia mematungkan diri di atas tilam empuk itu. Masih mahu
memanjangkan lenanya.
“Abang….” cuba dipanggil lagi. Masih seperti tadi.
Pemuda ini masih tidak bergerak
- gerak. Niyyaz Nazuha memberanikan diri menyentuh tubuh pemuda ini.
“Abang bangun….” panggilnya sambil menggoncang
lembut tubuh Idlan Raid. Idlan
Raid mengangkat kelopak matanya.
Pandangannya tajam menatap gadis itu.
“Tak payah kejutkan saya! Saya pandai bangun
sendiri!” bentaknya kasar. Niyyaz Nazuha sedikit tersentak. Namun dia masih
sempat tersenyum.
“Ingatkan abang masih tidur lagi” ujarnya masih berlagak
biasa. Langsung tidak terusik dengan suara kasar Idlan Raid.
“Mungkin tidur saya lebih lena kalau saya tinggal bersendirian
di rumah ini” ujar Idlan Raid lantang lalu bangun mencapai tuala dan terus melangkah ke bilik air. Dia
hanya geleng kepala mendengar kata-kata pemuda itu. Lantas dia berikrar akan membuktikan
bahawa kewujudannya di situ bukan bebanan kepada Idlan Raid. Sebaliknya mahu membahagiakan hidup
pemuda itu berlandaskan cinta tulusnya yang suci murni.
Di sisi meja di ruangan santapan itu, dia masih
setia menanti kemunculan Idlan Raid sambil pandangannya terarah pada jam di dinding. ‘Agaknya dia masih menyiapkan dirinya....’ bicara hati
kecilnya. Idlan Raid sedang
melangkah turun. Niyyaz Nazuha tersenyum menyambut kedatangan suaminya. Pemuda
itu memandangnya dengan pandangan
dingin. Dia fikir langkah pemuda ini
akan berhenti tetapi ternyata jangkaannya terpesong. Idlan Raid terus berlalu ke muka pintu tanpa sebarang
bicara malah tidak sempat memandang wajahnya. Pemuda ini mahu segera beredar
keluar dari banglo ini. Jiwa raga Idlan Raid terpenjara di kediaman
mewah miliknya sendiri.
“Abang tak nak sarapan? “ soalnya sambil mendekati
Idlan Raid yang berada di
muka pintu. Sudah bersedia mahu meninggalkan banglo itu. Idlan Raid jadi patung bernyawa. Dia langsung tidak
menunjukkan sebarang reaksi persis tiada siapa yang berhadapan dengannya tika
ini. Pemuda ini terus melangkah ke laman banglo, lantas membuka pintu kereta.
Kelibatnya terus lenyap dari pandangan Niyyaz Nazuha. Idlan Raid segera meninggalkan banglo itu. Betapa
dirinya tidak selesa berada lama – lama di situ.
“ Abang hati-hati “ Niyyaz Nazuha sempat berpesan walaupun
dia tahu pemuda itu tidak sudi mendengar pesanan yang diutusnya itu. Doanya
mengharapkan Allah sentiasa melindungi pemuda itu. Betapa
menggunung kasih sayangnya kepada pemuda itu. Sungguh dia tidak sanggup menerima
sebarang kecelakaan yang menimpa Idlan Raid. ‘Semoga tiada perkara buruk akan menimpa dirinya’
bisik hati Niyyaz Nazuha menitipkan munajat buat suaminya.
Pertemuan pertamanya dengan Idlan Raid begitu segar dalam benaknya. Mereka
dipertemukan di kampus USM. Kali pertama dia bertemu dengan Idlan Raid ketika perkelahan sempena interaksi
pelajar baru empat tahun yang lalu. Pertemuan itu membibitkan satu perasaan
yang sangat istimewa. Betapa hatinya telah terpaut kepada Idlan Raid. Tika itu dia sangat teruja mahu
mengenali Idlan Raid. Di matanya Idlan Raid seorang pemuda yang periang. Semakin kerap dia
memerhatikan pemuda itu semakin dia berminat kepada Idlan
Raid. Akhirnya Idlan Raid menyedari tindakannya malah mengetahui dirinya telah jatuh
cinta kepada pemuda itu. Kebetulan pula
pada masa itu hati Idlan Raid masih tidak dimiliki. Informasi yang diperoleh daripada teman-temannya.
