BAB 11
Niyyaz Nazuha mengesat peluh di dahi.
Kemudian melabuhkan duduknya di kerusi seraya menarik nafas perlahan - lahan.
Sungguh terik sinaran matahari di luar. Baru terasa lega berada di dalam pejabat
yang terpasang dengan penyaman udara.
“ Hey.... awak pergi mana tadi?” Iwan
muncul di depannya dengan pertanyaan.
“ Saya ada temu janji dengan Izeq” balas
Niyyaz Nazuha sambil menyelak fail yang dibawa tadi untuk tindakan selanjutnya.
Perbincangan mereka hari ini berjalan lancar.
“Anak muda Dato Ramlan?” soal Iwan.
Niyyaz Nazuha mengangguk.
“Sejak akhir-akhir ini bukan main
rapatnya awak dengannya” ujar Iwan memberi ulasan berbaur cemburu.
“ Hey... jangan fikir yang
bukan-bukanlah. Saya dengannya ada urusan bisnes syarikat” tingkah Niyyaz
Nazuha. Iwan tersengih panjang.
“ Lega saya mendengarnya” tambah Iwan
berlapang dada andai Niyyaz Nazuha tidak terpikat dengan anak teruna Dato
Ramlan itu. Izeq bukan calang – calang lelaki. Sudah diketahui umum bahawa
pemuda itu adalah pewaris tunggal Syarikat Restu. Ringkasnya, Izeq lelaki
sempurna idaman ramai wanita. ‘Hey.... anak muda ini merepek memanjang. Masih
juga dengan tabiatnya yang suka menyakat aku’.... getus hati Niyyaz Nazuha
geram.
“Saya pergi dulu. Ada kerja
luar hari ini” terangnya. Niyyaz Nazuha hanya mengangguk dan membiarkan Iwan
beredar pergi.
“Yaz...., Idlan cari awak
tadi” Salwa terkocoh - kocoh mendekatinya. Niyyaz Nazuha menatap gadis itu.
“Saya dah beritahu dia awak
ada perbincangan dengan Izeq” jelas Salwa.
“Dia ada tinggalkan sebarang
pesanan?” soal Niyyaz Nazuha. Salwa geleng kepala. Niyyaz Nazuha melepaskan
keluhan kecil. Anak matanya melirik ke arah interkom di sisinya. Dia berharap
agar pemuda itu menghubunginya. Niyyaz Nazuha dapat merasakan ada hal penting
yang Idlan Raid hendak bincangkan dengannya. Jikalau tidak masakan lelaki itu
mencarinya.
“Saya pergi dulu” suara Salwa
mengejutkannya. Salwa sudah berada di depan sana. Laju sahaja gadis itu bergerak
meninggalkannya. Dipandang lagi interkom itu. Masih sepi. Mungkin Idlan Raid fikir
dia belum kembali ke pejabat lagi. ‘Ahh... jikalau dia betul-betul berhajat mahu
berurusan denganku sudah pasti dia akan datang
mencariku lagi’... putus hati Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha mengingatkan
dirinya agar bertenang sahaja. Tidak perlu risaukan sangat tentang hal ini. Pemuda itu tahu
apa yang harus dilakukannya.
******
Niyyaz Nazuha menatap fail di depannya.
Idlan Raid sudah bersetuju dengan perancangan yang dibentangkannya sekejap tadi.
Syukurlah segalanya berjalan lancar.
“Bila awak nak bentang depan
pengarah?” soal Idlan Raid.
“Mungkin dalam seminggu dua ini
sebab saya nak pastikan semuanya sempurna sebelum dimaklumkan kepada mereka”
balas Niyyaz Nazuha yang kelihatan sibuk
dengan fail – failnya sehingga tidak sempat memandang Idlan Raid ketika
menjawab pertanyaan pemuda ini.
