Bab 4
“Liya, tadi saya nampak Daniel dan kawan-kawannya dirotan pengetua,” cerita Zatul yang tidak pernah ketinggalan
dengan cerita terkini Daniel.
“Baguslah,” celah Umie mendahuluiku disambut dengan senyumanku.
“Sekurang-kurangnya mereka sedar peraturan tak membezakan yang miskin dengan yang kaya.
Paling penting mereka sedar tak boleh buat sesuka hati di sekolah,” tambah Fatin.
“Kamu rasa Daniel akan berdiam diri je lepas ni?” soal Zatul. Fatin dan Umie berpandangan. Kemudian menatapku.
“Saya dah sedia nak berhadapan dengannya,” jelasku dengan keyakinan yang tinggi.
Loceng berdering kuat. Tamat waktu sesi persekolahan hari ini. Aku
berpisah dengan Fatin, Umie dan Zatul membawa haluan masing-masing. Di
pertengahan jalan aku melihat sekumpulan pelajar sedang bertungkus-lumus
menggali longkang sambil diawasi oleh Cikgu Tehran. Tatkala seorang
daripada mereka berpaling, jelas nampak wajahnya. Aku melemparkan
senyuman sinis selebarnya. Senyuman yang pasti mengundang kemarahan
di hatinya. Paling nyata wajah itu tergambar dendam. Aku menyambung
kembali langkahku. Aku sudah nekad bahawa aku tidak akan
mengalah dan tidak akan membiarkan Daniel memperlakukan diriku
sewenang. Apa yang bakal aku terima daripadanya pasti itu yang akan
kuberikan kepadanya.
Aku mendongak awan yang kelihatan hitam. Terbit kerisauan di hati.
Semoga hujan tidak turun. Kalau tidak pasti akan mengundang kesukaran
untukku menghadiri gerko hari ini.
“Hari macam nak hujan je,” Ayah mendongak ke langit. Kemudian mengalih pandangan ke arahku.
“Biar ayah je yang hantar kamu ke sekolah,” pelawa ayah. Aku menggeleng.
“Tak pelah ayah. Sekolah bukan jauh sangat. Kalau nak hujan pun mesti
Liya dah sampai sekolah,” tuturku penuh yakin. Seperti biasa ayah tidak
akan memaksa aku menuruti kata-katanya. Ayah seorang yang penuh
diplomasi. Betapa beruntung aku memiliki seorang ayah sepertinya.
Selepas mencium tangan ayah, aku mengayuh basikal ke sekolah yang
jaraknya hanya kira-kira tiga kilometer dari rumah. Ayah juga telah
keluar untuk memulakan tugas sebagai pemandu teksi. Di pertengahan
jalan, tiba-tiba sahaja hujan turun dengan lebat. Sekelip mata sahaja
permukaan bumi habis basah dan lopak- lopak dipenuhi air. Mujur juga aku
sudah bersedia lebih awal memakai jaket kalis air. Memandangkan hujan
semakin lebat, aku mengambil keputusan berteduh di warung lama yang
tidak beroperasi lagi tepat-tepat di bahu jalan.
Seketika aku terpacak di situ dengan basikal yang sudah tersandar. Aku
memerhatikan rintik-rintik hujan yang sudah tidak jelas butiran.
Aku berganjak sedikit daripada kedudukan asal mengelak tempias air
hujan. Aku leka memerhatikan lopak besar yang sudah dipenuhi air. Dalam
hati menyesal menerpa kerana menolak pelawaan ayah. Kalau tidak
kerana kedegilanku tadi, pasti aku sudah selesa berada di dewan
sekarang. Kulihat jam di tangan. Nampaknya aku akan terlewat sampai ke
sekolah petang ini.
Dalam kesamaran hujan lebat, aku nampak sebuah kereta sport merah
meluncur laju. Gerun aku melihat cara si pemandu memandu kereta seolah-olah tidak hiraukan keselamatan diri dan orang lain. Kereta sport BMW merah itu melewatiku dengan begitu megah.
Tiba-tiba sahaja kereta sport
merah itu perlahan. Tanpa kuduga kereta itu berhenti seketika.
Barangkali ada masalah. Aku mengalih pandangan mendongak langit.
Langsung tidak kelihatan hujan mahu berhenti. Pantas aku
berpaling apabila kedengaran bunyi deruan kereta yang kian jelas. Pupp!!
Aku tidak sempat mengelak. Tayar kereta itu betul-betul berada dalam
lopak yang dipenuhi air. Segalanya berlaku dengan pantas. Akibatnya muka
dan jaket yang kupakai disimbahi air lopak yang berlumpur. Habis kotor.
Dalam keadaan mata yang terkebil-kebil, aku nampak tangan si pemandu
melambai-lambai di luar tingkap kereta. Kemudia kereta itu terus meluncur laju tanpa mempedulikan aku.
