BAB 9
Niyyaz Nazuha menatap beberapa
buah fail yang bertimbun di depannya. Banyak kerja yang perlu dibereskannya.
Sejak kebelakangan ini pula ada-ada sahaja masalah yang timbul. Sudah beberapa
kali pelawaan Nina yang mahu mengajaknya keluar terpaksa ditolak. Mujur juga Nina
memahami dirinya yang tiada kelapangan sekarang.
“Dah lama saya tak bersembang
dengan awak” tegur satu suara. Iwan muncul di hadapannya. Niyyaz Nazuha hanya
senyum. Kemudian kembali meneruskan tugasnya. Fail-fail di depan masih menjadi
tumpuannya.
“ Banyak kerja nampak” komen
Iwan melihat Niyyaz Nazuha tidak sempat melayan kunjungannya itu.
“ Maaflah Wan, saya betul-betul
sibuk sekarang” jelas Niyyaz Nazuha masih tidak sempat menatap wajah pemuda ini.
Pandangan Niyyaz Nazuha terfokus pada fail di tangannya. Terpaksa mengabaikan
kunjungan Iwan. Detik ini bukan masa yang sesuai hendak berbual kosong dengan
pemuda ini.
“Kasihan awak kena dera lagi.
Ada apa-apa yang perlu saya bantu?” soal Iwan cuba menawarkan khidmat tenaga kepada
Niyyaz Nazuha.Cuba menggurangkan bebanan kerja gadis ini sekali gus berkongsi
kesibukan kerja.
“Terima kasih tapi saya tak perlukan pertolongan” balas Niyyaz
Nazuha.
“ Kalau begitu saya tak mahu
ganggu awaklah. Nanti bila dah selesai segala-galanya saya datang balik. Banyak
perkara saya nak cakap dengan awak. Maklumlah dah lama betul tak berbual dengan
awak terasa rindu pula” ujarnya berjenaka sambil sempat mengenyitkan matanya
kepada Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha tersenyum lucu dengan sikap nakal Iwan. Apapun
dia berlapang dada lantaran pengertian pemuda ini.
“ Saya pergi dulu, Yaz.
Bye....” Niyyaz Nazuha mengangguk sambil memerhatikan langkah Iwan meninggalkannya.
Niyyaz Nazuha masih leka meneruskan tugasnya. Dia harus menyiapkan proposal
itu sebelum dikemukakan kepada pengarah projek. Semalam Idlan Raid bertanyakan
hal ini. Khuatir dirinya gagal menyiapkan perancangan projek mengikut tarikh
yang telah ditetapkan. Dia juga banyak terhutang budi atas tunjuk ajar Idlan
Raid selama ini.
Tidak dinafikan Idlan Raid
banyak membantunya selama ini. Sebagai orang yang lebih berpengalaman tentunya pemuda
ini lebih hebat darinya. Niyyaz Nazuha kagum kepada Idlan Raid kerana bersedia
menerima pendapatnya yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang ini. Terbukti
Idlan Raid seorang yang profesional dalam menangani setiap tugasan yang diberi.
Dia juga tidak mencampurkan urusan peribadi dengan kerja. Sebab itulah Niyyaz
Nazuha boleh bekerjasama dengannya biarpun sejarah silam itu sentiasa
membayangi mereka.
“Yaz......” Niyyaz Nazuha
mengalih pandangannya ke arah suara yang
memanggilnya. Dia tersentak dengan kehadiran Idlan Raid yang tidak sedari sejak
dari tadi. Tangan pemuda ini membimbit beg plastik yang berisi sesuatu lalu
diletakkan di atas meja di depan Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha menatap pemuda
ini dengan kehairanan.
“ Saya beli nasi bungkus untuk
awak. Saya tahu awak belum makan lagi” terangnya membuatkan Niyyaz Nazuha
terkedu. Niyyaz Nazuha menatap jam tangannya. Sudah waktu makan tengah hari.
Patutlah teman-teman yang lain sudah lenyap. Baru dirinya terasa pejabat ini
sunyi sepi.
“ Berapa?” pertanyaan itu meluncur
laju keluar dari mulutnya membuat air muka Idlan Raid berubah. Timbul rasa
bersalah dalam diri Niyyaz Nazuha kerana terlanjur mengutarakan pertanyaan
sedemikian.
“ Dengan saya pun awak nak
berkira” tingkah Idlan Raid kurang senang. Niyyaz Nazuha terdiam. Sedikit pelik
dengan tindakan pemuda ini. Dahulu Idlan Raid tidak pernah mengambil berat
tentang dirinya.
“ Dah jadi kewajipan saya”
tambahnya. Niyyaz Nazuha menatap pemuda ini. Aneh bicara pemuda ini.
“Saya belanja” putusnya. Sekali
lagi Niyyaz Nazuha menatapnya.
“ Tak apalah, anggap saja mama
yang belanja awak nasi ini” putusnya sedikit kecewa. Niyyaz Nazuha terdiam
panjang. Terkesima menerima kejutan yang dianggapnya kejutan terbesar buat masa
ini.
