BAB 14
“Mama yakin semua ini perangkap.
Mama kenal siapa kamu, Yaz” tegasnya.
Hati Niyyaz Nazuha terharu
dengan kepercayaan Datin Sharifah terhadap dirinya. Bicara yang mendamaikan
perasaan Niyyaz Nazuha tika ini. Ternyata dirinya masih memiliki Puan Nazibah
dan Datin Sharifah yang masih mempercayainya malah menjadi benteng kekuatan
dirinya. Biarlahdia kehilangan kepercayaan teman-teman asalkan orang yang dikasihinya
selama ini masih mempercayai dan menyakininya.
“ Kamu mesti banyak bersabar”
nasihat Datin Sharifah seraya memeluk tubuh Niyyaz Nazuha dengan erat. Hati Niyyaz Nazuha bertambah rawan. Pantas
jemari lembut Datin Sharifah mengesat air matanya. Dia sendiri menyaksikan deraian
air mata perempuan ini.
“ Idlan di rumah itu bagai orang
setengah gila. Mama dah ajak dia datang ke sini tadi tapi dia hanya berdiam
diri” cerita perempuan itu. ‘Mungkin Idlan juga memandang rendah kepadaku. Aku
pasrah kalau itu sudah hukuman buatku’ bicara hati Niyyaz Nazuha.
*************
“Yaz, saya nak jumpa awak sekarang” arah satu
suara dari corong interkom. Niyyaz Nazuha tersentak. Sudah jauh dirinya mengelamun.
Dibiarkan detik berlalu beberapa minit. Lambat-lambat Niyyaz Nazuha bangkit
lalu melangkah ke bilik itu. Daun pintu diketuk.
“ Masuk....” arah suara itu
dengan tegas. Niyyaz Nazuha mengatur langkah longlai melangkah masuk ke bilik
itu. Tatkala daun pintu terkuak, pandangan Idlan Raid menyambut kedatangannya.
“Duduk Yaz” arahnya. Niyyaz
Nazuha menurut sahaja perintahnya. Pandangan mereka bersatu namun Niyyaz Nazuha
terlebih dahulu mengalihnya. Dia tiada kekuatan hendak melawan pandangan pemuda
ini. Niyyaz Nazuha takut. Beberapa hari
ini dia sering sahaja ketakutan seolah-olah dirinya benar - benar bersalah.
“ Saya mahu mendengar
penjelasan awak” pinta Idlan Raid setelah diam seketika. Niyyaz Nazuha
menatapnya. Idlan Raid juga seperti yang lain mahu melihat kesalahanya. Niyyaz
Nazuha berpaling menjauhi pandangan pemuda ini.
“Jangan berdiam,Yaz” gesanya.
Niyyaz Nazuha melontar pandangannya jauh-jauh. Mahu sahaja dia meninggalkan
pemuda ini bersama persoalannya. Niyyaz Nazuha tidak berminat mahu memenuhi
permintaan pemuda ini. Lidahnya kelu. Mulutnya terkunci rapat. Suaranya
tersekat di kerongkong. Dia membisukan dirinya.
“Jadi apa yang akhbar siarkan itu
benar belaka?” suara Idlan Raid mula meninggi. Laju Niyyaz Nazuha berpaling
menatapnya. Mereka beradu pandangan.
“Saya sangat kesal dengan
awak, Yaz. Sia-sia saja saya terlalu mempercayai awak” luahnya kesal. Niyyaz
Nazuha terkilan. Bicara pemuda ini menusuk perasaannya.
“Awak telah menjatuhkan maruah
sendiri. Kalau kamu betul-betul serius, awak boleh minta anak Dato Ramlan itu
ambil awak jadi isterinya dengan cara terhormat” bicara Idlan Raid di luar jangkaan Niyyaz
Nazuha. Ternyata Idlan Raid juga sewenangnya mempersalahkan dirinya.
“ Cukup!” bentak Niyyaz Nazuha
bingkas bangkit dari duduknya. Idlan Raid tersenyum. Betapa menyakitkan senyumannya
itu.