Aku menyumpah. Sungguh aku tidak dapat mengawal perasaan
marah dan geram. Sakit hati dengan sikap pemandu yang tidak bermoral
itu.
“1404 ... Aku akan cari siapa tuanmu yang tak berperikemanusiaan
itu,” janjiku pada diri sendiri. Akhirnya dalam sisa-sisa kemarahan
kukayuh basikal meredah hujan. Alang-alang sudah kotor sebegini lebih
baik bermandikan air hujan. Aku meletakkan basikal di garaj. Sempat ke
bilik air sebelum melangkah ke dewan lokasi perjumpaan Kelab Bola Tampar
sekolah. Pemandu itu betul-betul melampau. Kubasuh muka
bersih-bersih. Kuteliti pakaian di depan cermin. Berbintik-bintik kecoklatan. Sedikit-sedikit kusapu dengan air. Biar sahaja di
rumah nanti aku membasuh sebersih-bersihnya.
Tika aku menjejakkan kaki di muka pintu dewan, Mr. Wong sedang mencatat
kehadiran ahli Kelab Bola Tampar. Mujur ketika aku sampai namaku belum
dipanggil lagi. Aku melabuhkan duduk di sisi Serina. Kami berbalas
senyuman.
“Dania Deliaya...,”
“Saya cikgu,” sahutku sambil mengangkat tangan.
“Kenapa lewat hari ni?” soalnya sekadar meminta kepastian.
“Maaf cikgu, hujan lebat,” balasku. Mr. Wong menatapku.
“Hari ni saya maafkan. Lain kali atasi fenomena sebegini dengan bijak,”
Aku hanya mengangguk. Lega. Sekurang-kurangnya aku terlepas daripada
hukuman.
“Daniel Adhwa,” Aku melontar pandangan ke arah pelajar lelaki
yang sedang mengangkat tangan. Kebetulan dia juga menatapku. Kami
bertentang mata seketika. Tiada senyuman. Masing-masing berwajah masam
dan serius. Antara aku dengan Daniel masih ada dendam yang
belum dilangsaikan.
“Okey, buat bulatan. Daniel ketuai aktiviti pemanasan badan,” suara Mr.
Wong menyentakkannya. Aku turut tersentak. Dalam
beberapa minit sahaja satu bulatan besar telah terbentuk. Aktiviti
pemanasan badan terus dimulakan. Aku seperti rakan-rakan lain
mengikut gerakannya. Sempat juga aku berimaginasi. Alangkah baik
kalau tiba-tiba aku melangkah ke hadapan lalu menghadiahkan
sepak terajangku kepada anak muda itu. Mesti dia terkial-kial hendak
menangkis seranganku memandangkan saat ini Daniel sedang leka dengan
tanggungjawab yang diberikan oleh Mr. Wong. Aku tersenyum sendiri. Lucu.
“Cik Dania Deliya, apa yang mencuit hati sampai tersenyum-senyum
sendiri ibarat orang yang tak siuman,” tegur suara itu. Aku tersentak.
Berpasang-pasang mata sedang memandangku. Kulihat Daniel sedang
mengangkat-angkat kening menanti jawapan yang bakal aku berikan.
Aku melemparkan jelingan tajam kepadanya.
“Buat serius sikit,” suara Mr. Wong mengembalikan suasana asal.
Aku mengikat tali kasut kemas-kemas. Beberapa orang teman sudah
menunggu di gelanggang. Seperti biasa kami mengikut pasukan yang telah
dibahagikan oleh Mr. Wong iaitu pasukan senior dan pasukan junior.
Pasukan senior dibahagi kepada A dan B yang terdiri daripada
pelajar tingkatan 4 sehingga tingkatan 6. Begitu juga dengan pasukan
junior ada A dan B yang diwakili oleh pelajar tingkatan 1 hingga
tingkatan 3. Mereka ini merupakan atlet pelapis sekolah. Sebenarnya
bilangan ahli Kelab Bola Tampar ini tidak ramai berbanding bilangan ahli
kelab yang lain. Mr. Wong mahukan ahli kelab yang berpotensi yang
boleh mewakili sekolah dalam pertandingan bola tampar. Maka dia mahukan
jumlah yang tidak ramai agar mudah baginya melatih secara intensif.
Kebetulan permainan ini memang tidak memerlukan ramai peserta bagi
satu-satu permainan.
“ Rasanya hari ni ada cerita lawak yang berlaku,” Ada suara di
belakangku. Aku menoleh. Daniel tersengih-sengih lalu beredar
meninggalkan aku termangu- mangu. Cerita lawak? Aku memikirkan bicara
Daniel sebentar tadi. Apa yang lawaknya? Jangan-jangan dia nampak aku
disimbahi lumpur. Muka yang comot. Ahh! jengkel aku melihat mukanya.
