Thursday, 1 October 2015

Namaku Bukan Flora...78




BAB 78

“Mama...senyum...” arah Idlan lantas memelukku. Belum sempat memberi gaya menarik, cahaya kamera iPhone Haqem sudah menyala.
“Cepat sangat... belum sedia lagi” komenku. Haqem tersenyum.
“Ambil sekali lagi... Sedia... 1...2...3...” Kamera iPhone Aqel menyala lagi. Kali ini aku dan Idlan memberikan gaya santai yang mesra.
Perpect...” puji Haqem berpuas hati dengan gambar yang baru diambilnya.
“Tengok... tengok...” rengek Idlan tidak sabar-sabar. Haqem melangkah mendekati aku dan Idlan. Gambar yang baru diambilnya dipamerkan.
“Wah... cantik! Sporting mama...” tutur Idlan memuji lalu memelukku lagi. Aku tersenyum berbesar hati. Gambar ini akan bakal menjadi sebahagian kenangan terindah buatku. Boleh jadi renungan tatkala usia Idlan berganjak dewasa nanti. Mahu Idlan sedar bahawa masih ada insan yang menyayangi dan mengasihinya. Dia tidak bersendirian meniti anjakan usianya.
“Papa... kita ambil gambar sama-sama” ajak Idlan sambil melambaikan tangan ke arah Haqem. Haqem menahan langkah seorang pemuda. Lantas meminta jasa baik pemuda itu mengambil gambar kami bertiga. Laju langkah Haqem mendekati aku dan Idlan. Maka dengan pertolongan pemuda itu terakamlah gambar kami bersama.
“Terima kasih” ujar Haqem sambil menyambut huluran iPhone daripada pemuda itu. Haqem tersenyum menatap gambar yang telah diambil oleh pemuda itu.
Perpect...” ujar Haqem berpuas hati.
“Nak tengok...nak tengok...” rengek Idlan tidak mahu ketinggalan menatap gambar itu. Haqem tersenyum lantas menyuakan gambar yang baru diambil itu menjadi tatapan Idlan. Idlan tersenyum.
“Mama... tengoklah gambar ni...” ajak Idlan. Aku menurut permintaan Idlan. Gambar yang cantik. Gambar ini diambil dengan sempurna. Aku, Haqem dan Idlan tersenyum. Setelah puas menatap gambar ini, kami bergerak ke kedai peralatan sekolah. Mahu membeli beberapa alat tulis untuk Idlan. Maklumlah sudah lama cuti sakit, semangatnya berkobar-kobar hendak kembali ke sekolah. Tidak sabar-sabar hendak bertemu dengan rakan sekelas yang pasti merindui Idlan. Di premis ini aku menemani Idlan mendapatkan peralatan tulis yang diperlukan. Sikapnya yang sangat teliti menyebabkan banyak masa yang diperuntukkan di sini. Haqem hanya geleng-geleng kepala. Teruji kesabarannya berhadapan dengan kerenah Idlan. Aku hanya senyum.
“Dia macam awak” ujarku menyamakan Haqem dengan Idlan. Haqem mencebik.
“Saya taklah secerewetnya”  Haqem meningkah bicaraku. Aku menggeleng. Tidak bersetuju dengan penafian Haqem.
“Awak lebih cerewet daripada Idlan” balasku memprotes pengakuan Haqem.
Really?” tanya Haqem. Aku mengangguk. Haqem tergelak kecil. Baru sedar sikapnya diwarisi oleh Idlan.
“Aqel... cerewet tak?” tanya Haqem tiba-tiba sahaja menyebut nama Aqel. Kutatap Haqem. Dia tersenyum dan sedang menanti jawapan daripadaku.
“Saya nak tahu penilaian ikhlas awak pada Aqel” jelas Haqem masih menantikan jawapanku tentang sahabatnya itu. Rasanya ini kali kedua Haqem mahu mengetahui penilaianku terhadap Aqel. Aku menghela nafas.
“Aqel...emm...” Aku berfikir panjang. Sukar juga hendak berbicara tentang Aqel.
“Dari segi penampilan.... dia memang cerewet. Dia sangat mementingkan penampilan diri yang sempurna termasuklah kebersihan dan kesihatan diri. Sebab itu juga dia memiliki pengetahuan perubatan tradisional dan boleh menyediakan makanan berkhasiat. Hal-hal lain, Aqel biasa sahaja. Dia paling tak suka membazir. Kalau makan di luar, dia boleh habiskan semua walaupun dah kenyang. Dia juga tak suka mengungkit perkara lalu. Hidupnya sentiasa memandang ke depan. Jadi banyak perkara yang tak perlukan penjelasan. Itu prinsip hidup Aqel” tuturku bercerita panjang tentang keperibadian Aqel.
