Thursday, 26 May 2011

'143......Tiada Penghujungnya' 4



Bab 4

                       “Liya, tadi saya nampak Daniel dan kawan-kawannya  dirotan  pengetua,” cerita Zatul yang tidak pernah ketinggalan dengan cerita terkini Daniel.
            “Bagus ler tu,” celah Umie mendahuluiku disambut dengan senyumanku.
            “Sekurang-kurangnya mereka sedar peraturan tak memilih miskin kaya. Paling penting mereka sedar mereka tak boleh buat sesuka hati di sekolah ni,” tambah Fatin.
            “Awak rasa Daniel akan berdiam diri je lepas ni?” soal Zatul . Fatin dan Umie berpandangan. Kemudian menatapku.
            “Saya dah sedia nak berhadapan dengannya,” jelasku berkeyakinan tinggi.

               Loceng berdering. Sesi persekolahan hari  ini tamat. Aku berpisah dengan Fatin, Umie dan Zatul membawa haluan masing-masing. Di pertengahan jalan aku melihat sekumpulan pelajar sedang bertungkus lumus menggali longkang sambil diawasi oleh Cikgu Tehran. Tatkala seorang daripada mereka berpaling, jelas nampak wajahnya. Aku melemparkan senyuman sinis selebarnya. Senyuman yang pasti mengundang kemarahan di hatinya. Paling nyata wajah itu tergambar dendam. Aku menyambung kembali langkah. Aku sudah nekadkan diri bahawa aku tidak akan mengalah dan tidak akan membiarkan Daniel memperlakukanku sewenangnya. Apa yang bakal aku terima daripadanya pasti itu yang akan kuberikan kepadanya.

            Aku mendongak awan yang kelihatan hitam. Terbit kerisauan di hati. Semoga hujan tidak turun. Kalau tidak pasti akan mengundang kesukaran aku hendak menghadiri gerko hari ini.
            “Hari macam nak hujan je, Liya,” Ayah mendongak ke langit. Kemudian mengalih pandangan ke arahku.
            “Biar ayah je yang hantar Liya ke sekolah,” pelawa ayah. Aku menggeleng.
            “Tak pelah ayah. Sekolah bukan jauh sangat. Kalau nak hujan pun mesti Liya dah sampai sekolah,” tuturku penuh yakin. Seperti biasa ayah tidak akan memaksa aku menuruti kata-katanya. Ayah seorang yang penuh diplomasi. Betapa beruntung aku memiliki seorang ayah sepertinya. Selepas mencium tangan ayah, aku mengayuh basikal ke sekolah yang jaraknya hanya kira-kira tiga kilometer dari rumah. Ayah juga telah keluar untuk memulakan tugas sebagai pemandu teksi. Di pertengahan jalan, tiba- tiba sahaja hujan turun dengan lebat. Sekelip mata sahaja permukaan bumi habis basah dan lopak- lopak dipenuhi air. Mujur juga aku sudah bersedia lebih awal memakai jaket kalis air. Memandangkan hujan semakin lebat, aku mengambil keputusan  berteduh di warung lama yang tidak beroperasi lagi tepat – tepat di bahu jalan.
           
            Seketika aku terpacak di situ dengan basikal yang sudah tersandar. Aku memerhatikan rintik – rintik hujan yang sudah tidak jelas butirannya. Aku berganjak sedikit daripada kedudukan asal mengelak tempias air hujan. Aku leka memerhatikan lopak besar yang sudah dipenuhi air. Dalam hati rasa menyesal menerpa kerana menolak pelawaan ayah. Kalau tidak kerana kedegilanku tadi, pasti aku sudah selesa berada di dewan sekarang. Kulihat jam ditangan. Nampaknya aku akan terlewat sampai ke sekolah petang ini.

            Dalam kesamaran hujan lebat, aku nampak sebuah kereta sport merah meluncur laju. Gerun aku melihat cara si pemandu membawa keretanya seolah-olah tidak hiraukan keselamatan dirinya dan orang lain. Kereta sport BMW merah itu melewatiku dengan begitu megah.
           
