Wednesday, 25 May 2011

'Dia Musuhku ..... Dia Kekasihiku'



‘ DIA MUSUHKU...... DIA KEKASIHKU!’

Mataku yang tertutup rapat serta-merta bulat 360 darjah. Tidurku terjaga lagi kerana jeritan radio jiran sebelah rumahku yang betul-betul membingkitkan telingaku. Rasanya tidak lama lagi gegendang telingaku ini akan pecah. Mungkin ada baiknya kalau aku jadi tuli. Tidak payahlah aku terseksa seperti sekarang. Trang...trang...tang....tatang....!! Entah muzik apa yang dia dengar tu, macam bunyi gendang Cina mati saja.
                       
Pantas kucapai bantal lalu kutelengkup ke telinga. Aku cuba bersembunyi di sebalik bantal dan seboleh-bolehnya aku ingin menyambung kembali tidurku. Namun gagal. Aku betul-betul sakit hati dengan jiran sebelah ini. Dia ini manusia apa agaknya. Langsung tak bertimbang rasa. Sudah tahu hari ini hujung minggu, semua orang hendak berehat, hendak tidur cukup-cukup tapi dia pula yang buat kacau. Agaknya dia fikir dunia ini dia yang punya, sebab itu dia boleh buat sesuka hati. Aku sudahlah Isnin hingga Sabtu bangun pukul lima. Hari Ahad, satu-satunya hari untukku berehat pun macam hari biasa juga. Semua ini gara-gara budak bertelinga kuali itu. Dia betul-betul mencabar kesabaranku.
“ Kalau dah tak pandai hidup berjiran tu, lebih baik tinggal di hutan dengan beruk!” jeritku sekuat hati melawan laungan radionya.
Aku tidak peduli lagi. Kalau orang hendak kata aku gila, biarkanlah. Kalau dia terasa, syukur. Aku puas hati. Orang seperti dia itu, tidak perlu dijaga perasaannya. Dia pun bukan ambil tahu sangat tentang perasaan orang lain. Aku melangkah malas menuruni anak tangga. Maklumlah mataku masih terasa berat. Kulihat mama tersenyum menyambut kedatanganku.
“ Ain nak sarapan?” sapa mama mesra.
Aku hanya mengangguk. Mama tersenyum lagi.
“ Terkejut mama dengar jeritan Ain tadi” usik mama.
“ Ain sakit hati betul dengan jiran sebelah tu” rungutku.
“ Orang muda memang macam tu perangainya” ujar mama seolah-olah membelanya pula.
“ Banyak juga orang muda yang pernah jadi jiran kita tapi taklah seteruk macam dia tu” bantahku tanda tidak setuju dengan pendapat mama.
Mama masih dengan senyumannya.
“ Agaknya budak tu gilalah mama” ujarku selamba.
“ Hey.... tak baik cakap macam tu” tegur mama.

“ Kalau dia tak ubah perangai dia tu, nampaknya Ain boleh jadi gila macam dia tu” tambahku sakit hati.
“ Arman tu budak baik. Dia selalu tolong mama” ujar mama membuat kejutan.
Arman? Aa... nama dia Arman. Lain kali bolehlah aku laung terus nama dia. Biar dia tahu yang dia sedang bersalah pada masa itu. Mungkin selama ini dia tidak  tahu bahawa dia yang ditegur sebab itulah tidak pernah faham-faham.
“ Mungkin tu keburukannya tapi taklah teruk sangat. Ain kan tahu, manusia ni tak sempurna” ujar mama terus.
“ Ain tahulah mama tapi takkan Ain nak diamkan diri saja. Orang macam tu harus ditegur” ujarku masih mahu mempertahankan diri.
“ Ain jerit dia, macam tu cara Ain tegur. Jangan-jangan cara Ain tu buat dia sakit hati pula sebab tu dia tak hiraukan teguran Ain”
Mama masih mahu menyebelahi budak itu. Aku tahu mama terhutang budi kepadanya.
“ Ain marah betul pada budak tu mama.  Dia tu sengaja nak sakitkan hati Ain. Hari-hari dia dengar radio macam nak pecahkan dunia ni. Ain nak tenangkan fikiran pun langsung tak boleh. Agaknya family dia tupun pekak” marahku.
“ Jangan tuduh orang sebarangan Ain” tegur mama lagi.
“ Mama masih nak lawankan budak tu. Ain tahulah dia berjasa pada mama tapi tu tak bermakna dia boleh buat sesuka hatinya, dengan Ain dia tak boleh main-main” tegasku.
Mama geleng-geleng kepala. Perempuan lemah lembut ini sentiasa saja berfikiran positif. Kalau semua orang di dunia ini macam mama, segala keburukan dan kejahatan itu akan jadi elok. Amanlah dunia!
“ Mama tak bermaksud macam tu. Mama cuma nak ingatkan Ain, hidup berjiran ni mesti tolak ansur. Barulah kita boleh hidup aman” ujarnya lembut.
“ Orang macam tu tak payah bawa bertolak ansur. Dia bukan faham sangat dengan semua tu” omelku seraya bangun meninggalkan dapur.
Mama hanya geleng kepala menyoroti langkahku. Dia faham sangat dengan kedegilanku.
                       
Tepat 5.00 petang. Aku menggeliat dua tiga kali. Kubuka jendela bilikku luas-luas. Tiupan angin petang terasa begitu nyaman apatah lagi aku dapat menikmati pemandangan menghijau di hadapanku. Segar. Buat pertama kali aku merasa cukup tidur. Apa tidaknya buat pertama kali juga budak di sebelah ini tidak buat kacau. Barangkali radionya sudah rosak atau pun dia sudah insaf kerana teguranku pagi tadi.

Aku memanglah kalau hujung minggu tiada kerja lain kalau bukan tidur. Masa inilah peluang aku reletion tension dan rehatkan diri. Kalau tidak kerana budak sebelah tu buat kacau, sudah lama aku hidup aman.
                       