“Jangan lupa makan nanti awak
sakit. Okey... saya pergi dulu” Niyyaz Nazuha menatap Idlan Raid yang sudah memulakan
langkah meninggalkannya. Tiba-tiba sahaja Niyyaz Nazuha terasa mahu bersuara.
Ada perkara yang harus diungkapkan kepada pemuda itu.
“Idlan .....” panggilnya. Langkah
pemuda itu terhenti. Dia terus sahaja memalingkan mukanya ke arah Niyyaz Nazuha
semula.
“Terima kasih” Idlan Raid tersenyum
dan mengangguk lalu menyambung langkahnya kembali. Niyyaz Nazuha menatap nasi
bungkus yang masih berada di dalam beg plastik ini. Bau wangi menyerang rongga
hidungnya. Tatkala Niyyaz Nazuha membuka plastik ini hatinya tersentuh. Ternyata
Idlan Raid masih ingat tentang makanan kegemarannya. Terima kasih Idlan Raid!
****************
“Saya risau awak masih ada
hati pada bekas suami awak” ujar Nina meluahkan kebimbangannya sebaik sahaja Niyyaz
Nazuha bercerita tentang kebaikan pemuda itu kepadanya.
“ Saya tak setuju kalau dia
tak menderita seperti yang awak lalui dulu” tambahnya lagi dengan suara yang
cukup serius. Niyyaz Nazuha tersenyum panjang. Ditepuknya bahu Nina.
“ Awak memang seorang
pendendam rupa - rupanya ya. Tak elok macam ni...” ujar Niyyaz Nazuha mengusik
Nina sekali gus cuba meleraikan ketegangan diri Nina.
“ Jangan terlalu berlembut
hati, Yaz” rungutnya. Berkerut dahi
Niyyaz Nazuha menatap Nina. Tiba-tiba sahaja Nina emosional.
“ Idlan bukan jodoh terbaik awak”
tambahnya memberi peringatan. Niyyaz Nazuha tersenyum.
“Hey.... mengapa emosional
sangat ni? Saya tak kata pun mahu bersama
dengannya semula” ujar Niyyaz Nazuha cuba meredakan ketegangan yang mula
berputik dalam diri Nina.
“ Baguslah kalau awak dah
fikir macam tu” ujar Nina mula stabil. Niyyaz
Nazuha tertawa kecil. Terasa lucu dengan tingkahlaku Nina.
“Kalau awak sunyi, saya boleh
perkenalkan awak pada seseorang. Saya yakin dialah lelaki yang terbaik untuk awak. Paling penting dia memang
sesuai dengan awak. Percayalah.....” ujar Nina bersungguh-sungguh.
“ Mana awak jumpa orang sebaik
itu?” soal Niyyaz Nazuha mengusik Nina.
“ Dia kawan baik saya ketika
belajar di USA dahulu. Sekarang dia dah balik ke Malaysia. Saya nak perkenalkan
awak kepadanya” jelas Nina bersemangat.
“ Mana dia sudi berkawan
dengan saya. Sayakan orang yang terbuang” balas Niyyaz Nazuha merendah diri.
Nina mencebik bibir. Tidak bersetuju dengan pendapat sahabatnya itu.
“ Saya banyak cerita tentang awak
padanya. Dia begitu berminat nak berkenalan dengan awak. Awak janganlah
lepaskan peluang ini” pinta Nina sangat mengharapkan persetujuan sahabatnya itu.
Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Terlalu tinggi harapan Nina.
“ Bagaimana? Awak setuju?”
soal Nina meminta kepastiaan.
“Setuju apa?” soal Niyyaz
Nazuha tidak mengerti.
“Berkenalan dengan kawan saya”
laju sahaja Nina menyahut. Teruja sangat hendak memperkenalkan Niyyaz Nazuha
dengan sahabatnya.
“Saya tiada masa Nina” balas
Niyyaz Nazuha menolak hajat hati Nina secara lembut. Belum terfikir Niyyaz
Nazuha hendak mencari cinta baru.
“ Alaa... awak hanya perlu luangkan
sedikit masa. Itupun dah cukup. Bukan susah sangat pun” bidas Nina sudah
merancang pertemuan itu.
“ Nantilah saya fikirkan”
balas Niyyaz Nazuha tidak mahu menjanjikan kepastian. Sebenarnya malas dia mahu
bertengkar dengan Nina dalam hal ini. Niyyaz Nazuha sedar Nina tidak akan berputus
asa mendapatkan persetujuaan. Nina sentiasa serius dalam segala tindakannya. Dia
sangat mengenali sikap sahabatnya ini.
“ Orangnya sangat tampan sepadan
dengan awak. Rugi kalau awak lepaskan peluang
ini begitu saja” ujar Nina cuba mempengaruhi Niyyaz Nazuha.
“Mengapa awak tak mengenalinya
lebih lanjut?” duga Niyyaz Nazuha mengusik Nina. Nina terdiam. Kedengaran
keluhannya. Niyyaz Nazuha menatap wajah
Nina yang tiba-tiba sahaja mendung. ‘Adakah aku telah menyinggung perasaannya?’....
