“Tahniah, Nia. Kamu memang tak pernah menghampakan saya” tutur Cikgu Elvart Hee seraya menghulurkan tangannya kepadaku.
Tatkala tanganku bertaut dengan tangan Cikgu Elvart Hee, dadaku berdegup kencang. Serasa dadaku mahu pecah. Lembut sentuhannya cukup menggetarkan jiwaku. Terasa wajahku panas membahang. Aku diserang sakit angau lagi.
“Awak tak sihat? Muka awak merah” teguran Cikgu Elvart Hee cukup menyentakkanku.
Alamak, teruknya aku! Malunya aku kalau Cikgu Elvart Hee dapat tahu punca perubahan wajahku ini. Tidak sanggup aku berhadapan dengannya lagi andai dia dapat mengesan apa yang bergolak dalam diriku tika ini.
“Deliya!”
Serentak aku dan Cikgu Elvart Hee berpaling. Dennis Lee berlari anak ke arahku. Ya Allah, syukur.... syukur, mamat Tionghoa ini datang tepat pada masanya. Dialah penyelamatku. Terima kasih Dennis Lee.
“Good afternoon teacher” sapanya kepada Cikgu Elvart Hee.
Mereka bertukar senyuman. Dennis Lee menatap wajahku. Bagaikan ada kuasa magik yang dimilikinya membuatkan dia dapat membaca reaksi tersirat di sebalik wajahku tika ini. Agaknya tempoh panjang persahabatan kami membuatkan begitu mudah saja dia memahami dan mengenal pasti ekspresi wajahku. Dennis Lee cukup mengenaliku.
“Lama aku tunggu awak kat kafe. Kata nak minta belanja makan” suaranya memecah kesepian.
Aku tercengang – cengang dan kematian akal mendengar bicaranya itu. Bila masa pula aku berjanji dengan dia? Betulkah dia bermurah hati mahu mendermakan duitnya untuk belanja aku makan? Aku memutar ingatanku ke belakang, mengingati kembali jika benar ada perjanjian termeterai antara kami. Kabur. Seingat aku langsung tiada perjanjian antaraku dengan Dennis Lee. Keliru! Keliru! Cikgu Elvart Hee tersenyum.
“Kami pergi dulu cikgu. Jom....”
Cikgu Elvart Hee mengangguk. Pantas saja tangannya menarik tanganku melangkah meninggalkan Cikgu Elvart Hee buah hatiku. Aku segera menarik tanganku bila menyedari yang Cikgu Elvart Hee sedang memerhatikan kami. Aku tidak mahu hubunganku dengan Dennis Lee disalahertikan olehnya. Sungguh aku tidak tega.
“Lepas ler tangan aku” pintaku seraya menariknya dari pautan tangan Dennis Lee. Nampak terkebil – kebil dia dengan tindakan drastikku ini.
“Nia jangan lupa petang esok tunggu saya kat Sentosa Mall. Ajak sekali Dodie dan Ryan. Three o’clock okey” ujar Cikgu Elvart Hee separuh melaung sambil menunjukkan tiga jari kepadaku.
Wah, Cikgu Elvart Hee buat temujanji dengan aku! Alangkah lebih menyeronokkan andai Dodie dan Ryan tidak dapat pergi sama esok. Mesti temujanji itu lebih nampak bagai temujanji sepasang kekasih. Aku tersenyum sendiri lagi. Pup! Aku tersentak lalu telapak tanganku mengusap – usap kepalaku.
“Suka sangat berangan. Jom pergi kafe”
Aku mengekori langkah Dennis Lee yang setapak berada di depanku. Semangkuk bihun sup special kegemaranku sudah berada di hadapanku bersama segelas ais lemon tea. Begitu juga dengan Dennis Lee. Kami berkongsi menu kegemaran yang sama.
“Kenapa Cikgu Elvart Hee nak jumpa kamu kat Sentosa Mall?” soal Dennis Lee sekaligus mengajak aku kembali melontar ingatan kepada cikgu pujaan hatiku itu. Sebetulnya aku tidak pernah melupakan seraut wajah guru kesayanganku itu.
“Nak dating dengan aku he... he... he...” tuturku bergurau.
Dennis Lee mencebikkan bibirnya.
“Aku tahu kau jealous dengan cikgu tu” usikku lagi.
“Kalau dah tahu aku jealous kenapa buat juga” balasnya.
Aku tertawa. Dia memang iri hati dengan kami kerana Cikgu Elvart Hee berjanji akan belanja kami makan petang esok sebagai ganjaran atas usaha keras kami menjuarai pertandingan kuiz Sejarah dua hari yang lepas.
“Tak pe nanti aku tapau untuk kau” pujukku mengusik.
Dennis Lee sudah leka menikmati bihun sup di depannya. Begitu menyelerakan. Aku pun tidak mahu ketinggalan turut serta menikmatinya.
“Terima kasih kerana belanja aku makan bihun sup dan minum ais lemon tea ni. Terima kasih juga kerana menyelamatkan aku tadi” tuturku selengkapnya.
“Menyelamatkan awak?”
Dennis Lee tampak hairan dengan bicaraku. Lambat sangat dia hendak menangkap maksud yang hendak aku sampaikan.
“Kan kau yang menyelamatkan aku dari dapat malu besar di depan Cikgu Elvart Hee tadi. Tak dapat aku bayangkan kalau Cikgu Elvart Hee dapat tahu tentang perubahan wajahku tadi” ceritaku menjelaskan bicaraku yang tidak difahaminya itu.
Dennis Lee kembali menyudu sisa - sisa bihun yang tertinggal di mangkuk di hadapannya. Senyap. Langsung dia tidak teruja dengan ucapan terima kasihku itu. Tiba – tiba aku kembali teringat telapak tanganku yang disentuh oleh Cikgu Elvart Hee tadi. Perlahan – lahan kudekatkan ke bibir dan hidungku. Mencium wangian sentuhan jejaka idaman dambaan hatiku. Dennis Lee yang asyik memerhatikan gelagatku, terus saja ketawa berdekah – dekah memeranjatkan aku sekaligus mengundang kemusykilanku. Sungguh pelik perangainya.
“Kau gila ke tiba – tiba je ketawa” tegurku.
Sisa – sisa ketawanya masih kedengaran. Wajahnya berseri – seri.
“Awak cium telapak tangan tu. Bagus .... bagus”
“Mesti ler. Kan tadi Cikgu Elvart Hee yang pegang.........” bicaraku tergantung sebelum sampai ke penghujungnya.
Bulat anak mataku menatap Dennis Lee yang masih tersenyum lebar.
“Kau.....”
Sentuhan salam Cikgu Elvart Hee tadi telah dicemari oleh tangan Dennis Lee. Bermakna aku sedang mencium sentuhan mamat di depanku ini. Patutlah girang memanjang. Rupa – rupanya dia sudah berjaya mengenakan aku. Bedebah punya mamat Tionghoa Minaci seekor ini!
“Sebelum pergi sekolah tadi, aku ada uli belacan. Cuba awak hidu betul – betul telapak tangan awak tu, mesti ada bau semerbak wangi belacan kat
situ ha... ha..”
“Dennis Lee............”
Geramnya aku dengan dia! Aku tidak mahu mencium lagi telapak tanganku seperti tadi. Khuatir bicara Dennis Lee ada kebenarannya. Kalau ikutkan hati ringan saja rasanya kakikku ini hendak melibas – libas budak seekor ini. Nasib tika ini kami berada di khalayak umum. Aduh, sadisnya! Kenangan terindahku bersama Cikgu Elvart Hee telah dicemari oleh insan yang bernama Dennis Lee ini.
No comments:
Post a Comment