Sunday 8 June 2014

Awak Jodohku Lagi!...12



BAB 12 
“ Yaz, kita ada masalah” beritahu Iwan seraya meletakkan fail itu di depan Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha menatap fail itu. Kemudian pandangan beralih ke wajah Iwan. Cuba lebih memahami kata-kata pemuda itu.
“ Pengurus baru Syarikat Restu menolak perancangan ini. Kerja – kerja di lapangan terpaksa ditangguhkan buat sementara” jelasnya. Niyyaz Nazuha meneliti data-data yang terbentang di depannya ini.
“ Ohh.... ada kesilapanujar Niyyaz Nazuha mengakui percanggahan maklumat dengan yang telah dipersetujui. Iwan menatapnya hairan. Dia nampak keliru mendengar kenyataan Niyyaz Nazuha itu.
“Mengapa?” soal Iwan.
“Saya perlu jumpa Idlan sekarang” ujar Niyyaz Nazuha tanpa sempat menjawab persoalan pemuda ini. Laju langkah Niyyaz Nazuha menghala ke bilik Idlan. Daun pintu diketuk. Niyyaz Nazuha terus sahaja melangkah masuk. Tidak sempat menunggu suara pemuda itu memberi arahan kepadanya kerana masalah yang wujud sedikit meresahkan dirinya. Niyyaz Nazuha perlu segera berrsemuka dengan Idlan Raid.
“ Opss.....” Niyyaz Nazuha kematian langkah serentak dengan lenyapnya gelak tawa itu. Idlan Raid tersentak.  Gadis itu pantas berpaling ke arah Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha menyesali tindakan terburu – burunya sebentar tadi. Dia tidak menyangka pemuda ini ada tetamu istemewa sekarang.
“ Maaf mengganggu. Saya fikir tak ada tetamu tadi” ujar Niyyaz Nazuha rasa bersalah. Dia merasakan dirinya telah mengganggu pasangan kekasih itu. Gadis itu hanya tersenyum. Idlan Raid tidak bersuara. Pandangannya tepat ke wajah Niyyaz Nazuha.
“ Tak apalah saya keluar dulu” ujar Niyyaz Nazuha kerana rasa begitu terasing di bilik itu dan tidak senang hati dengan pandangan mata Idlan Raid.
Daun pintu ditutup kembali. Rasa malu dan bersalah menyelubungi diri. Niyyaz Nazuha sedar dia telah mengganggu sepasang kekasih itu. Kesal tidak sudah-sudah. Sepatutnya dia tidak menerjah masuk tanpa menunggu kebenaran Idlan Raid terlebih dahulu. Di matanya masih terbayang ekspresi wajah Idlan Raid dengan kehadirannya yang tidak diundang. Kelihatan Idlan Raid terkedu. Niyyaz Nazuha mengeluh.
Idlan Raid terus sahaja keluar mencari gadis itu.
“ Yaz mana?” soalnya sebaik sahaja tidak menemui kelibat gadis itu.
“ Izeq telefon tadi. Yaz dah keluar  bertemu Izeq” cerita Iwan yang kebetulan berada di situ. Idlan Raid mengeluh kecil. Ada perkara yang hendak dijelaskan kepada gadis itu. Perkara yang terlalu penting walaupun tidak sepenting yang dirasakan oleh gadis itu.
“Apa halnya?” soal Iwan yang kehairanan melihat gelagat anak muda itu. Tampak cemas. Idlan Raid menggeleng. Ditinggalkannya anak muda itu dengan persoalan yang tidak terjawab.