“ Saya juga ingin tahu jawapan
persolan awak itu. Saya nak kata sesuatu membela diri tapi semua orang
memandang sinis. Saya tak berdaya membuat orang lain mempercayai saya. Saya dah
letih membela diri. Saya betul-betul letih, Idlan. Adakah kerana saya pernah dibuang
menyebabkan maruah saya tak berharga lagi? Betulkah semua orang boleh kata apa
saja tentang saya? Saya dah tak tahu nak buat apa lagi.....” keluh Niyyaz
Nazuha kesal. Dia tertunduk. Air matanya menitis ke pipi. Sepi. Kedengaran esakan
tangisan gadis ini. Idlan Raid tergamam panjang. Dirinya turut terpukul saat
ini.
“Saya tak nak awak disakiti,
Yaz. Sumpah saya takkan membiarkan semua itu berlaku” suara Idlan Raid bergetar.
Niyyaz Nazuha berpaling ke arah Idlan Raid. ‘Ya Allah… pemuda ini turut
menitiskan air matanya. Aku sungguh terharu kerana Idlan Raid sudi berkongsi
kesedihan denganku’…. rintih Niyyaz Nazuha. Tangisan Niyyaz Nazuha semakin
kuat. Idlan Raid mendekati lalu memegang bahunya. Pemuda ini menyaksikan
tangisan Niyyaz Nazuha yang panjang. Tiba – tiba sahaja Idlan Raid merangkul
tubuh Niyyaz Nazuha. Cuba mendamaikan gadis ini. Niyyaz Nazuha tersentak. Namun
tidak pula dia menolak tubuh sasa pemuda ini.
Dia berasa begitu selamat
berada dalam pelukan pemuda ini. Ada benteng kekuatan yang terbentang kukuh
sehingga tiada apa yang mampu menembusi. Niyyaz Nazuha memejamkan
matanya. Namun tiba-tiba sahaja dirinya tersentak. Dia mendongak. Sepasang mata
redup Idlan Raid sedang merenungnya. Niyyaz
Nazuha berundur menjauhi pemuda ini. Dia bagai
baru tersedar yang dirinya berada dalam pelukan Idlan Raid sebentar tadi.
Pemuda ini masih menatapnya.
“Maafkan saya.....” ujar
Niyyaz Nazuha lalu berlari meninggalkan bilik Idlan Raid.
“Yaz....” Niyyaz Nazuha sempat
mendengar suara Idlan Raid memanggil namanya. Namun tidak dipedulikannya.
Niyyaz Nazuha sudah semakin jauh meninggalkan pemuda itu. Tidak dihiraukan
pandangan hairan teman-temannya.
******
“ Sebagai syarikat besar dan
dikenali kita harus menjaga nama baik syarikat ini. Baru – baru ini ada
kejadian yang melibatkan pegawai syarikat ini. Kejadian ini telah tersebar luas
di seluruh negara. Hal ini secara tak langsung memberi persepsi buruk pada nama
baik syarikat yang sememangnya menekankan disiplin pekerja serta mementingkan nama
baik syarikat. Lembaga pengarah perlukan penjelasan” ujar Dato Kamal serius.
Niyyaz Nazuha diam. Beberapa pasang mata sedang menatapnya menanti jawapan yang
bakal keluar dari mulutnya.
“Tiada apa yang perlu
dijelaskan lagi, dato” putus Niyyaz Nazuha tidak mahu memanjangkan isu. Idlan
Raid menundukkan kepalanya. Kecewa dengan jawapan gadis itu. Bukan itu yang
diharapkan. Dato Kamal dan beberapa orang pegawai lain melepaskan keluhan kecil
dan geleng kepala.
“Sebarang keputusan pihak
pengarah saya akan terima dengan hati terbuka” tambah Niyyaz Nazuha dengan
begitu tenang.
“Kamu diberi peluang membela
diri” terang Dato Kamal tidak puas hati. Niyyaz Nazuha diam. Dilontarnya
pandangan jauh-jauh. Dia tidak berniat mahu membuat sebarang penjelasan.