            Tiba – tiba sahaja kereta sport merah itu perlahan. Tanpa kuduga kereta itu berhenti seketika. Barangkali ada masalah. Aku mengalih pandanganku mendongak langit. Langsung tidak kelihatan hujan mahu berhenti. Pantas sahaja aku berpaling apabila kedengaran bunyi deruan kereta yang kian jelas. Pupp!! Aku tidak sempat mengelak. Tayar kereta itu betul – betul berada dalam lopak yang dipenuhi air. Segalanya berlaku dengan pantas. Akibatnya muka dan jaket yang kupakai disimbah air lopak yang berlumpur. Habis kotor. Dalam keadaan mata yang terkebil – kebil, aku nampak tangan si pemandu melambai – lambai di luar tingkap kereta. Kemudia kereta itu terus sahaja meluncur laju tanpa pedulikan aku.
            Aku menyumpah. Sungguh aku tidak dapat mengawal perasaan marah dan geram. Sakit hati dengan sikap pemandu yang tidak bermoral itu.
            “1404 ..... Aku akan cari siapa tuanmu yang tidak berperikemanusiaan itu” janjiku pada diri sendiri. Akhirnya dalam sisa – sisa kemarahan kukayuh basikal meredah hujan. Alang – alang sudah kotor sebegini lebih baik  bermandikan air hujan. Aku meletakkan basikal di garaj. Sempat ke bilik air sebelum melangkah ke dewan lokasi perjumpaan Kelab Bola Tampar sekolah. Pemandu itu betul – betul melampau. Kubasuh muka bersih-bersih. Kuteliti pakaianku di depan cermin. Nampak bintik – bintik kecoklatan. Sedikit – sedikit kusapu dengan air. Biar sahaja di rumah nanti  aku membasuh sebersihnya.

            Tika aku menjejakkan kaki di muka pintu dewan, Mr. Wong sedang mencatat kehadiran ahli Kelab Bola Tampar. Mujur ketika aku sampai namaku belum dipanggil lagi. Aku melabuhkan duduk di sisi Serina. Kami berbalas senyuman.
            “Dania Deliaya...”
         “Saya cikgu” sahutku sambil mengangkat tangan.
           “Kenapa lewat hari nie?” soalnya sekadar meminta kepastian.
        “Maaf cikgu, hujan lebat” balasku. Mr. Wong menatapku.
            “Hari nie saya maafkan. Lain kali atasi fenomena sebegini dengan bijak” Aku hanya mengangguk. Lega. Sekurang – kurangnya aku terlepas daripada hukuman.
           “Daniel Adhwa” Aku melontar pandangan ke arah pelajar lelaki yang sedang mengangkat tangan. Kebetulan dia juga menatapku. Kami bertentang mata seketika. Tiada senyuman. Masing – masing berwajah masam dan serius. Aku tahu antara aku dengan Daniel masih ada dendam yang belum dilangsaikan.
            “Okey, buat bulatan. Daniel ketuai aktiviti pemanasan badan” suara Mr. Wong menyentakkannya. Begitu juga aku turut sama tersentak. Dalam beberapa minit sahaja satu bulatan besar telah terbentuk. Aktiviti pemanasan badan terus sahaja dimulakan. Aku seperti rakan – rakan lain mengikut gerakannya. Sempat juga aku berimaginasi. Alangkah baiknya kalau tiba – tiba sahaja aku melangkah ke hadapan lalu menghadiahkan sepak terajangku kepada anak muda itu. Mesti dia terkial – kial hendak menangkis seranganku memandangkan saat ini Daniel sedang leka dengan tanggungjawab yang diberikan oleh Mr. Wong. Aku tersenyum sendiri. Lucu.
            “Cik Dania Deliya, apa yang mencuit hati sampai tersenyum – senyum sendiri ibarat orang yang tak siuman” tegur suara itu. Aku tersentak. Berpasang – pasang mata sedang memandangku. Kulihat Daniel sedang mengangkat – angkat keningnya menanti jawapan yang bakal aku berikan. Aku melemparkan jelingan tajam kepadanya.
            “Buat serius sikit” suara Mr. Wong mengembalikan suasana asal.

