Friday, 30 March 2012

143............. Tiada Penghujungnya! 22


BAB 22

Ini hari pertama aku ke sekolah setelah seminggu cuti sakit. Alhamdulillah buku laliku sudah sembuh sepenuhnya. Hanya tinggal sisa warna kebiruan saja lagi. Dari kejauhan tadi aku nampak Daniel melangkah bersendirian. Ternyata tangan kanannya masih berbalut. Itulah akibatnya tidak sayangkan diri. Sehingga ke hari ini, mesej yang aku hantar kepadanya belum dibalas. Aku pasti memang Daniel tidak mahu menjawab pertanyaan khabar yang aku utuskan. Ternyata dia masih marahkan aku. Justeru, aku tidak mampu menghalangnya dari berperasaan demikian. Pasrah menerima sikap dingin Daniel terhadapku.

Sesampai aku di rumah, aku terus saja masuk ke bilikku. Tatkala pandanganku jatuh pada telefon yang terletak di atas meja belajarku, tiba – tiba saja terasa debaran jatungku. Si pengirim misteri itu sedikit memberi tekanan kepadaku. Sekarang aku cukup yakin dan percaya insan yang menghantar mesej kepadaku ini bukannya tersilap hantar. Memang bait – bait indah dan puitis itu sengaja dihantar kepadaku. Namun aku masih keliru dengan niat si pengirim misteri di sebalik kata – kata indah yang diutusnya ini. Aku meletak beg galasku yang diisi dengan buku – buku rujukan dan catatan di atas kerusi di depan meja belajarku. Pandanganku terarah pada dada skrin telefon. Semakin kuat debaran yang kurasakan tatkala terpandang ada mesej yang kuterima. Perlahan – lahan aku membuka mesej itu.


~ A day without you is like a day without light because you light up my life ~   

Masih juga si pengirim misteri bersama bait – bait indahnya. Keluhanku tercetus. Betapa aku tidak menyenangi kedatangan mesej ini. Sungguh aku terganggu dengan kunjungan mesej misteri ini. Ada rasa tekanan membelenggu diri. Aku betul – betul tidak suka diperlakukan sebegini.

~ Siapa awak? Saya tak kenal awak. Tolong jangan ganggu hidup saya! ~

 Dengan perasaan marah aku membalas mesej itu. Bukan aku tidak pernah menghubungi nombor ini, namun setiap panggilan yang kubuat tidak diangkat. Sememangnya si pemilik nombor ini mahu mempermainkan aku di sebalik mesejnya yang membuai perasaan ini. Mungkin dia ingin aku jatuh cinta padanya. Tiba – tiba terlintas nama Sara di fikiranku. Adakah semua ini perbuatan Sara? Hanya dialah yang mampu melakukan sesuatu yang di luar jangkaan. Barangkali dia menggunakan taktik ini untuk memusnahkan ketenteraman hidupku. Perlahan – lahan keluhanku tercetus. Astagfirullah, ya Allah, syaitan itu telah berjaya berbisik di telingaku. Aku seharusnya tidak prasangka jahat pada Sara. Kebencian Sara padaku tidak akan mampu membuatkan dirinya melahirkan kata – kata romantis sebegitu. Aku lebih percaya Sara akan melontarkan kata – kata kesat padaku. Tambahan pula Sara lebih suka menzahirkan rasa tidak puas hatinya dengan tindakan kasarnya. Itu Sara yang aku kenali. Dia bukanlah seorang yang pengecut.

Aku menatap lagi telefon bimbit yang sudah kuletak kembali di atas meja ini. Tiada mesej yang masuk buat masa ini. Mungkin sudah ada keinsafan dirinya setelah menerima permohonanku tadi. Sesungguhnya, itulah yang aku harapkan sangat. Kalaulah si pengirim misteri ini sekadar mahu bersahabat denganku sepatutnya dia berterus terang saja. Aku pasti akan mempertimbangkannya. Sekarang tindakannya menghantar mesej – mesej romantik ini telah mengganggu ketenangan hidupku. Letih rasanya aku mengarah otak ini berfikir untuk menjejaki siapakah gerangan yang harus dijadikan suspek.

“Antara kamu semua nie, ada sapa – sapa yang hantar mesej misteri kat aku? Mana tahu kamu sengaja nak mengusik aku” tekaku sambil menatap wajah Zatul, Umie dan Fatin silih berganti.

“Mesej misteri?” soal Zatul dengan dahi berkerut. Umie dan Fatin juga sedang memandangku dengan wajah kehairanan. Aku mengangguk.