******

Niyyaz Nazuha menghela nafas lega. Masalah itu sudah selesai. Mujur juga Izeq mudah dibawa berbincang. Kesilapan kecil yang boleh menjejaskan perancangan. Niyyaz Nazuha mengerti ahli perniagaan yang berjaya sangat mementingkan kesempurnaan dalam apa-apa hal yang melibatkan mereka.
“Idlan, saya minta maaf dengan tindakan saya semalam” ujar Niyyaz Nazuha rasa bersalah. Pemuda ini kehairanan menatapnya.
“Saya tak sepatutnya tergesa-gesa masuk ke bilik pejabat awak. Kesal juga. Masalah yang wujud buat saya hilang pertimbangan” keluh Niyyaz Nazuha tanpa berselindung.
Idlan Raid masih diam. Mungkin  pemuda ini terkilan dengan tindakannya semalam. Dia telah mengganggu perbualan pemuda ini dengan kekasihnya. Niyyaz Nazuha bukannya tidak tahu perangai Idlan Raid. Dari dahulu lagi Idlan Raid memintanya melayan tetamu dengan hormat. Namun tingkahlakunya semalam telah menjatuhkan air muka pemuda itu. Niyyaz Nazuha merasakan dirinya bertindak sesuka hati tanpa arif tentang protokol pertemuan orang bawahan dengan ketua jabatannya. Begitu menebal perasaan malu Niyyaz Nazuha.
“Semalam saya cari awak nak berbincang perkara ini” beritahunya.
‘Ahh... nampaknya aku telah melakukan kesalahan yang berat. Barangkali kekasihnya tak berpuas hati dengan tindakanku semalam dan barangkali juga dia curiga. Nampaknya aku telah mendatangkan masalah kepada Idlan’.... keluh Niyyaz Nazuha bermonolog sendiri.
“Saya keluar dengan Izeq berbincang” terang Niyyaz Nazuha.
“ Dah okey semuanya?” Niyyaz Nazuha mengangguk. Lega. Tumpuannya kembali kepada fail di depannya. Pasti pemuda ini tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang kejadian semalam.
“ Yaz....” Niyyaz Nazuha mengalih pandangannya ke arah pemuda ini. Seketika mereka berlawan pandangan.
“Sebenarnya saya dengan Suzie hanya berbincang tentang bisnes, seperti awak dengan anak muda Dato Ramlan” tuturnya perlahan. Niyyaz Nazuha diam. Tidak mengerti niat Idlan Raid di sebalik penjelasannya.
“... tapi... tak tahulah andaian saya tentang hubungan awak dengan Izeq itu betul atau sebaliknya” ujarnya berteka-teki. Niyyaz Nazuha terkedu. Tiba-tiba sahaja telefon bimbit Idlan Raid berdering. Laju sahaja dia menjawab panggilan itu. Niyyaz Nazuha cuba memahami bicara Idlan Raid sebentar tadi. Kalau Idlan Raid tidak berbual tika ini sudah pasti Niyyaz Nazuha mahukan penjelasan lanjut pemuda ini.
“ Saya keluar dulu. Ada hal mustahak. Suzie yang telefon saya” tutur Idlan Raid memaklumkan kepada Niyyaz Nazuha. Idlan Raid berlalu bersama persoalan Niyyaz Nazuha yang belum terjawab. Niyyaz Nazuha keliru. ‘Ahh.... sehingga ke hari ini aku tak memahami Idlan. Mungkin untuk selamanya’...... Niyyaz Nazuha melepaskan keluhannya.

