BAB 7
Niyyaz Nazuha menatap rumah yang
tersergam indah di bawah kaki bukit itu. Sudah sekian lama Niyyaz Nazuha tidak
menjejakkan kaki ke situ. Di situlah dia pernah menganyam angan-angan cintanya
dan akhirnya dia tersedar dari mimpi indah itu. Di situlah juga Niyyaz Nazuha mempertarungkan
semangat cintanya dengan kesudahan dirinya tewas dalam pertarungan itu.
Kemudian dia mula belajar
menerima kenyataan yang menyakitkan dengan pasrah. Niyyaz Nazuha menjadi
manusia yang redha menerima ketentuan-Nya.
Dalam masa yang sama gadis ini masih menyalahkan dirinya.
“
Assalamualaikum.............” sayup-sayup suara Niyyaz Nazuha memecah
keheningan senja itu. Muncul seorang perempuan tua yang sangat dikenalinya. Datin
Sharifah terkedu panjang. Sepasang mata tua itu tidak menyangka akan menatap
gadis ini terpacak di depan pintu banglonya. , Datin Sharifah nampak terkejut
sangat dengan kemunculan Niyyaz Nazuha ini. Senyuman mekar terukir di bibir
gadis ini.
“Yaz......” suaranya sarat
dengan kesayuan. Sekelip mata sahaja tubuh Niyyaz Nazuha berada dalam pelukan
Datin Sharifah. Nyatanya tangisan mereka terlebih dahulu menyapa pertemuan itu.
Sungguh menyayat hati.
“ Mama betul-betul rindukan Yaz”
ujar Datin Sharifah hiba seraya menatap wajah Niyyaz Nazuha cuba melempiaskan
kerinduan yang terbuku selama ini. Niyyaz Nazuha tersenyum memandang Datin
Sharifah. Tangan Niyyaz Nazuha mengesat air mata perempuan ini.
“ Datin, apa khabar sekarang?”
tanya Niyyaz Nazuha lembut. Datin Sharifah menatap wajah Niyyaz Nazuha. Nampak
terkilan sedikit.
“ Kamu dah tak sudi panggil
saya mama?” soalnya sekali gus melontar diri Niyyaz Nazuha dalam delima. Dia terdiam. Serba salah. Niyyaz Nazuha berharap
perkara kecil ini tidak akan mengguris hati kecil Datin Sharifah.
“Maafkan saya mama.......”
balas Niyyaz Nazuha dengan rasa janggal memanggil Datin Sharifah sedemikian
setelah terlerai hubungan yang terjalin antara mereka. Datin Sharifah kembali
senyum. Begitu senang hatinya dipanggil sedemikian. Betapa bermakna panggilan
itu buat dirinya.
“Bukankah kita dah janji dulu kamu
akan tetap jadi anak mama” balasnya cuba mengingatkan Niyyaz Nazuha.’ Ahh...
tentunya Idlan tak mahu berkongsi kasih denganku lagi. Aku tak nak menjadi
perampas. Cukuplah aku rampas kehidupan ceria Idlan tiga tahun lalu’.... Niyyaz
Nazuha bermonolog sendiri. Pantas sahaja
tangan Datin Sharifah menarik lembut tangan Niyyaz Nazuha memasuki banglo itu. Kedatangan
gadis ini sangat menggembirakannya.
“Mama nak berbual panjang
dengan kamu” ujar Datin Sharifah begitu teruja. Datin Sharifah menatap Niyyaz
Nazuha lagi. Tangan Niyyaz Nazuha digenggam erat.
“Kamu dah jumpa Idlan?”
soalnya. Niyyaz Nazuha mengangguk.
“Apa pendapat kamu tentang
dirinya sekarang?” soalnya lagi masih berkisar tentang anak muda itu. Senyap.
Nampak Niyyaz Nazuha sedang berfikir seketika. Sukar dia hendak menyusun
bicara. Apatah lagi berbicara tentang Idlan Raid bukannya sesuatu yang mudah.
“Saya tak de kesempatan
berbual panjang dengannya, mama” jelas Niyyaz Nazuha. Dahi Datin Sharifah
berkerut. Kurang senang mendengar bicara yang baru sahaja didengarnya dari
mulut gadis ini. Ini bukan satu petanda yang positif.
