Bab 1
Dengan ekor
mataku, aku melirik ke arah anak muda yang sedang bersandar di dinding bangunan
lama yang tidak berapa jauh dari tempatku berdiri sekarang. Dia sedang
merenungku. Pandangan matanya itu seolah – olah menembusi tubuhku. Tidak
berkelip – kelip. Fikirannya tampak kosong. Sebenarnya aku kurang pasti sama
ada dia benar – benar sedang memerhatikan aku atau matanya sahaja yang terarah
kepadaku. Namun hakikatnya dia tidak nampak sesiapapun. Mungkin juga dia sedang
termenung jauh. Walau apapun aku tetap diselubungi kekhuatiran dan rasa gerun. Mungkin
pemuda ini perogol bersiri yang menunggu mangsanya. Laju sahaja kulontar
plastik berisi sampah di tangan ke dalam tong sampah besar yang sedia
ternganga, lantas mengatur langkah mahu segera beredar dari sini. Tegak
kepalaku tatkala melewati pemuda ini. Gerun mahu bertentangan mata dengannya.
Beberapa langkah jarak aku daripada pemuda itu, langkahku terhenti. Perlahan –
lahan aku berpaling. Berniat mahu mempastikan pemuda yang mencurigakan itu sama
ada masih berada di situ. Aku tersentak. Laju sahaja aku mengalih mukaku lantas
mempercepatkan langkahku meninggalkannya. Tidak sangka dia masih memerhatikan
aku tadi. Sempat juga aku dengannya bertentang mata seketika. Lantaran rasa
takut sangat aku terus sahaja berlari.
“Apa hal kamu
tercungap – cungap ni? Ada nampak hantukah tadi?” soal mama memperliku yang
baru sahaja menapak di muka pintu Butik Selendang Kasih milik mama. Aku
menggeleng dengan tangan mengusap – usap dadaku. Rancak sahaja jantungku
berdegup. Maklumlah baru sahaja menamatkan larian pecut 100 meter.
“Ada anjing
kejarkah?” teka mama. Aku menggeleng lagi. Lalu melabuhkan duduk di kerusi
kaunter pembayaran. Mahu memulakan tugas rutin sepanjang cuti semester ini.
“Jangan – jangan
dia jumpa hantu terbang tak berkepala” sampuk Kak Ros mengusikku. Kak Ros
memang suka menyakatku. Pantang ada peluang pasti digunakan sebaik – baiknya.
“Kamu ni Ros macam
– macam. Mana ada hantu siang – siang hari” tingkah mama sambil geleng – geleng
kepala. Kak Ros tergelak. Aku mengetap bibir menahan geram.
“Jangan – jangan kamu dikejar lelaki tak siuman tadi. Bahaya tu Auni” tambah Kak Ros menambah
kegerunanku. Aku memanjangkan diamku. Wajah pemuda itu kembali menerawang di
mataku. Raut wajah yang begitu asing. Persis dia orang luar. Namun air muka
pemuda itu tidaklah nampak seperti orang jahat. Yang pelik mengapa dia
bersendirian di situ. Dia penagih dadah? Mustahil. Penampilannya bukan seorang
penagih dadah. Mengapa dia perhatikan aku lama – lama? Comelkah aku ini
sehingga dia suka sangat memerhatikan aku? Jangan – jangan dia sudah terpikat
kepadaku. Jatuh cinta pandang pertama. He..he...he... he... Aku tersenyum
sendiri. Boleh tahan kreatifnya imaginasiku ini. Aku tersenyum – senyum
sendiri.
“Hoi.... cik adik
bayar!” Aku tersentak dengan sergahan Kak Ros yang sudah berdiri di depan
kaunter ini bersama seorang perempuan pertengahan usia yang sedang tersenyum
kepadaku.
“Sempat berangan
lagi” kutuk Kak Ros. Aku menjeling Kak Ros. Kemudian tersenyum kepada perempuan
ini.
“Berapa harga?”
soalku menatap Kak Ros yang sudah berganjak meninggalkan aku dan perempuan ini.
“Tengok tag harga”
Besar mata Kak Ros menatapku. Pasti janggal dengan pertanyaanku. Aku tersengih.
Persis baru tersedar.
“Takde diskaun?”
soalku lagi. Kak Ros menggeleng.
“Boleh juga kalau
adik nak beri diskaun” Perempuan ini mencelah. Aku tersenyum dan geleng kepala.
“Tak boleh auntie. Kalau saya beri diskaun bos saya
akan potong gaji saya” ujarku bergurau. Perempuan ini tersenyum.
