Saturday, 17 May 2014

Awak Jodohku Lagi...! 2






BAB 2

USAI  kerja di dapur, Niyyaz Nazuha melangkah masuk ke bilik tidur yang sudah beberapa minggu dikongsi bersama pemuda itu. Sangkaannya Idlan Raid masih tidur ternyata meleset. Pemuda ini sedang menyiapkan diri. Sempat juga dia memerhatikan gelagat suaminya itu.
“Apa tengok-tengok orang?” suara kasar Idlan Raid berkumandang. Tangannya masih lincah mengemaskan butang-butang kemejanya. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Tidak sangka Idlan Raid menyedari pandangannya lantaran sejak dari tadi pemuda itu membelakangi dirinya.
“Apa salahnya Yaz tengok, abangkan suami Yaz” balasnya bersahaja. Idlan Raid hanya diam.  Diperhatikannya lagi tingkahlaku pemuda itu. Kelihatan pemuda itu sedang mencari sesuatu. Tiba-tiba sahaja dia berpaling ke arah Niyyaz Nazuha. Wajah Idlan Raid menyinga.
“Dah puas tengok?”soalan itu terpancul dari mulut Idlan Raid. Hampir sahaja Niyyaz Nazuha tergelak. Mujur sempat ditahannya. Kalau tidak pasti hati pemuda ini kian membara. Tingkahlakunya sering kali menjadi kemarahan Idlan Raid. Satu hakikat yang tidak mahu dinafikannya.
“Dah tiada kerja lainkah? Asyik nak perhatikan orang je” rungut Idlan Raid rimas.
“Bila masa pula Yaz perhatikan abang “ balas Niyyaz Nazuha dalam gurauan.
“Awak ni betul-betul buat saya rimas. Saya tak nak hidup saya diatur oleh orang lain. Saya nak hidup bebas! “ bentak Idlan Raid geram meluahkan isi hatinya.
“ Siapa yang halang kebebasan abang? Inikan rumah abang. Abang buatlah sesuka hati abang”  balas Niyyaz Nazuha tenang. Garang Idlan Raid tidak menggentarkan dirinya.Terniat pula di hatinya mahu mengusik  Idlan Raid. Pandangan pemuda ini semakin tajam. Hati Niyyaz Nazuha tertawa kecil. Rasa terhibur melihat gelagat Idlan Raid sedemikian. Dia sedar kemarahan Idlan Raid kepadanya begitu menebal.
 “Dah habis cakap?” soal Idlan Raid persis menyindirnya.
“Kalau abang beri peluang Yaz cakap, sampai esokpun takkan habis. Yaz teringin sangat nak berbual - bual dengan abang “ luahnya serius dengan harapan yang menggunung. Idlan Raid memandangnya. Sukar hendak ditafsir pandangan mata pemuda itu. Kemudian Idlan Raid tidak mengendahkannya lagi. Tiba-tiba sahaja hati Niyyaz Nazuha dipagut pilu.
“Yaz sangat menghargai ikatan kita. Yaz harap abang beri peluang kepada Yaz untuk jadi isteri yang baik dan sememangnya abang tahu Yaz memang cintakan abang dari dahulu lagi. Perasan Yaz ni takkan berubah. Yaz harap abang juga belajar menerima Yaz, tapi kalau abang tak mampu melakukannya Yaz takkan paksa abang” tegasnya serius. Niyyaz Nazuha menarik nafas perlahan. Lega rasanya dapat meluahkan isi hatinya.
Niyyaz Nazuha menatap Idlan Raid. Menunggu sebarang reaksi daripada lelaki itu.  Hampa. Idlan Raid masih menolak kehadiran dirinya. Betapa menggunung benci Idlan Raid kepadanya. Betapa kecewa dirinya. Namun dia tidak mahu berputus asa sekarang.
“Yaz dah sediakan sarapan abang. Kalau abang nakkan apa-apa, panggil Yaz ya” ujarnya lalu meninggalkan Idlan Raid di situ. Tidak semena – mena hatinya amat sedih. Sebak dan pilu.
                                                                        *******


