Saturday, 24 December 2011

NamaKu Bukan Flora! 18



BAB 18

Aku bersiap lebih awal dari kebiasaan. Bahkan usai saja bersarapan dan memaklumkan kepergianku kepada mak, aku terus saja melangkah ke halaman rumah seperti mana yang Aqel arahkan dan demi memenuhi janjiku kepadanya. Tidak sampai 10 minit aku berdiri di halaman, dari kejauhan kelihatan kereta Peugeot RCZ Sports Coupe, Haria Grey milik Aqel meluncur penuh gaya semakin menghampiri halaman rumah dan akhirnya berhenti tepat – tepat di depanku. Bergegas aku menyelinapkan tubuhku ke dalam kereta mewah yang harganya ratusan ribuan ringgit ini. 

Aqel langsung tidak sempat memandangku walaupun hanya sekilas. Peugeot RCZ Sports Coupe terus saja meninggalkan halaman rumah keluargaku. Hampir sepuluh minit berlalu, Aqel masih mendiamkan diri. Begitu juga dengan aku. Dia tampak begitu dingin. Aku pula tidak tahu dari mana hendak memulakan bicara. Betapa kekoknya aku berada dalam suasana begini. Timbul pula kekesalanku berada di sebelah pemuda ini. Alangkah baiknya kalau aku menggunakan perkhidmatan teksi untuk sampai ke pejabat. Tidak pun aku menumpang kereta Nana. Ohh, mengapalah aku tidak terfikirkan kewujudan Nana! Aku melepaskan keluhan kecilku. Alhamdulillah akhirnya sampai juga ke perkarangan pejabat tanpa wujud sepatah kata pun antara aku dengan Aqel.

“Terima kasih kerana tumpangkan saya” ayat pertama yang keluar dari mulutku sekaligus pemecah kesunyian yang wujud sepanjang perjalanan tadi. Aku bergegas keluar dari kereta Aqel tanpa sempat melihat reaksi yang ditunjukkannya. Risau juga kedatanganku bersama Aqel ini disedari oleh Rania. Sesungguhnya aku tetap beringat dengan ancaman yang pernah keluar dari mulut gadis itu. Malah aku cukup sedar gadis seperti Rania akan mengotakan kata – katanya tanpa sebarang halangan mahupun pertimbangan waras. Perasaan Rania terhadap Aqel mengatasi segala – galanya.

“Flora....!” Langkahku yang baru saja bermula terus saja terhenti. Aku berpaling ke arah Aqel yang sedang bergerak mendekatiku. Kupandang Aqel yang sudah berada di sisiku.

“Kenapa awak mengeluh?” soalan agak pelik dilontar kepadaku.

“Mengeluh?” aku tertanya – tanya dengan soalan yang dikemukakannya ini. Aku mengundur memoriku ke belakang. Cuba mengimbas kembali tingkahlakuku sepanjang perjalanan. Kira – kira 30 minit aku bersama dengan Aqel tadi.

“Dalam kereta tadi awak mengeluh. Awak dah lupa ke?” soal Aqel cuba mengembalikan ingatanku pada situasi itu.

“Kenapa awak tak tanya saya pada tahun depan saja? Sepatutnya lepas saya mengeluh tu, awak terus tanya saya. Sekarang mana ler saya ingat lagi” rungutku dibalas dengan senyuman sinis Aqel.

“Awak nie betul – betul ler parah” tutur Aqel sinis juga.

“What!” Tajam saja pandanganku singgah di wajahnya. Aku kembali melangkah. Begitu juga Aqel yang sedikit tertinggal langkahnya di belakangku.

“Dia yang tak sedar betapa pelik dirinya tu. Bila perkara tu dah berlalu baru sibuk nak tahu. Agaknya otak dia tu lambat sangat nak proses maklumat he...he.... he...” omelku mengutuknya lantas tersengih sendiri.