Niyyaz Nazuha berbisik pada dirinya.
“ Saya tak mampu menggantikan
tempat Halil dengan lelaki lain” ujar Nina perlahan. Niyyaz Nazuha melepaskan
keluhannya. Dipegangnya bahu Nina. Simpati kepada sahabatnya itu.
“Awak masih juga menyalahkan
diri, Nina” keluh Niyyaz Nazuha. Nina diam. Dilontar pandangannya jauh-jauh.
“Saya sering saja rindukannya...”
tutur Nina menusuk perasaan Niyyaz Nazuha.
“Sabarlah...” pujuk Niyyaz
Nazuha. Hanya itu yang mampu dilakukannya. Memujuk rawan hati sahabatnya. ‘Semoga
dirimu tetap tabah wahai sahabatku!’.... doa hati Niyyaz Nazuha yang tidak
mampu diluahkannya lantaran bimbang menambah kepiluan sahabatnya itu.
“Sekarang .... asalkan awak tak jadi seperti saya dah cukup” balas
Nina mula tersenyum.
Niyyaz Nazuha turut tersenyum.
Kebencian Nina kepada Idlan Raid masih tidak mampu dilontarkan jauh-jauh. ‘Degil
juga dirimu, Nina! Mudah - mudahan kedegilan awak ini tidak akan merantai
dirimu sekali gus dibelenggu kenangan
lalu itu’..... Niyyaz Nazuha bermonolog. Dia bimbang Nina tidak akan memberi
peluang pada dirinya memulakan kehidupan baru. Niyyaz Nazuha sangat kenal siapa
Nina. Nina degil persis dirinya.
Nina berharap agar Yang Maha
Esa membukakan hati Nina menerima mana-mana lelaki yang terbaik buat dirinya setelah
pemergian Halil dari hidupnya. ‘Engkau makbulkanlah permintaanku ini, ya Allah.
Permintaan hamba-Mu yang serba daif ini. Amin’ .... doa hati Niyyaz Nazuha
untuk sahabat baiknya itu. Nina berhak hidup bahagia.
*******************
Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri terkenang
perbualannya dengan Nina semalam. Gadis itu bersungguh-sungguh mahu
memperkenalkan dirinya dengan sahabatnya. Ternyata Nina cuba menghalang dirinya
dengan Idlan Raid bersatu kembali. Terlalu tinggi imaginasi Nina. Nina tidak merestuinya menjalin hubungan yang lebih
serius dengan pemuda itu sejak dahulu,
apatah lagi setelah perpisahan ini. Sesungguhnya perpisahannya dengan Idlan
Raid diterima dengan hati yang lapang. Kedinginan Nina terhadap Idlan Raid
bukan berlandaskan kebencian. Sebaliknya Nina mahukan kebahagiaan buat Niyyaz
Nazuha. Nina yakin pemuda itu tidak mampu mencintai sahabatnya itu. Niyyaz
Nazuha tersenyum lagi. Nina adalah sahabat
terbaiknya! Niyyaz Nazuha sedar dia tidak akan menemui sahabat sebaik Nina di
dunia ini.
“Hey..... apa hal senyum-senyum
sendiri ini?” sapa satu suara mengejutkan Niyyaz Nazuha. Salwa sedang
memerhatikannya.
“Tak ada apa - apalah....” ujar
Niyyaz Nazuha berdalih.
“Semalam pak we telefonkah? Nampak
ceria saja” usik Salwa pula. Niyyaz Nazuha tersenyum. Malas mahu melayan gadis ini
lebih-lebih. Salwa berlalu meninggalkannya di situ.
“Yaz....mari temankan saya makan!”
laung Iwan di depan sana.
“Lelaki ini tiada kerja lain asyik nak
makan saja. Fizikalnya masih juga melidi’ kutuk Salwa. Niyyaz Nazuha tergelak.
Matanya melirik menatap jam. Waktu rehat sudah tiba. Dipandang Iwan yang sedang
menanti persetujuannya itu.
“Awak pergilah...” arahnya menolak
ajakan pemuda itu. Iwan tidak banyak soal terus sahaja melangkah meninggalkan
pejabat. Tahap kelaparan pemuda ini sudah sampai kemuncak. Kalau tidak sudah
pasti Iwan akan mendesaknya pergi bersama sehingga kadangkala Niyyaz Nazuha
terpaksa mengalah.
Niyyaz Nazuha meneruskan tugas yang tidak
pernah langsai semuanya. Tidak tahulah bila segalanya akan beres. Terasa
pejabat sunyi sepi. Hanya dirnya sahaja yang masih bertahan di situ dan rakan
sekerja yang lain sedang melayan selera.
“Yaz......” Niyyaz Nazuha tersentak. Dia
sangat mengenali suara itu. Laju dia mengangkat muka lalu melontar pandangan ke
muka pintu arah datangnya suara itu. Tepat sangkaannya. Nina datang bersama
seorang pemuda. Nina sedang mengorak langkah ke arahnya sambil tersenyum lebar.
