Wednesday, 25 May 2011

'143......Tiada Penghujungnya'




Bab 1

            Aku melihat sepasang kaki melayang tinggi melibas di awangan. Mudah sahaja menyentuh wajah – wajah yang tidak bijak mengelak. Sepak terajang silih berganti. Lagak drama aksi yang sering kutonton di kaca tv. Satu susuk tubuh berpusing – pusing dengan penuh bergaya lagak hero lalu sepakan padunya mendarat pada tubuh lawannya.
                       
“ Hoi..... berhenti bergaduh!” suara Cikgu Tehran, guru disiplin bergema di awangan. Cikgu Tehran berlari pantas bersama dengan rotan sebesar ibu jari serta diiringi oleh beberapa orang pengawas sekolah. Pelajar – pelajar lain termasuk aku bergerak ke tepi sedikit. Takut dilanggar oleh barisan pengaman sekolah. Kedatangan Cikgu Tehran langsung tidak menggentarkan mereka. Aku sempat menatap wajah – wajah samseng di sekolah ini. Ada celitan darah di bibir, muka yang nampak lebam dan pakaian seragam yang kotor.

“Buat satu barisan!” tegas sahaja suara Cikgu Tehran. Masing – masing patuh dengan arahan itu. Namun satu susuk tubuh itu masih terpacak di situ. Degil.

“Daniel cepat bergerak ke sini!” Sekilas pandang aku menatap wajah itu. Tampak tenang seolah – olah tiada apa yang sedang berlaku. Lagak seorang ketua samseng yang berkuasa sangat. Angkuh. Bongkak.
            “Sombong! Berlagak!” bisik hati kecilku. Wajah itu langsung tiada tergambar keinsafan. Bukan main lagi hebatnya dia mempertahankan diri sehingga sedikitpun aku tidak nampak kecederaan padanya. Aku yakin dialah yang beraksi hero sebentar tadi. Agaknya memang bergaduh hobinya sebab itu dia pandai sangat berlawan.                 
 “Pelajar lain pergi masuk kelas. Jangan tercengat kat situ!” sergahan Cikgu Tehran terus mematikan telaahanku terhadap pelajar itu. Aku bergerak bersama – sama kumpulan pelajar lain ke kelas. Kulupakan adegan lasak awal – awal pagi ini. Ketika aku mendaki satu – persatu anak tangga, tiba – tiba sahaja satu susuk tubuh gadis hampir – hampir merempuhku. Kami bertatapan seketika. Langsung tiada perkataan maaf selain pandangan tajamnya seakan menyalahkan aku pula. Kubiarkan sahaja gadis itu berlalu. Apabila aku amati wajah itu kembali, baru aku ingat. Patutlah nampak cemas, rupa-rupanya kekasih hatinya ditangkap oleh guru disiplin. Betapa serasi sifat mereka. Aku tersenyum sendiri.

Aku meletakkan beg sandangku di kerusi. Zatul dan Umie masih terjenguk – jenguk di tingkap bagai menyaksikan sesuatu yang menarik. Begitu juga pelajar perempuan lain di dalam kelas ini. Cuma aku tengok Fatin masih setia tidak berganjak dari tempat duduknya.
“Apa yang mereka tengok tu?” tanyaku meminta kepastian.
            “Tengok hero – hero sekolah nie beraksi” cerita Fatin. Aku mencebik bosan. Fatin hanya tersenyum.
            “Tadi saya tengok awak dekat dengan  mereka yang bergaduh tu, Liya. Bagaimana cedera tak Daniel? Hey.... sayang ler kalau muka handsome macam tu cedera. Hey... tak rela aku”  Zatul sudah mendekatiku bersama lagak manjanya. Aku buat aksi mahu termuntah buatkan Umie dan Fatin ketawa. Pantas aku tepuk kepala Zatul namun laju sahaja dia menepis.
“Muka handsome tak guna kalau perangai buruk sangat” kutukku.
            “Awak jangan kutuk dia... Liya. Nanti tak pasal – pasal awak jadi grienfriendnya” ancam Umie pula mengusikku. Zatul tersenyum meleret.
            “Uuwuukkk.... Selisih 44 malaikat. Kalau dengan budak tu, saya lebih rela jadi andartu tau” balasku spontan.
            “Jangan sombong Liya” tiba – tiba Ijoi pula yang menyampuk.
            “Takpe leh kalau Liya tak mahu. Bukan kamu tak tahu, dia nie kan berdarah sejuk, tunggul kayu. He.... he.... he....” lancang sahaja mulut Zatul menempelak aku. Sepanras kilat juga aku menepuk kepala Zatul. Kali ini dia tidak bersedia hendak menepisnya. Akibatnya dia terjerit kecil buatkan aku ketawa. Puas hati aku. Berdarah sejuk, tunggul kayu. Itulah gelaran yang Zatul berikan kepadaku sejak aku menolak salam perkenalan daripada Razib, abang sepupunya. Tatkala aku fikir balik, tidaklah teruk sangat gelaran itu jika dibandingkan sebagai perempuan terkedek – kedek. Memuja pemuda yang tidak sepatutnya. Buta membuat penilaian. Aku bukannya mengutuk atau mengumpat Zatul he..... he ..... he.....
            “ Hey .... yang awak tersengih – sengih tu kenapa?”Bahuku ditepuk Zatul. Aku tersentak. Belum sempat aku membalas dendam, Zatul sudah melarikan dirinya. Serentak itu juga Cikgu Amibah, guru mikroekonomi sudah terpacak di depan pintu. Aku mematikan niat untuk menyerang Zatul balik.
                       