“Cuba awak cerita lebih detail lagi” pinta Umie disokong anggukan kepala Fatin dan Zatul. Aku menghela nafas panjang. Lalu kuceritakan segala – galanya tentang kunjungan misteri itu. Zatul, Umie dan Fatin terlopong mendengarkannya. Terbukti mesej – mesej misteri itu bukan angkara mereka.

“Memang sah ler awak ada secret admire sekarang” putus Zatul begitu yakin. Disokong pula oleh anggukan kepala Fatin dan Umie. Aku ada peminat misteri? Siapakah gerangannya? Oh.... bingung aku memikirkannya! Aku tidak suka dengan keadaan ini.

“Kau bagi nombor telefon tu kat aku. Nanti aku call orang tu dan pura – pura salah nombor” cadang Zatul. Fatin dan Umie menangguk menyokong cadangan Zatul itu. Bernas juga cadangan Zatul ini. Tanpa banyak soal aku terus saja bersetuju. Balik dari sekolah nanti aku akan terus menghantar sebaris nombor itu pada telefon Zatul. Biar Zatul menolongku melakukan penyiasatan. Mungkin cara ini lebih berkesan. Mana tahu si misteri itu terlupa dan tidak berwaspada kali ini. Harap – harap pemilik nombor misteri ini akan tersilap langkah.

“Sampai rumah nanti aku send nombor tu kat telefon kau. Lepas tu cepat – cepat bertindak dan beritahu aku siapa gerangannya” pintaku. 

“Jangan lupa beritahu kami juga” ujar Umie. Fatin mengangguk menyokong permintaan Umie itu. Zatul juga mengangguk berjanji.

Setibanya di rumah aku terus saja menghantar sebaris nombor misteri itu kepada Zatul. Beberapa minit kemudian aku menanti respons daripada Zatul. Sepanjang menanti perkhabaran daripada Zatul, telefon bimbit ini tidak berenggang dariku. Anak mataku tidak pernah menjauhi daripada memandang telefonku yang terletak di atas meja di depanku ini. Tidak sabar aku hendak mengetahui perkembangan rancangan Zatul. Tatkala mendengar bunyi deringan, laju saja tanganku mencapainya. Tertera nama Zatul pada dada skrin telefon. Debaran mula terasa. Aku melepaskan keluhan beratku.

“Assalamualaikum, macam mana?” soalku tidak sabar – sabar untuk mengetahui kesudahan rancangan Zatul. Kedengaran keluhan Zatul. Aku sudah dapat mengagak rancangan Zatul menemui kegagalan.

“Nombor tu tak dapat dihubungi” jelas Zatul. Aku mengeluh hampa. Betulkah dia berada di luar kawasan? Ataupun sengaja mematikan nombor itu buat sementara waktu. Kalau si misteri itu berniat untuk mematikan saja nombor itu untuk selama – lamanya, aku bersyukur banyak – banyak. Aku ingin sangat melepaskan diri daripada gangguan mesej – mesej misteri yang romantik dan jiwang – jiwang itu.

“Tak pe ler. Mungkin dia sengaja buat macam tu” luahku kecewa.

“Aku akan terus cuba call nombor tu” janji Zatul.

“Terima kasih, Zatul” ujarku menghargai pertolongannya itu. Perbualan singkatku dengan Zarul berakhir begitu saja. Aku meneruskan rutin hidupku. Habis solat dan makan tengah hari, aku mengangkat pakaian di jemuran. Hari ini panas terik cepat sangat pakaian – pakaian ini kering. Berehat dalam 20 minit. Kemudian aku terus saja mandi untuk menyegarkan diri. Tepat pukul 03.00 petang, aku keluar rumah mula mengayuh basikalku ke Lembah Tinti premis milik Kak Anie. Bertegur sapa seketika dengan Kak Anie. Kemudian aku terus saja bergerak ke bilik bahagian penyimpanan bahan cetak. Riena menantiku di situ dengan majalah – majalah yang perlu aku hantar hari ini. Ada dua ikatan yang semuanya mengandungi 20 naskhah. Berpadanan dengan muatan bakul basikalku. Setelah mengambil resit dan beberapa dokumen, aku terus memulakan kerja penghantaranku. Lokasi pertamaku, Plaza Muhibbah. Perlu menghantar majalah – majalah ini ke beberapa lot kedai di sana. Kuletakkan basikalku di tempat biasa lalu menguncinya.
                        
 “ Good afternoon Tauke Chan” sapaku kepada lelaki Cina setengah usia yang sedang bersantai – santai itu. Kedatanganku disambut dengan senyuman mesranya. 