SUDAH berapa kali Niyyaz Nazuha menoleh ke arah Idlan Raid yang sedang leka dengan kerjanya. Makanan yang terhidang sejam lalu sudah dingin. Dia masih berharap agar Idlan Raid sudi menjamahnya. Sejak bergelar isteri Idlan Raid sebulan lalu, pemuda itu langsung tidak pernah menyentuh masakannya. Bingkas sahaja Niyyaz Nazuha bangun lalu mendekati Idlan Raid.
“Abang marilah makan….” ajaknya lembut.
“Kan saya dah cakap tadi saya tak nak makan. Awak makanlah sendiri. Tak de masa saya nak layan perempuan bermuka tembok macam awak, menyusahkan orang saja!” bentak Idlan Raid kasar. Dia terus beredar dari situ. Beberapa minit kemudian Niyyaz Nazuha melihat pemuda itu sudah bersiap sedia hendak keluar.
“Abang nak ke mana?” soalnyagusar. Idlan Raid berlalu begitu sahaja. Pertanyaannya tidak diendahkan. Apa yang didengarnya hanyalah bunyi deruan kereta Idlan Raid meninggalkan halaman banglo ini. ‘Semoga Allah masih melindunginya....’ bisik hati kecil Niyyaz Nazuha.

Dia terjaga tatkala mendengar bunyi deruan kereta memasuki halaman banglo ini. Ditatapnya jam di dinding. Tepat pukul 3.00 pagi. Dia bangkit dari katil.

‘Ya Allah apa salahku kepadanya sehingga dia jadi begini? Nampak sangat dia tak senang tinggal di rumah ini, apatah lagi mahu bertentang mata denganku’.... Niyyaz Nazuha bermonolog sendiri.

“Kenapa abang jadi begini? “ soal Niyyaz Nazuha sedih sambil memapah tubuh sasa Idlan Raid. Dikumpul segala kekuatan diri.Dia memapah tubuh sasa itu mendaki anak tangga satu-persatu lalu membaringkan tubuh pemuda ini di tilam empuk ini. Tuala kecil yang sudah basah dilap ke wajah putih bersih Idlan Raid. Wajah pemuda ini ditatap lama. Sudah lama dia tidak menyaksikan keriangan wajah ini. Idlan Raid yang dikenalinya bukan pemuda bermasalah seperti ini.

‘Idlan... kenapa awak   harus menyeksa diri hanya kerana seorang perempuan yang begitu mencintai awak? Tidakkah awak  rasa bangga apabila ada insan yang sanggup berkorban demi awak?’ rintih hati Niyyaz Nazuha kecewa.

Tiba-tiba sahaja pemuda ini bangun dari perbaringan lalu muntah dalam pangkuan Niyyaz Nazuha. Laju tangannya mengurut-urut dada Idlan Raid. Bau muntah pemuda ini tidak diendahkan. Keutamaan sekarang dia mahu memastikan keselesaan Idlan Raid. Kemudian barulah  dia beredar dari situ lalu melangkah ke bilik air membersihkan diri.
Idlan Raid mengangkat kelopak  matanya. Dia tersenyum sendiri. Sedikitpun tiada rasa simpatinya. Puas hati kerana berjaya mempermainkan gadis itu. Idlan Raid sekadar berlakon. Sebelum kembali ke banglo itu, dia singgah di kediaman Robert Law, seorang kenalannya. Lantas meminta pertolongan sahabatnya itu agar mencurahkan sedikit arak pada pakaiannya. Malah betapa sukarnya dia memaksa diri untuk muntah sebentar tadi. Ternyata perancangannya berjalan lancar. Tatkala menyedari gadis itu keluar dari bilik air itu, Idlan Raid kembali memejamkan matanya. Akhirnya dia terlena dalam kepuasan yang tidak terhingga.  

