Wednesday 17 August 2011

NoVeL : GuruKu CintaKu, Cikgu Itu KekasihKu.....7



BAB 7

“Apa yang kau cakap pada mama aku hah!”
Aku memalingkan tubuh Dennis Lee untuk menatap wajahku. Sepantas kilat tanpa dijangka, tanganku hinggap di wajahnya. Wajahnya terpaling. Pantas saja tangannya menyentuh pipinya yang tampak merah merona. Kelas terus saja senyap. Semua memandang ke arah kami. Aku menarik nafas puas.
“Kau nak buat apa ni? Lepaskan tanganku!” jeritku bila saja Dennis Lee menarik tanganku membawaku melangkah meninggalkan kelas.
Aku berkeras cuba melepaskan pautan tangannya. Namun ternyata genggaman tangannya terlalu kuat. Aku terheret mengikut gerak langkah Dennis Lee. Tanganku hanya dilepaskan tatkala aku dan Dennis Lee berada di bawah pohon pokok ini.  Hanya kami saja berdua di sini. Jauh daripada kebisingan dan keriuhan teman – teman mahupun warga sekolah yang lain.
“Kau yang cakap kat mama aku kan?” ulangku minta kepastian.
“Ya aku yang cakap. Aku tak boleh biarkan keadaan awak berterusan sedemikian” tegasnya mengakui tindakannya.
“Kau tak perlu masuk campur urusanku!” lantang saja suaraku.
Kedengaran keluhan panjangnya. Dennis Lee menatapku. Wajahnya begitu serius tidak seperti selalu.
“Aku tak mahu awak terus tenggelam dalam angan – angan awak. Kalau dibiarkan lama – lama awak boleh terluka sendiri. Paling penting aku tak mahu awak mengadaikan maruah awak sebagai seorang gadis. Apatah lagi awak hanya bertepuk sebelah tangan. Semua ini kalau tersebar di sekolah pasti awak akan dikutuk, maruah awak akan tercemar. Itu ke yang awak mahu?” lantang juga suara Dennis Lee.
“Pelik benar ke seorang pelajar mencintai gurunya?”
Aku tidak mahu menjawab persoalannya. Sebaliknya satu persoalan pula yang aku ajukan kepadanya. Aku inginkan penjelasan ikhlasnya. Hinakah seorang gadis yang bergelar pelajar mencintai seorang gurunya? Ramai juga guru yang memilih pelajarnya untuk dijadikan teman hidupnya. Jadi tidak salah kalau sekadar aku menyemai rasa cintaku untuk Cikgu Elvart Hee. Lagipun tidak pernah pun aku mendengar kenyataan yang dia sudah punya isteri, tunang mahu pun kekasih.
“Awak tak terfikir ke perbuatan awak ni juga akan melukakan perasaan Cikgu Elvart Hee. Malah boleh menimbulkan pandangan serong dan fitnah kepadanya. Awak mahu ke bertanggungjawab jika semua ni berlaku?” sekali lagi Dennis Lee meminta aku menjawab pertanyaanya.
“Aku sedia dan rela bertanggungjawab bila – bila masa saja. Tiada apa yang menakutkan aku mahu pun yang mampu menghalang aku kerana aku benar – benar ikhlas dan yakin dengan perasaanku” tegasku berani.
Aku dan Dennis Lee berpandangan. Tiada suara yang bersahutan lagi. Keadaan itu berlanjutan agak lama.
“Mulai sekarang jangan masuk campur urusanku lagi. Sekali pun aku jatuh tersungkur dan menderita” pintaku serius.
“Deliya........”
Dennis Lee mengeluh lagi. Aku terus saja melangkah meninggalkannya. Biarlah tamat sini saja hubunganku dengan Dennis Lee yang sudah sekian lama menjadi sahabat akrabku. Ini pilihannya dan aku sudah pun memutuskannya.
******************************************************************