                        “Oo....Amoi dah datang ya”Aku mengangguk dan tersenyum. Kuletakkan lima naskhah majalah akademik di kaunter di depan Tauke Chan lalu mengeluarkan fail meminta dia menurunkan tandatangan pada rekod penghantaran.  

“Macam mana bisnes hari nie Tauke Chan?” soalku mengajaknya berbicara. Tauke Chan mengeluh sambil geleng – geleng kepala.

“Hali nie... aa... manyak sunyi lah.... Budak – budak aa.. lebih suka pegi Cyber Cafe dari beli bahan bacaan lah.... Oh....manyak susah lah...” keluh Tauke Chan dengan loghat Cinanya. Aku tersenyum sendiri.

“Nanti Tauke Chan buat ler promosi potongan harga hebat, sure ramai yang datang beli buku kat sini nanti” pujukku cuba melenyapkan kegusarannya itu.

“Oh, tu lagi manyak susah. Halga bahan bacaan sekalang manyak mahal" sahut Tauke Chan dengan susahnya yang berpanjangan. Aku hanya tersenyum. Cukup mengerti dengan situasi sekarang. Memang semua harga barang naik. Sebagai peniaga yang bertanggungjawab tidak boleh mengenakan harga yang tinggi sebaliknya mesti harga yang berpatutan demi menjaga kebajikan pengguna. 

“Okey ler, Tauke Chan, saya pergi dulu ler” ujarku meminta diri. Tauke Chan mengangguk seraya melambaikan tangan kepadaku. Aku beredar meninggalkan lot kedai Tauke Chan meneruskan kerja – kerja penghantaran yang harus aku selesaikan.

 Hampir – hampir ke pukul 05.00 petang, kerja – kerja penghantaran pun selesai. Aku duduk bersantai di bangku lingkaran bulatan daripada batu bata ini. Berehat seketika cuba menghilangkan keletihan sambil memerhatikan gelagat orang yang lalu lalang di depanku ini. Ada yang berjalan penuh santai. Ada juga yang nampak terkocoh – kocoh bagai sedang bersaing dengan waktu. Sekumpulan remaja yang sedang melewatiku ini pula nampak begitu riang dan rancak berbual – bual. Langsung tidak mempedulikan sekeliling mereka. Sempat juga pandangan mataku menatap pasangan suami isteri yang romantik sedang berpegangan tangan. Pasti mereka merupakan pasangan pengantin baru. Buktinya inai di jari mereka masih merah menyala. Belum lagi kerenah anak – anak kecil. Banyak sangat ragam manusia yang boleh kutonton di sini. 

“Dania....!” namaku dipanggil. Laju saja aku berpaling ke arah suara itu. Tersentak aku menatap seraut wajah perempuan yang sedang tersenyum mesra menatapku. Lantas aku bangkit dari dudukku lalu mendapatkan Nek Jah yang berdiri tidak jauh dariku. Aku menyalami tangan Nek Jah. Tersentak lagi tatkala Nek Jah memeluk tubuhku. Erat sekali.

“Lama dah tak jumpa Dania. Berita tentang Dania pun tak dengar –
 dengar lagi dari mulut Daniel” rungut Nek Jah buat aku terkedu. Bagaimana Daniel hendak mengetahui perkembangan diriku sedangkan aku dan dirinya sudah berjauhan membawa haluan sendiri. Tiada aktiviti yang kami kongsi lagi. Masing – masing dengan kehidupan sendiri.

“Kamu berdua bergaduh ke?” soal Nek Jah menyentakkanku. Kelu lidahku untuk menjawab pertanya Nek Jah itu. Risau kalau jawapan yang kuberikan bertentangan dengan penjelasan yang keluar dari mulut Daniel. Mungkin juga persoalan ini lebih dahulu diajukan kepada pemuda itu. Aku hanya mampu mengukir senyuman kepada Nek Jah.

“Jom pergi rumah Nek Jah. Hari tu Dania dah janji dengan Nek Jah nak pergi kan” ujar Nek Jah mengungkit perkara lepas. Di sini jugalah aku dipertemukan dengan Nek Jah. Kemudian kami saling berkenalan. Aku menolong Nek Jah mengangkat barang – barang yang dibelinya. Pada masa itu Nek Jah mengajak aku datang ke rumahnya. Namun kutolak pelawaannya itu dengan janji akan datang ke situ pada suatu hari nanti. Tika itu aku bermusuhan dengan Daniel. Namun janjiku itu sudah aku tunaikan. Aku bertandang ke banglo milik Nek Jah bersama Daniel. Daniellah yang membawaku ke situ yang kononnya ada seseorang ingin bertemu denganku. Tidak sangka pula orang itu ialah Nek Jah. Kesimpulannya, Daniel ialah cucu kesayangan Nek Jah.