**********

 “Niyyaz Nazuha...!!!” Dia tersentak mendengar suara Idlan Raid bagai halilintar membelah bumi melaung namanya. Bukan selalu  Idlan Raid menyebut sebaris nama itu. Ada kesalahan lagi yang telah dilakukannya. Dia bergegas ke bilik mendapatkan pemuda itu.

“Apa hal abang?” soalnya. Idlan Raid menatapnya seakan mahu menelannya hidup-hidup.
“ Bukankah saya dah cakap jangan pandai-pandai sentuh harta benda saya di rumah ini. Sekarang mana fail hitam itu? “ bentak Idlan Raid garang. Niyyaz Nazuha menelan liur.
“Biar Yaz tolong abang cari” ujarnya rasa bersalah.
“Mahu cari apa lagi. Saya dah lewat sekarang.Awak  betul-betul menyusahkan saya!” bentak Idlan Raid menyinga. Niyyaz Nazuha tidak menghiraukan kemarahan pemuda itu. Sebaliknya terus mencari fail itu.
“Awak memang perempuan tak guna, perempuan tak sedar diri! Awak ingat saya suka sangat menikahi awak. Kalau bukan kerana mama yang beriya - iya sangat nak bermenantukan awak, jangan mimpi awak  akan berada di sini sekarang. Kalau nak jadi orang gaji sekalipun saya tak sudi!”  Gerakan tangan Niyyaz Nazuha terhenti. Kesatnya bahasa yang Idlan Raid lemparkan kepadanya. Nampak sangat dirinya tidak bernilai di mata pemuda ini. Ditatapnya wajah Idlan Raid.
“Maafkan Yaz bang” ujarnya perlahan. Kesal dengan perkara yang berlaku. Bukan kemahuannya mahu menyusahkan pemuda ini.
“Itulah… lain kali jangan pandai-pandai sentuh barang orang. Saya paling benci kalau orang  ganggu harta benda saya. Lebih – lebih lagi awak. Jangan ingat bila saya dah lafaz akad nikah, segala-galanya telah menjadi milik bersama. Sampai sekarangpun tak pernah saya anggap awak isteri saya. Faham! “ bentak Idlan Raid radang. Niyyaz Nazuha hanya tertunduk mendengar kata-kata Idlan Raid. Akhirnya mampu juga pemuda ini meluahkan segala-galanya menyedarkan dirinya yang sememangnya sudah sedar tentang hakikat itu.
“Tepi….” Belum sempat dia berganjak, tangan Idlan Raid terlebih dahulu menolak tubuhnya membuatkannya hampir-hampir terjatuh. Idlan Raid beredar pergi dengan kemarahan yang membuak – buak. Dia hanya mampu menggetap bibir menahan perasaan sebak.

*******
“Yaz nak pergi rumah mak esok. Abang izinkan Yaz pergi?” soalnya menyusun bicara memohon keizinan Idlan Raid.
“Kalau nak pergi mana-mana, tak payah cakap... pergi sajalah” balasnya acuh tidak acuh. Idlan Raid bagaikan sudah lupa bahawa isteri perlukan keizinan suami sebelum melangkah keluar rumah.
“Abangkan suami, Yaz. Berdosa kalau Yaz keluar tanpa izin suami” balasnya menyedarkan Idlan Raid tentang kuasa lelaki ini terhadap dirinya. Idlan Raid menatapnya dengan pandangan tajam.
“Awak tahukah kalau awak tak ada di rumah ini saya lebih tenang. Kalau awak tak nak balik sini sekalipun sangat dialu-alukan” luah Idlan Raid membuatkan Niyyaz Nazuha terdiam panjang. Langsung Niyyaz Nazuha tidak terkejut mendengar bicara pemuda itu. Lantas terbantut niatnya hendak  mengajak Idlan Raid menjenguk maknya. Tidak mahu menambah kelukaan hatinya, dia pendamkan sahaja niatnya itu. Malam ini tika dia memejamkan matanya, perlahan-lahan air matanya menitis di pipi. Ternyata hatinya terguris lagi.

