Monday 2 June 2014

Awak Jodohku Lagi! 9 & 10

BAB 9 
Niyyaz Nazuha menatap beberapa buah fail yang bertimbun di depannya. Banyak kerja yang perlu dibereskannya. Sejak kebelakangan ini pula ada-ada sahaja masalah yang timbul. Sudah beberapa kali pelawaan Nina yang mahu mengajaknya keluar terpaksa ditolak. Mujur juga Nina memahami dirinya yang tiada kelapangan sekarang.
“Dah lama saya tak bersembang dengan awak” tegur satu suara. Iwan muncul di hadapannya. Niyyaz Nazuha hanya senyum. Kemudian kembali meneruskan tugasnya. Fail-fail di depan masih menjadi tumpuannya.
“ Banyak kerja nampak” komen Iwan melihat Niyyaz Nazuha tidak sempat melayan kunjungannya itu.
“ Maaflah Wan, saya betul-betul sibuk sekarang” jelas Niyyaz Nazuha masih tidak sempat menatap wajah pemuda ini. Pandangan Niyyaz Nazuha terfokus pada fail di tangannya. Terpaksa mengabaikan kunjungan Iwan. Detik ini bukan masa yang sesuai hendak berbual kosong dengan pemuda ini.
“Kasihan awak kena dera lagi. Ada apa-apa yang perlu saya bantu?” soal Iwan cuba menawarkan khidmat tenaga kepada Niyyaz Nazuha.Cuba menggurangkan bebanan kerja gadis ini sekali gus berkongsi kesibukan kerja.
“Terima kasih tapi  saya tak perlukan pertolongan” balas Niyyaz Nazuha.
“ Kalau begitu saya tak mahu ganggu awaklah. Nanti bila dah selesai segala-galanya saya datang balik. Banyak perkara saya nak cakap dengan awak. Maklumlah dah lama betul tak berbual dengan awak terasa rindu pula” ujarnya berjenaka sambil sempat mengenyitkan matanya kepada Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha tersenyum lucu dengan sikap nakal Iwan. Apapun dia berlapang dada lantaran pengertian pemuda ini.
“ Saya pergi dulu, Yaz. Bye....” Niyyaz Nazuha mengangguk sambil memerhatikan langkah Iwan meninggalkannya. Niyyaz Nazuha masih leka meneruskan tugasnya. Dia harus menyiapkan proposal itu sebelum dikemukakan kepada pengarah projek. Semalam Idlan Raid bertanyakan hal ini. Khuatir dirinya gagal menyiapkan perancangan projek mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Dia juga banyak terhutang budi atas tunjuk ajar Idlan Raid selama ini.
Tidak dinafikan Idlan Raid banyak membantunya selama ini. Sebagai orang yang lebih berpengalaman tentunya pemuda ini lebih hebat darinya. Niyyaz Nazuha kagum kepada Idlan Raid kerana bersedia menerima pendapatnya yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang ini. Terbukti Idlan Raid seorang yang profesional dalam menangani setiap tugasan yang diberi. Dia juga tidak mencampurkan urusan peribadi dengan kerja. Sebab itulah Niyyaz Nazuha boleh bekerjasama dengannya biarpun sejarah silam itu sentiasa membayangi mereka.
“Yaz......” Niyyaz Nazuha mengalih pandangannya ke arah  suara yang memanggilnya. Dia tersentak dengan kehadiran Idlan Raid yang tidak sedari sejak dari tadi. Tangan pemuda ini membimbit  beg plastik yang berisi sesuatu lalu diletakkan di atas meja di depan Niyyaz Nazuha. Niyyaz Nazuha menatap pemuda ini dengan kehairanan.

“ Saya beli nasi bungkus untuk awak. Saya tahu awak belum makan lagi” terangnya membuatkan Niyyaz Nazuha terkedu. Niyyaz Nazuha menatap jam tangannya. Sudah waktu makan tengah hari. Patutlah teman-teman yang lain sudah lenyap. Baru dirinya terasa pejabat ini sunyi sepi.
“ Berapa?” pertanyaan itu meluncur laju keluar dari mulutnya membuat air muka Idlan Raid berubah. Timbul rasa bersalah dalam diri Niyyaz Nazuha kerana terlanjur mengutarakan pertanyaan sedemikian.
“ Dengan saya pun awak nak berkira” tingkah Idlan Raid kurang senang. Niyyaz Nazuha terdiam. Sedikit pelik dengan tindakan pemuda ini. Dahulu Idlan Raid tidak pernah mengambil berat tentang dirinya.
“ Dah jadi kewajipan saya” tambahnya. Niyyaz Nazuha menatap pemuda ini. Aneh bicara pemuda ini.
“Saya belanja” putusnya. Sekali lagi Niyyaz Nazuha menatapnya.
“ Tak apalah, anggap saja mama yang belanja awak nasi ini” putusnya sedikit kecewa. Niyyaz Nazuha terdiam panjang. Terkesima menerima kejutan yang dianggapnya kejutan terbesar buat masa ini.
“Jangan lupa makan nanti awak sakit. Okey... saya pergi dulu” Niyyaz Nazuha  menatap Idlan Raid yang sudah memulakan langkah meninggalkannya. Tiba-tiba sahaja Niyyaz Nazuha terasa mahu bersuara. Ada perkara yang harus diungkapkan kepada pemuda itu.
“Idlan .....” panggilnya. Langkah pemuda itu terhenti. Dia terus sahaja memalingkan mukanya ke arah Niyyaz Nazuha semula.
“Terima kasih” Idlan Raid tersenyum dan mengangguk lalu menyambung langkahnya kembali. Niyyaz Nazuha menatap nasi bungkus yang masih berada di dalam beg plastik ini. Bau wangi menyerang rongga hidungnya. Tatkala Niyyaz Nazuha membuka plastik ini hatinya tersentuh. Ternyata Idlan Raid masih ingat tentang makanan kegemarannya. Terima kasih Idlan Raid!