Namun pemuda itu tidak
berminat mahu menjalinkan hubungan dengan gadis kota seperti dirinya walaupun hakikatnya
latar belakang kehidupan mereka serupa. Idlan Raid lebih berminat kepada gadis yang lebih bercirikan
ketimuran. Maka pemuda itu menjadikan personaliti dirinya sebagai contoh gadis
kota yang kurang digemarinya. Gadis kota yang mempunyai keberanian yang luar
biasa yang tidak disenangi dan janggal di mata Idlan Raid. Betapa pemuda itu patah hati terhadap
dirinya.
Barangkali Idlan Raid kurang senang akan tabiatnya yang suka sangat memerhatikan
setiap pergerakan pemuda itu sehingga akhirnya membuatkan Idlan Raid kaku. Mungkin salahnya juga kerana
tidak dapat mengawal diri agar menjauhkan pandangannya dari seraut wajah itu. Kalaulah
dirinya tidak terlalu taksub mengekori pergerakan pemuda itu, barangkali
kebencian itu tidak akan terundang di hati Idlan Raid.
Mungkin juga pemuda itu tidak akan sentiasa menyalahkannya bahkan
sebaliknya membalas cinta itu. Alangkah
bahagia hatinya andai semua itu menjadi kenyataan.
Pada Idlan Raid, dia seorang gadis sosial, bebas dan lincah.
Hakikatnya Idlan Raid belum
cukup mengenalinya. Kenyataan, Niyyaz
Nazuha masih pandai menjaga maruah diri sebagai seorang perempuan. Kata-kata Idlan
Raid dijadikan cabaran bagi
membuktikan dirinya tidak seperti tanggapan pemuda itu. Dia berusaha mendekati pemuda
itu. Natijahnya, membuatkan dia benar – benar telah jatuh cinta kepada Idlan
Raid. Dia pernah menyatakan perasaan cintanya kepada Idlan
Raid namun tiada tindak balas yang
ditunjukkan oleh pemuda itu. Dia cuba menyedarkan Idlan Raid
tentang kewujudannya. Malangnya penerima Idlan Raid terhadap dirinya masih tidak
berubah. Idlan Raid menuduhnya mendesak agar menerima dirinya
sebagai kekasih pemuda itu. Niyyaz Nazuha tidak pernah mengendahkan kata - kata pemuda itu. Dia
tetap juga berusaha menempatkan dirinya di hati Idlan Raid. Dia yakin selagi hati Idlan Raid belum dimiliki, selagi itu dirinya masih
berpeluang bertakhta di hati pemuda itu. Tindakannya bukan mahu menjatuhkan
maruah seorang perempuan terutama maruah dirinya sendiri. Semua ini sekadar
membuktikan kepada Idlan Raid bahawasanya dia memang jujur mencintai pemuda itu. Cinta sepenuh
hatinya.
Sekalipun dia tidak pernah memaksa Idlan
Raid menerimanya. Cuma dia berusaha bersungguh-sungguh
memiliki cinta Idlan Raid. Ramai yang kata demi cinta sanggup
lakukan apa sahaja. Cinta membuatkan orang buta malah pada prinsipnya andai mahu memiliki sesuatu itu, maka dia akan berusaha sehingga hasratnya tercapai.
