Monday, 27 September 2021

Awaklah SonataKu .... Bab 24

“Awak pergi mana tadi?” soal Yen menatapkku. Aku menghirup sup di dalam mangkuk. Pandangan dan pertanyaan Yen kubiarkan seketika. Fokus pada hidangan makan malam ini.

“Iman ssi awak dengar tak nie?” soal Yen sekali lagi.

“Dengar,” balasku bersahaja tanpa sempat melawan pandanganYen. Kedengaran dengusan kasar Yen.

“Saya pergi ke CNFL. Lepas tu pergi minum bersama Encik Rizal,” ujarku menjawab pertanyaannya tadi.

“Minum bersama kekasih awak tu,” Yen tersenyum sinis.

“Awak ada masalah ke kalau saya keluar makan dengan Encik Rizal?” soalku memperlinya.

“Memang mendatangkan masalah sebab awak isteri saya!” bidas Yen serius menyucuh api sengketa. Aku mencebik.

“Dah banyak kali saya keluar dengan Encik Rizal, kenapa baru sekarang awak mempersoalkannya. Jangan-jangan awak jealous melihat saya bersama Encik Rizal. Awak dah mula suka saya ke?” soalku selamba tanpa segan silu.

“Aigooo...,” Tidak kupedulikan reaksi wajah yang ditunjukkan  Yen tika ini. Pandangan sinis sarat dengan kutukan.

“Bagus ler kalau macam tu. Saya nasihatkan awak jaga baik-baik buah hati awak tu. Luangkan masa awak bersama dia. Velviana tu memang cintakan awak sepenuh hati,” nasihatku.

“Tak payahlah awak ajar saya. Tahulah saya nak buat apa,” tiba-tiba sahaja Yen meradang. Terkebil-kebil aku menatap Yen yang diserang angin kus-kus.

“Lain kali bataskan pergaulan awak dengan Encik Rizal termasuk lelaki-lelaki lain. Selagi awak bergelar isteri saya selagi itu awak kena jaga perlakuan awak,” tegas Yen menyinga lantas bangkit dari duduk. Aku terkebil-kebil menyaksikan perlakuan Yen yang panas tiba-tiba. Yen meninggalkan aku bersama hidangan makan malam yang belum selesai ini.

“Sekejap marah sekejap melenting. Dia juga yang mulakan,” rungutku sendirian. Aku menghembuskan nafas. Kalau boleh sedikit masa yang tinggal ini aku tidak mahu melancarkan perang dingin terhadap Yen. Aku ingin berbaik-baik dengannya memandangkan satu tempoh yang agak panjang akan memisahkan aku dengan Yen. Mungkin juga aku tidak akan kembali ke sini lagi. Aku sudah ada tempat tinggal baharu untuk berteduh. Maka tidak perlulah aku menumpang di sini. Sedetik masa lagi banglo mewah ini akan aman damai tanpa pertelingkahanku dengan Yen. Aku menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya aku boleh hidup aman di kampus. Nanti bolehlah aku memberi perhatian sepenuhnya  pada kuliah. Ketika aku sedang sibuk mengemas hidangan di atas meja dan membasuh pinggan mangkuk di singki, kedengaran daun pintu ditutup. Kemudian kedengaran bunyi deruan enjin kereta meninggalkan halaman rumah. Yen sudah keluar membawa kemarahannya.

Usai kerja-kerja di dapur, aku terus melangkah ke bilik. Kukeluarkan beg pakaian yang tersimpan di dalam almari. Tidak banyak pakaian yang aku ada. Kucapai beberapa helai t-shirt dan tiga pasang baju kurung yang tergantung di dalam almari. Kulipat satu-persatu lalu meletakkan ke dalam beg pakaian yang sudah terkuak untuk diisi. Kuzip kembali beg pakaian ini. Setakat ini dahulu yang perlu aku kemaskan. Barang-barang keperluan lain kemudian aku kemaskan kerana aku masih memerlukannya untuk kegunaanku di rumah ini. Kupandang beg pakaian kecil yang sarat dengan barang-barang keperluan asrama yang dihadiahkan oleh Puan Sodiah tempoh hari. Ada juga beberapa pasang baju yang tersimpan di situ. Namun aku belum ada kesempatan cuba mengenakannya di tubuhku.

