Thursday, 26 May 2011

'143......Tiada Penghujungnya' 5



Bab 5

            “Aduhhh....!”
Dia menatap luka di dahinya. Bukan setakat luka tapi turut lebam. Perlahan-lahan ditampaln plaster pada luka tersebut. Dia mengerang kecil menahan sakit. Seketika dia tercengat di depan cermin menatap diri.
            “Berani dia cederakan muka sehandsome ni,” tuturnya sendirian. Wajah pucat gadis itu menjelma. Daniel tersenyum sendiri menampakkan lesung pipinya. Dalam  marah, ada lucunya. Pertama kali dia dipertemukan dengan gadis yang begitu cekal dan nekad. Gadis yang mampu melindungi dirinya sendiri. Gadis yang langsung tidak tertarik akan dirinya persis gadis-gadis lain yang menyesakkannya. Daniel menarik nafas panjang.
            “Daniel, jom makan,” kedengaran suara perempuan memanggilnya. Daniel melepaskan keluhan kecil. Beberapa minit kemudian dia sudah berada di ruang makan. Nenek Jah tersenyum menyambut kedatangan cucu tunggal kesayangannya itu.
            “Kenapa dengan dahi kamu tu?” Pandangannya tepat pada dahi anak muda itu. Daniel tersenyum lalu melabuhkan duduk berhadapan dengan perempuan tua itu. Persoalan itu dibiarkan sahaja.
            “Kamu bergaduh lagi ke?” Dia hanya tersenyum.
“Kamu bergaduhkan?” diulangi pertanyaan itu lagi. Tidak puas hati dengan diam pemuda ini.
“Taklah nek. Ada kawan yang tak sengaja baling batu mengena dahi Daniel petang tadi. Agaknya dia menyampah tengok Daniel,” jelasnya berseloroh.
“Lelaki ke perempuan kawan tu?” soal Nek Jah menyiasat.
Daniel berpandangan dengan Nek Jah. Dia hanya senyum. Susah hendak berterus terang.
            “Ni mesti perempuan. Masakan kawan lelaki nak baling-baling batu pula. Lagipun orang lelaki tak pernah pun cederakan cucu nek ni,” teka Nek Jah berandaian sendiri. Daniel tergelak kecil. Sememangnya bicara neneknya itu betul.
“Daniel laparlah nek, jom makan,” Nek Jah cukup faham dengan perangai cucu kesayangannya itu. Bukan dia tidak pernah menegur perangai Daniel yang selalu bergaduh itu, cuma Daniel yang degil tidak mahu mempedulikannya.
            “Lain kali perkenalkan pada nenek kawan perempuan tu. Mesti dia gadis yang baik,” luah Nek Jah dengan mata yang bersinar-sinar. Daniel tersedak. Laju dia meneguk air di dalam gelas. Dia mengurut -urut dada. Permintaan Nek Jah itu terlalu tinggi.
            “Baik apa... Ganas sungguh,” bisiknya.
            “Gadis yang tak suka lebih-lebih pada kamu itulah yang baik berbanding dengan mereka yang tergila-gilakan kamu,”nasihat Nek Jah.
            “Nek macam tahu-tahu pula apa yang Daniel fikir,” luahnya berterus terang.
          “Nek dah cukup kenal dengan kamu. Makanlah nasi tu,” Daniel patuh sahaja. Tidak mahu bercakap panjang risau Nek Jah akan fikir yang bukan-bukan. Paling penting dia tidak mahu perempuan itu tahu bagaimana perkenalannya dengan gadis itu. Nanti percuma dia akan dimarah. 
            Daniel menatap buku. Terus sahaja meletakkan kepala pada bantal empuk itu. Tenang matanya menatap siling.
            “Gadis yang tak suka lebih-lebih pada kamu itulah yang baik berbanding dengan mereka yang tergila-gilakan kamu,” suara neneknya terngiang-ngiang di telinganya. Daniel tersenyum sendiri.