“Wow..., banyak juga yang awak tahu tentang Aqel!” komen Haqem kagum.
“Saya belum cukup  mengenali Aqel” sahutku sambil menggeleng kepala menafikan bicara Haqem. Sukar hendak mengerti sikap Aqel.
“Prinsip hidup Aqel nampak mudah tapi sukar nak difahami. Baginya banyak perkara yang tak perlukan penjelasan” keluhku kesal dan mengulangi kenyataan itu semula.
“Alangkah baik kalau Aqel boleh bercerita panjang tentang Flora, kekasih hatinya itu. Saya memang mahu mendengar kisah hidup kekasihnya yang setia ini” tuturku perlahan. Haqem kaget. Kupandang Haqem.
“Awak kawan baik Aqel. Sudah lama awak mengenali Aqel. Betulkah awak tak tahu tentang Flora?” tanyaku cuba mencungkil rahsia hidup Aqel daripada Haqem.
“Saya langsung tak tahu apa-apa tentang gadis itu” sahut Haqem.
“Awak tak rasa Rania dengan Flora... orang yang sama?” tanya Haqem berteka-teki. Kupandang Haqem. Kedengaran agak pelik bicaranya ini.
“Adakah ini klu jawapan untuk pertanyaan saya tadi?” tanyaku menduga Haqem. Haqem senyum. Laju dia menggeleng. Tidak mahu aku berpegang pada bicaranya itu.
“Perkara itu yang pernah terlintas di fikiran saya” ujar Haqem membuat pengakuan. Rania dengan Flora... orang yang sama? Bukankah Aqel dengan Rania berpisah kerana Flora? Hidup Aqel sentiasa dibelenggu bayangan Flora menyebabkan Rania berlaku curang.
“Atau... awaklah sebenarnya Flora... tapi awak dah lupa” teka Haqem serius menatapku.
“Sampai tahap serius macam itu saya lupa tentang diri sendiri” ujarku dengan anak mata yang besar menatap Haqem. Haqem tergelak.
“Mana tahu awak dilahirkan dan hidup sebagai Flora dalam suatu jangka masa. Kemudian awak menjadi Nur Dahlia setelah hilang ingatan” ujar Haqem berimaginasi.
“Wah..., di luar kotak fikiran saya! Plot cerita yang menarik. Boleh buat drama dan novel nanti” ujarku mencebik ke arah Haqem. Haqem tergelak lagi.
“Bukan ke Aqel panggil awak Flora?” duga Haqem. Aku menjeling Haqem. Aku tidak suka nama itu menjadi milikku. Kemudian aku pun turut sama tergelak kecil.
Uncle Aqel...!” laung Idlan. Serentak aku dan Haqem berpaling ke arah Idlan. Aqel sedang mengusap-usap lembut rambut Idlan. Di sebelahnya, Rania sedang tersenyum memerhatikan gelagatnya. Haqem berpaling menatapku.   
“Hatiku kuat mengatakan bahawa dialah Flora” bisik Haqem sambil memandang Rania di sebelah Aqel. Lantas aku membandingkan diriku dengan Rania. Tidak serupa. Antara aku dengan Rania langsung tiada persamaan. Bukankah Aqel memanggilku dengan nama kekasihnya itu lantaran persamaan yang wujud antara kami? Aku jelmaan Flora?
“Kamu dah makan?” Aqel melontar pandangan ke arahku dan Haqem. Haqem menggeleng. Berkerut dahiku menatap Aqel. Belum cukup kenyang dia selepas makan tengah hari tadi? Aqel senyum mengerti dengan pandanganku.
“Makanan tengah hari tadi dah habis saya buang semuanya” ujar Aqel menjawab pandangan mataku. Aku mencebik.
“Nak makan dengan Uncle Aqel” ujar Idlan membuat keputusan.
“Mari...” Aqel sudah memaut tangan Idlan memulakan langkah diekori Rania. Haqem menatapku. Aku sudah tiada pilihan. Terpaksalah menurut kemahuan Idlan duduk semeja dengan Aqel dan Rania.
