BAB 44
Aku menyuakan nasi di pinggan kepada mak. Kemudian
menyenduk sesudu nasi untukku. Mak menatap nasi di pingganku, lalu pandangannya
beralih ke wajahku.
“Sedikitnya kamu makan” tegur mak. Aku tersenyum sekilas.
Sebenarnya bicara mak petang tadi membuatkan aku hilang selera makan.
“Makanlah....” arah mak. Lincah sahaja tangan mak
menyenduk hidangan di atas meja, lalu disatukan dengan nasi di pinggan. Mak
memulakan suapannya. Nampak mak begitu berselera menikmati hidangan makan malam
ini. Perlahan – lahan aku mengunyah nasi di mulutku. Tidak mahu mak menyedari
betapa aku langsung tidak berselera tika ini. Aku melirik ke arah mak.
“Mak dan Mak Long betul – betulkah serius ini?” soalku
berhati – hati.
“Menjodohkan kamu dengan Aqel?” soal mak. Aku mengangguk
lemah.
“Betullah. Tidakkan hendak main – main pula” tegas mak.
Aku mengeluh kecil.
“Lia tidak boleh jadi isteri Aqellah mak. Kami tidak
mungkin boleh jadi suami isteri yang bahagia” ujarku serius cuba menyedarkan
mak tentang hakikat ini.
“Kenapa pula tidak boleh?” tingkah mak.
“Kami sepupu, macam adik – beradik” ujarku cuba mengharap
pengertian mak.
“Mana ada dalil agama yang menghalang sepupu untuk
bernikah” tutur mak mematahkan hujahku.
“Tetapi Islam tidak menggalakkan kahwin sesama saudara
sendiri” tuturku.
“Risau tidak melahirkan anak – anak yang bijak?” soal
mak. Laju aku mengangguk. Mak tersenyum.
“Mak yakin kamu dan Aqel akan dapat anak yang bijak. Aqel
ada genitek campuran. Dia bijak. Mak Long dan Pak Long kamu juga orang
berpendidikan tinggi. Begitu juga dengan kamu, Lia. Keluarga kita juga
berpendidikan” tutur mak panjang berjela.
“Jadi Lia tidak payahlah risau perkara ini” tutur mak
mematahkan setiap hujahku.
“Mak... Lia tidak tahu apa alasan terbaik yang patut Lia
katakan kepada mak. Walau apapun Lia tidak mampu jadi isteri Aqel” tegasku.
Kedengaran keluhan mak. Pasti mak kecewa keputusanku ini.
“Maafkan, Lia mak” tuturku tetap rasa bersalah.
“Kita bincang kemudian perkara ini. Makanlah” arah mak
tidak mahu terus berbual tentang perkara ini. Aku melepaskan keluhan kecilku.
Segalanya belum memberi sebarang jaminan yang pasti. Mak dan Mak Long pasti
tidak akan berputus asa mahu pun mengalah begitu sahaja. Sesi makan malam ini
berlangsung dengan sepi. Aku dan mak lebih suka berbicara dengan diri sendiri.
Sesekali aku melirik ke arah mak. Cuba membaca reaksi mak tika ini. Kecewakah
mak dengan tindakanku ini? Terguriskah hati mak saat ini? Maafkan Lia, mak. Aku
benar – benar tidak mampu memenuhi hajat hati mak dan Mak Long itu. Terlalu
besar impian mak dan Mak Long itu.
Usai menolong mak mengemas dapur, aku meminta diri untuk
berehat di bilik dengan alasan aku keletihan selepas perjalanan panjang pada
petang tadi. Sebetulnya memang aku sedang letih. Mak memang mahukan aku berehat
memandangkan sakit di batang hidungku masih terasa. Namun bengkak di mukaku
sudah surut. Ramuan ubatan tradisional yang Pak Shuib sediakan memang mujarab.
Melangkah ke bilik, aku terus merebahkan tubuhku ke tilam. Aku mula memikirkan
bicara mak tadi. Sungguh aku binggung tika ini. Aku berpaling ke arah telefon
bimbitku yang terletak di atas meja solek. Perlukah aku menghubungi Aqel untuk
berbincang perkara ini? Bagaikan aku tidak mampu menanggungnya sendirian. Rasa
tidak tertahan lagi dan tidak mahu menangguhkannya. Namun apabila kufikirkan
balik, risau akan mengundang masalah lain.
“Kita nikah, maka semua pembohongan ini akan menjadi
kebenaran” suara Aqel terngiang – ngiang di telingaku. Semua ini tidak akan
berlaku. Aku tidak mahu mengorbankan diriku mahupun mengorbankan diri Aqel
semata – mata mahu mengakhiri pembohongan kami terhadap warga KDUT. Namun
tergamakkah aku mengguris hati mak andai mak terus mendesakku untuk menjadi
menantu Mak Long? Sanggupkah Aqel mengecewakan hati Mak Long sedangkan aku tahu
Aqel anak yang patuh dan taat kepada Mak Long. Aduh... binggungnya aku!