****************

“Saya risau awak masih ada hati pada bekas suami awak” ujar Nina meluahkan kebimbangannya sebaik sahaja Niyyaz Nazuha bercerita tentang kebaikan pemuda itu kepadanya.
“ Saya tak setuju kalau dia tak menderita seperti yang awak lalui dulu” tambahnya lagi dengan suara yang cukup serius. Niyyaz Nazuha tersenyum panjang. Ditepuknya bahu Nina.
“ Awak memang seorang pendendam rupa - rupanya ya. Tak elok macam ni...” ujar Niyyaz Nazuha mengusik Nina sekali gus cuba meleraikan ketegangan diri Nina.
“ Jangan terlalu berlembut hati,  Yaz” rungutnya. Berkerut dahi Niyyaz Nazuha menatap Nina. Tiba-tiba sahaja Nina emosional.
“ Idlan bukan jodoh terbaik awak” tambahnya memberi peringatan. Niyyaz Nazuha tersenyum.
“Hey.... mengapa emosional sangat ni? Saya tak  kata pun mahu bersama dengannya semula” ujar Niyyaz Nazuha cuba meredakan ketegangan yang mula berputik dalam diri Nina.
“ Baguslah kalau awak dah fikir macam tu” ujar Nina mula stabil.  Niyyaz Nazuha tertawa kecil. Terasa lucu dengan tingkahlaku Nina.
“Kalau awak sunyi, saya boleh perkenalkan awak pada seseorang. Saya yakin dialah lelaki  yang terbaik untuk awak. Paling penting dia memang sesuai dengan awak. Percayalah.....” ujar Nina bersungguh-sungguh.
“ Mana awak jumpa orang sebaik itu?” soal Niyyaz Nazuha mengusik Nina.
“ Dia kawan baik saya ketika belajar di USA dahulu. Sekarang dia dah balik ke Malaysia. Saya nak perkenalkan awak kepadanya” jelas Nina bersemangat.
“ Mana dia sudi berkawan dengan saya. Sayakan orang yang terbuang” balas Niyyaz Nazuha merendah diri. Nina mencebik bibir. Tidak bersetuju dengan pendapat sahabatnya itu.
“ Saya banyak cerita tentang awak padanya. Dia begitu berminat nak berkenalan dengan awak. Awak janganlah lepaskan peluang ini” pinta Nina sangat mengharapkan persetujuan sahabatnya itu. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Terlalu tinggi harapan Nina.
“ Bagaimana? Awak setuju?” soal Nina meminta kepastiaan.
“Setuju apa?” soal Niyyaz Nazuha tidak mengerti.
“Berkenalan dengan kawan saya” laju sahaja Nina menyahut. Teruja sangat hendak memperkenalkan Niyyaz Nazuha dengan sahabatnya.
“Saya tiada masa Nina” balas Niyyaz Nazuha menolak hajat hati Nina secara lembut. Belum terfikir Niyyaz Nazuha hendak mencari cinta baru.
“ Alaa... awak hanya perlu luangkan sedikit masa. Itupun dah cukup. Bukan susah sangat pun” bidas Nina sudah merancang pertemuan itu.
“ Nantilah saya fikirkan” balas Niyyaz Nazuha tidak mahu menjanjikan kepastian. Sebenarnya malas dia mahu bertengkar dengan Nina dalam hal ini. Niyyaz Nazuha sedar Nina tidak akan berputus asa mendapatkan persetujuaan. Nina sentiasa serius dalam segala tindakannya. Dia sangat mengenali sikap sahabatnya ini.
“ Orangnya sangat tampan sepadan dengan awak. Rugi kalau awak  lepaskan peluang ini begitu saja” ujar Nina cuba mempengaruhi Niyyaz Nazuha.
“Mengapa awak tak mengenalinya lebih lanjut?” duga Niyyaz Nazuha mengusik Nina. Nina terdiam. Kedengaran keluhannya.  Niyyaz Nazuha menatap wajah Nina yang tiba-tiba sahaja mendung. ‘Adakah aku telah menyinggung perasaannya?’.... Niyyaz Nazuha berbisik pada dirinya.
“ Saya tak mampu menggantikan tempat Halil dengan lelaki lain” ujar Nina perlahan. Niyyaz Nazuha melepaskan keluhannya. Dipegangnya bahu Nina. Simpati kepada sahabatnya itu.
“Awak masih juga menyalahkan diri, Nina” keluh Niyyaz Nazuha. Nina  diam. Dilontar pandangannya jauh-jauh.
“Saya sering saja rindukannya...” tutur Nina menusuk perasaan Niyyaz Nazuha.
“Sabarlah...” pujuk Niyyaz Nazuha. Hanya itu yang mampu dilakukannya. Memujuk rawan hati sahabatnya. ‘Semoga dirimu tetap tabah wahai sahabatku!’.... doa hati Niyyaz Nazuha yang tidak mampu diluahkannya lantaran bimbang menambah kepiluan sahabatnya itu.
“Sekarang .... asalkan  awak tak jadi seperti saya dah cukup” balas Nina mula tersenyum.
Niyyaz Nazuha turut tersenyum. Kebencian Nina kepada Idlan Raid masih tidak mampu dilontarkan jauh-jauh. ‘Degil juga dirimu, Nina! Mudah - mudahan kedegilan awak ini tidak akan merantai dirimu  sekali gus dibelenggu kenangan lalu itu’..... Niyyaz Nazuha bermonolog. Dia bimbang Nina tidak akan memberi peluang pada dirinya memulakan kehidupan baru. Niyyaz Nazuha sangat kenal siapa Nina. Nina degil persis dirinya.
Nina berharap agar Yang Maha Esa membukakan hati Nina menerima mana-mana lelaki yang terbaik buat dirinya setelah pemergian Halil dari hidupnya. ‘Engkau makbulkanlah permintaanku ini, ya Allah. Permintaan hamba-Mu yang serba daif ini. Amin’ .... doa hati Niyyaz Nazuha untuk sahabat baiknya itu. Nina berhak hidup bahagia.