“ Kerja sebumbung tak selalu
jumpa?” soalnya janggal.
“ Kami masing-masing sibuk,
mama. Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini banyak sangat projek yang perlu
dibereskan” terang Niyyaz Nazuha tentang hakikat itu. Kedengaran keluhan kecil
Datin Sharifah. Dia mengharapkan Niyyaz Nazuha dan anak mudanya sentiasa
berdampingan. Itu yang membuatkan kemesraan akan terjalin antara mereka. Dari
kemesraan itu pula boleh menjalinkan hubungan yang lebih jauh dan bermakna.
Tidak ada salahnya jikalau Idlan Raid dengan Niyyaz Nazuha bersatu kembali.
Harapan ini yang sarat bermain di benak Datin Sharifah.
Niyyaz Nazuha pula merasakan
adalah menjadi tanggungjawabnya bagi menyedarkan Datin Sharifah agar menerima
hakikat perpisahan mereka. Dia tidak mahu ada kaitan dengan pemuda itu lagi.
Biarlah pemuda itu bebas dari kenangan lalu mereka. Sesungguhnya, Idlan Raid berhak
menentukan semua itu. Niyyaz Nazuha tidak mahu bertindak kejam lagi.
“ Kamu dah banyak berubah.
Sekarang kamu dah pandai bercerita tentang kerja” komen Datin Sharifah. Niyyaz
Nazuha tersenyum sendiri. Inilah dunianya sekarang.
“ Mestilah mama, kehidupan saya
dah berubah” balas Niyyaz Nazuha jujur. Datin Sharifah tersenyum. Senang
hatinya menyaksikan keceriaan gadis ini.
“ Kamu dah melupakan peristiwa
lalu?” soalnya lagi. Niyyaz Nazuha menatap wajah Datin Sharifah. Perlahan-lahan
Niyyaz Nazuha mengangguk.
“ Baguslah kalau begitu, tapi Idlan..........”
Bicara Datin Sharifah tergantung. Niyyaz Nazuha menatapnya. Cuba memahami
maksud tersirat di sebalik bicara itu. Hampa. Dia mendengar keluhan kecil Datin
Sharifah yang tiada noktah.
“Mengapa dengan Idlan, mama?
Dia masih kecewa?” bertalu-talu persoalan terbit dari mulut Niyyaz Nazuha. Dia bimbang
andai dirinya telah menghukum pemuda itu menjadikan kehidupan Idlan Raid tidak ceria
lagi.
“Maafkan saya, mama. Semua ini
memang salah saya. Saya yang menyebabkan Idlan kecewa kerana pernikahan itu”
keluh Niyyaz Nazuha kesal.
“Jangan salahkan diri kamu,
Yaz. Semua ini dah ditakdirkan buat kamu berdua tapi rasanya Idlan takkan
mengalah begitu saja” cerita Datin Sharifah lagi.
Niyyaz Nazuha bertambah tidak
mengerti. Dia tertanya – tanya apa sebenarnya yang mahu pemuda itu lakukan. Betulkah Idlan Raid mahu menuntut dendam
kepadanya? Kelihatan Datin Sharifah begitu runsing.
“ Mama, saya datang ke sini pun
nak berbincang tentang Idlan” ujar Niyyaz Nazuha perlahan. Datin Sharifah menatap
Niyyaz Nazuha. Gadis itu menarik nafas dalam-dalam.
“ Apa yang berlaku dulu adalah
kesilapan saya. Saya pohon pengertian mama biarlah Idlan tentukan kehidupannya
sendiri. Saya berharap dia akan sedar tentang
haknya itu” ujar Niyyaz Nazuha perlahan dan berhati – hati. Dia tidak
mahu menyinggung perasaan Datin Sharifah lantaran perkara ini berkaitan dengan
anak mudanya. Sebanyak manapun rasa terkilan Datin Sharifah dengan tindakan
Idlan Raid, kasih sayangnya tetap utuh buat pemuda itu. Maka Niyyaz Nazuha
merasakan dirinya harus berhati – hati menyusun bicara agar tidak mengguris
perasaan Datin Sharifah.
“ Itu mama tahu Yaz, sebab itu mama tak akan paksa kamu kembali
pada Idlan. Mama tahu kamu dah cukup terseksa selama ini” ujar Datin Sharifah lebih
memahami gadis ini.