Jangan-jangan semua itu angkara Daniel.
“Liya,
cepat sikit!” suara Angela memanggilku. Aku berlari ke gelanggang
mengambil posisiku. Kebetulan Daniel bertentangan denganku. Dia masih
tersengih-sengih. Mujur aku dan Daniel tidak berada dalam pasukan yang
sama. Kalau tidak pasti kami tidak boleh bekerjasama dengan baik.
Bicara Daniel kembali bermain di fikiran. Betulkah dia yang memandu kereta sport
merah tu? Kereta yang meluncur laju yang tiba-tiba berundur
mendekatiku lalu menghadiahkan simbahan air lumpur pada pakaian dan
mukaku. Kemudian meninggalkan aku dengan lambaian tangan. Mesti semua
itu angkara Daniel. Kejadian bermotifkan dendam. Sememangnya ada dendam
yang belum dilunaskannya kepada aku.
“Liya, adang bola tu!” suara Petrus melaung namaku. Aku tersentak. Bola sudah melambung jatuh ke simen.
“Apa yang awak khayalkan tu?” tegur Petrus kurang menyenangi
perlakuanku. Aku jadi serba salah. Gara-gara Daniel aku hilang fokus.
“Sorry ...,” hanya itu yang mampu aku luahkan. Sememangnya aku
bersalah. Bersalah kerana memberi peluang kepada pasukan lawan untuk
mengutip mata.
“Mana ada orang main sempat berkhayal,” perli Daniel. Aku mengetap bibir
menahan gelodak hati. Geram! Rasa mahu koyak-koyak sahaja mulut celupar
itu. Kini giliran dia yang servis. Aku menatap Daniel. Tampak dia
bersungguh-sungguh. Tatkala dia mengangkat tangannya, mataku menangkap
kain balutan merah berjalur putih pada pergelangan tangannnya. Ahh!
Kain itu yang aku nampak pada tangan yang melambai-lambai tadi. Memang
sah kejadian tadi angkara Daniel.
Aku meneruskan permainan seperti biasa. Tidak kupedulikan sengihan
Daniel yang sengaja mengundang kemarahanku. Pertarungan antara pasukan A dengan B
begitu sengit. Keseimbangan kekuatan pasukan menyukarkan permainan
dimonopoli oleh satu-satu pasukan sahaja. Hanya menunggu kesilapan
sahaja bagi membolehkan kutipan mata. Sekarang mata terikat pada 20.
Hanya satu mata lagi yang akan menentukan siapa pemenangnya.
Walaupun ini bukan pertandingan, tetapi kalau boleh aku tidak mahu
kalah ditangan Daniel.
Giliran pihak lawan yang menghantar bola. Aku akan halang mereka
daripada mengutip mata terakhir. Pasti akan aku matikan serangan yang
mendatang. Servis bola menjunam merentasi jaring. Mujur Alan berjaya
menyambut bola lalu memulangkan semula kepada pihak lawan. Keterina
menyambut bola itu lalu mengumpan kepada Syamsul di sebelahnya. Syamsul
terus sahaja merejam bola ke sebelah. Aku merejam balik bola yang
dihantar Syamsul. Namun rejamanku tidak cukup tajam membolehkan Syamsul
dengan mudah menyambut bola itu. Dia mengumpan bola kepada Daniel. Posisi bola
yang begitu baik. Justeru, Daniel mengambil peluang keemasan itu untuk
membuat rejaman tajam. Dia melonjak tinggi melakukan rejaman. Malang
sungguh, Petrus tidak dapat mengadang rejaman bola Daniel. Wisel penamat
dibunyikan sekali gus mengisytiharkan kemenangan kepada pihak lawan.
Mereka tertawa riang.
“Menang tipis je dah gembira lebih-lebih,” perliku sengaja ditujukan
kepada Daniel. Dia mempamer muka seposen sambil terpacak di depanku
bersama senyuman panjang. Ketika melewatinya aku mengambil kesempatan memijak kakinya yang sengaja dilunjurkan menghalang perjalanan.
“Aduhhh...!” Daniel terjerit kecil. Nampak dia melompat-lompat
menahan sakit. Diusap-usap kakinya beberapa kali. Aku tersenyum
sendiri. Puas hati dapat mengenakan Daniel.
Aku mengesat peluh di muka dan di leher. Kusandarkan tubuh ke dinding. Letih.
“Letihnya...,” keluh Angela seraya melabuhkan duduk di sebelahku.
Aku hanya senyum. Mataku terarah ke gelanggang memerhatikan para junior
beraksi.
“Kamu perlu bergerak dan berada di bawah bola ketika mengumpan.
Rejaman yang baik dapat dilakukan apabila bola yang diumpan dekat dengan
atas jaring,” Sesekali kedengaran suara Mr. Wong menegur. Tampak mereka
begitu bersungguh-sungguh. Boleh dikatakan pertarungan mereka begitu
menarik sehingga melekakan aku dan Angela terus menonton aksi mereka.