Lantaran itu, dia menjadi kebal. Layanan dingin Idlan Raid terhadapnya langsung tidak diendahkan. Baik atau
buruk, dia tetap menjadikan Idlan Raid pujaan hatinya. Niyyaz Nazuha begitu yakin dengan kuasa cinta suci. Dia
percaya dengan keluhuran cintanya, malah yakin dia akan berjaya menakluk hati Idlan
Raid biarpun masa ketibaannya tidak
diketahui. Padanya sebuah cinta suci akan mampu mengharung setiap liku. Bahkan
tiada yang akan jadi penghalang dan sempadan. Mahupun kuasa ajaib juga tidak
mampu mematikan cinta itu dari terus berputik mekar di hatinya. Cinta suci juga
tidak akan tewas pada darjat, pangkat bahkan usia. Itulah ketulusan cinta
Niyyaz Nazuha kepada Idlan Raid.
Dia selalu belajar dari sejarah lalu. Lakaran
kisah – kisah silam tersebut telah tersemadi utuh dalam dirinya. Malah
kadangkala dia turut mengimpikan darjat ketinggian cinta sedemikian. Nabi
Muhammad sendiri bernikah dengan seorang wanita yang 15 tahun lebih tua daripada
usianya. Cinta Siti Zulaika juga berputik kepada pemuda yang jauh lebih kecil
usianya, bahkan anak angkatnya sendiri. Begitu juga dengan Shah Jehan yang
mengabdikan cintanya kepada Muntaz
dengan terbina Taj Mahal indah sebagai menyatakan pada dunia bahawa
itulah lambang keutuhan cinta mereka. Cinta suci seorang lelaki kepada seorang
perempuan. Tanda kasih seorang suami kepada isterinya. Lantaran dalamnya cinta kepada
Muntaz, Shah Jehan sanggup berlaku kejam sehingga termeterai perjanjian dengan
sang pereka agar matanya dibutakan semata-mata mahukan jaminan agar tidak akan
menyusul kemudian mercu lambang cinta yang lebih indah buatannya. Uda dan Dara
ada kisah cinta tersendiri. Begitu juga Romeo dan Juliet sanggup berkorban
nyawa kerana mempertahankan cinta suci mereka. Banyak lagi cereka lagenda yang
memaparkan kejituan sebuah cinta suci.
Niyyaz Nazuha merasakan tidak salah kalau dia mahu
berdiri sebaris mereka mengukir sejarah
cinta tersendiri biarpun ceritanya sedikit berbeza. Lalu mengabdikan cinta itu
dalam sanubarinya. Mungkin ramai yang fikir dia tergila - gilakan Idlan
Raid kerana pemuda itu tampan, kaya,
bijak dan ada segala-galanya. Andai semua itu jadi ukuran malah mahu dibandingkan
dengan dirinya, Niyyaz Nazuha pun apa kurangnya. Dirinya juga persis Idlan Raid memiliki segala-galanya. Bahkan
mereka boleh jadi pasangan kekasih sempurna yang saling melengkapi. Niyyaz
Nazuha bukannya meninggi diri atau takbur dan riak dengan anugerah yang Maha
Esa yang dimilikinya. Namun itu adalah hakikat dan realiti.
NIYYAZ Nazuha menatap jam itu lagi. Sudah mencecah
ke angka sebelas malam. Kelibat Idlan Raid belum juga muncul. Hatinya gundah-gelana. Jiwanya
tidak tenteram. Dia tidak gerun
ditinggalkan sendirian di banglo besar itu. Namun dirinya bimbang sesuatu yang buruk menimpa Idlan Raid. Dia tidak bersedia berhadapan dengan
perkara buruk lantaran perasaan sayangnya terlalu mendalam terhadap pemuda itu.
Terasa terlalu lama masa itu bergerak. Kelibat Idlan Raid masih belum kelihatan. ‘Ke mana agaknya dia
pergi?’.... bisik hati Niyyaz Nazuha gelisah memikirkan suaminya. Dia menarik
nafas lega tatkala mendengar bunyi deruan kereta memasuki halaman. Bergegas dia
mendekati pintu. Lega hatinya melihat Idlan Raid yang datang. Dia bersyukur sekali lagi melihat pemuda
ini sihat walfiat. Kegusaran yang bermukim dalam hatinya terus lenyap.