“Bulan depan Nia akan pindah sekolah baru. Mama dah uruskan segalanya” bicara mama ketika kami menikmati sarapan.
Aku hanya mengangguk. Mama sudah membuat keputusannya. Maka aku tidak boleh melakukan apa – apa lagi selain mematuhi dan menerimannya dengan penuh redha.
“Balik sekolah nanti, Nia bacalah maklumat tentang sekolah tu. Mama ada letak kat bilik bacaan” tambah mama.
Aku mengangguk sekali lagi. Bingkas saja mama bangun. Aku hanya mampu memerhatikan langkah mama meninggalkan ruangan ini. Di sekolah aku menjadi begitu pendiam. Aku mengasingkan diriku dari teman – teman. Aku mahu menghabiskan masaku menikmati suasana sekolah ini tanpa sebarang gangguan. Betapa perasaan sayangku terhadap sekolah ini tidak mampu menghalangku pergi. Aku perlu patuh pada kehendak mama.
Hari ini sudah dua kali aku ponteng kelas Cikgu Elvart Hee dengan bersebab. Aku memberikan alasan logik untuk tidak mengikuti kelasnya. Aku memaklumkan bahawa aku sibuk menguruskan perpindahanku dan perlu lebih kerap berjumpa dengan pihak pentadbiran sekolah. Hari ini buat kali terakhir aku mengikuti kelas Cikgu Elvart Hee. Pandanganku menyoroti setiap gerak gerinya. Tenanglah hati. Jadilah tabah setabahnya. Sedikit masa lagi aku tidak akan berpeluang merenung seraut wajah ini lagi. Aku tidak berkesempatan juga mendengar suaranya yang menyenangkan hatiku. Pasti berganda – ganda rinduku buat lelaki ini.       
“Saya takkan lupakan cikgu. Terima kasih kerana memberi dorongan kepada saya untuk terus belajar. You are the best in my heart” tuturku perlahan lalu menghulurkan tanganku kepadanya. Cikgu Elvart Hee hanya tersenyum tidak mengerti maksud tersirat bicaraku.
“Saya kecewa kerana saya kehilangan seorang excellent student in my class” tuturnya serius tampak sedikit hampa.
Menitis air mataku tatkala mendengar bicara Cikgu Elvart Hee itu. Cepat saja kukesat. Aku tersenyum dalam sendu. Begitu bererti bicara itu buatku. Inilah pertemuan terakhirku dengan Cikgu Elvart Hee, cinta pertamaku. Kutinggalkan cintaku di sini bersama persahabatanku dengan Dennis Lee. Antara aku dengan dia, sudah ada haluan hidup sendiri.

“ Mama, Nia akan tinggal asrama. Nia dah kemaskan barang – barang Nia” tuturku perlahan.
Mama menatapku. Lama juga dia tidak bersuara. Barangkali dia sedang membuat pertimbangannya. Maklumlah keputusanku itu agak drastik. Selama ini aku tidak pernah berjauhan dengan mama untuk satu jangka masa. Paling lama pun tiga hari saja mama pernah meninggalkan aku atas urusan kerja.
“Kalau itu dah keputusan Nia, mama ikut saja” putusnya.
Aku menarik nafas lega. Syukur kali ini kami sependapat.
“Nia nak masuk bilik. Nak pastikan takde barang yang tertinggal nanti” tuturku minta diri.
Mama mengangguk. Baru beberapa langkah aku meninggalkan mama, namaku dipanggil membuatkan langkahku terhenti. Aku menatap mama.
“Kenapa tiba – tiba je Nia nak tinggal di asrama? Nia marah mama?” bertalu – talu soalannya diajukan kepadaku.
Aku geleng kepala. Walaupun aku sedikit terkilan dengan sikap mama, namun untuk marahkan dia, langsung aku tidak terfikir. Aku tidak layak dah tiada hak untuk menyimpan perasaan itu terhadapnya. Sebetulnya aku ingin membuka lembaran hidup baru yang lebih ceria. Aku ingin segera melupakan Cikgu Elvart Hee. Justeru untuk melakukan semua ini aku tidak boleh bersendirian. Aku harus dikelilingi keriuhan dan keceriaan ragam teman – teman. 
“Maafkan mama. Semua ni salah mama juga. Kalau mama lebih banyak luangkan masa bersama Nia, sudah pasti semua ni takkan berlaku. Nia takkan tercari – cari kasih sayang di luar” luah mama.
Aku tergamam mendengar bicara mama. Ku tatap wajah mama. Bebola matanya berkaca – kaca. Sungguh aku tidak sangka akan berhadapan dengan mama dalam keadaan sedemikian. Sama sekali tidak pernah. Mama wanita besi, tidak pernah mempamerkan kedukaanya untuk jadi tatapan orang lain. Segera aku melangkah mendekati mama. Terus saja kupeluk tubuh mama. Tangisanku dan tangisan mama bersatu.
“Bukan salah mama. Nia hanya ingin jadi seteguh mama” luahku.
Terasa lembut usapan mama. Tangannya lembut menepuk – nepuk belakangku. Wajahku ditatap.
“Nia akan jadi lebih baik dari mama”
Kupandang mama. Kami saling bertukar senyuman.