          Rutin pengajaran pembelajaran bermula lagi. Aku membuat catatan ringkas untuk penerangan Cikgu Amibah. Untuk ingat kesemua apa yang telah dia terangkan adalah mustahil. Justeru itu, aku mesti membuat catatan atau nota ringkas. Abang Zekri pun ada mengingatkan aku agar memiliki nota ringkas sendiri. Dia kata kalau dapat belajar di universiti tidaklah terlalu kekok hendak buat catatan sendiri. Corak belajar di sekolah berbeza dengan belajar di universiti. Abang Zekri kata, belajar di universti agak santai. Kebanyakan pensyarah di depan akan cakap – cakap sahaja mengeluarkan seberapa banyak ilmu yang termampu. Jadi pandai – pandailah mencatat perkara yang perlu untuk dijadikan nota rujukan. Dalam santai – santai itu, ramai juga yang gagal malah ada juga pelajar yang dihalang daripada meneruskan pengajian. Itu info yang aku dapat daripada abang Zekri, idolaku. Aku mahu jadi seperti abang Zekri berjaya menjejakkan kaki ke universti. Setahun lagi sudah layak bergelar graduan siswazah. Pasti Mak Eton bangga akan kejayaan anak teruna tunggalnya itu.

               Tiba – tiba sahaja terbayang wajah ayah di mataku. Kalau aku berjaya seperti abang Zekri, pasti ayah juga akan berbangga. Sudah pasti aku dapat kerja yang lebih baik. Jadi tidak payahlah ayah bersusah payah lagi untuk menyara hidup kami berdua. Pada masa itu, aku mahu memenuhi segala keperluan ayah. Aku mahu memberikan kesenangan dan hanya kegembiraan buat ayah. Itu tekadku.
            “Liya, petang nie boleh tak awak join kami diskus di library” tanya Umie.
            “Petang nie tak boleh ler. Semalam dah saya tak pergi kedai. Nanti apa pula kata Kak Anie” ujarku serba salah.
            “Alaa... Kak Anie tu ok ler. Dia mesti faham punya”
            “Saya tak nak ambil kesempatan atas kebaikannya. Itu dah kira beruntung dia beri aku keja partime kat sana” luahku berterus terang.         
            “Yelah betul kata Liya tu. Takpe leh lain kali je awak join kami. Kalau kami jumpa bahan yang berkaitan nanti kami inform” putus Fatin lebih bertimbang rasa.
Aku tersenyum lebar.
            “Sayang Fatin...” Kupeluk bahu Fatin. Zatul mecebik.
            “Bila dan dapat gaji nanti, jangan lupa belanja makan tau sebagai balasannya” ujar Zatul memperingatkan aku.
            “ No problem. Dasar mata duitan”
            “Aduuhhhh...” Zatul terjerit kecil tatkala aku mencubit pipi gebunya. Belum sempat Zatul brrtindak balas terhadapku, aku sudah berlari meninggalkan mereka bersama lambaian tanganku. Zatul menarik muka masam. Umie dan Fatin hanya tertawa.    
“Bye.... esok jumpa lagi” Aku terus sahaja mencapai basikal di garaj lalu mengayuhnya.
            “Liya tunggulah saya” laungan Zatul tidak kupedulikan.
            “Aku dah lewat nie. Awak balik saja dengan Ijoi nanti” balasku sempat mengusiknya.
            “Liya.....!”
Nampak sangat Zatul tengah geram dengan aku. Aku melirik jam ditangan. Sudah hampir mencecah ke pukul 1.40 petang. Kupercepatkan kayuhan basikalku. Sampai sahaja di rumah, terus sahaja aku menggantung beg sandang ini. Kucapai tuala untuk mandi. Usai mandi dan solat zohor, aku bersiap – siap hendak keluar semula. Di meja sudah tersaji hidangan tengah hari. Begitu prihatin ayah. Pastinya awal – awal lagi sebelum dia pergi kerja, dia sudah memasak untukku. Aku hanya sempat meneguk segelas air sejuk. Kiranya balik nanti barulah aku menjamu selera bertemankan ayah.

Beg sandang yang sering kubawa ke hulu ke hilir sudah tergantung di bahuku. Kukunci pintu kemas – kemas. Kucapai basikal yang tersandar di laman lalu bergerak ke destinasi seterusnya. Nasib baik bahang mentari tidak terus menerus memancar kerana pada hari ini awan nampak agak tebal. Kudongak ke langit. Harap – harap cuaca hari ini elok sahaja. Janganlah hujan turun kerana ini akan menyukarkan kelancaran perjalananku nanti.
“Assalamualaikum Kak Anie” sapaku mesra kepada wanita yang sedang menanti kedatanganku dengan senyuman. Salamku disambut.
“Liya apa khabar hari nie?”
“Sihat....” Aku melirik ke arah jam di tanganku. Lima minit lagi ke pukul 2.30 petang. Mujur juga aku tidak terlewat. Beberapa orang pelanggan sedang berada di kedai ini sedang mencari – cari buku yang dihajati. Aku bergerak ke belakang ke arah sebuah bilik kecil yang menempatkan bahan – bahan bacaan yang perlu aku hantar sebentar nanti. Hari ini aku mesti menghabiskan penghantaran ke tiga lokasi utama sebelum balik semula ke kedai ini untuk mengambil surat khabar yang perlu aku hantar awal pagi esok. Aku memasukkan seberapa banyak naskhah buku dan majalah ke dalam beg sandangku. Dua ikatan sederhana tinggi bahan bacaan berada di kedua-dua belah tanganku untuk diletak ke dalam bakul basikal nanti.
            “Kak Anie, Liya pergi dulu”
            “Hati – hati Liya” seperti biasa itulah ungkapan Kak Anie yang cukup menyenangkan telingaku  mendengarnya. Aku mengayuh basikal mengikut perancangan otakku. Lokasi pertamaku, Plaza Muhibbah. Perlu menghantar majalah – majalah ini ke beberapa lot kedai di sana. Kuletakkan basikalku di tempat biasa lalu menguncinya.
            “ Good afternoon tauke Chan” sapaku kepada lelaki Cina setengah usia itu.
            “Oo....Amoi dah datang ya. Semalam kenapa Amoi tak muncul – muncul? Manyak lindu sama Amoi lah”Aku tersenyum. Tauke Chan memang suka mengusikku. Mujur juga Ah Chun tiada bersamanya ketika ini. Kalau tidak anak terunanya itu pun sepertinya suka menyakat. Bapa borek anak rentik. Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah ibarat mereka dua beranak Chan Chun he ... he ... gandingan sepadan.
            “Sorry ler tauke Chan. Saya ada hal semalam”
Aku meletakkan buku itu di kaunter sambil menanti tauke Chan menurunkan tandatangannya pada rekod sebagai bukti dia sudah menarima tempahan bulanannya.
            “Thanks tauke Chan. Kirim salam kat Ah Chun nanti. Jumpa lagi”
            “Take care Liya” Aku mengangguk – angguk. Aras satu bangunan ini tinggal sebuah kedai lagi. Kemudian aku harus bergerak ke aras tiga pula. Di sana ada tiga buah kedai yang perlu aku mampir. Paling akhir ialah di aras 5 yang menempatkan butik milik Datin Habibah, seorang usahawan wanita yang berjaya. Melihat persekitaran butik itu buatkan aku teruja. Cukup eksekulsif. Hiasan dalamannya menyenangkan dan tampak elit. Apatah lagi pencahayaan lampu – lampu antik dari luar negara itu sangat menarik. Sesuailah dengan citarasa tinggi pengunjung – pengunjungnya yang terdiri daripada golongan berada. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku lama – lama di sana untuk menjelajah di setiap ceruk butik itu. Mahu membelek – belek gaun – gaun dinner yang mewah  mencecah harga beribu ringgit. Pasti begitu selesa dan rasa hebat dapat memakai gaun – gaun cantik sebegitu. Malah aku juga berkesempatan melihat model – model terkenal menghabiskan masa di situ.

            “Afternoon....” sapaku menjengukkan kepalaku di sebalik pintu kaca itu.
            “Afternoon. Hey ..... Liya, come in” Seperti biasa Vinice yang akan menyambut kedatanganku sekali gus berurusan denganku. Aku tidak pernah sekalipun menemui Datin Habibah. Mana mungkin dia akan melibatkan diri untuk menguruskan hal yang remeh temeh ini. Pasti wanita itu penuh dengan keeleganan.
            “You punya bos tak datang ke hari nie Vinice? Kalau tak boleh juga saya curi – curi tengok mukanya” risikku. Vinice ketawa.      
            “Apalah you nie Liya. Bos perempuanlah. Kalau bos lelaki boleh ler you curi – curi tengok” balas Vinice tanpa berselindung.
            “Kalau lelaki tak berani saya nak curi – curi tengok nanti tak pasal – pasal lebam biji mata nie kena tumbuk ” balasku bergurau. Kali ini Vinice ketawa besar.
            “You nie lawaklah Liya” Aku hanya senyum sambil memerhatikan Vinice menurunkan tandatangan pada dada rekod itu.
            “Bos kat Itali masa nie. Ada show kat sana” cerita Vinice. Serta merta terbayang di mataku barisan hebat pragawan dan pragawati sedang menggayakan pakaian mewah di atas pentas. Pasti pertunjukan itu gilang – gemilang.
            “Mesti you punya bos tu seorang yang hebatkan”
            “So pretty macam Liya” Aku tersenyum. Vinice mengangguk – angguk. Sudah cukup menggambarkan kekagumannya. Alangkah seronoknya kalau aku berkesempatan terserempak dengan wanita itu. Wanita yang sudah berjaya melangkahkan kaki ke peringkat antarabangsa.
            “Ok ler Vinice saya pergi dulu. See you again” Senyuman menawan gadis kacukan India – Cina ini menghantar aku sehingga ke pintu. Datin Habibah pastinya seorang yang mementingkan kesempurnaan. Tengok sahaja butiknya itu sampailah kepada pekerja – pekerjanya semua nampak sempurna. Selepas ini aku perlu ke Taman Perumahan Damai dan kedai – kedai di sekitar perumahan itu pula. Aku terus sahaja mengayuh basikalbke destinasi seterusnya. Kira – kira lima minit mencecah ke pukul 5.00 petang, aku berjaya membereskan semua tugasanku. Aku kembali semula ke kedai Kak Anie untuk menghantar rekod penghantaran. Memandangkan esok bukan hujung minggu, maka aku tiada kerja tambahan. Pada hari Sabtu dan Ahad sahaja aku perlu bangun lebih awal daripada biasa untuk menghantar surat khabar ke rumah – rumah di sekitar Taman Perumahan Damai.
            “Assalamualaikum.. Ayah Liya dah balik” panggilku sambil meletakkan basikal di laman. Ayah muncul di depan pintu menyambut kedatanganku.
            “Bau masam anak ayah nie” perli ayah membuatkan aku ketawa. Aku memeluk bahu ayah. Hubunganku dengan ayah memang cukup akrab.
            “Bagaimana dengan kerja ayah hari nie?”
            “Baik. Kamu?”
            “Baik dan seronok dapat bersiar – siar” jawabku nakal. Ayah hanya geleng kepala.
            “Ayah kesian tengok kamu bersusah payah macam nie. Pasti meletihkan kamu. Kalau boleh kamy berhenti saja buat keja tu. Ayah tak mahu pelajaran kamu terganggu nanti” luah ayah gusar.
            “Liya tak letihlah ayah. Liya seronok buat keja tu. Lagipun bukan setiap hari Liya kena keja. Ayah jangan ler risau. Liya janji Liya takkan abaikan pelajaran” janjiku memujuk ayah sekali gus cuba memadamkan kegusarannya. Ayah menatapku. Aku senyum.
            “Lagipun ayah kan tahu Liya tak boleh duduk diam di rumah” pujukku lagi. Ayah senyum. Tangannya mengusap lembut rambutku. Sungguh kasih sayangnya tidak pernah padam untukku.
            “Pergi mandi cepat. Lepas solat kita makan. Liya kena buat homework sekolah lagi” bicara ayah mengingatkanku.
            “Ok bos” Aku membuat tabik hormat kepada ayah sebagai tanda patuh kepada arahannya. Ayah hanya geleng – geleng kepala. 
                       

2 comments:

  1. nape kecik sngt tulisan , merah pulak 2 .. sakit mata.. besarkan sikit jer ..

    ReplyDelete
  2. mizz wan sbnrnya nak adjust tulisan utk lbh besar, mizz wan bole bt kat papan kekunci mizz wan dgn menekan ctrl dan simbol + serentak. bole ler tulisan besar yg mana mizz wan mau. apapun tq sbb sudi bc karya sy

    ReplyDelete