Thursday, 26 May 2011

'143......Tiada Penghujungnya' 3



Bab 3

“Siapa pelajar kat kelas nie bernama Dania Deliya?” Pantas aku menoleh ke muka pintu. Begitu juga dengan teman – teman sekelas lain. Dua orang pelajar lelaki terpacak di situ. Entah, aku tidak tahu siapa gerangan mereka. Namun wajah itu tidak asing dari pandangan mataku.
“ Tu Dania Deliya” beritahu Zatul mendahului. Mereka terus sahaja masuk dan melangkah mendekatiku.
            “ Farhan dan Boney ler, kawan – kawan Daniel” bisik Zatul yang sempat aku dengar. Pastinya Zatul mengenali mereka kerana apa sahaja yang berkaitan dengan pemuda itu pasti tidak akan terlepas daripada pengetahuannya. Ada sebuah kotak dibalut indah serta dihiasi dengan tali reben merah bersama mereka.
            “Hai....! Kami datang nie nak bawa hajat. Daniel nak berkenalan dengan awak” tutur salah seorang daripada mereka. Aku menatap wajah itu penuh kehairanan. Rasanya aku tidak silap dengar kenyataan yang baru sahaja keluar dari mulut Farhan. Nama yang tertera pada tanda namanya yang aku nampak.
            “Wow... bestnya” suara Zatul mencelah disusuli bisikan teman – teman yang tidak tentu butirannya.
            “Nie hadiah salam perkenalan daripada Daniel. Harap – harap awak sudi menerimanya dan kalau boleh tolong buka sekarang” tambah rakannya yang seorang lagi. Aku menatap Fatin dan Umie yang berada dekat denganku meminta kepastian. Rasanya ada yang tidak kena. Zatul tersenyum lebar.

            “Liya buka ler hadiah tu” pinta Zatul sebaik sahaja Farhan dan rakannya melangkah pergi. Aku masih ragu – ragu. Entah kenapa aku rasa ada sesuatu akan berlaku.

“ Apa yang kau fikirkan lagi, Liya? Buka je kotak tu, takkan ada bom kot” tutur Zatul  lancang dan tidak sabar – sabar.

Teman – teman sekelas yang lain juga nampak turut sama menanti.
           
            “Kalau nak tahu apa ada dalam kotak tu kenalah buka” tutur Umie memberi cadangan.
“Yeler, kan tadi dia suruh buka” tambah Zatul lagi.
            “Buka ler Liya. Nak juga kami tahu apa ada dalam kotak tu” luah Angela bagai mewakili teman sekelas yang lain.
            Aku menatap mereka. Masing – masing mengangguk kepala menyokong permintaan Angela. Aku menarik nafas. Cuba bertenang. Dengan bacaan ‘bismillah’, perlahan  - lahan aku mula menanggalkan reben dan balutan pada kotak itu. Kuangkat penutup kotak itu. Tiba – tiba melompat satu benda dari kotak itu lalu betul – betul mendarat ditanganku. Terasa sejuk.

            “Katak!!!!”Aku menjerit sekuat hati. Sepantas kilat menghayun tanganku. Kelas jadi kelam kabut. Masing – masing cuba menyelamatkan diri. Aku berlari meninggalkan tempat dudukku. Namun malangnya kakiku tersangkut pada kaki kerusi. Bupp!! Aku terjatuh ke lantai. Tiba – tiba katak tadi melompat semula ke tubuhku yang terlentang ini.
            “Tolong!!!!!” jeritku ketakutan.
Fatin, Zatul dan Umie berlari. Sepantas Zatul menghayun buku di tangannya tepat – tepat mengena tubuh katak itu lalu terhumban jauh.
            “Liya, kau tak apa – apa?” Umie dan Fatin membantuku bangun. Terasa lututku sakit. Kuselak sedikit kain baju kurungku.
            “Lutut kau lebam” beritahu Fatin. Aku senyap. Katak yang sedang berlegar – legar di ruang kelas dengan susah payah akhirnya berjaya ditangkap oleh rakan sekelas lelaki. Fatin memimpin aku duduk di kerusi.
            “Kau okey Liya?” Aku diam. Masih tergamam. Sesungguhnya, aku masih terkejut dengan kejadian tadi.
            “Muka kau pucat, Liya” beritahu Umie. Aku masih tidak bersuara. Fatin mengusap – usap lembut bahuku cuba menenangkanku. Tiba – tiba sahaja deraian tawa yang panjang memecah kesepian. Beberapa orang pelajar lelaki melewati kelas kami tertawa sakan disusuli dengan bunyi suara katak yang sengaja dibuat – buat. Fatin dan Umie menatapku.      
            “Jahat betul diaorang tu” marah Umie.
            “Tuler Liya, lain kali jangan cepat sangat percayakan orang. Muka handsome tak semestinya hati baik”ada suara lelaki di belakang menyalahkanku.
            “Haris!” Zatul menegur suara itu. Bagaimana perasaanku saat ini sukar untuk ditafsirkan. Malu. Terasa maruahku telah diperolok – olokkan. Aku mengetap bibir.
            “Liya sorry” Zatul mendekatiku lalu memegang bahuku. Aku menatap teman – teman sekelas. Semuanya sedang memerhatikanku. Pasti pelbagai tanggapan sedang bermain difikiran mereka.    
            “Aku nak pergi bilik air kejap” Bingkas aku bangun lalu melangkah pantas meninggalkan kelas. Di bilik air, aku menatap wajahku. Pucat. Terasa panas menuruni cerun pipiku. Aku menangis teresak – esak di situ. Betapa malunya aku diperlakukan sedemikian. Sedikit masa lagi pasti ceritaku akan menjadi topik sensasi. Semua orang akan mentertawakan aku terutama kalangan peminat budak jahat itu. Sebaik sahaja mengingati anak muda itu serta merta tangisanku terhenti. Daniel, aku tidak akan lepaskan kau sewenangnya. Aku akan pulangkan kepada kau kesakitan yang aku rasa saat ini!  
           
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                        “Kronngg....! Kronngg...!” Aku mendengar suara katak yang sengaja dibuat – buat ketika aku melewati beberapa buah kelas lain. Aku cukup sedar bahawa mereka sedang menyindir dan memperolokkan aku. Ternyata sangkaanku benar belaka. Awal – awal sudah aku dapat agak bahawa situasi ini akan aku hadapiku jua. Sesampai di sekolah, aku tidak terus pergi ke kelas sebaliknya mengatur langkah ke bilik guru disiplin. Aku tidak akan bertolak ansur dengan Daniel dan rakan – rakannya. Aku tidak akan biarkan mereka terlepas begitu sahaja. Sumpah aku akan pastikan mereka akan menerima balasan yang setimpal.    
            “Saya harap cikgu akan ambil tindakan segera kepada mereka. Saya betul – betul  rasa tertekan dengan kejadian nie” tuturku serius.
            “Saya akan segera panggil mereka” janji Cikgu Tehran. Beberapa minit selepas aku meninggalkan bilik guru disiplin sekolah, aku mendapat berita bahawa Daniel dan rakan – rakannya telah di hadapankan kepada pengetua dan Cikgu Tehran.


No comments:

Post a Comment