*******************

Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri terkenang perbualannya dengan Nina semalam. Gadis itu bersungguh-sungguh mahu memperkenalkan dirinya dengan sahabatnya. Ternyata Nina cuba menghalang dirinya dengan Idlan Raid bersatu kembali. Terlalu tinggi imaginasi Nina. Nina  tidak merestuinya menjalin hubungan yang lebih serius dengan pemuda itu sejak  dahulu, apatah lagi setelah perpisahan ini. Sesungguhnya perpisahannya dengan Idlan Raid diterima dengan hati yang lapang. Kedinginan Nina terhadap Idlan Raid bukan berlandaskan kebencian. Sebaliknya Nina mahukan kebahagiaan buat Niyyaz Nazuha. Nina yakin pemuda itu tidak mampu mencintai sahabatnya itu. Niyyaz Nazuha  tersenyum lagi. Nina adalah sahabat terbaiknya! Niyyaz Nazuha sedar dia tidak akan menemui sahabat sebaik Nina di dunia ini.
“Hey..... apa hal senyum-senyum sendiri ini?” sapa satu suara mengejutkan Niyyaz Nazuha. Salwa sedang memerhatikannya.
“Tak ada apa - apalah....” ujar Niyyaz Nazuha berdalih.
“Semalam pak we telefonkah? Nampak ceria saja” usik Salwa pula. Niyyaz Nazuha tersenyum. Malas mahu melayan gadis ini lebih-lebih. Salwa berlalu meninggalkannya di situ.
“Yaz....mari temankan saya makan!” laung Iwan di depan sana.
“Lelaki ini tiada kerja lain asyik nak makan saja. Fizikalnya masih juga melidi’ kutuk Salwa. Niyyaz Nazuha tergelak. Matanya melirik menatap jam. Waktu rehat sudah tiba. Dipandang Iwan yang sedang menanti persetujuannya itu.
“Awak pergilah...” arahnya menolak ajakan pemuda itu. Iwan tidak banyak soal terus sahaja melangkah meninggalkan pejabat. Tahap kelaparan pemuda ini sudah sampai kemuncak. Kalau tidak sudah pasti Iwan akan mendesaknya pergi bersama sehingga kadangkala Niyyaz Nazuha terpaksa mengalah.
Niyyaz Nazuha meneruskan tugas yang tidak pernah langsai semuanya. Tidak tahulah bila segalanya akan beres. Terasa pejabat sunyi sepi. Hanya dirnya sahaja yang masih bertahan di situ dan rakan sekerja yang lain sedang melayan selera.
“Yaz......” Niyyaz Nazuha tersentak. Dia sangat mengenali suara itu. Laju dia mengangkat muka lalu melontar pandangan ke muka pintu arah datangnya suara itu. Tepat sangkaannya. Nina datang bersama seorang pemuda. Nina sedang mengorak langkah ke arahnya sambil tersenyum lebar.
“Apa mimpi awak datang jumpa saya?” usik Niyyaz Nazuha terkejut dengan kedatangan Nina. Namun dia sangat gembira menerima kunjungan sahabatnya ini. Dapat dirasakannya bahawa Nina berhajat hendak memperkenalkan dirinya kepada lelaki itu. Lelaki yang paling layak menggantikan tempat Halil. Dia berlapang dada kerana hati Nina sudah terbuka mahu menerima insan lain. Sekurang-kurangnya Nina tidak bersendirian lagi. Paling penting Nina berhenti menyalahkan dirinya. Sungguh  Niyyaz Nazuha gembira jikalau andaian yang bermain di benaknya  saat ini adalah kenyataan.
“Ada insan istimewa nak perkenalkan pada awak” bisik Nana sambil melirik ke arah lelaki yang sedang tersenyum tercengat memerhatikan mereka di ambang pintu itu. Melihat keceriaan Nina, Niyyaz Nazuha ada merasakan memang tepat andaiannya.
“Jom makan tengah hari” ajak Nina. Tanpa berfikir lama Niyyaz Nazuha terus sahaja bersetuju walaupun pada awalnya tadi dia berhasrat tidak mahu menikmati hidangan tengah hari. Namun demi Nina, cepat sahaja dia mengubah hasratnya itu. Niyyaz Nazuha mahu berkongsi kegembiraan dengan Nina. Baru sahaja mereka hendak melangkah.....
“Yaz.....” Langkah Niyyaz Nazuha terhenti. Serentak Niyyaz Nazuha dengan Nina berpaling ke arah suara itu.  Idlan Raid sudah terpacak di depan mereka.  Dia menyedari perubahan ekspresi wajah pemuda ini. Begitu juga Nina. Bagaikan seteru yang bermusuhan sudah bertemu.
“Saya nak awak jumpa Izeq. Kami tunggu  di luar” suara Nina begitu tegas memecah kesepian itu.  Lantas menyambung langkahnya meninggalkan Niyyaz Nazuha dan Idlan Raid di situ. Kelibat Nina dan lelaki itu sudah tidak kelihatan lagi. Seperti yang dijanjikan mereka sedang menanti Niyyaz Nazuha di luar sana.
“ Ya... apa halnya?” tanya Niyyaz Nazuha memandang pemuda ini.
“Awak nak keluar makan?” tanya Idlan Raid tanpa sempat menjawab persoalan Niyyaz Nazuha tadi. Niyyaz Nazuha mengangguk.
“ Tak apalah. Selepas rehat nanti kita bincang ” putusnya. Niyyaz Nazuha mengangguk lagi. Kemudian laju mengatur langkahnya mendapatkan Nina dengan temannya yang sedang menanti di luar sana. Nina dan pemuda itu tersenyum menyambut kedatangan Niyyaz Nazuha.
“Yaz... ini Izeq, kawan saya yang pernah saya cerita pada awak” jelas Nina memulakan bicara. Niyyaz Nazuha menatap  pemuda yang sedang tersenyum itu. Jadi inilah gerangan insan yang ingin Nina perkenalkan kepada dirinya. Ternyata andaian Niyyaz Nazuha tadi jauh meleset.
“ Gembira bertemu dengan awak” sapa Niyyaz Nazuha dengan ramah.
“Saya juga” balas lelaki ini masih dalam senyuman.
“ Saya banyak dengar cerita tentang awak dari Nina” tambahnya lagi.
“ Betulkah? Dia memang mulut tempayan” balas Niyyaz Nazuha mengutuk Nina. Mereka tertawa. Nina menjelingnya sambil tersenyum.
“ Okeylah, jom kita makan” ajak Nina.
Mereka mengorak langkah berkunjung ke restoran yang berdekatan dengan pejabat. Memesan hidangan tengah hari tanpa mengambil masa yang lama. Kebetulan mereka sepakat dalam memilih dan menentukan menu hidangan. Nampak keserasian Niyyaz Nazuha dengan Izeq. Malah satu petanda yang baik. Sepanjang sesi makan berlangsung banyak perkara yang mereka bualkan. Paling menarik berkisar tentang kerjaya. Masing-masing ada pengalaman yang menarik. Ternyata Izeq seorang yang bermurah hati berkongsi pengalamannya yang terlalu berharga. Pemuda ini seorang yang mudah mesra dan begitu sopan. Memang mempunyai ciri-ciri persis yang pernah Nina cerita kepadanya dahulu. Dalam diam Niyyaz Nazuha mula membuat perbandingan antara Izeq dengan Idlan Raid.