Niyyaz Nazuha terkeliru. Apa
maksud perempuan ini? Wajah tua yang mendung ini semakin nampak tertekan.
Adakah Idlan Raid menyalahkan Datin Sharifah kerana mengatur kehidupan pemuda
itu suatu masa dahulu? Lalu membuatkan perempuan ini rasa bersalah yang amat
seperti yang dirasakannya selama ini. Banyak
sangat persoalan yang menghujuni benak Niyyaz Nazuha. Dia melepaskan keluhan
kecilnya.
Benak Niyyaz Nazuha berperang
dengan pelbagai persoalan. Adakah Idlan Raid sedang menyalahkan Datin Sharifah
kerana mengatur pernikahan mereka suatu waktu dahulu? Adakah kehidupan Datin
Sharifah tidak ceria lagi kerana telah memusnahkan kehidupan anak tunggalnya
itu? Betulkah Idlan Raid tega menjadikan perempuan ini sebagai pesalahnya yang
harus dihukum?
‘Ahh.... aku tak percaya Idlan
sekejam itu? Setahu aku perempuan di depanku ini adalah segala-galanya bagi
Idlan. Dia sangat menyayangi Datin Sharifah sehingga dia sanggup ketepikan
kepentingannya sendiri kerana ratu hatinya ini. Aku tahu betapa menggunung
kasih Idlan kepada mamanya sehingga dia
sanggup mempertaruhkan kehidupannya biarpun dia sudah tahu bahawa dirinya akan
gagal melakukannya sehingga meninggalkan kekecewaan yang mendalam. Bukan mudah memaksa diri menerima orang yang
dibenci dalam hidup ini. Ya Allah, ya Tuhanku, betapa aku rasa bersalah yang
amat! Sebetulnya akulah pesalah itu yang seharusnya Idlan hukum’ hati kecil
Niyyaz Nazuha terus berbicara. Tidak sudah – sudah Niyyaz Nazuha menyalahkan
dirinya sendiri.
“Maafkan saya mama. Saya bukan
setakat bersalah pada Idlan tapi juga pada mama. Tindakan saya dulu telah
mengecewa dan mendatangkan kekesalan banyak pihak. Saya sanggup terima apa saja
hukuman Idlan asalkan dia tak pernah membabitkan mama dalam hal ini” ujar
Niyyaz Nazuha bersungguh – sungguh sekali gus menyalahkan dirinya. Datin
Sharifah tersenyum.
“ Kamu memang baik. Betapa
bertuah mama pernah ada menantu seperti kamu. Tapi kamu tak boleh terlalu baik
nanti orang ambik kesempatan ke atas
kamu” nasihat Datin Sharifah persis nasihat yang pernah maknya berikan.
“Saya percaya kalau kita buat
baik kita juga akan dapat balasan yang baik” balas Niyyaz Nazuha sambil
tersenyum. Datin Sharifah tersenyum sambil mengangguk-angguk.
“ Tapi sampai sekarang saya
tengok kamu masih tak memahami Idlan” komen Datin Sharifah. Niyyaz Nazuha
mengangguk setuju. Dia tidak menyangkal kata-kata perempuan ini. Sememangnya dia
tidak cukup memahami anak muda itu. Idlan Raid tidak pernah memberi kesempatan untuknya memahami pemuda itu. Selama bersama pemuda
itu, dia hanya tahu tersenyum. Tabiat yang tidak pernah luput dalam dirinya.
‘Ahh.... aku tak sepatutnya
menyalahkan pemuda itu. Aku patut menyampaikan terima kasihku kepadanya kerana
mengajar aku menjadi insan yang lebih tabah dan tahu menghargai diri serta tidak mementingkan diri sendiri.
Sesungguhnya, aku telah memulangkan hak kebebasan dirinya yang pernah aku
rampas sedikit waktu dahulu. Aku turut memberi peluang kepadaku untuk menempat
diri di tempat yang sepatutnya’... bicara hati Niyyaz Nazuha panjang.
“ Saya memang tak sepadan
dengan Idlan. Terlalu jauh jurang itu. Lebih-lebih lagi soal perasaan” luahnya
perlahan. Datin Sharifah mengeluh. Kecewa mendengar kenyataan itu.
