Monday, 1 August 2011

Cintanya Hanya Untuk Sedetik.....



“ Suatu hari nanti, pasti kau akan datang minta tandatanganku termasuk Cikgu Suhana tu” ujar Hasman bersungguh-sungguh.
Aku tersenyum sinis memperlinya. Ditatapnya kertas putih yang sudah dipenuhi lakaran kreativitinya itu untuk kesekian kali.
“ Pada masa tu aku dah jadi pereka fesyen terkenal. Aku reka baju untuk Cindy Crowford, Naomi Campbell, Claudia dan Elle McPerhson”  Aku tertawa. Terlalu tinggi angan-angannya.
“ Jangan merepaklah Man. Tengok dulu markah yang kau dapat tu. Dahlah markahnya warna merah ada hati pula nak reka pakaian supermodel. Pening kepala aku nak baca deretan komen Cikgu Suhana tu. Baik kau ambik serius peringatannya tu” nasihatku.
“ Cikgu Suhana tu tak arif menilai kreativitiku nie. Ilhamku nie abstrak tau. Susah orang nak hasilkan macam nie” ujarnya masih mahu meninggi diri.
“ Aku akan jadi pereka fesyen terkenal. Pada masa tu kau akan datang cari aku nak ambil autograf dan gambarku” ulangnya lagi.
“ Kau nie perasan sangatlah Man” kutukku.
“ Kau ingat saja cakap aku nie. Aku akan buka bisnes sendiri. Kalau kau tak de kerja masa tu, kau boleh minta kerja kat aku” ujarnya bermurah hati.
“ Man...........”
“Kalau kau Nina, pintu pejabat aku sentiasa terbuka tau” tambahnya sambil menongkat dagu membayangkan sesuatu. Aku mengeluh bosan.
“Kalau kau kahwin dengan aku masa tu, aku akan cipta pakaian pengantin khas untuk kita berdua. Pakaian pengantin yang paling unggul yang pernah pereka hasilkan”  Dia terus membebel dengan angan-angannya.
“ Tengok, cantik tak design baju aku nie”  ditayangkannya lakaran baju itu kepadaku.
“ Bajukah robat nie?” perliku.
“Alah, kau nie betul-betul macam Cikgu Suhana, tak tahu menilai seni!” protesnya.
“ Kalau kau tahu, kenapa masih gagal menghasilkan tugasan yang memenuhi klasifikasi yang ditetapkan. Orang lain semua okey je cuma kau seorang jer yang gagal memenuhi syarat. Aku rasa kau betul-betul tak layak masuk kelas lukisan tu. Baliklah kau ke kelas ekonomi tu” cadangku.
“Aku suka betul kelas lukisan nie” luahnya tidak mahu patah semangat.
“Kalau suka kenapa kena reject je hasil tugasan kau tu” ujarku cuba menyedarkan tentang kemampuan dirinya. Kalau ini sudah kenyataan Hasman harus menerimanya dengan hati yang terbuka. Dia tidak perlu memaksa diri untuk mengikuti kelas lukisan itu lagi. Paling penting dia tidak perlu menyeksa Cikgu Suhana menghadapi hasil – hasil kreativitinya he....he...he...he....
“Cikgu Suhana tu ................”
“Dahlah tu Man” pintasku sebelum dia memanjangkan bicaranya.
Aku sudah tahu apa yang bakal keluar dari mulutnya itu. Tidak sudah – sudah akan menyalahkan Cikgu Suhana.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

“Semua penumpang sila pasangkan tali pinggang kerana sebentar lagi kita akan mendarat” suara Ketua Pramugari membuat pengumuman dalam versi Bahasa Malaysia mengejutkanku.
Pantas kututup album ditanganku. Memori lalu mengamit ingatanku. Aku tersenyum sendiri.