            Aku mengikat tali kasut kemas – kemas. Beberapa orang teman sudah menunggu di gelanggang. Seperti biasa kami mengikut pasukan yang telah dibahagikan oleh Mr. Wong iaitu pasukan senior dan pasukan junior. Pasukan  senior dibahagi pula kepada A dan B yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4 sehingga tingkatan 6. Begitu juga dengan pasukan junior ada A dan B yang diwakili oleh pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Mereka ini merupakan atlet pelapis sekolah. Sebenarnya bilangan ahli Kelab Bola Tampar ini tidak ramai berbanding bilangan ahli kelab yang lain. Mr. Wong mahukan ahli kelab yang  berpotensi yang boleh mewakili sekolah dalam pertandingan bola tampar. Maka dia mahukan jumlah yang tidak ramai agar mudah baginya melatih secara intensif. Kebetulan pula permainan ini memang tidak memerlukan ramai peserta bagi satu – satu permainan.
            “ Rasanya hari nie ada cerita lawak yang berlakukan” Ada suara di belakangku. Aku menoleh. Daniel tersengih – sengih lalu beredar meninggalkan aku termangu – mangu. Cerita lawak? Aku memikirkan bicara Daniel sebentar tadi. Apa yang lawaknya? Jangan – jangan dia nampak aku disimbahi lumpur. Muka yang comot. Ahh! jengkel aku melihat mukanya. Jangan – jangan semua itu angkara Daniel.
       “Liya, cepat sikit!” suara Angela memanggilku. Aku berlari ke gelanggang mengambil posisiku. Kebetulan Daniel bertentangan denganku. Dia masih tersengih – sengih. Mujur juga aku dan Daniel bukan dalam pasukan yang sama. Kalau tidak pasti kami tidak boleh bekerjasama dengan baik.
            Bicara Daniel kembali bermain difikiran. Betulkah dia yang memandu kereta sport merah tu? Kereta yang meluncur laju, namun tiba-tiba berundur mendekatiku lalu menghadiahkan simbahan air lumpur pada pakaian dan mukaku. Kemudian meninggalkan aku dengan lambaian tangan. Mesti semua itu angkara Daniel. Kejadian bermotifkan dendam. Sememangnya ada dendam yang belum dilunaskannya kepada aku.
            “Liya, adang bola tu!” suara Petrus melaung namaku. Aku tersentak. Bola sudah melambung jatuh ke simen.
            “Apa yang awak khayalkan tu?” tegur Petrus kurang menyenangi perlakuanku. Aku jadi serba salah. Gara – gara Daniel aku hilang fokus.
            “Sorry ....” hanya itu yang mampu aku luahkan. Sememangnya aku bersalah. Bersalah kerana memberi peluang kepada pasukan lawan untuk mengutip mata.
            “Mana ada orang main sempat berkhayal” perli Daniel. Aku mengetap bibir menahan rasa. Geram! Rasa mahu koyak – koyak sahaja mulut celuparnya itu. Kini giliran dia pula yang servis. Aku menatap Daniel. Tampak dia bersungguh – sungguh. Tatkala dia mengangkat tangannya, mataku menangkap kain balutan merah berjalur putih pada pergelangan tangannnya. Ahh! Kain itu yang aku nampak pada tangan yang melambai – lambai tadi. Memang sah kejadian tadi angkara Daniel.
            Aku meneruskan permainan seperti biasa. Tidak kupedulikan sengihan Daniel yang sengaja mengundang kemarahanku. Pertarungan pasukan A dan B begitu sengit. Keseimbangan kekuatan pasukan menyukarkan permainan dimonopoli oleh satu – satu pasukan sahaja. Hanya menunggu kesilapan sahaja bagi membolehkan kutipan mata. Sekarang mata terikat pada 20. Hanya satu mata sahaja lagi yang akan menentukan siapa pemenangnya. Walaupun ini bukannya pertandingan, tetapi kalau boleh aku tidak mahu kalah ditangan Daniel.
            Giliran pihak lawan yang menghantar bola. Aku akan halang mereka daripada mengutip mata terakhir. Pasti akan aku matikan serangan yang mendatang. Servis bola menjunam merentasi jaring. Mujur Alan berjaya menyambutnya lalu memulangkan semula kepada pihak lawan. Keterina menyambut bola lalu mengumpannya kepada Syamsul di sebelahnya. Syamsul terus sahaja merejam bola ke sebelah. Aku merejam balik bola yang dihantar Syamsul. Namun rejamanku tidak cukup tajam membolehkan Syamsul dengan mudah menyambutnya. Dia mengumpan bola kepada Daniel. Posisi bola yang begitu baik. Justeru, Daniel mengambil peluang keemasan itu untuk membuat rejaman tajam. Dia melonjak tinggi melakukan rejaman. Malang sungguh, Petrus tidak dapat mengadang rejaman bola Daniel. Wisel penamat dibunyikan sekali gus mengisytiharkan kemenangan kepada pihak lawan. Mereka tertawa riang.
            “Menang tipis je dah gembira lebih – lebih” perliku sengaja ditujukan kepada Daniel. Dia buat – buat muka seposen sambil terpacak di depanku bersama senyuman panjang. Ketika  melewatinya aku mengambil kesempatan untuk memijak kakinya yang sengaja dilunjurkan menghalang perjalanan.
            “Aduhhh.....!” Daniel terjerit kecil. Nampak dia melompat – lompat menahan sakit. Diusap - usap kakinya beberapa kali. Aku tersenyum sendiri. Puas hati dapat mengenakan Daniel.