“Apa mimpi awak datang jumpa saya?”
usik Niyyaz Nazuha terkejut dengan kedatangan Nina. Namun dia sangat gembira
menerima kunjungan sahabatnya ini. Dapat dirasakannya bahawa Nina berhajat
hendak memperkenalkan dirinya kepada lelaki itu. Lelaki yang paling layak
menggantikan tempat Halil. Dia berlapang dada kerana hati Nina sudah terbuka mahu
menerima insan lain. Sekurang-kurangnya Nina tidak bersendirian lagi. Paling
penting Nina berhenti menyalahkan dirinya. Sungguh Niyyaz Nazuha gembira jikalau andaian yang
bermain di benaknya saat ini adalah kenyataan.
“Ada insan istimewa nak perkenalkan pada
awak” bisik Nana sambil melirik ke arah lelaki yang sedang tersenyum tercengat
memerhatikan mereka di ambang pintu itu. Melihat keceriaan Nina, Niyyaz Nazuha
ada merasakan memang tepat andaiannya.
“Jom makan tengah hari” ajak Nina. Tanpa
berfikir lama Niyyaz Nazuha terus sahaja bersetuju walaupun pada awalnya tadi dia
berhasrat tidak mahu menikmati hidangan tengah hari. Namun demi Nina, cepat
sahaja dia mengubah hasratnya itu. Niyyaz Nazuha mahu berkongsi kegembiraan
dengan Nina. Baru sahaja mereka hendak melangkah.....
“Yaz.....” Langkah Niyyaz Nazuha
terhenti. Serentak Niyyaz Nazuha dengan Nina berpaling ke arah suara itu. Idlan Raid sudah terpacak di depan mereka. Dia menyedari perubahan ekspresi wajah pemuda
ini. Begitu juga Nina. Bagaikan seteru yang bermusuhan sudah bertemu.
“Saya nak awak jumpa Izeq. Kami
tunggu di luar” suara Nina begitu tegas memecah
kesepian itu. Lantas menyambung
langkahnya meninggalkan Niyyaz Nazuha dan Idlan Raid di situ. Kelibat Nina dan
lelaki itu sudah tidak kelihatan lagi. Seperti yang dijanjikan mereka sedang
menanti Niyyaz Nazuha di luar sana.
“ Ya... apa halnya?” tanya Niyyaz
Nazuha memandang pemuda ini.
“Awak nak keluar makan?” tanya Idlan
Raid tanpa sempat menjawab persoalan Niyyaz Nazuha tadi. Niyyaz Nazuha mengangguk.
“ Tak apalah. Selepas rehat nanti
kita bincang ” putusnya. Niyyaz Nazuha mengangguk lagi. Kemudian laju mengatur
langkahnya mendapatkan Nina dengan temannya yang sedang menanti di luar sana.
Nina dan pemuda itu tersenyum menyambut kedatangan Niyyaz Nazuha.
“Yaz... ini Izeq, kawan saya yang
pernah saya cerita pada awak” jelas Nina memulakan bicara. Niyyaz Nazuha
menatap pemuda yang sedang tersenyum
itu. Jadi inilah gerangan insan yang ingin Nina perkenalkan kepada dirinya. Ternyata
andaian Niyyaz Nazuha tadi jauh meleset.
“ Gembira bertemu dengan awak” sapa
Niyyaz Nazuha dengan ramah.
“Saya juga” balas lelaki ini
masih dalam senyuman.
“ Saya banyak dengar cerita tentang awak
dari Nina” tambahnya lagi.
“ Betulkah? Dia memang mulut tempayan”
balas Niyyaz Nazuha mengutuk Nina. Mereka tertawa. Nina menjelingnya sambil
tersenyum.
“ Okeylah, jom kita makan” ajak Nina.
Mereka mengorak langkah berkunjung ke
restoran yang berdekatan dengan pejabat. Memesan hidangan tengah hari tanpa
mengambil masa yang lama. Kebetulan mereka sepakat dalam memilih dan menentukan
menu hidangan. Nampak keserasian Niyyaz Nazuha dengan Izeq. Malah satu petanda
yang baik. Sepanjang sesi makan berlangsung banyak perkara yang mereka bualkan.
Paling menarik berkisar tentang kerjaya. Masing-masing ada pengalaman yang
menarik. Ternyata Izeq seorang yang bermurah hati berkongsi pengalamannya yang terlalu
berharga. Pemuda ini seorang yang mudah mesra dan begitu sopan. Memang
mempunyai ciri-ciri persis yang pernah Nina cerita kepadanya dahulu. Dalam diam
Niyyaz Nazuha mula membuat perbandingan antara Izeq dengan Idlan Raid.
******
Niyyaz Nazuha melepaskan tubuhnya
ke tilam. Letih. Baru sahaja hendak melelapkan mata tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya
berdering. Dengan malas dia menjawab panggilan itu.
“Ya... Nina, saya baru saja
sampai di rumah” beritahu Niyyaz Nazuha.
“Bagaimana dengan Izeq? Okeykah?”
tanya Nina minta pendapatnya.
“Boleh tahan” balas Niyyaz
Nazuha ringkas.
“Awak setuju?” tanya Nina
tidak mahu melengahkan masa.
“Setuju apa?” soal Niyyaz
Nazuha tidak mengerti.
“Mengenali Izeq lebih jauh”
terang Nina. Niyyaz Nazuha tertawa. Nina...Nina...
“ Hey.... saya seriuslah”
rungutnya mendengar tawa Niyyaz Nazuha.
“ Nina..., masih terlalu awal saya
nak fikirkan perkara ini. Jangan-jangan
Izeq tu dah ada kekasih. Awak mana tahu” balas Niyyaz Nazuha. Pemuda
persis diri Izeq mustahil tidak menjadi rebutan dalam kalangan gadis. Dia
lelaki baik yang ada rupa.
“Sebelum saya kenalkan awak dengannya,
saya dah selidik segalanya. Selepas pertemuan tadi, Izeq memang tertarik pada awak” ujar Nina
serius. Nina serius mahu mempertemukan Niyyaz Nazuha dengan sahabatnya itu.
“Saya berharap kalian akan
saling mengenali diri masing-masing dengan lebih jauh lagi” pinta Nina penuh
harapan.
“Saya tak berani beri sebarang
jaminan pada awak mahupun pada Izeq”
balas Niyyaz Nazuha. Dia tidak mahu ada insan yang kecewa kerana dirinya.
Cukuplah Idlan Raid seorang yang jadi mangsanya.
“Awak fikirkanlah dulu perkara
ini. Bye....” Suara Nina lenyap di talian. Niyyaz Nazuha melontar pandangan
keluar jendela. Tiada apa yang dilihatnya selain bayangan kosong.
Perlahan-lahan Niyyaz Nazuha melepaskan keluhannya.
BAB 10
Niyyaz Nazuha menatap catatan
buku hariannya. Hari ini dia ada temu janji dengan Dato Ramlan. Menurut lelaki
itu, Niyyaz Nazuha akan diperkenalkan kepada anak mudanya yang bakal
bekerjasama dengan pihak SPPN bagi menggantikan dirinya. Sudah sampai masanya
Dato Ramlan memberi peluang kepada anak
mudanya yang baru balik dari Amerika itu. Dato Ramlan mahu mengundur diri dari
dunia perniagaan. Itu informasi ringkas yang Niyyaz Nazuha peroleh daripada
Dato Ramlan. Dia dengan senang hati menerima perubahan pucuk pimpinan itu. Tidak
kisah sesiapa sahaja boleh bekerjasama dengannya asalkan ikhlas, jujur dan
bertanggungjawab serta saling mempercayai. Semua itu amat penting kalau mahu
berurusan dengan dirinya.
Tepat jam 8.30 malam, Niyyaz
Nazuha tiba di ruang lobi hotel yang dijanjikan. Tempat biasa pertemuan mereka.
Dato Ramlan sedang menanti kedatangannya.
“Dah lama sampai, dato?” sapa Niyyaz Nazuha memulakan bicara.
“Baru sekejap tadi. Silalah
duduk” pelawa Dato Ramlan ramah.
“Terima kasih” sahutnya sopan.
Dia terus melabuhkan duduknya di hadapan Dato Ramlan. Mata Dato Ramlan liar memerhatikan sekeliling.
Dia sedang menanti kedatangan tetamu yang mahu diperkenalkan kepada Niyyaz
Nazuha seperti yang dimaklumkannya dalam telefon tempoh hari.
“Mana agaknya dia pergi.....”
keluhnya tidak senang duduk. Pantang baginya jika masa tidak ditepati. Ahli
korporat yang berjaya persis dirinya sangat menekankan kepentingan masa.
Disiplin diri yang tinggi sangat diutamakan.
“Kesesakan lalu - lintas,
dato” ujar Niyyaz Nazuha cuba menenangkan hati Dato Ramlan. Dato Ramlan
tersenyum. Dia tidak boleh bertenang jika gadis ini terpaksa menunggu lama
kedatangan anak mudanya itu. Bimbang tanggapan negatif terhadap anak mudanya
itu.
“Itu pun dia” ujar Dato Ramlan
menyentakkan Niyyaz Nazuha. Lapang dadanya tatkala melihat kelibat anak mudanya
sudah berada di pandangannya. Niyyaz Nazuha berpaling. Pemuda itu muncul di
muka pintu sambil liar memerhatikan sekeliling. Dato Ramlan mengangkat tangan
melambai ke arah anak muda itu. Niyyaz Nazuha tersentak. Seakan tidak percaya
dengan pandangan matanya saat ini. Pemuda itu semakin mendekati mereka. Tepat.
Memang dia tidak tersilap orang.
“Maaf terlewat” ujarnya kesal menatap
Dato Ramlan dengan hormat. Belum sempat bertentang mata dengan tetamu yang mahu
diperkenalkan kepadanya.