Aku memikirkan pelawaan Nek Jah ini. Perlukah aku menerima pelawaan ini sedangkan hubungan persahabatanku dengan Daniel sudah berakhir. Risau pula kedatanganku nanti akan mempertemukan aku dengan Daniel. Pasti aku dan Daniel tidak akan selesa dengan situasi itu. Sudah semestinya juga kunjunganku itu tidak dialu – alukan oleh Daniel. Apa kata kalau Daniel menghalauku pergi? Oh, pasti memalukan sangat! Tidak sanggup aku hendak membayangkannya.

“Pak Shuib, tolong angkat basikal Dania kat belakang. Kejap lagi dia ikut kita” kedengaran suara Nek Jah baru saja mengeluarkan arahan kepada pemandunya itu.

“Baik Datin....” lelaki yang bernama Pak Shuib itu sudah mengangkat basikalku lalu meletakkan di dalam bonet kereta mewah ini. Aku hanya tergamam memerhatikannya. Nek Jah sudah bertindak sebelum aku sempat memberikan jawapannya. Mungkin dia ingat diamku itu bermakna setuju.

“Mari Dania” Nek Jah sudah menarik tanganku masuk ke dalam kereta. Sungguh aku tiada pilihan selain rela dalam paksa menerima pelawaan Nek Jah ini. Kalau ikutkan hati memang aku tidak mahu pergi ke banglo itu. Khuatir akan bertemu dengan Daniel. Namun memikirkan pelawaan ini daripada Nek Jah rasa tidak sampai hati pula untukku menolaknya. Sesuatu yang bukan mudah untukku membuat pilihan sekarang. Aku menerima pelawaan ini bermakna kebarangkalian untuk aku bertemu Daniel adalah tinggi. Andai aku menolak pelawaan ini pula bererti aku bakal mengguris perasaan Nek Jah. Oh, diriku saat ini ibarat ditelan mati mak, diluah mati bapak. Betul – betul buat aku serba salah. Namun yang pasti aku sedang memenuhi pelawaan Nek Jah.

“Apa khabar Daniel sekarang Nek Jah? Dia dah sihat ke?” soalku cuba memecahkan kesepian ini. Terasa janggal kalau aku terus dalam situasi begini.

“Dania tak jumpa Daniel kat sekolah ke?” soal Nek Jah hairan.

“Ada nampak dia tapi dah lama kami tak berbual – bual” jelasku. Pengakuan gadis ini bukan sesuatu yang mengejutkannya. Dia memang sudah mengetahui kedinginan yang melanda dalam hubungan Dania dengan Daniel.
Justeru, dia berusaha untuk turut sama mensirnakan kekeruhan itu.

“Maaf, saya nak call ayah saya kejap. Risau dia cari saya” ujarku sebaik saja teringat bahawa aku belum memaklumkan perkara ini pada ayah. Nek Jah mengangguk dan tersenyum. Sejuk hatinya melihat tingkahlaku gadis ini. Seorang anak yang baik dan taat pada ayahnya. Walau di mana dia berada Dania tetap mengingati ayahnya. Hati Nek Jah sudah terpaut pada tingkahlaku Dania. Dia dapat merasakan bahawa Dania adalah pilihan terbaik untuk Daniel. Aku berbual – bual seketika bersama ayah dan memaklumkan tentang kedudukanku sekarang. Tiada sebarang halangan dan bantahan daripada ayah. Seperti selalu dia hanya mengingatkan aku agar menjaga tingkahlaku dan keselamatan diri.

“Lain kali ajak sekali ayah Dania datang. Beritahu Nek Jah jemput” ujar Nek Jah sebaik saja aku menamatkan perbualku dengan ayah. Aku hanya mengangguk. Masa yang ada sepanjang perjalanan ini, Nek Jah gunakan untuk berborak – borak denganku. Sesekali Nek Jah bercerita tentang pengalaman hidupnya. Sudah pasti aku begitu seronok mendengarkannya. Dalam kerancakan perbualanku dengan Nek Jah, kedengaran bunyi mesej di telefonku.

“Maaf, nak tengok mesej kejap” ujarku seraya menekan punat paparan mesej yang dihantar. Reaksi wajahku terus berubah. Mesej berbunga – bunga daripada nombor misteri itu muncul kembali.