Niyyaz Nazuha menyandarkan tubuhnya pada kerusi rotan di halaman banglo itu. Matanya liar menatap sekeliling halaman.  Tiada banyak yang berubah selain bunga orkid yang Puan Nazibah tanam semakin subur. Ada beberapa pohon orkid baru yang tergantung di Rumah Hijau itu. Agaknya maknya baru membeli bunga orkid itu dalam minggu ini. Tidak pun Mak Minah baik hati menderma kepada maknya. Seingat Niyyaz Nazuha halaman rumah Mak Minah juga dipenuhi dengan bunga-bunga orkid. Selalunya kalau Mak Minah balik bercuti dari kampung bunga orkid ini pasti menjadi buah tangan untuk maknya. Nyatanya Puan Nazibah dan Mak Minah berpadu minat dalam hobi ini.
Tiupan angin sapoi-sapoi bahasa begitu menenangkan. Dia memejamkan mata cuba menikmati kesegaran itu. Terasa nikmatnya berada dalam kedamaian persis detik ini.
“Dah lama sampai, Yaz?” sapa satu suara. Dia mengangkat kelopak matanya. Puan Nazibah sudah melabuhkan duduk di depannya. Niyyaz Nazuha tersenyum.
“Baru saja, tadi Mak Minah cakap mak solat” tuturnya lembut seraya mengucup tangan Puan Nazibah. Setiap petang Niyyaz Nazuha lebih selesa duduk bersantai di situ sambil menghirup udara segar dan menikmati pemandangan menghijau di sekeliling banglo itu. Sudah lama dia tidak berkesempatan melakukan semua itu sehinggalah hari ini baru dia berpeluang.
“Mak apa khabar?” soal Niyyaz Nazuha memanjangkan bicara.
“Sihat Yaz. Sudah tua-tua macam ini kadangkala ada juga rasa sengal-sengal. Mujur juga ada Mak Minah boleh tolong urutkan” cerita Puan Nazibah. Ditatapnya wajah perempuan itu. Terbit perasaan simpatinya kepada maknya. Kalaulah Idlan Raid sekali - sekala sudi tinggal di situ bolehlah dia menjaga maknya. Tidak juga maknya kesunyian. Andai dia menyatakan keinginan hendak tinggal bersama  maknya, pasti  pemuda itu sangat mengalu-alukannya. Namun Niyyaz Nazuha tidak mahu mengundang kehairanan maknya andai Idlan Raid mahu tinggal berjauhan dengannya. Dia pasti dan yakin pemuda itu tidak akan teragak-agak mempamerkan penerimaannya terhadap kewujudannya. Pasti perkara itu bukan kebahagiaan buat  maknya melainkan mengundang kerisauan di hati perempuan itu. Dia tidak tega melakukan semua itu.
“Maaflah mak, dah lama Yaz tak datang jenguk mak” luahnya kesal dan terkilan dengan dirinya sendiri.
“Alaa.... bukan mak tak faham. Kamu dah ada suami. Tanggungjawab kamu sekarang lebih kepada suami. Lainlah kalau kamu anak lelaki” balas Puan Nazibah telus. Lega sedikit hatinya mendengar bicara maknya itu. Maknya memang seorang ibu yang cukup memahami. Sejak dahulu sampai sekarang  dia rasa bertuah kerana menjadi anak perempuan ini. Bahkan arwah ayahnya juga beruntung dapat isteri seperti maknya. Kesetiaan maknya kepada arwah ayahnya tidak pernah luntur. Biarpun ketika lelaki itu menyahut panggilan Ilahi  Puan Nazibah layak melangsungkan pernikahan keduanya. Ketika itu ramai juga yang cuba merisik malah dia dengan rela hati mengizinkan maknya mencari pengganti ayahnya. Nyatanya cinta  maknya kepada ayahnya langsung tidak tergugat dan tiada tandingannya.
“Aa... yang kamu ni Yaz, macam mana pula? Dah ada tanda-tandakah?” soal Puan Nazibah tersenyum mengharap. Niyyaz Nazuha tersentak. Tergamam dengan pertanyaan maknya itu. Namun cepat dia sedar. Dia tersenyum. Tidak mahu keadaan kehidupan barunya sampai kepengetahuan maknya. Semua itu pasti melukakan perasaan maknya.
“Masih terlalu awallah mak. Biarlah hidup berdua dulu” terangnya sambil berharap perempuan ini akan mematikan sahaja topik perbualan itu. Betapa dia khuatir hendak membicarakan tentang dirinya dengan Idlan Raid kepada Puan Nazibah. Tiada cerita yang indah untuk dikongsi bersama perempuan ini. Semuanya hanya mengundang rawan hatinya.