Tidak sampai lima minit, tranggg.......tang.......trrrangg.... Ya Allah, dia buat perangai lagi.  Agaknya dia tidak boleh duduk senang tanpa muzik gila-gilanya itu. Aku melangkah ke balkoni, meninjau-ninjau rumah di sebelah ini. Ingin juga aku hendak mengetahui apa dia buat itu dan kalau berkesempatan bertemu dengannya, aku sudah siap sedia dengan nasihat bernas yang sudah lama aku karang. Kupanjangkan leherku menjenguk ke balkoni sebelah. Dia tidak berdiri di situ seperti biasa. Aku dapat melihat sedikit bahagian biliknya, namun kalibatnya langsung tak kelihatan.
“ Hello!” sapa satu suara yang mengejutkanku.
Aku memandang ke bawah. Seorang gadis tersenyum manis menatapku.
“ Saya Watie. Ada apa-apa yang perlu saya tolong?” ujarnya memperkenalkan diri seraya menawarkan khidmat bantuannya.
Aku senyum.
“ Saya Ain. Maaf, saya betul-betul terganggu dengan bunyi radio dari bilik ni. Boleh tak beritahu tuannya, tolong perlahankan sikit” balasku sambil menunding jari ke bilik itu.
Gadis itu mengangguk-angguk.
Hello! Slow the volume please!” laung gadis itu siap dengan bahasa Inggerisnya sekali.
Patutlah selama ini bila aku tegur langsung tidak ada respons. Nampaknya dia tidak faham cakap aku. Aku fikir dia akan perlahankan volume radio itu. Kutunggu. Tiada sebarang perubahan pun. Jelas dia tidak faham juga berbahasa Inggeris. Entah bahasa apa yang dia gunakan.
“ Abangku tu pelik sikit” ujarnya sambil tersengih.
Pelik? Tidak betulkah dia? Jangan-jangan dia itu betul-betul gila. Hey... takut aku. Nanti tak pasal-pasal dia mengamuk, mati aku.
“ Tak pelah, aku masuk dulu”
Bergegas aku meninggalkan balkoni. Kututup jendela yang paling dekat dengan  rumah sebelah. Siap sekali berkunci.
           
                        Sehari, seminggu, sebulan berlalu begitu terasa. Gara-gara hari yang berlalu begitu menyeksakan angkara perbuatan Si Telinga Kuali itu. Dia masih tidak berubah-ubah malah semakin melampau. Adakalanya aku rasa bukan setakat telingaku ini yang hendak pecah malah rumah dan bumi ini turut bergegar. Aku hairan betul, mengapa orang di sekelilingku masih tahan dengan keadaan ini

terutamanya mama yang tidak pernah aku dengar komennya. Kalaulah aku seperti mama alangkah seronoknya. Tidak  perlulah aku memendam rasa. Ini tidak, percuma saja air mataku mengalir. Aku pernah menangis kerana rasa tertekan sangat.

Bunyi radio tadi tiba-tiba saja lenyap. Aku kira hanya sesaat tapi nyatanya berterusan. Di sebalik cermin bilik ini, aku nampak seorang pemuda bertubuh tinggi lengkap dengan gayanya tersendiri, ala-ala model memasuki kereta sport hitam BMW itu. Barangkali inilah manusia yang bertelinga kualli itu. Aku yakin dialah orangnya. Kalau dia tidak keluar bunyi radio itu tidak akan hilang. Kuperhatikan hinggalah hilang dari pandangan. Dia nampak waras 100%. Dia tidak gila seperti yang aku sangkakan. Ahh! Tidak perlu aku fikirkan tentang dia. Sekarang seharusnya aku merebut peluang ini untuk merehatkan pendengaranku dan menikmati ketenangan ini sepenuhnya sebelum dia balik. Huhh! Terasa lapang dadaku. Ya Allah! Betapa nikmatnya kedamaian ini. Aku hampir-hampir terlupa.
                       
Sudah setahun aku berjiran dengan Si Telinga Kuali itu. Satu nama khas yang aku beri. Aku sudah berkenalan dengan Watie, aunty Sarah, uncle Yusuf dan baru sebulan lalu berkenalan dengan seorang lagi anak muda di rumah itu. Perkenalan secara tidak kebetulan. Gara-gara kecuaianku, aku hampir-hampir saja dilanggar kereta Pajero itu. Mujur pemandunya cepat bertindak. Lututku luka sikit.  Dialah yang membawa aku ke hospital.  Setelah bersoal jawab barulah kami tahu rupanya kami berjiran. Ahh! Betapa renggangnya hubungan insani di kota metropolitan ini. Sekarang cuma seorang aku belum kenal secara rasmi dan rasanya aku tidak berminat mengenalinya. Siapa lagi kalau bukan Si Telinga Kuali itu.
“ Memang budak tu bertelinga kuali. Dengar radio macam nak runtuhkan rumah. Agaknya dia tu tuli” ujarku marah-marah sambil menggunting pokok bunga mama di halaman.
“ Kalau dia macam pokok bunga ni, aku potong-potong lehernya. Biar dia mati, aman juga dunia ni” tambahku geram.
Aku mendengar ketawa kecil dari atas sana. Pantas aku mendongak. Dia terpacak di balkoni sambil menampakkan giginya. Tajam jelinganku singgah kepadanya.
“ Cik adik nampak marah je” usiknya.
Kutulikan telinga sambil berpaling ke arah lain. Sebenarnya aku gugup juga berhadapan dengannya. Maklumlah selama ini tidak pernah bersemuka apatah lagi mendengar suaranya. Rasa malu pun ada juga. Pasti dia memerhatikan gelagatku tadi.
“ Marahkan siapa cik adik?” usiknya terus.

“ Hoi! Si Telinga Kuali, radio kau tu slow sangat, boleh tak kuatkan lagi?” sindirku seraya beredar dari situ.
Kedengaran dia ketawa.
                       