Puan Suraya mengetuk beberapa kali daun pintu bilik anak
gadisnya itu.
“Lia... boleh mak masuk?” Tiada suara yang menyahut
pertanyaannya itu. Perlahan – lahan daun pintu ditolak. Puan Suraya geleng
kepala melihat telatah anak gadisnya yang sedang termenung jauh dengan mata
yang tidak berkedip – kedip. Nampak leka sangat sehingga tidak menyedari
kehadirannya itu.
“Lia....” panggil Puan Suaraya lembut. Namun gadis ini
masih dengan dunianya sendiri. Puan Suraya geleng kepala lagi. Bagaikan besar
sangat masalah yang ditanggung oleh gadis ini.
“Lia....!” panggil Puan Suraya lebih kuat sambil
melangkah mendekati gadis itu. Aku tersentak. Mak sudah berada di bilik ini.
Jauhnya aku mengelamun sehingga tidak menyedari kedatangan mak ini.
“Apa yang kamu fikirkan sangat sehingga tidak sedar –
sedar mak panggil” tegur mak. Aku tersenyum sekilas. Mak melabuhkan duduknya di
birai katil sambil menatapku.
“Kamu fikirkan hal yang mak cakap tadi itukah?” duga mak.
Aku mengangguk. Sudah tidak mampu menyimpannya di dalam hati lagi.
“Apa yang kamu susahkan hati. Bukan esok lusa kamu dan
Aqel hendak nikah” tutur mak bersahaja. Cukup mudah mak berbicara.
“Aqel lelaki yang baik, yang boleh jaga kamu dan keluarga
kita” tutur mak.
“Ya mak memang Lia akui Aqel lelaki yang baik, yang
selalu berusaha melindungi Lia” tuturku buat mak tersenyum lebar. Aku melepaskan
keluhanku.
“Namun Lia anggap Aqel seperti abang Lia sendiri.
Bagaimana Lia dan Aqel hendak menjalani hidup sebagai sepasang suami isteri
dengan perasaan sebegini. Lia akan terseksa, Aqel juga akan terseksa, mak”
tuturku bersungguh – sungguh.
“Lia, perasaan itu hanya buat sementara sahaja. Mak yakin
lama – lama nanti perasaan itu akan buat kamu jatuh cinta kepada Aqel” tutur
mak serius.
“Itu hanya kemungkinan mak” tingkahku. Mak geleng kepala.
Tanganku dipegang. Kemudian jari mak terhenti pada cincin berlian di jari
manisku. Lama mak merenungnya.
“Habis itu yang ini apa? Bukankah cincin berlian ini Aqel
yang hadiahkan kepada kamu?” soal mak buat aku tergamam dan hairan.
“Cincin berlian ini daripada Aqel, bukan?” soal mak.
Perlahan – lahan aku mengangguk. Aku sudah terperangkap. Mesti mak dan Mak Long
sudah salah faham lantaran cincin berlian yang tersarung di jari manisku ini.
Bagaimana mereka mengetahui tentang cinicn berlian ini?
“Memang Aqel yang beli cincin berlian ini. Dia juga yang
minta Lia menyarungkannya di jari manis Lia ini” tuturku perlahan. Mak
tersenyum bahagia. Pasti hati mak berbunga riang sekarang.
“Ada sesuatu yang mak dan Mak Long tidak ketahui. Cincin
ini sebenarnya tidak membawa makna apa – apa” tuturku perlahan.
“Apa maksud Lia?” soal mak serius. Aku menelan liur.
Kutarik nafas dalam – dalam. Mungkin sekejap lagi mak akan meradang dengan
tindakanku dan Aqel.
“Lia dan Aqel olok – olok bertunang” tuturku membuka
rahsia itu.
“Apa....!” Besar anak mata mak menatapku.
“Pertunangan olok – olok ini juga telah diumumkan kepada
warga KDUT. Kami ada masalah sekarang mak....” tuturku. Mak tersentak lagi.
Lantas aku ceritakan satu – persatu kisah ini kepada mak. Semua ini berlaku
ketika mak berada di bumi Mekah. Betapa terkejutnya mak mendengar ceritaku ini.
“Kamu mesti nikah dengan Aqel. Ini sahajalah penyelesaian
terhadap pembohongan besar kamu” tutur mak serius.
“Mak...” Aku tergamam mendengar kata – kata mak. Berat
sangat hukuman yang kuterima ini. Salahku juga sebab berbohong. Namun aku tidak
pernah menjangka Aqel akan mengumumkan bahawa aku adalah tunangnya.
“Kamu berehatlah. Jangan tidur lewat” pesan mak lalu
bangkit dari birai katil ini. Aku menyoroti langkah mak sehingga ke muka pintu.
Betapa binggungnya aku saat ini. Kupejamkan mataku. Berharap sangat aku boleh
lena sekaranng. Namun fikiranku masih memikirkan hajat hati mak dan Mak Long.