“Orang dah kahwin mahu cepat-cepat dapat anak. Awal-awal dapat anak untung. Nanti dah tua baru nak beranak susah, Yaz” omel Puan Nazibah yang sememangnya benar hendak disangkal.
Niyyaz Nazuha terdiam. Dia juga sukakan anak kecil. Namun dalam masa terdekat ini mustahil dirinya akan menjadi ibu. Kalaulah maknya tahu situasi sebenar pasti remuk perasaan perempuan ini. Betapa malang anak gadisnya yang gagal menambat hati sang suami. Pasti hancur perasaan maknya andai mengetahui bahawa Idlan Raid tidak sudi menyentuhnya. Malunya.......!
“Idlan layan kamu dengan baik, Yaz?” Dia tersentak lagi. Pertanyaan perempuan ini seakan mahu menjeratnya. Dia tidak mahu nanti terperangkap dengan jawapan sendiri. Niyyaz Nazuha mahu segera menamatkan perbualan yang berkisar tentang pemuda itu.
“Dulu mak tahu juga bagaimana dia layan kamu. Mudah – mudahan sekarang Idlan dah suka kamu” luah Puan Nazibah berharap. Tersentuh hatinya mendengar bicara maknya itu. Terasa kesal pula kerana gagal membawa Idlan Raid datang bersamanya. Setidaknya kalau Idlan Raid ada bersamanya pasti maknya tidak akan terarah berfikir sedemikian.
“Abang  layan Yaz dengan baiklah mak” terasa pahit tika dirinya menuturkan bicara itu. Terasa berdosa kerana terpaksa berbohong kepada maknya. Namun dia sesekali tidak  akan menceritakan perihal rumahtangganya apatah lagi keburukan suaminya. Sudah menjadi kewajipannya menyimpul kemas semua itu menjadi rahsia yang tersimpan rapi dalam dirinya.
“Mak mertua Yaz pun baik juga” tuturnya memujuk hati. Puan Nazibah tertawa kecil. Kenyataan itu tidak dapat dinafikan malah dia sendiri arif tentang sikap Datin Sharifah, besannya itu.
“Syukurlah dapat anak beranak yang baik. Kamu mesti layan mereka dengan baik juga. Jangan sesekali sakiti hati mereka” nasihat Puan Nazibah. Niyyaz Nazuha hanya mengangguk.
“Jangan keluar lama sangat. Nanti Idlan tercari-cari kamu pula. Kamu keluar sekarang ada kebenaran suami?” soal Puan Nazibah.
Niyyaz Nazuha mengangguk lemah. Setiap kali maknya  mengutarakan sebaris nama itu pasti hati kecilnya tersentuh. Malah rasa bersalahnya kepada perempuan itu kian bertambah - tambah. Dia tidak mahu berbohong. Namun dia tiada pilihan lain demi menggembirakan hati maknya. Maknya tidak patut tahu kehidupan sebenarnya sekarang. Walaupun Idlan Raid tidak pernah ambil tahu setiap perkara yang  dilakukannya, namun dia tetap juga memohon keizinan Idlan Raid dalam semua perkara. Lazimnya  pemuda itu tetap mematung dan dingin terhadapnya. Bicara Idlan Raid yang terluah pun sekadar mahu menguji bentang kesabarannya.
 “Kamu baliklah sekarang Yaz. Mak tak berkenan kalau suami letih-letih balik dari kerja tapi isteri tiada di rumah” tutur Puan Nazibah lagi. Dia mengangguk. Patuh pada nasihat maknya. Dikucupnya pipi Puan Nazibah. Ada perasaan hiba menyelubunginya. Dia cuba bertahan agar tidak menitiskan air mata tika ini. Niyyaz Nazuha memeluk erat tubuh maknya. Cuba mencari kekuatan dari kehangatan tubuh perempuan yang dikasihinya ini.
“Kalau ada apa-apa jangan lupa telefon. Yaz akan cuba lebih kerap datang jenguk mak” tuturnya berjanji.
Puan Nazibah hanya mengangguk sambil mengukir senyuman. Terasa berat langkahnya ketika meninggalkan maknya bersama lambaian itu. Bergerak sahaja kereta meninggalkan halaman rumah, air matanya terus merembes keluar tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Niyyaz Nazuha menangis teresak – esak sendirian. Betapa dirinya tidak seberuntung maknya yang menikmati cinta sejati .  Idlan Raid juga tidak bernasib baik persis mak mertuanya kerana terpaksa mengahwini perempuan yang tidak dicintainya biarpun hamparan cinta suci dan kasih sejati selaut untuk dirinya.
‘Berilah aku peluang untuk membahagiakanmu, Idlan....’ desus hati kecil Niyyaz Nazuha penuh pengharapan.