Aku memerhatikan gelagat mama yang sedang leka dengan bunga-bunganya itu. Selain aku itulah benda yang disayanginya. Sejak ayah meninggal dunia tiga tahun lalu, mama menghabiskan masa lapangnya dengan bunga-bunga itu. Mama sanggup berbelanja besar untuk mempastikan bunga-bunga tersebut hidup subur dan terjamin.
“ Mama tak usahlah cantas bunga tu lagi, kan Pak Tam boleh buat semua tu. Lagipun kan Ain dah potong minggu lepas” tegurku.
Mama hanya senyum. Tangannya masih memegang gunting itu.
“ Ain marilah tolong mama”
Bingkas aku bangun lalu mendekati mama.
“ Mama nak Ain buat apa?” soalku.
“ Tolong mama angkatkan pasu-pasu ni ke situ”
Aku menurut saja arahan mama. Kuperhatikan bunga matahari di sekelilingku ini. Cantik. Ternyata usaha mama selama ini tidak sia-sia.
“ Assalamualaikum aunty....” sapa satu suara.
Pantas aku menoleh. Dia melemparkan senyumannya namun aku buat tidak nampak saja.
“ Hey.... Arman. Baru balik dari kerja?” soal mama ramah.
 Dia mengangguk. Aku menghampiri mama.
“ Hai Ain!”
Baru saja aku hendak mengangkat pasu seterusnya serta-merta tanganku terhenti. Tajam pandanganku menatapnya. Sejak bila pula dia ini pandai sebut nama aku?
“ Ain berbual-buallah dengan Arman” pinta mama.
Sorrylah mama, Ain banyak kerja kat dalam tu. Mama berbual-buallah dengan dia ye” balasku tanpa berminat menyebut namanya.
Mama merenungku dengan pandangan tersirat.
“ Tak pelah aunty kalau orang tak sudi” ujarnya tersengih.
“ Aku harap kau takkan musnahkan ketenanganku petang ni” sindirku lalu melangkah dari situ.
“ Ain.....”


Aku masih sempat mendengar suara mama menegurku. Arman senyum. Dari bilik ini aku memerhatikan gelagatnya dengan mama. Nampak dia begitu ramah. Bila kualihkan pandanganku ke situ semula, dia sudah mengambil-alih tugasku tadi.
                       
Aku membantu mama mengemas meja. Kuletakkan pinggan di sink. Siap sedia untuk mencucinya.   
“ Mama tak setuju kalau Ain bersikap macam tu pada Arman” tiba-tiba suara mama memecah kesepian.
Pantas aku menoleh, mama menatapku.
“ Kita kena jaga juga perasaan orang” tegurnya lembut.
“ Maafkan Ain mama tapi Ain betul-betul tak mampu nak berbaik dengan dia” ujarku perlahan bagi menjaga perasaan mama.
“ Mama tak paksa Ain kawan dengan dia tapi kalau dia tegur Ain, Ain kena balas dengan baik” nasihat mama.
“ Ain akan cuba” ujarku tanpa jaminan dan meneruskan kerjaku.
Mama mendekatiku. Dipegangnya bahuku.
“ Ain tak boleh bencikan dia. Mana tahu suatu hari nanti Ain jatuh hati kat dia, macam mana?” usik mama.
“ Merepeklah mama ni” rungutku.
Mama tersenyum.
“ Mama suka dia. Kalau dia jadi teman Ain lagilah mama suka. Tak payah cari orang jauh – jauh. Senang mama nak jenguk Ain nanti” usik mama terus.
Sorrylah mama, Ain tak terfikir semua  tu”
“ Mungkin masa akan datang Ain akan terfikir pula”
“ Mama.....”
Aku menarik muka masam membuatkan mama tertawa kecil.
“ Janganlah merajuk, mama hanya bergurau tapi ingat mulut mama ni masin tau” tambahnya lagi.
“ Kalau mulut mama masin lain kali tak payahlah beli garam” ujarku berjenaka.
Mama tersenyum sambil geleng kepala.
                       


Aku berdiri di balkoni memerhatikan pemandangan menghijau di hadapanku. Sungguh indah ciptaan Illahi. Betapa aku bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk menikmati semua ini. Nyata ketenangan ini mula tergugat apabila Si Telinga Kuali mula buat perangainya. Bunyi kicauan burung-burung mula tenggelam ditelan laungan radio dari sebelah rumah ini. Kuubah posisi tempat aku berdiri, cuba mengurangkan bunyi bising itu tapi nyatanya ketenanganku tadi benar-benar telah musnah. Mama, macam mana aku tidak membenci dia kalau perangainya sudah begitu.
            “ Hai Ain!” sapa satu suara.
Aku tersentak. Mendengar suara itu aku langsung tidak menoleh.
“ Ain ni sombonglah. Apa kita tak boleh jadi kawankah?” soalnya.
Aku masih tidak mempedulikannya. Kutulikan telingaku.
“ Kalau tak boleh jadi kawan, jadi musuh bolehlah ye” ujarnya tertawa kecil.
Aku hairan betul, rupanya dia ini banyak mulut juga. Ingatkan budak pendiam dan kesepian sebab itu perlukan gema muzik bagi menyuntik semangat hidupnya. Paling tidak pun mengusir kesepiannya itu.
“ Aku tahu kau marahkan aku. Aunty dah beritahu segala-galanya. Macam mana aku nak buat kalau kau asyik suruh perlahankan volume radio. Aku bukannya ada radio kalau Hi Fi adalah. Aku fikir kau tegur orang lain” ujarnya selamba.
Bahlol punya budak. Dia ingat loyar buruknya itu menjadi.
Sorrylah brother, loyar buruk tak mainlah” balasku seraya melangkah masuk ke bilikku.
Thanks kerana sudi panggil aku abang!” laungnya menambah sakit hatiku.
Kemudian aku dengar alunan muzik rancaknya semakin kuat. Tentu penyakit gilanya sudah datang lagi. Nampaknya aku pula yang sakit jiwa. Untuk kesekian kalinya kesabaranku teruji lagi. Bergerutu gigiku menahan geram. Kusumbat telingaku dengan kapas setebal mungkin. Malangnya bunyi bising itu masih menembusinya. Muzik rancak itu tetap kedengaran ditelingaku.
“ Arman!!!!”
Di luar kawalanku, sedar-sedar aku sudah berada di balkoni semula sambil melaung nama budak itu dengan nada marah. Arman keluar lalu terpacak di hadapanku dalam jarak beberapa meter. Bulat anak matanya menatapku.
“ Kau ni betul-betul telinga kuali. Kalau kau nak dengar muzik gila kau tu, dengarlah seorang-seorang tak payah kuat sangat. Orang kat sini bukannya tuli macam kau. Tak bolehkah kau senyap untuk hari ni je!” bentakku penuh geram.


Arman masih terpaku di hadapanku tanpa bersuara. Bola matanya tetap bulat seolah-olah benda ajaib sedang melewatinya.
“ Ahh....!”
Aku terus meninggalkannya di situ. Dua tiga kali aku menarik nafas. Cuba melegakan diri. Senyap seketika. Mungkin kali ini baru Arman hendak mendengar cakapku. Sangkaanku meleset. Tidak lama selepas itu, kedengaran lagu Arrow ‘Aku Tak Marah’ berkumandang menggantikan muzik rancak tadi. Aku tidak mampu berbuat apa-apa lagi melainkan buat-buat tidak dengar.
                       
