Buku Sejarah hadiah daripada Cikgu Elvart Hee masih dalam pelukanku yang sedang tersandar di kepala katil sambil tersenyum panjang sendirian. Aku diserang penyakit angau yang bertambah – tambah sejak semalam.
“Nia jom makan”
“Oopocot…..!” aku terkejut besar.
Mama sudah terpacak di muka pintu sambil menatapku. Tidak sedar bila masa pula mama menolak daun pintu itu. Pasti mama sempat memerhatikan gelagatku tika ini. Naya! Naya!
“Dari semalam mama tengok Nia asyik pegang buku tu” tegur mama menimbulkan rasa khuatirku.
Takut mama syakwasangka atas tingkahlakuku. Habislah aku kalau mama dapat tahu apa yang sedang berlaku pada anak gadisnya tika ini. Kemarahan mama pasti tidak boleh dihalang – halang. Aku juga tidak punya keberanian untuk berhadapan dengan mama dalam keadaan dia murka. Betul – betul menakutkan.
“Nia baca buku ni ler, mama” balasku.
“Baca ke macam tu?”
Buku Sejarah yang masih berada dalam pelukanku, pantas saja kuletak ke tilam. Aku tersengih – sengih menatap mama bagi menutup rasa gusarku.
“Habis baca kena peluk buku ni supaya cepat faham dan segala maklumat yang dibaca mudah melekat dalam ingatan. Kalau kita nak kuasai pelajaran tu kena ler tunjukkan rasa sayang” ujarku berjela.
Itulah kalimah keramat yang pernah Cikgu Habibah beritahu kepada kami di kelas. Kalau hendak cepat pandai kenalah tunjukkan rasa sayang dan cinta pada pelajaran tersebut. Kalau boleh peluk cium buku itu setiap hari.
“Pelik betul falsafah Nia tu. Jom makan” ajak mama.
Aku menghela nafas lega. Segera kuekori langkah mama. Mujur topik perbualanku dengan mama tidak berpanjangan.
************************************************************
Aku mengucup beberapa kali buku Sejarahku ini sebelum meletakkannya di atas meja. Buku yang paling setia menemaniku ke mana saja kakiku melangkah. Apa tidaknya buku ini sentiasa berada dalam beg sandangku. Di muka pintu kelas, Dennis Lee tersengih menatapku. Langkahnya mati. Dia terus saja singgah di mejaku.
“Wow, buku baru!”
“Jangan sentuh!” laungku menegah sebelum sempat tangannya mendarat pada buku kesayanganku ini.
Anak mata yang sedikit kecil itu nampak membesar sedikit menatapku, sedangkan tangannya masih di awangan. Jelas dia tersentak dengan sergahan suaraku yang sedikit lantang itu. Cepat kucapai buku Sejarah itu lalu berada dalam pelukanku.
“Mak datuk kedekutnya dia” perlinya.
Aku menghadiahkan jelingan tajam buatnya. Pandai – pandai pula dia hendak mencerobohi harta orang lain.
“Bagi ler aku tengok buku tu” pintanya lembut memujukku.
“Ni buku kesayanganku. Aku tak benarkan orang lain sentuh termasuk kau. Hak terpelihara selamanya” tegasku.
“Buku rujukan Sejarah. Ni mesti ada kaitan dengan Cikgu Elvart Hee ni” tekanya yang sememangnya tepat.
Aku mengangguk. Cepat saja tanganku memasukkan buku ini ke dalam beg sandangku semula. Aku tidak mahu Dennis Lee menyentuhnya kerana khuatir akan menjejaskan kerapian dan kekemasan dari cover hinggalah pada setiap helaian.
“Awak sayangkan buku ini macam awak sayangkan nyawa awak” tuturnya berbaur perlian.
Aku tidak menyangkal bicaranya itu, lantas laju saja aku mengangguk.
“Parah! Parah! Awak harus mendapat rawatan terapi sekarang, kalau dibiarkan lama – lama aku takut awak akan hilang pertimbangan positif dan tiada tumpuan pada pelajaran” tegas Dennis Lee.
Aku menulikan telinga. Malas aku hendak melayan perubahan personaliti dirinya yang tiba – tiba saja seiras pakar kaunseling.
“Deliya!”
Tiba – tiba saja dia bangun lalu kedua – dua telapak tangannya mendarat di bahuku. Aku tergamam menatap pandangan Dennis Lee yang tajam menjunam ke dalam anak mataku. Wajahnya cukup serius.
“Aku janji akan selamatkan awak walau apa cara sekalipun” ikrarnya serius lantas meninggalkan aku yang terkebil – kebil memerhatikan langkahnya.
Apa kena dengan mamat seorang ini! Pening! Pening! Agaknya Dennis Lee diserang pening. Maklumlah kami di ambang SPM tahun ini. Kelas tambahan dan tuisyen pun padat. Sekali – sekala kepala yang sarat dengan pelajaran ini menyebabkan perangai jadi pelik juga.
***********************************************************
Aku menggosak mataku untuk kedua kalinya. Hairan melihat Mercedez Benz hitam mama ada di halaman rumah dalam jam – jam sebegini. Kelazimannya, seawal jam 10.00 malam barulah mama muncul di muka pintu. Kalau ada kes berat, bermalam di ofis pun mama pernah. Ketaksuban mama pada kerja sukar ditandingi. Mama mencintai kerjayanya sepenuh jiwa raganya. Barangkali mama tidak sihat. Hanya situasi sedemikian yang boleh membuatkan mama berada di rumah seawalnya. Hatiku dipagut kerisauan. Laju langkahku memasuki banglo mewah mercu kebanggaan mama.
“Nia!”
Aku tersentak mendengar suara lantang mama. Laju saja aku melontar pandanganku ke ruang tamu. Mama sedang duduk di sofa seakan sudah lama menanti kedatanganku. Aku memerhatikan wajah mama. Wajahnya tampak serius. Tiada secelit pun senyuman terukir di situ. Dapat aku rasakan bagai ada sesuatu yang telah dan bakal berlaku.
“Apa yang Nia buat kat sekolah selama ni?” suara mama tinggi.
Aku tersentak lagi mendengar persoalan mama. Cuba aku fahami akan maksud di sebalik persoalannya itu. Renungan tajam mama cukup mengecutkan perutku. Terasa peluh dingin membasahi dahiku. Sungguh penghawa dingin yang sedang dipasang ini langsung tidak terasa.
“Nia tak nak belajar lagi ke? Dah fikir nak kahwin?” keras suara mama.
Aku amat terkejut dengan bicara mama. Matanya mencerlang menatapku. Barangkali sudah sampai ke pengetahuan mama. Siapa yang punya angkara ini? Teman – teman sekelas sekadar mengetahui aku pelajar pilihan Cikgu Elvart Hee untuk menjawab soalan – soalan yangg diajukan sepanjang kelas Sejarah berlangsung. Kebetulan juga mereka tidak mengenali mama.
“Aku janji akan selamatkan kau walau apa cara sekalipun” suara nekad Dennis Lee kembali menerjah halwa pendengaranku.
Sah dia yang menyampaikan cerita ini kepada mama. Teman – temanku lain tidak mengenali mama sepertimana Dennis Lee mengenalinya. Mama juga mengenali dia malah turut bersahabat dengan ibu bapanya.
“Jawab Nia! Kenapa senyap?” suara mama bergema di setiap sudut banglo ini.
Tiba – tiba saja mama bangun dari sofa itu lantas mengatur langkah mendekatiku. Terasa terketar – ketar kepala lututku. Kugenggam jari – jemariku cuba mengumpul kekuatan yang ada. Aku merelakan diriku andainya mama berhajat memukulku.
“Mama nak jumpa pengetua dan cikgu tu. Mama nak tahu kisah sebenarnya dari cikgu tu” tutur mama amat memeranjatkanku.
Aku terkedu. Serasa nafasku terhenti. Kalau mama meneruskan hajatnya juga pasti heboh satu sekolah. Paling kasihan Cikgu Elvart Hee. Dia akan jadi mangsa atas perbuatanku.
“Please mama, jangan pergi” rayuku seraya memegang tangan mama sekaligus mematikan langkahnya.
“Jadi betul ler apa yang mama dengar ni?” suara mama semakin tinggi.
Apa yang mama dengar? Siapa gerangan yang membawa cerita ini kepadanya? Oh, nama Dennis Lee lagi yang terlintas di fikiranku! Hanya dia yang boleh berhubung dengan mama. Kebetulan pula memang dia berjanji untuk melakukan apa saja demi membunuh perasaanku terhadap Cikgu Elvart Hee.
“Betul Nia mencintai cikgu tu?”
Perlahan – lahan aku mengangguk. Aku tidak dapat lari menyembunyikan kenyataan itu lagi. Semuanya sudah terbongkar.
“Oh, my God...!”
Mama menepuk dahinya. Kecewa sangat dia mendengar pengakuanku ini. “Sorry mama...” tuturku menundukkan kepala.
Tidak berani aku menatap wajah mama. Bukan setakat takut, bahkan aku juga tidak sanggup melihat kekecewaan mama. Aku tahu hati mama hancur lebur tika ini.
“Mama takkan berdiam diri. Mama perlu jumpa pengetua dan cikgu tu” tegas mama tanda tidak termakan pujukanku.
Aku menatap wajah mama. Ada kesungguhan terpancar di wajahnya. Mama tidak main – main.
“Please mama, jangan ler buat begini. Semua ni salah Nia. Nia yang tak boleh kawal perasaan Nia. Cikgu Elvert Hee tak tahu langsung perkara ni” jelasku mengharapkan pengertian mama.
“Patut ler Nia lebih – lebih suka dengan subjek yang dia ajar. Nia kata cikgu tu yang pandai ajar tapi rupanya Nia ada niat lain. Nia telah bohongi mama!” jerkah mama semakin tidak dapat mengawal kemarahannya.
“Sorry mama.....”
Aku hanya mampu meluahkan rasa bersalahku pada mama. Aku sedar walau berapa banyak aku meluahkan rasa kekesalanku, mama tetap kecewa dengan tindakanku.
“Mama akan pindahkan Nia dari sekolah ni” tegas mama membuat keputusan drastik.
Aku terkedu mendengar kata putus mama dan hanya mampu menatap langkah mama berlalu meninggalkan aku. Kedengaran jeritan kereta mama meninggalkan halaman rumah. Aku terduduk lemah di situ. Perlahan – lahan terasa hangat menuruni cerun pipiku. Aku menangis teresak – esak di situ. Entah untuk berapa lama. Ke mana mama pergi dalam keadaan marah sedemikian? Betulkah mama akan pergi ke sekolah berjumpa dengan pengetua sekaligus mencari Cikgu Elvart Hee? Apa yang mama mahu lakukan terhadap Cikgu Elvart Hee? Fikiranku sarat memikirkan tindakan mama.
Aku mengatur langkah longlai ke bilikku. Langkahku mati di ambang daun pintu yang sudah sedia terkuak menanti kedatanganku. Pasti mama berkunjung ke sini tadi. Langkahku mati di situ. Beberapa helaian buku Sejarah yang kupuja – puja dan kujaga rapi selama ini bertaburan di atas lantai. Aku melangkah masuk lalu merapati katilku. Tidak kuat rasanya kakiku berdiri lama – lama. Hatiku dipagut sayu melihat buku Sejarah pemberian Cikgu Elvart Hee menjadi sedemikian rupa. Anak mataku terpandang diariku yang terkuak di meja studyku itu. Hatiku bertambah – tambah hiba. Tega juga mama mencerobohi hak yang terlalu peribadi. Mama benar – benar hilang pertimbangan.
Kugagahi kakiku untuk bangun lalu mengorak langkah mendekati meja studyku. Aku menundukkan kepala menatap diari itu. Jelas segala yang tercatat di sini telah sampai ke pengetahuan mama. Di sudut tepi meja, aku terpandang kad yang ditulis oleh Cikgu Elvart Hee telah direnyuk oleh mama. Aku capai kad tersebut lalu menggosok – gosoknya agar kembali kepada keadaan asal. Air mataku menitis. Aku cuba menahan senduku agar tidak berkumandang. Namun hatiku begitu pilu dan hiba. Sebetulnya aku kecewa kerana mama tidak menghormati hak peribadiku. Aku tidak terkilan bila mama marah kerana aku ada perasaan cinta terhadap Cikgu Elvart Hee, tetapi bila mama telah membaca diari ini aku rasa cukup terkilan. Mama telah menggugat dasar kepercayaanku terhadapnya.
No comments:
Post a Comment