“RM 145.00 auntie”
Perempuan ini menghulurkan tiga keping wang kertas RM 50.00. Aku menyambutnya
dengan senyuman. Alhamdulillah .... rezeki mama. Lantas kuhulurkan bakinya
bersama tudung yang tersimpan di dalam beg kertas ini.
“Terima kasih.
Sila datang lagi” ujarku dengan dengan senyuman manis semanis madu. Petua mudah
hendak mengambil hati pelanggan agar berkunjung ke butik ini lagi. perempuan
ini berlalu ke muka pintu. Sekejap sahaja kelibatnya hilang dari pandangan
mata.
“Mama nak ambil
barang ni. Auni nak ikut?” Aku berpaling ke arah mama yang baru sahaja muncul
dari bilik pejabatnya.
“Siapa jaga
kaunter?” soalku.
“Kak Ros kan ada.
Bagi Kak Ros jaga kaunter” arah mama sebagai majikan.
“Kak Ros boleh
jaga kaunter?” soalku sambil melontar pandangan ke arah Kak Ros.
“Okey....” Kak Ros
tersenyum lantas mendekatiku. Sentiasa bersedia untuk mengambilalih tugasku.
“Nak pergi mana?”
soal Kak Ros sambil menyoroti pandangan ke arah mama yang sudah bergerak ke
muka pintu.
“Nak temankan mama
cari calon menantu” ujarku bergurau.
“Alah.... masih
belajar lagi dah ingat nak kahwin” perli Kak Ros mengutukku. Aku terus sahaja
tertawa.
“Bukan untuk
sayalah tapi untuk Along” sahutku membela diri. Tidak sanggup dituduh kemaruk
hendak berlaki. Buat malu sahaja kalau Kak Ros ingat aku sudah tidak sabar –
sabar mahu kahwin.
“Bye... Kak Ros”
Kutinggalkan Kak Ros bersama lambaian
tanganku. Kupercepatkan langkahku kerana mama sedang menantiku di dalam kereta
BMWnya. Terus sahaja aku menyelinap masuk lalu duduk di kerusi penumpang di
sebelah mama.
“Pakai tali
pinggang. Masa ni JPJ dan polis trafik aktif beroperasi” ujar mama mengingatkan
aku.
“Takpe duit mamakan
banyak. Nanti mama tolonglah bayar untuk Auni” sahutku bergurau mengusik mama.
Mama mencebik.
“Tak elok bazirkan
duit pada perkara yang tak berfaedah” sahut mama serius.
“Rugi kerana
kelalaian sendiri bukan ciri – ciri seorang usahawan yang berjaya” tambah mama
membuatkan aku tersenyum. Memang patut mama berbicara sedemikian kerana label
mama sudah sampai ke tahap usahawan yang berjaya. Banyak pengalaman yang sudah
mama tempuhi. Mama memang arif dengan bidang perniagaan yang diceburi.
Kereta BMW ini
melewati kawasan ini. Aku berpaling ke tingkap sisi melontar pandangan keluar
cuba menjejaki kelibat pemuda tadi. Dinding itu kosong. Pemuda itu tidak
bersandar di situ lagi.
“Tengok apa?” soal
mama menyentakkanku. Laju aku geleng kepala. Aku senyum. Perihal pemuda itu
tidak boleh dijadikan cerita untuk dikongsi bersama mama. Tidak tega
membangkitkan kebimbangan mama. Nanti tidak pasal – pasal mama akan melarangku
membantunya di Butik Selendang Kasih. Pasti aku akan separuh mati kebosanan
terperap di rumah bersama Kak Mawar, pembantu rumah. Oh..... tidak dapat aku
bayangkan cuti semester dihabiskan sedemikian.
“Bila Along cuti
mama?” soalku mengalih fokus bicara mama.
“Esok. Dua hari
off, lepas tu terbang balik” sahut mama tidak teruja dengan kesibukan anak
sulung mama yang bekerja sebagai juruterbang. Aku tersenyum. Mengerti perasaan
mama yang mengharapkan anak – anak sentiasa berada di sisinya.
“Apa kata hujung
bulan ni kita buat family vacotion. Setuju tak mama?” soalku cuba memujuk
sedikit kesedihan mama.
“Ayah dan abang –
abang Auni ada masa freekah nanti?
Merekakan busy memanjang” keluh mama
mengingati kesibukan ahli keluarganya. Aku terdiam. Bicara mama ada benarnya.
Hero – hero dalam keluargaku memang sentiasa kesuntukan waktu bersama keluarga.