Aku berhenti di hadapan kedai menjual barang-barang elektronik. Terus saja aku masuk.
“ Kau nak beli apa kat sini?” soal Melati teman sekerjaku.
“ Aku nak beli earphone untuk jiran sebelahku tu”  ujarku sambil liar mencari benda tu.
“ Ha... nipun dia”
Kucapai earphone itu lalu menyuruh tuan kedai membungkuskannya. Aku harap tindakanku ini boleh memberikan keamanan kepadaku semula.

Kulihat sejak dari tadi dia asyik berdiri di situ. Anak matanya liar memerhatikan sekeliling. Seperti ada sesuatu yang sedang dicarinya. Dia lenyap seketika. Tiba-tiba alunan muzik heavy mental itu semakin kuat. Aku rasa tentu volume terakhir. Nampaknya usahaku sia-sia dan hanya membazirkan wangku saja.
“ Ain....”
Aku menoleh dan terus tersenyum. Lelaki itu juga senyum.
“ Lama tak nampak Ain?” ujarnya ramah.
“ Kebelakangan ni Ain sibuk. Banyak kerja kat pejabat yang perlu dibereskan” jelasku.
“ Ain pun tak nampak-nampak abang, abang pergi mana?” soalku pula.
“ Macam Ain juga” balasnya dengan senyuman.
“ Ain nak ke mana ni?” soalnya sambil memerhatikan pakaianku.
“ Ain nak ke bandar, nak beli barang sikit” terangku.
“ Mana kereta Ain?” tanyanya hairan.
“ Kat workshop bang, enjinnya ada masalah sikit”
“ Kalau macam tu abang tumpangkan Ain, kebetulan abang juga nak pergi ni”
“ Tak menyusahkan abang ke ni” ujarku serba salah.
“ Hey tak delah. Jom.....” ajaknya.

“ Terima kasih bang” ujarku sambil mengekori langkahnya.
Dia mengangguk dan tersenyum.
                       
Aku berfikir banyak kali untuk ke sana. Buku itu sudah berada ditanganku. Lama juga untuk aku membuat keputusan ini. Akhirnya dengan langkah berat dan was-was aku melangkahkan kakiku ke rumah sebelah.
“ Assalamualaikum!” laungku melawan laungan radio itu.
Tiada sesiapa yang keluar. Inilah keburukannya kalau dengar radio kuat sangat. Kalau pencuri masuk pun mereka tidak akan menyedarinya.
“ Assalamualaikum!” ulangku dengan lebih kuat lagi.
Kali ini nampaknya berhasil. Watie keluar ke balkoni.
“ Hey Ain, masuklah!” laungnya juga.
“ Tak pelah, aku kejap je. Abang Man ada?” belasku melaung.
“ Abang Man?’
Mukanya berkerut. Dia sedikit hairan.
“ Ya, aku nak pulangkan buku ni” terangku.
“ Tunggu kejap ye” ujarnya tersenyum.
Watie masuk semula. Kutunggu seketika. Tiba-tiba muncul satu susuk tubuh yang tidak diundang.
“ Ain?”
Dia tersentak kemudian terus mengukir senyum. Aku buat tidak endah saja.
“ Betulkah kau nak jumpa aku ni? Macam bermimpi je” ujarnya tersengih.
Mukaku berkerut. Hairan dengan pertanyaannya.
“ Bila masa pula aku nak jumpa kau?” balasku sambil tersenyum tawar.
“ Watie yang cakap kau nak jumpa aku. Apa hal? Nak minta maaf sebab hal semalamkah?” duganya.
Aku mencebikkan bibir. Adakah dia kata aku hendak minta maaf. Macamlah aku yang buat salah. Terbalik betul dunia ini.
“ Perasan.... Aku nak jumpa abang Man” tegasku.
“ Abang Man? Nama akulah tu” ujarnya masih dalam senyuman.
“ Aku tak nak main-main.Aku nak jumpa abang Man sekarang juga” nada suaraku mula meninggi.
Dahinya berkerut lagi.
“ Aku juga tak main-main, akulah orangnya”

Mungkin mendengar pertelingkahan kami, Watie muncul lagi.
“ Apa halnya ni?” soalnya hairan.
“ Watie, aku nak jumpa abang Man bukan dia ni” tegasku.
Watie tertawa kecil sambil geleng-geleng kepala.
“ Ain inilah abang Man. Kau cari abang Man yang mana satu pula?’ usiknya.
Terasa panas mukaku. Arman tersenyum meleret.
“ Yang seorang tu?”
“ Kau nak jumpa abang As ye.... Asman”
“ Ya... ya” cepat-cepat aku menyahut.
“ Okey, aku panggil dia sekarang”
Aku hanya mengangguk. Arman masih terpacak di depanku dengan senyumannya. Kualih mukaku.
“ Lain kali pandai-pandailah tanya nama orang” sindirnya.
“ Kau sengaja nak kenakan aku kan”
“ Hey... dia tuduh kita pula. Ain ingat kita ni jahatkah?”
Aku hanya diam. Tidak berminat melayannya terus. Kulihat abang Asman sedang melangkah ke arahku bersama senyumannya.
“ Ain masuklah” pelawanya.
“ Tak pelah, kat luar je”
Abang Asman melangkah keluar. Kini dia sudah berada di hadapanku.
“ Ain nak pulangkan buku ni pada abang. Terima kasih” ujarku sambil menghulurkan buku itu.
Dia mengangguk.
“ Abang Ain nak tanya sesuatu” pintaku.
Dia menatapku.
“ Kenapa abang dengan dia berbeza sangat?”
“ Arman?”
Dia tersenyum.
“ Tak semestinya adik-beradik serupakan?” jawapannya masih dalam persoalan.
Aku mengangguk.
“ Macam mana abang boleh tahan bunyi bising tu?” tanyaku lagi.
“ Sejak kecil tinggal sebumbung tentu dah jadi kebiasaan”
“ Tentunya telinga abang dah jadi kebalkan” ujarku berjenaka.