“Boleh ke?” tanya Haqem meminta pendapatku. Aku mengangguk. Aku tidak kisah berkongsi makanan dengan Rania. Bimbang Rania yang terbeban dengan kewujudanku bersama mereka. Lambat-lambat aku melangkah di sebelah Haqem mengekori langkah mereka.
“Duduk di sini” arah Aqel sudah menarik kerusi di sebelahnya. Kupandang Aqel. Rania yang sedang menarik kerusi hendak duduk turut memandang Aqel.
“Saya?” tanyaku mahu kepastian bicara itu ditujukan kepadaku. Aqel mengangguk. Idlan sudah duduk di kerusi di sebelah kiri Aqel sedang tersenyum suka. Suka hatinya kerana dapat makan berkumpul ramai-ramai. Mahu menjaga air muka Aqel, aku duduk di kerusi di sebelah Aqel. Haqem duduk di sebelahku dan kerusi di sebelah Haqem ialah Rania. Aku berpandangan dengan Rania yang duduk bertentangan denganku. Nampak dia kurang senang dengan posisi dudukku. Aqel dan Idlan sepakat dalam menentukan menu hidangan, yang lain menunggu sahaja untuk menikmati pilihan mereka. Tidak menunggu masa yang lama, semua menu yang dipesan sudah terhidang di atas meja sedia dinikmati. Perkhidmatan yang cekap.
“Awak hidangkan nasi” arah Aqel memandangku. Duduk di sebelah Aqel bagai ada udang di sebalik batu. Aqel ada agenda tersendiri. Dia mahu aku melaksanakan suruhannya. Kucapai pinggan lalu menceduk nasi ke dalam pinggan. Aqel mengagih-agihkan pinggan yang sudah berisi nasi.
“Kami tak pernah ajak kalian datang ke rumah. Belum ada rumah sendiri. Maka anggaplah ini jemputan makan dari kami” ujar Aqel. Aku kaget.
“Idlan...kamu baca doa makan” arahku. Idlan mengangguk. Semua menadahkan tangan. Suara manja Idlan menitip lafaz doa diaminkan oleh semua. Haqem tersenyum bangga.
“Silakan makan” jemput Aqel seusai sahaja Idlan melafazkan doa. Semua mula menikmati hidangan yang sedap-sedap ini. Pilihan Aqel dan Idlan memang memuaskan hati.
“Bila Uncle Aqel nak beli rumah sendiri?” tanya Idlan ingin tahu. Aqel senyum.
“Tengah cari mahligai kaca di atas bukit menghadap air terjun” ujar Aqel menggambarkan  citarasanya yang tinggi. Dia sangat berkemampuan. Boleh menganggankan apa sahaja yang terdetik di hati dan terlintas di benaknya. Betapa bertuah menjadi Aqel.
“Wow...!” Idlan kagum. Aku mencebik.
“Kan awak dah ada rumah kaca di pinggir hutan’ ujarku mencelah. Terbayang di mataku keindahan banglo kaca milik Aqel itu. Haqem dan Rania menatap Aqel yang tersenyum.
Really?” tanya Haqem persis tidak tahu tentang perkara ini. Aqel mengangguk.
“Awak pernah pergi sana?” tanya Haqem sambil menatap Rania. Rania menggeleng.
“Hanya seorang saja yang pernah pergi sana” ujar Aqel tersenyum sendiri. Betulkah aku orang pertama yang bertandang ke situ? Haqem dan Rania menatapku. Aku tersengih. Akulah insan pilihan yang berpeluang menatap keindahan mahligai kaca di pinggir hutan milik Aqel itu. Nampak Rania tidak puas hati kepadaku.
“Awak takde plan nak beli rumah di Seoul? Kalau saya jadi awak mesti saya ada keinginan macam tu” tanya Haqem persis memberikan saranan.
“Awak nak halau saya keluar dari negara ni?” tanya Aqel berseloroh. Haqem tersenyum.
“InsyaAllah kalau ada rezeki lebih nak hantar orang di sebelah saya ni tinggal di sana” Aqel melirik ke arahku.
“Saya nak ikut mama” suara Idlan mencelah.
“Boleh Uncle Aqel?” tanya Idlan meminta keizinan. Aqel mengangguk tanpa berfikir panjang.
“Tapi ada syarat...” sahut Aqel tidak mudah memberi keizinan sekali gus menimbulkan rasa tidak senangku. Bimbang bicara yang tidak sedap didengar akan keluar dari mulut Aqel.