################
           
            “Daniel, apa hal dengan dahi awak tu?” Farhan hairan menatap Daniel. Sudah dijangka tampalan di dahinya ini pasti mengundang persoalan rakan- rakannya. Pertama kali dia tewas bertarung.
            “Ada pergaduhan kecil berlaku semalam,” jelasnya. Mereka beriringan melangkah ke kelas.
            “Tengok di depan tu,” Daniel melontar pandangan ke hadapan. Gadis itu sedang melewati mereka. Tampak tenang. Langsung tidak menghiraukan keadaan di sekeliling. Seakan ada dunia indahnya sendiri. Daniel tersenyum. Ada terpalit cemburu di hatinya.
            “Dangerous girl,” luah Daniel. Farhan tertawa. Tidak sangka itu yang bakal di dengar dari mulut Daniel.
            “Tak pernah aku jumpa perempuan sedegil dia,”
            “Awak dengan dia serupa. Sekurang-kurangnya buku telah bertemu ruas,” usik Farhan. Dibiarkannya sahaja bicara rakannya itu berlalu. Anak matanya masih menyoroti langkah gadis itu.
            “Memang dia gadis yang berbisa,” bisiknya sendirian.
            Aku meletakkan beg di bahu kerusi. Kutoleh ke kiri ke kanan mencari kelibat Fatin, Umie mahupun Zatul. Masing-masing belum kelihatan lagi. Kulirik jam di tangan. Barangkali belum sampai. Kukeluarkan buku catatan. Mahu mempastikan segala tugasan telah diselesaikan.
            “Morning ...,”suara Zatul memenuhi ruang kelas. Aku melontar pandangan ke muka pintu. Zatul, Fatin dan Umie baru sampai.
            “Awal awak hari ni, Liya,” sapa Umie seraya mengambil tempat duduk di hadapanku.
            “Tak dapat tidur nyenyak semalam,” luahku. Mereka menatapku.
            “Kenapa?” suara Zatul sentiasa mendahului dari yang lain.
            “Saya rasa hari ini macam ada  malapetaka je,” tuturku selamba. Masing- masing terkejut mendengar bicaraku. Aku tersengih. Peristiwa semalam tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Daniel ada agenda terbaharu untukku.
            “Saya bergaduh dengan Daniel semalam. Dahinya luka,” ceritaku ringkas.
            “Apa? Dahi Daniel luka? Awak buat apa?” berderet soalan keluar dari mulut Zatul. Apa lagi bulat anak matanya menatapku. Masing-masing tergamam mendengar cerita yang aku sampaikan. Mungkin di luar jangkaan mereka aku dapat mencederakan pelajar terhebat dan termasyhur di sekolah ini. Sebenarnya aku pun tidak menyangka akan bertindak sejauh itu. Terasa segalanya berlaku sepantas kilat. Semua tidak dirancang.
            “Saya baling batu tepat mengena dahinya,” sambungku bercerita disambut dengan  keluhan mereka.
            “Awak betul-betul mengundang malapetaka, Liya. Daniel tak mungkin akan lepaskan awak begitu saja,” tutur Zatul melepaskan keluhan. Aku diam. Terasa aku telah masuk ke dalam mulut harimau. Masing-masing diam.
            “Dia pun ada buat salah,” bidasku membela diri.
Kalau Daniel tidak menyimbah mukaku dengan lumpur, semua ini tidak akan terjadi. Kalau dia tidak membocorkan rahsianya bahawa dialah gerangan si pemandu kereta sport merah itu, pasti aku akan melupakan peristiwa itu. Semua ini salah Daniel juga. Dia yang sengaja minta dihukum.
            “Apapun awak kena bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kalau boleh elakkan dari bertembung dengan dia. Harap-harap Daniel takkan cari awak,” luah Zatul berdoa. Tidak sedap hati juga aku mendengar bicara Zatul itu.
“Kenapalah budak itu muncul dalam hidupku,” keluhku sendirian. Walau apapun berlaku aku mesti menghadapi Daniel dengan berani. Dia juga manusia biasa seperti aku. Tidaklah menakutkan sangat berhadapan dengannya. Aku menarik nafas panjang. Daniel nampaknya memang ditakdirkan kita bermusuhan.
Loceng berdering kuat. Waktu persekolahan hari ini sudah sampai penghujung. Aku mengemaskan buku-buku ke dalam beg.
“Jangan lupa siapkan tugasan yang cikgu beri hari ni,” suara Cikgu Ghazali guru Pengajian Am berpesan.