“ Kalau kamu dah merasakan sedemikian
mama tak mampu buat apa-apa” balasnya kecewa.
“ Maafkan saya mama” ulang
Niyyaz Nazuha lagi.
“ Kamu tak buat salah. Memang
hak kamu berperasaan demikian” ujar Datin Sharifah redha dengan apa yang telah
berlaku.
Sepi seketika. Niyyaz Nazuha
melirik jam di tangannya. Sudah lama juga dia berada di situ. Pasti maknya di
rumah sedang menanti kepulangannya. Apatah lagi sejak kembali ke Malaysia ini
nampak seakan Puan Nazibah tidak mahu berenggang dengannya. Kesal dengan
kecuaiannya sebab tidak sempat
menghubungi maknya tadi.
“ Mama, saya balik dulu. Risau
mak tercari-cari saya pula” terang Niyyaz Nazuha.
“ Kamu tak mahu tunggu Idlan balik?”
soal Datin Sharifah buat Niyyaz Nazuha rasa serba salah.
“ Tak apalah mama, saya datang
pun nak jenguk mama” ujar Niyyaz Nazuha.
“ Entahlah.... mana perginya
dia? Macam inilah tabiatnya sejak kamu tinggalkan rumah ini, tak pernah lama di
rumah. Ada-ada saja kerja yang dibuatnya” rungut Datin Sharifah.
“Mungkin dia banyak kerja.
Sejak akhir-akhir ini pun berlambak-lambak kerja di pejabat sebab itu juga saya
terlewat jenguk mama” jelas Niyyaz Nazuha sekali gus cuba menyenangkan hati
perempuan itu.
“ Mama betul-betul susah hati
tengok keadaaannya, Yaz. Dah bertahun Idlan hidup macam tu” keluh Datin
Sharifah kerisauan.
Niyyaz Nazuha terdiam. Dia kematian
akal menyahut bicara Datin Sharifah itu. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus
diperkatakan kepada perempuan ini. Niyyaz Nazuha pasti kehidupan pemuda itu sarat dengan kekecewaan dan penderitaan.
Semuanya berpunca darinya.
“Baiklah mama, saya balik dulu”
pinta Niyyaz Nazuha mengundur diri.
“Kalau kamu lapang datanglah
lagi. Masih banyak perkara yang nak dibualkan dengan kamu. Itupun kalau kamu
masih sudi” ujar Datin Sharifah menyentap hati Niyyaz Nazuha. Serta-merta rasa
bersalah menerpa dalam diri Niyyaz Nazuha. Terasa pula tingkahlakunya telah
mengguris perasaan Datin Sharifah.
“Saya akan datang jumpa mama
lagi” janji Niyyaz Nazuha. Datin Sharifah tersenyum. Lantas menghantar Niyyaz
Nazuha sehingga ke muka pintu. Langkah Niyyaz Nazuha terhenti. Kelihatan kereta
Honda baru memasuki halaman
banglo ini. Tentunya Idlan Raid baru sahaja balik.
“ Saya pergi dulu mama” ujar
Niyyaz Nazuha seraya mencium tangan dan pipi Datin Sharifah. Niyyaz Nazuha
terus sahaja melangkah. Tatkala bertembung dengan Idlan Raid yang baru sahaja
keluar dari kereta, seulas senyuman dilemparkan ke arah pemuda itu. Senyumannya
berbalas. Baru Niyyaz Nazuha menyedari bahawasanya Idlan Raid sudah sudi tersenyum
kepadanya.
Niyyaz Nazuha masuk ke dalam
kereta tanpa sempat bertegur sapa dengan pemuda itu. Tiada perkara yang mahu diperkatakan
kepada Idlan Raid. Dia meninggalkan perkarangan banglo itu dengan sorotan
pandangan dua beranak itu.
Datin Sharifah menatap wajah
anak mudanya itu. Nampak lesu. Memang sudah sekian lama pemuda ini berkeadaan sedemikian.
Berita kepulangan orang yang ditunggu-tunggu Datin Sharifah tiga tahun lalu dan
mungkin juga orang yang sedang anak mudanya nantikan selama ini betul-betul
menggembirakannya. Harapannya semoga ahli banglo ini bertambah kembali. Datin
Sharifah juga berharap agar gadis itu dapat membawa kembali sinar bahagia dalam
keluarganya. Datin Sharifah tidak mampu meluahkannya kerana rasa bersalah
selama ini. Bersalah kerana merantai seorang gadis yang sangat baik dengan penderitaan.
Gadis itu telah disakiti oleh anak mudanya yang diharapkan betul-betul dapat
membahagiakan gadis itu. Justeru, dia membiarkan Niyyaz Nazuha melangkah tanpa
menoleh ke belakang lagi kerana masa depan yang dijangkakan lebih baik sedang
menunggu gadis itu.
Ya..... masa depan yang lebih
membahagiakan. Lantaran itu Datin Sharifah bimbang hendak menyuarakan hajat
hatinya. Dia risau gadis itu kecewa dan disakiti lagi. Sesungguhnya dia tidak
sanggup mengulangi perkara lalu. Paling penting dia tidak mahu melihat gadis
sebaik itu dipersiakan dan hidup dalam sengsara. Biarlah Niyyaz Nazuha
menentukan hala tuju hidupnya. Sudah tiba masanya gadis itu memulakan hidup
baru setelah tewas dan tersungkur dalam mahligai pertamanya.
Niyyaz Nazuha memang pernah
tewas. Jikalau tidak masakan dirinya masih mampu mempertahankan kegadisannya
meskipun sudah mempunyai suami. Dia
seorang isteri yang berstatus gadis. Datin Sharifah tidak mahu masuk campur
lagi. Biarlah Niyyaz Nazuha dan Idlan Raid yang mengadili lalu memutuskannya.
Datin Sharifah akan pasrah dengan keputusan yang bakal diterimanya. Nun jauh di
sudut hatinya, Datin Sharifah berharap di sudut hati gadis itu masih ada tempat
untuk putera tunggulnya itu.
BAB 8
“Jauh awak mengalamun Yaz” bahunya dicuit. Salwa tersenyum lebar di depannya. Niyyaz Nazuha turut tersenyum.
“ Awak ingat siapa? Rindu
orang USA ya...” usik Salwa.
“ Merepeklah awak, Sal. Saya bingung
memikirkan projek itu” tingkah Niyyaz Nazuha mematikan usikan sahabatnya itu.
“ Betul?” usik Salwa dengan
senyuman nakalnya. Niyyaz Nazuha mengangguk.
“Orang cantik dan berkerjaya
seperti awak ini takkan tiada orang istimewa. Kongsilah cerita dengan saya. Awak
tak pernah pun cerita hal peribadi awak pada
saya” desak Salwa cuba mencungkil rahsia Niyyaz Nazuha.
“ Tiada yang menarik dalam
hidup saya” ujar Niyyaz Nazuha merendah diri. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Tidak
bersedia berkongsi kisah hidup lalunya dengan Salwa.
“ Saya tak percaya, Yaz” balas
Salwa sambil geleng kepala.
“ Mungkin awak ada kisah cinta
yang begitu menarik” teka Salwa.
‘Ya.... memang begitu menarik!
Aku rasa kau akan kata aku seorang gadis hebat kerana berani mempertaruhkan
masa depan dalam medan perkahwinan yang bukan lahir atas dasar saling mencintai.
Ataupun kau akan kata aku salah seorang hamba cinta buta! Sebaliknya aku pula
merasa semakin tertekan kerana mengenangkan kesalahanku terhadap pemuda itu.
Ahhh.... aku tidak mahu mengungkitnya lagi!’.... suara hati Niyyaz Nazuha
berbicara melempiaskan kekesalannya.
“Awak termenung lagi” tegur
Salwa mengejutkan Niyyaz Nazuha sekali lagi. Niyyaz Nazuha tersenyum. Kemudian
mengeluh sendirian. Kenangan itu benar-benar memberikan pengajaran kepadanya.
Kenangan yang terlalu bernilai, namun terlalu perit buat Idlan Raid. Takdir
hidup pemuda itu telah berubah setelah mengenali dirinya. Kemudian Idlan Raid menikahinya,
lantas telah mengubah perjalanan hidup pemuda itu. ‘Maafkan aku... Idlan kerana
membuatkan awak menderita’.... bisik hati Niyyaz Nazuha tidak sudah – sudah
menyalahkan diri. Betapa terbeban dirinya menanggung kesalahan lalunya.
“ Yaz .....” Niyyaz Nazuha disapa lagi, tetapi kali ini bukan Salwa. Suara itu bukan
milik Salwa tetapi suara seorang lelaki yang sudah pasti juga bukan suara Iwan.
Niyyaz Nazuha mengangkat muka. Tepat. Gerangan pemilik suara itu bukan Iwan!
Salwa menghilang begitu sahaja. Begitu cepat dia lesap.
“Jom makan tengah hari....”
ajaknya. Niyyaz Nazuha terkedu. Betul-betul tidak menduga dengan pelawaan yang
diterimanya ini. Bermimpikah dirinya?
“ Maaf..... saya masih
kenyang” ujarnya lembut menolak pelawaan itu.
Niyyaz Nazuha menatap ekspresi wajah Idlan
Raid yang sudah bertukar. Senyumannya tampak hambar. Dia
masih terpacak di depan Niyyaz Nazuha seketika. Niyyaz Nazuha menatapnya.
“ Ada perkara yang perlu
dibincangkan?” soal Niyyaz Nazuha lembut mengulas tindakan
Idlan Raid yang belum mahu
berganjak dari situ. Pemuda ini tersentak. Ditatapnya wajah Niyyaz Nazuha.
“ Saya seperti bermimpi, Yaz”
ujarnya tiba-tiba membuatkan Niyyaz Nazuha tertawa kecil.Tidak menyangka ayat itu akan terbit dari mulut Idlan Raid. Air
muka pemuda ini berubah lagi. Rasa terkilannya kian bertambah.
“ Bermimpi apa pula tengah hari
macam ni?” usik Niyyaz Nazuha. Idlan Raid mengeluh kecil. Gadis ini tidak mengerti
atau sengaja buat – buat tidak mengerti. Dia melepaskan keluhannya.
“Saya risau saya tak berkesempatan
bertemu dengan awak lagi. Mujur juga Allah masih sudi menunaikan hajat saya”
ujarnya serius. Niyyaz Nazuha terdiam. Dilontarnya
pandangan keluar sana. Sudah pasti hal ini mengejutkan Niyyaz Nazuha. Dia tidak
menyangka Idlan Raid berharap akan bertemu dengannya semula.
“ Idlan, apa yang berlaku antara
kita adalah kisah lama. Saya tak pernah salahkan awak atau ambil hati atas
perkara lalu. Saya minta maaf kalau saya buat awak rasa serba salah. Saya harap
kita boleh lupakan kisah lalu” pinta Niyyaz Nazuha jujur. Dia tidak mahu
menghukum pemuda ini mahupun menghukum dirinya sendiri.
“ Saya bukan seperti awak, Yaz....
seorang yang begitu tabah” tegasnya. Niyyaz Nazuha tersentak. Ditatapnya wajah Idlan Raid. Wajah
putih bersih itu begitu serius. Anak matanya tajam menatap Niyyaz Nazuha.
“ Saya sering gagal dengan
setiap perkara yang saya lakukan. Semua ini ada kaitan dengan kisah lalu itu. Saya
sangat kesal” ujarnya lembut lalu tertunduk menatap meja.
Niyyaz Nazuha menatap Idlan Raid. Bebola
mata jernih itu berkaca. ‘Ya Allah...,
aku telah membuatkan anak muda ini menderita. Aku rela jika kedatangannya ini
menuntut keadilan untuk dirinya. Aku terima hukuman pemuda ini dengan penuh
redha’.... suara hati Niyyaz Nazuha berbisik.
“ Maafkan saya.....” ucapnya
perlahan. Idlan Raid mengangkat mukanya lalu menatap Niyyaz Nazuha. ‘Ya
Allah.... Idlan Raid memang menangis! Dia terhukum atas perbuatanku dahulu.
Ampunkanlah aku, Idlan. Aku tidak mahu menyaksikan egomu lumpuh tika ini. Sungguh aku tidak mahu melihatnya’....
suara hati Niyyaz Nazuha berbicara lagi. Niyyaz Nazuha tertunduk.
“Saya pergi dulu.....”
sayup-sayup suara Idlan Raid bergetar singgah di telinga Niyyaz Nazuha. Laju sahaja
langkah pemuda ini meninggalkan Niyyaz Nazuha bersendirian. Kelibat Idlan Raid
hilang dari pandangannya. Niyyaz Nazuha merasakan kewujudannya di situ kembali
mengundang duka pemuda itu. ‘Bukan niatku balik ke Malaysia mahu menyaksikan
penderitaannya yang lalu’.... bisik Niyyaz Nazuha.
Dia fikir setelah dia pergi Idlan
Raid akan hidup bahagia. ‘Idlan... persis terlupa bahawa aku telah meninggalkan
duka yang paling dalam untuknya. Aku tidak sangka dia akan menyimpan perkara lalu
dalam tempoh yang panjang. Aku tersilap tafsir rupanya’.... Niyyaz Nazuha
menyalahkan dirinya.
Sesungguhnya tidak semua
makhluk yang bernama Adam itu manusia yang mudah melupakan perkara lalu
sehingga begitu mudah mengganti dengan
kehidupan yang baru. ‘Aku silap Idlan. Aku silap untuk sekian kalinya’...
Niyyaz Nazuha terus menyalahkan dirinya.
*****************
Niyyaz Nazuha tersenyum panjang
menyambut kedatangan Nina. Dia bersyukur kerana terbuka juga hati Nina untuk
mengikut jejak langkahnya kembali ke Malaysia. Nina nampak lebih ceria berbanding
ketika mereka di Amerika dahulu. Barangkali Nina sudah mampu menerima hakikat
hidupnya yang tersurat. Niyyaz Nazuha
dan Nina terus sahaja berpelukan.
“Awak nampak begitu kurus, Yaz?
Mengapa... ada orang buli awak?” soal Nina mengusiknya. Niyyaz Nazuha tergelak
kecil. Kemesraan lalu kembali bertaut.
“Saya banyak kerjalah” terang
Niyyaz Nazuha membidas andaian sahabatnya ini.
“Bagaimana perjalanan tadi?”
soal Niyyaz Nazuha mengubah topik perbualan.
“ Alhamdulillah.... okey”
balasnya masih dalam senyuman.
“ Mari....” ajak Niyyaz Nazuha
seraya membantu Nina menyorong beg pakaian itu. Langkah mereka menghala ke arah
kereta di laman parkir. Pantas sahaja Niyyaz Nazuha membantu Nina memasukkan
barang-barangnya ke dalam bonet kereta. Niyyaz Nazuha melabuhkan duduknya di
kerusi. Begitu juga Nina di sisinya. Dihidupkan enjin kereta. Sudah bersedia
memandu.
“Bagaimana kehidupan awak di
sini?” soal Nina memulakan bicara.
“Okey...baik – baik saja”
balas Nina jujur.
“Awak ada jumpa Idlan?” Soalan yang sememangnya Niyyaz Nazuha jangka
akan keluar dari mulut Nina. Nina menatapnya. Laju sahaja Niyyaz Nazuha
mengangguk. Perkara ini tidak perlu dirahsiakan daripada pengetahuan Nina.
Memang Niyyaz Nazuha mahu Nina mengetahuinya. Bukan menjadi kesalahan dia dipertemukan
dengan pemuda itu.
“Saya dan Idlan bekerja di
syarikat yang sama” cerita Niyyaz Nazuha.
“Betul?” Nina tersentak. Niyyaz
Nazuha mengangguk lagi.
“Bagaiman dirinya sekarang? Macam
mana reaksinya apabila nampak awak?” soalnya bertalu-talu.Terlalu banyak
persoalan Nina tentang anak muda yang tidak digemarinya itu. Tetap segar di
benaknya bahawasanya Nina menentang keras pernikahannya dengan Idlan Raid sehingga
Nina menitiskan air mata malah Nina juga pernah menyuarakan hasrat hatinya
meminta dia berpisah sahaja dengan pemuda itu. Nina begitu arif tentang situasi mereka ketika
itu.
Nina tidak pernah yakin pada Idlan
Raid. Bahkan Nina percaya yang dia tidak akan hidup bahagia bersama pemuda itu.
Justeru, Nina cuba menghalang tindakannya. Firasat Nina tepat. Dirinya tidak mampu melunturkan keegoan Idlan Raid. Keyakinannya
bahawa cinta itu lebih berkuasa daripada
kebencian pemuda itu tidak tepat. Ternyata dirinya tersilap.