Sebetulnya dia sudah letih. Sudah banyak kali Niyyaz Nazuha membela diri. Setiap
kali kenyataan yang keluar dari mulutnya sering sahaja diputar belitkan. Akhirnya
dirinya dipersalahkan. Adilkah itu? Tiada sesiapa akan mempercayai kata –
katanya.
“Katakanlah sesuatu, Yaz”
pinta satu suara.
Niyyaz Nazuha berpaling ke
arah suara itu. Idlan Raid sedang
menatapnya dengan penuh pengharapan. Sesaat...seminit... Niyyaz Nazuha masih
belum membuka mulutnya. Akhirnya pemuda ini hanya mampu tertunduk dan melepaskan
keluhannya.
“Saya mohon diri” ujar Niyyaz
Nazuha bangkit dari duduknya lalu melangkah meninggalkan bilik ini. Idlan Raid
memejamkan matanya. Kecewa tatkala melihat gadis itu menyerah begitu sahaja.
Tatkala Niyyaz Nazuha melangkah keluar dari bilik itu, beberapa pasang mata
sedang menatapnya. Dia cuba berlagak biasa, melangkah mendekati mejanya lalu
mengemas barang-barangnya.
“Yaz, awak nak pergi mana?”
soal Iwan hairan.
“Saya nak ambil cuti beberapa
hari. Saya perlu tenangkan fikiran” terang Niyyaz Nazuha. Dia terus sahaja meninggalkan Iwan terkebil-kebil di situ.
Langkahnya semakin laju. Baru sahaja tangannya menguak pintu kereta.......
“Yaz......!” Niyyaz Nazuha berpaling.
Idlan Raid berlari ke arahnya.
“Saya masih berharap yang awak
bela diri” ujarnya. Niyyaz Nazuha diam. Pantas sahaja mengalih mukanya ke
seberang sana. Sepi seketika.
“Saya tak nak kehilangan
rakan sekerja yang baik. Cukup sekali saya kehilangan awak, Yaz. Saya tak nak
perkara itu berulang lagi” luahnya.
“Maafkan saya, Idlan” Terus
sahaja tangannya menguak pintu kereta. Niyyaz Nazuha meninggalkan Idlan Raid
yang masih terpacak di situ.
******
Idlan Raid melontar pandangannya
jauh di hadapan. Kosong. Tiada apa yang berada di hadapannya. Hanya bayangan
gadis itu memenuhi ruang matanya.
“Tiada apa yang perlu saya
jelaskan......” ujar suara itu berulang kali berbisik di pendengarannya. Datin
Sharifah yang sejak dari tadi memerhatikan gelagatnya berkali - kali geleng
kepala. Dia mengerti apa yang sedang pemuda itu fikirkan.
“Kamu dah jumpa Yaz, Idlan?”
suaranya memecah kesepian. Pemuda ini tersentak. Dia mengeluh kecil. Dialihnya
pandangannya ke arah wanita itu. Perlahan-lahan dia mengangguk.
“Apa tindakan kamu sekarang?”
soalnya lagi. Sepi. Tiada juga suara yang menyahut. Kali ini perempuan itu pula
yang mengeluh.
“Mama tahu sukar kamu nak terima
kenyataan ini” ujarnya mengerti. Anak muda ini tertunduk.
“Kamu harus terima semua ini
demi kebaikan dan kebahagiaan Yaz. Mama rasa kamu patut fikir balik tentang
hubungan kamu selama ini” tuturnya perlahan. Idlan Raid menatap perempuan itu.
“Walau pahit dan menyakitkan, kamu
harus tabah menghadapinya” tambah perempuan itu seraya menyuntik semangat anak
muda itu.
“Fikirlah baik-baik”
nasihatnya lalu beredar meninggalkan anak muda itu terpaku panjang sendirian di
situ.
***********
Sudah beberapa kali nombor
itu didail. Namun masih tidak dijawab. Dia cuba pula mendail nombor telefon
bimbit itu. Keadaan yang sama turut berlaku. Akhirnya dia ambil keputusan mencari gadis itu. Dia sudah nekad. Pantas
dicapainya kunci kereta lalu meninggalkan pejabat.
“ Hey..... Encik Izeq. Apa
halnya?” soal Salwa yang tersentak dengan kehadiran anak muda itu.
“Saya nak jumpa Yaz. Di mana
dia sekarang?” soal Izeq yang tidak nampak kelibat Niyyaz Nazuha di tempat
duduknya. Salwa mengeluh kecil. Ada kehampaan terpamer di wajahnya.
“Dia dah cuti beberapa hari
lalu” jelas Salwa.
“ Haa......” Izeq tersentak.
Kedengaran keluhannya. Idlan Raid yang menyedari kunjungan pemuda itu pantas sahaja
menekan interkom menghubungi Salwa.
“Salwa, beritahu Izeq saya nak
jumpa dia sekarang” arahnya.
“Okey.....” Salwa berpaling
kepada anak muda itu.
“Encik Idlan nak jumpa Encik
Izeq sekarang” beritahunya. Izeq terus sahaja melangkah ke bilik itu. Daun
pintu diketuk.
“Masuk......” Dia melontar
pandangannya ke muka pintu menyambut kedatangan pemuda itu.
“Awak nampak berceleru Izeq”
tegurnya sinis. Izeq tersenyum hambar.
“Saya nak jumpa Yaz. Awak tahu di mana dia sekarang?” soalnya penuh
harapan. Idlan Raid geleng kepala. Gadis itu pergi begitu sahaja.
“Dia pergi tergesa-gesa tak
sempat saya nak tanya” jelasnya. Kedengaran
keluhan kesal Izeq. Dapat dirasakannya gadis itu menjauhkan diri darinya.
“Mungkin dia mahu
bersendirian mencari ketenangan” tambah Idlan Raid.
Sepi seketika. Idlan Raid
melontar pandangannya keluar jendela.
“Apa hal awak cari dia?”
tiba-tiba soalan itu terpancul dari mulut Idlan Raid. Dia perlu mengemukakan pertanyaan
itu. Wajib. Izeq menatapnya.
“Banyak perkara yang perlu
kami bincangkan” balasnya.
“Saya perlu jumpa dia” tegasnya
lagi. Idlan Raid hanya diam. Dilontar pandangannya keluar sekian kalinya.
“ Saya harap awak takkan
ganggu Yaz lagi” satu amaran keluar dari mulut Idlan Raid. Pantas saja Izeq
berpaling menatapnya. Pandangan mereka beradu.
“Apakah saya tak silap
dengar?” soalnya.
“Ya... saya tak nak Yaz
terbeban dengan perkara ini. Sejak kejadian itu saya nampak dia begitu sedih. Saya
tak nak dia menangis lagi!” tegas Idlan Raid serius.
“Tapi apa yang berlaku bukan salah
kami. Saya dan Yaz diperangkap” bela Izeq serius. Dia tidak mahu pemuda ini
menuduh dirinya punca kejadian yang mengaibkan itu. Sungguh dia dan gadis itu
tersempit oleh keadaan. Sepi seketika.
“Walau apapun saya akan melamar
Yaz. Saya memang mahu menghargai kewujudannya” ujar Izeq serius. Idlan Raid
tersentak. Ditatapnya anak muda itu.
“ Saya dah jatuh cinta pada
Yaz. Perasaan ini wujud sebelum kejadian itu lagi. Saya mahu meletakkan dirinya di tempat yang sepatutnya
dan paling penting saya mahu membawa Yaz
keluar dari kenangan cinta lukanya dahulu. Saya tahu selama ini hidup Yaz dah
cukup terseksa. Kini dah tiba masanya Yaz memulakan hidup baru yang
membahagiakannya. Saya akan pastikan Yaz
akan hidup bahagia bersama saya. Sumpah saya akan lakukan semua itu
kalau saya diberi peluang” tegas Izeq serius.
Idlan Raid tergamam melihat
kesungguhan anak muda ini. Dia terpukul mendengar bicara pemuda ini. Terasa dirinya
harus bertanggungjawab atas penderitaan gadis itu.
“ Kalau awak jumpa Yaz,
tolong beritahu padanya yang saya sedang mencarinya. Awak jangan risau saya
akan jaga Yaz dengan baik. Insya-Allah andai ditakdirkan kami bersatu saya
takkan ketepikan awak sebagai insan pertama yang pernah Yaz sayangi. Saya pergi
dulu” ujarnya. Dibiarkan sahaja pemuda itu berlalu. Idlan Raid masih tergamam.
******
Niyyaz Nazuha menatap
wajah malam. Suram dan mendung. Tiada bintang yang menghiasi langit. Kelam
persis kemurungan dirinya saat ini. Dia melepaskan keluhannya. Sudah beberapa
hari dia mengasingkan diri di pulau ini. Cuba menghimpun sisa-sisa
kekuatan yang ada.
“Bila kamu nak balik? Anak
Dato Ramlan dah banyak kali telefon nak cakap dengan kamu. Dia nak sangat berjumpa
dengan kamu, Yaz” jelas Puan Nazibah.
Niyyaz Nazuha mengeluh lagi. Dia
yakin sudah banyak kali juga Izeq cuba mendail nombor telefon bimbitnya. Izeq gagal berbicara
dengannya kerana dia telah mematikan telefon bimbitnya sejak dia bercadang mahu
bersendirian di situ.
Dia tahu Nina juga cuba
menjejaki langkahnya saat ini. Sahabatnya itu tidak akan membiarkannya bersendirian
menghadapi semua ini. ‘Maafkan aku Nina, maafkan aku Izeq. Aku bukan sengaja mahu
melarikan diri dari kalian. Aku mahu bersendirian buat masa ini. Sampai masa
nanti aku akan cari kalian sebab banyak perkara yang perlu aku jelaskan.
Berilah aku peluang mengumpul sisa-sisa kekuatan ini’.... bicara Niyyaz Nazuha
sendirian.
******
Sekumpulan ahli lembaga
pengarah sudah berada di bilik mesyuarat itu bersama-sama beberapa orang
pegawai terpilih. Ada agenda penting yang perlu diperjelaskan hari ini.
Lebih-lebih lagi ada tetamu yang akan bertandang ke situ.
Idlan Raid menanti penuh
debaran. Pandangannya tertumpu pada sebuah kerusi kosong yang sering menjadi
pilihan Niyyaz Nazuha melabuhkan duduknya. Setiap kali mesyuarat di situlah
matanya akan bertumpu menyaksikan kepintaran seorang gadis berhujah mempertahankan
pendapat bernasnya yang turut disokongnya walaupun dirinya jarang sekali
bersuara secara terang - terangan. Dia kagum dengan kebolehan gadis itu.
Tiba-tiba dia terasa
berdebar-debar. Barangkali bakal berlaku sesuatu yang akan menimpa gadis itu.
Dia resah jika kerusi itu akan kehilangan tuannya buat selama-lamanya. Dia bimbang
tidak berkesempatan lagi mendengar suara gadis itu berhujah. Peluh dingin mula membasahi
dahinya. Penyaman udara di bilik mesyuarat itu seakan tidak berfungsi.
Daun pintu ditolak perlahan.
Semua mata tertumpu di situ. Dato Kamal bersama-sama dua orang lelaki korporat
yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka sudah sekian lama mengenali
wajah-wajah yang berpengaruh itu. Wajah tua itu nampak tenang malah masih mampu
mengukir senyuman. Berbeza dengan pemuda
di sisinya yang nampak sedikit muram seperti beberapa hari yang lalu ketika kemunculannya
di pejabat itu.
“ Dato Ramlan ada hal nak
diperkatakan kepada kita” suara Dato Kamal memecah kesepian sekali gus memecah
kebuntuan berkaitan tujuan pertemuan pagi itu.
“ Silakan dato” jemput Dato
Kamal hormat seraya berpaling ke arah Dato Ramlan. Lelaki itu tersenyum lalu
bangun perlahan-lahan. Semua mata sekali lagi tertumpu kepadanya.
“ Terima kasih.....
Assalamualaikum. Terlebih dahulu saya nak ucapkan terima kasih kerana diberi
peluang untuk menjelaskan perkara sebenar” tuturnya lembut penuh dengan
dedikasi. Pandangan Idlan Raid terus terikat pada lelaki itu menanti bicara
seterusnya.