“Apa syaratnya? Tak nak beri kemenangan mudah” ujar Idlan. Aqel tersenyum lagi. Pertandingan Aqel dan Idlan perkara berbangkit.
“Bisinglah awak berdua. Jangan asyik berbual di depan nasi” rungutku menasihati. Aqel dan Idlan tersengih.
“Tengok madam dah marah ni” ujar Haqem baru bersuara lagi. Kemudian ketiga-tiga lelaki ini ketawa. Aku mencebik. Geram. Rania memandangku dengan wajah serius. Langsung tidak mempamer kemesraan. Usai makan aku ke singki membasuh tangan dan mulut.
“Saya tak pernah mengalah” suara perempuan. Aku berpaling. Rania sudah di belakangku menunggu giliran menggunakan singki.
“Saya akan pastikan Aqel kembali” ujarnya serius. Kutatap wajah Rania. Dia tidak pernah berputus asa. Semangat juangnya tinggi.
“Awak Flora?” Meluncur laju pertanyaan ini dari mulutku.
What?” Terkebil-kebil Rania menatapku. Aku tersenyum sendiri. Sahih tekaan Haqem salah. Flora dengan Rania ialah orang yang berbeza. Mereka tiada persamaan.
“Saya ingat awaklah Flora” ujarku.
“Jangan nak berlagaklah” ujar Rania geram.
“Saya tak pernah merasakan diri saya Flora tapi awak kena ingat dalam hati Aqel hanya ada Flora” tegasku mengingatkan Rania. Tidak mahu Rania terluka lagi.
“Jadi jangan terlalu menggantung harapan tinggi pada Aqel kelak awak yang kecewa sendiri” ujarku menasihatinya.
“Saya tak perlukan nasihat awak. Awak tengok nanti...sampai masanya Aqel akan lontar awak jauh-jauh” ujar Rania radang. Aku senyum. Lucu.
“Sekalipun Aqel lontar saya ke langit... ke bulan... ke bintang... saya tak kisah pun” ujarku berseloroh menambah kehangatan hati Rania.
“Dalam hidup saya... takkan sesekali bergaduh kerana lelaki” tegasku.
“Awak telah curang pada Aqel. Awak lukai perasaannya. Sekarang awak terhegeh-hegeh nak dapatkannya balik. Belajarlah perasaan malu” ujarku geram. Rania mendengus kasar. Aku meninggalkan Rania dengan perasaan puas hati. Baru ada kesempatan hendak berhujah dengannya.
“Kita pergi sekarang” ujarku sambil menatap Haqem dan Idlan. Mereka mengangguk.
“Terima kasih... Kami gerak dulu” ujar Haqem meminta diri lantas memaut tangan Idlan bergerak ke muka pintu. Kupandang Aqel.
“Kalau awak dah takde perasaan pada Rania, jangan beri harapan tinggi padanya. Tak elok mempermainkan perasaan orang lain” nasihatku. Terkebil-kebil Aqel menatapku.
“Belajarlah setia pada cinta awak” ujarku lantas meninggalkan Aqel yang masih terpinga-pinga. Kebetulan Rania sedang melangkah ke arah Aqel. Aku mendapatkan Idlan dan Haqem yang sedang menunggu di luar restoran ini.
 Aku dan Haqem menurut sahaja langkah Idlan. Sekarang Idlan mempunyai kuasa penuh menentukan hala tuju dan kemahuannya. Betapa seronok dia berkuasa persis putera raja yang sesuka hati memerintah. Wajah Idlan ceria dengan senyuman yang terukir.
“Mari kita pergi” ajak Haqem tiba-tiba. Wajahnya cemas. Ditariknya tangan Idlan mengiringi langkah lajunya. Aku yang berada di sebelah Idlan juga turut laju mengatur langkah. Tidak tahu perkara yang membuat Haqem menjadi cemas.
“Jalan  terus...jangan menoleh ke belakang” arah Haqem. Aku patuh. Namun Idlan sempat menoleh ke belakang sebelum Haqem memaling wajahnya ke depan semula. 
“Kita berselindung di sini...” arah Haqem sambil memandang Idlan kemudian beralih matanya ke arahku. Aku dan Idlan hanya terkebil-kebil. Sungguh tidak mengerti dengan perubahan tingkahlaku Haqem ini. Maka seketika kami terpacak di tepi dinding yang agak terlindung daripada pandangan orang lain. Sekali imbas memang tidak akan nampak kami berada di sini. Kecualilah kalau benar-benar ada yang berhajat hendak menjejaki kami. Perlahan-lahan dan berhati-hati Haqem menjenguk kepala dan menghantar pandangan ke situ. Dia menghela nafas lega. Bagaikan terlepas daripada bencana.
