Aku mengemas meja sambil pandangan mata memerhatikan jam
di dinding. Tinggal beberapa minit sahaja lagi tamat waktu bekerja hari ini.
Idlan sudah bersiap-sedia menunggu kedatanganku menjemputnya. Baru sebentar
tadi dia menelefonku. Bimbang aku terlupa tentang agenda kami hari ini. Kasihan
Idlan. Tidak sabar-sabar dia hendak bertemu dengan Datin Sofea. Pukul 05.05
petang. Aku bergegas meninggalkan bilik ini. Setibanya di kawasan perumahan
elit ini, pintu pagar sudah tersedia terkuak menjemputku masuk. Idlan yang
sedang tercengat di muka pintu terus sahaja meluru ke arahku sebaik sahaja
enjin kereta dimatikan. Nampak teruja sangat dirinya. Mak cik Tijah berlari-lari
anak mengejar Idlan. Tidak sempat aku hendak keluar, Idlan terlebih dahulu
membuka daun pintu kereta. Pantas sahaja duduk di sebelahku.
“Haqem tahukan Idlan keluar dengan saya?” kulontar
pertanyaan kepada Mak cik Tijah. Dia mengangguk dan tersenyum.
“Tak payah risau. Idlan memang dah maklumkan perkara ni
pada Encik Haqem” jelasnya.
“Saya akan jaga Idlan dengan baik” janjiku. Mak cik Tijah
mengangguk dan tersenyum lagi. Mak cik Tijah mahupun Haqem mahukan jaminan
keselamatan Idlan.
“Kami pergi dulu mak cik” ujarku meminta diri. Tidak
sempat hendak berbual panjang dengannya. Nampak sangat Idlan sudah tidak
sabar-sabar dengan agenda hari ini.
“Hati-hati” balasnya memberi peringatan. Aku mengangguk.
Idlan dan Mak cik Tijah saling bertukar lambaian tangan. Kereta kupandu
perlahan-lahan bergerak meninggalkan halaman banglo ini ke destinasi yang telah
dirancang dengan misi yang besar. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusan
ini. Aku sangat mengharapkan layanan baik daripada Datin Sofea pada pertemuan
pertamanya dengan Idlan. Aku melirik ke arah Idlan yang masih mengunci mulut.
Mungkin dia berdebar-debar hendak bertemu dengan neneknya. Barangkali juga
sedang membayangkan pertemuan itu. Ada sampul besar didakapnya kemas. Mungkin
juga buah tangan untuk Datin Sofea.
“Sampul apa tu?” tanyaku mengajak Idlan berbicara. Cuba
menghilangkan gemuruhnya. Idlan berpaling ke arahku. Dia tersenyum. Senyuman
indah untuk dipamerkan kepada Datin Sofea. Mudah-mudahan hati Datin Sofea akan
lembut menatap senyuman ini.
“Dalam ni semua kad yang mama tulis untuk nenek. Saya nak
bagi pada nenek” ujarnya teruja. Aku terkedu. Rawan hati mendengar bicara
Idlan. Mudah-mudahan Datin Sofea gembira menerimanya.
“Mesti nenek kamu gembira menerimanya nanti” ujarku
menambah keriangan hati Idlan. Bertambah lebar senyuman yang terukir di
bibirnya. Sekejap sahaja timbul rasa bersalahku. Tidak patut aku memberi
harapan yang indah kepada Idlan. Kedinginan Datin Sofea tidak pernah menjanjikan
kebahagiaan buat orang lain. Bimbang Idlan akan terluka nanti.
“Kita nak ke mana ni Mak Usu? Bukan pergi rumah nenek?”
tanya Idlan bertalu-talu.
“Kita jumpa Datin Sofea di Kelab Bukit Kota. Nenek kamu
suka main golf di situ” jelasku. Idlan mengangguk. Aku telah menyiasat jadual
pergerakan Datin Sofea. Setiap hari Isnin Datin Sofea dan kawan-kawannya akan
bermain golf di situ.
“Kamu boleh janji dengan auntie? Walau apa yang berlaku hari ini kamu takkan bersedih”
pintaku. Aku mahu memberi peringatan awal kepada Idlan. Pertemuan yang tidak
dirancang ini mungkin tidak seindah yang difikirkannya. Idlan mengangguk dan
tersenyum.
“Saya takkan marah pada nenek kalau nenek tak suka saya”
sahutnya tenang. Aku terkedu. Pilu hatiku menatap ketabahan budak lelaki ini.
Dia ada keberanian yang luar biasa.
“Saya hanya nak jumpa nenek nak serahkan kad-kad yang
mama tulis ni. Saya nak gembirakan mama di sana” jelas Idlan menambah hiba
hatiku. Mahu sahaja menitis air mataku namun segera kutahan. Sungguh suci murni
hatinya.
“Auntie janji
akan pastikan semua kad itu akan sampai di tangan nenek kamu” nekadku berjanji.
Idlan tersenyum lebar. Dia menarik nafas lega.
“Terima kasih Mak Usu” ujarnya persis terhutang budi
kepadaku. Aku tersenyum. Apa yang bakal berlaku sebentar nanti aku akan
hadapinya. Aku tidak akan mengalah pada Datin Sofea demi Idlan. Walau apapun
yang berlaku misi ini mesti berjaya. Pertemuan Idlan dengan Datin Sofea mesti berlangsung
hari ini. Aku memakir kereta. Lantas melontar pandangan ke arah barisan kereta
mewah yang tersadai di laman pakir. Cuba menjejaki kereta Datin Sofea. Lega.
Aku nampak kereta BMW milik Datin Sofea ada di situ. Tidak jauh daripada kereta
Waja mak ini.
“Kita tak boleh masuk ke dalam sebab kita bukan ahli
kelab ini. Kita tunggu saja dalam kereta ye...” jelasku. Idlan mengangguk
faham. Maka aku dan Idlan hanya mematungkan diri di dalam kereta Waja ini
menanti kemunculan Datin Sofea. Pandanganku tidak menjauhi pintu utama itu.