******

Niyyaz Nazuha melepaskan tubuhnya ke tilam. Letih. Baru sahaja hendak melelapkan mata tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya berdering. Dengan malas dia menjawab panggilan itu.
“Ya... Nina, saya baru saja sampai di rumah” beritahu Niyyaz Nazuha.
“Bagaimana dengan Izeq? Okeykah?” tanya Nina minta pendapatnya.
“Boleh tahan” balas Niyyaz Nazuha ringkas.
“Awak setuju?” tanya Nina tidak mahu melengahkan masa.
“Setuju apa?” soal Niyyaz Nazuha tidak mengerti.
“Mengenali Izeq lebih jauh” terang Nina. Niyyaz Nazuha tertawa. Nina...Nina...
“ Hey.... saya seriuslah” rungutnya mendengar tawa Niyyaz Nazuha.
“ Nina..., masih terlalu awal saya nak fikirkan perkara ini. Jangan-jangan  Izeq tu dah ada kekasih. Awak mana tahu” balas Niyyaz Nazuha. Pemuda persis diri Izeq mustahil tidak menjadi rebutan dalam kalangan gadis. Dia lelaki baik yang ada rupa.
“Sebelum saya kenalkan awak dengannya, saya dah selidik segalanya. Selepas pertemuan tadi,  Izeq memang tertarik pada awak” ujar Nina serius. Nina serius mahu mempertemukan Niyyaz Nazuha dengan sahabatnya itu.
“Saya berharap kalian akan saling mengenali diri masing-masing dengan lebih jauh lagi” pinta Nina penuh harapan.

“Saya tak berani beri sebarang jaminan pada awak mahupun  pada Izeq” balas Niyyaz Nazuha. Dia tidak mahu ada insan yang kecewa kerana dirinya. Cukuplah Idlan Raid seorang yang jadi mangsanya.  

“Awak fikirkanlah dulu perkara ini. Bye....” Suara Nina lenyap di talian. Niyyaz Nazuha melontar pandangan keluar jendela. Tiada apa yang dilihatnya selain bayangan kosong. Perlahan-lahan Niyyaz Nazuha melepaskan keluhannya.

BAB 10 
Niyyaz Nazuha menatap catatan buku hariannya. Hari ini dia ada temu janji dengan Dato Ramlan. Menurut lelaki itu, Niyyaz Nazuha akan diperkenalkan kepada anak mudanya yang bakal bekerjasama dengan pihak SPPN bagi menggantikan dirinya. Sudah sampai masanya Dato Ramlan  memberi peluang kepada anak mudanya yang baru balik dari Amerika itu. Dato Ramlan mahu mengundur diri dari dunia perniagaan. Itu informasi ringkas yang Niyyaz Nazuha peroleh daripada Dato Ramlan. Dia dengan senang hati menerima perubahan pucuk pimpinan itu. Tidak kisah sesiapa sahaja boleh bekerjasama dengannya asalkan ikhlas, jujur dan bertanggungjawab serta saling mempercayai. Semua itu amat penting kalau mahu berurusan dengan dirinya.
Tepat jam 8.30 malam, Niyyaz Nazuha tiba di ruang lobi hotel yang dijanjikan. Tempat biasa pertemuan mereka. Dato Ramlan sedang menanti kedatangannya.
 “Dah lama sampai, dato?” sapa Niyyaz Nazuha memulakan bicara.
“Baru sekejap tadi. Silalah duduk” pelawa Dato Ramlan ramah.
“Terima kasih” sahutnya sopan. Dia terus melabuhkan duduknya di hadapan Dato Ramlan.  Mata Dato Ramlan liar memerhatikan sekeliling. Dia sedang menanti kedatangan tetamu yang mahu diperkenalkan kepada Niyyaz Nazuha seperti yang dimaklumkannya dalam telefon tempoh hari.