“Baik cikgu,” sahut suara ramai.
“Berdiri semua,”
“Terima kasih cikgu,”
Cikgu Ghazali sudah melangkah ke pintu. Disusuli oleh rakan-rakan sekelas yang lain. Masing-masing bersaing mendahului meninggalkan kelas. Aku seperti biasa  akan membiarkan mereka pergi dahulu, kemudian baru aku menyusuli.
“Liya, kami akan melindungi awak,”Aku menoleh. Fatin, Umie dan Zatul sudah terpacak di sisiku. Aku tertawa terasa lucu dengan gelagat mereka.
“Percayalah takde apa -apa akan berlaku nanti,” tuturku yakin.
“Daniel  selalu bertindak di luar jangkaan,” tutur Zatul memperingatkan aku.
“Ini kawasan sekolahlah. Dia tak akan berani apa-apakan saya. Kamu baliklah,” arahku.
“Betul?” soal Umie meminta kepastian. Aku mengangguk.
“Kalau awak terjumpa Daniel nanti terus lari tau,” ujar Zatul memperingatkan aku. Aku tertawa kecil.
“Saya serius ni, Liya. Jangan lupa lari pecut tau,” ulang Zatul lagi. Aku hanya mengangguk.
“Baliklah,” arahku lagi.
“Kami pergi dulu, Liya. Hati-hati,” nasihat Fatin. Aku senyum. Kusoroti langkah mereka sehingga hilang dari pandangan mata. Aku mencapai beg. Kuatur langkah meninggalkan kelas yang masih dihuni oleh beberapa orang rakan yang nampak sibuk melangsaikan tugasan hari ini.
Aku berjalan santai menuruni anak tangga blok yang menempatkan kelas- kelas pelajar tingkatan enam. Beberapa blok bangunan sudah kulewati sebelum sampai ke garaj tempat letakn basikal yang dikhaskan untuk kemudahan pelajar -pelajar yang berbasikal.
“Dania Deliya!” Ada suara perempuan memanggilku. Aku mematikan langkah lalu menoleh ke belakang. Seorang gadis yang tidak kukenali datang mendekatiku.
“Apa yang awak buat pada Daniel? Awak ingat diri awak tu hebat sangat!” suaranya tegang dan keras. Tanpa salam perkenalan, dia terus ,menyerangku. Aku menatapnya hairan.
“Saya nak bayar hutang awak pada Daniel. Nah!”
Tiba-tiba dia menghayun kuat tangannya hampir-hampir menyentuh pipiku. Mujur sempat aku menangkapnya. Kugenggam kuat tangan gadis ini.
“Awak tak malu  pukul kaum sendiri hanya kerana seorang lelaki,” tuturku tegas. Dia menarik tangannya. Kedengaran dengusan kuat.
“Lepaskan tangan saya,” pintanya.
“Daniel tak layak menerima sebarang pembelaan. Kalau awak tak mahu dia disakiti lagi, tolong beritahu dia jangan ganggu hidup saya lagi. Hari ni saya lepaskan awak tetapi kalau kejadian hari ni berulang lagi, saya boleh buat awak jadi macam Daniel sekarang,” tegasku mengancamnya dengan pandangan yang cukup tajam.
Shit! Perempuan jantan,” kutuknya. Kulepaskan tangannya. Aku tersenyum sinis.
“Ingat pesanan saya tadi,” Kutinggalkan gadis itu dengan senyuman sinis. Biar dia bertambah sakit hati.
“Perempuan bodoh. Konon nak bela lelaki yang tak guna tu,” rungutku sendirian.
Aku mendengus. Betapa marahnya aku. Kenapa ada perempuan yang sanggup membelanya sedangkan memang layak Daniel diperlakukan sedemikian. Daniel tidak layak mendapat layanan yang baik. Dia bukan baik sangat pun. Panas hatiku berlanjutan sehinggalah aku sampai di halaman rumah. Mulutku tidak berhenti-henti mengomel sendirian mengutuk Daniel dan gadis itu. Sungguh aku tidak dapat menerima hakikat seorang gadis sanggup memukul gadis lain semata-mata kerana seorang lelaki. Dia telah menjatuhkan martabatnya sendiri, maruah seorang gadis. Memang tidak dapat diterima akal.
“Liya, apa yang dirungutkan tu?” Aku tersentak. Pantas aku berpaling. Abang Zekri hairan menatapku.
“Hey abang Zek, buat terkejut Liya je. Abang takde kuliah hari ni?” soalku semula.