“Alamak, motor aku ler!” baru saja aku teringatkan motor cabuk kesayanganku yang tertinggal semalaman di tempat parking. Aku berpaling dan berniat berpatah balik ke kawasan parking.

“Kenapa?” soal Aqel yang bertembung denganku.

“Motor saya ler” ujarku lalu mempercepatkan langkah ke kawasan parking. Aqel hanya memerhatikan gelagatku sambil terpacak di situ. Liar saja mataku mengesan kedudukan motorku. Setiap motor yang berada di tempat parking kuperhatikan. Aku masih gagal menemui motor cabuk kesayanganku itu sehinggalah pada motor terakhir yang ada di sini.

“Aqel, motor saya hilang ler!” laungku cemas tanpa dapat ditahan – tahan lagi. Aqel terus saja melangkah ke arahku.

“Awak pasti ke motor tu diletak kat sini?” soal Aqel. Aku mengangguk.

“Memang saya letak kat sini. Habis tu nak letak kat mana lagi” sahutku geram dengan pertanyaannya itu. Inilah satu – satunya kawasan parking yang disediakan. Mana ada kawasan parking lain lagi. Aqel pun tahu tentang perkara ini. Kupandang Aqel.

“Macam mana nie?” soalku kematian akal.

“Nak buat macam mana lagi kalau dah dicuri. Kita bukan tahu sapa yang curi. Kalau kita tahu orangnya boleh juga kita minta balik motor awak tu” balas Aqel bersahaja dan menyakitkan hatiku mendengarnya.

“Aqel!” Rasa geram sangat dengan dirinya.

“Memang bukan rezeki awak lagi dengan motor tu” tutur Aqel lagi langsung tidak bersimpati denganku yang timpa malang ini.

“Awak beli ler motor baru nanti” tambah Aqel lagi memberi cadangan.

“Awak tak tahu motor tu terlalu berharga. Saya sayang sangat kat     motor tu” luahku pilu. Terasa anak mataku berkaca – kaca. Kalau betullah motor itu hilang pasti aku tidak mampu menahan tangisanku. Aqel menatapku.

“Tak sangka pula sebegitu mendalam perasaan awak kat motor tu” ujar Aqel tidak mengerti. Macamlah dia tidak pernah ada perasaan sayang pada harta bendanya. Tengok saja reaksinya pada kereta Peugeot RCZ Sports Coupe, Haria Grey itu. Kereta itu persis isterinya. Walaupun harga motor cabukku itu jauh setanding dengan kereta mewahnya itu, aku juga ada perasaan sayang yang mendalam. Sepatutnya dia memahami perasaanku tika ini.

“Kalau semalam awak mahu berpatah balik ke sini, semua nie takkan berlaku” keluhku seakan – akan menyesali peristiwa semalam.

“Jadi awak nak salahkan saya ler nie?” soal Aqel serius. Aku diam. Terasa panas jatuh ke pipiku. Pantas saja aku mengesat air mataku yang baru saja gugur ke pipi. Lantas memalingkan wajahku dari tatapan mata Aqel. Sungguh aku bersedih saat ini.

“Mari ikut saya” arah Aqel. Aku berpaling semula ke arah Aqel. Kutatap wajahnya. Selangkah Aqel meninggalkan aku. Namun aku belum berganjak lagi.

“Mari ler” arah Aqel lagi. Aku tetap berdiri di situ, sedikit pun tidak bergerak. Saat ini di kepalaku hanya sarat memikirkan tentang motorku itu. Sudah padam semangatku untuk bekerja hari ini. Aqel melangkah semula ke arahku. Tiba – tiba saja tanganku dicapai lalu Aqel menarikku melangkah bersamanya.

“Awak nak buat apa nie?” soalku ragu – ragu. Tidakkan Aqel hendak paksa aku masuk pejabat untuk memulakan tugas hari ini. Kuberatkan langkahku untuk mengekori langkah Aqel. Namun tenaga lelaki Aqel begitu kuat untuk memaksa aku terus melangkah bersamanya. Aku tidak dapat mengagak niat
sebenar yang ingin Aqel lakukan saat ini.