Huuhh, terasa segar menyedut udara di luar ini walaupun tiada jaminan tentang tahap kebersihannya! Kira – kira berbelas jam aku duduk terpacak di kerusi membuatkan punggungku terasa lenguh. Aku kembali ke bumi Malaysia, tanah tumpah darahku setelah genap empat tahun kutinggalkan. Aku kembali dengan segulung ijazah. Bagaimana Hasman sekarang? Masihkah dia hidup dengan angan – angannya itu?
“Nina...!”
Aku berpaling ke arah suara itu. Seorang pemuda segak dengan kaca mata hitam dan pakaian kemas dilengkapi dengan tali leher meron tersenyum kepadaku. Siapakah pemuda ini? Seorang modelkah dia? Aku langsung tidak mengenalinya. Agaknya dia dihantar oleh agensi tempat aku bekerja nanti untuk menyambut kepulanganku ini.
“Hey, Nina! Kau tak kenal aku ke? Akulah Man”ujarnya berusaha memperkenalkan diri lalu menanggalkan kaca mata hitam itu.
Aku tergelak besar. Betul – betul aku tidak cam dia tadi. Penampilan Hasman sudah jauh berbeza daripada empat tahun yang lalu. Dia benar – benar sudah berjaya mengubah identiti dirinya.
“Sorry ler Man, betul aku tak kenal kau tadi” terus terangku.
“Bukan main sombongnya orang baru balik dari luar negara nie” kutuknya.
“Bukan macam tu, kau tu bergaya sakan buat aku terpegun” selorohku.
Kami sama – sama ketawa. Terasa zaman persekolahan kembali wujud.
“Jom aku hantar kau balik” pelawanya.
Aku menerima saja pelawaannya itu. Kebetulan kepulanganku ini di luar pengetahuan keluargaku. Sengaja hendak mengejutkan kepada mereka. Aku mengekori langkah Hasman ke lot parking. Langkah kami terhenti. Kutatap kereta sport merah BMW di depanku ini. Kemudian kualih pandanganku kepada Hasman pula.
“Masuklah” arahnya bersahaja.
“Kereta kau ke nie?” soalku seakan tidak percaya.
Dia hanya mengangguk sambil tersenyum. Enjin kereta dihidupkan.
“Mana kau dapat kereta nie?” soalku sedikit teruja.
“Aku belilah, mana ada orang beri percuma”
Oooo.., terkena sebiji aku pelurunya.
“Maksud aku ..........”bicaraku tergantung.
“Aku tahu kau tak percaya aku ada duit nak beli kereta nie. Bulan depan aku nak beli kereta sejuta ringgit tu pula. Nie baru surprise pertama untuk kau, belum lagi yang seterusnya” ujarnya selamba.
“Oh, agak berjaya juga hidup kau sekarang ye” pujiku disambut dengan sengihannya.
“Macam mana kau tahu aku balik hari nie?” soalku.
“Aku terserempak Lily semalam. Dia yang cakap kat aku. Harapkan kau nak bagitau kempunan ler nampaknya. Nama je kekasih tapi langsung tak boleh berhubung. Mujur juga aku nie kekasih yang setia” omel Hasman sekaligus meninggi diri.
Aku tersengih panjang. Sebenarnya hubunganku dengan Hasman tidak berapa jelas. Sememangnya dari zaman sekolah dahulu Hasman menyatakan bahawa akulah kekasih hatinya dan aku tidak pernah menafikannya. Perkara yang pasti aku menyenangi Hasman. Terasa aku begitu selamat tatkala berada di sisinya. Barangkali sebab Hasmanlah aku tidak pernah membukakan hatiku untuk pemuda lain.
“Apa kerja kau sekarang Man?” soalku melarikan topik perbualan tadi.
“Kan aku suruh kau ingat enam tahun lalu”
“Enam tahun lalu........ Maksud kau, kau dah buka bisnes dan jadi pereka fesyen terkemuka”
“Masih juga kau ingat ye”
Hasman tersenyum sendiri.
“Kau jangan bergurau dengan aku Man”
“Alah, budak nie, kita cakap betul – betul dia ingat kita main – main pula” rungutnya.