“Mana agaknya dia pergi.....” keluhnya tidak senang duduk. Pantang baginya jika masa tidak ditepati. Ahli korporat yang berjaya persis dirinya sangat menekankan kepentingan masa. Disiplin diri yang tinggi sangat diutamakan.
“Kesesakan lalu - lintas, dato” ujar Niyyaz Nazuha cuba menenangkan hati Dato Ramlan. Dato Ramlan tersenyum. Dia tidak boleh bertenang jika gadis ini terpaksa menunggu lama kedatangan anak mudanya itu. Bimbang tanggapan negatif terhadap anak mudanya itu. 
“Itu pun dia” ujar Dato Ramlan menyentakkan Niyyaz Nazuha. Lapang dadanya tatkala melihat kelibat anak mudanya sudah berada di pandangannya. Niyyaz Nazuha berpaling. Pemuda itu muncul di muka pintu sambil liar memerhatikan sekeliling. Dato Ramlan mengangkat tangan melambai ke arah anak muda itu. Niyyaz Nazuha tersentak. Seakan tidak percaya dengan pandangan matanya saat ini. Pemuda itu semakin mendekati mereka. Tepat. Memang dia tidak tersilap orang.
“Maaf terlewat” ujarnya kesal menatap Dato Ramlan dengan hormat. Belum sempat bertentang mata dengan tetamu yang mahu diperkenalkan kepadanya.
“Izeq, papa perkenalkan... Ini Cik Niyyaz Nazuha wakil SPPN yang bekerjasama dengan syarikat kita selama ini” tutur Dato Ramlan tidak mahu melengahkan masa lagi. Dato Ramlan bagai tidak sabar – sabar mahu memperkenalkan anak mudanya itu kepada Niyyaz Nazuha. Pantas sahaja Izeq berpaling ke arah gadis itu. Membutang pandangannya menatap gadis itu. Pertemuan yang tidak disangka – sangka.
“ Yaz....” Niyyaz Nazuha tersenyum. Tercuit hatinya menyaksikan gelagat Izeq yang nampak terkejut dengan pertemuaan ini.
“ Kamu dah kenal dengan Cik Niyyaz?” tanya Dato Ramlan yang juga kehairanan menatap tingkahlaku anak mudanya itu. Laju Izeq mengangguk tanpa sempat bersuara.
“ Baguslah kalau begitu. Lebih mudah bekerjasama nanti” tutur Dato Ramlan senang hati. Izeq mengangguk. Bersetuju  dengan bicara Dato Ramlan. Memang itu yang diharapkannya. Lebih mengenali lebih mudah bekerjasama.
“ Hey.... tak sangka kita akan dipertemukan lagi. Awak apa khabar?” tanyanya ramah.
“ Alhamdulillah... baik. Awak sihat?” soal Niyyaz Nazuha pula.
“ Seperti yang awak tengok sekarang. Saya gembira dapat bekerjasama dengan awak” luahnya tersenyum lebar. Niyyaz Nazuha mengangguk. Berbesar hati dengan bicara Izeq.
“Cik Niyyaz seorang pegawai yang berkebolehan. Jangan lepaskan peluang belajar banyak perkara darinya” puji Dato Ramlan buat Niyyaz Nazuha segan. Dato Ramlan lebih senang memanggil dirinya sebegitu formal, walaupun sudah pernah ditegur oleh gadis ini. Ternyata Dato Ramlan begitu hormat orang di sekelilingnya tanpa mengira darjat keturunan serta status seseorang itu. Begitu terserlah sikap terpuji dalam diri Dato Ramlan. Niyyaz Nazuha yakin Izeq juga mewarisi sikap sedemikian daripada ayahnya.