 “Aqel, Lia, apa hal nie?” Aku menoleh ke arah suara itu. Haqem nampak kehairanan. Aqel hanya mengangkat tangan memberi suatu isyarat tanpa sempat berbicara. Aku dan Aqel tidak berpeluang menjawab pertanyaan Haqem itu. Kemunculan Haqem diabaikan. Langkah Aqel berhenti di depan kaunter pengawal keselamatan. Maka langkahku juga turut terhenti. Tanganku dilepaskan dari pautan tangannya. Semua yang ada di sana saling berpandangan denganku. Kemudian mereka menatap wajah Aqel.

“Cik Lia nak ambik motor ke? Ada saya simpan dalam stor” ujar Uncle Rawie senyum – senyum. Aku terperanjat. Kutatap Aqel. Dia tetap dengan wajahnya yang bersahaja.

“Stor?” soalku tidak menduga. Aku memang mengharapkan mereka menengok – nengokkan motorku itu, tetapi tidaklah sampai suruh mereka menyimpannya ke dalam stor. Terasa begitu istimewa pula layanan yang aku dapat. Tidak semena – mena timbul rasa segan dalam diriku.

“Encik Aqel yang minta saya simpan motor tu dalam stor. Encik Aqel kata kalau motor itu hilang, saya akan dibuang kerja” cerita Uncle Rawie tersengih – sengih. Tidak pasti sama ada dia hanya bergurau sekadar mahu mengusikku  ataupun betul – betul serius menuturkan bicara itu. Aku turut sangsi kesahihan bicara itu. Betulkah terbit dari mulut Aqel, manusia yang kukenali dingin membeku dan ketandusan perasaan itu? Kupandang Aqel. Dia tetap dengan ekspresi kosongnya.

“Macam mana uncle boleh angkat motor tu sedangkan motor tu berkunci?” soalku hairan. Kedengaran mereka tergelak. Mungkin berlaku kejadian lucu semalam. Yalah bukannya mudah untuk mengangkat sebuah motor.     

“Tu mudah je Cik Lia, kitaorang angkat ler motor tu beramai – ramai” balas sahabat Uncle Rawie tersengih buat aku terlopong mendengarnya. Betul – betul mereka bekerja keras semalam.

“Terima kasih kepada semua. Minta maaf ler saya telah banyak menyusahkan” luahku kesal. Mereka hanya tersenyum. Baru saja aku berpaling ke arah Aqel, dia tidak berada di sebelahku lagi. Aqel sedang mengatur langkah sudah jauh meninggalkan aku.

“Saya nak pergi sekarang. Terima kasih sekali lagi ye” tuturku meminta diri lalu mengejar langkah Aqel.

“Encik Aqel, tunggu ler saya sekejap” pintaku. Aku ingin segera mengucapkan terima kasih kepadanya sekaligus memohon maaf atas ketelanjuran bicaraku tadi. Biarpun ada perasaan geram di hatiku gara – gara dipermainkan olehnya, namun aku masih merasa patut untuk meminta maaf kerana telah menyinggung perasaannya.

“Encik Aqel!” panggilku sedikit melaung setelah aku tidak mampu mengejar langkahnya yang kian pantas itu. Memang sengaja dia bertindak sedemikian. Barangkali Aqel ambil hati dengan bicaraku tadi. Sedikit gusar hatiku.

“Encik Aqel, terima kasih! Dan saya juga minta maaf!” laungku lagi setelah berputus asa untuk terus mengejar langkahnya. Dalam masa yang sama aku juga perlu memulakan tugasku sekarang.  