NoVeL : GuruKu CintaKu, Cikgu Itu KekasihKu.....6



BAB 6

Buku Sejarah hadiah daripada Cikgu Elvart Hee masih dalam pelukanku yang sedang tersandar di kepala katil sambil tersenyum panjang sendirian. Aku diserang penyakit angau yang bertambah – tambah sejak semalam.
“Nia jom makan”
“Oopocot…..!” aku terkejut besar.
Mama sudah terpacak di muka pintu sambil menatapku. Tidak sedar bila masa pula mama menolak daun pintu itu. Pasti mama sempat memerhatikan gelagatku tika ini. Naya! Naya!
“Dari semalam mama tengok Nia asyik pegang buku tu” tegur mama menimbulkan rasa khuatirku.
Takut mama syakwasangka atas tingkahlakuku. Habislah aku kalau mama dapat tahu apa yang sedang berlaku pada anak gadisnya tika ini. Kemarahan mama pasti tidak boleh dihalang – halang. Aku juga tidak punya keberanian untuk berhadapan dengan mama dalam keadaan dia murka. Betul – betul menakutkan.
“Nia baca buku ni ler, mama” balasku.
“Baca ke macam tu?”
Buku Sejarah yang masih berada dalam pelukanku, pantas saja kuletak ke tilam. Aku tersengih – sengih menatap mama bagi menutup rasa gusarku.
“Habis baca kena peluk buku ni supaya cepat faham dan segala maklumat yang dibaca mudah melekat dalam ingatan. Kalau kita nak kuasai pelajaran tu kena ler tunjukkan rasa sayang” ujarku berjela.
Itulah kalimah keramat yang pernah Cikgu Habibah beritahu kepada kami di kelas. Kalau hendak cepat pandai kenalah tunjukkan rasa sayang dan cinta pada pelajaran tersebut. Kalau boleh peluk cium buku itu setiap hari.
“Pelik betul falsafah Nia tu. Jom makan” ajak mama.
Aku menghela nafas lega. Segera kuekori langkah mama. Mujur topik perbualanku dengan mama tidak berpanjangan.

************************************************************

Aku mengucup beberapa kali buku Sejarahku ini sebelum meletakkannya di atas meja. Buku yang paling setia menemaniku ke mana saja kakiku melangkah. Apa tidaknya buku ini sentiasa berada dalam beg sandangku. Di muka pintu kelas, Dennis Lee tersengih menatapku. Langkahnya mati. Dia terus saja singgah di mejaku.
“Wow, buku baru!”
“Jangan sentuh!” laungku menegah sebelum sempat tangannya mendarat pada buku kesayanganku ini.
Anak mata yang sedikit kecil itu nampak membesar sedikit menatapku, sedangkan tangannya masih di awangan. Jelas dia tersentak dengan sergahan suaraku yang sedikit lantang itu. Cepat kucapai buku Sejarah itu lalu berada dalam pelukanku.
“Mak datuk kedekutnya dia” perlinya.
Aku menghadiahkan jelingan tajam buatnya. Pandai – pandai pula dia hendak mencerobohi harta orang lain.
“Bagi ler aku tengok buku tu” pintanya lembut memujukku.
“Ni buku kesayanganku. Aku tak benarkan orang lain sentuh termasuk kau. Hak terpelihara selamanya” tegasku.
“Buku rujukan Sejarah. Ni mesti ada kaitan dengan Cikgu Elvart Hee ni” tekanya yang sememangnya tepat.
Aku mengangguk. Cepat saja tanganku memasukkan buku ini ke dalam beg sandangku semula. Aku tidak mahu Dennis Lee menyentuhnya kerana khuatir akan menjejaskan kerapian dan kekemasan dari cover hinggalah pada setiap helaian.
“Awak sayangkan buku ini macam awak sayangkan nyawa awak” tuturnya berbaur perlian.
Aku tidak menyangkal bicaranya itu, lantas laju saja aku mengangguk.
“Parah! Parah! Awak harus mendapat rawatan terapi sekarang, kalau dibiarkan lama – lama aku takut awak akan hilang pertimbangan positif dan tiada tumpuan pada pelajaran” tegas Dennis Lee.
Aku menulikan telinga. Malas aku hendak melayan perubahan personaliti dirinya yang tiba – tiba saja seiras pakar kaunseling.
“Deliya!”