Kehidupan bergelar isteri kepada Idlan Raid sering kali mendatangkan dugaan berat kepada Niyyaz Nazuha. Idlan Raid betul-betul telah menguji kesabaran gadis ini. Setiap tindakan yang dilakukannya semua menjadi kemarahan pemuda itu. Memang selama ini dia tidak pernah menggantung harapan yang tinggi agar Idlan Raid menghargai setiap yang  dilakukannya untuk pemuda itu. Cuma dia berkeinginan sangat mahu mengingatkan Idlan Raid bahawa dirinya tidak pernah berputus asa agar pemuda itu belajar menyayanginya.
“ Saya bukan nakkan sangat pakai baju ini, tapi apa boleh dah tiada pilihan ” ujar Idlan Raid berbicara sendiri. Dia tahu bicara itu ditujukan kepadanya. Dia  menyedari tatkala mata Idlan Raid melirik ke arahnya. Pemuda ini cuba menilai reaksinya. Ego yang tinggi menyebabkan  pemuda ini  segan memakai kemeja yang digosoknya semalam kerana sebelum ini Idlan Raid tidak pernah berminat mahu  memakai pakaian yang disediakannya. Idlan Raid lebih suka menguruskan dirinya sendiri.
Sungguh tinggi ego pemuda ini. Tercuit hati Niyyaz Nazuha dengan perangai Idlan Raid. Selain pakaian kerja pemuda itu, dialah juga yang membasuh pakaian harian pemuda itu. Dia sedar sebenarnya Idlan Raid tidaklah degil sangat. Niyyaz Nazuha yakin suatu hari nanti jika dirinya masih mampu bertahan dia akan menyaksikan perubahan sikap Idlan Raid. Mungkin suatu hari nanti pemuda itu akan menerima dirinya sebagai isteri.
‘Semoga Allah mencekalkan hati ini berhadapan dengan Idlan untuk hari seterusnya’ bisik suara hati Niyyaz Nazuha bermunajat.