~I do not  think  much,
 I do not  think  often,
But  when   I  think,
I  think  of   you ! ~

“Kenapa Dania?” soal Nek Jah. Barangkali dia menyedari perubahan air mukaku ini. Aku cuba senyum biarpun hakikatnya hatiku gundah sekarang.

“Orang tersalah hantar mesej” sahutku tidak mahu memanjangkan persoalan Nek Jah. Memang aku mengharapkan orang ini tersilap hantar mesej ini.

“Teruk ke mesej tu sampai muka Dania terus muram je” komen Nek Jah mengerti. Memang aku bermuram setiap kali menerima mesej ini malah aku tidak pernah mengharapkannya. Aku benar – benar tidak suka dengan kedatangan mesej ini. Mesej yang telah menggugat ketenteraman hidupku.

“Orang nie hantar mesej tak berhati – hati. Tengok ler sekarangkan menyusahkan orang” omelku geram. Nek Jah tersenyum.

“Orang tukan salah hantar. Tak payah ler pedulikan mesej tu” ujar Nek Jah seakan memujukku.

“Rasanya kan Nek Jah orang yang hantar mesej nie omputeh giler ler” rungutku bengang. Nek Jah terus saja tertawa.

“Kenapa pula Dania cakap macam tu?” soal Nek Jah mahu berkongsi cerita denganku. Aku mengeluh.

“Nombor nie selalu saja hantar mesej Inggeris yang jiwang – jiwang. Saya geli ler macam nie. Tak suka betul!” tegasku tidak mahu berselindung. Nek Jah tertawa lagi. Barangkali reaksi wajah yang kutunjukkan ini mencuit hatinya. Entah ler siapa pula yang biol hantar mesej orang puteh ini. Mentang – mentanglah tahap penguasaan bahasa Inggerisku teruk sesuka hati dia hendak kenakan aku.

“Orang tu nampaknya suka dengan Danie ler tu” usik Nek Jah. Aku tarik muka masam. Bicara Nek Jah tidak menggembirakanku.

“Masa nie saya tak nak fikirkan perkara lain. Saya nak belajar bersungguh – sungguh sehingga saya berjaya. Saya nak balas jasa ayah saya. Saya nak bahagiakan dia. Lagipun saya tak suka orang yang pengecut macam nie” ujarku serius. Nek Jah tersenyum lagi. Pandangannya penuh kasih sayang menatapku.

 “Jadi Dania suka ler orang yang berterus terang macam Daniel?” soal Nek Jah. Aku terdiam. Persoalan Nek Jah kembali bermain di fikiranku. Daniel pernah berterus terang meluahkan perasaannya kepadaku. Namun aku menolaknya. Kini aku rasa terperangkap dengan bicaraku sendiri. Kupandang wajah Nek Jah yang sentiasa dihiasi dengan senyuman mekar di bibirnya. Kejelitaan wajahnya sentiasa terserlah biarpun sudah dimamah usia. Betapa Daniel berbangga memiliki nenek persis Nek Jah. Perempuan jelita yang kaya budi bahasa dan kasih sayang.

“Daniel kan dah ada kekasih” ujarku memaklumkan Nek Jah.

“Siapa?” soal Nek Jah dengan dahi berkerut.

“Sara Farahida kawan sekelasnya” jawabku begitu yakin. Nek Jah tertawa.

“Sara tu sepupu Daniel sebelah keluarga menantu Nek Jah” ujar Nek Jah memperbetulkan tanggapanku. Bererti Sara ialah anak saudara ibu Daniel.

“Tapi Nek Jah, sepupu kan boleh berkahwin. Tak salah pun kalau bercinta” tingkahku. Nek Jah masih dengan senyumannya.

“Macam mana pula Dania boleh kata mereka bercinta? Daniel ada cakap kat Dania ke?” soal Nek Jah bertalu – talu. Aku diam seketika.

“Tapi Sara pernah kata pada saya yang Daniel tu buah hati dia” ujarku.

“Daniel ada kata apa – apa tentang Sara pada Dania?” Nek Jah mengulangi lagi persoalan itu.

“Sara memang suka pada Daniel, tapi Nek Jah rasa Daniel anggap Sara tu macam adik sendiri je. Tak lebih dari tu. Nek Jah tahu siapa sebenarnya yang Daniel suka” jelas Nek Jah. Aku diam. Tidak ingin aku tahu gerangan gadis yang disukai oleh Daniel. Setahuku Daniel terlalu ramai peminat. Mungkin salah seorang daripada kalangan peminatnya itu adalah buah hati Daniel. Nek Jah pasti tahu semua itu memandangkan Daniel dan Nek Jah terlalu rapat bagaikan si ibu dengan si anak.