Tiba – tiba saja dia bangun lalu kedua – dua telapak tangannya mendarat di bahuku. Aku tergamam menatap pandangan Dennis Lee yang tajam menjunam ke dalam anak mataku. Wajahnya cukup serius.
“Aku janji akan selamatkan awak walau apa cara sekalipun” ikrarnya serius lantas meninggalkan aku yang terkebil – kebil memerhatikan langkahnya.
Apa kena dengan mamat seorang ini! Pening! Pening! Agaknya Dennis Lee diserang pening. Maklumlah kami di ambang SPM tahun ini. Kelas tambahan dan tuisyen pun padat. Sekali – sekala kepala yang sarat dengan pelajaran ini menyebabkan perangai jadi pelik juga.

***********************************************************

Aku menggosak mataku untuk kedua kalinya. Hairan melihat Mercedez Benz hitam mama ada di halaman rumah dalam jam – jam sebegini. Kelazimannya, seawal jam 10.00 malam barulah mama muncul di muka pintu. Kalau ada kes berat, bermalam di ofis pun mama pernah. Ketaksuban mama pada kerja sukar ditandingi. Mama mencintai kerjayanya sepenuh jiwa raganya. Barangkali mama tidak sihat. Hanya situasi sedemikian yang boleh membuatkan mama berada di rumah seawalnya. Hatiku dipagut kerisauan. Laju langkahku memasuki banglo mewah mercu kebanggaan mama.
“Nia!”
Aku tersentak mendengar suara lantang mama. Laju saja aku melontar pandanganku ke ruang tamu. Mama sedang duduk di sofa seakan sudah lama menanti kedatanganku. Aku memerhatikan wajah mama. Wajahnya tampak serius. Tiada secelit pun senyuman terukir di situ. Dapat aku rasakan bagai ada sesuatu yang telah dan bakal berlaku.
“Apa yang Nia buat kat sekolah selama ni?” suara mama tinggi.
Aku tersentak lagi mendengar persoalan mama. Cuba aku fahami akan maksud di sebalik persoalannya itu. Renungan tajam mama cukup mengecutkan perutku. Terasa peluh dingin membasahi dahiku. Sungguh penghawa dingin yang sedang dipasang ini langsung tidak terasa. 
“Nia tak nak belajar lagi ke? Dah fikir nak kahwin?” keras suara mama.
Aku amat terkejut dengan bicara mama. Matanya mencerlang menatapku. Barangkali sudah sampai ke pengetahuan mama. Siapa yang punya angkara ini? Teman – teman sekelas sekadar mengetahui aku pelajar pilihan Cikgu Elvart Hee untuk menjawab soalan – soalan yangg diajukan sepanjang kelas Sejarah berlangsung.  Kebetulan juga mereka tidak mengenali mama.
“Aku janji akan selamatkan kau walau apa cara sekalipun” suara nekad Dennis Lee kembali menerjah halwa pendengaranku.
Sah dia yang menyampaikan cerita ini kepada mama. Teman – temanku lain tidak mengenali mama sepertimana Dennis Lee mengenalinya.  Mama juga mengenali dia malah turut bersahabat dengan ibu bapanya.
“Jawab Nia! Kenapa senyap?” suara mama bergema di setiap sudut banglo ini.
Tiba – tiba saja mama bangun dari sofa itu lantas mengatur langkah mendekatiku. Terasa terketar – ketar kepala lututku. Kugenggam jari – jemariku cuba mengumpul kekuatan yang ada. Aku merelakan diriku andainya mama berhajat memukulku.
“Mama nak jumpa pengetua dan cikgu tu. Mama nak tahu kisah sebenarnya dari cikgu tu” tutur mama amat memeranjatkanku.
Aku terkedu. Serasa nafasku terhenti. Kalau mama meneruskan hajatnya juga pasti heboh satu sekolah. Paling kasihan Cikgu Elvart Hee. Dia akan jadi mangsa atas perbuatanku. 
“Please mama, jangan pergi” rayuku seraya memegang tangan mama sekaligus mematikan langkahnya.
“Jadi betul ler apa yang mama dengar ni?” suara mama semakin tinggi.
Apa yang mama dengar? Siapa gerangan yang membawa cerita ini kepadanya? Oh, nama Dennis Lee lagi yang terlintas di fikiranku! Hanya dia yang boleh berhubung dengan mama. Kebetulan pula memang dia berjanji untuk melakukan apa saja demi membunuh perasaanku terhadap Cikgu Elvart Hee.
“Betul Nia mencintai cikgu tu?”
Perlahan – lahan aku mengangguk. Aku tidak dapat lari menyembunyikan kenyataan itu lagi. Semuanya sudah terbongkar.
“Oh, my God...!”
Mama menepuk dahinya. Kecewa sangat dia mendengar pengakuanku ini.                    “Sorry mama...” tuturku menundukkan kepala.
Tidak berani aku menatap wajah mama. Bukan setakat takut, bahkan aku juga tidak sanggup melihat kekecewaan mama. Aku tahu hati mama hancur lebur tika ini.
“Mama takkan berdiam diri. Mama perlu jumpa pengetua dan cikgu tu” tegas mama tanda tidak termakan pujukanku.
Aku menatap wajah mama. Ada kesungguhan terpancar di wajahnya. Mama tidak main – main.
“Please mama, jangan ler buat begini. Semua ni salah Nia. Nia yang tak boleh kawal perasaan Nia. Cikgu Elvert Hee tak tahu langsung perkara ni” jelasku mengharapkan pengertian mama.
“Patut ler Nia lebih – lebih suka dengan subjek yang dia ajar. Nia kata cikgu tu yang pandai ajar tapi rupanya Nia ada niat lain. Nia telah bohongi mama!” jerkah mama semakin tidak dapat mengawal kemarahannya.
“Sorry mama.....”
Aku hanya mampu meluahkan rasa bersalahku pada mama. Aku sedar walau berapa banyak aku meluahkan rasa kekesalanku, mama tetap kecewa dengan tindakanku.
“Mama akan pindahkan Nia dari sekolah ni” tegas mama membuat keputusan drastik.
Aku terkedu mendengar kata putus mama dan hanya mampu menatap  langkah mama berlalu meninggalkan aku. Kedengaran jeritan kereta mama meninggalkan halaman rumah. Aku terduduk lemah di situ. Perlahan – lahan terasa hangat menuruni cerun pipiku. Aku menangis teresak – esak di situ. Entah untuk berapa lama. Ke mana mama pergi dalam keadaan marah sedemikian? Betulkah mama akan pergi ke sekolah berjumpa dengan pengetua sekaligus mencari Cikgu Elvart Hee? Apa yang mama mahu lakukan terhadap Cikgu Elvart Hee? Fikiranku sarat memikirkan tindakan mama.
Aku mengatur langkah longlai ke bilikku. Langkahku mati di ambang daun pintu yang sudah sedia terkuak menanti kedatanganku. Pasti mama berkunjung ke sini tadi. Langkahku mati di situ. Beberapa helaian buku Sejarah yang kupuja – puja dan kujaga rapi selama ini bertaburan di atas lantai. Aku melangkah masuk lalu merapati katilku. Tidak kuat rasanya kakiku berdiri lama – lama. Hatiku dipagut sayu melihat buku Sejarah pemberian Cikgu Elvart Hee menjadi sedemikian rupa. Anak mataku terpandang diariku yang terkuak di meja studyku itu. Hatiku bertambah – tambah hiba. Tega juga mama mencerobohi hak yang terlalu peribadi. Mama benar – benar hilang pertimbangan.
Kugagahi kakiku untuk bangun lalu mengorak langkah mendekati meja studyku. Aku menundukkan kepala menatap diari itu. Jelas segala yang tercatat di sini telah sampai ke pengetahuan mama. Di sudut tepi meja, aku terpandang kad yang ditulis oleh Cikgu Elvart Hee telah direnyuk oleh mama. Aku capai kad tersebut lalu menggosok – gosoknya agar kembali kepada keadaan asal. Air mataku menitis. Aku cuba menahan senduku agar tidak berkumandang. Namun hatiku begitu pilu dan hiba.  Sebetulnya aku kecewa kerana mama tidak menghormati hak peribadiku. Aku tidak terkilan bila mama marah kerana aku ada perasaan cinta terhadap Cikgu Elvart Hee, tetapi bila mama telah membaca diari ini aku rasa cukup terkilan.  Mama telah menggugat dasar kepercayaanku terhadapnya.