Kerete sport merah BMW ini berhenti tepat – tepat di hadapan sebuah butik. Kutatap papan tanda perniagaan yang tergantung di atas muka pintu utama butik itu. “Hasman Butik........” Itu saja yang sempat aku tatap. Selebihnya pandanganku sudah teralih kepada beberapa orang pekerja yang berada di sebalik dinding kaca itu sedang mengangkat tangan sebagai sapaan kepadanya. Hasman tersenyum sambil mengangguk kepala.
“Percaya tak?”
“Hebat kau Man” pujiku.
“Salah satu cawangan bisnesku. Kalau kau nak tengok ada lagi” terangnya.
Syukurlah dia telah berjaya merealisasikan impiannya selama ini. Sesungguhnya aku tumpang gembira dengan kejayaannya ini. Tidak sia – sia dia berangan – angan tinggi.
“Banyak design yang cantik – cantik aku reka tau. Kalau kau nak tengok aku boleh tunjukkan”
“Boleh juga” balasku teruja dengan kejayaan yang dikecapi olehnya.
Aku betul – betul kagum dengan Hasman. Awal – awal aku sudah tabik hormat dengannya. Rupa – rupanya bicara yang keluar dari mulutnya beberapa tahun lalu bukan sekadar bicara kosong. Dia telah berjaya membuktikan kemampuan dirinya sebagai pereka fesyen terkenal.
“Nina” panggilnya lembut.
Aku menatap wajah Hasman. Dia nampak serius kali ini.
“Apa?”
“Aku ingin melamarmu” luahnya tanpa sekatan.
Aku terpaku. Tidak menyangka ini yang bakal Hasman utarakan.
“10 tahun dah cukup untuk kita mengenali hati budi masing – masing. Kau dah tamat pengajian dan aku dah punya kedudukan teguh untuk menyara sebuah keluarga. Aku rasa tak de alasan lagi untuk kita menanguhkan perkara yang baik nie” tuturnya tenang.
Aku masih diam. Kiranya Hasman adalah lambang cinta pertamaku. Dia juga sahabat sejatiku. Dia kekasih dan sahabat setiaku sekaligus merupakan pemuda yang baik. Paling penting mak begitu menyenanginya. Jelasnya dia bakal menjadi menantu idaman mak.
“Apa yang kau fikirkan tu?”
Aku tersentak. Kutatap wajah Hasman.
“Berilah aku sedikit masa untuk membuat keputusan” pintaku.
“Aku akan tunggu” ujarnya tersenyum.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Teman – teman tidak henti – henti mengusikku membuatkan senyumanku tidak lekang dari bibir. Mulut mereka seringkali memujiku. Mak Andam turut tersenyum simpul apabila tidak ketinggalan menerima pujian kerana berjaya menata riasku dengan cantik.
“Beruntung kau Nina, pakaian pengantin kau suami yang reka sendiri. Kalaulah aku macam tu suatu hari nanti, alangkah bahagianya aku” puji Lily memanjang.
Aku senyum lagi. Bersyukur juga aku dapat teman hidup seperti Hasman. Sungguh terasa bahagianya diri ini.
“Dahlah dapat suami lawa, orang terkenal pula tu. Betul – betul beruntung badan” tambah seorang lagi.
“Kat mana kamu honeymoon nanti?” usik Lily sambil tersenyum meleret.
Aku tidak henti – henti senyum mendengar usikan teman – teman. Tidak larat rasanya hendak memberikan respons pada setiap usikan mereka itu.
“Aku rasalah Hasman akan bawa kau ke Kota Paris sebab di situlah lahirnya pereka - pereka fesyen yang terkenal di dunia. Paling penting Kota Paris merupakan kota yang paling romantik. Memang sesuai untuk berkasih sayang” tambah seorang lagi disambut dengan gelak tawa.
Beberapa minit kemudian, mulut murai teman – temanku terhenti seketika. Barangkali sudah lenguh menyakat dan mengusikku.
“Kenapa rombongan pengantin lelaki belum nampak – nampak lagi nie?” keluh Lily menyedarkanku.
Sudah lewat. Sepatutnya mereka sudah sampai beberapa minit yang lalu. Aku semakin rimas dan gelisah. Ada manik – manik peluh mula keluar membuatkan Mak Andam tidak henti – henti menyapunya. Keluargaku di luar mula gelisah. Tetamu mula riuh rendah disusuli dengan tangisan dan jeritan anak – anak kecil. Semuanya sudah rimas menanti. Mak tidak  henti – henti menjengukku bertanyakan pelbagai persoalan. Betapa risaunya hati mak. Jeritan telefon di ruang tamu melenyapkan keriuhan. Semua mata tertumpu ke situ. Kujengukkan sedikit kepalaku di muka pintu. Tidak mahu ketinggalan mendengar perkhabaran yang diutus. Nampak abang sedang berbicara dengan si pemanggil. Gagang diletak lantas mendekati mak. Abang berbicara sesuatu kepada mak. Wajah mak pucat serta merta. Keinginanku melonjak – lonjak untuk mengetahui perkara yang terjadi. Tidak sampai lima minit, mak mendekatiku. Kutatap wajah mak, anak matanya berkaca. Dipegangnya bahuku bagaikan cuba menyalurkan tenaganya kepadaku agar aku menjadi kuat. Kuat untuk menerima sebarang kemungkinan.
“Nina, tabahkan hatimu” hanya itu yang mampu keluar dari  mulut mak.
Mak memalingkan mukanya. Betapa dia tidak sanggup untuk menatap wajahku.
“Kenapa mak? Cakaplah” gesaku.
Dikesatnya air mata yang menitis dengan hujung tangan kabarungnya. Terasa dadaku berdebar kencang.
“Rombongan pengantin lelaki ( mak menahan sendunya ) terlibat dengan kemalangan. Hasman ...... dia gagal diselamatkan. Sebentar tadi dia dah pergi” suara mak lemah saja.
Aku terpaku tanpa bergerak – gerak lagi. Segalanya menjadi mimpi ngeri. Senyumanku sudah lama lenyap. Segala – galanya sudah berakhir. Sedar – sedar mak sudah memelukku. Terasa panas meluncur laju di pipiku. Kian lama kian pantas tanpa alunan tangisan. Lututku terasa begitu lemah. Aku tidak mampu berdiri lalu aku terduduk di situ. Laju saja tangan mak dan Lily memaut tubuhku. Lantas Lily dan teman – temanku memimpinku bangun. Aku tidak berdaya untuk berdiri sendiri. lutut dan kakiku seolah tidak berfungsi langsung. Aku tersungkur ke lantai semula. Pandanganku hitam. Gelap.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
“Nina....., bangun nak” suaranya lembut saja.
Perempuan separuh usia itu membangunkan tubuhku dari perbaringan. Aku menatap wajah sedikit berkedut itu. Sayu dan sugul. Langsung tidak ceria. Sudah beberapa hari aku melihat perempuan tua ini menangis.
“Makan ye..” suaranya bernada pujukan.
Perlahan – lahan aku membuka mulut, mengunyah bubur nasi yang disuapkannya. Lembut tangannya membelai dan mengusap rambutku. Dia nampak sedih sangat tapi kenapa? Setiap hari aku menyaksikan dia menangis. Siapakah perempuan tua ini? Siapakah dia yang setia menyuapkan bubur ke mulutku, menyikat rambutku, menyalinkan pakaianku, memandikan aku, menidurkan aku, mengucup dahiku penuh kasih sayang malah selalu menitiskan air mata di depanku. Betapa menggunung kasih sayangnya kepadaku.
“Kau dah nampak kurus, Nina” bisiknya lembut sambil mengusap lembut pipiku.
Kemudian dia mengesat air matanya dengan hujung tangan baju kurung Kedahnya.
“Assalamulaikum....” ada suara melaung dari halaman rumah.
“Mak tengok siapa yang datang tu” ujarnya lantas berlalu ke muka pintu.