Niyyaz Nazuha meneliti fail di
depannya. Setakat ini semuanya memuaskan. Inilah hasil kerja kerasnya selama
ini. Tiba-tiba sahaja deringan telefon bimbitnya memecah kesepian. Niyyaz
Nazuha menjawab panggilan itu. Idlan Raid memfokus pandangannya pada gadis ini.
“Assalamulaikum.... ya.. Izeq.
Awak di mana sekarang?” sapa Niyyaz Nazuha ramah. Pandangan Idlan Raid yang
menatapnya membuatkan Niyyaz Nazuha kaku.
“ Tak bolehlah. Sekarang saya
sibuk. Lain kali sajalah, ya” ujar Niyyaz Nazuha terpaksa menolak pelawaan Izeq
yang mengajaknya makan bersamanya tengah hari nanti.
“Awak dah terima faks dari
saya? Bagaimana? Okey?” soal Niyyaz Nazuha.
Niyyaz Nazuha tersenyum
sendiri. Lapang dadanya tatkala Izeq berpuas hati. Hadi masih menatapnya. Ekspresi
wajah Idlan Raid tika ini sukar ditafsir. Mungkin pemuda ini tidak senang
perbincangan mereka diganggu. Niyyaz Nazuha dapat merasakan semua itu.
“ Okey... saya telefon awak
nanti” ujar Niyyaz Nazuha berjanji kepada pemuda itu, lantas mematikan
perbualan itu. Tidak senang hatinya dengan pandangan mata Idlan Raid. Sepi
seketika. Niyyaz Nazuha menunggu-nunggu jikalau ada perkara yang hendak bincangkan
dengannya lagi.
“Saya tengok awak dengan anak
muda Dato Ramlan itu semakin rapat sekarang” komen Idlan Raid di luar jangkaan
Niyyaz Nazuha. Laju Niyyaz Nazuha mengangkat mukanya memandang Idlan Raid.
“Eloklah awak berhati-hati. Saya
khuatir berlaku sesuatu yang tak elok nanti” ujarnya memperingatkan gadis itu.
“ Terima kasih kerana mengingatkan
saya, tapi saya tahu Izeq bukan jenis
lelaki seperti itu” ujar Niyyaz Nazuha memaklumkan penilaiannya terhadap Izeq.
Pemuda ini menatapnya persis
dia telah melakukan kesalahan besar. Sempat Niyyaz Nazuha memikirkan bicaranya
sebentar tadi. Tiada yang silapnya. Dia bercakap berdasarkan penilaiannya. Niyyaz
Nazuha yakin Izeq bukan jenis manusia yang tidak bertanggungjawab atau suka
mengambil kesempatan ke atas perempuan. Niyyaz Nazuha dapat melihat keikhlasan
terpancar di wajah pemuda itu.
“ Ada yang perlu kita
bincangkan lagi?” soal Niyyaz Nazuha memecah kesepian. Idlan Raid tersentak.
Perlahan-lahan dia menggeleng.
“ Saya keluar dulu....” ujar
Niyyaz Nazuha memohon diri. Niyyaz Nazuha meninggalkan Idlan Raid di bilik itu.
Banyak perkara yang perlu Niyyaz Nazuha selesaikan. Justeru dia perlu bijak
menggunakan masa sebaik-baiknya.
******
Kereta yang dipandunya membelok
memasuki laman parkir. Petang ini ada mesyuarat di pejabat. Niyyaz Nazuha sudah
bersiap sedia dengan perkara yang perlu dibangkitkan. Tatkala kakinya melangkah
memasuki bangunan itu, Niyyaz Nazuha bertembung seorang perempuan cantik yang
baru sahaja keluar dari SPPN. Mereka sempat bertukar senyuman.
“ Saya ada cerita menarik
untuk awak hari ini, Yaz” jelas Iwan begitu teruja. Niyyaz Nazuha menatapnya.
Hairan juga dengan gelagat anak muda ini.
“ Hebat.... memang hebat.