“ Hey... awak belum jawab
pertanyaan saya tadi” suara Nina mengusir khayalan Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha
kembali senyum.
“ Dia semakin kacak...” balas
Niyyaz Nazuha cuba membakar hati Nina. Dia tahu bukan itu jawapan yang mahu didengar
Nina. Pasti gadis ini mahu mendengar dirinya mengutuk pemuda itu. Nina
mendengus. Nampak Nina tidak menyenangi Idlan Raid.
“ Hati-hati, Yaz. Jangan
sampai pisang berbuah dua kali” ujar Nina mengingatkannya. ‘Nina.... masih menggunung
kebencian kau kepada pemuda itu. Aku tahu kau sayangkan persahabatan
kita, sebab itu kau rasa kau patut hukum Idlan dengan kebencian itu. Kau silap
Nina seperti juga aku’.... Niyyaz Nazuha bermonolog sendiri.
“ Saya masih tak puas hati padanya”
luah Nini berterus-terang. Niyyaz Nazuha sempat berpaling ke arah sahabatnya
ini. Nampak seolah-olah Nina cuba membayangkan sesuatu.
“ Apa yang dia buat pada
awak belum berbalas lagi” tambah Nina
lagi.
“ Saya dah lama lupakan
perkara itu. Saya yang salah kerana memaksa idlan menerima saya ketika itu”
luah Niyyaz Nazuha perlahan. Nina menatapnya. Nampak sangat Nina tidak
bersetuju dengan kenyataannya itu.
“ Idlan yang tak tahu menghargai
awak. Manusia sebaik awak dilayan seteruk itu. Kalau dia betul-betul tak suka
awak lebih baik halang pernikahan itu. Jangan jadi manusia hipokrit!” ujar Nina
memuntahkan rasa sakit hatinya.
“ Saya pun hairan mengapa awak
suka sangat padanya? Nak kata rupa kacak memang pun kacak, tapi saya rasa kalau
awak nak awak boleh dapat lelaki yang lebih baik malah lebih kacak darinya. Ini
tak, awak masih juga nakkan lelaki ego itu” rungut Nina meluahkan segala yang
terpendam di hatinya. Niyyaz Nazuha tergelak. Bicara Nina mencuit hatinya.
“ Itu namanya cinta, Nina.
Saya percaya pada cinta saya. Awak tentu tahu jatuh cinta adalah perasaan istimewa yang tak
mampu dihalang. Mencintai tidak semestinya dicintai. Ibarat cinta buta. Bahagia
dan derita adalah lumrah kehidupan. Semua ini ujian Allah” ujarnya tenang
dengan hati yang tabah. Sepi seketika. Hanya kedengaran alunan muzik
sentimental mengusik jiwa.
“ Maafkan saya, Yaz....”
ujarnya lembut. Niyyaz Nazuha tersenyum. Sedikit pun Niyyaz Nazuha tidak ambil
hati. Nina berhak meluahkan pendapat dan rasa tidak puas hatinya yang sejak
sekian lama dipendam.
“ Namun saya masih tak mampu
terima hakikat ini. Jikalau saya jadi awak, saya tak akan maafkan Idlan buat
selama-lamanya” tegas Nina berbaur dendam kesumat. Niyyaz Nazuha hanya geleng
kepala. Sungguh keras hati Nina.
“ Saya tahu awak tak pernah
salahkannya, sebaliknya menyalahkan diri sendiri. Tak adil untuk diri awak
sendiri, Yaz” keluh Nina. Niyyaz Nazuha hanya diam.
‘Buat apa aku mahu salahkan
Idlan andai semua ini adalah takdir-Nya. Aku tak mampu menghalang semua ini berlaku’
omel suara hati Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha memutuskan untuk tidak menyuarakan
perkara ini ke pengetahuan Nina. Nina sudah pasti tidak akan bersetuju dengan
pendiriannya. Sememangnya dalam hal ini pendapatnya dengan Nina saling bercanggah.
Sungguh Nina tidak mahu Niyyaz Nazuha terus menyalahkan diri.
“ Kita singgah makan dulu”
ujar Niyyaz Nazuha memecah kesepian. Nina hanya mengangguk tanpa bersuara. Barangkali
sudah letih berbicara.
No comments:
Post a Comment