“Taklah sehebat mana, dato” ujarnya merendah diri.
“ Awak beruntung dapat pujian papa. Saya yakin awak memang berkebolehan. Kalau tak masakan papa puji dan mahu bekerjasama dengan awak. Papa saya ni susah juga nak puji orang” tutur Izeq membuatkan Niyyaz Nazuha dan Dato Ramlan tersenyum.

“ Kalau kamu dan Cik Niyyaz dah saling mengenali, lagi mudah kerja papa. Tak payahlah papa susah payah nak terangkan segalanya. Kamu dan Cik Niyyaz bincanglah apa yang perlu. Papa minta diri dulu” ujar Dato Ramlan mengundur diri sekali gus memberi peluang kepada Niyyaz Nazuha dengan Izeq berbual panjang.
“Dato, bagaimana dengan perancangan yang dulu?” soal Niyyaz Nazuha. Pertukaran pucuk pimpinan memungkinkan juga ada perubahan yang perlu dilakukan.
“Cik Niyyaz, mulai hari ini kamu tak payah berurusan dengan saya lagi. Kalau ada apa-apa yang perlu dibincangkan kamu berdua berbincang saja. Sekarang segala urusan perniagaan saya dah serahkan kepada Izeq termasuk projek kerjasama antara SPPN dengan Syarikat Restu” terang Dato Ramlan panjang lebar. Niyyaz Nazuha mengangguk faham. Pandangannya kemudian beralih kepada Izeq. Dia mengangkat keningnya kepada pemuda itu. Sekadar mahu menguji Izeq.
“Mengapa? Awak tak yakin dengan kemampuan saya?” duga Izeq tersenyum panjang. Niyyaz Nazuha menggeleng dan tersenyum. Dia tidak pernah memandang rendah dengan kemampuan dan kebolehan anak muda ini.
“ Orang muda mestilah lebih hebat. Saya yakin kalian boleh melakukan yang terbaik” balas Dato Ramlan tanpa sempat Niyyaz Nazuha menjawab persoalan Izeq tadi.
“Kalian berbincanglah perkara yang perlu. Papa pergi dulu” ujar Dato Ramlan memohon diri lalu melangkah meninggalkan Niyyaz Nazuha dengan Izeq bagi meneruskan perbincangan. Niyyaz Nazuha memandang Izeq.
“Sekarang kita nak mulakan perbincangan dari mana? Jika ada sebarang kemusykilan silalah tanya” jelasnya dengan tenang.
“Wah..... seriusnya...!” Izeq buat – buat lagak gentar.
“Saya sangat serius dengan kerja saya” luahnya berterus-terang.
“Saya tahu sebab itu papa yakin dan suka dengan cara awak bekerja. Kalian pasti sering sependapat” komen Izeq mengulas pendirian Niyyaz Nazuha serupa dengan ayahnya.
“Dan satu lagi, masa itu terlalu berharga pada saya. Jadi saya sangat mementingkan ketepatan masa dan akan mempastikan semuanya berjalan mengikut perancangan” tambahnya. Izeq tersenyum menatap Niyyaz Nazuha. Terasa tersindir dirinya.
“Saya kagum dengan awak, Yaz. Rasa bertuah dapat bekerjasama dengan awak. Maaf saya terlewat tadi tapi saya ada alasan sendiri” balas Izeq membela diri. Tidak tega dirinya dipersalahkan sepenuhnya.
“Saya hairan mengapa dato terlalu percayakan awak sehingga sanggup melepaskan segala-galanya pada awak” duganya menguji  Izeq. Mahu mengukur sejauhmana tahap kesabaran yang dimiliki oleh pemuda ini.
“Mudah saja. Sayakan  anak tunggal Dato Ramlan pemilik Syarikat Restu. Kalau bukan saya pewaris tunggal,  siapa lagi yang harus dipercayainya? Awak tak yakin akan kebolehan saya?” soal Izeq. Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri.
“Tunggu dan lihat saja. Saya akan buktikan siapa saya. Suatu hari nanti pasti awak akan tabik hormat kepada saya” ujarnya dengan semangat kental yang tinggi.