“Izeq, papa perkenalkan... Ini
Cik Niyyaz Nazuha wakil SPPN yang bekerjasama dengan syarikat kita selama ini”
tutur Dato Ramlan tidak mahu melengahkan masa lagi. Dato Ramlan bagai tidak
sabar – sabar mahu memperkenalkan anak mudanya itu kepada Niyyaz Nazuha. Pantas
sahaja Izeq berpaling ke arah gadis itu. Membutang pandangannya menatap gadis
itu. Pertemuan yang tidak disangka – sangka.
“ Yaz....” Niyyaz Nazuha
tersenyum. Tercuit hatinya menyaksikan gelagat Izeq yang nampak terkejut dengan
pertemuaan ini.
“ Kamu dah kenal dengan Cik
Niyyaz?” tanya Dato Ramlan yang juga kehairanan menatap tingkahlaku anak
mudanya itu. Laju Izeq mengangguk tanpa sempat bersuara.
“ Baguslah kalau begitu. Lebih
mudah bekerjasama nanti” tutur Dato Ramlan senang hati. Izeq mengangguk.
Bersetuju dengan bicara Dato Ramlan.
Memang itu yang diharapkannya. Lebih mengenali lebih mudah bekerjasama.
“ Hey.... tak sangka kita akan
dipertemukan lagi. Awak apa khabar?” tanyanya ramah.
“ Alhamdulillah... baik. Awak
sihat?” soal Niyyaz Nazuha pula.
“ Seperti yang awak tengok sekarang.
Saya gembira dapat bekerjasama dengan awak” luahnya tersenyum lebar. Niyyaz
Nazuha mengangguk. Berbesar hati dengan bicara Izeq.
“Cik Niyyaz seorang pegawai
yang berkebolehan. Jangan lepaskan peluang belajar banyak perkara darinya” puji
Dato Ramlan buat Niyyaz Nazuha segan. Dato Ramlan lebih senang memanggil
dirinya sebegitu formal, walaupun sudah pernah ditegur oleh gadis ini. Ternyata
Dato Ramlan begitu hormat orang di sekelilingnya tanpa mengira darjat keturunan
serta status seseorang itu. Begitu terserlah sikap terpuji dalam diri Dato
Ramlan. Niyyaz Nazuha yakin Izeq juga mewarisi sikap sedemikian daripada
ayahnya.
“Taklah sehebat mana, dato”
ujarnya merendah diri.
“ Awak beruntung dapat pujian papa.
Saya yakin awak memang berkebolehan. Kalau tak masakan papa puji dan mahu
bekerjasama dengan awak. Papa saya ni susah juga nak puji orang” tutur Izeq
membuatkan Niyyaz Nazuha dan Dato Ramlan tersenyum.
“ Kalau kamu dan Cik Niyyaz
dah saling mengenali, lagi mudah kerja papa. Tak payahlah papa susah payah nak
terangkan segalanya. Kamu dan Cik Niyyaz bincanglah apa yang perlu. Papa minta
diri dulu” ujar Dato Ramlan mengundur diri sekali gus memberi peluang kepada
Niyyaz Nazuha dengan Izeq berbual panjang.
“Dato, bagaimana dengan perancangan
yang dulu?” soal Niyyaz Nazuha. Pertukaran pucuk pimpinan memungkinkan juga ada
perubahan yang perlu dilakukan.
“Cik Niyyaz, mulai hari ini kamu
tak payah berurusan dengan saya lagi. Kalau ada apa-apa yang perlu dibincangkan
kamu berdua berbincang saja. Sekarang segala urusan perniagaan saya dah
serahkan kepada Izeq termasuk projek kerjasama antara SPPN dengan Syarikat
Restu” terang Dato Ramlan panjang lebar. Niyyaz Nazuha mengangguk faham.
Pandangannya kemudian beralih kepada Izeq. Dia mengangkat keningnya kepada pemuda
itu. Sekadar mahu menguji Izeq.
“Mengapa? Awak tak yakin dengan
kemampuan saya?” duga Izeq tersenyum panjang. Niyyaz Nazuha menggeleng dan
tersenyum. Dia tidak pernah memandang rendah dengan kemampuan dan kebolehan
anak muda ini.
“ Orang muda mestilah lebih
hebat. Saya yakin kalian boleh melakukan yang terbaik” balas Dato Ramlan
tanpa sempat Niyyaz Nazuha menjawab persoalan Izeq tadi.
“Kalian berbincanglah perkara
yang perlu. Papa pergi dulu” ujar Dato Ramlan memohon diri lalu melangkah
meninggalkan Niyyaz Nazuha dengan Izeq bagi meneruskan perbincangan. Niyyaz
Nazuha memandang Izeq.
“Sekarang kita nak mulakan
perbincangan dari mana? Jika ada sebarang kemusykilan silalah tanya” jelasnya dengan
tenang.
“Wah..... seriusnya...!” Izeq
buat – buat lagak gentar.
“Saya sangat serius dengan kerja
saya” luahnya berterus-terang.
“Saya tahu sebab itu papa yakin
dan suka dengan cara awak bekerja. Kalian pasti sering sependapat” komen Izeq
mengulas pendirian Niyyaz Nazuha serupa dengan ayahnya.