“Hari ni cuma ada satu kelas toturial je pagi tad,i” jelasnya. Itulah istimewanya kalau dapat belajar di universiti. Abang Zekri kata selain kuliah, jadual yang lain boleh ditentukan ikut pilihan sendiri bersesuaian dengan waktu yang disenaraikan oleh pensyarah. Kalau mahu ada masa lapang pada hari-hari tertentu kenalah bijak menyusun jadual waktu sendiri. Pastikan sehari dua dalam seminggu padat dengan kuliah dan kelas toturial. Hari selebihnya boleh digunakan untuk berehat mahupun melakukan aktiviti yang dirancang. Sebab itulah ada segelintir mahasiswa dan mahasiswi sempat buat kerja ‘part time’. Kata abang Zekri lagi di universiti tidak sesusah yang dibayangkan. Kalau rajin dan berdisiplin pasti berjaya menggenggam segulung ijazah. Seronoknya kalau dapat belajar di universiti.
“Petang ni Liya free tak? Abang nak pergi memancing di sungai depan sana. Liya nak ikut tak?” pelawanya. Aku berfikir seketika, mempertimbangkan pelawaan abang Zekri. Seronok juga kalau pergi memancing. Sekurang-kurangnya aku boleh bersantai dan mengisi masa lapang hari ini tetapi tugasan yang diberikan oleh Cikgu Ghazali harus juga diselesaikan.
“Liya nak pergi tapi abang Zek janji akan tolong Liya siapkan tugasan P. A. Liya,” pintaku tanpa segan silu.
“Ohh... takde masalah,” putus abang Zekri bersetuju. Aku apa lagi tersenyum meleret. Bukan perkara baharu aku melibatkan abang Zekri dengan kerja-kerja sekolahku. Dia guru dan sumber rujukanku. Malah idola yang mendorongku terus belajar. Hubungan kami memang rapat bagai adik-beradik. Bahkan ayah kata, Mak Munah, ibu abang Zekri ibarat ibuku sendiri. Ayah memang banyak terhutang budi kepada Mak Munah kerana turut menjagaku semasa kecil khasnya ketika ayah bekerja. Ibu terlalu awal meninggalkan aku dan ayah. Tika ayah terkial-kial mengambil alih tugas seorang ibu, tika itulah Mak Munah menawarkan dirinya untuk menolong ayah menjagaku. Sebab itulah Mak Munah dan Pak Lah prihatin dan sayangkan aku seperti dia sayangkan abang Zekri. Begitu juga dengan ayah, abang Zekri sudah dianggap seperti anak sendiri. Jadi bolehlah dikatakan aku, ayah, abang Zekri, Mak Munah dan Pak Lah ialah sekeluarga.
Seumur hidup ini juga abang Zekri tidak pernah menyakiti hatiku malah jelas sekali dia sentiasa melindungiku. Aku tidak akan melupakan jasa keluarga itu kepadaku dan ayah.
“Jangan lupa petang lepas Asar nanti kita pergi,”
“Okey,” Aku dengan senang hati menyetujui  rancangan abang Zekri. Pasti tiada halangan  aku hendak pergi bersama abang Zekri. Seperti jangkaanku ayah langsung tidak membantah ketika aku mendapatkan keizinan daripadanya. Ayah percaya abang Zekri boleh menjaga dan melindungiku.
Tepat pada masa yang dijanjikan, aku dan abang Zekri bergerak ke destinasi yang dituju. Sepanjang perjalanan kami bersaing ingin mendahului perlumbaan. Aku mengayuh basikal sepantasnya. Tidak mahu kalah dengan abang Zekri. Aku tidak mahu abang Zekri menewaskan aku dengan mudah. Sekurang-kurangnya aku mahu jadi pencabar hebatnya.
“Daniel tengok tu...Dania,” Boney menunding jari kepada gadis dan seorang pemuda yang tampak riang mengayuh basikal. Gadis dan pemuda itu baru sahaja melewati mereka yang sedang melepak di warung itu.
“Dia dah ada pak we. Boleh tahan juga pak we dia,” puji Farhan.
Daniel tersenyum sendiri. Dia masih menatap gadis dan pemuda yang kian hilang dari pandangan matanya.
“Saya boleh rampas dia dari pemuda itu,” tuturnya penuh keyakinan. Farhan dan Boney tertawa.
“Daniel, awak dengan dia tak pernah pun berbaik. Tak semudah itu dia akan tertarik dengan awak,” balas Farhan. Daniel tertawa.
“Awak cabar saya? Okey ... mari kita bertaruh. Saya jamin sebelum kita tinggalkan alam persekolahan ini dia akan bersamaku bukan sebagai sahabat tetapi sebagai kekasih. Pasti dia akan jatuh hati padaku. Kamu tengoklah nanti,” tutur Daniel penuh yakin.
“Okey ... siapa yang menang dalam pertaruhan ini akan dapat apa saja yang diminta. Setuju?” tanya Farhan. Daniel mengangguk. Begitu juga dengan Boney. Nilai taruhan bukan masalah. Mereka punya wang yang banyak. Tangan ketiga-tiga pemuda itu bersatu tanda perjanjian termeterai. Daniel tersenyum. Ada misi yang perlu dilaksanakan sekarang.

No comments:

Post a Comment