*************
Niyyaz Nazuha menyambut kepulangan Idlan
Raid di muka pintu dengan wajah
berseri - seri. Penawar buat keletihan suami yang terbeban dengan kerja di pejabat. Sudah menjadi kebiasaannya
tersenyum kepada pemuda ini walau dalam keadaan apa sekalipun. Seperti biasa
juga Idlan Raid hanya memandangnya
sekilas dengan pandangan yang dingin. Idlan Raid lebih suka berhadapan dengan dinding konkrit
banglo ini. Suara pemuda ini persis berlian yang tinggi nilainya yang mahu disimpan
rapi. Lantas Idlan Raid lebih
suka mengarah mukanya pada dinding kaku agar tidak perlu mengeluarkan suara untuk berbicara.
Walau apapun alasan dan andaiannya, Niyyaz Nazuha mengetahui kebenaran yang Idlan
Raid masih benci kepadanya. Lantaran
itu pemuda ini masih tidak sudi berbual-bual dengannya apatah lagi untuk
menatap wajahnya. Idlan Raid lebih gemar berada dalam dunia ciptaannya sendiri. Namun Niyyaa Nazuha
tidak tega berkelakuan sedemikian. Idlan Raid adalah suami yang dicintainya. Mana mungkin dia
mahu membiarkan pemuda itu keseorangan.
“Abang nak makan? Yaz dah masak untuk abang” jelasnya
sambil mengharap kesudian suaminya menjamah masakannya itu. Idlan Raid mendengus kasar. Jelingan tajamnya
singgah di wajah Niyyaz Nazuha. Ada kebencian bersarang di situ.
“ Siapa yang mahu makan malam-malam buta ni! Awak
ada guna otakkah sebelum bercakap! “ bentak Idlan Raid kasar dengan wajah yang menyinga. Niyyaz Nazuha tersentak.
Namun cepat sahaja senyuman terukir di bibirnya. Dia langsung tidak ambil hati
dengan bicara pemuda itu. Dia yakin pada kejituan cintanya yang akan merubah
segala – galanya. Suatu hari nanti pasti Idlan Raid akan berlembut dengannya jua.
“Maaf... mungkin Yaz silap cakap” ujarnya berjenaka cuba mengubah suasana yang
mula tegang itu. Idlan Raid
menatapnya tajam. Seperti biasa Idlan Raid hanya sudi menatapnya sekilas pandang. Kemudian pemuda
itu berlalu meninggalkannya begitu sahaja. Perkara yang sama berulang lagi. Idlan
Raid meninggalkannya terpacak
di situ. Niyyaz Nazuha memejamkan mata tatkala mendengar dentuman kuat daun
pintu. Tanda protes dan kebencian pemuda itu kepadanya. Mujur juga mak mertua
Niyyaz Nazuha masih berada di rumah abang sepupu Idlan Raid. Kalau tidak masakan pemuda itu berani berkelakuan sedemikian.
Malam itu seperti malam - malam yang lalu, Niyyaz
Nazuha makan bersendirian lagi. Dia tersenyum sendiri melihat pinggan kosong di
hadapannya. Sehingga detik ini, Idlan Raid tidak pernah berada semeja bersamanya tanpa
kehadiran Datin Sharifah. Adakala dia membayangkan Idlan Raid sudi makan bersamanya. Kemudian mereka bercerita
panjang sambil bergurau senda. Idlan Raid akan menatapnya dengan renungan manja bersulam kasih sayang sehingga
membuatkan dirinya tersipu malu. Lalu dia
membalas pandangan pemuda itu dengan penuh kasih sayang. ‘Ahh, indahnya
kalau semua itu menjadi kenyataan’…. suara hati Niyyaz Nazuha membisikkan angan
– angannya. Namun batinnya menjerit kepiluan. Betapa sukar hendak mendapat
perhatian pemuda ini.
No comments:
Post a Comment