“Dan satu lagi, masa itu
terlalu berharga pada saya. Jadi saya sangat mementingkan ketepatan masa dan
akan mempastikan semuanya berjalan mengikut perancangan” tambahnya. Izeq tersenyum
menatap Niyyaz Nazuha. Terasa tersindir dirinya.
“Saya kagum dengan awak, Yaz.
Rasa bertuah dapat bekerjasama dengan awak. Maaf saya terlewat tadi tapi saya
ada alasan sendiri” balas Izeq membela diri. Tidak tega dirinya dipersalahkan
sepenuhnya.
“Saya hairan mengapa dato
terlalu percayakan awak sehingga sanggup melepaskan segala-galanya pada awak”
duganya menguji Izeq. Mahu mengukur
sejauhmana tahap kesabaran yang dimiliki oleh pemuda ini.
“Mudah saja. Sayakan anak tunggal Dato Ramlan pemilik Syarikat
Restu. Kalau bukan saya pewaris tunggal, siapa lagi yang harus dipercayainya? Awak tak
yakin akan kebolehan saya?” soal Izeq. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri.
“Tunggu dan lihat saja. Saya akan
buktikan siapa saya. Suatu hari nanti pasti awak akan tabik hormat kepada saya”
ujarnya dengan semangat kental yang tinggi.
“Saya tak nak dengar cakap
kosong saja” balasnya masih mahu menguji Izeq. Izeq tersenyum. Tidak mudah
melatah walaupun kebolehan dirinya dipertikaikan oleh gadis ini.
“Okey... awak tunggu saja
nanti. Cuma dua perkara saja yang saya perlukan dari awak” pinta Izeq tanpa
segan silu.
“Apa?” pantas Niyyaz Nazuha
bertanya.
“Kepercayaan awak dan awak harus
memenuhi permintaan saya sebagai ganjarannya. Bagaimana setuju?” soal Izeq
bertanyakan persetujuannya.
“ Kepercayaan saya boleh
berikan setelah awak membuktikan kebolehan awak, tapi tentang permintaan awak, saya
tak janji akan tunaikannya” balasnya. Izeq ketawa.
“Saya belum cakap lagi awak dah
beri jawapannya. Mengapa? Awak risau tak mampu melakukannya?” soal Izeq lagi.
“Saya tak nak hampakan
permintaan orang sebab tiu saya tak suka berjanji” terang Niyyaz Nazuha jujur.
“Bagus. Saya suka dengan cara
awak” puji Izeq.
“Okeylah... saya rasa perbualan
kita dah jauh menyimpang. Saya nak mulakan perbincangan tentang projek usahasama
SPPN dengan Syarikat Restu. Awak dah bersedia?” soalnya meminta kepastian.
“Baiklah puan...” sahut Izeq
buat Niyyaz Nazuha tersenyum.
Niyyaz Nazuha terus sahaja memberikan
penjelasan detail tentang projek usahasama SPPN dengan Syarikat Restu. Pada
peringkat permulaan, dia perlu memberikan penerangan terlebih dahulu tentang projek
walaupun dia yakin Izeq sudah membaca sebahagian perjalanan projek tersebut. Kelihatan
Izeq begitu tekun mendengar setiap hujah yang sampaikan oleh Niyyaz Nazuha. Perwatakan
pemuda ini terlalu berbeza ketika berbual kosong dengannya tadi. Melihat kesungguhan
Izeq ini, dia yakin pemuda ini mampu merealisasikan kata-katanya sebentar tadi.
“Okey.... awak dah faham?”
soalnya. Dia menatap Izeq. Laju sahaja Izeq mengangguk. Dia yakin latar
belakang keluarga Izeq mempengaruhi kebolehan anak muda ini. Tidak sukar bagi
Izeq memahami semua ini. Inilah dunia Izeq. Pandangan mata Niyyaz Nazuha beralih
ke arah jam tangannya. Waktu sudah mencecah ke pukul 10.00 lebih. Malam semakin
berganjak. Sepatutnya dia sudah berehat di rumah sekarang setelah sepanjang
hari mengerah kudratnya.
“Saya rasa setakat ini saja
dulu. Untuk perkembangan lanjut kita akan bincang kemudian” saran Niyyaz Nazuha.
Izeq mengangguk setuju. Fail – fail dikemas lalu disimpan di dalam briefcase. Izeq leka memerhatikan gelagatnya.
“Betulkah awak tak nak penuhi
permintaan saya?” soal Izeq masih berkisar tentang perbualan awal mereka tadi.
“Besar sangatkah permintaan awak?”
soalnya.
“Permintaan saya mudah saja. Awak hanya perlu menyatakan
persetujuan awak” terangnya. Niyyaz Nazuha diam.
“Saya jarang sangat nak buat permintaan terutama tentang permintaan
saya sekarang. Saya tak pernah cakap pada orang lain. Awaklah orang yang
bertuah kerana dapat tawaran ini. Rugi kalau awak menolak. Bagaimana? Awak setuju?” desaknya persis
mengharapkan persetujuan gadis itu.
“Selalunya perkara yang
mudah susah nak ditunaikan. Biarlah saya
fikir dulu” ujar Niyyaz Nazuha tidak mahu bertindak terburu – buru. Pengalaman
lalu banyak mengajarnya agar lebih berhati – hati. Telajak kata buruk padahnya.
“Saya nak tanya awak” ujar
Niyyaz Nazuha tiba-tiba.
“Awak nak tanya apa?” soal
Izeq laju sahaja menyahutnya.
“Kita bukan kenal lama pun. Mengapa
awak beriya – iya nak saya tunaikan
permintaan awak?” tanya Niyyaz Nazuha cuba memecah kesangsian. Bimbang jika pemuda
ini ada niat buruk yang tersembunyi. Dia bukan hendak berprasangka buruk namun
sekadar berhati – hati. Zaman moden sekarang susah hendak bertemu dengan orang
yang sangat jujur dan ikhlas. Maka tidak harus sewenangnya mempercayai orang
lain, apatah lagi orang yang baru sahaja dikenali.
“Saya dapat merasakan awaklah
orang yang layak menunaikannya” ujar Izeq dengan yakin. Niyyaz Nazuha mencebik
bibir. Tidak mahu dirinya begitu mudah termakan kata – kata manis yang berupa sanjungan
dan pujian yang keluar dari mulut anak muda ini. Segelintir kaum Adam memang
bijak berbicara. Ibarat lembut gigi dari lidah. Bahaya.
“Awak rasa saya pemurah
sangatkah nak penuhi hajat orang lain?” soalnya sinis. Izeq tertawa kecil.
Jelas di matanya Niyyaz Nazuha seorang yang terlalu berhati – hati.
Pendiriannya tegas. Sukar hendak digugat.
“Banyak istimewanya sebab itu saya
nak awak tunaikan hajat saya” luah Izeq tidak berselindung. Niyyaz Nazuha
mencebik. Bicara pemuda ini tidak menyenangkannya. Janggal juga dengan sikap
telus Izeq yang tiada sempadan. Berterus terang semahunya.
“Awak jangan merepeklah. Sejak
tadi awak asyik kata permintaan. Hey.... apa sebenarnya permintaan awak?” tanyanya
tidak dapat menahan sabar lagi.
“Saya tak boleh cakap selagi awak
tak setuju” sahut Izeq masih mahu berahsia.
“Saya juga takkan beri kata
putus selagi awak tak berterus terang dengan saya” balasnya berdegil. Izeq
tertawa lagi.
“Betul kata Nina awak ini
boleh tahan degilnya” ujar Izeq tersenyum.
“Apa lagi yang dia cerita pada
awak?” soal Niyyaz Nazuha cuba mengorek rahsia mereka. Mana tahu Nina bercerita
lebih-lebih tentang dirinya. ‘Nina...ada masanya tidak boleh dipercayai. Silap-silap hari bulan dia jual
namaku’.... kutuk hati kecil Niyyaz Nazuha.
“Terlalu banyak” balasnya
ringkas.
“Cakaplah....” gesa Niyyaz Nazuha
tidak senang hati dirinya telah menjadi bahan bualan antara Nina dengan pemuda
ini. Izeq geleng kepala sambil tersenyum.
“Awak memang suka berahsia” keluh
Niyyaz Nazuha geram.
“Seperti awak juga” balas Izeq
mengenakannya.
“ Alaa... malaslah saya nak
cakap dengan awak. Okeylah... saya balik dulu. Kalau ada perkara yang perlu
dibincangkan berkaitan projek ini, awak telefon saya ya” pesan Niyyaz Nazuha.
“ Telefon awak semata – mata
berkaitan projek? Perkara lain tak boleh bincangkah?” soalnya mengusik Niyyaz
Nazuha. Tajam pandangan Niyyaz Nazuha menatap Izeq yang tersengih panjang.
“ Telefon saya bukan talian hotline.
Kalau awak ada hal lain nak bincang dengan saya, boleh tak jadi masalah asalkan
jangan bercakap tentang permintaan awak. Saya dah bosan mendengarnya” ujar
Niyyaz Nazuha menggariskan syaratnya. Izeq tertawa. Pelik. Terdetik kehairanan dalam
hati Niyyaz Nazuha kerana dirinya boleh berbual panjang dengan anak muda ini.
“Apa salahnya, Yaz” balasnya
masih berdegil.
“Saya balik dululah” ujar Niyyaz
Nazuha meminta diri.
“Biar saya hantar awak” ujar
Izeq menawarkan khidmatnya.
“Kereta saya awak nak suruh
siapa hantar ke rumah?” soal Niyyaz Nazuha bingung memikirkan pelawaan Izeq. Kemudian
memulakan langkah beredar dari situ. Izeq tersenyum sambil memerhatikan langkah Niyyaz Nazuha yang
semakin jauh meninggalkannya. Hatinya berbunga riang. Gembira sangat bertemu
dan dapat berbual – bual dengan gadis itu.
Cerita ni dulu tajuk lain kan.
ReplyDeleteya cite ni judu awal 'Tembok Kasih'. ada ckit pertambahan, watak n pengolahan cite jg ckit berbeza
ReplyDelete