“Dania tak ingin nak tahu ke siapa gadis yang Daniel suka tu?” soal Nek Jah. Laju aku geleng kepala. Aku tidak mahu mencampuri urusan peribadi Daniel. Siapa yang Daniel suka terpulanglah kepada dirinya. Aku hanya ingin mendoakan semoga hubungan itu membahagiakan Daniel dan kekasihnya itu.

“Daniel suka pada gadis yang tak de hati kat dia” ujar Nek Jah tanpa kupinta. Senyap. Nek Jah menatapku.

“Kasihan Daniel kan....” keluh Nek Jah lalu melontar pandangan jauh keluar. Pasti hati Nek Jah terusik tika ini. Aku tahu Nek Jah mengharapkan kebahagiaan untuk Daniel. Akhirnya aku dan Nek Jah sama – sama berdiam diri melayan perasaan sendiri.

Tatkala kakiku memijak halaman banglo mewah Nek Jah, sekali lagi kedengaran bunyi mesej ditelefonku. Aku memaparkan mesej tersebut.

~You  are  the  best  thing  that  ever  happened  to  me ~

Kali ini keluhanku lebih berat lagi sebaik saja membaca mesej yang tidak aku alu – alukan kunjungannya ini. Buntu aku memikirkannya. Mungkin langkah terakhir yang harus aku lakukan adalah menamatkan saja perkhidmatan nombor ini agar aku tidak terus - terusan dijejaki oleh si misteri ini lagi. Mungkin juga........!      

Aku membantu Nek Jah dan Pak Shuib mengangkat – angkat barang – barang dapur yang dibeli. Di dapur ini, aku berkenalan dengan isteri Pak Shuib, Mak Maimun namanya. Orangnya ramah dan murah dengan senyuman. Aku dan Mak Maimun sempat bertegur sapa. Perkenalan singkat ini membuahkan kemesraan antara aku dengan Mak Maimun.

“Daniel mana Mak Mun?” soal Nek Jah. Aku memasang telinga tumpang mendengar perbualan Nek Jah dengan Mak Maimun.

“Dia dah keluar tapi belum balik lagi”sahut Mak Maimun. Aku menarik nafas lega mendengar penjelasan Mak Maimun itu. Lega sangat Daniel tidak berada di sini sekarang.

“Mak Mun dah siap masak untuk makan malam nanti?” soal Nek Jah kepada pembantu rumahnya ini. Mak Maimun mengangguk. Tangkas betul dia melangsaikan kerja – kerjanya.

“Bahan – bahan yang Datin suruh tu pun dah saya siapkan” tutur Mak Maimun lagi.

“Nek Jah masak ayam merah ke? Ayam masak merah Nek Jah sedap” pujiku mencelah perbualan Nek Jah dan Mak Maimun. Nek Jah tersenyum bangga.

“Kalau Dania nak tahu semua yang Datin masak sedap – sedap. Bukan saja ayam masak merah” ujar Mak Maimun turut memuji. Aku tersenyum dan mengangguk mengerti. Memang aku percaya sangat dengan kebolehan Nek Jah. Pertama kali aku datang ke sini bersama Daniel, Nek Jah telah menghidangkan ayam masak merah, kerang sos tiram dan daging masak kicap. Memang sedap sangat.

“Mari Dania kita berbual – bual di dalam” ajak Nek Jah seraya menarik tanganku membawa pergi. Beberapa minit kemudian, Mak Maimun muncul menatang jus oren bersama kuih donut yang masih panas – panas dan nampak menyelerakan. Aku dan Nek Jah bersama - sama menikmatinya.

“Nanti kita solat Maghrib sama – sama. Kalau Dania nak mandi ada tuala dan baju tidur Nek Jah yang Dania boleh pakai” ujar Nek Jah. Aku baru saja berhajat memohon diri sebaik saja usai minum petang ini.

“Kejap lagi Nek Jah akan masak ayam merah untuk Dania. Dania mesti makan malam kat sini tau. Jangan lupa beritahu ayah Dania yang Dania balik lewat hari nie” ujar Nek Jah memperingatkan aku. Aku diam.