“Saya tak nak dengar cakap kosong saja” balasnya masih mahu menguji Izeq. Izeq tersenyum. Tidak mudah melatah walaupun kebolehan dirinya dipertikaikan oleh gadis ini.
“Okey... awak tunggu saja nanti. Cuma dua perkara saja yang saya perlukan dari awak” pinta Izeq tanpa segan silu.
“Apa?” pantas Niyyaz Nazuha bertanya.
“Kepercayaan awak dan awak harus memenuhi permintaan saya sebagai ganjarannya. Bagaimana setuju?” soal Izeq bertanyakan persetujuannya.
“ Kepercayaan saya boleh berikan setelah awak membuktikan kebolehan awak, tapi tentang permintaan awak, saya tak janji akan tunaikannya” balasnya. Izeq ketawa.
“Saya belum cakap lagi awak dah beri jawapannya. Mengapa? Awak risau tak mampu melakukannya?” soal Izeq lagi.
“Saya tak nak hampakan permintaan orang sebab tiu saya tak suka berjanji” terang Niyyaz Nazuha jujur.
“Bagus. Saya suka dengan cara awak” puji Izeq.
“Okeylah... saya rasa perbualan kita dah jauh menyimpang. Saya nak mulakan perbincangan tentang projek usahasama SPPN dengan Syarikat Restu. Awak dah bersedia?” soalnya meminta kepastian.
“Baiklah puan...” sahut Izeq buat Niyyaz Nazuha tersenyum.
Niyyaz Nazuha terus sahaja memberikan penjelasan detail tentang projek usahasama SPPN dengan Syarikat Restu. Pada peringkat permulaan, dia perlu memberikan penerangan terlebih dahulu tentang projek walaupun dia yakin Izeq sudah membaca sebahagian perjalanan projek tersebut. Kelihatan Izeq begitu tekun mendengar setiap hujah yang  sampaikan oleh Niyyaz Nazuha. Perwatakan pemuda ini terlalu berbeza ketika berbual kosong dengannya tadi. Melihat kesungguhan Izeq ini, dia yakin pemuda ini mampu merealisasikan kata-katanya sebentar tadi.
“Okey.... awak dah faham?” soalnya. Dia menatap Izeq. Laju sahaja Izeq mengangguk. Dia yakin latar belakang keluarga Izeq mempengaruhi kebolehan anak muda ini. Tidak sukar bagi Izeq memahami semua ini. Inilah dunia Izeq. Pandangan mata Niyyaz Nazuha beralih ke arah jam tangannya. Waktu sudah mencecah ke pukul 10.00 lebih. Malam semakin berganjak. Sepatutnya dia sudah berehat di rumah sekarang setelah sepanjang hari mengerah kudratnya.
“Saya rasa setakat ini saja dulu. Untuk perkembangan lanjut kita akan bincang kemudian” saran Niyyaz Nazuha. Izeq mengangguk setuju. Fail – fail dikemas lalu disimpan di dalam briefcase. Izeq leka memerhatikan gelagatnya.
“Betulkah awak tak nak penuhi permintaan saya?” soal Izeq masih berkisar tentang perbualan awal mereka tadi.
“Besar sangatkah permintaan awak?” soalnya.
 “Permintaan saya mudah saja. Awak hanya perlu menyatakan persetujuan awak” terangnya. Niyyaz Nazuha diam.
“Saya jarang sangat nak  buat permintaan terutama tentang permintaan saya sekarang. Saya tak pernah cakap pada orang lain. Awaklah orang yang bertuah kerana dapat tawaran ini. Rugi kalau awak menolak.  Bagaimana? Awak setuju?” desaknya persis mengharapkan persetujuan gadis itu.
“Selalunya perkara yang mudah  susah nak ditunaikan. Biarlah saya fikir dulu” ujar Niyyaz Nazuha tidak mahu bertindak terburu – buru. Pengalaman lalu banyak mengajarnya agar lebih berhati – hati. Telajak kata buruk padahnya.
“Saya nak tanya awak” ujar Niyyaz Nazuha tiba-tiba.
“Awak nak tanya apa?” soal Izeq laju sahaja menyahutnya.