Dia tertawa kecil.
“ Dia tu budak liarkah bang?” tambahku lagi.
Dia tertawa kecil sambil geleng-geleng kepala.
“ Tak delah. Hati dia baik. Kalau Ain kenal dia tentu Ain tahu”
Aku tersengih.
“ Kenapa banyak tanya ni, dia ganggu Ainkah?” soalnya pula.
“ Tak delah. Okeylah bang, Ain balik dulu”
Aku terus meninggalkan halaman banglo itu. Kenapa semua orang puji dia baik sedangkan aku tidak pernah nampak kebaikannya. Barangkali memang tepat aku belum cukup mengenalinya dan apa yang aku tengok selama ini cuma keburukannya.
           
                        Tidak kutahu malang apa yang menimpaku hari ini. Aku hampir-hampir saja jatuh menyembah bumi angkara leka berkhayal. Mujur tanganku sempat berpaut pada  pagar besi itu.  Kalau tidak  tentu  ada yang  akan patah hiruk. Entah benda apa yang licin terpijakku tadi. Walaupun tidak sempat jatuh namun lututku terasa juga sakitnya kerana terpaksa menegang menahan daripada terluncur laju. Sayup-sayup aku dengar ketawa kecil di hujung sana. Perlahan-lahan aku mendongak. Tepat dugaanku. Arman tersenyum di atas sana.
“ Sakit Ain!” laungnya tersengih.
“ Sibuk!”
Aku sempat memarahinya.
“ Tulah kau dok berkhayal saja, mujur tak tumbang tadi. Kalau tidak tentu macam bunyi buah nangka jatuh” perlinya menambah sakit hatiku.
“ Kau peduli apa”
“ Janganlah marah aku gurau je. Lain kali kalau jalan tu hati-hati. Aku bukannya apa cuma ambil berat kat kau je. Maklumlah hati dah sayang” ujarnya selamba sambil tersengih.
“ Aku tak perlukan nasihat kau tu. Lebih baik kau nasihatkan diri kau tu dulu” bantahku.
Tajam pandanganku kepadanya.
“ Kenapalah kau ni Ain sombong sangat?” rungutnya.
“ Perangai macam kau tu tak ingin aku nak kawan”
“ Tak pelah, aku sedar aku ni tak setanding macam abang As” ujarnya merendah diri.



Aku terdiam. Dia nampak seperti orang merajuk. Tanpa berkata apa-apa lagi dia terus masuk. Terasa kesal juga hatiku. Sebenarnya aku tidak berniat untuk menyinggung perasaannya dan sebetulnya aku tidak sangka manusia sekebal dia akan terasa dengan kata-kataku kali ini.
“ Ain!”
Aku berpaling. Dia lagi. Tapi kali ini wajahnya sudah ceria. Cepat betul dia berubah. Entahlah manusia apa agaknya dia ini. Namun yang jelasnya aku berasa senang dengan perubahannya ini. Sekurang-kurangnya aku tidak terus rasa bersalah.
“ Kau ingat aku merajukkah?’ soalnya tersengih.
Aku buat tidak endah saja. Memang aku fikir dia ambil hati akan bicaraku tadi.
“ Aku bukannya jenis manusia macam tu, tapi aku jealous juga tengok kau layan abangku tu dengan baik. Kau ni memanglah tak adil, Ain” tuduhnya.
Aku malas hendak bersuara. Hanya jelinganku saja yang singgah kepadanya.
“ Aku nak ucapkan terima kasih atas hadiah kau tu. Lain kali kalau nak beli try dulu. Ni rosak tau. Tak pelah aku jadikan sebahagian koleksi barang kesayanganku. Kalau kau ada duit, belilah lagi untuk aku”
Selambanya dia bercakap, siap sekali dengan sengihannya.
First time aku tengok lelaki mulut murai macam kau. Simpan jelah air liur tu untuk buat peta malam ni” perliku.
Dia ketawa. Sempat mataku memerhatikannya. Dia memang lelaki hebat. Bila menyedari aku memerhatikannya, pantas saja ketawanya terhenti. Dia nampak segan sedikit. Mungkin di luar kawalannya tadi.
“ Seronok juga berbual dengan kau ni ye. Tak pelah, aku masuk dulu” ujarnya sambil garu-garu kepala.
Aku tahu renunganku yang membuatkan dia begitu. Satu kelemahan kaum lelaki. Lucu juga dia ini, rupanya pandai juga dia malu. Ahh! Dia jugakan manusia biasa.
                       
Aku cuba menyembunyikan diri di sebalik rimbunan pepohon bunga daripada pandangan Arman yang sedang leka mencuci keretanya. Bukannya apa cuma aku tidak mahu buang masa aku mendengar usikannya. Paling utama aku tidak mahu menjeruk perasaan takut-takut suatu hari nanti aku sakit jiwa.
“ Ain!”


Aku betul-betul tersentak dengan sapaan itu. Aku mengangkat mukaku, Arman sudah berada di sebalik pagar di hadapanku sambil tersenyum simpul. Pantas saja aku memalingkan mukaku semula kepada bunga-bunga di depanku. Langsung aku tidak berminat untuk menatapnya. Beberapa minit aku berkeadaan demikian. Senyap saja, mungkin dia sudah pergi.
“ Kau sedang buat apa tu Ain?” tiba-tiba ada suara bertanya.
“ Butakah? Tak nampakkah apa yang sedang aku buat sekarang ni?” jawabku dengan suara keras sedikit.
“ Hey.... apa hal marah-marah ni Ain?”
Bila aku menyedari suara itu, pantas aku mendongak. Ya Allah! Apa yang aku cakap ni? Aku salah oranglah. Abang Asman terpacak di hadapanku dengan wajah berkerut seribu.
“ Ma.... maaflah bang. Ain ingat Arman tadi” ujarku serba salah.
“ Dia ganggu Ainkah?’ soalnya hairan.
“ Tak delah. Mood Ain tak baik hari ni” ujarku berdalih.
“ Kalau macam tu abang tak nak ganggu Ainlah” ujarnya perlahan.
Aku menatap wajahnya. Cuba meneliti akan perasaannya. Aku takut dia ambil hati dengan kata-kataku tadi.
“ Abang marahkan Ainkah?” soalku pula.
Dia geleng kepala sambil tersenyum.
“ Tak delah. Abang pun ada kerja tau” terangnya.
Aku menghela nafas lega.
“ Abang pergi dulu”
Aku melihat dia melangkah pergi dengan keluhan kesal. Mujur juga dia tidak tersinggung dengan kata-kataku tadi. Tiba-tiba aku teringatkan Arman, barangkali dia yang perangkap aku. Arman sengaja kenakan aku tak? Ahh! Tidak baik prasangka buruk pada dia. Kata mama selagi aku mencari keburukannya selagi itu juga kebencianku akan menebal kepadanya. Mungkin ada benarnya tapi hakikatnya terlalu sukar untuk aku berbaik dengannya apatah lagi untuk menjadi sahabatnya. Hanya takdir yang mampu merubah segalanya. Kalau Tuhan hendakkan aku menjadi sahabatnya, aku pasrah kerana tiada sesiapapun yang berkuasa mengubah ketentuannya.
                       