******

Ketawa Niyyaz Nazuha dan Izeq berpadu. Cerita Izeq begitu menggeletek hatinya. Sejak  mengenali pemuda ini, Niyyaz Nazuha mudah sangat ketawa. Pemuda ini bukan sahaja menjadi rakan niaga yang baik malah sahabat yang boleh berkongsi pelbagai topik cerita. Sikap terbuka dan peramah Izeq membuatkan hubungan mereka semakin mesra malah mendatangkan masalah kepada Niyyaz Nazuha. Kadangkala Niyyaz Nazuha tidak mampu menjawab segala pertanyaan pemuda ini. Dalam banyak hal Niyyaz Nazuha begitu menyenangi Izeq. Tidak rugi dirinya bersahabat dengan pemuda ini.
Langkah Niyyaz Nazuha dan Izeq terhenti. Ketawa mereka terus lenyap. Idlan Raid muncul di hadapan kami. Niyyaz Nazuha melemparkan senyuman kepada pemuda ini.
“Nak pergi mana?” soal Niyyaz Nazuha.
“Ada hal” jawabnya ringkas seraya mengalih pandangan kepada Izeq. Mereka bertukar senyuman.
“Idlan, ini Izeq, anak muda Dato Ramlan” ujar Niyyaz Nazuha saling memperkenalkan kedua – dua lelaki ini. Pertama kali Idlan Raid dan Izeq bersemuka.
“Gembira jumpa awak” sapa Idlan Raid sambil menghulur tangan kepada Izeq.
“Saya juga gembira berkenalan dengan awak” balas Izeq seraya menyambut huluran salam perkenalan itu.
“ Okeylah Yaz, Izeq saya pergi dulu” ujar Idlan Raid meminta diri. Niyyaz Nazuha dan Izeq mengangguk. Mereka kembali menyambung langkah. Sepi seketika. Izeq melirik ke arah Niyyaz Nazuha. Kebetulan pula gadis itu menoleh ke arahnya. Pandangan mereka bersatu.
“Mengapa awak pandang saya macam tu?” soal Niyyaz Nazuha. Izeq tersenyum sendiri.
“Saya kagum dengan awak, Yaz” tuturnya perlahan. Bulat anak mata Niyyaz Nazuha menatapnya.
“Kagum?” Niyyaz Nazuha kurang mengerti.
 “Awak tabah. Saya pandang tinggi pada awak” pujinya lagi.
“ Tiada istimewanya saya. Kalau tak mengapa saya disingkirkan” ujar Niyyaz Nazuha merendah diri seraya tersenyum sendiri.
“ Orang yang tak tahu hargai awak itu bertindak bodoh, Yaz” bidas Izeq serius. Niyyaz Nazuha tersentak. Tidak pernah dia mendengar pemuda ini berbicara kesat sedemikian. Ditatapnta Izeq yang kelihatan serius.
“Jangan terlalu menyanjungi saya” tingkah Niyyaz Nazuha kurang senang dengan pujian – pujian pemuda ini. Dia tidak suka mendengar semua itu.
“ Saya tak pernah jumpa perempuan seperti awak. Awak terlalu istimewa” puji Izeq lagi membuatkan Niyyaz Nazuha tertawa.
“Saya susah nak puji perempuan lebih-lebih.  Banyak dah perempuan yang saya temui, tapi awak terlalu berbeza dari mereka” tambah Izeq.
“Jadi awak ini kira buaya jugalah” usik Niyyaz Nazuha. Izeq tersenyum.
“ Kadangkala saya seperti tak percaya masih wujud perempuan sebaik awak dalam dunia materialistik ini. Saya ingin sekali mendengar awak mencaci atau sekurang-kurangnya menunjukkan rasa tak puas hati awak kepada orang yang pernah sakiti awak” ujar Izeq tersirat.
“Masih banyak lagi perempuan baik yang belum awak temui. Saya tak suka berdendam” balas Niyyaz Nazuha mengulas bicara pemuda ini.
“ Tapi seorang yang suka memendam” sampuk Izeq. Niyyaz Nazuha tersenyum. Mungkin.
*********

Salwa tersenyum lebar bersama sejambak bunga mawar segar di tangannya. Langkahnya semakin mendekati Niyyaz Nazuha.
“Yaz, beruntunglah awak ada peminat” usiknya seraya meletakkan mawar merah itu di atas meja Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha menatap Salwa yang masih tersenyum.
“Untuk saya?” soalnya hairan. Salwa mengangguk. Sudah sekian lama Niyyaz Nazuha tidak menerima bunga. ‘Siapalah agaknya yang bermurah hati ini?’.... hati Niyyaz Nazuha tertanya – tanya. Pandangannya terarah pada kad yang terselit di situ.
                                   
