BAB 67
“Lia....” Aku berpaling. Haqem berdiri di muka pintu
sambil melambai tangan ke arahku. Kutinggalkan Mak cik Tijah di dapur.
“Nak minta tolong call
iPhone saya. Baru perasan iPhone takde dengan saya” jelas Haqem cemas. Aku
mengambil iPhoneku lalu terus membuat panggilan. Ada bunyi tetapi tidak
diangkat. Bimbang juga kalau tercicir di mana – mana ataupun tertinggal di
hospital. Sangat merisaukan jikalau dijumpai oleh orang yang tidak amanah.
Mereka selalu menganggap barang yang dijumpai yang bukan milik mereka adalah rezeki
mereka. Dalam keadaan kelam – kabut pagi tadi semuanya tidak diingat. Kutekan
lagi nombor iPhone Haqem. Kali ini diangkat.
“Assalamualaikum....ya... Flora....” Aku tersentak. Suara
Aqel di talian sekarang.
“Aqel....Hyeon...” kupanggil namanya berserta nama manja
Koreanya mahu mempastikan memang Encik Aqel Indra Putra bin Abdullah yang
sedang berbual denganku sekarang.
“Ya.... saya” sahut suara lelaki ini. Lega. Bermakna
telefon Haqem selamat.
“Baru sekejap saya tinggalkan awak, takkan awak dah tak
kenal suara saya lagi” perli Aqel tidak berlengah terus menembakku. Tidak kuendahkan
kutukannya ini. Tidak mahu bertikam lidah dengan Aqel di kala hati masih
bersedih. Kebetulan pula Haqem berada di sebelahku turut mengikuti perbualan
ini. Tidak mahu ketinggalan mengetahui
berita tentang iPhone miliknya. Cemas juga Haqem tadi. Cemas bukan sebab
telefon pintar itu tinggi nilainya, sebaliknya banyak maklumat penting dan
nombor rakan perniagaan yang tersimpan di situ. Tiada halangan bagi Haqem
mendapatkan iPhone baru yang canggih sekiranya iPhone yang ada sekarang hilang.
Namun maklumat yang disimpan tidak akan dapat dicari ganti jikalau iPhone hilang.
Kalau perkara yang sama menimpa aku pasti aku menangis tidak berlagu jua.
Menangis yang tiada bunyi.
“Kenapa call
Haqem?” Pertanyaannya ini agak janggal di pendengaranku.
“Mestilah nak siasat iPhone itu di mana? Takkan saya call nak cakap dengan Haqem pula
sedangkan dia ada di rumah ini” balasku geram. Kedengaran gelak Aqel. Haqem di
sebelahku turut tersenyum. Aqel mengutarakan pertanyaan yang tidak logik. Dia sudah
tahu yang aku dan Haqem berada di rumah ini sekarang. Tiba – tiba sahaja
diajukan pertanyaan sedemikian. Mestilah aku menyinga.
“Pandai juga awak buat lawak ye...” ujar Aqel membidas
bicaraku. Aku tersengih sendiri.
“Baguslah iPhone Haqem ada pada awak sekarang. Dia cari
iPhone tu tadi” jelasku.
“iPhone dia selamat. Tertinggal dalam kereta. Nanti saya
serahkan iPhone ini padanya”
“Okeylah.... Pandu hati – hati. Sekejap lagi saya call mak. Assalamualaikum.....”
Kumatikan panggilan ini. Suara Aqel lenyap. Pandai – pandai pula aku menjangka
yang Aqel masih berada di jalan raya. Pemandu cekap seperti Aqel tidak akan
berada lama di jalan raya. Pasti Aqel sudah berada di rumah sekarang. Terlupa
pula hendak tanya Aqel tadi dia berada di rumah yang mana satu. Yang mana satu
pilihan Aqel. Rumah mak atau rumah Mak Long? Macam lagu P. Ramlee pula.
“iPhone saya ada pada Aqel?” tanya Haqem cepat persis
kilat menyambar. Tidak sempat aku hendak menelan air liur. Bercakap dengan Aqel
boleh buat tekak kering.
“Ya. Kenapa?” tanyaku hairan melihat Haqem persis tidak
teruja menerima berita gembira ini. Dia berpeluang bertemu dengan iPhonenya
semula. Haqem menggeleng. Sekarang bolehlah Haqem menarik nafas lega kerana
iPhone yang dicari ada pada Aqel. Sudah terjamin keselamatan iPhone itu.
“Awak macam tak suka saja iPhone awak ada pada Aqel”
ujarku sangsi.
“Takdelah” nafi Haqem menyangkal. Jangan – jangan Haqem
khuatir rahsia dirinya terbongkar. Aku yakin dan percaya Aqel tidak akan
mencerobohi hak orang lain sesuka hati.
“Lain kali kalau ada perkara penting yang mahu
dirahsiakan jangan sesekali simpan dalam memori iPhone. Baik simpan dalam hati
saja. Bahaya. Awak tak payahlah risau, Aqel boleh dipercayai. Takkan dah
berkawan baik begitu lama awak masih tak percaya dan tak kenal perangai Aqel” ujarku menegur Haqem. Sebetulnya, aku
yang membuat andaian sendiri, memberi reaksi pada ekspresi wajah yang
ditunjukkan oleh Haqem tadi. Cepat sahaja aku membuat tafsiran sendiri. Haqem
menggeleng lagi. Bermakna dia memang percayakan Aqel. Betullah Haqem percayakan
Aqel. Kalau tidak masakan mereka boleh menjadi sahabat baik sejak sekian lama.
Malah sampai sekarang masih terjalin baik meskipun tiba – tiba kemunculanku
menyelit dalam hidup mereka. Ada kisah yang tidak diduga telah berlaku. Kehidupan
ini sukar hendak diramal. Tiada seorangpun yang mengetahui kehidupannya pada
masa akan datang. Mudah – mudahan kehidupan yang menjanjikan kebahagiaan sedang
menungguku. Diharap sekalian manusia akan berbahagia di bumi Allah ini. Amin.
Semoga diperkenankan Yang Maha Esa.
“Mesra juga awak denga Aqel ye...” suara Haqem memberi
ulasan tentang hubunganku dengan Aqel. Aku berpaling ke arah Haqem. Bicara
Haqem ikhlas atau sekadar sindiran. Macam tidak boleh diterima akal sedangkan aku
dan Aqel ibarat Tom dan Jerry dikatakan mesra.