Aqel tersenyum sendiri mendengar suara gadis itu menyampaikan penghargaan dan permohonan maafnya. Namun sengaja ekspresi itu disembunyikan dari penglihatan gadis itu. Entah kenapa rasa terhibur pula hatinya menyaksikan tingkahlaku gadis itu. Ada masanya gadis itu ceria memanjang, kadangkala dia menangis dan bersedih. Bahkan sekelip mata juga dia boleh bertukar menjadi marah dan menggelabah tidak tentu pasal. Betul – betul memperlihatkan dirinya yang lengkap dengan pelbagai ragam perasaan.

“Lia...!” panggil Haqem setelah tidak mampu mengejar langkah gadis itu lagi. Malangnya dia kehilangan jejak gadis itu tatkala kelibat gadis itu lenyap di sebalik pintu. Langkahnya terhenti di situ. Haqem menarik nafas keletihan gara – gara berlaku adegan kejar – mengejar tadi. Begitu jelas pandangan matanya melihat Aqel bersama gadis itu tadi. Kemudian gadis itu mengejar pula langkah Aqel dan melaungkan sesuatu yang tidak begitu jelas di pendengarannya. 

Hati Haqem dipagut kerisauan. Betapa perasaannya tidak tenang dengan situasi yang disaksikan oleh matanya pagi – pagi ini. Dia melangkah lemah ke biliknya.

“Morning Encik Haqem” sapa Marnie setiausahanya.

“Emmm...” balasnya tanpa sempat menatap wajah gadis itu. Reaksi yang dipamerkannya mengundang kehairanan Marnie. Nampak sangat bosnya itu tidak bersemangat buat gadis itu geleng – geleng kepala kehairanan.

“Jarang benar bos bersikap dingin sebegitu. Cuma sejak akhir – akhir nie saja selalu sangat moody” omel Marnie berbicara sendiri mengulas sikap bos mudanya itu. Serta merta terbayang wajah Bella di matanya.

“Jangan – jangan bos bergaduh dengan Bella tak? Ataupun dengan Datin Sofea? Aku bukan tak tahu perangai kedua - dua orang perempuan tu yang suka sangat memberi tekanan kepada bos. Yang muda asyik nak tagih bila mereka nak bertunang, yang tua pula asyik menekan nak suruh kahwin dengan gadis itu. Bos pun satu, dah lengkap semuanya masih juga mahu membujang. Gadis pilihan Datin Sofea tu bukan calang – calang orang. Memang padan dan sesuai sangat dengan bos aku yang muda kacak lagi tampan itu” bisik Marnie terus membebel sendirian. Kali ini dahinya berkerut – kerut dan telunjuknya bermain – main di pipi. Nampak sangat dia sedang memikirkan sesuatu.

“Kenapa ye Encik Haqem belum mahu bertunang dan seterusnya nikah dengan Bella? Mungkinkah dia ada pilihan sendiri? Tapi aku tak pernah pun tengok dia keluar dengan perempuan lain selain Bella. Setahuku dia hanya keluar makan dan tengok wayang bersama gadis tu” ujarnya bersoal – jawab sendiri.  

“Marnie cuba awak pastikan sama ada Aqel sekarang berada kat bilik dia” suara Haqem yang muncul dari corong interkom benar – benar mengejutkannya. Marnie mengurut – urut dadanya.

“Baiklah bos” ujarnya patuh. Ditekannya interkom cuba mengenal pasti kedudukan Aqel, bosnya seorang lagi. Sedikit sukar untuk dihubungi memandangkan bosnya seorang ini tidak memiliki setiausaha sendiri. Bukan syarikat tidak mampu mengupah seorang setiausaha untuk Aqel, tetapi pemuda itu sendiri yang menolaknya. Marnie mengeluh setelah beberapa kali gagal menghubungi pemuda itu. Baru saja dia berhajat untuk memaklumkan perkara itu kepada Haqem, tiba – tiba saja suara Haqem kedengaran di corong interkom itu lagi.

“Saya dah beberapa kali hubungi Encik Aqel, namun tak berjawab Encik Haqem. Mungkin dia tidak berada di bilik pejabatnya sekarang” tutur Marnie membuat andaian sendiri.