“Kita bukan kenal lama pun. Mengapa awak beriya – iya nak saya  tunaikan permintaan awak?” tanya Niyyaz Nazuha cuba memecah kesangsian. Bimbang jika pemuda ini ada niat buruk yang tersembunyi. Dia bukan hendak berprasangka buruk namun sekadar berhati – hati. Zaman moden sekarang susah hendak bertemu dengan orang yang sangat jujur dan ikhlas. Maka tidak harus sewenangnya mempercayai orang lain, apatah lagi orang yang baru sahaja dikenali.
“Saya dapat merasakan awaklah orang yang layak menunaikannya” ujar Izeq dengan yakin. Niyyaz Nazuha mencebik bibir. Tidak mahu dirinya begitu mudah termakan kata – kata manis yang berupa sanjungan dan pujian yang keluar dari mulut anak muda ini. Segelintir kaum Adam memang bijak berbicara. Ibarat lembut gigi dari lidah. Bahaya.
“Awak rasa saya pemurah sangatkah nak penuhi hajat orang lain?” soalnya sinis. Izeq tertawa kecil. Jelas di matanya Niyyaz Nazuha seorang yang terlalu berhati – hati. Pendiriannya tegas. Sukar hendak digugat.
“Banyak istimewanya sebab itu saya nak awak tunaikan hajat saya” luah Izeq tidak berselindung. Niyyaz Nazuha mencebik. Bicara pemuda ini tidak menyenangkannya. Janggal juga dengan sikap telus Izeq yang tiada sempadan. Berterus terang semahunya.
“Awak jangan merepeklah. Sejak tadi awak asyik kata permintaan. Hey.... apa sebenarnya permintaan awak?” tanyanya tidak dapat menahan sabar lagi.
“Saya tak boleh cakap selagi awak tak setuju” sahut Izeq masih mahu berahsia.
“Saya juga takkan beri kata putus selagi awak tak berterus terang dengan saya” balasnya berdegil. Izeq tertawa lagi.
“Betul kata Nina awak ini boleh tahan degilnya” ujar Izeq tersenyum.
“Apa lagi yang dia cerita pada awak?” soal Niyyaz Nazuha cuba mengorek rahsia mereka. Mana tahu Nina bercerita lebih-lebih tentang dirinya. ‘Nina...ada masanya tidak boleh  dipercayai. Silap-silap hari bulan dia jual namaku’.... kutuk hati kecil Niyyaz Nazuha.
“Terlalu banyak” balasnya ringkas.
“Cakaplah....” gesa Niyyaz Nazuha tidak senang hati dirinya telah menjadi bahan bualan antara Nina dengan pemuda ini. Izeq geleng kepala sambil tersenyum.
“Awak memang suka berahsia” keluh Niyyaz Nazuha geram.
“Seperti awak juga” balas Izeq mengenakannya.
“ Alaa... malaslah saya nak cakap dengan awak. Okeylah... saya balik dulu. Kalau ada perkara yang perlu dibincangkan berkaitan projek ini, awak telefon saya ya” pesan Niyyaz Nazuha.
“ Telefon awak semata – mata berkaitan projek? Perkara lain tak boleh bincangkah?” soalnya mengusik Niyyaz Nazuha. Tajam pandangan Niyyaz Nazuha menatap Izeq yang tersengih panjang.

“ Telefon saya bukan talian hotline. Kalau awak ada hal lain nak bincang dengan saya, boleh tak jadi masalah asalkan jangan bercakap tentang permintaan awak. Saya dah bosan mendengarnya” ujar Niyyaz Nazuha menggariskan syaratnya. Izeq tertawa. Pelik. Terdetik kehairanan dalam hati Niyyaz Nazuha kerana dirinya boleh berbual panjang dengan anak muda ini.

“Apa salahnya, Yaz” balasnya masih berdegil.

“Saya balik dululah” ujar Niyyaz Nazuha meminta diri.

“Biar saya hantar awak” ujar Izeq menawarkan khidmatnya.

“Kereta saya awak nak suruh siapa hantar ke rumah?” soal Niyyaz Nazuha bingung memikirkan pelawaan Izeq. Kemudian memulakan langkah beredar dari situ. Izeq tersenyum  sambil memerhatikan langkah Niyyaz Nazuha yang semakin jauh meninggalkannya. Hatinya berbunga riang. Gembira sangat bertemu dan dapat berbual – bual dengan gadis itu.
 

2 comments:

  1. Cerita ni dulu tajuk lain kan.

    ReplyDelete
  2. ya cite ni judu awal 'Tembok Kasih'. ada ckit pertambahan, watak n pengolahan cite jg ckit berbeza

    ReplyDelete