Betul-betul hebat. Memang saya dah jangka dia takkan pilih orang sebarangan”
cerita Iwan penuh kekaguman. Niyyaz Nazuha hanya memasang telinga mendengar
Iwan berbicara sendiri. Sebetulnya dia kurang berminat hendak ambil tahu hal
orang lain. Bukan kecenderungannya hendak bergosip.
“ Patutlah susah sangat nak
tunjukkan perempun itu kepada umum. Rupa - rupanya bukan calang-calang orang”
tambah Iwan masih dengan kekagumannya.
“Apa yang menarik sangat ni?”
soal Niyyaz Nazuha acuh tidak acuh.
“ Nampaknya kali ini banyaklah
orang kecewa. Saya kasihan juga pada Salwa” keluhnya tiba-tiba. Niyyaz Nazuha
jadi keliru. Bicara Iwan semakin sukar difahaminya.
“Hari ini kekasih Idlan datang
ke pejabat kita” jelas Iwan setelah berteka – teki seketika. Kekasih Idlan Raid?
Niyyaz Nazuha sedikit tersentak. Teringat dia pada perempuan yang ditemuinya
tengah hari tadi. Perempuan itu memang cantik, tetapi apa yang menarik sangat
sehingga Iwan terlalu kagum. ‘Apakah Iwan tak pernah menyangka Idlan ada
kekasih? Diakan manusia biasa. Dia juga perlukan teman hidup dan berkasih sayang’....
bisik hati Niyyaz Nazuha mempersoalkan keterujaan Iwan.
“Awak nak tahu siapa perempuan
tu?” soalnya lagi. Niyyaz Nazuha tersenyum.
“Anak jutawan negara. Bertuah
badan dapat bapa mertua orang kaya” ujarnya berbaur cemburu. Niyyaz Nazuha
senyum melihat gelagat Iwan.
“Tak sangka awak ini
materialistik juga ya” perli Niyyaz Nazuha. Iwan tersengih.
“Awak bila lagi nak perkenalkan
kekasih awak kepada saya? Tak payah sorok nanti kempunan pula saya nak tengok” tutur
Iwan mengubah topik perbualan mereka. Niyyaz Nazuha tertawa kecil.
“Siapalah yang nakkan saya, Iwan. Saya tak setanding perempuan yang awak kagumi itu” ujar
Niyyaz Nazuha merendah diri.
“ Awak kecewa ya sebab Idlan
dah ada perempuan lain” ujar Iwan.
“ Merepeklah awak” rungut
Niyyaz Nazuha menafikan bicara lelaki itu.
“ Alaa..... Yaz, saya dah banyak
kali tawarkan diri. Cuma awak saja yang jual mahal sangat. Entahlah....siapa
sebenarnya yang awak tunggu – tunggu. Jangan-jangan awak juga mahu buat kejutan
seperti Idlan” ujarnya. Niyyaz Nazuha tertawa sendiri. ‘Lancangnya dia
berbicara sampai jauh sekali dia berfikir’.... kutuk Niyyaz Nazuha.
“ Okey...Yaz, saya ada hal nak
jumpa Idlan” ujar Iwan lalu beredar pergi. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Dia
tidak menyangka Iwan akan membuka cerita tersebut kepadanya. Kebiasaannya orang
lelaki tidak gemar bercerita perihal orang lain. Agaknya kerana terlalu kagum
dengan kehebatan Idlan Raid yang berjaya menambat hati anak gadis jutawan itu. Idlan
Raid memang patut dikagumi.
Sejak dahulu lagi Niyyaz
Nazuha memang kagum dengan Idlan Raid. Nun jauh di sudut hatinya terselit satu
perasaan. Akhirnya Niyyaz Nazuha hanya mampu tersenyum sendiri disusuli dengan gelengan
kepalanya. ‘Semoga kau bahagia Idlan!’... doa Niyyaz Nazuha seikhlas hatinya.
No comments:
Post a Comment