“Takpe ler. Awak terus hubungi dia mana tahu dia dah ada kat biliknya sekarang” arah Haqem lagi masih mahu meneruskan hajatnya.

“Baiklah Encik Haqem” sahut Marnie patuh. Timbul kehairanan di hatinya dengan sikap bosnya itu.

“Kalau bos ada hal penting sangat, kenapa dia sendiri tak hubungi handset Encik Aqel? Bukankah mereka berdua bersahabat baik” omel Marnie berpanjangan. Dia geleng – geleng kepala lagi. Lantas diteruskan misi pencarian yang belum berhasil itu.

Haqem menyandarkan tubuhnya di kerusi empuk itu. Sesekali dia berputar – putar di kerusi itu. Dia tidak dapat memberi tumpuan pada kerjanya. Dirinya serba tidak kena. Tangannya mencapai telefon dari saku kot hitam yang dipakainya. Telefon itu dimain – mainnya seketika seraya otaknya ligat membuat pertimbangan. Haruskah dia menelefon sahabatnya itu sedangkan pada awalnya dia sudah mengarahkan kepada setiausahanya untuk berbuat demikian. Kalau setiausahanya yang menghubungi Aqel, nampak lebih formal atau atas urusan kerja. Sebaliknya kalau dia sendiri yang menelefon sahabatnya itu, alasan apa pula yang perlu diberikan kepada Aqel nanti. Tidakkan alasannya sekadar mahu bersembang – sembang. Akhirnya Haqem ambil keputusan untuk menumpukan perhatian pada kerja – kerjanya.

Sesekali anak matanya melirik ke arah jam di atas mejanya. Tumpuannya pada tugas terjejas gara – gara kejadian yang disaksikannya pada awal pagi tadi. Masih ingin difikirkannya tentang kedua insan itu. Tangan Aqel yang memaut tangan gadis itu kurang menyenangkan hatinya. Tambahan pula dia melihat gadis itu mengejar langkah sahabatnya itu. Lagak sepasang kekasih yang merajuk. Kemudian berlakulah adegan pujuk memujuk. Haqem tidak boleh tenang melihat Aqel rapat dengan gadis itu. Malah dia nekad tidak akan membiarkan sesuatu yang lebih serius berlaku antara Aqel dengan Nur Dahlia. Justeru, sudah difikirkan tindakan yang perlu dilakukannya. Sasaran utamanya ialah Aqel, sahabatnya itu. Ada perkara yang perlu dimaklumkannya kepada pemuda itu.

Daun pintu diketuk membuatkan fikiran Haqem yang melayang jauh kembali ke alam nyata. Dia tersentak tatkala muncul kelibat Aqel di sebalik daun pintu sambil tersenyum. Aqel yang dikehendakinya sudah berada di depan mata.

“Marnie kata kau cari aku. Apa halnya?” soal Aqel seraya melabuhkan punggungnya di kerusi tepat bertentangan dengan Haqem. Haqem memerhatikan wajah Aqel yang kelihatan ceria itu. Barangkali hati pemuda itu sedang riang, bicara hatinya yang terpendam.

“Nothing. Takde yang penting sangat cuma nak ajak kau makan tengah hari nanti” balasnya menyusun pembuka bicara. Aqel tersenyum.

“Kau nak belanja aku makan ke?” soal Aqel turut tersenyum.

“Kalau kau sudi apa salahnya” balas Haqem lagi masih tersenyum.

“Mak aku kata rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari” balas Aqel berperibahasa disusuli dengan gelak tawanya. Haqem tersenyum tawar. Terasa pula hatinya dengan perumpamaan yang baru saja keluar dari mulut Aqel.

“Bukan main kau berperibahasa” perli Haqem membuatkan senyuman Aqel semakin lebar.

“Tu seni warisan budaya Melayu yang tak boleh kita lupakan. Walaupun aku nie Melayu celup, banyak juga adat dan budaya Melayu yang aku tahu ler. Jati diri Melayu dalam diri mak aku tu begitu kuat tau” cerita Aqel penuh semangat.