***********

HARI ini Niyyaz Nazuha betul-betul bersemangat. Maklumlah hari ini merupakan hari jadinya yang ke-24 tahun. Berjam-jam Niyyaz Nazuha berada di dapur. Akhirnya berhasil juga dia menyiapkan sebiji kek coklat kegemaran Idlan Raid. Dia bercadang  mahu meraikan hari jadinya bersama pemuda itu. Mahu membuat kejutan kepada Idlan Raid.
Hasratnya mahu membuat kejutan kepada Idlan Raid tidak kesampaian tatkala pemuda itu lebih awal membuat kejutan. Tiba-tiba sahaja Idlan Raid muncul di hadapannya bersama seorang perempuan. Ternyata Allah menganugerahi dirinya dengan kesabaran yang tinggi sehingga dia masih mampu bertenang melihat kemesraan Idlan Raid dan perempuan itu persis pasangan kekasih. Dia menyambut kedatangan Idlan Raid dengan senyuman yang terukir di bibir.
Dia sedar Idlan Raid berharap sangat agar dirinya berputus asa untuk terus hidup bersama pemuda itu. Andai dia berundur bermakna satu kemenangan buat pemuda itu. Idlan Raid tidak pernah mengerti, sesungguhnya dia tidak pernah menganggap semua itu sebagai pertarungan bagi menentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah. Dia bertahan di situ hanyalah semata-mata kerana dia terlalu menyintai Idlan Raid. Tiada alasan lain!
“Kebetulan abang bawa tetamu hari ini dapatlah kita makan kek sama-sama nanti “ ujar Niyyaz Nazuha lembut bersulam senyuman indah.
“Siapa perempuan ini? Tukang gaji awak?” soal gadis itu lancang. Idlan Raid tersenyum.
“Tukang gaji tak berbayar. Kalau saya jahat nak buat apa saja pun boleh tapi sampai sekarang saya tak terliur melihat perempuan ini” ujarnya bersahaja disambut deraian ketawa gadis itu. Idlan Raid turut tertawa. Niyyaz Nazuha menelan liur pahit. Betapa pemuda ini memandang rendah padanya. Nampak dirinya tidak bernilai di mata pemuda ini. Idlan Raid tersenyum puas hati setelah menjatuhkan maruahnya.
“Saya patahkan tangan awak kalau awak berani sentuh gadis lain” ancam gadis itu seolah-olah Idlan Raid adalah milik mutlaknya. Lantas merebahkan kepalanya di bahu pemuda itu. Tampak sungguh manja. Hati Niyyaz Nazuha terusik lagi.
“Tak apalah, Yaz ke dapur sekarang” ujar Niyyaz Nazuha mengundur diri. Serasa tidak kuat dirinya menyaksikan perempuan lain bermanja dengan suaminya.
“ Buat air untuk kami”  arah Idlan Raid. Niyyaz Nazuha berpaling menatapnya. Niyyaz Nazuha tersenyum.
“Akhirnya sudi juga abang merasa bekas air tangan Yaz ya” ujar Niyyaz Nazuha gembira. Serta-merta ekspresi wajah Idlan Raid berubah. Dia tersilap tingkah kali ini. Niyyaz Nazuha berlalu ke dapur. Beberapa minit kemudian dia kembali semula ke ruang tamu bersama air dan kek coklat itu.
 “Wah.... macam tahu-tahu saja orang gaji awak yang saya nak datang sini, Sayang” ujar perempuan itu tatkala Niyyaz Nazuha meletakkan kek coklat itu di hadapan mereka. Kek itu menjadi tatapan Idlan Raid dan perempuan itu.
“Hey.... hari jadi awakkah hari ini, Idlan?” soal gadis itu pula. Pantas sahaja Idlan Raid menatap Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha hanya senyum.
“Makanlah buat apa tengok lagi.Inikan kek kegemaran abang” ujar Niyyaz Nazuha lembut. Idlan Raid masih tidak menyentuhnya sedangkan perempuan itu begitu berselera menikmatinya.
“ Yaz tak harapkan sebarang hadiah dari abang. Kalau abang makan kek ini dah cukup buat Yaz” ujar Niyyaz Nazuha jujur.
Mahu sahaja air matanya menitis tatkala Idlan Raid menyuap kek coklat itu ke dalam mulutnya. Namun baru sedikit kek coklat itu dijamah, tiba-tiba sahaja Idlan Raid bangkit lalu menarik tangan perempuan itu.
“ Mari kita keluar bersuka ria. Bosanlah duduk di rumah ini. Tak boleh nak bermesra sebab ada orang asing di sini” tutur Idlan Raid tanpa menghiraukan pandangan Niyyaz Nazuha. Hati gadis ini tersentuh. Mereka terus berlalu meninggalkannya termanggu-manggu di situ. Sepi kembali. Dia  memandang sekeliling. Kini tinggallah dia bersendirian di situ.
“ Selamat hari jadi Niyyaz Nazuha” ucapan kepada dirinya sendiri.
‘Ya Allah… Engkau lindungi suamiku, jauhkanlah dia dari kemaksiatan yang menyesatkan dirinya’… doa Niyyaz Nazuha. Beberapa minit kemudian Idlan Raid muncul kembali. Andaiannya pemuda ini hanya mahu mengambil barang. Mungkin terlupa membawa sesuatu. Namun tidak nampak pula Idlan Raid berhajat hendak keluar semula.
“ Abang tak jadi keluar dengan perempuan itu?” soal Niyyaz Nazuha berhati - hati. Bimbang mengundang kemarahan pemuda ini.
“ Awak ingat saya lelaki jenis apa? Suka sangat berpoya - poya?” soal Idlan Raid kurang senang dengan pertanyaannya itu. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Jawapan Idlan Raid cukup membahagiakannya. Dia sedar  kewujudan  perempuan itu  hanya sekadar mahu mengujinya.  Nampaknya kali ini pemuda ini gagal lagi.
‘Syabas suamiku…. Sesungguhnya, awak memang suami yang baik’ bicara hati kecil Niyyaz Nazuha. Sayangnya kepada Idlan Raid kian menebal.

***********

NIYYAZ NAZUHA melangkah keluar dari bilik air. Dia nampak Idlan Raid begitu tekun dengan kerjanya. Lincah jejari mulus Niyyaz Nazuha membilas rambutnya yang masih basah. Dia memang  mengambil berat akan penampilan dirinya. Apatah lagi kalau perkara itu menarik perhatian pemuda ini. Dia pernah mendengar suatu waktu dahulu, Idlan Raid pernah memuji akan kecantikan rambutnya. Rambut hitam lebat berkilat dan lurus melepasi bahu. Sengaja dipotong layer V supaya lebih tampak bergaya. Niyyaz Nazuha menyanyi-nyanyi kecil sambil tangannya masih lincah membilas rambutnya. Tiba-tiba sahaja gerakan tangannya terhenti. Dia kehairanan menatap Idlan Raid yang sedang terpaku menatapnya.
“ Abang tengok apa?” soalnya menguji. Idlan Raid tersentak. Ekspresi wajahnya berubah. Pantas sahaja dia mengalih pandangannya. Niyyaz Nazuha menilik dirinya. Bahagian dadanya nan putih terdedah sedikit. Laju sahaja tangannya menarik pujama yang dipakainya. Lantas merapikan aturan pujama merah jambu berbunga halus itu. Bimbang silap tingkah pemuda ini akan mengutuk dirinya cuba menggoda.

“ Yaz tak kisah pun kalau abang tengok Yaz. Yazkan isteri abang. Segala yang Yaz miliki adalah milik abang juga. Hanya abang saja yang tak menghargainya” usik Niyyaz Nazuha menyindir Idlan Raid. Idlan Raid tetap diam. Dari riak wajahnya, Niyyaz Nazuha tahu tika ini Idlan Raid sedang malu dengan kelakuannya sebentar tadi. Yang pastinya Idlan Raid sedang mengutuk dirinya. Kesal pandangan matanya disedari oleh gadis itu.


No comments:

Post a Comment