Kupaksa diri untuk lena lagi. Suara mak yang meminta aku bernikah dengan Aqel pula
yang terngiang – ngiang di telingaku. Pusing kiri kanan. Aku sudah berputar 360
darjah di katil ini. Namun mataku masih tidak mahu dilelapkan. Sukar sangat
hendak memadamkan ingatanku terhadap bicara mak tadi. Kesungguhan mak
menggerunkanku. Aku bagaikan tidak mampu menentang hajat hati mak dan tidak
tega untuk menjadi isteri Aqel. Aduh.... semua ini mengusutkan fikiranku. Aku
memusing tubuhku ke dinding, lalu mematungkan diri seketika. Cuba mengosongkan
benakku. Namun wajah mak, Mak Long dan Aqel silih berganti mendatangiku.
“Ya Allah, mengapa sesukar begini....” keluhku. Hati
damailah. Janganlah gundah – gelana lagi. Mak dan Mak Long tidak akan memaksa
aku dan Aqel melakukan sesuatu tanpa restu kami. Mak dan Mak Long pasti akan
bertolak – ansur dalam hal ini. Aku menarik nafas dalam – dalam. Selama hidupku
ini tidak pernah sekalipun mak memaksaku melakukan sesuatu tanpa persetujuanku.
Mak seorang yang sangat memahamiku. Begitu juga dengan Mak Long. Alangkah
baiknya Aqel bernikah dengan Rania sekarang. Sudah semestinya perkara ini tidak
akan menjadi masalah kepadaku. Aku harus menyarankan kepada Aqel agar dia menjalin hubungan dengan
Rania kembali. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh gadis itu sudah cukup
membuktikan bahawa Rania sangat mencintai Aqel. Mungkin ini sahajalah usaha
terakhir yang boleh menghalang hajat hati mak dan Mak Long.
AKU menguap beberapa kali. Laju tanganku menutup mulutku.
Masih terasa mengantuk. Entah pukul berapa aku terlena semalam. Kulipat sejadah
lalu bangkit dari dudukku. Kukuak daun jendela luas – luas. Bunyi kicauan
burung sungguh mendamaikan. Kedinginan subuh dan tiupan angin begitu
menyegarkan. Aku perlu berjumpa Aqel tatkala teringat pada perkara semalam.
Teringat pula aku bercuti sekarang. Tidak mungkin aku mengarahkan Aqel
berkunjung ke rumah ini. Berat hatiku bertemu Aqel di depan mak. Khuatir kalau
mak beranggapan aku sudah mempertimbangkan hajat hatinya itu. Sebolehnya aku
tidak mahu Aqel berkunjung ke sini dalam sehari dua ini.
Aku bangkit daripada perbaringanku di sofa panjang ini.
Tidak sampai 5 minit, aku duduk pula. Rancangan tv langsung tidak menarik
perhatianku. Motivasi pagi daripada pakar motivasi ini tidak berjaya
memotivasikan aku. Aku menggaru – garu kepalaku yang tidak gatal. Bosan.
Sungguh membosankan kerana aku tidak tahu apa yang mahu aku lakukan. Aku
bangkit di sofa lalu melangkah ke muka pintu yang sedang terkuak. Mak begitu
leka menyiram pokok bunga di halaman ini. Satu kelaziman yang mak lakukan pada
setiap pagi. Tatkala aku menundukkan kepalaku, pandanganku tertumpu pada
selipar Aqel yang masih berada di situ. Bagaimana aku hendak memulangkan
selipar ini kepada Aqel? Biar sahaja Aqel yang datang sendiri mengambilnya.
“Ada yang pelikkah pada selipar itu sampai macam itu
sekali kamu melihatnya” suara mak menegur menyentakkanku. Aku tersengih sambil
garu – garu kepala.
“Selipar itu masih ada di sini” tuturku. Alamak terlajak
kata pula aku. Mak kehairanan menatapku.
“Selipar kamu memanglah berada di sini” tingkah mak
menggeleng tanpa perasaan curiga. Mungkin mak tidak menyedari betapa saiz
selipar ini tidak memadani dengan saiz kakiku yang lebih kecil.
“Kamu sihatkah ini, Lia?” soal mak sangsi. Laju aku
mengangguk.
“Baguslah. Esok boleh pergi kerja” sahut mak.
“Hey.... mak, Lia belum sihat lagi. Esok belum boleh
pergi kerja” tingkahku. Mak menggeleng lagi.
“Kamu ini sekejap sihat, sekejap tidak. Yang mana satu
betul ini” rungut mak. Aku tersengih lagi.
“Muka kamu tidak bengkak lagi. Sudah nampak elok sahaja.
Esok bolehlah kamu pergi kerja” tutur mak.
“Mak, bukankah Aqel suruh Lia berehat beberapa hari”
tingkahku.
“Kalau sudah sihat apa guna hendak tunggu dua tiga hari
lagi. Jangan pula kamu hendak curi tulang. Mentang – mentang syarikat itu Aqel
yang punya” omel mak lagi buat aku tidak senang mendengar bicara mak ini.
“Apa pula kaitan dengan Aqel mak” rungutku cukup sensitif
mendengar nama Aqel. Mak tersenyum sendiri. Tidak tahu apa yang sedang mak
fikirkan sekarang. Aku melepaskan keluhanku lagi. Risau kalau mak masih
memikirkan tentang perkara semalam.
“Mari tolong mak sini” suara mak menyentakkanku. Aku
terus sahaja mendekati mak, lalu membantu mak mengangkat pasu bunga ini.
“Betulkah batang hidung kamu itu tidak sakit lagi?” soal
mak. Aku mengangguk.
“Mujarab betul ramuan akar dan daun yang Pak Shuib
sediakan itu” jelasku. Mak hairan menatapku.
“Pak Shuib? Siapa lelaki itu?” soal mak hairan.
“Pak cik yang tolong Aqel jaga banglonya” jelasku. Mak
semakin hairan.
“Lelaki itu Aqel jumpa hidup melarat. Jadi Aqel berikan
kehidupan baru kepadanya” ceritaku disusuli keluhan beratku dengan perasaan
simpati kepada Pak Shuib. Aku masih kesal dengan nasib yang menimpa Pak Shuib,
lalu kuceritakan kisah hidup Pak Shuib seringkasnya kepada mak, malah aku
menyanjung keperibadian yang Pak Shuib miliki. Kuceritakan juga kepada mak tentang
perkenalan dan pertemuanku dengan lelaki itu.
“Tengok betapa mulianya hati Aqel” tutur mak menyanjung
sikap Aqel. Mak turut bersedih dengan nasib yang menimpa Pak Shuib.
“Beruntung jikalau dapat teman hidup seperti Aqel” tutur
mak seolah – olah menyindirku. Aku hanya mendiamkan diri. Memang Aqel seorang
lelaki yang baik. Hidup bersama Aqel pasti masa hadapan terjamin. Secara
zahirnya, Aqel memang nampak begitu sempurna.
“Kamu jangan lepaskan Aqel begitu sahaja. Fikir betul –
betul dan bertindak sewajarnya” tutur mak menasihatiku. Aku terdiam lagi.
Daripada bicara mak, seakan Aqel sudah bersetuju dengan perancangan mak dan Mak
Long ini.
“Malangnya Lia memandang Aqel hanya sebagai sepupu persis
seorang abang” bisik hatiku menyahut bicara mak. Namun tidak mampu kuluahkan
kepada mak. Risau mengguris hati dan perasaan mak.
“Di depan kaabah mak selalu doakan jodoh terbaik buat
kamu. Setiap kali mak menadah tangan, setiap kali itulah mak terbayangkan wajah
Aqel. Mak dapat rasakan Aqellah lelaki terbaik untuk kamu. Mak tidak buat –
buat cerita ini” ujar mak serius. Aku terdiam panjang mendengar bicara mak ini.
“Dua hari yang lepas Mak Long kamu datang sini
menyuarakan tentang kamu dan Aqel. Mak begitu senang jikalau kamu dan Aqel
menjadi suami isteri” ujar mak lagi menambah diamku.
“Percayalah Lia, Aqel akan mampu buat kamu jatuh cinta
kepada dirinya. Jadi kamu tidak payah risau tentang perasaan kamu sekarang.
Semua itu akan berubah” tutur mak begitu mudah.
“Pernikahan ini melibatkan dua pihak mak. Tidak bermakna
jikalau Lia setuju, Aqel juga akan setuju. Mungkin Aqel sudah ada pilihan hati
sendiri” tuturku cuba menyedarkan kepada mak agar tidak terlalu mengharap.
“Hal Aqel Mak Long kamu akan uruskan. Jadi Lia setujulah
ini?” soal mak tersenyum. Aku melepaskan keluhanku.
“Lia perlukan masa untuk fikirkan perkara ini” tuturku.
Mak menatap wajahku.
“Kamu masih mengharapkan Haqem?” soal mak mengejutkanku.
Laju aku geleng kepala. Tidak menyangka mak akan menyebut nama Haqem tika ini.
“Mak dengar kamu bekerja sebumbung dengan Haqem” tutur
mak mengejutkan aku sekali lagi. Bagaimana mak mengetahui perkara ini?
Seingatku aku tidak pernah memaklumkan kepada mak tentang perkara ini. Aqelkah
yang bercerita kepada mak?
“Bagaimana mak tahu perkara ini? Aqelkah yang cakap
kepada mak?” soalku bertalu – talu. Mak menggeleng. Aku jadi semakin tertanya –
tanya tentang gerangan siapakah yang memberitahu perkara ini kepada mak.
“Mak yang tanya sendiri kepada Nana” tutur mak. Tepat.
Memang Nana juga mengetahui perkara ini.
“Mak tidak payah risau, Lia dan Haqem tidak akan bersama
semula” tuturku. Mak melepaskan keluhannya.
“Mak bukan tidak suka kamu bersama Haqem. Mak langsung
tidak pernah bencikan Haqem walaupun dia telah mengecewakan kamu. Namun mak
yakin dan percaya kamu tidak akan bahagia bersama Haqem” tutur mak serius.
“Mak selama ini Haqem tidak pernah bersalah kepada Lia.
Semua yang dilakukannya demi kebaikan Lia” tuturku tidak mahu mak berprasangka
buruk kepada Haqem persis diriku selama ini. Mak menatapku lagi.
“Soal jodoh adalah ketentuan Ilahi. Lia akan terima siapa
sahaja jodoh yang Allah tetapkan untuk Lia. Tidak kisahlah Aqelkah, Haqemkah
atau lelaki lain. Jadi mak mestilah bersabar menantinya” tuturku tersenyum. Mak
mengangguk dan turut tersenyum.
“Namun mak akan terus berdoa agar Aqellah jodoh kamu. Mak
juga akan berdoa semoga hati kamu terbuka menerima Aqel” tutur mak buat aku
terdiam kembali. Ternyata mak tidak pernah berputus asa.
“Pergilah berehat di dalam. Nanti tidak fasal – fasal
keluar lagi darah dari hidung kamu itu. Mak hendak habiskan kerja – kerja di
sini dahulu” tutur mak mengarah aku masuk ke dalam rumah semula. Aku
mengangguk, lantas menyusun langkah ke muka pintu. Berbaring kembali di sofa
panjang ini. Tanganku mencapai telefon bimbitku di atas meja. Ada panggilan
yang tidak dijawab. Panggilan daripada Marnie. Laju sahaja tanganku menekan
nombor telefon Marnie.
“Assalamualaikum.... Apa hal awak telefon saya Mar?”
soalku tidak mahu melengahkan masa.
“Cari awak tadi. Rupanya awak tidak kerja hari ini. Awak
belum sihat lagikah?” bertalu – talu soalan yang diajukan oleh Marnie kepadaku.
“Alhamdulillah. Bengkak di muka saya sudah surut”
jelasku.
“Baguslah kalau macam itu. Oh.... beg pakaian awak Encik
Aqel yang bawa. Beredar dari bilik awak saya bertembung dengan Encik Aqel. Dia
yang maklumkan kepada saya yang awak cuti dan menawarkan diri hendak menghantar
beg pakaian itu ke rumah awak” jelas Marnie.
“Betulkah?” sahutku kurang senang. Sudah pasti Aqel akan
datang ke rumah ini petang nanti, maka aku tidak boleh mengelak daripada
bertemu dengan Aqel di depan mak.
“Ya Lia” sahut Marnie. Aku melepaskan keluhanku.
“Awak tidak sukakah bertemu dengan Encik Aqel nanti?”
soal Marnie hairan.
“Ya tidak suka” sahutku berterus terang.
“Aik... pelik betul. Orang lain suka dapat jumpa buah
hati sendiri” tutur Marnie hairan. Aku mencebik mendengar bicara Marnie ini.
Itu kalau benar Aqel adalah kekasih pujaan hati dambaan kalbuku. Tiba – tiba
Marnie tergelak sendiri. Mustahil dia mendengar suara hatiku yang berbicara ini.
“Ini mesti awak cemburu sebab Encik Aqel berpasangan
dengan Rania. Tambahan pula Rania yang cederakan awak” serkap jarang Marnie
sewenangnya.
“Kalian bergaduhkah?” soal Marnie lagi. Marnie memang
mempercayai sepenuhnya bahawa aku dan Aqel adalah pasangan kekasih yang sudah
ada ikatan perjanjian untuk bersatu. Aku melepaskan keluhanku. Bosan mendengar
bicara Marnie.
“Bertenanglah Lia. Encik Aqel dan Rania bukannya ada
hubungan apa – apa pun. Awak dan Encik Haqem pun berpasangan juga, tetapi Encik
Aqel nampak tenang sahaja walaupun saya tengok Encik Haqem itu beri perhatian
lebih kepada awak” tutur Marnie mula menyedari tindakan Haqem sekali gus
menerbitkan kebimbanganku.
“Jangan fikir yang bukan – bukanlah” tingkahku.
Kedengaran gelak Marnie lagi.
“Awak dan Encik Aqel menghilang semalam, pergi mana?
Tercari – cari juga kami” tutur Marnie. Perkara yang sudah aku jangkakan.
“Saya minta Encik Aqel hantar saya balik rumah” ujarku
mengubah sedikit fakta perkara yang terjadi semalam.
“Yang peliknya sandal dan kasut awak ada di bilik. Encik
Aqel dukung awakkah semalam?” soal Marnie sangsi. Aku mendengus. Kreatif
sungguh fikiran Marnie.
“Betulkah Lia, Encik Aqel dukung awak?” soal Marnie
semakin giat mengusikku.
“Saya pakai seliparlah. Selipar baru yang saya beli”
sahutku berbohong sekali gus cuba mematikan usikan Marnie.
“Yakah?”
“Kalau tidak percaya sudah...” rungutku.
“Yang musykilnya lagi balik kenapa tidak bawa terus
barang – barang awak?” soal Marnie mahu penjelasan lanjut.
“Sengaja hendak dera awak dan Reka” sahutku sudah
kematian akal untuk memberi alasan yang lebih kukuh kepada Marnie.
“Cakaplah betul – betul Lia. Saya hendak juga tahu cerita
betulnya” gesa Marnie semakin berminat terhadap hal aku dan Aqel.
“Tidak tahulah hendak cakap apa lagi” tuturku geram.
“Jawapan awak masih tidak memuaskan hati saya. Tidak
apalah hari lain saya tanya awak lagi. Awak berehatlah ya” tutur Marnie tidak
semudahnya mahu melepaskan aku dari siasatannya.
“Awak ini memang tidak suka tengok saya hidup aman”
rungutku. Marnie tergelak.
“Memang betul sebab awak gadis misteri yang menimbulkan
banyak persoalan kepada saya? Sahut Marnie buat aku terdiam panjang. Adakah
Marnie menyiasat tentang diriku selama ini.
“Flora.... nama ini sudah cukup buat saya tertanya –
tanya” tutur Marnie menyambung bicaranya. Ternyata aku dan Marnie berada dalam
situasi yang sama.
“Memang betul. Saya pun ingin tahu juga mengapa bos awak
suka panggil saya dengan nama itu” sahutku menggalakkan Marnie bertindak
menjadi penyiasat. Gadis ini memang banyak kelapangan. Jadi ada masa hendak
menjadi penyiasat persendirian.
“Awak berehatlah, ya Cik Flora” tutur Marnie meniru cara
Aqel memanggilku. Aku mendengus.
“Agaknya awak ini buang tabiatlah” kutukku. Marnie
tertawa.
“Assalamualaikum.... Cik Flora” suara Marnie terus
lenyap. Terkumat – kamit mulutku menjawab salam Marnie walaupun sebetulnya aku
bukan Flora. Nama ini nama yang diilhamkan oleh Aqel. Nama yang sering
menimbulkan persoalan dalam diriku. Harap – harap penyiasatan Marnie berhasil.
Aku memang mahu mengetahui gerangan pemilik nama ini. Mungkin gadis secantik
bidadari yang membuat Aqel sentiasa terbayangkan dirinya. Aku menguap. Laju
sahaja tanganku menutup mulutku. Beberapa kali aku menguap lagi. Semalam
tidurku tidak memuaskan. Aku bingkas bangkit dari sofa ini, lalu menyusun
langkah. Satu – persatu anak tangga
kupijak. Hajat di hati mahu menyambung tidur semula memandangakan tiada
perkara yang hendak aku lakukan pada masa ini.
“Lia, kamu hendak ke mana?” suara mak melontar persoalan.
Perlahan – lahan aku berpaling. Tersentak aku melihat Aqel yang sedang berdiri
di sebelah mak sama – sama melontar pandangan ke arahku. Kedatangan Aqel ke
rumah ini lebih awal daripada jangkaanku.
“Hendak berehat di bilik” sahutku.
“Aqel datang ini hantar barang kamu. Mari tolong mak di
dapur. Sekejap lagi kita makan tengah hari dengan Aqel” tutur mak ceria. Aku
mengangguk lemah. Tidak mampu hendak membantah bicara mak. Aku berpatah balik
menuruni anak tangga, lalu melangkah ke ruang tamu. Aqel sudah melabuhkan
duduknya di sofa.
“Kamu berdua berbual – buallah. Mak hendak ke dapur”
tutur mak memberi ruang untuk aku dan Aqel berbual – bual. Kelibat mak lenyap
di sebalik dinding pemisah ruang legar dengan ruang dapur. Aku menjeling ke
arah Aqel.
“Kenapa awak datang sini?” lirih sahaja suaraku melontar
persoalan ini.
“Mak Usu baru sahaja cakap sekejap tadi” sahut Aqel
membalas pertanyaanku.
“Awak simpan sahaja beg pakaian ini di pejabat. Nanti
tahulah saya bawa balik sendiri” tuturku langsung tidak menghargai susah payah
Aqel datang ke sini.
“Saya datang sini pun hendak ambil selipar yang saya
pinjamkan kepada awak” tutur Aqel lagi. Aku mencebik. Kedekut sangat. Selipar
macam itu pun dia hendak tuntut kembali.
“Selipar itu hadiah seseorang yang begitu bermakna kepada
saya. Jadi saya sayang sangat dengan selipar itu” tutur Aqel buat aku terdiam.
Bagaikan Aqel dapat membaca fikiranku. Selipar itu hadiah daripada kekasih
Aqelkah? Aqel sudah ada buah hati? Rania? Oh.... baguslah kalau begitu. Aku
tersenyum sendiri.
“Jangan risaulah. Selipar itu tidak akan jadi hak milik
mutlak saya. Saya akan pulangkan kepada awak sekejap lagi” tuturku geram. Aqel
hanya tersengih menatapku.
“Betulkah awak hendak makan tengah hari di sini?” soalku.
Aqel mengangguk.
“Sudah lama tidak merasa masakan Mak Usu. Mama suruh awak
datang ke rumah” tutur Aqel. Berkerut dahiku menatap Aqel.
“Kenapa Mak Long suruh saya datang ke rumah awak?” soalku
gusar. Aqel angkat bahu.
“Entahlah. Mungkin rindu awak” tutur Aqel bersahaja. Aku
mula gelisah. Mungkin Mak Long mahu memujukku agar menerima Aqel menjadi
suamiku.
“Bila awak hendak datang ke rumah? Nanti boleh saya
beritahu mama” suara Aqel menyentakkanku.
“Saya telefon Mak Long sebelum saya mahu datang ke sana”
sahutku. Senyap. Kupandang Aqel. Perlukah aku ajukan persoalan ini kepada Aqel.
“Aqel....” panggilku berhati – hati. Aqel menatapku.
“Ya...” sahut Aqel.
“Mak atau Mak Long ada cakap sesuatu kepada awak?”
soalku. Terasa sukar untuk aku menyusun bicara. Dahi Aqel berkerut. Aqel
menggeleng.
“Cakap apa pula?” soal Aqel hairan. Aku menarik nafas
lega. Syukur Aqel belum dimaklumkan perkara ini. Aku pula yang menggeleng.
“Awak tengoklah drama itu ya, saya hendak tolong mak di
dapur. Cepat siap cepat awak makan” lirih sahaja suaraku sambil mengerling ke
arah Aqel. Aqel tersengih.
“..... dan cepat awak beredar dari rumah ini” bisik
hatiku menyambung bicara.
“Tengok mulut awak terkumat – kamit. Mesti awak tidak
sabar – sabar hendak halau saya pergi dari rumah inikan” teka Aqel buat aku
terkebil – kebil. Aqel terus tertawa.
“Awak ini memang menakutkan” perliku seraya meninggalkan
Aqel yang masih tersenyum – senyum. Gerak hati Aqel selalunya tepat. Puan
Suraya yang sedang mengintai di muka pintu ruang dapur tersenyum – senyum
sendiri. Bahagia hatinya menyaksikan telatah Aqel dan Marnie. Marah – marah
sayang. Bergegas Puan Suraya ke sinki tatkala menyedari kedatangan anak
gadisnya ini.
“Sediakan peralatan makan. Masak sahaja sayur dan sup
daging ini kita terus makan” tutur mak mengejutkan aku.
“Aik... cepat betul mak masak” tuturku kehairanan. Mak
tersenyum. Jangan – jangan mak memang tahu Aqel hendak datang ke rumah ini,
maka mak buat persediaan lebih awal.
“Sebahagiannya sudah mak masak awal pagi tadi. Tiba –
tiba sahaja hati mak tergerak hendak masak awal tadi. Mak memang rasa Aqel akan
datang jenguk kamu hari ini” tutur mak bagai Mak Nujum pula.
“Aqel datang sini bukan hendak jenguk Lialah, mak”
tingkahku. Mak tersenyum sendiri. Nampak kemaruk sangat mak hendak
bermenantukan Aqel.
Tidak sampai 30 minit, semuanya telah terhidang di atas
meja. Mak, Aqel dan aku sudah bersedia untuk menikmati hidangan makanan tengah
hari.
“
Makanlah Aqel” arah mak.
“Baiklah, Mak Usu” sahut Aqel tersenyum. Mak dan Aqel
saling bertukar senyuman. Aku hanya mendiamkan diri sambil memerhatikan mak dan
Aqel. Bagaikan menantu dan mak mertua yang saling mengambil hati masing –
masing.
“Bila awak hendak kerja?” soal Aqel sambil melirik ke
arahku.
“Hendak berehat lagi sehari dua” sahutku.
“Esok kamu sudah boleh kerja, Lia” suara mak mencelah.
“Mak....” Aku menatap mak.
“Biarlah dia berehat sehari lagi, Mak Usu. Lagipun tidak
berapa sibuk sekarang” tutur Aqel buat aku tersenyum. Mak mengeluh.
“Kamu jangan hendak manjakan sangat Lia ini, Aqel. Nanti
kamu juga yang susah” omel mak memberi peringatan. Bila masa pula aku hendak
menyusahkan Aqel?
“Mak....” Besar anak mataku menatap mak. Aqel hanya
tersenyum.
“Makan... makan...Aqel. Jangan segan – segan” tutur mak
lalu menambah sesudu besar sup tulang di mangkuk Aqel. Berlebih – lebih mak
melayan Aqel.
“Mak Usu masak ini memang untuk kamu” tutur mak
menimbulkan rasa iri hatiku kepada Aqel. Andai ditakdirkan Aqel jadi menantu
mak, pasti mak akan lebih sayangkan Aqel daripada aku. Nauzubillahminzalik...
Jauh – jauhkan. Aku tidak mahu jadi isteri Aqel.
“Terima kasih, Mak Usu” tutur Aqel tersenyum. Mak
tersenyum lagi. Aqel begitu berselera menikmati masakan mak yang sememangnya
sedap ini.
“Apa khabar kekasih awak?” soalku memecah kesepian. Mak
terus sahaja tersedak. Laju tangan mak mencapai air di gelas lalu meneguknya.
“Mak Usu tidak apa – apa?” soal Aqel. Mak mengangguk.
Namun tangan mak masih mengurut – urut dadanya. Kasihan mak. Tidak sangka
bicaraku ini memberi impak yang besar kepada mak.
“Aqel sudah ada kekasihkah?” soal mak.
“Rania nama kekasihnya mak” sahutku mewakili Aqel. Aku
tahu Aqel tidak akan menjawab pertanyaan mak ini. Reaksi wajah mak berubah.
Kasihan mak. Mesti mak kecewa sekarang.
“Itu kisah lama, Mak Usu” tutur Aqel.
“Tetapi gadis itu masih mencintai awak. Cinta yang
terlalu mendalam sehingga sanggup melakukan apa sahaja” tuturku serius. Aqel
memandang tajam ke arahku.
“Betulkah begitu?” soal mak. Aku mengangguk. Kecewa mak
bertambah dalam.
“Rasanya Rania tidak boleh hidup tanpa awak” ujarku
memperkuatkan bicaraku. Aqel dan mak hanya mendiamkan diri. Maafkan aku Aqel.
“Awak tidak boleh tinggalkan Rania” tegasku memberi
peringatan kepada Aqel. Aku dan Aqel saling berpandangan.
“Makanlah. Perkara ini tidak sesuai dibincangkan di sini”
tutur mak. Nampak mak kecewa sangat. Aqel menyambung suapannya. Aku hanya
merenung nasi di pinggan. Langsung tidak berselera untuk terus menikmati
hidangan tengah hari ini. Terasa betapa kejamnya diriku kepada aqel dan mak.
“Maafkan Lia, mak. Maafkan saya, Aqel” bisik hatiku rasa
bersalah. Sesi makan tengah hari yang menjalin kemesraan sebentar tadi bertukar
menjadi senyap. Mak dan Aqel sudah tidak berbual – bual. Masing – masing fokus
pada nasi di pinggan dan hidangan di atas meja. Kini aku sedar bahawa aku telah
berjaya memadamkan perasaan teruja mak bermenantukan Aqel. Namun aku langsung
tidak gembira tika ini. Ternyata kebahagiaan mak begitu penting buatku.
“Terima kasih atas hidangan sedap – sedap tengah hari
ini, Mak Usu” tutur Aqel. Mak tersenyum bangga mendengar pujian Aqel ini.
“Kamu boleh makan di rumah ini bila – bila masa sahaja”
tutur mak sentiasa mengalu – alukan kedatangan Aqel tidak kira masa.
“Nanti ada pula orang yang tidak suka kalau Aqel selalu
datang sini, Mak Usu” tutur Aqel mengerling ke arahku. Aqel sedang menyindir
aku.
“Tidak apa. Paling penting Mak Usu suka” sahut mak sangat
mengerti maksud tersirat di sebalik bicara Aqel ini. Aku terus sahaja melangkah
ke halaman meninggalkan mak dan Aqel yang masih mahu berbual – bual itu.
Beberapa minit kemudian, Aqel muncul di muka pintu, lalu melangkah keluar.
“Nah... selipar awak! Terima kasih” tuturku sambil
menghulurkan plastik hitam ini kepada Aqel. Aqel menyambut huluranku ini sambil
menatapku.
“Mengapa awak cakap yang bukan – bukan kepada Mak Usu?
Awakkan tahu yang saya tidak menyenangi Rania” tutur Aqel serius. Aku hanya
membisu.
“Saya tidak tahu pula betapa dalam benci awak kepada
saya” keluh Aqel buat aku tergamam. Aku tidak pernah membenci Aqel. Namun
keadaan sering sahaja mendesak aku agar bertindak mengikut kata hatiku. Mahu
sahaja aku meningkah bicara Aqel ini, tetapi suaraku tersekat di kerongkong.
Aqel terus melangkah meninggalkan aku termangu – mangu sendirian di sini.
“Aqel.... maafkan saya!” laungku namun tidak mampu
kulontar keluar untuk didengar oleh Aqel. Yang pastinya Aqel ambil hati dengan
tindakanku. Aqel merajuk sekarang.
nak lg,
ReplyDeleteikhh lia nich, bikin geregetan,hehehe
ReplyDeletenak lgi :)