“Yeler aku tahu. Sebab tu juga walaupun kau membesar di negara
luar, kau tetap boleh bertutur Bahasa Malaysia dengan baik. Aku tabik ler dengan kau” ujar Haqem berjenaka seraya memberi tabik hormat kepada Aqel. Ketawa Aqel terus saja terburai melihat gelagat yang Haqem tunjukkan itu.

“Nampaknya tak jadi ler awak nak tackle Amoi Jepun mahupun Amoi Korea nie” ujar Haqem sekadar menguji. Aqel tersenyum.

“Aku ingat ler, aku nak cari gadis Melayu. Biar kuat pegangan seperti mak aku” balas Aqel lancar. Bagaikan segalanya sudah dirancang. Haqem menelan liur. Gusar hatinya mendengar bicara Aqel itu. Nampak ada kesungguhan dalam diri pemuda itu.  

“Are you sure?” soal Haqem ingin tahu. Aqel hanya tersenyum. Biarpun nampak tidak pasti, namun hati Haqem terus bergolak. Dipandangnya wajah sahabatnya itu. Cuba membuat perkiraan sama ada sudah sampai masanya untuk dia berterus terang.

“Apa yang berlaku pagi tadi?” soalnya mengubah topik perbualan sekaligus memecah persoalan yang asyik bermain dalam dirinya sejak awal pagi tadi. Rasa rimas dengan situasi itu.

“Pagi tadi...........” Aqel cuba mengimbas kembali perkara yang telah berlaku. Kemudian dia tersenyum sendiri bila saja dia mengingati perkara tersebut.

“Flora tak boleh kawal perasaan bila saja dia ingat motornya tu hilang. Sayang betul dia dengan motor tu” cerita Aqel.

“Kenapa kau suka panggil dia dengan nama tu? Bukan ke nama dia Nur Dahlia. Rasanya Lia tu lebih sesuai sebagai nama panggilan untuk dirinya” ujar Haqem memberi pendapat. Jauh di sudut hatinya rasa curiga membelenggu diri. Banyak perkara yang berkaitan Aqel dan gadis itu menjadi persoalannya. Aqel
tersenyum. Tiada penjelasan yang keluar dari mulutnya.  

Senyap seketika. Haqem menarik nafas panjang. Padanya inilah masa yang sesuai untuknya berterus – terang. Aqel perlu tahu siapa gadis yang ingin ditakluki hatinya semula setelah melukainya. Dia juga perlu tahu antara Aqel dan Nur Dahlia tiada wujud hubungan yang serius. Andai ada perasaan indah yang baru hendak berputik diharap tidak akan terus berkembang tatkala Aqel mengetahui hakikat sebenar ini. Terlintas difikiran Haqem tentang penerimaan Nur Dahlia terhadap dirinya. Adakah masih ada ruang untuk dirinya di hati gadis itu lagi?  Haqem tidak mahu memikirkan tentang perkara itu sekarang. Saat ini seluruh jiwa raganya hanyalah untuk merealisasikan impian indahnya untuk hidup bahagia bersama gadis itu.

“Aqel, aku ada sesuatu nak berterus – terang dengan kau” ujar Haqem perlahan. Aqel menatapnya dengan senyuman.

“Cakaplah. Aku tengok serius je muka kau” ujar Aqel masih tidak melarikan pandangan daripada wajah sahabatnya itu.

“Kau masih ingat tentang kisah cintaku yang pernah aku ceritakan pada kau ketika kita study dulu?” soal Haqem cukup berhati – hati. Aqel mengangguk – angguk. Segala butiran bicara mereka pada hari itu masih berada dalam kotak ingatannya. Ada kesungguhan terpancar di wajah Haqem ketika itu.