~ Terima Kasih Segalanya......
- Izeq -
         
Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Dihidu haruman bunga itu. Wangi.
“ Daripada siapa?” soal Salwa ingin tahu.
“ Izeq....” balasnya ringkas.
“ Saya rasa anak Dato Ramlan itu ada hati pada awak” komennya. Niyyaz Nazuha tertawa kecil. Lucu mendengar kenyataan Salwa itu.
“ Tak mungkin, Sal” balas Niyyaz Nazuha sambil tangannya masih bermain-main dengan jambangan bunga mawar itu.
“ Rasanya awak sendiripun tahu. Tengok saja caranya melayan awak. Kecualilah kalau awak buat-buat tak tahu” perli Salwa. Dia diam.  Izeq adalah sahabat yang baik. Pemuda itu pendengar yang setia dan penasihat yang mampu mengeluarkan buah fikiran yang bernas. Dia menghargai persahabatan mereka selama ini.
“ Yaz.....” Niyyaz Nazuha tersentak. Pantas sahaja dia berpaling. Idlan Raid sedang memerhatikan gelagatnya. Dia terus meletakkan bunga mawar di atas meja. Segan.
“ Leka nampak....” komen Idlan Raid dengan ekspresi wajah yang sukar ditafsir. Niyyaz Nazuha tersenyum.
“Saya nak bincang dengan awak tentang projek di Taman Kenangan. Ada masalah sedikit” terangnya.
“Sekarang?” tanya Niyyaz Nazuha. Idlan Raid mengangguk.
“Saya tunggu awak di bilik saya” ujarnya lalu beredar pergi. Salwa tersenyum meleret menatapnya.
“Lama dia perhatikan awak tadi” cerita Salwa. Besar anak mata Niyyaz Nazuha mendengar kenyataan Salwa itu. Segan. Pasti pemuda itu fikir dirinya sedang dilamun cinta sekarang.
“Mengapa awak tak cakap tadi dia perhatikan saya?” keluh Niyyaz Nazuha kesal. Salwa hanya tersenyum.
“ Saya pun baru tahu. Bila saya berpaling saya nampak Idlan sedang terpacak di situ” tambah Salwa meneruskan ceritanya. Niyyaz Nazuha melepaskan keluhan. Lantas mencapai fail projek Taman Kenangan itu. Lima minit sudah berlalu. Tentunya pemuda itu sedang menanti kedatangannya. Terus sahaja Niyyaz Nazuha mengatur langkah ke bilik itu mendapatkan Idlan Raid.
Niyyaz Nazuha melepaskan tubuhnya ke tilam. Kehidupan yang dilaluinya sekarang sangat meletihkan. Setiap masa menuntut komitmen. Dia mendongak menatap siling terbentang putih. Anak matanya beralih pada gambar itu. Laju sahaja tangan Niyyaz Nazuha mencapai gambar itu lalu merenungnya lama.
“Awak masih nak simpan gambar itu?” tegur Nina dengan nada kurang senang.
Gambar berbingkai kayu bercorak itu diletak di atas mejanya. Niyyaz Nazuha mengangguk dengan pandangan yang masih melekat pada gambar itu.
“Saya sayang sangat dengan gambar ini. Gambar ini merupakan satu kenangan berharga” ujar Niyyaz Nazuha disambut keluhan Nina.
“ Kenangan yang menyeksakan” bidas Nina menyahut.
Niyyaz Nazuha tidak berniat mahu membalas bicara Nina itu. Dibiarkan sahaja bicara itu berlalu. Tidak perlu dirinya menjelaskan lebih lanjut tentang pendiriannya itu. Namun cukuplah jikalau Nina mengetahui bahawa dirinya begitu menghargai sebuah kenangan kerana semua ini tidak akan berulang lagi ibarat waktu yang tidak boleh diundur. Justeru, Niyyaz Nazuha merasakan tidak salah dirinya menghargai dan mengagungkan gambar itu.
Kenangan itu adalah sebahagian sejarah hidupnya. Lantas mengingatkan Niyyaz Nazuha pada kata-kata Muhammad Yusof Iberahim dalam penulisannya, sebuah buku lama yang ditemuinya di perpustakaan ketika bergelar pelajar dahulu. Menurut penulis itu, manusia perlukan masa lalu atau sejarahnya sebagai sebahagian daripada pengalaman. Sebahagian masa lalu akan dilupakan dan sebahagian lagi akan diabadikan.

Ada masa lalu yang tidak akan dapat dilupakan. Peristiwa penting yang berlaku kepada seseorang pada masa lalu dianggap peristiwa yang bersejarah. Lantas hidup dengan peristiwa tersebut seiring dengan pertambahan usia. Pengalaman dapat dijadikan landasan bagi merangkakan kehidupan  masa hadapan. Setiap insan akan cuba merangka masa depan yang cemerlang. Kehidupan masa depan yang bahagia dan tidak menghadapi kekurangan dalam serba-serbinya. Kehendak yang merupakan harapan dan cita-cita  menunjukkan perhubungan antara masa lalu dengan masa kini dan seterusnya dengan masa yang akan datang.