“Jangan risau tak ler lewat sangat pun. Habis makan malam Pak Shuib hantar ler Dania balik nanti” ujar Nek Jah faham isi hatiku. Aku mengangguk. Tidak sampai hati hendak menghampakan permintaan Nek Jah. Usai minum petang, Nek Jah bergerak ke dapur. Aku memohon keizinan untuk menyertainya dengan alasan aku ingin belajar resepi ayam masak merah daripadanya. Nek Jah dengan senang hati mempelawaku menyertainya. Seusai aku menelefon ayah untuk memaklumkan tentang kelewatanku hari ini, aku terus saja melangkah ke dapur untuk bersama – sama Nek Jah dan Mak Maimun. Aku belajar cara memasak ayam merah mengikut resepi Nek Jah. Ringkas, mudah tapi enak.

Usai solat Maghrib berjemaah, aku, Nek Jah serta Pak Shuib dan Mak Maimun bergerak ke meja makan. Aku dan Nek Jah menanti di meja makan sementara Pak Shuib dan Mak Maimun siap menghidang menu malam yang telah disediakan. Tidak lama kemudian, pasangan suami isteri itu pun menyertai aku dan Nek Jah menikmati hidangan makan malam. Sedang berselera menikmati hidangan ini kedengaran bunyi deruan kereta memasuki halaman rumah. Mungkin Daniel baru saja sampai. Hatiku tiba – tiba saja rasa berdebar - debar.

“Hah, kamu baru balik, Daniel! Dah lama Dania ada kat rumah nie” ujar Nek Jah. Daniel melontar pandangan ke arahku. Seketika aku dan Daniel berpandangan.

“Mari makan” pelawa Nek Jah. Mak Maimun sudah meletakkan nasi ke dalam pinggan untuk Daniel. Lantas Daniel melabuhkan punggungnya di sebelah Pak Shuib bertentangan denganku. Sepanjang berlangsung makan malam ini aku dan Daniel hanya menjadi pendengar setia pada bicara Nek Jah dan sesekali dicelah oleh suara Pak Shuib dan Mak Maimun. Kusedari sesekali Daniel membuang pandang ke arahku. Bahkan usai saja dia menghabiskan nasi dan lauk pauk di pinggannya, dia bersandar lantas mula melontar pandangan ke arahku. Pandangan sepasang anak matanya itu seakan menembusi jasadku. Aku pula tidak tenang diperhatikan sedemikian. Ingin saja aku mengalih pandangan Daniel itu dari terus merenungku. Keadaan ini berlanjutan lama.

“Biar Mak Mun saja yang kemas pinggan mangkuk nie” ujar Nek Jah menegahku sebaik saja melihat aku mengangkat pinggan kosong ke sinki. Daniel dan Pak Shuib sudah berlalu ke ruang tamu.

  “Yeler Dania. Sekarang Dania siap – siap ler nanti terlewat pula” sokong Mak Maimun. Aku patuh saja pada bicara mereka. Lantas aku bergerak ke ruang tamu. Kelihatan Pak Shuib saja yang berada di situ. Aku melabuhkan punggungku di sofa sementara menanti kemunculan Nek Jah dari dapur. Sebelum melangkah pergi aku ingin mengucapkan penghargaan atas layanan baiknya ini. Seketika aku berbual – bual dengan Pak Shuib. Beberapa minit kemudian, Nek Jah muncul bersama beberapa buah bekas ditangannya lalu meletakkan bekas itu di atas meja.

“Bawa makanan nie nanti untuk ayah Dania. Harap – harap dia belum
makan lagi” ujar Nek Jah berharap. Aku mengangguk.

“Terima kasih, Nek Jah” tuturku. Senyap.

“Kalau macam tu saya balik ler dulu, Nek Jah” ujarku minta diri lalu bangkit dari dudukku. Nek Jah turut bangun.

“Pak Shuib hantar Dania balik” ujar Nek Jah sambil menunding jari pada bekas di atas meja. Aku terus saja mencapainya lalu bergerak ke muka pintu diiringi oleh Nek Jah. Pak Shuib sudah menantiku di halaman.

“Saya balik dulu Nek Jah. Terima kasih atas makan malam tadi” tuturku sambil menyalami tangan Nek Jah. Tubuhku dipeluk oleh Nek Jah sekali lagi. Kemudian aku terus melangkah ke arah Pak Shuib.

“Pak Shuib, biar saya yang hantar Nia” suara Daniel sedikit melaung. Aku berpaling. Daniel sedang bergerak ke arahku lalu melewatiku. Pak Shuib terus saja mematikan niatnya untuk menghantarku. Sebaliknya Daniel sudah mencapai basikalku memindahkannya ke dalam bonet keretanya. Nek Jah dan Pak Shuib masih berada di halaman jadi pemerhati. Aku terpaksa bersetuju untuk dihantar oleh Daniel. Ketika kereta ini mula beredar meninggalkan perkarangan bango mewah ini, aku membalas lambaian tangan Nek Jah. 10 minit perjalanan, aku dan Daniel masih berdiam diri. Ini kali pertama aku bersama dengannya setelah kami tidak semesra dahulu lagi. Sedikit rasa janggal. Tiba – tiba saja hujan turun mencurah – curah. Sedikit mengganggu kelancaran pemanduan Daniel. Aku terus saja teringat pada basikalku yang berada di dalam bonet kereta sport Daniel ini. Bonet itu sedikit terkuak sekarang. 

“Bonet kereta awak..........” suaraku memecah kesepian.

“Biar saja” balas Daniel tidak peduli dengan hujan lebat yang melanda sekarang. Aku jadi tidak sedap hati. Senyap kembali. Aku dan Daniel sudah tidak boleh berbicara panjang lagi. 

“Awak gembira dengan kehidupan awak sekarang?” suara Daniel kedengaran. Sedikit mengejutkan aku pertanyaannya itu.

“Alhamdulillah..... segalanya berjalan dengan baik” jawabku walaupun aku rasa terganggu dengan kedatangan mesej – mesej misteri itu.

“Bagus ler.....” sahut Daniel dengan seriusnya. Nampak tidak ikhlas dia menuturkan bicaranya itu. Kereta memasuki perkarangan rumah ayah. Mujur juga pintu pagar sedang ternganga luas sekarang. Mungkin ayah sengaja membiarkannya. Jadi tidak perlulah aku mahupun Daniel keluar untuk membukanya. Namun memandangkan garaj rumah ini hanya muat sebuah kereta dan kebetulan teksi ayah berada di situ sekarang, Daniel meletakkan keretanya di luar saja. Pasti aku akan basah sekejap lagi lantaran aku turun di kawasan yang tidak berbumbung.

“Awak tunggu sini kejap” arah Daniel lantas keluar. Tampak Daniel berlari – lari mengangkat basikalku ke garaj. Baju Daniel sudah basah kuyup. Simpati aku melihat keadaannya itu. Kemudian Daniel berlari semula ke arahku lalu membuka payung ditangannya. Daun pintu kutolak. Kini aku sudah sepayung dengan Daniel. Betapa aku dekat dengan dirinya. Aku melangkah setapak ke belakang, namun pantas saja Daniel menarik tubuhku dari terkena simbahan titisan hujan. Dia terus saja memaut bahu sambil mengajakku memulakan langkah. Aku menurut saja langkah Daniel.

“Terima kasih” ujarku sambil mengibas – ngibas bajuku yang sedikit basah terkena air hujan tadi. Kupandang Daniel yang sudah basah kuyup disimbah air hujan.

“Awak nak masuk dalam tukar baju? Atau awak nak tuala? Saya boleh pinjamkan” ujarku. Kiranya aku boleh pinjamkan baju ayah pada Daniel. Melihat keadaan Daniel yang basah kuyup sekarang timbul pula rasa simpatiku. Pasti dia kedinginan sekarang. Nampak bibir Daniel terketar – ketar. Risau juga kalau selepas ini Daniel diserang demam selsema. Pasti aku rasa bersalah sebab Daniel berhujan kerana aku.

“Tak pe. Saya balik dulu” ujar Daniel dengan lagak dinginnya sedingin cuaca tika ini. Daniel terus meninggalkan aku yang masih terpacak melihat dia pergi. Sekelip mata saja kelibat Daneil hilang dari pandangan mataku. Ya Allah, Engkau lindungilah Daniel. Semoga dia selamat sampai ke rumah. Ketika aku melangkah masuk ke dalam rumah, kedengaran bunyi mesej yang dihantar pada telefon bimbitku. Adakah mesej misteri itu lagi? Aku mengeluh mengingati semua itu. Lantas kukeluarkan telefonku lalu memaparkan mesej yang baru saja kuterima itu. Nama Daniel yang terpapar.

~ Hidup saya tak segembira awak! ~

Ringkas saja mesej yang dihantarnya ini. Namun sarat dengan makna yang tersirat. Kubiarkan saja mesej itu tidak berbalas. Sesungguhnya, aku tidak tahu apa yang harus aku perkatakan kepada Daniel. Rasanya diam itu lebih baik daripada berkata – kata yang tidak bermakna. Semoga kehidupan Daniel kembali ceria.

1 comment: