“Hoi, tak pernah tengok orang ke?”
Aku tersentak dengan tamparan yang singgah di bahuku. Terasa begitu perit. Segera aku berpaling. Seraut wajah milik insan yang bernama Dennis Lee tersenyum lebar menatapku. Mamat Tionghoa kacukan Minaci ini sudah melabuhkan punggung di sisiku sambil melontar pandangan menyoroti terjahan mataku.
“Suka betul aku tengok muka cikgu tu. Kacak dan tampan” luahku berbicara sinonim.
“Teruk ler awak ni. Tengok cikgu tu macam terkeluar je biji mata awak tu. Nampak hodoh sangat. Ha... ha.... ha....” kutuknya tanpa berselindung.
Pandanganku tidak berganjak dari seraut wajah itu tanpa disedarinya biarpun dari kejauhan. Langsung tidak terganggu dengan kutukan yang singgah di telingaku sebentar tadi. Sungguh perlian sedemikian tidak berbekas di hatiku. Hatiku telah terpaut pada ketampanan Cikgu Elvart Hee, guru muda yang baru 10 bulan ditugaskan di sekolah ini. Kebetulan pula dia guru Sejarah yang mengajar kelasku. Seingat aku dialah guru Tionghoa pertama yang mengajar aku subjek penyuntik patriotisme ini. Selama empat tahun lepas hanya guru sebangsaku yang berminat dan berkebolehan mengajar subjek ini. Maka inilah yang menjadi kebanggaan buatku.
“Apakah faktor – faktor yang telah mendorong penentangan masyarakat tempatan terhadap Sistem Residen di Tanah Melayu?” lantang suara Cikgu Elvart Hee berkumandang memenuhi ruang – ruang legar kelas ini.
Cukup fasih dia berbahasa Melayu. Laju aku angkat tangan mendahului teman – teman yang lain.
“Ya Nia sila jawab”
Rasa bahagia hatiku tatkala mendengar dia menyebut sebaris namaku itu.
“Faktor – faktor penentangan Sistem Residen di Tanah Melayu adalah berpunca daripada hak mengutip cukai yang selama ini di bawah kuasa pembesar – pembesar Melayu tempatan telah diambilalih oleh pihak British. Di samping itu, penghapusan sistem hamba dan kegagalan Residen – Residen British memahami adat istiadat orang Melayu. Contohnya, mereka memasuki rumah orang Melayu tanpa menanggalkan kasut atau sebarang alas kaki sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu. Situasi ini menampakkan seolah – olah pegawai – pegawai British yang dilantik tidak menghormati adat istiadat orang Melayu” jawabku panjang lebar dengan penuh yakin.
“Wow, bagus..... bagus! Jawapan yang tepat dan cukup lengkap”
Kembang mekar hatiku mendengar pujian melangit Cikgu Elvart Hee. Betapa bernilai dan bermaknanya pujian itu buatku.
“Kembang kucup hidung awak dapat pujian tu” bisik Dennis Lee memerliku sambil mencebik bibir kepadaku.
Aku masih tersenyum. Senyuman memikat Cikgu Elvart Hee masih bermain di mataku. Pujian cikgu kacak ini masih terngiang – ngiang di telingaku. Alahai....., dalam diam aku benar – benar terpikat kepada dia!
“Apa kesan kemuncak daripada pelaksanaan Sistem Residen?”
Soalan Cikgu Elvart Hee berlegar – legar di awangan kelas. Aku menahan diri daripada menjawab soalan itu. Cuba memberi peluang kepada rakan – rakan. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku angkat tangan menjawabnya. Mujur juga aku masih mampu membuat pertimbangan sekaligus menyembunyikan rasa terujaku mengikuti kelas cikgu pujaan hatiku ini.
Senyap. Tiada tanda – tanda seorang pun berhajat untuk menjawab persoalan itu. Dennis Lee menatapku lalu memberikan isyarat menyuruh aku menjawabnya. Sesaat kemudian semua pandangan rakan – rakan dilontar kepadaku.
“Nia boleh jawab?” suara Cikgu Elvart Hee kembali mengundang keterujaanku. Maka hatiku berikrar tidak akan membiarkan soalan itu berlalu tanpa jawapan. Pasti aku tidak akan menghampakan permintaan pujaan dambaan hatiku ini. Aku melawan tatapan Cikgu Elvart Hee. Aku terpukau seketika.
“Deliya, cepat jawab”
Dennis Lee menguis tanganku sekaligus menghancur leburkan khayalan indahku yang baru saja hendak berputik. Kacau betullah mamat Tionghoa ini!
“Saya cuba ye, cikgu” tuturku lemah lembut mengawal suaraku seraya bangun. Dennis Lee memeluk tubuhnya yang dibuat – buat bergetar – getar menahan loya. Biasalah tu, sebenarnya dia jealous. Cikgu Elvart Hee senyum lagi menambat keterpautan hatiku kepadanya.
“Kemuncaknya adalah pembunuhan Residen J.W.W. Birch yang merupakan Residen pertama British di Perak. Dato’ Maharaja Lela bersama – sama dengan pembesar tempatan telah merancang membunuh Birch. Akhirnya, Birch mati dibunuh di Pasar Salak oleh Seputum, orang suruhan Dato’ Maharaja Lela pada tahun 1875, ketika Residen British itu sedang mandi di sebatang sungai di Pasir Salak. Akibatnya pada tahun 1877, Dato’ Maharaja Lela ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Matang” jawabku penuh yakin.
“Ohh, bagus ..... bagus...!” puji Cikgu Elvart Hee seraya bertepuk tangan.
Bertambah – tambah berbunga riang hatiku melihat reaksi Cikgu Elvart Hee menerima jawapanku sedemikian rupa. Tahu kenapa aku boleh menjawab soalan itu dengan penuh yakin? Jom aku ceritakan seringkasnya. Sebelum kewujudan cikgu pujaan hatiku di sekolah ini, tahap kesukaanku pada subjek Sejarah ini tidak boleh dikatakan pada tahap sederhana. Paling tepat tidak konsisten kerana adakalanya lulus, ada tikanya gagal memanjang. Aku mula bermotivasi untuk belajar mencintai subjek ini setelah hatiku terpaut pada cikgu Sejarahku yang kacak ini. Dengan niat azali, penonjolan diri melalui kebijaksanaan dan kepintaran menguasai subjek ini, bisa menarik perhatian cikgu muda ini terhadap kewujudanku dalam kelas Sejarahnya.
Aku mahu mencatat markah Sejarah tertinggi antara tingkatan. Biar Cikgu Elvart Hee berbangga dengan kecemerlanganku sekaligus membuktikan dirinya bijak mengajarku. Walaupun hakikatnya 90% kejayaan adalah hasil usahaku dan hanya 10% atas bimbingannya. Ternyata strategi yang aku gunakan berhasil. Namun kecintaanku terhadap subjek Sejarah adalah disebabkan oleh Cikgu Elvart Hee. Dialah sumber inspirasiku. Pastinya, aku sentiasa tekun membuat persediaan sebelum berlangsungnya kelas Sejarah.
No comments:
Post a Comment