“Smesh Katty,” ada suara yang memberi arahan. Gadis tinggi lampai itu melakukan aksi yang diharapkan. Smeshnya
begitu bertenaga sehingga pihak lawan gagal menyambut bola itu. Aku dan
Angela bertepuk tangan meraikan kejayaan mata yang dikutip.
“Bagus juga smesh dia,”
puji Angela disambut dengan anggukan kepalaku mengiyakan. Aku setuju. Ada bunyi tapak kaki yang berhenti dekat
denganku namun tidak kuhiraukan. Aku hanya memfokuskan pandangan ke
gelanggang menyaksikan perlawanan itu. Memang tepat. Seorang melabuhkan duduk di sebelahku.
“Memanglah puteri katak tak boleh dipisahkan dengan lumpur. Awak
setuju tak?” Aku menoleh. Daniel sudah berada di sebelahku
rancak mengesat peluh. Aku menatapnya tajam. Apa maksud bicaranya? Bingkas Daniel bangkit dari tempat duduk lalu melangkah
ke muka pintu meninggalkan dewan.
“Puteri katak tak boleh dipisahkan dengan lumpur,” perlahan-lahan aku menyambung semula bicara itu. Bingkas aku mencapai beg lalu berlari ke pintu. Niat hati cuba mengejar langkah Daniel.
“Liya... awak nak ke mana?” laung Angela kehairanan. Aku hanya sempat melambaikan
tangan. Daniel sudah berada beberapa meter di depan. Kalau betul
Daniel yang punya angkara, apa yang patut aku lakukan kepadanya? Pukul dia
atau simbah balik mukanya dengan lumpur? Calarkan kereta sport
merah itu? Daniel membelok ke kanan. Barangkali di situ dia meletakkan
keretanya. Kubesarkan langkah mengekori. Terpandang kereta merah itu. Sah memang Daniel yang
punya angkara. Sebelum sempat Daniel menghilangkan diri di sebalik
kereta itu, pantas aku melaung namanya.
“Daniel tunggu!” Dia berpaling ke arahku. Aku berlari mendekatinya. Daniel tersengih panjang.
“Awak yang simbah saya dengan lumpur tadi kan,” tekaku. Daniel tersengih
panjang. Langsung tiada suara yang menafikan bicaraku.
“So ... awak nak buat apa?” soalnya bongkak. Aku mendengus. Panas hatiku.
“Awak nak buat apa hah ... hah...,” Daniel
menolak-nolak tubuhku. Aku berundur selangkah demi selangkah tetapi
Daniel semakin mendekatiku. Kalau aku beradu tenaga dengan Daniel pasti
aku yang tewas.
“Kenapa awak selalu menyusahkan saya?” tanyaku.
“Susahkan awak? Siapa yang mulakan?” soalnya semula. Bengang! Memang otak dia
tidak betul. Tolakan kasar tangan Daniel begitu kuat. Aku tidak dapat
mengimbangi tubuhku lalu tersungkur. Daniel tertawa bahagia. Pantas aku
mencapai apa sahaja yang berdekatan denganku lalu membaling tepat
terkena pada dahi Daniel.
“Aduuhhh...!” Jeritan Daniel begitu kuat. Tangannya pantas menutup
dahi. Ada darah mengalir keluar. Aku tergamam. Sungguh aku tidak
berniat hendak mencederakannya sedemikian rupa.
“Berani awak cederakan saya,” Daniel menarik tanganku dengan kasar.
Pergelangan tanganku dicengkam kuat. Aku sudah berdiri menghadap wajah
Daniel yang merah merona. Bila-bila masa sahaja Daniel akan
menyerangku. Tatkala Daniel mengangkat tinggi tangannya, aku hanya mampu
memalingkan muka dan memejamkan mata. Sesaat ... seminit ... Tiada apa-apa yang berlaku. Daniel melepaskan cengkamannya pada pergelangan
tanganku.
“Pergi...!!!” tengking Daniel sekuat hati. Aku tersentak. Bagai
lipas kudung aku berlari meninggalkannya terpacak di situ. Sebelum
Daniel mengamuk sakan lebih baik aku memanjangkan langkahku
menyelamatkan diri. Kelibat Daniel sudah tidak kelihatan. Dia sudah jauh
kutinggalkan. Aku menarik nafas lega. Mujur juga Daniel masih ada
pertimbangan kemanusiaan.
salam. ingat lagi 143... tiada penghujungnya.... kini...Sungguh... Saya Cinta Awak! Insyaallah akan kembali. Semoga diberi kelapangan... kaya idea....diberi kesihatan untuk sampai ke penghujung kisah ini... skrg throwback...
ReplyDelete