Niyyaz Nazuha melepaskan keluhan. Sudah 28 tahun dia meneruskan perjalanan hidup. Banyak perkara yang telah dilakukan dan dilaluinya. Kadangkala dia  pernah terfikir sama ada dirinya sudah memenuhi matlamat dan impiannya. Namun ada tikanya dia sendiri tidak mengerti akan matlamat dan impiannya itu. Lantas dia merasakan inilah ciri-ciri manusia yang tertewas dalam sebuah kehidupan. Pepatah pernah mengatakan orang yang tidak mempunyai matlamat dan impian adalah manusia yang gagal.
“Kamu seorang yang tabah, Yaz. Betapa beruntungnya mama mempunyai menantu seperti kamu” luah Datin Sharifah. Terasa ada kerinduan kepada wanita itu. Sudah lama juga dia tidak menjenguk perempuan itu. Bimbang juga jikalau Datin Sharifah beranggapan bahawa dia telah melupakannya. Dia sama sekati tidak akan melupakan Datin Sharifah. Kalau boleh dia  mahu menemui Datin Sharifah lebih kerap lagi. Namun bimbang dengan penerimaan Idlan Raid. Niyyaz Nazuha tidak mahu pemuda itu fikir yang bukan-bukan tentang dirinya. Paling merisaukan jikalau Idlan Raid fikir dirinya mahu menagih simpati perempuan itu.
Deringan telefon bimbit menyentakkannya. Laju sahaja tangannya mencapai telefon bimbit itu, lalu menjawab panggilan itu.
“ Assalamualaikum.....” sapa Niyyaz Nazuha.
“ Yaz.., saya nak ajak awak keluar makan malam ini” pelawa suara itu.
Suara yang sering bermain di pendengarannya sejak akhir – akhir ini. Bayangan yang sering mengejar setiap langkahnya. Tiba-tiba hatinya  dilanda keresahan. Resah pada sebuah kenyataan yang bakal melukakan. Dia tidak tega lelaki ini terluka persis yang pernah  dirasakannya.

******
Niyyaz Nazuha melemparkan pandangan ke wajah anak muda ini. Kelihatan sedikit bercelaru dan keletihan. Maklumlah terpaksa memikul tanggungjawab yang besar. Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini kesihatan Dato Ramlan sering terjejas. Barangkali pemuda ini risau dengan situasi yang dihadapinya sekarang.
“Kadangkala rasa menyesal juga jadi anak tunggal ini” keluh Izeq.
“Semuanya terletak di bahu kita membuatkan kadangkala terasa seolah-olah hidup ini diatur, tiada pilihan dan terkongkong” tambahnya.
“Takkan begitu cepat awak berputus asa” tegur Niyyaz Nazuha.
“Saya manusia biasa, Yaz. Kemampuan saya ada hadnya” tingkah Izeq.
“ Saya faham tapi Izeq yang saya kenali tak punya sikap seperti ini” tambah Niyyaz Nazuha cuba menyedarkan Izeq betapa kuat dirinya suatu waktu dahulu.
“Mungkin awak belum cukup mengenali saya” Niyyaz Nazuha hanya diam. Dia harus mengakui akan kebenaran kata-kata pemuda itu.
“ Macam mana dengan keadaan dato sekarang?” soal Niyyaz Nazuha mengubah topik perbualan mereka. Kedengaran keluhan kecil Izeq. Wajahnya muram.
“Papa masih seperti itu, batuk-batuk dan kadangkala sesak nafas. Biasalah penyakit tua” keluhnya. Niyyaz Nazuha dapat merasakan kerisauan yang cuba disembunyikan Izeq di sebalik bicaranya itu. Dia tahu betapa sayangnya Izeq kepada lelaki itu. Lelaki yang selama ini menjadi ayah dan ibunya.
“Saya harap dato akan cepat sihat” ujar Niyyaz Nazuha menitip doa buat lelaki itu.
“Sayapun harap macam itu juga” sahut Izeq lemah.

Sepi lagi. Masing-masing kematian akal meneruskan berbicara. Niyyaz Nazuha menyedari Izeq menjadi begitu pendiam. Dia pula sememangnya seorang yang sering kekeringan idea bagi memanjangkan berbicara. Maka Niyyaz Nazuha mengambil keputusan terus berdiam selagi Izeq tidak mahu berbicara. Biarlah mereka berbicara dengan diri  masing-masing. Cuba mencari ketenangan sendiri malam ini.

1 comment: