Thursday, 22 May 2014

Awak Jodohku Lagi!...5





BAB 5

Niyyaz Nazuha membimbit briefcase sambil mengatur langkah ke bilik Pengurus Syarikat Pembinaan Permata Nilam yang lebih dikenali sebagai SPPN. Kedatangannya ke situ memang sudah dinantikan.
“Saya gembira atas kesudian Cik Niyyaz berkhidmat di syarikat ini. Tenaga berpengalaman seperti Cik Niyyaz  memang saya perlukan” ujar Dato Kamal mesra. Dia tersenyum senang hati. Bicara lelaki ini sangat bermakna buat dirinya.
“Terima kasih juga kerana menyakini kemampuan saya dan memberi peluang kepada saya berkhidmat di SPPN. Bukan mudah menempatkan diri dalam syarikat besar yang kukuh seperti SPPN ini” balas Niyyaz Nazuha jujur berbaur bangga. Dato Kamal tersenyum. Terpaut dengan sopan – santun Niyyaz Nazuha. Bijak pula gadis ini mengambil hatinya.
“Saya harap Cik Niyyaz biasa dengan suasana kerja di sini” ujarnya kemudian menatap jam di tangannya. Dia menyedari kelakuan Dato Kamal itu.
“Saya sedang menanti kedatangan pegawai harapan saya. Dia seorang yang berkebolehan. Saya harap dengan kebolehan Cik Niyyaz bergabung dengan kebolehannya, SPPN akan bertambah mantap lagi” ujar Dato Kamal penuh pengharapan. Kedengaran daun pintu diketuk. Gerangan yang mahu diperkenalkan kepada gadis ini sudah muncul.

“ Masuk....” arahnya. Laju Niyyaz Nazuha mengalih pandangan ke muka pintu menyambut kedatangan tetamu itu. Seorang pemuda segak yang dilengkapi dengan kot hitam melangkah masuk. Dia tersentak menatap wajah itu.  Pemuda ini juga berada dalam situasi yang sama persis dirinya. Mereka saling berpandangan. Sungguh dia tidak menyangka mereka dipertemukan dalam masa sesingkat ini. Segera dia melemparkan senyuman kepada pemuda ini. Terbukti tiada masalah bagi Niyyaz Nazuha berhadapan dengan Idlan Raid.  Dia begitu tenang dipertemukan dengan pemuda ini.
“ Cik Niyyaz, inilah pegawai harapan saya, Idlan Raid. Idlan... ini Cik Niyyaz Nazuha, pegawai baru kita” suara Dato Kamal memecah kesepian. Niyyaz Nazuha mengangguk kepala sebagai sapaan perkenalan mereka. Idlan Raid juga mengangguk dan tersenyum.
Beberapa minit sudah berlalu, pandangan pemuda ini masih terarah di wajahnya. Ternyata Niyyaz Nazuha lebih berjaya menguasai keadaan sedangkan Idlan Raid kematian akal. Tiada banyak bicara yang keluar dari mulut pemuda ini. Sungguh Idlan Raid tidak menyangka akan dipertemukan dengan gadis ini.
“Gembira jumpa awak” sapa Niyyaz Nazuha mesra.
“Idlan .....” tegur Dato Kamal cuba menyedarkan pemuda ini. Dato Kamal menyedari tingkahlaku Idlan Raid yang agak luar biasa.  
“Saya harap kalian boleh bekerjasama dengan baik. Saya menaruh kepercayaan dan harapan tinggi kepada kalian” ujar Dato Kamal bersungguh-sungguh.

Dia mengangguk lagi. Idlan Raid yang berada di sebelahnya seperti baru kembali dari mengelamun panjang. Sesekali dia mengalih pandangannya kepada Niyyaz Nazuha. Gadis ini masih seperti biasa hanya tersenyum kepadanya. Dalam diam Niyyaz Nazuha tertanya – tanya sejak bila pula Idlan Raid bekerja di SPPN ini? Seingatnya syarikat ini bukan tempat kerja Idlan Raid dahulu. Ternyata tempoh tiga tahun itu telah merubah segalanya.

******

Dia menatap skrin laptop di depannya. Tangannya rancak bergerak di papan kekunci. Banyak data yang perlu dimasukkan dalam fail itu. Apatah lagi banyak projek baru yang sedang dirancang oleh syarikat ini. Ketekunan menjalankan tugas ternyata satu rahmat buat dirinya. Secara tidak langsung telah mempermudahkan pertemuannya dengan Idlan Raid.
Sebenarnya  dia masih tidak berkesempatan bertemu dengan Idlan Raid di luar bidang tugas mereka. Pertemuannya dengan pemuda ini hanya berlangsung dalam suasana formal. Suatu  kebaikan buat dirinya. Dia tidak mahu bercerita atau mengimbas peristiwa lalu. Kisah lalu itu sudah disimpan kemas dalam sanubarinya.  
“ Wow.... cantiknya awak hari ini!” puji Iwan mengusiknya. Niyyaz Nazuha tersenyum. Pegawai muda ini memang suka mengusiknya. Iwan melabuhkan duduknya di sudut tepi mejanya. Kelakuan pemuda ini tampak begitu mesra dengan gadis ini.
“ Yaz, kita makan tengah hari nanti saya belanja awak” tutur Iwan menyampaikan hajat hatinya. Masih berusaha memikat Niyyaz Nazuha.
“Alaa.... Yaz, ulat bulu dah naik daun. Hati-hati tau” ujar Salwa memperingatkannya. Iwan tersengih panjang.
“Bagaimana? Bolehlah....” ujarnya separuh merayu. Niyyaz Nazuha tersenyum seraya menggeleng kepala. Kali ini terpaksa mengecewakan Iwan lagi.
“Maaflah Wan, saya banyak kerja. Mungkin saya tak makan tengah nanti” terangnya. Kesibukan kerja sering merantai dirinya. Semuanya perlu tindakan segera.
“Awak tak nak makankah? Hey.... tak boleh... kalau awak sakit... susah nanti” tambah Iwan memperlihatkan keprihatinannya.
“Nampaknya abang seorang ini ambil berat sangat pada awaklah, Yaz” usik Jamal pula. Iwan tersengih panjang. Dia tidak menghiraukan kata – kata teman sekerja.
“Terima kasih” balas Niyyaz Nazuha sambil tersenyum. Tidak mahu ambil serius dengan usikan teman – teman mahupun keprihatinan Iwan.
“Mestilah sebab saya sayangkannya” balas Iwan tanpa berselindung.
Kedengaran tawa menyambut bicara Iwan. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Ada juga manfaat tatkala dalam kesibukan yang memuncak ada yang sudi jadi penghibur lara. Menggurangkan tekanan akibat menghadap laptop begitu lama.
“Yaz..., awak dah ada orang istimewa?” soal Iwan cuba merisik dengan suara yang berbisik. Risau juga didengar oleh rakan sekerja yang lain. Terbuka luas mata Niyyaz Nazuha menatap Iwan yang sedang tersengih panjang itu. Bukan main selambanya lelaki ini.
“Hoi... mak datuk, ada hati nak menggatal ya” perli Salwa sambil menepuk bahu Iwan dengan fail di tangannya. Anak muda ini tersengih. Tidak menyangka pula Salwa boleh mendengarnya. Dasar telinga lintah.
“Jangan nak mimpilah, Wan. Awak tak  layak dengan Yaz ” tambah Salwa sinis memperli Iwan. Iwan terkekeh – kekeh. Memang kebal diri anak muda ini. Langsung tidak ambil hati dengan kutukan sinis sahabatnya itu. Niyyaz Nazuha masih tersenyum sambil geleng - geleng kepala.
“Alaa... yang penting niat baik dan tahu menghargai seseorang” balas Iwan masih mahu mempertahankan diri.
“Muka kacak, tapi kalau tak bertanggungjawab dan tak tahu menghargai tak guna juga. Betulkan Yaz?” soal Iwan meminta pendapat gadis itu. Niyyaz Nazuha mengangguk.
“Mesti awak nakkan lelaki yang bertanggungjawab dan sayang awakkan?” soal Iwan lagi. Sekali lagi Niyyaz Nazuha mengangguk. Semua perempuan mengimpikan lelaki sedemikian menjadi pelindung sepanjang hayat mereka.
 “ Awak tahu, Yaz, sayalah calon terbaik awak. Saya akan menyayangi awak sampai bila - bila” tambah Iwan bersahaja. Niyyaz Nazuha tertawa kecil. Salwa mengurut-urut dada. Tidak tahan dengan sikap Iwan yang bermuka tembok itu. Iwan sekadar bergurau. Bicara Iwan tidak pernah diambil serius. Sebaliknya dijadikan bahan penghibur hatinya. Dia selesa bekerja dalam suasana santai dan gelak tawa sedemikian.
“Yaz....” suara lelaki memanggil namanya. Semua terdiam. Dia mendongak. Idlan Raid sudah terpacak di depannya. Wajahnya serius. Barangkali pemuda ini terpukul dengan agenda perbualan sebentar tadi. ‘Semua itu tiada kena-mengena dengan dirinya. Aku tidak berniat mahu menyindir Idlan’.... bisik hati Niyyaz Nazuha.
“Saya mahu berbincang dengan awak” bicara Idlan Raid.
“Sekarang?” soalnya meminta kepastian. Idlan Raid mengangguk.
“Saya tunggu  awak di bilik mesyuarat” ujarnya lalu beredar dari situ. Niyyaz Nazuha mengangguk. Dia melirik ke arah Salwa dan Iwan yang sedang tersengih menatapnya.
“Mengapa?” soalnya hairan.
“Kalau lelaki itu... Idlan Raid baru padan dengan Yaz. Sama-sama cantik dan tampan. Bagai cincin dengan permata” ujar Salwa tiba-tiba. Tangan Niyyaz Nazuha yang giat membelek – belek fail terhenti seketika. Hatinya tersentuh mendengar bicara Salwa itu.
“ Alaa... muka tampan tak semestinya semua okey” balas Iwan berbisik masih tidak mahu berputus - asa. Sebaliknya memperlihatkan dirinya seorang yang bermotivasi tinggi.
Niyyaz Nazuha melepaskan keluhan kecilnya. Laju sahaja tangannya mencapai fail hitam itu lalu melangkah ke bilik mesyuarat tanpa menghiraukan pertelingkahan kecil antara Salwa dengan Iwan. Dia tidak mahu Idlan Raid menunggunya lama di situ. Perlahan-lahan tangannya menolak daun pintu. Idlan Raid sudah siap sedia menanti kedatangannya. Pandangan Idlan Raid menyoroti setiap pergerakannya sehinggalah Niyyaz Nazuha melabuhkan duduknya di kerusi itu. Sedikit gementar dirinya melihat renungan itu. Renungan yang begitu asing pada pandangan matanya.
“ Boleh kita bincang sekarang?” suara Niyyaz Nazuha memecah kesepian sekali gus mengejutkan Idlan Raid yang sempat berkhayal sedetik tadi. Niyyaz Nazuha sebagai perancang  projek terus memulakan tugasnya memberikan penerangan kepada Idlan Raid. Begitu petah dia menjelaskan secara terperinci perancangan yang telah dibuat. Begitu tekun juga Idlan Raid mendengarnya.
“Mengapa tak gunakan saja strategi pertama itu sedangakan cara itu lebih mudah dan saya rasa kosnya pun lebih murah” bidas Idlan Raid memberikan pendapatnya. Niyyaz Nazuha tersenyum. Tidak cepat mengelabah dengan kritikan pemuda itu. Sebaliknya dia tenang sahaja. Pengalaman mengajarnya menjadi seorang yang sentiasa bersedia. Bersedia menghadapi apa sahaja. Bijak menangani setiap permasalahan yang wujud. Sesungguhnya pemuda inilah yang menjadikan dirinya lebih tenang dan berjiwa matang.
“Memang betul tapi strategi pertama memerlukan jangka masa yang panjang. Ini akan memberi kesan pada persaingan pasaran dan besar kemungkinan syarikat bakal berhadapan dengan kenaikan harga bahan – bahan binaan.  Kita akan ketinggalan daripada syarikat lain kalau kita mengambil tempoh yang agak panjang. Syarikat akan kehilangan pelanggan, manakala harga bahan juga akan naik. Kelazimannya, harga bahan akan naik dari setahun ke setahun” terangnya dengan yakin. Idlan Raid mengangguk-angguk faham. Nampak dia berpuas hati dengan perancangan gadis ini.
“Ada pertanyaan lain?” soalnya andai Idlan Raid ada kemusykilan yang mahu diutarakan.  Idlan Raid terdiam seketika. Dia menatap wajah gadis itu. Lambat-lambat Idlan Raid menggeleng. Tiada sebarang pertanyaan yang mahu dikemukakan lagi. Dia sangat berpuas hati dengan penjelasan gadis ini.
“Bagus. Saya yakin perancangan awak akan berjalan lancar” pujinya. Pertama kali Idlan Raid memuji Niyyaz Nazuha sejak perkenalan mereka. Pujian yang terlalu mahal.
“ Terima kasih” balas Niyyaz Nazuha sambil tersenyum. Niyyaz Nazuha terus saja mengemaskan fail-fail di atas meja. Malam ini ada temu janji dengan Dato Ramlan bagi membincangkan tentang projek Taman Anggerik. Sempat juga dia mengimbas  kembali kertas kerja yang perlu ditunjukkan kepada lelaki itu. Seingatnya semua sudah beres.
“Yaz......” Niyyaz Nazuha mengangkat mukanya. Rupa - rupanya Idlan Raid masih berada di bilik ini. Pemuda ini sudah  berada dekat dengannya. Niyyaz Nazuha menatap wajah pemuda ini. Idlan Raid masih seperti dahulu. Langsung tidak berubah. Ketampanannya sentiasa menyerlah. Sikapnya sahaja yang nampak berbeza. Pemuda ini sudah boleh berkomunikasi baik dengan Niyyaz Nazuha, tidak seperti dahulu.
“ Mama tahu awak dah balik. Mama dah tak sabar nak jumpa awak. Bila awak nak datang rumah?” soalnya. Niyyaz Nazuha terdiam. Ditatapnya wajah Idlan Raid yang masih menantikan jawapannya.
“Sekarang saya belum ada kelapangan lagi. Nantilah kalau segalanya dah selesai saya akan jumpa datin. Sampaikan salam saya pada datin” balas Niyyaz Nazuha lembut.

Idlan Raid terdiam. Mungkin terkilan mendengar penjelasannya itu. Dia bukan mahu melarikan diri daripada keluarga itu mahupun mengelak daripada pemuda ini. Niyyaz Nazuha merasakan sekarang bukanlah waktu yang sesuai. Dia berharap Idlan Raid akan mengerti.

“Saya pergi dulu” ujarnya memohon diri. Idlan Raid mengangguk sambil memerhatikan langkah Niyyaz Nazuha berlalu meninggalkannya.

 

 

****************
Niyyaz Nazuha menatap pemuda yang duduk di tepi sudut itu. Pemuda itu sedang leka sehingga tidak menyedari pandangan mata Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha tertanya – tanya kewujudannya di ruang lobi hotel ini. Hairan. Lantas dia mengandaikan bahawa Idlan Raid  juga ada urusan penting berada di situ. Mungkin juga pemuda itu ada temu janji dengan kekasihnya.
“Saya puas hati dengan penerangan Cik Niyyaz tadi. Cik Niyyaz ini memang berkebolehan. Saya kagum” suara Dato Ramlan mengejutkan Niyyaz Nazuha. Laju sahaja Niyyaz Nazuha mengalih pandangannya ke arah lelaki di depannya ini. Kesal kerana sedikit masa tadi dia alpa seketika sehingga terabai tetamu yang berada di depannya saat ini. Mujur juga lelaki ini tidak menyedari tingkahlakunya tadi. Jika tidak tentu ada persoalan yang bakal diajukan kepadanya. Niyyaz Nazuha tersenyum menghargai pujian Dato Ramlan itu.
“Teruskan dengan perancangan yang ada sekarang. Saya harap projek ini akan mendatangkan pulangan yang lumayan. Biasalah kita orang bisnes besar, mana nak untung sedikit” luah Dato Ramlan jujur sekali gus memperlihatkan ketamakan golongan kapitalis. Niyyaz Nazuha mengangguk-angguk faham.
“ Saya labur modal yang besar untuk projek ini. Maka dah tentu saya mahukan pulangan yang setimpal juga. Saya percayakan kebolehan Cik Niyyaz  sebab itu juga saya dengan senang hati bekerjasama dengan SPPN” ulang Dato Ramlan sambil memberi penjelasan lanjut.
“Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada SPNN” ujar Niyyaz Nazuha mewakili syarikat di tempatnya bekerja. Dato Ramlan tersenyum.
“Dato ada sebarang pertanyaan lagi berkaitan projek ini?” soal Niyyaz Nazuha sopan.
“ Buat masa ini segalanya sangat jelas. Kalau ada kemusykilan saya akan hubungi Cik Niyyaz atau Cik Niyyaz sendiri yang telefon saya” ujar Dato Ramlan memberi pilihan.
“Mana – mana yang perlu, dato” sahut Niyyaz Nazuha. Dato Ramlan tersenyum.
“Saya setuju” balas Dato Ramlan sependapat.
“Rasanya setakat ini saja perbincangan kita kali ini. Saya minta diri dulu, dato” ujar Niyyaz Nazuha mengundur diri.   

Lelaki separuh usia ini mengangguk. Niyyaz Nazuha bangkit dari duduknya. Dia sempat mengalih pandangannya ke sudut itu lagi. Idlan Raid masih bersendirian di situ. Nampaknya orang sedang dinantinya belum juga muncul.



 
 

No comments:

Post a Comment