Along sentiasa padat dengan jadual penerbangan ke luar negara. Kepakaran Angah
di bilik bedah sentiasa diperlukan sampaikan dia tidak ada masa hendak
berpacaran. Ayah seperti biasa sibuk dengan kuliah dan aktiviti kampus. Sana –
sini buat kajian dan penyelidikan. Nama Profesor Adam Malik begitu tersohor
sampailah ke peringkat antarabangsa. Kupandang mama. Mama juga tidak kurang
hebatnya. Mama bekas seorang peguam. Apabila Along lahir, mama meletak jawatan
untuk fokus pada keluarga. Mama mahu anak – anaknya membesar di depan matanya.
Tugas seorang ibu tidak mahu diserahkan sepenuhnya kepada pembantu rumah.
Apabila anak – anak sudah membesar dan mampu berdikari, mama tinggal
bersendirian di rumah. Lantas ayah menyarankan mama menceburi bidang
perniagaan. Butik Selendang Kasih adalah hadiah ayah untuk mama. Butik ini
begitu bermakna buat mama. Di butik itulah mama mengisi masa terluangnya. Aku
pula.... insyaallah bakal menjadi seorang arkitek. Selain fokus pada kursus
seni bina, aku turut mengambil kursus perniagaan. Suatu hari nanti kalau sudah
bosan makan gaji dengan orang, bolehlah aku buka perniagaan sendiri. Sektor
hartanah sentiasa berkembang. Begitu juga peluang jurubina mempamerkan bakat
terbuka luas. Aku yakin khidmat jurubina profesional akan diperlukan.
Demikianlah ringkasan pengenalan tentang keluargaku, Auni Hanania gadis berusia
21 tahun, anak gadis tunggal Profesor Adam Malik dan Puan Aisyah Adiba. Seorang
gadis yang gemar berimaginasi jauh, manja tetapi tegas, pemarah tetapi mudah
tersenyum, ringkas tetapi comel. Ha..ha...ha... perasan pula!
Betullah comel.
Kalau tidak masakan Azan terpikat denganku. Aduh....Azan lagi! Pusing kepalaku
memikirkan anak muda bermuka tembok itu. Semakin aku menjauhinya, semakin kerap
pula dia muncul di depanku. Rimas dan sesak nafasku dengan sikap jiwang –
jiwang karatnya itu. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhanku. Segera kuluputkan
nama pemuda jiwang itu dari ingatanku.
“Mengapa? Rindu
dengan Azankah?” soal mama tersenyum melirik mengusikku.
“Mama.....” Aku
menarik muka masam. Tidak suka mendengar bicara mama.
“Mana tahu rindu
pada Azan, kan dah lama tak jumpa. Takpe minggu depan boleh jumpakan” ujar mama
terus mengusikku sekali gus menguji kesabaranku agar jangan cepat melatah.
“Tak sukalah mama
cakap macam ni” keluhku dengan muka yang masam mencuka. Mama tersenyum lebar.
Suka hati memadankan aku dengan Azan seorang pemuda yang begitu gentleman di mata mama. Apapun aku tidak
senang dengan kekebalan Azan yang agak luar biasa itu. Rimas.
***********
“Suri makan dua ketul ayam ini. Yang ini akak punya” tuturku sambil meletakkan dulang di atas meja di depan anak gadis sunti Kak Ros yang bakal menduduki PMR pada tahun ini.
“Kak Auni makan
sikit” komen Suri.
“Tak pe... Suri
perlukan lebih tenaga untuk ulangkaji dan membesar dengan sihat” tuturku
mengusiknya.
“Ayam goreng
banyak kolesterol dan lemak, nanti boleh buat gemuk” tingkah Suri. Aku
tersenyum.
“Sesekali makan
takpe. Bukan selalupun. Lagipun Suri masih kurus lagi ni” komenku. Suri
tersenyum. Seronok dikatakan kurus. Khasnya golongan Hawa lebih suka dikatakan
ibarat tidak cukup makan daripada terlebih makan.
“Selamat menjamu
selera.....” tokokku berbicara.
“Bismillahnirahamnirahim.....”
Aku memulakan suapanku. Menyudu salad dan kentang putar. Sesekali disusuli
dengan sedutan jus oren sejuk di gelas.
“Kak Auni sedar
tak, ada orang pandang Kak Auni” bisik Suri sambil menatapku.
“Mana?” soalku
terkejut.
“Meja hujung
sekali sebaris dengan meja ini. Dekat dengan dinding itu” jelas Suri sambil
mencuri – curi pandang ke situ. Cuba berlagak biasa.