“Beberapa hari lalu seperti
yang sedia maklum ada hal yang melibatkan pengurus Restu Sdn. Bhd, Izeq anak
lelaki tunggal saya dengan pegawai syarikat ini yang secara tak langsung
sedikit sebanyak telah menjejaskan nama baik kedua-dua syarikat. Saya amat
sedih dan rasa bersalah atas perkara ini. Saya minta maaf kerana telah membabitkan
syarikat ini. Semua itu adalah konspirasi menjatuhkan Syarikat Restu Sdn. Bhd
sekali gus menyingkirkan keluarga saya dari terus memegang Restu Sdn. Bhd”
terangnya panjang lebar. Dato Ramlan menarik nafas panjang.
“Sebetulnya ada pihak yang tak
berpuas hati dengan perubahan tampuk pimpinan. Kiranya ini adalah masalah
dalaman syarikat. Perkara ini sedang dibereskan sekarang. Saya juga akan
membuat sidang akhbar tentang perkara ini. Jangan risau semuanya akan selesai
sedikit masa lagi memandangkan saya ada cukup bukti. Orang yang
bertanggungjawab dalam hal ini telah dikenal pasti” tuturr Dato Ramlan
tersenyum. Semua yang berada di situ menghela nafas lega dan sudah mampu
tersenyum ceria.
“Saya juga mahu memperkatakan
hal berkaitan dengan Cik Niyyaz Nazuha. Saya kesal kerana secara tak sengaja Cik
Niyyaz Nazuha telah menjadi mangsa dalam hal ini. Tak adil kalau Cik Niyyaz
Nazuha dipersalahkan dan adalah satu kesilapan dan kerugian besar kalau Cik
Niyyaz Nazuha cuba disingkirkan dari syarikat ini hanya kerana perkara ini.
Saya betul-betul kagum dengan kebolehan Cik Niyyaz Nazuha dan senang hati
bekerjasama dengannya. Harapan saya pihak syarikat ini akan fikirkan hal ini.
Ingat Cik Niyyaz Nazuha seorang pegawai yang berkebolehan. Syarikat saya
sentiasa mengalu –alukan kesudian Cik Niyyaz Nazuha menjadi sebahagian warga
Restu Sdn. Bhd andai Cik Niyyaz Nazuha mahu beralih arah” tegasnya. Beberapa
orang mengangguk-angguk tanda sependapat.
“Izeq, ada apa-apa kamu nak
cakap?” soal lelaki itu sambil mengalih pandangannya kepada anak muda di
sisinya itu. Izeq mengangguk. Kemudian terus sahaja bangun. Tumpuan beralih
kepadanya. Idlan Raid dapat merasakan
debaran jantungnya semakin kencang.
“ Assalamualaikum..... Saya hanya
nak katakan satu perkara saja dan saya mahu semua yang berada di sini menjadi
saksi. Saya akan melamar Cik Niyyaz Nazuha bukan semata – mata mahu menutup kes
atau sekadar menunjukkan rasa tanggungjawab saya, tapi saya betul-betul telah
jatuh hati padanya. Perasaan ini dah lama saya simpan. Namun baru sekarang saya
berkesempatan meluahkannya” ujarnya serius.
Suasana yang serius tadi
serta-merta bertukar ceria. Sana-sini tersenyum mengusik. Dato Kamal terus sahaja
bangun lalu menghulurkan tangan.
“ Tahniah....” ujarnya
tersenyum. Persis Niyyaz Nazuha sudah
jadi milik pemuda itu.
“Saya akan pastikan Niyyaz
Nazuha akan kembali ke sini secepat mungkin” tambahnya berjanji.
“ Terima kasih, dato” ujarnya
tersenyum riang.
Idlan Raid masih terpaku di situ. Dia berada dalam delima sama ada hendak bangun menghulurkan tangan
seperti yang lain atau terus mengasingkan diri berperang dengan perasaan
sendiri. Akhirnya dia hanya mampu tertunduk di situ sambil melawan ledakan
emosinya.
No comments:
Post a Comment