“Aqel sangat pendiam. Hanya bercakap jika perlu. Saya
perhatikan bila dengan awak boleh pula dia bercakap banyak. Pandai pula
menyakat awak” tutur Haqem.
“Tak pula saya tahu jika perangai Aqel seteruk itu”
ujarku berlawak. Aku tergelak sendiri.
“Tapi kalau awak kata dia itu macam salji, saya setuju
sangat .... sangat” ujarku menambah bicara. Berkerut dahi Haqem menatapku.
“Salji?” tanya Haqem tidak mengerti. Aku tersenyum.
“Aqel dingin sedingin salji. Malah boleh jadi lebih
dingin daripada salji” jelasku. Haqem terus sahaja tergelak. Bicaraku mencuit
hatinya.
“Agaknya Mak Long mengandungkan Aqel ketika musim sajli.
Mana tau masa tu Mak Long mengidam nak mengunyah salji je” ujarku bersahaja.
Kali ini gelak Haqem lebih besar.
“Nanti saya beritahu Aqel awak kutuknya” gertak Haqem.
Aku hanya senyum. Tahu Haqem tidak serius dengan bicaranya, hanya sekadar
bergurau. Ahh.... lega! Sekurang – kurangnya aku boleh buat Haqem tersenyum dan
tergelak pada saat hatinya sedang berduka. Mahu meringankan sedikit bebanan
perasaan yang Haqem tanggung saat ini.
“Cakap sejujurnya... Apa yang awak suka tentang Aqel?”
tanya Haqem sedikit mengejutkanku. Kupandang Haqem. Pertanyaan yang aneh.
Mestikah aku nyatakan kepada Haqem? Tidakkah Haqem akan mencemburuinya nanti?
Oh.... aku yang fikir jauh sangat!
“Saya tanya ikhlas dan awak jawab dengan jujur” pinta
Haqem sambil tersenyum. Aku masih tidak bersuara. Kurang yakin. Bimbang juga
jikalau Haqem mahu mengujiku. Kemudian menyamakan aku seperti perempuan –
perempuan lain yang mudah terpikat pada kesempurnan fizikal Aqel sebagai
kesimpulannya. Ehh..... tidak rela diriku ditafsir sedemikian!
“Cakaplah tak payah segan. Saya takkan beritahu Aqel”
janji Haqem. Aku masih berfikir. Wajib menilai Aqel sejujur – jujurnya tanpa
dipengaruhi emosi. Tidak bias.
“Takkan takde langsung yang awak suka tentang Aqel” ujar
Haqem persis mendesakku bersuara. Aku masih dalam pertimbangan. Pendapatku
tentang Aqel itulah yang Haqem akan ingat sebagai tanggapanku terhadap
sahabatnya itu. Aku harus berhati – hati dan berfikir sedalamnya sebelum
membuat sebarang kenyataan. Telajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk
padahnya.
“Tak pernah saya dengar ada perempuan yang tak suka Aqel.
Semua berangan – angan nak jadi isterinya ” tambah Haqem menyuarakan kehebatan
Aqel.
“Kiranya saya ini beruntung jugalah” ujarku mencelah
bicara Haqem. Haqem mengangguk dan tersenyum. Tidak tahu setakat mana ikhlasnya
reaksi yang Haqem tunjukkan ini.
“Cakaplah... Awak suka sikap Aqel yang sentiasa
melindungi awak” ujar Haqem mengungkit tindakan Aqel selama ini. Aku senyum.
“Itu yang buat saya rasa teruk sebab lemah sangat
sehingga Aqel terus melindungi saya” sahutku. Haqem menggeleng. Tidak setuju
dengan pendapatku. Dia tidak mahu aku mudah mengaku diri lemah. Pantang mengaku
tewas sebelum bertarung.
“Lelaki.... setiap yang dilakukannya mesti ada sebab tersendiri”
jelas Haqem. Aku senyum lagi. Sangat setuju dengan kenyataan Haqem. Aqel
sentiasa mahu melindungiku sebab sudah diamanahkan oleh mak dan Mak Long agar
menjagaku. Satu keluarga sudah menjadi kewajipan saling melindungi. Keluarga kami
keluarga kecil sebab itu sangat akrab.
“Saya tinggalkan awak dulupun ada sebabnya....” tutur
Haqem perlahan.
“Ya saya tahu....” sahutku. Namun terlewat aku
mengetahuinya. Haqem meninggalkan aku sebab mahu melindungi aku daripada disakiti
oleh Datin Sofea. Haqem mengorbankan cintanya demi mendapatkan jaminan daripada
ibunya agar kesejahteraan hidupku tidak diganggu. Haqem mahu mempastikan aku
berjaya menamatkan pengajianku dengan cemerlang. Jelasnya Haqem cuba melakukan
yang terbaik buatku. Dia berharap aku hidup dengan baik walaupun dia tiada di
sisiku. Pengorbanan suci yang telah Haqem lakukan untukku. Sebak dan terharu
aku memikirkannya.
“Awak belum cakap lagi” desak Haqem masih mahu mendengar keistimewaan
Aqel yang menarik perhatianku. Rasanya Haqem tidak akan berhenti bertanya
selagi aku tidak menyatakannya. Sungguh – sungguh Haqem hendak mengetahuinya.
Risau juga kalau pujianku disalahertikan oleh Haqem nanti. Silap tingkah bakal
mengundang musibah.
“Saya paling suka melihat senyumannya. Senyuman orang
dingin seperti Aqel sangat mahal” ujarku mengalah pada desakan Haqem. Jarang
benar Aqel hendak senyum sebenar – benar senyuman. Senyuman sinis dan perlian
memang kerap dihadiahkan kepadaku.
“Awak jangan beritahu Aqel tau. Nanti dia bangga diri
pula” ujarku mengingatkan Haqem. Senyap. Kupandang Haqem. Nampak dia sedang
berfikir jauh. Mungkin sudah sampai ke Kota Makkah dan Kota Madinah. Destinasi
impian yang ingin aku kunjungi. Sejak mendengar cerita mak dan Aziq betapa
indahnya kota suci itu seakan diriku turut terpanggil mahu bertandang ke situ. Menyusuri
sejarah Islam yang tercatat di situ akan menginsafkan diri.
“Awak dengar tak?” tanyaku. Bahu Haqem terangkat. Pasti
lontaran suaraku meleburkan lamunannya. Aku senyum.
“Jangan beritahu Aqel” ulangku semula. Haqem mengangguk
tanda janjinya kepadaku. Senyap. Aku belum menghubungi mak lagi. Gara – gara
rancak berbual – bual dengan Haqem, aku hampir – hampir terlupa perkara yang
sepatutnya kulakukan. Aneh. Tidak pernah – pernah aku dan Haqem berbual panjang
sebegini sejak bergelar isteri Aqel. Lantas kudail nombor telefon rumah. Tidak
diangkat. Ke mana mak pergi selewat begini? Kudail lagi. Masih juga tidak
diangkat.
“Awak pun dah pandai bergurau sekarang” komen Haqem menyambung
perbualan. Aku tersenyum. Mungkin hasil berguru dengan Aqel yang selalu sangat
cuba mengenakan aku.
“Benarkah?” tanyaku. Haqem mengangguk.
“Yelahkan. Dahulu tahu menangis je. Congek sangat” ujarku
mengulas diri sendiri. Aku senyum lagi. Masa berganjak telah mendewasakan diri.
Umurpun kian bertambah. Ketika Aqel mula mengenali aku ketika itu sikapku agak
keanak – anakan. Hanya pandai mengadu. Tidak matang. Namun setelah perpisahan
itu terjadi, banyak perkara yang aku pelajari. Setiap yang berlaku ada
hikmahnya.
“Maaf.... sebab buat awak selalu menangis” suara Haqem
perlahan sahaja. Wajahnya sugul. Sudah tiada senyuman di bibir Haqem lagi. Aku
menggeleng. Sudah tidak sedap hati. Tidak mahu mengajak Haqem berada dalam zon
kesedihan menambah kepiluan hari ini. Perpisahan dengan Harianie sudah cukup
menguji ketabahan Haqem.
“Maaf..... saya nak call
mak sekarang” ujarku lantas bangun meninggalkan Haqem bersendirian di ruang
tamu ini. Aku harus menghentikan perbualan ini sebelum menjadi lebih serius.
Aku tidak mahu perbualan yang dimulai dengan santai akan diakhiri dengan
ketegangan. Tidak usah diungkit perkara yang lalu yang menyedihkan hati.
Telefon rumah tidak diangkat, aku dail nombor telefon
bimbit mak. Alhamdulillah.... sekali dail terus sahaja diangat. Kedengaran
suara mak menyahut salamku. Masing – masing saling membuat kejutan. Tidak
menyangka mak dan Mak Long berada di luar daerah mengikuti lawatan rombongan warga
emas yang berada di bawah seliaan Mak Long. Penyertaan mak tanpa dirancang.
Tidak sangka pula ajakan Mak Long disambut baik oleh mak. Terburu – buru pergi
sampai tidak sempat hendak memaklumkan perkara ini kepadaku. Kemudian memasuki
pula zon yang tiada talian telefon, maka mak tidak dapat menelefonku sepanjang
perjalanan. Mak baru sahaja bercadang hendak menghubungiku, namun aku yang
bertindak mendahuluinya. Hutan rimba mana yang mak masuki? Semoga rombongan
warga emas ini selamat sampai dan selamat kembali. Mudah – mudahan jua beroleh
kegembiraan dan keseronokan pengubat kesunyian mereka.
Alhamdulillah. Mak merestui keputusan Aqel meninggalkan
aku di rumah ini. Pilu hati mak mendengar budak lelaki 6 tahun ditinggalkan
oleh ibunya. Bertambah rawan dan hiba hati mak tatkala mengetahui kemalangan
yang menimpa keluarga Idlan. Dalam usia kanak – kanak sudah menjadi anak yatim
piatu. Tiada ibu bapa, hilang saudara kandung. Sokongan mak hanya berkuatkuasa
selama 24 jam sahaja. Esok aku harus balik ke rumah. Mak tidak mahu aku
meninggalkan Aqel bersendirian di rumah untuk hari seterusnya. Keperluan Aqel
adalah tanggungjawabku dan sudah semestinya menjadi keutamaan. Inilah
peringatan yang sering mak sampaikan kepadaku. Sememangnya malam ini sahaja aku
tidur di sini. Mahu menemani Idlan mengharungi malam pertama tanpa ibu yang
dikasihi berada di sisinya. Esok sudah semestinya berada di rumah mak biarpun
bersendirian kerana lusa barulah mak balik. Mana tahu Aqel tidak mahu
menemaniku di rumah mak.
Teringat kepada
Aqel, laju sahaja tanganku mendail nombor iPhone Aqel. Mahu memaklumkan
penyertaan mak dalam lawatan rombongan warga emas yang diketuai sendiri oleh
Mak Long. Bermakna mak tiada di rumah, maka terpaksalah Aqel bersusah – payah
menyediakan barang keperluanku. Tatkala teringat pada pakaian dalam, hangat
membahang wajahku. Segan pula hendak berhadapan dengan Aqel nanti. Tidak sampai
hati pula hendak mengarah Aqel menyentuh barang peribadi yang terlalu sulit
itu. Ohh... sangat sensitif! Tiga kali cuba menghubungi Aqel namun masih tidak
berjawab. Maka kuhantar pesanan ringkas. Lebih menyenangkan dan dapat
menyembunyikan rasa maluku. Aku minta Aqel ambil sahaja baju tidur dan pakaian
yang sesuai dipakai siang bagi mempermudahkannya. Tiada pesanan jelas yang
mengarahkan Aqel membawa pakaian dalam. Hanya berharap Aqel akan faham sendiri.
Berus gigi, pencuci muka dan set mandian yang lain berserta tuala mandi tidak
lupa kuarahkan juga Aqel membawanya. Maka dengan terperinci aku memberitahu
kepada Aqel di mana lokasi barang – barang itu. Mesej yang kukarang sudah
berjaya dihantar. Pasti Aqel sudah meneriman mesej itu. Mungkin juga Aqel
sedang membacanya.
‘Minta maaf Aqel sebab buat awak kelam kabut
sekarang.....” ujarku berbicara sendiri sambil membayangkan Aqel sedang lintang
– pukang menyediakan barang – barang keperluanku. Kasihan Aqel. Aku telah
menderanya.
Haqem masih mematungkan diri di ruang tamu. Bersendirian
dengan pelbagai persoalan yang bercambah di benaknya. Keceriaan gadis itu
bercerita tentang sahabatnya itu menggusarkan Haqem. Namun tidak mahu membebankan
dirinya dengan kesedihan yang berganda. Kata hati tidak harus dituruti. Idlan
perlukan dirinya persis dia perlukan gadis itu. Keinginan memiliki gadis itu
kian mendesak dirinya. Haqem merasakan dia dan Idlan memang perlukan sangat
kehadiran Lia dalam hidup mereka.
Aqel datang lebih awal kerana ada majlis tahlil selepas
solat Maghrib berjemaah. Ketika menyerahkan beg pakaian ini kepadaku langsung
tiada bicara keluar dari mulutnya. Tidak juga dia mahu bercakap tentang mak dan
Mak Long yang menyertai lawatan rombongan warga emas. Jauh sekali hendak
mengadu kesukarannya mengemas barang keperluan yang kuharapkan mak akan
menolongku menyediakannya. Tiada penjelasan langsung tentang panggilanku yang
tidak dijawabnya. Aqel meninggalkan aku begitu sahaja. Lantas memasuki barisan
pertama jemaah lelaki. Tidak mahu ketinggalan menunaikan solat Maghrib bersama
imam. Sikap Aqel sedemikian tidak menghairankan aku. Aqel boleh jadi lebih
dingin daripada salji. Kupandang Idlan yang lengkap berbaju Melayu berdiri di
sebelah Haqem berdekatan dengan Aqel. Kupandang dengan hati hiba wajah sayu dan
gerak – geri longlainya. Terasa kepiluan mencengkam hati. Usianya masih kecil,
namun dia sudah mengerti tentang perpisahan itu. Perpisahan yang tiada
pertemuan lagi. Pengalaman lalu membuatkan dirinya lebih mengerti tentang makna
kematian. Idlan lebih matang daripada kanak – kanak yang seusia dengannya.
Usai solat Maghrib berjemaah, disusuli dengan bacaan
tahlil untuk arwah Harianie. Mendengar bacaan tahlil memenuhi ruang banglo ini
hatiku terusik lagi. Walaupun aku dengan arwah baru sahaja berkenalan, namun
kemesraan yang terjalin bagaikan sudah sekian lama mengenali hati budi masing –
masing. Keperibadian arwah yang begitu disenangi membuatkan aku mudah mesra
dengannya. Arwah Harianie sangat bersederhana menjalani hidupnya. Memiliki
tutur kata yang sopan dan tingkahlaku yang ramah membuatkannya ramai kenalan. Sejak
aku mengenalinya tidak pernah arwah menyinggung perasaanku. Sentiasa bersedia
memaafkan orang lain tanpa sekelumit perasaan dendam. Kemuliaan hatinya inilah
yang menyebabkan dirinya disenangi sesiapa sahaja yang mengenalinya. Buktinya
siang tadi ramai kawan – kawannya datang menziarahi buat kali terakhir. Mereka
tidak mampu menahan tangis. Betapa arwah Harianie disayangi sekalian orang yang
mengenalinya. Menambah kepiluan hati tatkala terpandang Idlan yang sukar hendak
didamaikan perasaannya. Sekujur tubuh ibunya yang kaku dipeluk erat. Sukar
hendak dipisahkan. Dia belum bersedia berpisah dengan ibu yang dikasihi.
“Minuman air panas dah siap?” Aku dikejutkan dengan suara
Mak cik Tijah. Laju tanganku mengesat air mata yang menitis di pipiku. Sebak
dadaku.
“Dah mak cik” sahutku lalu mengalih pandangan daripada
para jemaah yang sedang tekun bertahlil ke wajah Mak cik Tijah. Aku tidak dapat
menyertai mereka dan hanya memandang dari sudut tepi ini sambil melayan
perasaan sendiri. Berbicara dengan suara hati.
“Belum mandi lagi?” tanya Mak cik Tijah. Aku tersengih.
“Sekejap lagi” sahutku.
“Dah ada baju nak pakai malam ni?” tanya Mak cik Tijah
lagi.
“Ada dalam beg tu” jelasku sambil menunding jari ke arah
beg pakaian yang Aqel serahkan kepadaku tadi. Mak cik Tijah melontar pandangan
ke situ.
“Kenapa beg itu tak disimpan dalam bilik?” tanya Mak cik
Tijah.
“Biarlah dulu di situ. Nanti saya bawa masuk ke bilik
bila dah selesai majlis ini” jelasku kerana tenagaku sangat diperlukan di dapur
ketika ini. Sementara Mak cik Tijah solat berjemaah, bolehlah aku mengambilalih
tugasnya di dapur ini. Sekadar mendidihkan air untuk dibuat minuman panas.
Ketika gerimis yang turun mencurah – curah membasahi bumi, mungkin ada tetamu
yang mahu minuman panas untuk menghilangkan kedinginan. Sebenarnya tidak banyak
kerja yang perlu dilakukan kerana makanan untuk menjamu jiran – jiran dan
sahabat – handai yang datang bertahlil pada malam ini ditempah khas dari luar.
Maka hanya perlu menyediakan ruang jamuan agar mereka mengetahui tempat
menghidang makanan nanti. Perkara ini tidak mendatangkan masalah kerana banglo
milik arwah ini sangat luas. Boleh menampung ramai tetamu.
Usai tetamu menikmati hidangan malam, aku melakukan
sedikit kerja pembersihan di dapur. Sisa – sisa kerja yang tidak sempat Mak cik
Tijah selesaikan gara – gara menyiapkan keperluan Idlan sebelum tidur. Tidak
banyak kerja yang perlu dilakukan memandangkan pihak yang dibayar menguruskan
jamuan melakukan semua tugasan, bermula daripada menyediakan kain alas meja,
menghidang, menambah makanan dan minuman sehinggalah mengemas bekas – bekas
hidangan serta melakukan kerja pembersihan di kawasan menghidang. Semuanya
dilakukan dengan cekap dan pantas. Begitu mudah sekarang asalkan ada wang semua
kerja akan beres.
“Awak belum mandi lagi?” suara Haqem menyapaku. Aku
berpaling. Haqem sedang berdiri di ambang pintu melontar pandangan ke arahku.
“Sekejap lagi habis saya buat kerja ni” jelasku menjawab
pertanyaannya.
“Biarkan saja cawan – cawan itu di sinki. Awak pergi
mandi sekarang. Tak baik mandi lewat malam” ujar Haqem mengarah aku. Aku
tersenyum.
“Takpe tinggal sikit je lagi” sahutku berkeras mahu
melangsaikan semuanya sebelum meninggalkan dapur. Alang – alang hendak
ditinggalkan kerja sekerat jalan sahaja.
“Kalau macam itu biar saya yang habiskan kerja awak. Awak
pergilah mandi” arah Haqem lebih tegas kali ini. Haqem melangkah masuk ke ruang
dapur.
“Hey.... tak pe.... saya boleh buat” tuturku cuba menghalang
hasrat Haqem. Haqem sudah berdiri di belakangku, dekat denganku buat aku kurang
selesa.
“Pergi sekarang.....” arah Haqem lantas merampas cawan di
tanganku. Aku menjarakkan diri dari Haqem.
“Okey... saya pergi” ujarku mengalah. Haqem senyum dan
mengangguk.
“Tapi awak tak payah cuci cawan yang tinggal ni. Lepas
mandi nanti saya sambung buat kerja ni” pintaku membuat perjanjian. Haqem
mengangguk tanda setuju. Kutinggalkan Haqem yang masih tercengat di depan
sinki. Melewati ruang tamu yang tiada sesiapa berada di situ. Namun tv masih
terpasang. Mungkin Haqem yang mahu menontonnya. Tidak kelihatan kelibat Aqel di
sini lagi. Agaknya dia sudah pulang. Aqel tidak dapat memenuhi ajakan Haqem hendak
bermalam di sini.
Usai sahaja mandi, aku membuka beg yang Aqel bawa tadi.
Tergamam aku tatkala menatap pakaian di dalam beg ini. Tiada satupun bajuku di
sini. Semuanya baju Aqel. Yang padan denganku hanyalah pakaian dalam ini.
Itupun masih dengan tanda harganya. Barangkali Aqel tersilap ambil beg.
Bukankah kejadian ini pernah berlaku? Laju tanganku mencapai iPhone lantas menghubungi
Aqel.
“Assalamualaikum..... Awak pasti ke bawa beg yang betul?”
tanyaku terus menerus tidak memberi peluang langsung mendengar suara Aqel
berkumandang sebaik sahaja panggilan ini diangkat.
“Betullah.... itu beg pakaian awak” balas Aqel bersahaja.
Mujur juga Aqel yang jawab.
“Mana baju tidur saya? Baju untuk esok? Yang bertanda –
tanda harga ini siapa punya?” tanyaku panjang berjela. Menyebut pakaian dalam
secara simbolik. Mesti Aqel faham.
“Saya tak balik rumah awak tadi. Dah takde mak di sana.
Saya pinjamkan saja pakaian saya pada awak. Dalam perjalanan ke sini tadi baru
saya ingat awak perlukan pakaian dalam. Saya singgah ke kedai yang jual pakaian
dalam perempuan yang pertama saya nampak” jelas Aqel panjang berjela juga. Kelu
lidahku mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Aqel ini.
“Awak tak kisahkan pakai pakaian dalam dari kedai yang
belum basuh lagi. Harap – harap padan dengan awak. Saya main agak je tadi” tambah
Aqel dengan bersahajanya. Panas membahang wajahku tika ini. Begitu selamba Aqel
menuturkannya. Langsung tiada perasaan segan – segan. Eee... tidak mahu aku
berandaian jika Aqel cuba membayangkan ukuran bidang dadaku dan inci punggungku
tadi! Sungguh sensitif perkara ini.
“T-shirt
beruang merah itu dah biasa awak pakai dan seluar tidur saya itu awak dah
pernah pakaipun. Tak jadi masalah” ujar Aqel menambah bicaranya lagi.
“Pastikan awak jaga baik – baik t-shirt beruang merah tu. Itu baju kesayangan saya” ujar Aqel
memberi arahan. Aku mengetap bibir menahan perasaan geram.
“T-shirt ini....
saya punyalah” tingkahku meradang.
“Eiikkk..... Awak dah beri t-shirt itu pada saya!” balas Aqel mengingatkan aku.
“Saya boleh ambil baliklah” gertakku.
“Buruk siku....” kutuk Aqel mengulangi simpulan bahasa
itu. Dia pernah sekali mengatakan sedemikian kepadaku.
“Kalau seluar itu panjang sangat, nanti awak fikirkanlah
macam mana nak buat” pesan Aqel. Mestilah hujung kaki seluar itu dilipat
beberapa kali. Mustahil pula aku hendak mengguntingnya. Seolah – olah dia
sedang bercakap dengan orang yang tidak tahu berfikir. Dungu.
“Okeylah.... Terima kasih...” ujarku tidak sepenuh hati. Malas
mahu memanjangkan bicara. Nanti lebih banyak pula ketegangan berlaku. Tahu –
tahu sahajalah otak Aqel begitu agresif dan kreatif hendak mengenakan aku.
“Awak di mana sekarang?” tanyaku.
“Ada di luar ni” sahut Aqel.
“Luar mana?” tanyaku lagi. Jawapan Aqel tidak jelas.
“Di ruang tamu depan tv bersama Haqem. Marilah tengok tv
sama – sama” ajak Aqel cuba hendak mempermainkan aku. Dia ingat mudah sahaja
dia hendak membohongi aku. Aku langsung tidak mempercayai kata – kata Aqel. Aku
yakin Aqel sudah balik dan tidak akan tidur di sini. Mustahil aku tidak nampak jasad
Aqel kalau benar dia berada di ruang tamu tadi. Kecualilah dia sudah menjadi
manusia halimunan. Memang ghaib dipandang mata. Sah Aqel mahu menipuku.
“Yelah tu...” balasku geram. Tidak mudah terpedaya dengan
tipu muslihatnya.
“Datang sini nanti ye. Kita sama – sama temankan Haqem”
ajak Aqel lagi menambah pembohongannya. Aku mendengus kecil. Geram dengan
perangai Aqel yang tidak sudah – sudah mahu mengenakan aku. Dasar kaki buli
perempuan! Aku akan adukan perkara ini kepada Mak Long nanti. Gertak suara
hatiku.
“Okeylah..... saya nak....” terhenti bicaraku. Tidak
patut aku hendak maklumkan kepada Aqel yang aku baru sahaja hendak memakai baju
dan seluar. Baru selesai mandi dan masih berkemban tuala lagi. Sumpah aku tidak
akan beritahu Aqel. Sama sekali tidak akan membuatkan dirinya berfikir ke arah
itu. Aqel lelaki normal.
“Baru je nak pakai baju” teka suara Aqel meluncur laju buat
aku terkedu. Selalu sahaja bicaranya tepat. Bagaikan Aqel ada sepasang mata
lain untuk sentiasa memerhatikan aku.
“Mana ada. Saya baru je nak mandi” tingkahku berbohong.
Kedengaran gelak Aqel.
“Assalamualaikum.....” terus sahaja kuakhiri perbualan
ini. Tidak memberi peluang Aqel bercakap lagi. Kuletak iPhone di atas katil. Kubelek
– belek pakaian yang Aqel pinjamkan ini. Harum mewangi. Kupandang lama pakaian
dalam yang masih tersimpan kemas dalam plastik ini. Ngeri aku hendak
mengeluarkannya. Bagaimana citarasa Aqel? Fikiran nakal menyelit di benakku.
Subhanallah..... orennya.... hijau pucuk pisang pula...! Warna yang mengancam ...terang
– benderang. Aku tergamam. Dahsyat betul citarasa Aqel. Kali ini terkedu pula
tengok harga yang terpamer. Seakan tidak logik harga set pakaian dalam ini.
Hanya sepasang seluar dalam dengan coli sudah menjangkau harga beratus. Mungkin
juga dibuat daripada kain sutera yang bermutu. Kuusap fabriknya. Tiada yang
luar biasa. Senang – senang sahaja Aqel membazirkan wangnya. Jangan – jangan
ini set pakai dalam untuk membentuk tubuh yang cantik. Teringat Aqel pernah
menyuruh aku menurunkan berat badanku.
Mahu tidak mahu dan aku sebenarnya sudah tiada pilihan, terpaksa
juga memakai pakaian yang Aqel bawa ini. Mustahil pula aku hendak menyarung kembali
pakaianku siang tadi yang sudah hampir – hampir 24 jam tersarung di tubuhku.
Sudah berbau peluh. Mujur juga set pakaian dalam yang Aqel beli ini padan
denganku. Memang selesa memakainya. Berbaloi dengan harganya. Ibarat kalah membeli
menang memakai. Namun warna yang terang – benderang ini menakutkan aku. Nasib
baik t – shirt yang kupakai ini
berwarna merah dan fabrik tebal. Kalaulah t
– shirt yang berwarna putih dan nipis sudah pasti jelas pada penglihatan. Boleh
jadi model pakaian dalam perempuan. Ehh.... ngerinya aku! Kulipat hujung kaki seluar
tidur ini. Seluar milik Aqel ini memang panjang sangat. Boleh dibuat alas kaki
kalau tidak dilipat hujungnya. Kuamati diriku di dada cermin. Tidak seksi.
Kemudian barulah aku keluar bilik hendak ke dapur melangsaikan kerjaku yang
terhenti sebentar tadi. Sebelum melelapkan mata, semua cawan yang ada di dalam
sinki mesti siap dibasuh dan dikeringkan. Mahu meringankan kerja Mak cik Tijah.
“Awak betul – betul ada di sini sekarang!” besar suaraku
tatkala terpandang Aqel sedang terbaring santai di depan tv di ruang tamu ini.
Haqem berpaling ke arahku. Tampak kehairanan.
“Kan saya dah cakap tadi. Mari minum milo panas” sahut
Aqel bersahaja dengan mata yang masih fokus pada skrin tv. Sempat pula mengajak
aku minum bersama mereka. Ajak – ajak ayam. Kalau ajak ikhlas pun aku tidak
akan sudi. Aku mengetap bibir.
“Mesti awak kata saya bohongkan....” ujar Aqel lalu
berpaling ke arahku. Tepat pandangan Aqel menghala ke tubuhku. Laju tanganku
bersilang di dada. Cuba melindungi kawasan larangan daripada pandangan mata
Aqel. Aqel terus sahaja tergelak.
“Kalau kat atas awak tutup, yang kat bawah macam mana?”
tanya Aqel nakal mengusikku. Besar mataku menatap Aqel. Aqel tergelak – gelak
sendiri.
“Apa?” tanya Haqem tidak mengerti. Dahinya berkerut.
“Saya nak ke dapur sekarang” ujarku mahu melarikan diri.
Tidak tahan mendengar bicara Aqel. Malu jikalau Haqem juga mengetahui perkara
ini. Kupercepatkan langkah ke dapur. Mahu mencuci cawan – cawan yang kutinggalkan
di sinki. Sinki kosong. Semua cawan sudah dibasuh. Mesti Haqem yang mengambilalih
tugasku tadi. Kuperhatikan di sekitar ruang dapur ini. Bersih dan rapi. Tiada
kerja yang perlu dilakukan lagi. Lantas aku meninggalkan dapur.
“Lia....!” Haqem memanggilku. Langkahku terus terhenti.
“Kenapa?” tanyaku tidak sedap hati. Haqem dan Aqel sedang
menatapku. Mungkinkah Aqel sudah berkongsi cerita dengan Haqem? Perasaan was –
was menyelubungiku.
“Baju tidur siapa yang awak pakai ni? Nampak pelik je.
Dahlah seluar berlipat macam nak pergi sawah” komen Haqem berbaur perlian disambut
gelak tawa Aqel. Aku mencebik bibir. Geram sangat. Tidak sudah – sudah Aqel
mahupun Haqem menyibuk halku.
“Ini baju tidur suami saya yang tersayang” jawabku geram.
Tiba – tiba sahaja Aqel tersedak. Air milo dalam mulutnya terpercik keluar.
Mujur tidak mengena muka Haqem yang duduk di sebelahnya. Kalau tidak percuma
sahaja muka kacak Haqem menjadi mangsa air liur basi Aqel. Ha..ha...ha....!
Hatiku ketawa dengan girangnya. Aqel terbatuk – batuk kecil. Padan mukanya!
“Pakai baju tidur Aqel?” tanya Haqem. Laju aku mengangguk
sambil buat – buat tersenyum suka. Aqel masih mengurut – urut dadanya. Cuba
melegakan dirinya. Aqel pasti tidak menjangka akan mendengar betapa hebatnya
pengakuanku itu. Teruja sangatkah Aqel mendengarkannya sehingga membuatkan
dirinya tersedak sedemikian? Tidak patut....!
“Saya nak jenguk Idlan dalam bilik. Hati – hati minum air
milo panas. Jangan sampai tercekik pula. Assalamualaikum....” ujarku menyindir
Aqel. Terkebil – kebil matanya menatapku. Haqem sekadar tersengih. Sedar
kawannya sedang disindir. Aku melangkah meninggalkan Aqel dengan Haqem di ruang
tamu.
“Nak baca buku cerita Misteri 1001 Malam tu juga” tegas
suara Idlan.
“Minta maaf.... nenek betul – betul tak tahu buku cerita
itu diletak di mana. Nenek dah cari merata tempat dalam bilik ini tapi masih
tak jumpa. Sekarang Idlan baca buku ini ye...” lembut suara Mak cik Tijah
memujuk Idlan. Aku tidak jadi meneruskan langkah memasuki bilik tetamu.
Nampaknya Idlan sedang meragam sekarang. Maklumlah malam ini merupakan malam
pertama dia tidur tanpa ibunya. Pasti aneh rasanya. Kasihan Idlan. Dia mesti
tertekan sekarang.
“Nak baca juga....” sahut suara Idlan berdegil.
Kedengaran keluhan kecil Mak cik Tijah. Sudah tidak mampu memujuk budak lelaki
ini.
“Kalau mama ada.... pasti dia tahu buku cerita itu
diletak di mana....” keluh Idlan hiba. Terusik hatiku mendengarkannya.
“Sabar ye sayang....” pujuk Mak cik Tijah lagi dengan
sebaknya.
“Assalamualaikum..... boleh auntie masuk?” ujarku meminta kebenaran sambil menjengukkan kepala
di ambang pintu. Mak cik Tijah mengesat air matanya. Lantas menghantar bahasa isyarat
mengarahkan aku masuk. Aku tersenyum. Kutatap wajah Idlan yang masam mencuka.
Lantas kuusap – usap kepalanya. Sesungguhnya, mengusap kepala anak yatim piatu
ada berkatnya. Bahkan menggembirakan mereka akan beroleh pahala.
“Boleh auntie tengok
buku cerita ini?” tanyaku berhati – hati. Mesti pandai menggunakan psikologi
menghadapi jiwa halus kanak – kanak yang sangat sensitif. Silap bicara bakal meremukkan
perasaan budak lelaki ini. Buku cerita ini dihulurkan kepadaku. Aku membuka
halaman pertama. Terpandang sebaris catatan tulisan tangan arwah Harianie sebagai
pesanan seorang ibu buat anaknya. Tidak perlu ditanya siapa yang menghadiahkan
buku cerita ini kepadanya. Bimbang pertanyaan yang diajukan akan menguris hati
kecilnya. Namun jika Idlan dengan rela hati mahu bercerita tentang perkara ini,
aku bersedia menjadi pendengar setia. Jelasnya, buku cerita ini adalah hadiah
daripada bonda yang dikasihi buat anak yang disayangi. Hadiah arwah Harianie
untuk Idlan.
“Nampak best
saja buku cerita ni. Idlan dah baca?” tanyaku. Dia mengangguk.
“Boleh tak kalau auntie baca sekali lagi untuk Idlan. Auntie teringinlah nak tahu ceritanya. Auntie tak pernah pun baca” ujarku
bersungguh – sungguh. Idlan menatapku. Dia mengangguk. Lega. Bimbang juga kalau
Idlan masih berdegil mahukan buku cerita yang dipintanya tadi. Mak cik Tijah
telah bersungguh – sungguh mencarinya. Barangkali buku cerita itu tidak berada
di dalam bilik ini.
“Terima kasih banyak – banyak....” ujarku teruja dan
seronok. Mak cik Tijah tersenyum.
“Kita baca sekarang ye” ajakku. Sekali lagi Idlan
mengangguk.
“Idlan nak baring atas katil” pintanya.
“Oh.... boleh. Mari....” ajakku lantas memimpin tangan
kecil ini naik ke atas katil sambil diperhatikan oleh Mak cik Tijah yang
tersenyum. Kemudian membaringkan tubuh Idlan. Aku duduk di birai katil, di
sebelah Idlan yang sudah bersiap sedia hendak mendengar aku membaca buku cerita
di tanganku. Mak cik Tijah memberi isyarat mahu keluar dari bilik ini. Aku
mengangguk. Maka tinggallah aku dan Idlan di sini.
“Dengar baik – baik ye... auntie nak bercerita sekarang” ujarku memaklumkan kepada Idlan. Dia
mengangguk. Tanpa berlengah akupun mula membaca halaman pertama kisah ‘Pemuda
dan Batu Ajaib’. Idlan begitu tekun mendengar aku membaca buku cerita ini.
Langsung dia tidak mencelah mahupun mengemukakan sebarang pertanyaan. Harap –
harap Idlan seronok mendengar aku menyampaikan cerita ini dengan penuh perasaan.
Cuba melakukan yang terbaik buat Idlan. Kebetulan pula aku memang pencerita
yang hebat. Sentiasa johan dalam pertandingan bercerita ketika zaman sekolah
rendah dahulu. Kenyataanku ini berupa fakta. Bukan omong – omong kosong sahaja.
Ada piala tempat pertama yang kuterima dan sijil penyertaan yang membuktikan
kehebatanku.
“Sekian .... terima kasih” ujarku menandakan tamatnya
sebuah kisah yang dicetak dalam buku yang mengandungi 16 muka surat ini. Idlan
terus sahaja bertepuk tangan sambil tersenyum. Aku terpana. Sungguh aku tidak
menduga reaksi sedemikian yang ditunjukkan oleh Idlan. Kuletak buku cerita ini
ke tepi. Aku tersenyum menatap Idlan.
“Esok.... kita cari buku cerita Misteri 1001 Malam itu
sama – sama ye” ajakku. Idlan mengangguk suka. Dia senyum lagi.
“Auntie juga
akan beli buku cerita baru untuk Idlan sebab tunjukkan sikap yang baik” ujarku
berjanji. Kian mekar senyuman Idlan.
“Sekarang..... masa untuk.....” Kubiarkan bicaraku
tergantung. Sengaja mahu mendengar suara Idlan kerana hari ini dia lebih banyak
mendiamkan diri. Sudikah Idlan melengkapkan ayat yang baru sahaja keluar dari
mulutku ini?
“Tidur....!” sahut Idlan gembira. Lega rasanya menatap
senyuman Idlan yang berpanjangan. Memang reaksi ini yang kuharapkan
daripadanya.
“Idlan tidurlah sekarang” arahku lembut sambil menarik
selimut tebal menutupi sebahagian tubuh kecil ini. Kuusap rambutnya.
“Mak Usu tidurlah di sini temankan Idlan” pintanya. Aku
mengangguk. Idlan masih mahu memanggilku sedemikian. Saat sedih begini tidak
tega pula aku hendak menghalangnya. Bimbang buat dia berkecil hati. Aku mahu
menjaga hati Idlan agar dirinya tidak terus murung. Mampu memberikan sedikit
kegembiraan kepada Idlan sangat bererti buatku.
“Idlan tidur di atas katil ini, auntie pula akan tidur di atas sofa panjang itu. Auntie kalau tidur macam orang berlawan.
Nanti kalau auntie kongsi katil
dengan Idlan, risau pula akan menyebabkan Idlan jatuh” jelasku memberi alasan
secara lembut. Biarlah Idlan tidur sendirian di atas katil ini. Ruang yang luas
membebaskan pergerakannya. Aku mahu memberi keselesaan maksimum kepadanya.
Biarlah dia tidak terjaga di tengah malam yang sunyi sepi. Suasana yang boleh
menambahkan kesayuan hati yang sedang bersedih. Idlan tergelak. Alasan yang
kuberikan mencuit hatinya.
“Bolehkan....?”
tanyaku. Idlan mengangguk.
“Idlan budak yang baik” pujiku. Dia tersenyum lagi.
“Mak Usu.... kenapa uncle
Aqel tak tahu barang Mak Usu disimpan di mana? Kalau ayah Idlan dia tahu tempat
barang mama disimpan. Selalu juga ayah tolong ambilkan barang mama” cerita
Idlan buat aku terkedu. Tidak menyangka Idlan akan ingat pada bicara Aqel siang
tadi. Malah tidak menduga Idlan mahu mengulas kenyataan Aqel itu. Aku senyum
dan geleng kepala. Tidak tahu menjawab pertanyaan Idlan ini. Niat Idlan
hanyalah untuk bertanya. Namun bicara Idlan ini besar maknanya. Ada maksud
tersirat yang boleh ditafsirkan tentang hubunganku dengan Aqel.
“Idlan tidur sekarang ye... dah lewat ni. Idlan kena
bangun awal esok, nak solat subuh lagi” jelasku. Idlan mengangguk tanda akur
pada arahanku.
“Idlan nak baca al – fatihah banyak – banyak untuk mama,
ayah dan kakak” ujar Idlan buat aku sebak. Syukurlah Idlan tahu
tanggungjawabnya terhadap keluarga walaupun masih kecil.
“Idlan memang anak yang baik. Sudah semestinya mama, ayah
dan kakak – kakak Idlan tenang dihadiahkan al – fatihah” pujiku terharu.
Beruntung memiliki permata hati sehebat Idlan Raid. Budak lelaki yang cerdik
dan berhati suci murni. Memiliki nama yang hebat. Pemimpin yang adil. Sungguh
besar maknanya. Mudah – mudahan Idlan Raid akan menjadi pemimpin yang adil.
“Idlan akan sentiasa baca al – fatihah untuk mereka”
tekad Idlan. Alhamdulillah. Anak yang soleh dan solehah adalah harta dunia yang
paling berharga.
“Ada apa – apa nak cakap lagi?” tanyaku memberi peluang kepada
Idlan hendak memanjangkan perbualan ini. Laju dia menggeleng kepala.
“Dah mengantuk...... nak tidur sekarang” ujar Idlan. Dia menguap.
Laju telapak tangannya menutup mulut. Tingkahlakunya bertatatertib. Bicaranya
tersusun dan penuh pengertian. Belum sampai sehari kepergian Harianie, namun
Idlan sudah matang. Sikap dan gaya pertuturannya berlainan dengan kanak – kanak
yang seusia dengannya. Perubahan yang mendadak. Nun jauh di sudut hatiku, aku
tidak mahu Idlan kehilangan keriangan zaman kanak – kanak yang harus
dinikmatinya. Sekejap sahaja Idlan sudah melelapkan mata. Kurenung wajah putih
bersih ini dengan perasaan sayu dan hiba. Sungguh aku kasihan dan bersimpati
kepada Idlan yang menempuhi dugaan hidup yang berat tidak setanding dengan
usianya. Kubelai rambut Idlan dengan penuh kasih sayang. Kasih seorang kakak
kepada adiknya, sayang seorang mak cik kepada anak buahnya. Mudah – mudahan
Idlan Raid tabah menghadapi ujian yang Allah berikan kepadanya. Amin.
“Awak sangat baik Lia. Saya tak perlu risau kalau saya
tinggalkan Idlan pada awak. Saya percaya awak boleh jaga Idlan dengan baik.
Idlan akan dapat perhatian dan kasih – sayang awak” bicara yang keluar dari
mulut Harianie ketika mengiringiku ke kereta Haqem sebaik sahaja majlis hari
jadi Idlan tamat. Kiranya inilah wasiat terakhir Harianie kepadaku.
Haqem yang sejak dari tadi memerhati di sebalik daun
pintu yang terkuak sedikit, menahan gelodak perasaannya. Kesedihan dan kepiluan
sudah tidak terkawal. Berat sungguh ujian yang diterimanya tika ini. Keinginan memiliki
gadis itu semakin kuat mendesak dirinya. Betapa dia dan Idlan sangat memerlukan
kehadiran Lia dalam hidup mereka. Dia dan Idlan akan menjadi keluarga yang
bahagia dengan adanya Lia. Gadis inilah pelengkap keluarga sempurna mereka.
Kecewa dirinya tatkala
teringat Aqel sudah meninggalkan rumah ini. Rasa menyesal kerana tidak
menghalang kepergian pemuda itu. Kalau ikutkan hatinya, malam ini juga dia mahu
Aqel membebaskan Lia. Biar gadis itu menjadi hak milik mutlaknya seorang. Sudah
terbayang senyuman bahagia Idlan di matanya. Sesungguhnya, dia dan Idlan
memiliki impian yang sama. Sebuah keluarga bahagia yang ahli barunya ialah Lia.
Dia dan Idlan sangat memerlukan kehadiran Lia dalam keluarga kecil mereka. Haqem
menaruh harapan yang tinggi agar impiannya termakbul.
besttt nk lg please...:-)
ReplyDeleteTqvm. Bab 68 dah ready tggu nak n3 je lg
ReplyDelete