Kusimpan kembali beg pakaian yang sudah sedikit terisi ke dalam almari. Esoknya bertolak ke asrama baharulah aku mengemaskan kesemuanya ke dalam beg ini. Lantas aku membaringkan tubuh ke tilam. Cuba bersenang lenang di atas tilam empuk ini. Bagaimanakah kehidupan di asrama nanti? Bolehkah aku bersenang lenang begini? Adakah tilamnya seempuk tilam alas perbaringanku sekarang ini? Ohh...banyaknya soalan yang menghantui fikiranku! Risau kalau aku gagal melalui semua itu. Namun... Mustahil aku tidak mampu berhadapan semua itu memandangkan laluan hidupku selama ini tidak begitu mudah. Aku akan melakar kehidupan yang lebih tenang dan berjaya. Aku akan cuba menggapai kehidupan sedemikian. Ya Allah, Engkau sempurnakanlah kehidupanku ini agar aku boleh berbakti kepada agamaMu, keluargaku dan sekalian masyarakat.   

Kucapai remote tv lalu menekannya. Kulontar pandangan ke kaca tv. CH 393 channel kegemaranku ini memaparkan sebuah drama yang berkisar kehidupan kekeluargaan. Namun tayangan drama tidak bisa menarik perhatianku. Mungkin juga cerita ini tidak dibintangi oleh wajah-wajah kacak seperti Jang Keun Suk, Jung Ji-Hoon, Park Seo Jun, Hyeon Bin, Song Seung Heon mahu pun Jang Hyun hero-hero Korea kesukaanku. Kupadamkan tv lalu bingkas bangun dari tilam lantas mengatur langkah keluar dari bilik. Aku ke dapur mengambil segelas air kosong dingin untuk membasahi tekak yang dahaga. Aku kembali ke ruang tamu lalu melabuhkan duduk di sofa. Bersandar seketika di situ. Terasa begitu sunyi bersendirian di banglo mewah ini. Kulirik jam yang tersandar di dinding. Sudah mencecah ke pukul 11. 59 malam. Masa bergerak begitu pantas. Sedetik lagi hari baharu akan muncul. Aku bergerak ke jendela. Kuselak sedikit langsir labuh yang mencecah ke lantai. Dari cermin ini nampak halaman kosong. Memang Yen belum balik lagi. Sejak aku tinggal bersama Yen, tidak pernah dia balik lewat malam begini.  

Mungkinkah dia marah betul denganku saat ini? Tidak mungkin Yen seserius itu. Perkara yang kami bicarakan itu bukan mustahak sangat pun. Musytahil begitu terkesan di hati Yen. Lagipun buat apa Yen hendak ambil hati. Aku dan Yen pun bukan ada hubungan istimewa selain jadi pasangan suami  isteri pada kertas sahaja. Apa yang aku katakan tadi lahir dari keikhlasan hatiku. Aku memang mengharapkan Yen berbuat baik pada Velviana. Tidak rugi Yen berbuat demikian memandangkan Velviana begitu mencintainya. Cinta yang begitu mendalam dan tidak berbelah bahagi.

Aku kagum pada Velviana yang mampu mencintai seorang Adam sepenuh hatinya. Mampukah aku mencintai seseorang sebanyak itu? Adakah seseorang yang akan mencintaiku sebanyak itu juga? Ada kesempatankah untukku menemui lelaki yang akan aku berikan cinta ini? Siapakah yang akan mengetuk pintu hatiku ini? Bilakah kunjungan cinta itu akan tiba? Perlahan-lahan keluhanku tercetus. Bertalu-talu persoalan yang bermain di benakku. Aku tidak mahu memikirkan sangat semua itu sekarang. Kini tugas utamaku memulakan, menjalani dan menamatkan kehidupan seorang mahasiswi dengan kejayaan yang cemerlang. Itu impian hidupku.

Aku memandang lagi ke halaman. Belum nampak kelibat kereta Yen. Barangkali Yen menemui Velviana. Sudah adat orang bercinta saling berdampingan. Untuk apa aku terus berdiri di ruang tamu ini? Tiada hakku untuk menunggu kepulangan pemuda Korea itu. Aku juga tidak perlu mencambahkan kerisauanku. Yen sudah cukup dewasa untuk menjaga keselamatan sendiri. Laju langkahku meninggalkan ruang tamu.

Di bilik ini aku menyambung melayan bicara hatiku lagi. Otakku ligat berputar. Ada 48 jam lagi untuk aku merencana perkara yang harus aku lakukan bagi mengisi perjalanan waktu itu sehingga sampai kepada pusingan 24 jam untuk kedua kalinya. Patutkah aku menghabiskan 2880 minit atau 172800 saat itu hanya duduk di banglo ini sahaja? Mungkinkah aku boleh mengisi masa kosong itu di RCC atau di My Dream sahaja? Namun Yen melarang aku untuk bersama Encik Rizal. Andai aku memijakkan kaki ke RCC sama seperti aku menghantar diriku untuk bertemu dengan Encik Rizal. Aku tidak yakin aku tega menolak ajakan Encik Rizal yang gemar sangat minum petang atau makan bersamaku. Mungkin juga aku boleh berkunjung ke My Dream sahaja. Namun Yen tidak pernah mempelawaku ke situ. Terlalu bahaya juga kalau aku berada di situ kerana bila-bila masa sahaja Velviana akan muncul di situ. Velviana juga persis Yen namun sedikit berbeza amarannya. Velviana  tidak mahu melihat aku berada di sisi kekasih hatinya itu.

Dalam aku terkebil-kebil memikirkan perancangan pengisian detik 172800 saat ini, wajah Pak Long sekeluarga menjelma di fikiranku. Rindu yang menebal kepada mereka. Sudah sekian lama aku tidak bertemu dengan Pak Long sekeluarga. Kembaliku ke kampung pada minggu lalu hanya semata-mata menziarahi pusara ayah, ibu dan nenek. Aku tidak singgah di rumah Pak Long. Bahkan kehadiranku di kampung kurahsiakan daripada pengetahuan Pak Long. Sejak peristiwa malam itu aku kurang keyakinan dan keberanian untuk bertentang mata dengan Mak Long. Aku juga tidak mahu terus-terusan menyakiti hati Mak Long yang pantang bersemuka denganku. Aku ialah simbol kelukaan Mak Long. Melihat aku akan membuatkan jiwa raga Mak Long kian tertekan. Kasihan Mak Long. Jauh di sudut hati, aku memang mengharapkan hubunganku dengan Mak Long akan sirna. Semoga Mak Long mampu menerima kehadiranku dalam keluarganya pada suatu hari nanti. Amin. Aku terus memejamkan mata. Fikiranku kosong.

 

Jack yang baru saja menolak daun pintu studio My Dream tersentak menatap Yen yang sedang tidur terlentang di atas sofa panjang itu. Musykil melihat pemuda itu berada di situ. Jelas semalaman pemuda itu berada di situ. Sesuatu yang pelik dan tidak pernah dilakukan oleh Yen. Kalau pun dia ada kerja yang perlu disiapkan pasti akan diselesaikan di rumah sahaja memandangkan Yen memiliki mini studio yang lengkap di rumah. Sebetulnya memang Yen lebih suka membuat rakaman di mini studio itu.

“Hoi, bangun! Kejap lagi pelajar-pelajar awak sampai,” Jack melontar suaranya mengejutkan pemuda itu. Yen mula bergerak. Kelopak matanya sedikit terangkat. Tangannya masih memeluk tubuh yang kedinginan. Dicapainya iPhone yang terletak di atas meja di sisinya. Ditenung seketika. Tiada sebarang panggilan yang diterima mahu pun mesej yang dikirim kepadanya. Anak matanya melirik pada jam digital yang terpapar di skrin iPhone itu. Tidak sampai satu jam kelas akan bermula.

“Apa hal awak tidur kat sini? Awak nie macam orang lari dari rumah je. Kalau dah beristeri logik juga nak kata awak lari dari rumah sebab bergaduh dengan isteri,” tutur Jack tersengih. Yen terdiam. Memang pun semalam dia melancarkan perang dingin dengan gadis itu sehingga membawa dirinya bermalam di situ. Yen bangkit dari perbaringan. Dia duduk tersandar di sofa itu. Seluruh tubuh terasa lenguh-lenguh. Tengkuknya sengal-sengal. Dipicit-picit lengannya. Tidur semalaman di atas sofa memberi ketidakselesaan pada dirinya.

“Saya memang bergaduh dengan isteri saya semalam,” lancar pengakuan itu keluar dari mulutnya. Yen terus bangkit dari sofa itu tanpa mempedulikan Jack yang tersengih panjang.

“Apa hal awak bergaduh dengan Vel?” soalnya menyiasat. Langkah Yen mati. Bicara Jack cuba difikirkan seketika.

“Bila masa pula saya bergaduh dengan Vel?” soalnya semula.

“Awak juga yang cakap sekejap tadi,” balas Jack sambil geleng-geleng kepala. Yen garu-garu kepala.

“Pergi mandi cepat. Awak tu mamai lagi sebab tu tak ingat cakap sendiri,” kutuk Jack tersengih. Yen berpatah balik. Tidak mahu meneruskan langkah ke bilik pejabatnya. Daun pintu utama ditolak.

“Saya balik kejap nak mandi. Kalau mereka dah sampai nanti suruh mereka berlatih not-not yang saya ajar semalam. Beritahu mereka saya akan uji mereka sorang-sorang,” ujarnya meninggalkan pesanan. Jack hanya mengangguk akur.

 

USAI sahaja aku menyiapkan hidangan sarapan, aku melangkah ke ruang tamu. Kuselak langsir meninjau ke halaman rumah. Kosong. Kereta Mercedez Benz tidak berada di situ. Yen tidak berada di rumah ini. Barangkali dia bermalam di studio My Dream. Tidak pun dia berada di rumah Velviana. Astaghfirullahazim. Berdosa aku berprasangka buruk kepada pemuda itu. Seteruk-teruk sikap Yen, aku yakin dia tidak akan bermalam di rumah Velviana. Biarpun Yen seorang yang suka kebebasan namun dia masih tahu hukum agama. Yen tidak akan membelakangi hukum itu. Aku mendaki anak tangga satu persatu. Langkahku mati di pertengahan anak tangga tatkala mendengar bunyi deruan kereta memasuki halaman rumah. Yen muncul di sebalik pintu dalam keadaan yang nampak tergesa-gesa.

“Awak baru balik,” sapaku. Yen menatapku. Tiada kedengaran suaranya menyahut sapaanku. Aku dan Yen bertembung di anak tangga. Sedikit aku berganjak ke tepi. Khuatir bersentuhan dengan Yen. Aku dan Yen bertentangan mata buat seketika.

“Semalam awak tidur kat mana? Saya dah buat breakfast untuk awak,” ujarku memaklumkan. Yen memandangku sekilas dengan pandangan yang dingin. Mulutnya masih terkunci. Tiada sepatah kata pun yang terkeluar dari mulut itu. Kemudian Yen terus membesarkan langkahnya meninggalkan aku yang masih terpacak di anak tangga sambil memerhatikannya. Kedengaran bunyi daun pintu biliknya ditutup. Aku menyambung langkahku semula. Melihat kedinginan sikap Yen menyedarkan aku bahawa pemuda Korea itu menyimpan perasaan tidak puas hati kepadaku. Sebelum ini biarpun Yen marah padaku namun tidak berlanjutan lama. Kali ini kemarahan Yen berbeza daripada yang sudah-sudah.

Aku membaringkan tubuh kembali ke tilam sambil di tangan memegang majalah baharu yang memaparkan cerita sensasi artis-artis Korea. Tidak sampai 30 minit kedengaran kembali bunyi deruan kereta meninggalkan halaman rumah. Aku bangkit dari tilam sambil memanjangkan leher menjenguk keluar jendela. Sempat juga anak mataku menatap bontot kereta Mercedez Benz hitam metalik kepunyaan Yen meluncur laju di dada jalan. Teringat aku pada sarapan yang aku sediakan tadi. Mesti Yen tidak sempat menikmatinya. Bukan tidak sempat tetapi tidak sudi. Aku mengeluh. Sia-sia sahaja usahaku. Langsung tidak dihargai oleh pemuda Korea itu. Geram. Mentang-mentang dia anak orang kaya, senang-senang pula dia membazir. Kalau pun dia tidak mahu bersarapan sepatutnya awal-awal dia sudah maklumkan kepadaku. Mungkin malam ini pun Yen tidak akan makan bersamaku. Terasa perang dingin sedang dilancarkan.

 

Aku menghabiskan seharianku di banglo ini sahaja. Setelah menyelesaikan segala kerja rumah, aku mengisi masa menonton siaran di kaca tv dengan pelbagai posisi. Sengal duduk aku berbaring. Kemudian duduk lagi. Bosan. Tiada program tv yang menarik minatku. Lantas aku memilih-milih deretan vcd Korea milikku yang tersusun kemas dalam kabinet kaca di tepi katil ini. Kucapai remote tv dan remote pemain cakera padat. Lantas memulakan disc 1 drama ‘Full House’ lakonan Bi Rain dan Song Hye-kyo. Pasangan pelokon yang cukup padan untuk menjadi pasangan kekasih. Bagai pinang di belah dua. Si heronya segak dan kacak. Si heroin pula jelita menawan. Mereka disatukan dalam epik cinta yang indah ini.  Aku tertawa-tawa seorang diri sepanjang menonton drama ini. Biarpun tiada lagi unsur suspen lantaran sudah banyak kali aku menonton, namun aku tetap ternanti-nanti babak seterusnya. Aku boleh ketawa banyak kali pada bahagian cerita yang sama. Memang tiada istilah bosan biarpun sudah berulangkali cerita ini dimainkan.   

Jam mencecah ke pukul 05.00 petang, aku bergegas mengangkat pakaian di jemuran lantas melipat. T-shirt dan jeans milik Yen sudah kugantung di dalam almari. Aku bergegas ke dapur menyediakan hidangan malam. Masak seringkasnya sebab tidak pasti sama ada Yen akan makan malam di rumah ini. Sekadar mereneh sup ayam, menggoreng ikan dan menumis kacang panjang sedikit masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan semua itu. Nasi sudah ditanak. Sebelum berangkat ke bilik, aku menyalakan lampu ruang dapur, ruang makan serta ruang tamu. Begitu juga dengan lampu di halaman kerana kegelapan sudah beransur-ansur menampakkan diri. Aku berehat seketika di bawah putaran ligat kipas siling antik buatan Itali ini bagi menghilangkan panas sebelum melangkah ke bilik air.

Lewat pukul 08.00 malam aku memunculkan diri di ruang tamu. Hampir setengah jam aku terpaku di situ menanti kemunculan Yen. Cuba melambatkan waktu makanku semata-mata mahu makan bersama Yen. Mujur juga Yen muncul tika jarum jam hampir mencecah ke pukul 09.00 malam.

“Awak dah makan?” soalku tatkala Yen melewatiku. Langkahnya terhenti. Aku memandang Yen yang sedang membelakangiku.

“Saya mandi kejap,” ujarnya memberi isyarat bahawa dia akan makan malam bersamaku. Yen meneruskan langkah ke tingkat atas. Aku menyiapkan hidangan makan malam yang sudah terlewat ini. Yen muncul semula dengan wajah yang tampak lebih segar. Maklumlah baharu sahaja usai mandi. Sepanjang waktu makan malam ini berlangsung, Yen masih mendiamkan diri. Sesekali hanya kedengaran bunyi sudu dengan pinggan berlaga. Kutatap Yen yang tampak tekun melayan seleranya. Tidak pernah suasana sesepi ini tatkala aku dan Yen berada di meja makan ini.

“Esok saya nak balik ke kampung kejap, nak jenguk Pak Long,” tuturku perlahan memecah kesepian. Yen mengangguk.

“Saya tak dapat sediakan makan tengah hari awak. Awak makan kat luar ler ye,” ujarku berhati-hati. Yen mengangguk lagi.

“Lusa saya dah nak mendaftar masuk ke hostel. Isnin tu dah mula orentasi pelajar-pelajar baharu” tuturku masih berusaha mengajak Yen berbicara. Yen menatapku.

“ Lusa tu awak boleh hantar saya ke kampus?” soalku. Kali ini Yen geleng kepala. Yen masih mahu menyimpan suaranya. Tib- tiba sahaja suara Yen terlalu berharga untuk diperdengarkan.

“Takpelah. Nanti Suzan atau Linda yang hantar saya. Mereka dah janji nak tolong saya,” ujarku tersenyum. Yen hanya memandangku.

“Makanlah,” arahku meneruskan suapan. Kembali sepi. Aku tidak bersuara lagi. Kematian akal mahu terus berbicara sendirian. Usai menikmati hidangan makan malam, aku menghantar pinggan dan gelas ke singki. Yen masih berada di tempat duduknya. Barangkali mahu memendapkan makanan di dalam kantung perut buat seketika menyebabkan dia masih tidak berganjak di situ.

“Iman ssi...,” Laju aku berpaling ke arah Yen. Lama juga Yen mengambil masa mahu mengeluarkan suaranya.

“Saya tarik balik kata-kata saya semalam. Awak boleh keluar dengan sesiapa saja termasuk Encik Rizal,” ujar Yen lalu bangun meninggalkan ruang makan ini. Kelibat Yen hilang. Tinggallah aku sendirian di sini.

“Manusia yang tiada pegangan. Sekejap cakap macam tu, sekarang cakap macam nie pula. Memeningkan kepala orang je,” rungutku membebel seorang diri.

“Tak payahlah awak cakap, memang aku tahu apa yang perlu aku buat. Awak tak payahlah menyibuk tentang halku. Awak hanya perlu jaga kekasih hati awak tu. Saya peduli apa,” memanjang- manjang bebelanku.

 

Di bilik itu, pandangan matanya masih merenung potret wanita yang tergantung di dinding itu. Senyuman yang terukir indah di bibir wanita itu tidak mampu memadamkan gelodak perasaannya tika ini. Dia terkeliru dengan dirinya sendiri. Bicara mulut tidak seiring suara hati. Tiba-tiba sahaja Yen tidak memahami kemahuan hatinya. Fikirannya buntu. Betapa sukar untuknya mengerti kehendak sebenarnya. Lantaran itu, dia dalam delima yang panjang.

 

“Mama, apakah tindakan Yen nie betul?” bisik hatinya menyoal dengan pandangan mata yang masih terikat pada potret wanita itu. Serta-merta wajah Velviana dan wajah gadis itu mendatanginya silih berganti. Berputar-putar menggelilinginya. Kemudian tampak wajah Velviana semakin jauh dan samar-samar. Akhirnya lenyap begitu sahaja sedangkan wajah gadis itu dengan senyuman menawan masih jelas di matanya. Yen bertambah keliru.

 

 

No comments:

Post a Comment