Tidak mahu terlepas pandang kelibat Datin Sofea. Kami begitu setia menanti
kemunculan Datin Sofea. Sesekali aku melirik ke arah Idlan. Jemarinya memegang
kemas sampul itu. Dia seperti sedang
berfikir.
“Fikirkan apa?” suaraku memecah kesepian. Idlan
tersenyum.
“Nak cakap apa bila jumpa nenek nanti ye...” Aku terdiam.
Perkara itu yang sedang difikirkannya. Kucapai jemari Idlan lalu
menggenggamnya.
“Cakaplah apa yang kamu nak cakap...” arahku.
“Nenek pasti sebaik ibu... Mak Usukan” ujar Idlan
membandingkan mak dengan Datin Sofea. Aku mengangguk. Idlan ialah darah daging
Datin Sofea dan zuriat tunggal Harianie yang ada di muka bumi ini. Pasti Datin
Sofea akan berlembut dengan Idlan. ‘Ya Allah... permudahkanlah urusan ini. Lembutkanlah
hati Datin Sofea untuk melimpahi Idlan dengan kasih-sayangnya. Amin’.
Berkali-kali aku bermunajat agar pertemuan ini membahagiakan Idlan.
“Kamu tunggu kat sini ye...” arahku lantas menolak daun
pintu kereta. Idlan mengangguk. Aku mempercepatkan langkah mendekati Datin
Sofea yang bersama Bella sedang melewati pintu utama. Kehadiranku langsung
tidak disedari mereka.
“Datin.... datin...Datin Sofea..!” panggilku separuh
melaung kerana suaraku tidak didengarnya. Langkah Datin Sofea dan Bella terhenti.
Serentak mereka berpaling ke arahku.
“Hey... perempuan berani kamu muncul di depan saya!”
garang suara Datin Sofea menyapaku. Mata Bella tajam menatapku. Sejak pertemuan
pertama dia memang dingin denganku.
“Saya ada hal penting nak cakap dengan datin” ujarku
bertenang.
“Kenapa? Haqem dah buat kamu mengandung ke?” tanyanya
sinis. Aku berisytigfar beberapa kali. Sekejam itu tudahan dilemparkan
kepadaku. Tebal sangat kebencian Datin Sofea kepadaku.
“Perempuan macam kamu ni memang tak boleh dipercayai. Ada
laki tapi boleh curang lagi. Perempuan yang tak tahu malu. Memang patut saya
halang kamu dengan Haqem hidup bersama. Sekarang kamu nak saya nikahkan kamu
dengan Haqem” lancang mulut Datin Sofea melancarkan serangannya. Bertubi – tubi
bagai peluru pandu. Aku menarik nafas panjang. Berisytigfar banyak – banyak. Nauzubillahminzalik.
Hina sangat aku di mata perempuan ini.
“Suruhlah suami kamu yang bodoh itu jaga kamu sampai
bersalin. Saya tak nak cucu. Berambus sekarang...!!!” tengking Datin Sofea
angkuh.
“Saya tak mengandung datin...!” tinggi suaraku menepis tuduhan
kejam Datin Sofea. Terancam kesabaranku mendengar Aqel turut menerima
penghinaannya.
“Saya datang sini nak datin jumpa cucu datin. Idlan Raid...
anak tunggal arwah Harianie” tegasku. Datin Sofea dan Bella terdiam menatapku.
Mereka terpana seketika.
“Idlan nak jumpa datin” jelasku mengharapkan persetujuan
Datin Sofea.
“Saya tak nak jumpa budak tu. Bawa dia berambus dari
sini!” bentak Datin Sofea.
“Mari kita balik, Bella” Datin Sofea sudah memulakan
langkahnya.
“Datin....tolonglah jumpa Idlan sekejap saja. Dia nak
jumpa sangat dengan datin” rayuku tidak mahu cepat mengalah. Kucapai tangan
Datin Sofea. Cuba menghalangnya pergi.
“Sekarang kamu nak gunakan budak itu pula untuk
kepentingan kamu..!” bentak Datin Sofea menyinga. Aku menggeleng beberapa kali.
Langsung aku tidak pernah terfikir ke arah itu.
“Bukan datin. Percayalah... Idlan nak jumpa datin. Dia
nak serahkan barang peninggalan arwah untuk datin” ujarku cuba memujuknya.
“Saya tak nak. Tak naklah..! Lepaskan tangan saya..!!!”
bentak Datin Sofea bertambah garang. Sekuat tenaganya tubuhku ditolak. Aku
jatuh terjelompok di atas jalan. Aduh..., sikuku luka!
“Datin tak boleh pergi...” Aku bingkas bangun lalu
menerpa ke arah Datin Sofea. Kupaut lengan Datin Sofea menghalangnya pergi. Datin
Sofea tidak mampu bergerak ke mana-mana lagi. Aku nekad. Bella cuba menarikku.
Namun tidak mudah aku melepaskan lengan Datin Sofea. Kukunci mati pautan
tanganku pada lengan Datin Sofea. Bella menarik tudungku. Terasa kuat cengkaman
tangannya menarik rambutku. Aku bertahan. Tidak akan aku lepaskan Datin Sofea
pergi selagi pertemuaan itu tidak berlangsung. Datin Sofea dan Idlan mesti
bertemu.
“Lepaslah..!!!!” tengking Datin Sofea dengan murka. Dia
tidak berdaya bergerak lagi.
“Maafkan saya datin. Saya tak boleh biarkan datin pergi
selagi datin tak jumpa Idlan. Kasihan budak tu datin. Dia bersedih atas
kepergian ibunya” rayuku cuba memujuk Datin Sofea.
“Saya kata tak nak...! Kamu faham tak...!!!” tengking
Datin Sofea.