Aku sentiasa mengubah posisi tubuhku. Sekejap ke kanan sekejap ke kiri. Jelas aku gelisah sangat. Kupejamkan mata serapat mungkin untuk melupakan apa saja yang berada di sekelilingku ini. Biarlah fikiranku  kosong. Laungan suara penyanyi rock itu nyatanya telah menguasai fikiranku. Aku

tidak berjaya melontarnya jauh-jauh untuk membuatkan aku tidak kisah tentang semua itu. Tahu-tahu aku sudah bangun lalu melangkah ke balkoni. Seperti biasa aku sudah siap sedia melaungkan kemarahanku kepada Arman. Arman sedang tersandar di tepi balkoni dengan muka sudah sedia menghadap kepadaku tersenyum. Macam tahu-tahu saja aku akan muncul. Wajahnya nampak berseri-seri dan pasti perasaan wanitaku tergugat. Entah, kenapa tiba-tiba saja mulutku seakan terkunci. Aku tidak mampu untuk berkata walaupun sepatah apatah lagi untuk menggeluarkan kemarahanku. Lama juga aku terpacak di hadapan melawan pandangannya. Ilmu apakah yang dia pakai sehingga membuatkan aku jadi berani atau baru sekarang ini aku menyedari apa yang dimilikinya sungguh indah. Aku benar-benar terpaku.
“ Ain, aku ingin berterus terang pada kau sekarang bahawa aku benar-benar tak mampu melupakan kau.  Aku tak boleh membohongi  diriku dan memendam  rasa selamanya” sayup-sayup aku mendengar suaranya menyusup ke telingaku.
“ Aku tak bohong. Aku betul-betul serius. Aku telah jatuh cinta pada kau, maaf” tegasnya cuba menyakinkan aku
Barangkali melihat aku hanya berdiam. Aku masih lagi seperti tadi. Mukaku terasa panas.
“ Aku tak paksa kau untuk menerima aku. Kalau kau dah ada lelaki lain atau ada hubungan dengan abang aku, aku tak marah. Cuma aku harap kau akan mempertimbangkan kata-kataku tadi. Aku tahu kau bencikan aku, sebab tu aku tak pernah mengharap apa-apa, meluahkan segalanya dah cukup menyenangkan aku” tambahnya lagi.
“ Katakanlah sesuatu Ain” pintanya.
Arman menatapku membuatkan aku rasa terlalu kerdil. Apa yang harus aku ucapkan sedangkan aku tak terfikir apa-apapun. Hal ini terlalu berat untuk aku putuskan.
“ Aku respect dengan keberanian kau dan terima kasih kerana berterus-terang. Tapi aku tak tahu apa yang harus aku katakan. Berilah aku masa untuk fikirkan hal ni” akhirnya mampu juga aku menyusun kata-kata.
Arman tersenyum.
“ Ini satu petanda baik kan?”
Aku hanya tersenyum. Tiba-tiba aku rasa telingaku berdengung.
“ Aku ada satu permintaan, boleh tak?’ soalku.
“ Apa dia?” pantas dia bertanya.
“ Tolong perlahankan bunyi tu”
Arman tertawa kecil lalu melangkah masuk ke biliknya untuk memperlahankan radionya, hey..... bukan, Hi Fi dia.
                       
Melalui pintu kaca ini, aku nampak Arman berada di halaman. Kumatikan langkahku. Aku tidak jadi keluar. Terus saja aku duduk di kerusi sambil mengintai-intai keluar untuk mempastikan adakah dia masih berada di situ.
“ Apa yang Ain jenguk-jenguk kat luar tu?” suara mama mengejutkanku.
“ Tak de apa-apa mama” ujarku berdalih.
“ Sejak akhir-akhir ni, mama tengok perangai Ain peliklah” komen mama.
“ Pelik?” soalku.
“ Yalah, macam cuba melarikan diri daripada seseorang. Siapa yang Ain takutkan sangat tu, Armankah?” tekanya.
Aku sekali lagi terkejut dengan kata-kata mama.
“ Takutkan Arman?” ulangku.
Aku bu            at-buat senyum.
“ Ain tak buat salah buat apa takutkan dia” ujarku berdalih.
Seboleh-bolehnya akan kucuba rahsiakan perkara ini dari pengetahuan mama. Bukan niatku untuk mengetepikan mama atau enggan berkongsi pendapat dengannya. Aku sudah dewasa. Justeru aku sudah boleh membuat keputusan sendiri tapi malangnya aku belum menemui sebarang jawapan. Aku gagal menilai  dirinya. Aku tidak tahu adakah aku betul-betul boleh jadi kekasihnya? Pelbagai persoalan berlaga di kepalaku.
“ Dah lewat ni, kenapa Ain tak pergi lagi?” tegur mama.
“ Kejap lagi Ain pergilah ni” balasku sambil mataku masih liar memandang keluar.
Kenapalah kau lama sangat berdiri di situ?
                       
Aku membuka mataku perlahan-lahan. Terpaku aku mendengar lagi ‘For You’ nyanyian KRU. Begitu indah lirik dan alunan muziknya. Entah, tiba-tiba saja aku tersenyum sendiri. Aku rasakan seolah-olah lagu itu dia tujukan kepadaku. Mungkin aku perasan tapi hatiku mengiyakannya.
“ Kalau dia dah cakap macam tu, kau terima sajalah” cadang Melati.
Aku mengeluh berat. Hal ini tidak boleh terburu-buru. Nanti natijahnya aku yang terpaksa menanggungnya. Silap langkah aku boleh merana seumur hidup.
“ Aku takut aku hanya tertarik pada ketampanannya sedangkan perasaan cinta langsung takde” luahku khuatir.
Melati menatapku.
“ Betulkah kau langsung takde perasaan pada dia?” soal Melati mengulangi kata-kataku.

