Thursday, 10 July 2014

Awak JodohKu Lagi!...15





BAB 15

Dia sudah membuat keputusan muktamad. Pakaiannya sudah siap dikemas. Hari ini dia akan kembali ke kota. Sudah cukup dia menghabiskan masa seminggu menenangkan diri. Dia tidak mahu membuang masa yang panjang lari dari masalah yang timbul. Mahu tidak mahu dia mesti berhadapan dengan kenyataan itu. Itu prinsip hidupnya.
“Aku dah biasa berhadapan dengan keadaan seperti ini. Kisahku dengan Idlan lebih menduga lagi. Kalau aku mampu melalui semua itu, mengapa tak kali ini?  Aku memiliki kekuatan yang Ilahi anugerahkan dan seharusnya aku menggunakan sebaik-baiknya’... bisik hati Niyyaz Nazuha.
“ Hey.... Yaz, selama ini awak pergi mana? Sekarang baru awak hubungi saya”  keluh Nina gembira mendengar suara Niyyaz Nazuha di talian.
“Saya pergi cuti” jawabnya ringkas.
“Sampai hati awak tak beritahu saya. Saya risau betul tau” rungutnya.
“Maaflah, Nina” ujar Niyyaz Nazuha perlahan.
“Awak dah tahu cerita terbaru tentang Syarikat Restu dan Izeq?” soalnya memulakan cerita yang sedang Niyyaz Nazuha nantikan.
“Awak telah dibela secara terhormat malah seluruh syarikat gempar apabila Izeq keluarkan kenyataannya” cerita Nina lagi. Niyyaz Nazuha terdiam. Fikirannya menerawang jauh memikirkan bicara Nina. ‘Apakah yang telah Izeq lakukan?’... Dia tertanya – tanya pada diri sendiri.
“ Dota Kamal cari awak dan Lembaga Pengarah nak awak terus kerja di syarikat itu. Sekarang semua orang sedang sibuk cari awak. Bertuahlah awak semua orang ambil berat” ujarnya berbaur cemburu. Dia masih tidak bersuara. Dia memberi peluang kepada Nina menyambung bicaranya.
“Tak sabar saya nak tengok reaksi Idlan” tambahnya lagi dengan nada yang masih berdendam.
“ Nina, sebenarnya apa telah berlaku?” soalnya setelah lama berdiam.
“ Izeq dah umumkan yang dia akan melamar awak” ujarnya ceria. Niyyaz Nazuha tergamam. Kenyataan Nina mengejutkannya.  Dia melepaskan keluhan. Kematian akal hendak menyambung bicaranya. Tidak sangka Izeq begitu nekad dengan keputusannya. Nampaknya dia  masih berada dalam delima.
“Awak jangan salah sangka pula. Izeq lamar awak bukan semata - mata kerana apa yang telah terjadi, tapi dia memang telah jatuh cinta pada awak malah Dato Ramlan memang berkenan sangat pada awak sehingga dia  sanggup merayu agar pihak Lembaga Pengarah tak singkirkan awak dari SPPN” cerita Nina bersungguh-sungguh.

Dia terdiam lagi. Rasa terharu dan terhutang budi kepada lelaki itu. Lelaki yang diibaratkannya persis ayahnya sendiri.
“Awak tak mahu komen apa-apa?” suara Nina mengejutkannya. Lama juga dia berdiam diri. Fikirannya buntu. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Nina. Kekeliruan semakin bercambah di benaknya.
“Seronaknya kalau saya berada di situ pada hari itu. Bolehlah saya tengok reaksi Idlan” tambah Nina. ‘Nina masih mengaitkan aku dengan Idlan sedangkan kisah itu  sudah lama berlalu. Aku tak fikir Idlan akan menerima kesannya. Sebetulnya pemuda itu sudah bebas dariku, begitu juga sebaliknya’.... bisik hati Niyyaz Nazuha mengulas reaksi sahabatnya itu.

“Awak terima lamaran itu?” soal Nina bernada desakan. Tidak sabar dia mahu mengetahui keputusan sahabatnya itu. Perlahan-lahan Niyyaz Nazuha mengeluh. Dia tidak mahu bertindak melulu kerana semua itu pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam. Paling penting dia tidak mahu kecundang dan mengecewakan seorang insan lagi. Pemuda yang baik seharusnya mendapat gadis yang baik.
“Saya belum terfikir nak buat sebarang keputusan” putus Niyyaz Nazuha tidak mahu bertindak terburu - buru. Kedengaran keluhan Nina. Jawapan yang pasti tidak mahu didengar Nina. Pada Nina, lamaran Izeq itu bagai pucuk dicita ulam mendatang. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Betapa Nina bersungguh – sungguh mahu menyatukannya dengan Izeq.

“Awak akan bahagia kalau awak pertimbangkan lamaran Izeq itu, malah sayalah manusia yang paling bahagia di dunia ini kalau awak  terima sahaja lamaran itu” luahnya tanpa berselindung lagi. Nina yakin Izeq mampu memberi sinar baru dalam hidup Niyyaz Nazuha.
“Okeylah Nina saya ada hal yang perlu diselesaikan. Saya akan telefon awak lagi” putus Niyyaz Nazuha seraya mematikan imaginasi Nina.
“ Awak mahu lari lagikah?” duganya. Nina masih belum berpuas hati dan berputus asa. Selagi dia belum memberikan keputusan yang bakal diambilnya selagi itu hati Nina tidak akan tenteram.
“Assalamualaikum.... Bye......” Niyyaz Nazuha mematikan perbualan itu. Dia mengeluh lagi. Lantas mendongak ke atas. Fikirannya kosong.
‘Bagaimana aku nak berhadapan dengan semua orang, lebih-lebih lagi dengan Idlan? Apa dia kata nanti?’ bisik Niyyaz Nazuha sendirian.

‘Ahh.... Izeq, kau buat aku serba salah. Pasti aku tak mahu mengecewakan sesiapa. Tetapi yang nyata aku tak mahu mengulangi sejarah lalu kerana semua itu amat menyakitkan. Aku takut.......’ hati Niyyaz Nazuha terus berkata – kata.


******************


                       
Dia menarik nafas panjang. Kemudian mula mengatur langkah dengan keyakinan yang dititip buat dirinya.  Dia sudah cukup bersedia berhadapan dengan teman-temannya. Dia berharap  segalanya akan berjalan lancar.
“Yaz......!” Salwa terjerit kecil tatkala melihat Niyyaz Nazuha berdiri di muka pintu. Laju sahaja dia menerpa ke arah Niyyaz Nazuha. Tubuh gadis itu terus dipeluknya.
“Bagaimana sekarang? Dah hilang rajuk awak?” bisik Salwa mengusiknya. Niyyaz Nazuha tersenyum. Salwa masih menatapnya dengan wajah yang berseri – seri. Tidak sabar mahu berkongsi cerita dengannya.
“Sejak awak cuti hari itu banyak perkara yang berlaku di sini” ceritanya. Dia tenang sahaja mendengarnya.
“Tahniah. Betul juga andaian saya,  Izeq memang ada hati pada awak, Yaz” tutur Salwa tersenyum mengusik. Dia diam sahaja. Sesungguhnya perkara ini sudah dijangka akan menjadi topik perbualan teman-temannya. Maka, dia sudah bersiap sedia menghadapinya.
“Bagaimana? Apa keputusan awak? Kami dah tak sabar-sabar ini tapi.....” kata-kata Salwa tersekat setakat di situ. Dia diam. Ekspresi wajahnya berubah. Dia menatap Salwa sambil mengharapkan satu penjelasan.
“Tapi apa?” soalnya tatkala Salwa tidak bersuara lagi.
“Berita ini dah pasti tak menggembirakan Iwan. Awak tahukan perasaannya terhadap awak selama ini” terang Salwa sekali gus satu kejutan buat Niyyaz Nazuha.
“Perkara ini dah tentu mengecewakannya” tambah Salwa.
‘Iwan menyukaiku melebihi seorang sahabat? Tak mungkin. Setahu aku selama ini dia hanya sekadar mahu bergurau denganku. Kata-katanya hanyalah satu usikan sekadar mahu menghiburkan hatiku. Tak lebih dari itu’..... Niyyaz Nazuha bermonolog sendiri.
“Yaz... Kenapa? Diam saja....” Salwa baru menyedari tingkahlakunya yang membisu seribu bahasa.  Dia jadi serba salah tatkala Salwa merenungnya sedemikian. Sesungguhnya banyak perkara lagi yang tidak diketahui dan berada di luar jangkaannya. Iwan.... nampaknya satu masalah lagi buat dirinya.
“Tak apalah Sal, saya duduk dulu” balasnya memohon diri lalu melangkah mendekati mejanya. ‘Ahh.... Apa yang perlu aku lakukan andai Iwan datang bertanyakan perkara itu? Apa jawapan yang terbaik yang harus aku berikan kepadanya?’ .... Dirinya bersoal – jawab sendiri. Dia binggung tika ini. Tiba-tiba sahaja interkom di sisinya berbunyi mengejutkannya. Pantas sahaja jarinya menekan punat itu menerima suara yang mahu berhubung dengannya.
“Saya nak jumpa kamu sekarang” suara Dato Kamal mengeluarkan satu arahan.
“ Ya dato sekejap lagi saya datang” balas Niyyaz Nazuha. Dia menarik nafas panjang. Cuba bertenang. Bingkas dia bangun lalu mengatur langkah mendekati bilik itu. Jarinya mengetuk daun pintu bilik itu.
“ Masuk.....” arah suara itu. Niyyaz Nazuha menarik nafas lagi. Cuba mengumpul kekuatan dan keyakinan diri. Dia sudah siap sedia menerima sebarang hukuman andai itu yang mahu diperkatakan lelaki itu kepadanya. Sebaik sahaja dia muncul di depan lelaki itu, seulas senyuman ramah dilemparkan kepadanya sekali gus mengusir sedikit rasa gementarnya tika ini.
“Apa khabar sekarang?” soalnya mesra.
“ Baik dato” balas Niyyaz Nazuha tersenyum.
“ Duduk.....” jemputnya.
“ Terima kasih” balasnya sopan. Sepi seketika. Dia menatap wajah lelaki ini. Masih  tenang. Dato Kamal tersenyum lagi.
“ Tiada perkara buruk yang nak saya sampaikan pada kamu. Jadi  janganlah risau. Saya nak pastikan kamu dah okey” ujar Dato Kamal cuba menenangkan gelodak jiwanya. Dato Kamal seakan dapat membaca kegelisahan yang melanda dirinya tika ini. Dia cuba senyum. Dia sedar Dato Kamal seorang majikan yang baik dan bertanggungjawab. Tika masalah itu melanda dirinya, Dato Kamal tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman mahupun membuat sebarang keputusan tanpa memberi peluang kepadanya membela diri. Sesungguhnya dia terharu dengan sikap timbang rasa lelaki ini.
“Bagaimana sekarang? Sudah boleh sambung kerja semula?” soalnya lagi. Niyyaz Nazuha mengangguk.
“Baguslah. Saya harap kamu boleh bekerja seperti biasa. Tak payahlah ingatkan sangat perkara itu. Jadikan sebagai pengalaman dan pengajaran agar kamu lebih berhati – hati” nasihatnya membuatkan Niyyaz Nazuha bertambah terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Dato Kamal itu.
“Terima kasih, dato” ujar Niyyaz Nazuha berbesar hati.
Senyap seketika. Dato Kamal menatapnya. Ada sesuatu yang mahu diperkatakan kepada gadis ini. Dia membalas pandangan lelaki itu. Dia berharap lelaki ini akan meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Dia tidak mahu Dato Kamal berahsia dengannya. Niyyaz Nazuha memang berharap segalanya akan sirna.
“Bagaimana hubungan kamu dengan Izeq? Sebenarnya.... saya tak nak campur tangan dalam urusan peribadi kamu” ujarnya serba salah. Niyyaz Nazuha hanya diam. Dia mengerti dengan tindakan Dato Kamal.
“Tapi kalau kamu perlu nasihat dan pandangan saya, jangan segan - segan” ujarnya tersenyum. Niyyaz Nazuha turut senyum.
“Saya yakin kamu boleh selesaikan semua ini dengan baik. Cuma saya nak cakap Izeq boleh dikatakan pemuda yang baik. Saya dah lama kenal keluarga Dato Ramlan malah Izeq dah macam anak saya sendiri. Izeq mampu membahagiakan kamu” ujarnya penuh makna.