“Bella... pergi panggil pangawal sekarang...!” jerit
Datin Sofea mengarah bakal menantu pilihannya. Jodoh Haqem sudah ditetapkan dengan
gadis ini. Bella lahir dari keluarga yang ada darjat, pangkat dan harta
kekayaan. Memang padan dengan Haqem.
“Pengawal ... datang sini cepat...!!! Ada perempuan gila
di sini buat kacau...!!!” suara Bella bergema. Bunyi derap langkah berlari semakin
dekat. Aku ditarik oleh tangan sasa dua orang lelaki ini. Berusaha bertahan.
Tenaga kuat lelaki ini bukan tandinganku. Mudah sahaja mereka memisahkan aku
dengan Datin Sofea. Datin Sofea terlepas dari pautanku. Dia mendengus kasar.
Marah diperlakukan sedemikian.
“Jangan pergi datin... tolonglah...” rayuku tidak mampu
menghalangnya pergi. Tanganku dipegang oleh dua orang pengawal yang bertubuh
sasa ini. Aku dikawal rapi.
“Datin tak boleh buat macam ni pada Idlan...” rayuku
lagi. Tetiba sahaja langkah Datin Sofea terhenti. Dia berpaling ke arahku. Aku
sudah berjaya menghalang Datin Sofea meninggalkan tempat ini sebelum menemui
Idlan? Datin Sofea melangkah mendekatiku. Tanpa kuduga tangan Datin Sofea
melayang di awangan lalu hinggap di pipiku dan turut mengena bibirku. Perit.
Mukaku terpaling. Terasa panas mengalir di bibirku. Darah.
“Ini balasan untuk kamu yang sentiasa mahu menyusahkan
saya!” bentak Datin Sofea penuh dendam. Laju tanganku mengelap darah yang
keluar dari celah bibir yang pecah ini. Datin Sofea tersenyum sinis.
“Datin tak boleh pergi...” pintaku tidak berdaya. Aku
dikawal ketat. Tidak mampu mendekati Datin Sofea. Bella sudah menghidupkan
enjin kereta BMW itu.
“Datin tak boleh pergi begitu saja...!!!” bentakku
meronta – ronta cuba melepaskan diri. Aku mahu menghalang Datin Sofea
meninggalkan tempat ini selagi tidak bertemu dengan Idlan. Datin Sofea tidak
mengendahkannya.
“Lepaskan saya... Saya tak boleh biarkan dia pergi”
tegasku meminta lelaki ini membebaskan aku daripada kawalan ketat mereka. Aku
meronta-ronta berusaha melepaskan diri.
“Baliklah cik... cik cedera ni” ujar lelaki ini. Aku
menggeleng.
“Saya tak boleh biarkan perempuan itu pergi” tegasku
berdegil.
“Tak boleh cik... Baliklah...” arah seorang lelaki ini
pula.
“Lepaskan saya...” Aku meronta masih cuba melepaskan
diri. Masih berpeluang menghalang kepergian Datin Sofea bersama Bella. Ada
kesempatan juga Idlan bertemu dengan Datin Sofea. Aku tidak boleh mengalah
dengan mudah.
“Encik tolong lepaskan saya. Saya mesti halang Datin
Sofea pergi...” rayuku meminta belas kasihan kedua-dua lelaki ini.
“Cik... janganlah berdegil. Kalau cik masih juga begini
kami tak akan teragak-agak hantar cik ke balai” gertak lelaki ini. Balai polis?
Penjenayahkah aku? Aku tersenyum sinis. Tercuit hatiku mendengar kenyataan yang
tidak masuk akal ini.
“Salah ke saya nak temukan anak yatim piatu dengan
neneknya? Jahat ke saya nak temukan cucu dengan neneknya..!” bentakku kesal. Sungguh
terkilan.
“Patut ke encik nak humban saya ke lokap kerana saya
orang miskin yang tak setaraf dengan perempuan yang kaya tu...!” bentakku
melempiaskan kekecewaanku.
“Sabar... cik...” pujuk lelaki ini.
“Lepaskan saya...!” bentakku radang.
“Mak Usu...” Serentak aku dan dua orang lelaki ini
berpaling ke arah Idlan yang terkebil-kebil menatapku. Tanganku dilepaskan.
Idlan meluru ke arahku.
“Mak Usu takpe?” tanya Idlan. Aku mengangguk. Kutatap
sampul yang masih berada dalam dakapan kemas Idlan. Hatiku pilu.
“Maafkan auntie...”
ujarku terkilan. Idlan senyum dan geleng kepala. Lantas kupeluk tubuh Idlan.
Aku menangis teresak-esak dan terduduk di jalan sambil diperhatikan oleh dua
orang lelaki ini. Terasa longlai seluruh tubuhku. Aku telah mengecewakan Idlan.
“Maaf... Saya tak boleh menangis sama Mak Usu. Saya dah
janji takkan menangis” ujar Idlan menambah derita hatiku. Tangisanku kian kuat.
Kupeluk erat tubuh Idlan. Aku tidak mempedulikan kewujudan dua orang lelaki
ini.
“Kamu memang anak yang baik” ujarku tersedu-sedan.
“Kamu berdua memang suka buli perempuan?” suara garang
lelaki menerpa telingaku. Aku dan Idlan mendongak.
“Aqel... uncle Aqel...” suaraku dengan Idlan
bersatu menyebut nama ini.
“Maaf encik.... ini tugas kami” sahut lelaki ini.
“Kamu boleh pergi dari sini” arah Aqel. Mereka mengangguk
lantas beredar pergi. Aqel menghulurkan tangannya kepadaku. Cuba membantuku bangun.
Kupandang Aqel. Berat hati mahu menyambut tangannya. Tiba-tiba sahaja Idlan
mencapai tanganku lalu menyatukannya dengan tangan Aqel. Aku terkedu dengan
tindakan Idlan ini. Aqel memaut kemas tanganku lalu membantuku berdiri. Kini
aku sudah berdiri di sebelah Aqel. Diapit oleh dua orang lelaki ini.
“Kamu dah menyerah kalah?” tanya Aqel sambil tersenyum
menatap Idlan. Laju Idlan menggeleng. Aku tidak mengerti. Rahsia Aqel dan Idlan
tetap menjadi rahsia.
“Saya budak lagi... tak cukup kuat nak bantu Mak Usu
bangun” tingkah Idlan tidak bersetuju dengan kata-kata Aqel. Aqel tersenyum
lebar. Bicara Idlan mencuit hatinya.
“Masuk kereta saya” arah Aqel. Kupandang Aqel.
“Kereta Waja?” tanyaku. Tidak mungkin aku meninggalkannya
di sini sahaja.
“Siku awak luka. Bibir awak pun pecah dan kemarahan awak
membuak-buak sekarang. Awak tiada tumpuan nak drive sendiri” jelas Aqel panjang lebar. Aku mengetap bibir. Bicara
Aqel ada benarnya. Memang ada kemarahan yang membahang membakar hatiku saat
ini. Rasa tidak puas hati dengan keangkuhan Datin Sofea.
“Tapi... takkan saya nak tinggalkan Waja tu kat sini”
tingkahku berat hati. Aku tidak akan meninggalkan kereta mak di sini. Biarlah
aku menanggung kesakitan asalkan Waja itu sampai di halaman rumah mak. Kereta
mak tidak akan sewenang kutinggalkan di sini sahaja. Aku mesti menjadi peminjam
yang bertanggungjawab.
“Waja tu dah selamat sampai di garaj rumah. Kalau awak
tak caya call mak” ujar Aqel membuat
kejutan kepadaku. Aku terlopong. Lantas aku melangkah laju ke laman pakir mahu
mempastikan kesahihan bicara Aqel. Bulat anak mataku menatap laman letaknya
kereta Waja tadi yang sudah kosong. Aku berpaling ke arah Aqel.
“Kalau awak masih sangsi... awak tanya mak sekarang” ujar
Aqel lantas mengeluarkan iPhonenya.
Mahu menghubungi mak. Mengarahkan aku sendiri bertanya perkara ini kepada mak.
“Eh... tak payah
call mak. Saya percaya awak kali ini” jelasku segera mematikan hasrat Aqel.
Aqel tersenyum. iPhone di tangan
dimasukkan ke dalam saku seluar kembali. Bimbang mak akan mengetahui kejadian
petang ini. Aku mesti berbincang dengan Aqel agar perkara ini tidak sampai ke
pengetahuan mak. Tidak mahu membabitkan Idlan dalam perkara ini. Mak pasti
tidak senang dengan permintaan Idlan ini.
“Mari Idlan...” Aqel sudah memaut tangan Idlan mengubah
haluan langkah ke arah keretanya yang pakir tidak jauh dari situ. Aku mengekori
mereka dengan langkah longlai. Rasa hampa yang mendalam. Terkilan tidak dapat
mempertemukan Idlan dengan Datin Sofea. Rasa sedih sebab Datin Sofea langsung tiada
keinginan mahu bertemu dan berkenalan dengan cucunya. Sungguh menyedihkan. Aku
berpaling ke arah Idlan yang sudah tersandar di kerusi penumpang belakang
sambil termenung jauh. Dia masih mendakap kemas sampul itu.
“Kita hantar Idlan balik dulu. Lepas tu saya bawa awak ke
klinik” suara Aqel memecah kesepian. Laju aku berpaling ke arah Aqel.
“Tak perlu ke klinik. Kita balik saja” tingkahku.
Berkerut dahi Aqel. Kurang senang mendengar bicaraku. Aqel menghidupkan enjin
kereta.
“Saya minta awak rahsiakan perkara ini dari mak” ujarku
menokok bicara.
“Luka siku awak tu macam mana nak rahsiakan?” tanya Aqel
bernada sinis.
“Tahulah saya nak cakap apa nanti. Ataupun saya masuk
sembunyi-sembunyi... cuba mengelak bertembung dengan mak” jelasku memaklumkan
perancanganku. Kedengaran keluhan Aqel. Sudah semestinya Aqel tidak suka dengan
perancanganku ini.
“Berhentilah menyakiti diri sendiri” tegas Aqel.
“Aqel...” Laju aku meletakkan jari telunjuk ke bibir. Mohon
Aqel memperlahankan suara kerana Idlan ada bersama kami sekarang. Idlan akan
rasa bersalah kalau Aqel marahkan aku kerana perkara ini.
“Awak tak perlu lakukan semua ni. Haqemkan ada” ujar Aqel
masih tidak berpuas hati. Laju tanganku hinggap di lengan Aqel. Aku menggeleng
– geleng. Berharap sangat Aqel tidak akan bersuara tentang perkara ini lagi.
Perlahan – lahan kereta ini meninggalkan laman pakir.
“Awak ni baik sangat sampai memakan diri sendiri” keluh
Aqel. Nada suaranya sudah perlahan. Aku mengetap bibir menahan perasaan. Hampa
dan terguris sudah bersatu.
“Sorry ...
semua ini salah saya. Saya yang minta Mak Usu aturkan pertemuan ini. Sebab
Idlanlah Mak Usu tercedera” suara Idlan mencelah perbualan ini.
“Bukan salah Idlan” tingkahku tidak sanggup melihat Idlan
menyalahkan diri. Kecewanya akan bertambah.
“Penting sangat ke pertemuan ni?” Aqel bersuara lagi.
Tidak tahu bicaranya mahu ditujukan kepada siapa. Namun Idlanlah yang paling
terasa dengan bicara Aqel ini. Tidak patut Aqel mempersoalkannya.
“Ye... sangat penting” sahutku geram. Laju aku berpaling
ke tingkap tatkala terpandang kereta Datin Sofea yang berhenti di situ. Rupa-rupanya
mereka belum meninggalkan kawasan ini. Aku masih berpeluang mempertemukan Datin
Sofea dengan Idlan. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke hujung
lengan. Alang-alang sudah buat biarlah sampai ke penghujungnya. Aku nampak
Datin Sofea dan Bella baru sahaja menyelinap masuk ke dalam kereta itu. Tiba-tiba
sahaja kereta ini berhenti. Aku terdorong ke hadapan. Begitu juga Idlan yang
berada di belakang.
“Kenapa ni?” Aku berpaling ke arah Aqel. Aqel
memberhentikan kereta secara mengejut. Tangan Aqel menolak daun pintu kereta.
“Tunggu di sini...” arahnya tidak sempat memandangku.
Lantas mengunjurkan kakinya keluar. Aqel bangun dari kerusi pemandu lalu
meninggalkan aku dan Idlan di dalam kereta ini. Terkebil – kebil aku menatap
Aqel yang sedang mengorak langkah ke arah Datin Sofea dan Bella yang sudah
berada di dalam kereta.
“Kenapa Mak Usu?” tanya Idlan yang sudah bangun menjenguk
ke arahku. Pertanyaan ini tidak terjawab. Pandanganku terikat kepada Aqel. Bingung
dengan tindakan drastik Aqel. Idlan turut sama melontar pandangan ke situ.
Nampak mereka sedang berbincang. Belum habis perbincangan itu, kereta yang
dipandu Bella bergerak. Aku nampak Aqel berlari pantas menggunakan jalan pintas.
Cuba mendahului kereta itu. Aqel berjaya melakukannya. Tanpa kuduga Aqel
berdiri di tengah – tengah jalan kecil itu sambil mendepakan tangan. Cuba
menjadi penghadang jalan. Kereta yang dipandu Bella laju. Aqel boleh kehilangan
nyawa jikalau dia tidak berganjak dari kedudukannya itu dan jikalau Bella tidak
memberhentikan kereta itu. Kutolak pintu kereta ini. Aku keluar.
“Aqel... jangan lakukannya...!” jeritku sekuat hati. Aqel
nekad. Dia langsung tidak berganjak. Statik di situ. Bila-bila masa sahaja dia akan
dirempuh kereta yang dipandu Bella.
“Aqel...tidaaakkkk...!” Aku menjerit lagi. Langkahku
terhenti di tengah jalan. Aku tidak sempat menghalang Aqel. Kututup mukaku.
Tidak sanggup melihat tubuh Aqel dirempuh. ‘Mak Long, maafkan Lia. Lia tak
mampu menghalang tindakan Aqel’ suara hatiku berkata-kata. Nama Mak Long
menerpa benakku. Wajah sedih Mak Long terbayang di mataku. Kemudian tangisan
pilu Mak Long terngiang-terngiang di telingaku.
“Semua ini salah awak...! Awak yang buat Aqel tiada lagi
di dunia ni...!” suara Flora menjerit garang. Kemudian dia menangis
teresak-esak. Perpisahan yang menyakitkan. Aqel telah meninggalkan dirinya.
Salahku kerana menjebakkan Aqel. Aqel tidak patut terlibat dalam
persengketaanku dengan Datin Sofea. Kebencian Datin Sofea kepadaku telah
mengorbankan Aqel.
“Mak tak patut suruh Aqel jaga kamu dengan baik.
Tengoklah apa yang Aqel telah buat”
Mak menyalahkan diri. Air mata berlinangan di pipi mak.
Tangisan mak, Mak Long dan Flora bersatu. Tangisan yang meruntun jiwa. Sayu dan
hiba. Sungguh menyayat hati. Semua ini salahku. Aqel sepatutnya tidak
mengenaliku. Jikalau tiada pertemuanku dengan Aqel, kami tidak akan nikah. Maka
pengakhiran hidup Aqel tidak akan jadi begini. Bagaimana Mak Long dan Flora
menjalani kehidupan ini tanpa Aqel?
“Flora... bawa Idlan datang sini...!” suara Aqel melaung.
Aku tersentak.Aqel masih hidup. Laju kuangkat kelopak mataku. Aqel masih
terpacak di tengah – tengah jalan itu berhadapan dengan kereta Datin Sofea.
Terlalu dekat. Aku menghela nafas lega. Lapang dada.
Idlan berlari laju melewatiku. Aku terpana tidak mampu
berganjak lagi. Bagai kakiku sudah dipaku di sini. Idlan bersama Aqel sekarang.
Tangannya dipaut erat lalu mendekati Datin Sofea. Mereka bertentangan mata.
Wajah Idlan direnung lama. Aku menyaksikan pertemuan itu. Aku nampak hanya Aqel
yang berbicara. Idlan mengucup tangan Datin Sofea. Air mataku menitis ke pipi.
Sebak dan terharu. Datin Sofea menyambut sampul yang dihulurkan Idlan. Idlan
tersenyum lebar. Idlan berpaling ke arah Aqel. Mereka bertukar senyuman. Tangan
Aqel dipautnya lantas memulakan langkah meninggalkan Datin Sofea yang membisu
panjang. Pandangan Datin Sofea menyoroti langkah Idlan. Kereta Datin Sofea
tidak berganjak dari situ.
“Mari...kita
balik. Misi awak dah berjaya” tutur Aqel bersahaja bagai tiada perkara yang mencemaskan
telah berlaku. Senyumannya dengan Idlan bersatu. Ada kepuasan yang terpancar di
wajah Idlan. Aku rasa tidak puas hati dengan tindakan berani Aqel. Sedetik tadi
terasa bagai nyawaku melayang. Roh terpisah dari jasadku. Denyutan nadiku
terhenti. Semangatku punah. Kiranya aku tidak akan mendengar suara Aqel lagi.
Kugigit bibir sehingga berbekas menahan gelodak perasaan ini. Syukur...
syukur... syukur... Aqel masih bernafas.
“Flora...” sayup – sayup suara Aqel lembut memanggilku. Terasa
aku masih di awangan.
“Flora... kenapa ni?” suara cemas Aqel menegurku. Aqel
dan Idlan terkebil – kebil menatapku. Aku masih terpana di depan Aqel dan
Idlan. Kelu lidah hendak bersuara. Semangatku masih bertebaran. Terasa hangat
mengalir di pipiku.
“Awak okey ke ni?” Terasa bumi ini bergoncang persis
berlaku gempa bumi. Bukan. Tangan Aqel berpaut di bahuku lalu menggoncang
tubuhku. Laju sahaja tanganku menyapu deraian air mata ini.
“Awak ni kan... Arrggghhhhh...! Arggghhhh...!!!” Aku
menangis sekuat hati melempiaskan rasa ketakutan yang mendalam. Longlai kaki
ini hendak berdiri gagah, lalu aku bertelaku di atas jalan raya ini. Tidak
mampu berganjak lagi. Membutang pandangan Aqel dan Idlan menatapku. Terkejut
melihat deraian deras air mataku tika ini.
“Saya tak apa-apalah. Saya masih hidup lagi ni” Aqel
bersuara melawan raunganku sambil garu-garu kepala. Mati akal dengan
tindakanku. Idlan masih terkebil-kebil menatapku. Kedua-duanya tidak tahu
hendak berbuat apa. Masing-masing melopong melihat aku menangis. Lama juga Aqel
dan Idlan menemaniku di sini sehinggalah tangisan ini tidak berlagu lagi. Begitu
setia mereka berada di sisiku sambil menongkat dagu menyaksikan aku menangis.
Terhinjut-hinjut bahuku menahan sisa-sisa tangisan yang kian reda.
“Dah puas awak menangis...” tegur Aqel berhati-hati.
“Otak awak ni kan dah tak betul...!!! Selalu buat perkara
tak masuk akal...!” lantang suaraku memarahi Aqel. Aqel terkejut. Tangannya mmengurut-urut
dada. Terkejut disergah sedemikian. Membutang matanya menatapku.
“Saya boleh mati terkejut mendengar jeritan awak” rungut
Aqel geram. Bingkas aku bangun. Kupandang Aqel dan Idlan silih berganti.
Kedua-duanya tidak boleh diharap. Sepatutnya mereka memujukku agar berhenti
menangis bukannya terpinga-pinga menyaksikan deraian air mataku. Bukan juga
duduk lama bersamaku menanti air mata ini kering. Tidak tahu hendak berbuat
apa. Bingkas aku berdiri.
“Saya nak balik sekarang” rungutku lalu mengorak langkah
ke kereta. Aqel dan Idlan mengekori langkahku. Aku terus duduk di kerusi
penumpang di depan. Cuba tidak mengendahkan Aqel dan Idlan. Langkah berjaga-jaga
mengelak diri daripada dikutuk Aqel.
“Nah... lap air mata dan hingus awak tu. Nampak comot
sangat” kutuk Aqel sambil menghulurkan tisu kepadaku. Kusentap kasar tisu di
tangan Aqel. Kusapu bersih mukaku. Tidak lagi mengendahkan bedak di muka. Aqel
di sebelahku tersenyum-senyum sendiri. Pasti suara hatinya sedang mengutuk aku
sepuas-puasnya.
“Sayang juga awak kat saya kan” suara Aqel memberhentikan
gerakan tanganku. Aku berpaling menatap Aqel.
“What?”
Berkerut dahiku menatap Aqel. Lelaki ini perlukan penjelasan terperinci. Di
sebalik deraian air mata ini ada maksud tersendiri.
“Saya akan menyalahkan diri seumur hidup jika kereta yang
Bella pandu betul-betul merempuh tubuh awak tadi. Nyawa awak terlalu berharga
nak disia-siakan begitu saja. Paling saya khuatiri mak, Mak Long dan kekasih
awak akan menyalahkan saya sepanjang hayat mereka” ujarku berjela dengan nada
serius. Aqel masih tersenyum-senyum. Penjelasanku mungkin tidak memberi makna
kepadanya. Lantas kupejamkan mata tanda mahu menyendiri. Paling tenang mahu
menenangkan gelodak emosiku. Aku tiada keinginan hendak berbual-bual ketika
ini. Mujur juga Aqel memahami diamku. Dia tidak bersuara lagi dan hanya fokus
pada pemanduannya.
“Kita dah sampai. Mari Idlan” Aku tersentak. Idlan...!
Baru teringat budak lelaki ini bersamaku tadi. Aku berpaling ke belakang.
Sebahagian tubuhnya sudah berada di luar.
“Tak payah keluar. Awak duduk sini saja” arah Aqel
mematikan hasratku hendak mengiringi Idlan hingga ke muka pintu. Aku terpana di
kerusi penumpang ini dengan fikiran yang kosong. Seketika tadi aku melupakan
kewujudan Idlan. Rasa bersalah membebani diri. Kupicit-picit dahiku. Bergantung
pada sisa-sisa tenaga yang tinggal. Kulontar pandangan keluar melalui cermin
jendela ini. Langkah Idlan seiringan langkah Aqel.
“Uncle ada
kekasih?” tanya Idlan setelah menahan diri dengan persoalan ini sepanjang
perjalanan tadi. Memang tidak
sabar-sabar dia hendak mengemukakan pertanyaan ini. Namun ini urusan lelaki.
Perkara ini hanya perlu dibincangkan antara mereka berdua. Aqel menatap Idlan.
“Tak baik curi dengar perbualan orang dewasa” tegur Aqel
mengusik Idlan. Cuba buat-buat wajah serius. Ketika zaman kecil itulah
peringatan yang selalu diperdengarkan kepadanya. Aqel tidak akan mudah lupa
pada ajaran ibu bapanya. Semua ajaran itu tersemat dalam dirinya.
“Sorry... uncle.
Tapi boleh tak uncle cakap jujur”
pinta Idlan berharap. Aqel tersenyum. Tercuit hatinya melihat kesungguhan budak
lelaki ini. Namun turut kagum. Idlan ada keinginan yang tidak dapat dibendung.
Sudah tersemat ciri-ciri lelaki sejati yang gemarkan persaingan dalam dirinya.
“Kamu... nampak bersungguh-sungguh nak mengalahkan uncle” tutur Aqel mengulas sikap Idlan.
Idlan mengangguk tanpa ragu-ragu. Telus. Langsung tidak mahu menidakkannya.
“Keberanian uncle
merisaukan saya” luah Idlan tidak bersembunyi. Aqel terus sahaja tergelak.
Tindakannya sering mendahului pertimbangannya. Lakukan dahulu barulah difikirkan.
“Tapi... saya tak
mudah mengalah” ujar Idlan memberi peringatan kepada Aqel.
“Pantang mengalah sebelum bertarung berhabis-habisan.
Itulah yang diperlukan orang lelaki” ujar Aqel menyahut bicara Idlan, budak
lelaki yang bersemangat tinggi. Aqel langsung tidak tergugat melihat
kesungguhan budak lelaki ini.
“Beruntunglah Pak Usu kamu” tutur Aqel mematikan langkah
Idlan. Dia berpaling menatap Aqel. Aqel tersenyum.
“Sebenarnya.... uncle
jealous pada Pak Usu, kamu. Beruntunglah dia sebab ada orang yang membantu
menyatukan cinta lalu mereka” tutur Aqel berkias-kias.
“Uncle kan dah
ada kekasih. Uncle bagilah Mak Usu
jaga saya. Pak Usu boleh jaga Mak Usu dengan baik” pinta Idlan tidak
berselindung lagi. Semakin mekar senyuman yang terukir di bibir Aqel. Nampak
kesungguhan Idlan mahu merencana kesinambungan kisah lalu itu.
“Kalau macam tu mintalah Datin Sofea terima Mak Usu
menjadi ahli keluarga Idlan” saran Aqel. Laju sahaja Idlan mengangguk. Yakin
dia mampu melakukannya. Aqel hanya tersenyum. Hatinya terdetik kekaguman pada kesungguhan
budak lelaki yang bercita-cita tinggi ini.
“Kamu ingat lagi tak...pertarungan ini mesti dilakukan
dengan adil” ujar Aqel mengungkit perkara itu. Idlan mengangguk.
“Pergilah masuk sekarang. Berehat dan tidur awal malam
ini. Apa yang berlaku hari ini tak perlu difikirkan lagi dan jangan sesekali
cerita kepada orang lain. Ini rahsia kita bertiga. Orang lelaki mesti kuat. Kamu
mesti ingat perkara ini tau” nasihat Aqel menyuntik semangat. Idlan mengangguk.
Dia mengerti. Cerita ini yang berlaku
hari ini tidak akan dikongsi dengan Haqem. Berpegang pada prinsip persaingan
yang adil, maka dia terpaksa berkongsi maklumat tentang perkara yang direncana.
Kemunculan Aqel buat dia rasa terhutang budi.
“Kamu perlu kuat juga jika mahu mengalahkan uncle” ujar Aqel bergurau. Sekadar mahu menceriakan
budak lelaki ini. Dia sedang reaksi yang ditunjukkan oleh Datin Sofea tadi
kurang menyenangkan. Idlan tersenyum manis. Mak cik Tijah yang berdiri di
ambang pintu menyambut kepulangan Idlan sambil tersenyum.
“Terima kasih, Encik Aqel...” ujar Mak cik Tijah sambil
menyambut beg pakaian Idlan yang dihulurkan Aqel. Aqel senyum.
“Tak nak masuk dulu? Encik Haqem dah sampai tapi keluar
kejap” ujar Mak cik Tijah mempelawa Aqel masuk ke rumah. Idlan tersenyum dan
menggeleng.
“Terima kasih, mak cik. Maaflah saya nak balik cepat... ada
hal” ujar Aqel bersopan menolak pelawaan perempuan ini. Mak cik Tijah
mengangguk dan tersenyum. Dia mengerti kesibukan anak muda ini. Aqel dan Haqem
serupa sahaja. Kesibukan mereka tidak pernah berkurangan.
“Saya balik dululah mak cik” Aqel memohon diri. Mak cik
Tijah menggangguk dan tersenyum lagi. Mata terpegun pada ketampanan wajah
pemuda ini, manakala hati terpaut pada budi bahasa pemuda ini. Teringin
memiliki menantu seperti Aqel. Namun dia tetap tumpang gembira kerana Aqel
memiliki isteri yang sangat padan dengan dirinya. Lia begitu disenanginya.
“Uncle Aqel...”
panggilan Idlan mematikan langkah Aqel. Dia berpaling. Idlan berlari anak ke
arahnya lalu memeluknya. Aqel terkedu. Mak cik Tijah kehairanan.
“Terima kasih kerana buatkan saya gembira sangat hari
ini. Walaupun tak sempat berbual dengan nenek, saya dah berpuas hati sangat
dapat tengok orangnya. Mama pasti turut gembira juga sebab saya dah tunaikan
hasrat hatinya” jelas Idlan dengan suara separuh berbisik sambil mendongak
wajah Aqel. Tidak mahu Mak cik Tijah mendengarkannya. Aqel mengangguk. Diusap-usap
kepala Idlan. Tumpang gembira. Kesal Datin Sofea tidak teruja dengan pertemuan
itu. Sepatutnya perempuan itu memeluk Idlan dalam tangisan. Pertemuan yang
membangkitkan rasa terharu.
“Tak payah risau. Saya takkan bersedih. Orang lelaki
mesti kuat” tutur Idlan mengulangi kenyataan itu. Aqel tersenyum. Kata yang
pasti akan dikotakan. Terbit simpati di hatinya. Usia sekecil ini memaksa diri
menjadi kental. Terasa kejam dirinya kerana telah mengeluarkan kenyataan itu.
Namun jika difikirkan sedalamnya ada kebaikan jikalau Idlan menjadi budak
lelaki yang matang. Jiwa yang kental dan hati yang cekal. Dia pernah memaksa
dirinya menjadi sedemikian. Zaman kecilnya tidak dinikmati persis kebanyakan
kanak-kanak yang lain. Perpisahan itu telah merubah kehidupannya. Aqel
melepaskan keluhan berat. Enggan mahu mengenang kisah lalu. Bagai ada sembilu
yang menghiris perasaannya.
“Uncle lakukannya kerana Mak Usu kan...”
duga Idlan menyentakkan Aqel. Terkebil – kebil Aqel menatap Idlan yang
tersenyum sendiri.
“Uncle ... sayangkan Mak Usu” Idlan
berbicara sendiri. Aqel hanya mematungkan diri. Jiwanya terusik dek kenangan
lalu yang menghiris perasaan.
“Persaingan semakin sengit” tutur Idlan memberi reaksi
pada bicaranya sendiri.
“Uncle cepatlah
balik rumah, Mak Usu mesti keletihan sekarang. Jangan lupa rawat siku Mak Usu
yang luka tu. Malam nanti saya call Mak
Usu” petah sahaja Idlan berbicara.
“Assalamualaikum...” Ditinggalkan Aqel yang terdiam
panjang.
“Uncle... cepat
balik...!!!” laungan Idlan dari ambang pintu menyentakkan Aqel. Idlan menunding
jari ke arah kereta sebagai syarat mengarah Aqel cepat beredar. Bukan niat
budak lelaki itu mahu menghalau. Sebaliknya memikirkan demi keselesaan penumpang
yang masih berada di dalam Peugeot RCZ Sports Coupe itu. Kasih Idlan kepada gadis itu tidak terhitung
banyaknya. Mungkin juga menyamai kasihnya kepada ibu kandung sendiri.
Aqel melangkah ke kereta. Dipandang gadis yang sedang
tersandar lena di kerusi itu. Nampak sangat letihnya. Perlahan-lahan daun pintu
kereta dikuak lalu ditutup. Tidak mahu mengganggu lena gadis ini. Kereta
dihidupkan lalu meninggalkan perkarangan banglo. Gadis ini menikmati tidur yang
nyenyak dan langsung tidak terganggu sepanjang perjalanan ini. Aqel memandang
sekilas. Dia melepaskan keluhan kecil tatkala menatap luka kecil pada siku
lengan gadis itu. Walaupun dia fokus pada pemanduaannya namun benaknya ligat
berfikir. Cuba mencari jalan penyelesaian.
“Bagaimana awak boleh muncul di Kelab Bukit Kota? Rasanya
bukan secara kebetulan” suaraku memecah kesunyian sekali gus mengejutkan Aqel.
Dia memandangku sekilas dengan pandangan yang kurang senang. Mungkin tidak suka
dirinya dikejutkan sedemikian.
“Saya dapat maklumat dari Idlan” jelas Aqel tidak
berselindung. Bijak pula Aqel menilik perbincanganku dengan Idlan. Lantas
membangkitkan perkara itu kepada Idlan. Suka sangat Aqel membebankan diri
dengan hal yang tiada kaitan dengannya.
“Sorry ler...
saya memang suka menyibuk hal awak” ujar Aqel tersengih persis mendengar suara
hatiku yang sedang berbicara. Aku diam. Kulontar pandangan jauh-jauh. Masih tidak
puas hati dengan tindakan berani Aqel tadi. Persis nyawanya tidak bernilai. Aku
melepaskan keluhan kecil. Takut dan kesal bercampur-baur. Sungguh menggerunkan
hendak membayangkan kembali detik cemas. Nyawa Aqel persis telur di hujung
tanduk. Sedetik nafasku seakan terhenti. Semangatku terpisah dari jasadku. Aku
sungguh-sungguh ketakutan dengan tindakan berani Aqel.
“Terima kasih sebab awak buat Idlan gembira” aku bersuara
semula. Aqel tersenyum. Tindakannya menyuntik sedikit kegembiraan budak lelaki
itu. Aqel telah menyampaikan hajat Idlan.
“Boleh tak awak janji lain kali jangan pertaruhkan nyawa
awak” permintaanku menyusul. Aqel memandangku sekilas.
“Tak kisahpun...” sahut Aqel bersahaja. Mudah sangat. Aku
menjelingnya. Geram.
“Kenapa?” tanyaku janggal. Aqel bukan hero drama cinta
yang bertindak melulu sehingga membuai perasaan penonton.
“Sebab saya suka tengok awak menangis” jelasnya bersahaja
buat aku bertambah geram.
“Memang sah awak ni kaki buli. Suka melihat orang
perempuan menangis” dengusku marah. Tidak patut Aqel berbicara begini. Perkara
serius bukan boleh dibuat main-main. Mak Long tidak akan dapat menerima
kenyataan jikalau sesuatu yang buruk menimpa Aqel. Nauzubillahminzalik. Mak
juga akan bersedih. Aku akan menyalahkan diri sepanjang hayatku. Senyap.
Bagaikan aku sudah tidak berminat menyambung bicara dengan Aqel. Tidak suka
lagaknya yang tidak serius.
“Berhenti membebankan diri awak dengan masalah orang
lain. Maka barulah saya boleh hidup tenang” Aku berpaling menatap Aqel.
“Hidup awak tak tenang sekarang?” tanyaku melontar suara
kepada Aqel. Aqel memandangku sekilas. Kemudian mengarah pandangannya ke jalan
raya kembali. Seminit kemudian aku menyaksikan anggukan kepala Aqel yang
panjang.
“Minta maaf banyak-banyak sebab buat hidup awak tak tenang.
Saya tak berniat nak bebankan awak” ujarku rasa bersalah yang menggunung. Senyap.
Tiada suara Aqel yang menyahut memberi reaksi pada bicaraku. Mahupun menyangkal
bicaraku demi mententeramkan gelodak perasaanku tika ini sekali gus menambah
rasa bersalahku. Sungguh aku rasa bersalah kepada Aqel.
No comments:
Post a Comment