Mak? Siapa Mak? Perempuan itu ‘mak’ namanya. Dia panggil aku Nina? Nina?
“Saya Ana, kawan Nina di USA dulu, mak cik. Saya dengar Nina sedang sakit. Bagaimana keadaan dia sekarang, mak cik?”
“Dia masih seperti tu. Ana tengoklah keadaan dia tu” ujarnya pilu.
Langkah Ana terhenti. Ditatapnya wajah sahabatnya itu lalu beralih ke wajah perempuan tua tadi. Perempuan tua itu mengesat air matanya yang tidak sudah – sudah mengalir.
“Seperti inilah kehidupannya setiap hari” ujarnya sayu.
“Sabarlah mak cik”
Aku mendongak perempuan berkebaya merah yang mendekatiku. Dipegangnya tanganku erat. Wajahnya sayu menatapku.
“Nina, aku Ana”
Aku jadi hairan.
“Ana, Ana kawan Nina di USA dulu”
Aku tidak tahu apa yang sedang dibicarakannya ini.
“Nina dah tak ingat Ana lagi? Tak pelah pasti suatu hari nanti Nina akan ingat kembali” ujarnya tersenyum.
Dibelainya aku selembutnya seperti yang selalu dilakukan oleh perempuan tua tadi.
“Nina, kau mesti tabah menerima kenyataan ni. Kau harus bangun semula untuk meneruskan perjuangan hidup kau. Segala – galanya belum berakhir, Nina”
Aku binggung. Tidak faham apa yang sedang diperkatakannya.
“Dengar baik – baik Nina, kau masih ada mak, keluarga kau dan aku. Kami sangat perlukan kau. Jadi kau tak boleh terus macam nie”
Aku menarik tanganku dari genggamannya. Wajah perempuan ini mendung. Kuusap – usap kebaya merahnya. Aku senyum. Dia turut senyum. Kutunding jari ke arah baju kebaya merah yang tergantung berhenger di dinding itu.
“Nina, nak pakai?”
Aku mengangguk. Dia bingkas bangun mendapatkan kebaya merah tersebut.
“Biar Ana tolong Nina ye”
Aku membiarkan dia mengenakan kebaya merah ini ke tubuhku.
 “Cantik Nina” pujinya.
Tangannya lembut merapikan rambutku. Perempuan tua di ambang pintu itu menangis lagi. Kutatap kebaya merah yang sudah tersarung di tubuhku. Aku pernah memakainya tapi di mana? Tiba – tiba aku mendengar bunyi riuh – rendah tetamu, aku mendengar bunyi tangisan dan jeritan anak – anak kecil, aku mendengar bunyi deringan telefon itu. Aku terus saja menangis.
“Nina, kenapa nie?”
Perempuan tua itu datang. Dibaringkannya aku lalu diselimutinya. Perlahan – lahan ditariknya tangan perempuan berkebaya merah tadi keluar dari bilik ini.
“Kebaya merah tu, Hasman yang buat untuk dia. Kebaya tu untuk hari persandingan mereka. Memang macam tu ler gelagatnya setiap kali memakai kebaya merah tu”
Kupandang sekeliling, kosong seperti aku. Tiada apa – apa. Kutatap jari manisku. Di situ tersarung sebentuk cincin cantik yang bertakhta sebutir permata putih. Aku tersenyum sendiri.
“Nina, mari mak suapkan bubur nie”

Perempuan tua ini datang lagi dengan buburnya, sikatnya, kucupannya dan air matanya yang tidak pernah kering. Dia menjalankan tugasnya seperti biasa dengan penuh kesetiaan tanpa sebarang rungutan. Sebaliknya aku semakin tidak mengerti. Siapakah dia dan siapakah aku? Siapakah perempuan tua ini? Siapakah mereka yang berada di sekelilingku ini? Siapakah mereka yang silih berganti bertandang ke rumah ini? Siapakah aku? Siapakah aku kepada mereka? Siapakah aku sebenarnya????????

-TAMAT -




                          
  




No comments:

Post a Comment