“Perasaan Suri
saja tu” tingkahku sudah rasa tidak sedap hati. Sensitif sangat mendengar
perkataan diperhatikan.
“Bukan. Memang dia
masih perhatikan Kak Auni. Sekarang dia masih tengok Kak Auni” jelas Suri
serius.
“Suri jangan nak
takutkan akak pula” tingkahku gelisah.
“Betul Kak Auni”
Suri menekan suaranya. Cuba menggambarkan betapa serius dirinya. Dia tidak main
– main.
“Lelakikah
perempuan?” soalku meminta kepastian.
“Lelaki. Not bad. Macam dia berminat sangat
dengan Kak Auni” Cepat sahaja Suri membuat kesimpulan.
“Hey....
mengarutlah Suri ini” tingkahku tidak sedap hati. Siapakah gerangan lelaki itu?
Adakah seseorang diupah untuk mengekoriku? Kemudian menculikku. Seterusnya,
meminta wang tebusan daripada keluargaku. Hey.... ini bukan cerita karangan
sebagai tugasan yang diberikan oleh guru Bahasa Melayuku.
“Betul. Lelaki itu
masih pandang Kak Auni” jelas Suri yang sesekali melontar pandangan ke situ.
Aku rasa berdebar – debar.
“Suri habiskan
cepat makanan ini” arahku. Suri patuh sahaja. Dia menyedut air cola di gelas
kali terakhir.
“Dah siap Kak
Auni” tuturnya sambil menatapku menanti arahan seterusnya.
“Bangun.... jalan
perlahan – lahan ke pintu dan jangan pandang ke arah lelaki itu” arahku. Mudah
– mudahan segalanya berjalan lancar. Semoga aku dan Suri sentiasa mendapat
perlindungan Allah. Tiada sebarang musibah yang menimpa kami. Amin.
“Okey......” Suri
menarik nafas. Begitu juga aku.
“Mari....” ajakku
mengarahkan Suri bergerak mendahuluiku dengan isyarat mataku. Suri mengangguk
patuh. Aku dan Suri terus melangkah ke muka pintu. Cuba berlagak biasa. Tidak
mahu mempamerkan kebimbingan. Silap tingkah boleh timbul kekecohan. Melewati
muka pintu, sedikit lega hatiku. Beberapa langkah menjarakkan diri dari premis
tadi, aku memberanikan diri berpaling ke premis itu semula. Cuba menjejaki
gerangan lelaki yang dimaksudkan oleh Suri sebentar tadi. Keinginan yang
melonjak – lonjak ingin tahu. Tidak kuduga pandanganku dengan lelaki itu
bertembung di sebalik dinding kaca premis itu. Aku tersentak. Laju aku mengalih
pandanganku. Pantas kutarik tangan Suri mahu segera beredar dari situ. Sungguh
aku gentar dengan lelaki misteri itu.
“Oh.... pemuda itu
lagi” bisik hatiku tidak keruan. Adakah kemunculan lelaki itu di depanku secara
kebetulan ataupun telah dirancang? Sangsi.
“Kak Auni kenal
lelaki itu?” soal Suri. Aku menggeleng.
“Langsung tak
kenal tapi dah pernah nampak dia tempoh hari” jelasku.
“Maksudnya sebelum
ini lelaki itu juga perhatikan Kak Auni” teka Suri tercengang – cengang
menatapku.
“Entahlah....
susah akak nak cakap” keluhku terasa terbeban dengan kemunculan pemuda itu. Aku
melepaskan keluhanku.
“Kak Auni dalam
bahaya ni” tutur Suri dengan wajah yang serius.
“Bahaya apa pula?
Dia bukan nak apa – apakan akak pun” tingkahku.
“Macam mana Kak
Auni tahu dia takkan apa – apakan Kak Auni. Tindakannya sangat mencurigakan.
Kak Auni mesti berhati – hati. Tak boleh jalan seorang – seorang nanti lelaki
itu culik Kak Auni” lancang sahaja Suri berkata – kata.
“Suri ni menakutkan
akak saja” rungutku tidak senang hati. Suri tersengih.
“Sekadar nak ingatkan
Kak Auni agar selalu berwaspada. Sekarang ini banyak sangat orang jahat di
sekeliling kita” tutur Suri mengutarakan fakta yang sahih. Memang inilah
kenyataannya. Banyak sangat jenayah yang berlaku sekarang.
“Nauzubillahminzalik....”
Gerun aku hendak memikirkannya.
“Suri... janji
dengan akak, Suri takkan cakap perkara ini kepada sesiapa termasuk pada ibu
Suri” pintaku. Suri menatapku. Ada persoalan sedang bermain di kepalanya. Permintaanku
ini pasti mengundang kehairanannya. Aku tidak mahu hal ini sampai kepengetahuan
mama. Kalau perkara ini sampai ke telinga Kak Ros maka akan lebih mudah mama mengetahuinya.
Lambat – lambat Suri mengangguk. Janji telah termenterai.
“Terima kasih,
Suri” ujarku berlapang dada. Mama tidak perlu tahu perkara ini. Kalau mama tahu
jangan - jangan mama akan mengurung aku di rumah. Paling aku tidak mahu kalau
Along mengetahui perkara ini. Nanti tidak pasal – pasal dia akan menjadi bodyguardku.
Ke sana sini ditemani Along. Kemudian akan menjangkit pula tugas ini dengan
Angah. Aduh... memang kebebasanku akan hilang sepenuhnya!
“Ingat jangan
cerita pada ibu Suri” ujarku mengulangi peringatan kepada Suri sebelum kami
berpisah mengikut haluan masing – masing. Suri ke perpustakaan awam kerana
sudah berjanji dengan kawan – kawannya mahu mengulangkaji pelajaran di sana.
Aku pula meneruskan langkahku ke Butik Selendang Kasih sambil terus memikirkan
tentang pemuda itu. Dirinya buat aku tertanya – tanya.
“Hoi.... kalau
awak benar – benar anak jantan datanglah sini...!!!” satu suara lantang bergema
singgah di telingaku. Aku berpaling. Tiga orang lelaki itu meluru ke arah
sekumpulan lelaki yang salah seorang bersuara tadi. Berlaku pergaduhan. Adegan
tumbuk terajang saling berbalas – balasan. Sekelip mata sahaja mereka sudah
menjadi tontonan. Mereka langsung tidak mengendahkan pandangan orang ramai.
Lagak sebuah produksi sedang membikin filem
gengstar. Aku menelan liur. Sungguh gerun menyaksikan aksi – aksi ganas
tanpa tepisan, nyata dan jelas berlaku di depan mata.
“Oh... pemuda
itu....” Aku terpana menatap wajah pemuda itu. Sungguh lagaknya persis pahlawan
terbilang. Tubuhnya melayang tinggi melibas seterunya. Kakinya hinggap di tubuh
lelaki itu. Sebiji penumbuknya pula singgah di muka lelaki yang sama. Dia
tersenyum puas menatap darah yang mengalir dari bibir musuhnya.
“Betullah... dia gengstar....” bisik hatiku diserbu rasa
takut. Laju langkahku berganjak dari sini. Sudah tidak sanggup menatap adegan
ganas, pukul memukul antara dua kumpulan samseng yang saling bersengketa.
“Mengapa tercungap
– cungap ni? Ada orang kejar lagikah?” soal Kak Ros yang menyambut kedatanganku
di muka pintu.
“Lari dari orang
bergaduh kat sana tu” jelasku. Wajah pemuda itu masih terbayang di mataku.
Disusuli dengan lagak keperwiraannya bagai hero handalan dalam medan tempur
pergaduhan. Pemuda itu memang berbakat dalam beradu tenaga. Sungguh nampak
kekuatan dirinya. Walaupun tubuhnya tampak kurus, tetapi tidak mudah musuh
dapat membalas balik serangan bertubi – tubinya. Dia menguasai ilmu
mempertahankan diri.
Aku menyandarkan
tubuhku di sofa empuk ini. Cuba menenangkan diri. Wajah pemuda itu kembali
bermain – main di ruang mataku. Melalui pandangan mata kasarku, dia bukan
pemuda yang bersopan santun, kaya budi bahasa yang boleh dijadikan sahabat. Dia
lelaki berbahaya. Terasa keselamatan diriku terancam sekarang.
salam ramadhan.... dr pg tadi duduk depan laktop ni langsung takde idea nak smbg bab NBF.....tgk muka neymar... tetiba jari jemari ni ligat di papan kekunci. ilham pula datang mencurah - curah..... bagai dapat seru nak bikin novel baru... heheheheh.... utk pengetahuan pelayar blog yg setia.... novel 'Awak Jodohku Lagi....' diberhentikan setakat bab 15 utk jd tatapan di blog ini atas syarat yg dikenakan olh penerbit spjg penilaian ini. doakan ya semoga novel ini diterima utk dibukukan... amin...
ReplyDeleteAmin....
DeleteCerita ni nampak menarik n lain dari yg lain....
TQVM IZA
Delete