“Kalaulah kau diberi peluang bertemu dengan gadis itu lagi, kali ini kau takkan lepaskannya begitu mudahkan. Kau dah jumpa semula gadis itu ke?” soal Aqel tumpang gembira. Haqem mengangguk sambil tersenyum ceria. Sudah sekian lama dia tidak mampu tersenyum begitu.

“Dia dah kahwin ke? Kat mana kau jumpa dia?” soal Aqel lagi.

“Dia belum kahwin” sahut Haqem.

“Syukur ler macam tu. Sekurang – kurangnya kau masih ada peluang untuk bersamanya. Harap – harap dia tak menolak kehadiran kau biarpun hatinya pernah kau lukai” ujar Aqel. Haqem mengangguk setuju.

“Sebab tu aku rasa dah sampai masanya aku berterus – terang kepada dirinya. Aku mahu dia tahu kenapa aku meninggalkannya dahulu” luah Haqem menggantung harapan tinggi.

“Kau belum jawab pertanyaanku tadi, di mana kau jumpa dia” ulang Aqel tanpa sebarang curiga.

“Aku jumpa di sini. Dia bekerja dengan syarikat kita, Aqel”

“What!” Besar biji Aqel menatap sahabatnya itu. Betapa dia terkejut mendengar kenyataan Haqem itu.

“Gadis yang tak pernah aku lupakan dan masih aku cintai sehingga ke hari ini ialah Nur Dahlia binti Sallehudin” tutur Haqem lancar.

“Flora?” sekali lagi Aqel tersentak. Senyap. Sekarang baru dia terfikir tentang tingkahlaku pelik gadis itu setiap kali bertembung dengan Haqem. Rupanya inilah kisah di sebaliknya. Aqel menatap Haqem dengan senyuman.

“Tahniah, kau dah jumpa dia semula dan pastikan kali nie kau tak mengecewakannya lagi” tutur Aqel seraya menepuk bahu Haqem.

“Aku janji kali nie aku hanya ingin membahagiakan Lia” sahut Haqem nekad akan berbuat demikian. Terasa lapang dadanya setelah meluah apa yang terbuku dalam diamnya selama ini. Aqel dan Haqem saling bertukar senyuman.

“Aku nak balik office aku. Pastikan kau tak lupa janji kau tadi” ujar Aqel bangun seraya mula melangkah ke muka pintu. Haqem mengangguk dan
tersenyum. Baru saja kakinya melepasi muka pintu, langkah Aqel terus mati. Dia berpaling semula ke arah Haqem yang sedang menatapnya.

“Aku nak beritahu kau tentang Flora” ujar Aqel sedikit  mendebarkan dada Haqem. Tidak sabar rasanya dia ingin mendengar bicara Aqel seterusnya.

“Flora sepupu aku. Aku harap kau akan jaga dia dengan baik” pesan Aqel buat Haqem tergamam.

Kali ini giliran Aqel pula yang membuat kejutan padanya. Aqel sudah berlalu meninggalkannya. Walau bagaimanapun rasa terkejut Haqem setelah mendengar kenyataan sahabatnya itu masih belum reda lagi. Betapa semua itu di luar dugaannya. Namun bila saja dia mengingati bahawa Aqel dan Nur Dahlia mempunyai jalinan ikatan kekeluargaan, Haqem tersenyum sendiri. Sungguh hatinya senang menerima kenyataan ini. Segalanya tidak perlu dirisaukan lagi.
 

3 comments:

  1. Cik writer semua cite awak penuh selitan lawak yang segar belaka.. Thanks .. Utk part niy mmg tak boleh bayang dan menahan sengih .. Part motor kene angkut . Hahay.. Alur semua cite dalam blog niy terlihat nature n bijak serta cerdik.. Menyegarkan .. :-) cuma letih sikit kene godek sana sini turun naik carik part by part.. Menonggeng juga klu cite tu dah abis baca tapi cite tu lum tamat lagi..

    ReplyDelete
  2. TQVM Kucing Cat.... ulasan anda amat dihargai....

    ReplyDelete