NoVeL : GuruKu CintaKu, Cikgu Itu KekasihKu.....5



BAB 5

Selepas kami menikmati nasi ayam di Restoran Murni yang sememangnya terkenalan dengan nasi ayamnya yang sedap, kami bergerak ke Popular. Aku melangkah ke ruangan yang menempatkan deretan novel – novel. Meninjau – ninjau jika ada novel terbaru yang aku berkenan. Anis Ayuni, Aisya Sofea, Norhayati Berahim. Aku mencari – cari karya cetusan minda penulis - penulis kegemaranku ini. Sesekali aku melirik ke arah Cikgu Elvart Hee yang berada di ruangan ilmiah tidak jauh dariku. Dia tampak leka menilik – nilik bahan – bahan yang ada di situ. Dodie dan Ryan sekadar bersantai – santai di setiap sudut premis ini. Aku meneruskan pencarianku.
“Nia, suka baca novel?”
Aku tersentak. Pantas aku berpaling. Cikgu Elvart Hee sudah berada di sebelahku. Pandangannya terarah pada novel – novel di rak. Aku mengangguk. Seketika Cikgu Elvart Hee turut sama mengeksplorasi deretan novel yang terdapat di situ. Tiba – tiba Cikgu Elvart Hee menghulurkan sebuah novel kepadaku. Novel ‘Diari Seorang Guru’ karya S. Hawa sudah beralih tangan.
“Apa cita – cita Nia?” soalnya membuatkan aku teruja.
Terasa bahagia mendengar pertanyaannya itu. Jelas Cikgu Elvart Hee ingin tahu sesuatu tentang diriku. Dialah orang kedua bertanyakan tentang cita – citaku selepas mama. Malah merupakan lelaki pertama yang mengajukan soalan ini.
“Kalau Nia mahu jadi cikgu, elok baca novel ni. Lepas saya baca novel ni, saya terus jatuh cinta pada kerjaya seorang guru” ceritanya menyingkap rahsia
dirinya.
Kalau Cikgu Elvart Hee sukakan novel ini, pasti aku juga sukanya. Aku mesti memiliki novel ini. Aku juga ingin menyelami catatan kisah yang telah berjaya memikat hati Cikgu Elvart Hee sehingga mendorong dia bergelar seorang guru.
“Cikgu beli novel ni?” soalku ingin tahu selanjutnya.
Dia menatapku lalu geleng kepala.
“Someone hadiahkan kepada saya” tuturnya perlahan.
Seseorang? Siapakah dia? Aku tidak dapat menilai daripada nada suara dan ekspresi wajah yang ditunjukkannya tatkala menuturkan bicara itu. Hatiku melonjak – lonjak ingin tahu cerita selengkapnya. Wahai jejaka pujaan hatiku, segeralah sirnakan gelodak perasaanku ini! Janganlah biarkan aku terus tertanya – tanya. Aku inginkan penjelasan yang nyata. Namun tiada tanda - tanda dia ingin melanjutkan bicaranya.
Siapakah seseorang itu? Adakah insan istimewa di hati Cikgu Elvart Hee? Aku yakin pasti dia seorang yang rapat dan akrab dengan Cikgu Elvart Hee kalau tidak masakan dia sanggup menghadiahkan novel ini. Mesti dia seorang yang penting dan bermakna dalam hidup Cikgu Elvart Hee. Dialah pembuka jalan dalam membentuk halatuju hidup lelaki ini. Seseorang yang begitu penting. Mungkin kekasih hatinya! Oh, tidak! Aku tidak sanggup menerima kenyataan ini. Hatiku meraung – raung menangis. Sesungguhnya aku sentiasa menggantung harapan yang tinggi terhadap guru ini.
“Nia, nak tumpang saya balik?”
Aku tersentak mendengar suara Cikgu Elvart Hee. Laju aku geleng kepala. Semangatku telah berterbangan di mana – mana. Aku ingin bersendirian merawat sedikit rasa kecewaku ini. Kekasih dambaanku mungkin telah dimiliki hatinya.
“Bila cikgu nak kahwin?” diluar kawalanku soalan itu meluncur laju keluar dari mulutku.       
“What?” nada suara Cikgu Elvart Hee jelas terkejut dihujani soalan sedemikian. Sebenarnya aku sendiri pun terkejut dengan soalan yang kuutarakan. Aku mengutuk diri atas kelancangan mulutku bertanya sebentar tadi. Kedengaran tawa kecil Cikgu Elvart Hee. Aku menatap wajah itu. Tiada tergambar rasa marah mahu pun tersinggung. Aku menarik nafas lega. Mujur juga bicaraku tidak dibanyakertikan.
“I’m still young. Lagipun mana ada orang mahu jadi isteri saya”
“Saya mahu.........!!!” laungan bicaraku hanya tersekat di kerongkong.
Mujur aku masih waras. Aku tersenyum sendiri. Jawapan yang diberikan Cikgu Elvert Hee kembali menceriakan hatiku. Semangatku yang bertaburan tadi kembali bertaut. Tetapi siapa someone itu? Aku kembali memikirkan persoalan tadi. Barangkali kekasih awalnya. Hatiku kian gelisah.
“Nia, saya  nak balik sekarang. Dodie dan Ryan pun dah tak tahu nak pergi mana. Nah, ikhlas dari saya untuk awak”
Aku tergamam menatap sebuah bungkusan yang sudah siap dibalut indah sedang dihulurkan kepadaku belum bersambut. Aku mengalih pandanganku ke wajah Cikgu Elvart Hee. Dia tersenyum.
“Ambiklah. Nia tak sudi ke?” soalnya.
Laju saja tanganku mencapai bungkusan itu. Mana mungkin aku menolaknya. Sebetulnya aku terkejut kerana semua ini diluar jangkaanku.
“Terima kasih cikgu” tuturku cukup rasa bahagia sebelum menghantar kepergian Cikgu Elvart Hee dengan pandangan kasih dan sayangku.
Aku merenung lama bungkusan yang sudah berada ditanganku ini. Tidak sabar rasanya aku hendak membukanya. Lantas aku mematikan saja niatku untuk berlama – lama di sini. Kuutus sms kepada Dennis Lee membatalkan pertemuan kami petang ini. Aku mahu pulang ke rumah sekarang juga. Oh, alangkah seronoknya kalau aku punya sepasang sayap yang boleh menerbangkan aku di angkasa lepas agar aku segera sampai ke rumah! Aku sudah tidak sabar – sabar untuk melihat hadiah daripada Cikgu Elvart Hee, jejaka pujaan hatiku.
Perlahan – lahan dan penuh berhati – hati aku mengoyak kertas pembalut bungkusan ini. Aku memang berhajat untuk menyimpan kertas pembalut ini. Tatkala aku menyelak kotak itu, sebuah buku Sejarah ada di dalamnya. Aku tersenyum selebar – lebarnya. Pantas saja aku mengucup buku ini dengan penuh kasih sayang. Ia teralu berharga dan bermakna buatku. Sekeping kad terselit di celah – celah buku ini kubaca berulang kali tanpa perasaan jemu.

~Untuk pelajar saya yang paling bijak, n  always excellent~
Ikhlas;
Elvart Hee / 14.04. 2003