"Kadang-kadang awak nampak begitu matang. Tenang dan bersahaja mendepani semua masalah yang mendatang. Namun adakala awak persis anak-anak manja yang perlukan perhatian dan penjagaan agar tak tercedera," tutur Rayyan memberikan komentar akan personalitiku. Aku tergelak.
"Awak harus ingat saya menghabiskan separuh waktu siang saya bersama anak-anak yang baharu menginjak ke alam remaja dan sebahagiannya ke alam kedewasaan. Kalau awak nak rapat dan lebih memahami mereka, awak perlu turut menempatkan diri awak dalam situasi mereka," jelasku.
Berkerut dahi Rayyan. Pusing dengan tuturku.
"Saya perlu bijak menggunakan pertimbangan akal dan emosi serta sentiasa tenang menghadapi pelajar-pelajar saya yang pelbagai kecerdasan dan berbeza latar belakang. Ikhlas mencurah bakti dan amanah pada tanggungjawab yang diberikan," tegasku. Menjadi guru berkaliber bukan mudah.
"Saya nak jadi seorang guru yang hadirnya ditunggu, hilangnya dirindu, ilmunya diburu, nasihatnya diseru, tingkahlakunya ditiru," ujarku bersemangat.
"Selamat Hari Guru. Semoga impian awak termakbul," laju sahaja Rayyan mencelah. Aku tergelak. Reaksi pemuda ini mencuitku.
- Iman Zahra -
No comments:
Post a Comment