“ Persoalan itulah yang sedang aku cari sekarang”
Melati tersenyum meleret. Ditepuknya bahuku.
“ Nampaknya dia ada harapankan” usiknya.
Aku hanya diam. Sebarang jawapan tidak mungkin aku berikan. Aku tidak mahu terburu – buru. Paling aku takut kalau aku tersilap langkah.
                       
Aku melangkah ke dapur untuk bersarapan. Mama tersenyum menyambut kedatanganku.
“ Selamat pagi mama” sapaku sambil mencium pipinya.
Dia tersenyum panjang sambil mengangguk. Kutuang air kopi panas ke dalam cawan di hadapanku. Perlahan-lahan kuteguk.
“ Setiap pagi mama dengar lagu tu je. Agaknya dia tak lenguhkah dengar lagu tu” ujar mama tiba-tiba.
Pertama kali aku mendengar komen mama terhadap jiran sebelah kami.
“ Tak pelah mama, kan lagu tu sedap juga didengar” balasku selamba.
Mama kehairanan menatapku. Pertama kali pula aku menyebelahinya.
“ Kenapa mama tengok Ain macam tu?” soalku.
“ Sejak akhir-akhir ni Ain punya perspektif terhadap jiran kita tu dah berubah ye” tegur mama.
“ Kan mama yang suruh Ain berfikiran positif” balasku cuba melindungi diri.
“ Kalau Ain dah fikir macam tu baguslah” ujar mama tersenyum.
“ Mama hairan juga, dulu muzik rancak sekarang sentimental pula” tambah mama lagi.
“ Alah.... mama, manusiakan memang biasa berubah”
“ Yalah, contoh terdekat Ain. Dulu tak pernah puji Arman, sekarang dah pandai pula. Ada apa-apakah ni?” usik mama.
“ Mengarutlah mama ni” rungutku.
Aku meneguk kopi di cawanku. Entah secara tiba-tiba saja aku teringatkan Arman. Masih ada persoalan yang belum kujelaskan padanya. Barangkali itulah sebab utamanya dia suka sangat tercengat lama di halaman. Mungkin dia sedang menantiku.
“ Sampai bila kau nak larikan diri dari dia?” soal Melati.
“ Sehinga aku tahu jawapannya” balasku selamba.
“ Ain, aku nak cakap sikit. Sebenarnya kau menyukainya tapi disebabkan kau benci sangat pada dia sebelum ni, so kau susah nak terima kenyataan ni secara mendadak. Sebab tu juga kau tak tahu jawapannya” komen Melati.

Aku terdiam. Kufikirkan kata-kata Melati. Betulkah?
“ Kau perlu rasional sikit. Kejadian macam ni memang dah biasa. Kau tak perlu rasa malu atau takut dengan kenyataan ni” nasihat Melati lagi.
“ Aku nak tanya kau sesuatu?” soalku tiba-tiba.
“ Apa dia?”
“ Macam mana kau tahu kau mencintai Boy?”
Melati ketawa kecil.
“ Benda tu subjektif Ain. Sukar aku nak terangkan. Perasaan tu akan datang sendiri tanpa disedari bila. Aku dapat berikan petanda mudah iaitu bila kau rasa dia  terlalu  istimewa”  terang Melati selaku  orang  yang  berpengalaman dalam hal ini.
Aku diam lagi. Sukar aku hendak menangani perkara ini.
“ Ia taklah sesukar mana. Kalau kau dah rindu sangat kat dia, segalanya akan selesai” ujarnya seakan tahu yang aku sedang memikirkannya.
“ Dari sekarang pandai-pandailah kau belajar merinduinya supaya semua ini tak jadi masalah pada kau dan tak menyeksa dia menunggu lama” ujarnya selamba sambil meninggalkan aku bersendirian.
Apakah semua ini harus dipelajari? Aku betul-betul dangkal dalam soal ini. Ahh! Malas aku nak saratkan fikiranku dengan perkara ini. Bukankah Melati kata perkara ini akan datang dengan sendirinya dan apa yang perlu aku lakukan tunggu sahaja. Arman? Kalau benar dia mencintaiku, dia akan sanggup tunggu jawapanku sampai bilapun.
                       
Lagu ‘For You’ berkumandang setiap pagi dan sudah pasti aku akan tersenyum sendiri. Satu senyuman yang sukar dimengertikan. Kata orang senyuman itu tandanya suka tapi adakalanya juga senyuman itu hanya untuk menggembirakan orang lain. Aku sekarang berada di pihak yang mana? Adakah orang yang gembira atau orang yang sedang menggembirakan orang lain? Pelik. Kenapa banyak sangat persoalan yang bermain difikiranku?
“ Kasihan Arman” suara mama memecah kesepian.
Pantas aku berpaling menatap mama.
“ Kenapa dengan dia?” soalku.
Dadaku berdebar. Ya Allah, semoga dia tiada apa-apa yang berlaku kepadanya.
“ Siang tadi dia kemalangan”
“ Kemalangan? Macam mana dia sekarang?” soalku risau.
“ Kemalangan kecil saja. Dia dah okey sekarang”

“ Syukurlah”
Aku menghela nafas lega. Tatapan mama menyedarkan aku dengan tingkahlakuku tadi. Segalanya di luar kawalanku dan secara mendadak. Aku jadi malu sendiri. Mama, aku pun tidak tahu kenapa aku risau sangat tadi?
“ Ain okey?” soal mama.
Aku mengangguk. Kualih pandanganku dari muka mama. Aku malu mama! Tentu saja mama hairan dengan kelakuanku tadi.
“ Mama, Ain masuk dulu”
Terus saja aku meninggalkan mama di situ. Lama aku termenung di katil. Akhirnya terjawab juga persoalan selama ini. Semoga keputusanku ini tepat. Sebelum mataku terlelap, aku nampak Arman tersenyum panjang.
           