Niyyaz Nazuha diam lagi. Dia bersetuju dengan pendapat Dato Kamal. Memang diakuinya Izeq seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Sepanjang perkenalan mereka tidak pernah pun Izeq menyakiti hatinya.
“Tak apalah. Kamu nak cakap sesuatu?” soal Dato Kamal memberi peluang kepada Niyyaz Nazuha bersuara setelah lebih banyak mendiamkan diri. Dia menggeleng.
“ Okeylah.... kamu buatlah kerja kamu. Jangan fikirkan sangat apa yang telah berlaku” nasihatnya. Niyyaz Nazuha mengangguk.
“Terima kasih, dato” ujarnya lalu bangun  dan melangkah meninggalkan bilik ini. Dia melabuhkan duduknya di kerusi mahu memulakan tugas yang  terbengkalai sejak seminggu lalu. Semuanya gara-gara terlalu mengikut emosi.  Dia bersyukur kerana pertemuannya dengan Dato Kamal berjalan lancar. Tangannya mula  menarik fail hitam itu. Seminit kemudian sudah terbentang di depannya. Dia perlu menemui pemuda itu untuk membincangkan projek tersebut. Simpati pada Idlan Raid. Mungkin sejak dia  bercuti seminggu lalu tentunya pemuda itu terpaksa bersusah payah sendiriian menyiapkan perancangan tersebut. ‘Bagaimana pula reaksi Idlan nanti? Masihkah dia kesal kerana aku lebih suka mendiamkan diri dari membuka mulut membela diri’... Niyyaz Nazuha berbicara sendiri lagi.
“Yaz......!” Niyyaz Nazuha tersentak. Laju dia berpaling. Degupan jantungnya semakin rancak sedangkan mulutnya terkunci tidak mampu bersuara. Pandangan mereka bersatu. Iwan yang kini berada di depannya juga terdiam. Tiba-tiba sahaja masing-masing terasa terasing.
“ Yaz.... saya minta maaf dengan sikap saya tempoh hari. Saya tahu saya telah mengecewakan awak. Sepatutnya saya  memberi sokongan bukan menyalahkan awak” tutur Iwan kesal dengan wajah yang muram. Niyyaz Nazuha senyum. Dia tahu Iwan menuturkannya dengan ikhlas. Lahir dari kata hatinya yang suci murni.
“Tak apalah Wan, perkara kecil saja. Saya tak pernahn menyalahkan awak” ujarnya jujur. Iwan kembali senyum. Namun wajah itu tidak seceria seperti biasa.
“Seminggu awak tinggalkan pejabat bukan main risaunya saya. Saya bimbang berlaku sesuatu yang tak elok pada awak” luahnya lagi. Niyyaz Nazuha senyum.
“Terima kasih sebab ambil berat pada saya. Tak payah risau saya masih waras dan saya takkan buat sesuatu yang boleh menyakiti diri sendiri” terang Niyyaz Nazuha. Sepi seketika. Kedengaran Iwan menghela nafas panjang. Bagai ada sesuatu yang mahu diluahkannya namun terlalu sukar. Perkara itu terlalu berat.
“ Yaz.....” panggilnya lembut. Niyyaz Nazuha mendongak menatap wajah Iwan. Menanti apa yang bakal dikatakan oleh lelaki ini. Sepi. Masih tiada suara Iwan yang berbicara.
“ Saya .....” Tiba-tiba sahaja telefon bimbit gadis itu berdering memintas bicara Iwan.
“ Wan, maaf saya perlu jawab panggilan ini” ujar Niyyaz Nazuha lalu mendakap telefon bimbit itu ke telinganya. Iwan mengangguk lemah. Seketika  dia masih terpacak di sisi meja itu sambil terus memerhatikan Niyyaz Nazuha.
“Assalamualaikum .... ya Izeq... Apa khabar?” soal Niyyaz Nazuha. Serta-merta reaksi wajah Iwan bertukar tatkala mendengar nama itu.
“Mengapa awak menghilang begitu saja? Awak buat saya betul-betul risau. Awak marahkan saya, Yaz?” soal Izeq bernada kesal.
“Maafkan saya. Saya hanya mahu menenangkan fikiran” jelasnya.
“Awak dah dengar segalanyakan.  Saya betul-betul ikhlas dengan awak. Kalau bukan kerana peristiwa itu pun suatu hari nanti saya pasti akan menyuarakan hasrat hati saya ini pada awak. Saya harap awak tak akan salah faham dengan tindakan saya ini” pintanya.  Niyyaz Nazuha menarik nafas panjang. Ditatapnya wajah Iwan yang masih setia terpacak di sisi meja ini.
“Saya memang menyimpan perasaan pada awak, Yaz” luah Izeq serius. Niyyaz Nazuha terdiam lagi. Tiba saatnya pemuda ini meluahkan perasaan kepadanya.
“Yaz, saya pergi dulu” tiba-tiba sahaja Iwan beredar meninggalkannya dengan wajah mendung sebelum sempat Niyyaz Nazuha menahannya.
“Awak boleh dengar cakap saya, Yaz?” soalnya memandangkan gadis ini hanya berdiam diri. Tidak senang dengan diam yang berterusan.
“Ya....” jawabnya ringkas.
“Kita keluar makan malam ini. Banyak perkara yang saya mahu bincang dengan awak” terang Izeq.
“Maaf Izeq. Saya belum bersedia nak keluar. Saya nak berehat lagi” terus-terangnya. Dia perlukan sedikit masa lagi sebelum bersemuka dengan pemuda itu.
“Awak marahkan saya?” soal Izeq lagi.
“Taklah...” tegasnya. Kedengaran keluhan Izeq di hujung sana. Ternyata dia kecewa mendengar jawapan gadis ini.

“Tak pelah. Kalau awak dah bersedia nanti,  kita keluar makan ya. Yaz... (senyap) ..... saya betul-betul serius dengan awak. Memang niat saya nak jadikan awak teman hidup saya” tegas Izeq bersungguh – sungguh. Dia masih tidak bersuara.
“Saya akan setia menanti jawapan awak. Saya harap awak tak akan kecewakan saya dan papa. Assalamualaikum ” tambah Izeq dengan keyakinan yang tinggi.

Suara Izeq terus lenyap. Niyyaz Nazuha menarik nafas berat. Lama dia termenung. Baru dia teringat pada Iwan yang berada dekat dengannya tadi. Liar anak matanya mencari kelibat Iwan. Ada sesuatu yang belum diluahkan pemuda itu kepadanya.

No comments:

Post a Comment