            Aku mengesat peluh di muka dan di leher. Kusandarkan tubuh ke dinding. Letih.
            “Letihnya....” keluh Angela seraya melabuhkan punggung di sebelahku. Aku hanya senyum. Mataku terarah ke gelanggang memerhatikan para junior beraksi.
            “ Kamu perlu bergerak dan berada di bawah bola ketika mengumpan. Rejaman yang baik dapat dilakukan apabila bola yang diumpan dekat dengan atas jaring” Sesekali kedengaran suara Mr. Wong menegur. Tampak mereka begitu bersungguh – sungguh. Boleh dikatakan pertarungan mereka begitu menarik sehingga melekakan aku dan Angela untuk terus menontonnya.
            “Smesh Katty” ada suara yang memberi arahan. Gadis tinggi lampai itu melakukan apa yang diharapkan. Smeshnya begitu bertenaga sehingga pihak lawan gagal menyambutnya. Aku dan Angela bertepuk tangan meraikan kejayaan mata yang dikutipnya.
            “Bagus juga smesh dia” puji Angela disambut dengan anggukan kepalaku mengiyakan. Aku setuju dengan bicara Angela itu. Ada bunyi tapak kaki yang berhenti dekat denganku namun tidak kuhiraukan. Aku hanya memfokuskan pandangan ke gelanggang menyaksikan perlawanan itu. Memang tepat. Tiba – tiba sahaja seseorang melabuhkan punggung di sebelahku.
            “Memang ler puteri katak tak boleh dipisahkan dengan lumpur. Awak setuju tak?”             Aku menoleh. Daniel sudah berada di sebelahku rancak mengesat peluhnya. Aku menatapnya tajam. Apa maksud bicaranya itu. Bingkas sahaja Daniel bangkit dari tempat duduknya lalu melangkah ke muka pintu meninggalkan dewan.
            “Puteri katak tak boleh dipisahkan dengan lumpur” perlahan – lahan aku menyambung semula bicara itu.
            Bingkas aku mencapai begku lalu berlari ke pintu. Niat hati cuba mengejar langkah Daniel.
            “Liya pegi mana?” laung Angela kehairanan. Aku hanya sempat melambaikan tanganku. Daniel sudah berada beberapa meter di depan. Kalau betul Daniel yang punya angkara, apa yang patut aku buat dengannya? Pukul dia atau simbah balik mukanya dengan lumpur? Calarkan kereta sport merah itu? Daniel membelok ke kanan. Barangkali di sana dia meletakkan keretanya. Kubesarkan langkahku mengekorinya. Sah memang Daniel yang punya angkara. Sebelum sempat Daniel menghilangkan dirinya di sebalik kereta itu, pantas aku melaung namanya.
            “Daniel tunggu!” Pantas sahaja dia berpaling ke arahku. Aku berlari mendapatkannya. Daniel tersengih panjang.
            “Kau yang simbah aku dengan lumpur tadi kan” tekaku. Daniel tersengih panjang. Langsung tiada suaranya yang menafikan bicaraku.
            “So kau nak buat apa dengan aku?” soalnya bongkak. Aku mendengus. Panas hatiku.
            “Kau nak buat apa hah ... hah...”
Daniel menolak – nolak tubuhku. Aku berundur selangkah demi selangkah tetapi Daniel semakin mendekatiku. Kalau aku beradu tenaga dengan Daniel pasti aku yang tewas.
            “Kenapa kau cari pasal dengan aku?”
“Cari pasal? Siapa yang mulakan?” soalnya semula. Bengang! Memang otak dia tidak betul. Tolakan tangan Daniel begitu kuat. Aku tidak dapat mengimbangi tubuhku lalu tersungkur. Daniel tertawa bahagia. Pantas aku mencapai apa sahaja yang berdekatan denganku lalu membaling tepat terkena pada dahi Daniel.
            “Aduuhhh.....!” Jeritan Daniel begitu kuat. Tangannya pantas menutup dahinya. Ada darah mengalir keluar. Aku tergamam. Sungguh aku tidak berniat untuk mencederakannya sedemikian rupa.
            “Berani kau cederakan aku yea” Daniel menarik tanganku dengan kasar. Pergelangan tanganku dicengkam kuat. Aku sudah berdiri menghadap wajah Daniel yang merah merona. Bila – bila masa sahaja Daniel akan menyerangku. Tatkala Daniel mengangkat tinggi tangannya, aku hanya mampu memalingkan muka dan memejamkan mata. Sesaat ... seminit ... Tiada apa – apa yang berlaku. Daniel melepaskan cengkamannya pada pergelangan tanganku.
            “Pergiiiii!!!!!!” tengking Daniel sekuat hati.Aku tersentak. Bagai lipas kudung aku berlari meninggalkannya terpacak di situ. Sebelum Daniel mengamuk sakan lebih baik aku memanjangkan langkahku menyelamatkan diri. Kelibat Daniel sudah tidak kelihatan. Dia sudah jauh kutinggalkan. Aku menarik nafas lega. Mujur juga Daniel masih ada pertimbangan kemanusiaan.





No comments:

Post a Comment