                        Aku dan mama rancak berbual-bual di ruang tamu. Sudah menjadi kebiasaan setiap hujung minggu adalah masa untuk kami berbual panjang. Tentunya masa seperti ini kami lapang. Aku tidak bekerja dan mama pula sudah pasti butiknya tidak dibuka hari ini.
“ Assalamualaikum......”
Aku dan mama berpandangan. Tetamu mana pula yang datang ini.
“ Ain tengok siapa yang datang”
Aku menurut saja perintah mama. Kubuka daun pintu. Aku terus senyum.
“ Masuklah uncle, aunty” ujarku ramah.
Aku membawa mereka menemui mama di ruang tamu.
“ Apa khabar?” sapa aunty Sarah.
“ Alhamdulilah, sihat. Silalah duduk”
“ Kami datang ni ada hal penting nak cakap dengan Puan Samsiah” ujar uncle Yusuf memulakan bicara.
“ Kalau  macam tu, aunty dan uncle  berbincanglah  dengan mama. Ain masuk dulu” ujarku memohon diri.
Uncle Yusuf tersenyum dan mengangguk. Sudah beberapa kali aku memerhatikan gelagat mereka. Lama juga mereka berbincang. Entah perkara apa yang mereka bincangkan itu? Tapi aku tengok muka sepasang suami isteri itu nampak berseri-seri.
                       

Aku termenung panjang. Alunan muzik rancak itu langsung tidak menggangguku.
“ Ain, jom makan”
Aku tersentak. Kupalingkan mukaku, mama tercengat di depan pintu.
“ Mama makanlah dulu, Ain takde selera” ujarku perlahan.
Mama melangkah mendekatiku. Bahuku dipegang.
“ Mama faham perasaan Ain. Tentu sukar bagi Ainkan. Kalau mama jadi Ain, mama tentu akan pilih orang yang mama sayang” cadang mama seolah-olah mengetahui yang aku sedang membuat pilihan.
Kutatap mama. Dia senyum. Adakah mama tahu apa yang sedang aku fikirkan ini?
“ Kalau Ain suka dia, Ain kena terus-terang” nasihat mama.
Aku tetap diam. Aku tidak seharusnya merisaukan mama.
“ Ain dah dewasa, mama tahu Ain boleh buat keputusan yang terbaik untuk Ain. Apa saja keputusan Ain, mama terima” ujarnya lembut.
“ Mama....”
Aku terharu. Kupegang tangan mama. Terasa panas mengalir di pipiku. Aku menangis dalam senyuman.
“ Jomlah makan, dah dua hari Ain takde selera nak makan”
Aku mengangguk.
           
                        Aku berpaling  menatap  Arman  yang  sedang  tunduk  menatap simen. Entah apa yang sedang difikirkannya.
“ Aku tak sangka hal ni akan berlaku” ujarku perlahan.
“ Tentu awal-awal kau dah tahu hal ni kan?”
Arman mengangguk perlahan.
“ Kenapa kau tak cuba halangnya?”
Dia mengeluh berat. Ditatapnya aku.
“ Aku masih menanti jawapan kau” jawabnya ringkas.
“ Semua ni salahku juga. Sekarang apa harus kita lakukan?” soalku meminta pendapatnya.
“ Dia abangku Ain, fikiranku buntu sekarang” keluhnya.
Lama kami berdiam. Kulontar pandanganku jauh-jauh.
“ Aku tahu apa yang harus aku lakukan. Cepat atau lambat, cari aku kalau kau dah tahu jawapannya” putusku penuh yakin.

Arman menatapku.
“ Jom kita balik” ajakku.

Kubuka jendela luas-luas, biarlah angin malam berlegar-legar di sini. Kurenung sampul berwarna gelap itu. ‘ Dia’ datang tepat pada masanya. Mungkin ini pilihan terbaik untukku daripada melukakan hati sesiapa dan memudahkan Arman sendiri. Watie kata, selepas Asmam menyatakan hajatnya untuk melamarku, Arman terus masuk ke bilik menyendiri. Dia nampak pemuda itu menangis. Aku bangga kerana ada orang yang sudi menangis kerana aku dan aku sedar, sekalipun aku menolak

lamaran itu, Arman mana mungkin mampu mewujudkan percintaan kami. Dia sudah pasti tidak sanggup melukakan perasaan abangnya. Membina kebahagiaan sedangkan ada yang menderita tidak akan menyenangkan. Biarlah kami bercinta tapi bukan menjadi pasangan kekasih. Biarlah wujud perasaan sayang tanpa dimiliki dan memiliki.  Biarlah Melati kata ini satu pelarian, yang penting aku tahu apa yang harus aku lakukan.

                        DUA TAHUN KEMUDIAN..........

Aku menghempaskan tubuhku ke sofa. Letih tidak terkira.
“ Aku sakit hati betul dengan jiran baru kita sebelah tu. Sejak tadi aku nak tidur pun tak boleh” rungut Fida.
“ Dia tak sakit telingakah dengar radio macam tu?” tambah Nita pula.
Tiba-tiba sahaja aku teringatkan Arman buat aku tersenyum sendiri. Bagaimana dengan dia sekarang? Sudahkah dia menemui teman hidupnya? Terlalu lama aku tidak mendengar perkhabarannya.
“ Ain, kau tak pernah dengar radio diakah?” soal Fida menyedarkanku.
Aku geleng kepala.
“ Kalau aku jumpa dengan orang tu nanti, tahulah aku nak ajar dia” ujar Fida penuh geram.
Aku hanya senyum.
“ Teringin juga aku nak dengar” balasku seraya bangun.
Trang..... trang....... tang........ tatang! Langkahku terus mati.
“ Ahh... dia dah mulalah tu” rungut Nita.


Aku berpatah balik. Terus saja aku ke balkoni, Fida dan Nita mengekoriku. Aku terpaku menatap pemuda yang tersenyum menyambut kedatanganku. Betulkah apa yang kulihat ini? Akhirnya aku juga turut senyum membuatkan Fida dan Nita hairan.
“ Kau kenal dia Ain?”
Kepalaku mengangguk, namun mataku terus menatapnya dan bibirku masih mengukir senyuman. Dia juga masih senyum, seperti dua tahun lalu ketika aku mula menyedari apa yang dimilikinya begitu indah.
“ Fida, Nita, bukan radio tapi Hi Fi” ujarku membuatkan mereka bertambah binggung.
Mereka tentu tidak faham dengan apa yang aku katakan kerana hanya aku dan Arman saja yang tahu. Yahoo!! Jiran baruku sudah kembali.




-Tamat-
03/ 04/ 99




2 comments:

  1. terima kasih. sesungguhnya komen pembaca adalah inspirasi buat sy

    ReplyDelete