“Kita dah boleh keluar. Mereka dah takde di situ” ujar Haqem memaklumkan bahawa kami selamat sekarang.
“Papa...” panggil Idlan sambil mendongak wajah Haqem. Aku memandang Idlan.
“Kenapa papa takut sangat pada nenek? Papakan orang besar boleh lindungi saya dan mama kalau nenek marah” lancar sahaja Idlan berkata-kata. Kupandang Haqem. Dia terkedu. Aku terdiam. Rupa-rupanya Haqem melarikan aku dan Idlan daripada bertembung dengan Datin Sofea tadi. Barulah aku faham. Idlan masih menatap Haqem persis sedang menanti penjelasan Haqem. Haqem masih membisu. Riak wajahnya berubah. Pasti terpukul dengan kata-kata Idlan.
“Ada sesetengah perkara yang tak dapat dijelaskan” ujarku bersuara mewakili Haqem. Persis Aqel pula lagakku. Tidak mahu Haqem serba salah dan diam ini berpanjangan. Idlan mengangguk-angguk seakan mengerti.
“Takpe... bila saya besar nanti saya akan jaga papa dan mama agar nenek tak boleh marah lagi. Saya nak jadi hero macam Uncle Aqel” ujar Idlan buat aku terpana. Haqem terkedu lagi. Bicara Idlan persis peluru yang menembusi hati Haqem. Pasti Haqem terasa. Aku diam. Tidak menyangka Idlan akan membuat penilaian sejauh ini.
“Maafkan papa...” perlahan-lahan kata-kata ini keluar dari mulut Haqem yang tidak berdaya. Idlan tersenyum. Aku mengusap-usap rambut Idlan. Sukar hendak dijangka kata-kata yang bakal terbit daripada mulut budak bijak ini. Bicaranya melangkaui usia. Idlan ialah kanak-kanak matang. Kata-katanya penuh makna.
“Nak pergi mana-mana lagi?” tanyaku mengambil peranan daripada Haqem. Laju Idlan menggeleng. Dia tersenyum.
“Dah letih...” sahut Idlan.
“Betul nak balik rumah sekarang?” tanyaku meminta kepastian. Idlan mengangguk.
“Betul? Tak menyesal?” tanyaku lagi. Berkali-kali Idlan mengangguk. Keputusannya muktamad. Aku mengekori langkah Idlan. Nampak tidak bersemangat lagi. Barangkali sudah keletihan. Haqem di sebelahku hanya berdiam diri. Maka perjalanan balik ini dalam suasana yang sunyi sepi. Aku menoleh ke belakang. Idlan sedang tidur tersandar di kerusi. Nampak dia keletihan.
Sorry...” Haqem bersuara meleraikan kelu lidahnya.
“Saya tak apa-apa. Hanya bimbang Idlan kecewa” ujarku tidak berselindung. Haqem pasti memahami bicaraku.
***********

"Belajarlah setia pada cinta awak. Kata-kata awak menyuntik semangat saya" tutur aqel. Aku berpaling ke arah Aqel. Wajahnya terselindung di sebalik buku yang dibacanya.
"Indah kata-kata awak" pujinya. Aku mengetap bibir menahan perasaan geram. Saat aku serius dia boleh main-main lagi.
"Allah cipta awak begitu sempurna bukan nak minta awak jadi buaya darat. Dia bagi awak harta bertimbun bukan nak awak berpoya-poya mengaburi mata perempuan. Dia bagi awak kebijaksanaan bukan nak awak berlagak. Sedarlah… wahai…Encik Aqel Indra Putra" ujarku geram. Aqel tergelak.
"Hari ini dalam sejarah berpeluang juga mendengar awak puji saya. Terima kasih banyak-banyak" ujar Aqel tersengih-sengih membakar hatiku. Aku melepaskan keluhan.
"Nampak hodoh sangat kalau orang handsome ni buat-buat bodoh mengalahkan orang yang sememangnya hodoh" perliku melempar kata-kata kesat kepada Aqel.
"Yah...!" bentak Aqel radang. Aku tersenym sinis. Puas hati buat Aqel panas hati. Terus lenyap sengihan panjangnya. Buku dengan ruas sudah bertemu. Aqel terkumat-kamit sendirian melempar perasaan tidak puas hati. Yakin dia sedang mengata aku.
“Kalau saya jadi Flora... mesti saya bersedih. Ada kekasih suka berpoya-poya dengan perempuan lain. Paling dahsyat dalam masa yang sama jadi suami orang. Mujur juga saya bukan Flora” ujarku menguji bentang kesabaran Aqel. Aku tersenyum sinis menatap Aqel yang sedang mempamer muka masam.
“Awak pun apa kurangnya... Dah ada suami tapi masih keluar dengan bekas kekasih pertama. Siap lagi dipanggil mama” balas Aqel membalas kata-kata kesat. Aku mengetap bibir menahan sabar.
“Awak cemburu? Atau awak takut awak dikalahkan oleh Idlan” ujarku persis arif tentang pertandingan antara Aqel dengan Idlan yang langsung tidak kuketahui. Aqel serius menatapku.
“Cinta awak pada Haqem tak pernah padam. Awak memang berhasrat nak hidup bersama mereka” ujar Aqel.
“Sekurang-kurangnya saya tak nampak awak macam Haqem. Penglihatan saya masih jelas. Bukan hidup dengan bayang-bayang. Sedarlah Encik Aqel Indra Putra...” tegasku serius. Aqel mendengus. Baran hatinya.
“Awak nak hidup dengan Haqem? Nak jadi mama Idlan dalam erti kata sebenar?” tanya Aqel sambil merenungku tajam.
“Kenapa? Awak dah bersedia nak lepaskan saya?” tanyaku tanpa menjawab pertanyaan Aqel. Aqel tersenyum lebar.
“Awak tunggu saja. Bukan mudah nak buat awak mengalih cinta awak. Bersabar tak mencukupi. Semakin hari awak kian degil” ujar Aqel tersenyum sinis.
“Saya percaya walaupun pandangan awak jelas tapi awak masih tak nampak. Awak tak tahu apa yang awak mahu. Tindakan awak tiada kesungguhan. Jadi biar saya yang buat keputusan untuk awak” ujar Aqel tenang. Aku melepaskan keluhan. Bosan. Lantas kurebahkan tubuh ke tilam. Baru sahaja hendak memejamkan mata, iPhone di sisiku berdering. Aku melirik ke arah barisan nombor yang terpampang di skrin iPhone ini. Nombor yang tidak kukenali. Tatkala terlintas andaian teman-teman tempat kerja lama yang menghubungiku dan mungkin juga Nana sudah ada nombor telefon baru. Kuringankan tangan menjawabnya.
"Assalamualakum" sapaku. Kendengaran suara perempuan menjawab.
"Sorry... siapa ni?" tanyaku ingin tahu. Aqel menjengah di sebalik buku di tangannya. Panggilan ini mengganggu fokusnya.
"Saya kekasih Aqel... Flora" suara lembut perempuan ini memperkenalkan diri. Jantungku berdegup kencang. Kekasih hati pengarang jantung Aqel sedang berbual denganku. Insan yang sering singgah di benakku sehingga menimbulkan pelbagai persoalan selama ini akhirnya muncul.
"Saya nak awak berpisah dengan Aqel" pintanya terus pada perkara utama. Aku terpana. Permintaan yang bukan di luar jangkaan. Namun tidak sangka detik ini perpisahan itu dipinta.
"Saya dah tak boleh tunggu lama-lama. Hanya awak yang boleh tinggalkan Aqel kerana dia takkan lukai perasaan ibunya. Aqel anak yang taat" kata-kata Flora yang tidak dapat kusangkal. Tindakan Aqel selama ini bertunjangkan ketaatan pada Mak Long.  
"Bukan Aqel tak nak berpisah dengan awak tapi dia belum sedia nak berhadapan dengan ibunya. Dia memang berharap awak yang berundur" Flora menambah bicaranya. Kata-kata gadis ini sungguh aku fahami. Kalau aku yang meminta sendiri perpisahan ini bermkna aku yang melukai perasaan  Mak Long. Mungkin juga Aqel berharap begini penyudah hubungan kami. Satu-satunya jalan penyelesaian demi mencapai kebahagiaan masing-masing. Hidup lebih bermakna.
“Awak boleh lakukan dalam masa terdekat ni?" tanya Flora minta kepastian. Aku terkedu.
“Saya tahu awak dah ada orang lain dan di hati Aqel tak mungkin ada awak. Dah cukup kalian menyeksa diri sendiri" tambah Flora berbicara. Aku menarik nafas dalam-dalam.
"Sebagai perempuan pasti awak faham akan perasaan saya selama ni. Setiap masa saya diburu perasaan bimbang. Keceriaan hidup saya bagaikan telah hilang sejak Aqel menikahi awak. Walaupun Aqel melakukan semua itu tanpa kerelaan hatinya" luah Flora sayu. Flora sedang bersedih sekarang. Terasa kejam pula diri ini. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Kasihan Flora dan Aqel. Aku, Flora dan Aqel, semuanya mangsa keadaan.
"Awak janganlah bersedih, saya takkan rampas Aqel dari awak. Saya juga tak boleh hidup selama-lamanya bersama lelaki yang tak mencintai saya" ujarku cuba mendamaikan hati Flora. Hati sendiri bergetar. Memang menyedihkan tatkala diri pernah kehilangan cinta.
"Percayalah...saya tak pernah menggantikan tempat awak di hati Aqel. Malah bayangan awak sentiasa bersamanya" ujarku jujur. Lega.
"Terima kasih. Saya percayakan awak. Saya harap perkara ini akan selesai segera" tegas Flora dalam kelembutan.
"Ye...saya akan cakap padanya. Saya takkan biarkan awak tunggu lama. Maafkan saya sebab telah menyusahkan awak. Assalamualaikum" Kuakhiri perbualan ini dengan luahan isi hatiku. Bukan niat mahu menyukurkan hubungan Aqel dengan Flora. Sesungguhnya aku tidak mampu menghalang pernikahan itu  terjadi. Tidak mampu membantah impian mak dan Mak Long yang mahu penyatuanku dengan Aqel. Kali ini aku ingin menebus segala kebaikan Aqel sekali gus menebus pengorbanannya selama ini.
“Siapa call?” suara Aqel menyentakkanku. Aku dan Aqel saling berpandangan. Perlahan-lahan aku menggeleng kepala. Belum sampai masa hendak mengutarakan perkara ini kepada Aqel. Kedengaran keluhan kecil Aqel. Nampak dia tidak puas hati kerana keenggananku berkongsi cerita.
**********
"Awak dah puas hati?" Shidah mencebik ke arah Rania yang tersengih panjang. Setia di sisinya mendengar perbualan itu.
"Wah...hebat! Awak memang pelakon yang berbakat. Thanks you so much. Awak memang boleh diharap" puji Rania girang.
Shidah telah melakukan dengan sempurna. Kehendak hati Rania telah dituruti.
"Awak kenal gadis tu? Orangnya macam mana?" tanya Shidah mula memikirkan tentang gadis itu. Senyuman Rania terus padam. Wajahnya serius. Pandangannya tajam menatap Shidah.
"Kenapa awak nak tahu?" Nada suaranya kurang senang. Shidah tergelak sendiri.
"Terasa pula Aqel dah jatuh cinta padanya" ujar Shidah meluah perkara yang terdetik di hatinya. Dia merasakan gadis itu sangat istimewa.
"What...!!!" Rania radang. Kegembiraan yang berputik sebentar tadi terus lenyap. Dia menggetap bibir menahan gelodak perasaan.
"Buat apa awak ambil kisah tentang Aqel sedangkan kalian dah lama berpisah" tegur Shidah tidak mengerti.
"Saya nak pastikan tiada siapa yang akan bahagia bersama Aqel" ujar Rania nekad. Shidah menggeleng kepala. Rania memang degil.
"Demi masa depan awak, jangan dekati dan sakiti gadis itu. Awak dah lupa janji awak pada Aqel?" tanya Shidah mengungkit perkara itu.
"Kalau awak tak buka mulut Aqel takkan tahu perkara ni. Lia nak berpisah dengan Aqel kerana Flora. Bukan kerana saya" tegas Rania yakin.
"Awak yakin Aqel akan meninggalkan gadis itu?" tanya Shidah tiada keyakinan yang kukuh. Shidah dan Rania beradu pandangan. Akhirnya Rania terdiam panjang.


2 comments:

  1. Rasanya flora tu memang Lia kan

    ReplyDelete
  2. Salam. Mesti ikuti bab2 strsnya baru tahu sapa sbnrnya flora...tq

    ReplyDelete