BAB 15
Lima minit berlalu, aku dan pemuda ini hanya sesekali berpandangan sedangkan mulut tetap terkunci. Tiada sepatahpun perkataan yang keluar dari mulut masing – masing. Ruang tamu ini hanya dipenuhi dengan keriuhan suara mak dan Mak Long silih berganti. Banyak sangat cerita mereka sehinggakan pertemuan kedua ini pun masih belum habis – habis lagi. Sentiasa saja rancak.
“Yang kamu berdua senyap ni, tak reti berbual ke?” tanya Mak Long yang mungkin baru saja menyedari yang aku dan anak terunanya itu hanya jadi pendengar setia perbualanannya dengan mak.
“Yalah Lia, ni ler sepupu kamu, Hyeon” celah mak memperkenalkan pemuda ini kepadaku. Aku tersenyum simpul mendengar sebaris nama miliknya itu. Kupadang sekilas seraut wajah yang sentiasa bermusim salji itu. Nama yang begitu padan dengan dirinya. Sepasang anak mata sedikit sepet itu menatapku dengan pandangan yang bersahaja.
Berjuta kali aku tidak menyangka dia adalah anak Mak Long sekaligus merupakan sepupuku. Pemuda dingin membeku yang aku namakan Si Tunggul Kayu, malah kulabelkan sebagai seorang pemuda misteri rupanya ada pertalian darah denganku. Betul – betul di luar dugaanku aku ada sepupu peranakan Korea. Boleh tahan kacaknya, tapi malangnya sudah tergolong sebagai musuhku.
Mengimbau kembali pertemuan pertama kami di rumah ini kira – kira dua jam yang lalu mengundang rasa hairanku. Rasa terkejutku tidak dapat diumpamakan tatkala bertembung mata dengannya tadi. Sebaliknya, pemuda ini hanya memandangku dengan pandangan bersahaja. Langsung tidak nampak terkejut mahupun tersentak melihat aku. Mungkinkah dia memang mengetahui wujudnya hubungan persaudaraan antara kami. Bila aku berfikir lagi, memang begitulah sikapnya. Dahulu pun bila aku marahkan dia, Aqel langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Sepupu yang sangat ketandusan emosi.
“Lia, jangan hairan, perangai Hyeon memang macam ni tak banyak cakap” tutur Mak Long mewakili anak terunanya. Macam tahu – tahu saja Mak Long ini aku sedang mengkritik pemuda ini. Aku hanya senyum. Begitu juga Aqel tersenyum sekilas saja. Dia ini memang kedekut hendak senyum. Walaupun hakikatnya senyumannya itu begitu indah untuk dipandang.Mungkin dia tidak tahu.
“Lia tahu Mak Long” sahutku. Mungkin Mak Long dan mak belum mengetahui bahawa aku dan Aqel atau nama manjanya Hyeon bekerja di bawah bumbung yang sama.
Tepat pukul 10.00 malam Mak Long meminta diri untuk pulang. Dia mengajakku datang ke rumahnya untuk sekian kalinya. Malah sempat berpesan kepada anak terunanya agar menjemputku bila – bila masa saja jika aku hendak ke situ. Aqel seperti anak yang patuh hanya mengangguk menerima arahan Mak Long. Sepanjang hampir 4 jam dua beranak itu berada di rumah ini, aku dan Aqel langsung tidak berbicara. Tiada topik yang sesuai untuk dibualkan. Sebetulnya aku masih ada rasa kurang senang terhadap pemuda itu. Bahkan baru siang tadi aku mengisytiharkan permusuhan dengannya.
“Mak dan Mak Long kamu dah bincang tadi, bila mak bertolak ke Mekah nanti buat sementara waktu kamu pindah ke rumah dia” ujarnya mak.
“Apa!” Besar biji mataku menatap mak. Terkejut dengan kenyataan yang baru saja keluar dari mulut mak. Aku tinggal di rumah Mak Long? Tetiba saja
aku diserang kerisauan. Permintaan mak begitu berat untuk aku tunaikan.
“Tak selesa ler tinggal rumah orang. Lia nak tinggal kat rumah kita ler mak” rayuku sambil memandang sayu pada mak. Niat memohon pertimbangan mak agar membenarkan aku tinggal di rumah ini saja. Tidak selesa aku hendak tinggal sebumbung dengan Aqel dalam tempoh sebulan itu. Bukan sesuatu yang mudah untuk aku lalui semua itu.
“Mak tak nak kamu tinggal sorang – sorang di rumah ni. Lagipun kamu tinggal dengan Mak Long kamu bukan orang lain pun” bidas mak.
“Tinggal dengan Mak Long kamu lebih selamat. Mak pun tak payah risau sepanjang berada di sana” tambah bicara mak lagi.
“Nanti pandai – pandai ler Lia ajak kawan temankan Lia tidur kat rumah ni. Tak pun Lia ajak Nana tidur sini” pantas saja aku memberi cadangan pada mak. Mak geleng – geleng kepala. Satu syarat dia tidak bersetuju dengan permintaanku. Aku mengeluh. Memang tidak seronok hendak menumpang tinggal di rumah Mak Long. Tidak tahan aku hendak bersemuka dengan pemuda dingin membeku itu. Rasanya dia pun tidak mengalu – alukan kedatanganku di situ.
“Bukan lama pun kamu kena tinggal kat sana. Sebulan je” balas mak mudah. Sebulan sekejap? 30 hari : 720 jam : 43200 minit bukan suatu jangka masa yang pendek? Tidak patut mak kata ini tempoh yang singkat.
Risau aku akan bercakaran dengan Aqel memandangkan aku sudah meletakkan dirinya dalam posisi seteruku. Lagipun kurang sesuai seorang gadis yang hanya bertaraf sepupu tinggal sebumbung dengan seorang pemuda yang sudah akil baligh. Memang tidak patut. Silap hari bulan boleh ditangkap basah. Nauzubillah.....! Selisih 44 malaikat. Sebelum musibah ini menimpa diri lebih baik
beringat – ingat dan berjaga – jaga. Mak tidak terfikirkah situasi ini?
“Mak Long dan Hyeon boleh jaga kamu. Mak percayakan mereka” putus mak muktamad. Keputusan mak tidak dapat dibantah – bantah lagi. Aku diam. Cuba membayangkan situasi itu. Oh.., tidak sanggup aku! Aku terlalu janggal untuk tinggal bersama seorang pemuda. Apatah lagi aku tidak berapa mengenalinya. Kehidupan yang penuh kesengsaraan. Tiada kebebasan bergerak, menuntut bertatasusila sepanjang masa dan bersopan santun. Hendak berbaring di sofa di depan tv pun rasanya tidak boleh sedangkan itulah tabiat kegemaranku. Aduh...., tensionnya!
“Mak tak takut kami ditangkap basah kalau Mak Long tak de kat rumah?” tanpa kuduga bicara ini lancar saja keluar dari mulutku. Memang aku betul – betul terdesak saat ini. Terdesak untuk mengelak tinggal di rumah Mak Long. Harap – harap bicaraku berbaur ancaman ini akan dapat mengubah keputusan mak. Tiba – tiba saja mak ketawa.
“Kalau kamu dan Hyeon ditangkap basah lagi ler mak suka. Rasanya Mak Long kamu pun suka juga” balas mak selamba dengan leretan senyumannya.
“Mak.....” Tidak patut mak berkata demikian. Nampak mak teringin sangat hendak berbesan dengan Mak Long. Tidak pun kemaruk hendak bermenantukan pemuda Korea.
“Dia dah ada girlfriend ler mak. Cantik jelita lagi tu” balasku mematahkan bicara mak sekaligus memusnahkan impiannya yang baru saja terbina sebentar tadi. Di mataku terbayang wajah Rania yang menyinga. Kalau dia dengar bicara mak ini mahu ditelannya aku hidup – hidup. Naya....naya!
“Macam mana kamu tahu?” soal mak berminat untuk mengetahui
lebih lanjut. Agaknya mak kecewa kerana hajatnya hendak berbesan dengan Mak Long dan bermenantukan Aqel tidak kesampaian.
“Sebenarnya Lia dah kenal dengan anak Mak Long tu. Sama tempat
kerja tapi tak tahu pula dia tu anak Pak Long dan Mak Long. Tempat kerja orang panggil dia Aqel” jelasku.
“Baguslah kalau kamu dah saling mengenali. Lagi mudah untuk kamu tinggal sebumbung dengan dia nanti” balas mak lagi. Puan Suraya sama sekali tidak terkejut mendengar kenyataan anak gadis ini. Sebetulnya pemuda itu sudah menjelaskan pada awal pertemuan mereka tadi. Tika itu memang dia terkejut malah kakak iparnya, Puan Natie juga turut sama terperanjat. Tidak sangka dua sepupu itu sudah saling mengenali. Pandai pula pemuda itu berahsia.
Geramnya.....! Mak betul – betul tidak kisah dengan bicaraku tadi. Musnah sudah harapanku untuk menghalang kehendak hati mak. Untuk tempoh sebulan, mak sudah nekad untuk menyerahkan aku di bawah jagaan Mak Long dan anak saudaranya itu. Apa yang patut aku lakukan sekarang menebalkan benteng kesabaran serta membina beberapa banyak perisai sebagai persediaan untuk menghadapi sikap anak teruna Mak Long yang adakalanya menyakitkan hati. Sakit hati sebab melihat dia selalu bersikap bersahaja, tidak pedulikan perasaan dan kewujudan orang lain. Siapa yang boleh bertahan dengan manusia yang sedingin sajli itu. Aku memang tidak boleh bersemuka dengan orang sebegitu. Apatah lagi untuk bertembung dengan manusia seperti itu setiap hari. Boleh biol otakku sepanjang masa dibuatnya.
“Kenapa dia suka panggil aku Flora ye? Terlupa pula nak tanya dia tadi” ujarku berbicara sendiri. Nama Flora ini menjadi persoalku. Sehinggga kini kemusykilanku ini belum terjawab. Rasanya aku perlu suarakan persoalan ini kepada Marnie memandangkan dia juga pernah memanggilku dengan nama ini pada pertemuan pertama kami dulu.
“Kamu belum mahu tidur lagi ke? Dah lewat ni” Suara mak mengejutkan aku. Aku bangun lalu mengekori langkah mak naik ke tingkat atas. Kemudian aku dan mak membawa haluan sendiri.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Aku melangkah memasuki bangunan kaca yang sentiasa terpacak megah memperlihatkan keutuhannya di persada dunia perniagaan. Syarikat yang dimiliki oleh dua orang pemuda yang sudah bertaraf jutawan. Sedikit tercelit rasa banggaku kerana bangunan mewah ini dimiliki oleh kedua orang pemuda yang ada kaitan dengan hidupku. Seorang pemiliknya merupakan sepupuku yang baru saja aku ketahui semalam dan pemiliknya yang seorang lagi pernah menjalin cinta denganku. Aku tersenyum sendiri. Kiranya terasa hebat juga diri ini.
Dalam masa yang sama kagum dengan Mak Long sebab melahirkan anak yang berjaya dalam hidup. Bukan seperti aku yang sering gagal sama ada dalam kerjaya mahu pun dalam soal kehidupan. Aku belum merasai nikmat kebahagiaan yang sebenar – benarnya. Hidupku masih terumbang – ambing bagai dipukul ombak. Mujur aku ada mak, Aziq dan Nana yang sering menjadi pendorongku. Merekalah yang membuatkan aku terus ketawa lantas berusaha untuk hidup ceria sehingga ke hari ini.
“Flora!” suara Aqel di belakangku melaung nama itu.
Langkahku terhenti. Aku berpaling. Kelihatan Aqel mengorak langkah panjang ke arahku. Serta – merta aku teringatkan amaran Rania kepadaku. Laju saja aku menyambung langkahku kembali.
“Tunggu ler kejap!” laung Aqel. Aku tidak pedulikan laungan Aqel. Langkahku kian pantas. Kedengaran derap langkah Aqel yang berlari. Tetiba saja dia sudah berada di sebelahku beriringan dengan aturan langkahku.
“Kan saya dah cakap nama saya Nur Dahlia bukan Flora! Kenapa awak suka sangat panggil saya dengan nama tu” radangku geram. Senyap. Dia tidak menyahut kemarahanku ini. Langkahnya masih seiring dengan aturan kakiku.
“Kenapa semalam awak tak kerja?” soalnya. Kupandang sekilas wajah pemuda ini. Kalau betul dia ingin tahu kenapa tidak semalam saja dia ajukan pertanyaannya ini kepadaku. Jadi tidak perlulah dia terkejar – kejar aku sekarang. Kalau Rania kekasih hatinya itu nampak dia bersamaku sekarang bukankah naya. Aku juga yang akan jadi mangsa keganasan gadis itu.
“Cuti” balasku pendek setelah lama berdiam.
“Awak tak cakap pun kat saya?” Langkahku mati. Kutatap wajah Aqel.
“Hello...... Encik Aqel, saya bekerja dengan CNFL so Encik Mukhtahir adalah bos saya. Segala urusan kerja dan cuti saya bukan di bawah bidang kuasa KDUT” tegasku. Dia tersenyum sekilas.
“Awak dah lupa tentang kerjasama CNFL dan KDUT? Awak ada baca isi – isi perjanjian yang telah bos kedua awak persetujui?” soalnya mengungkit perjanjian yang termeterai antara CNFL dengan KDUT.
“Bos kedua?” soalku.
“Puan Rosie” jelasnya. Serta merta aku terbayang wajah perempuan
yang terlalu berkuasa di CNFL itu. Aku mengeluh bosan. Bukan masanya untuk aku menyesakkan fikiran dengan perkara itu. Lantas kusambung kembali langkahku.
“Flora!” Dia mengejarku lagi.
“Kan saya dah kata nama saya bukan Flora! Kenapa awak degil sangat ni. Saya tak suka awak panggil saya dengan nama yang bukan milik saya” ujarku geram sambil berpaling menatapnya. Nampak biji matanya terkebil – kebil melawan pandanganku. Aku mendengus bosan.
“Jauhkan diri awak dari saya. Saya tak nak awak berada di belakang saya” tegasku berterus terang.
“Kenapa?” soalnya membuak - buakkan rasa marahku.
“Saya tak suka” balasku tanpa berselindung. Kedengaran bunyi tawanya seketika.
“Malangnya Cik Flora ni sajalah satu – satunya jalan nak pergi office saya. Awak ada cadangan ke nak elak diri awak dari bertembung dengan saya?” soalnya mengusikku. Aku mendengus bosan bila nama itu meniti di bibirnya lagi.
“Kalau macam tu awak berhenti di situ. 10 minit kemudian baru awak bergerak semula” arahku.
“Awak dah buat cadangan yang tak masuk akal. Lelaki sehandsome saya ni awak biarkan terpacak macam patung kat sini, memang tak patut” tuturnya mula bermegah diri.
“Tak sangka pandai pula awak bercakap banyak kali ni ye” perliku.
“Entah tetiba saja rasa nak bercakap” balasnya bagai orang yang sedang hilang kawalan diri.
“Whatever. Apapun saya tak nak awak bearda di belakang saya”
mintaku sekali lagi dengan suara yang lebih tegas.
“Kalau macam tu saya melangkah ler seiringan awak” cadangnya. Aku mendengus. Pemuda ini memang degil. Aku putuskan untuk tidak ambil peduli terhadap dirinya. Derap langkahnya masih berada di belakangku. Kali ini dia tidak bersuara lagi. Barangkali kouta bicaranya untuk hari ini sudah penuh. Diakan jarang berbicara. Kalau dia banyak bersuara nampak pelik pula persis saat ini.
“Lia...” Langkahku mati. Aku menatap seraut wajah yang kini terpacak di depanku. Beberapa langkah dariku. Tiada lagi bunyi derap langkah yang mengekoriku. Pasti langkah Aqel juga turut terhenti.
“Awak apa khabar sekarang?” suara lembut itu singgah ditelingaku. Sudah sekian lama aku tidak mendengar suara yang suatu waktu dulu meluahkan bicara – bicara indah untukku. Suara yang sering mendamaikan perasaanku tatkala rajuk diri menjelma. Kali terakhir aku mendengarnya ketika suara ini melontarkan kata – kata kejam sebelum meninggalkan aku bersendirian di situ. Sepanjang malam aku menangis dan terpacak di situ. Tika itu aku ingat putaran duniaku sudah terhenti. Betapa lemahnya aku saat itu.
Aku senyap. Aqel sudah terpacak di sebelahku sambil memandang Haqem kemudian beralih kepadaku. Aku tahu tentu Aqel sedang tertanya – tanya dengan kedinginanku tika ini. Tetiba saja aku berpaling kepada Aqel di sebelahku. Laju saja tanganku memaut lengan Aqel yang hanya nampak bersahaja.
“Jom ler, awak kata tadi nak bagi saya tengok hadiah yang awak beli semalam” bicaraku lalu mengajak Aqel berganjak dari situ.
“Ye...ye... Haqem pergi dulu” sempat juga dia menyapa sahabatnya itu. Tanpa pedulikan keadaan Haqem sekarang aku terus saja menarik Aqel beredar dari situ. Jauh dan semakin jauh. Hilang saja kelibat Haqem aku terus menarik tanganku lalu menjauhi diri Aqel.
“Maaf...” tuturku lalu meninggalkan Aqel terpacak di situ tanpa sempat menatap wajah itu walaupun sekilas. Timbul rasa malu kepada Aqel setelah memperlakukannya sedemikian untuk kali kedua. Aku terus saja berlari. Aku tahu Aqel masih memerhatikan langkahku saat ini. Lantas saja aku menyembunyikan diri di ruangan sempit ini. Bersandar pada dinding dengan tangisan yang panjang.
“Aku tak boleh menangis kerana lelaki itu. Dialah yang telah melukakanku. Kenapa? Kenapa aku harus menangis hanya kerana dia....” tuturku dalam sendu. Akhirnya aku terduduk lemah di ruangan sempit ini. Lama.
“Mak yakin ada seseorang yang lebih baik telah ditentukan oleh Allah untuk kamu” suara mak menerpa ditelingaku. Suara yang membangkitkan semangatku yang luntur saat ini. Suara yang cuba memujuk rajukku lantas merawat hiba hatiku. Suara yang mengharapkan aku melupakan Haqem.
Perlahan – lahan aku bangkit lalu melangkah meninggalkan ruangan sempit ini. Laju saja tanganku mengesat sisa – sisa air mata yang membasahi wajahku. Aku terus saja melangkah ke bilikku untuk memulakan tugas yang sudah tertangguh. Tatkala aku melangkah ke mejaku, sekeping memo yang tertulis sebaris ayat bersama satu pek tisu saku terletak di situ.
~ Pastikan air mata awak sudah habis dilap dengan tisu ni, kalau tidak kecantikan wajah awak pasti akan sedikit terjejas ~ Aqel
Aku tersenyum sendiri menatap tulisan tangan Aqel yang ditinggalkannya pada sekeping kertas pink ini. Kucapai pek tisu itu lalu kucapai pen marker. Lantas saja kutulis tarikh hari ini pada pek tisu itu. Kemudian kusimpan tisu itu di dalam laci meja ini. Aku ingin mengingati tarikh hari ini. Aku terpandang gambar – gambar yang belum sempat aku tatap ketika Marnie menyerahkannya padaku.
Kuluangkan sedikit masa untuk menatap gambar – gambar ini. Kubandingkan raut wajahku dengan Aqel. Langsung tiada persamaan biarpun berstatus sepupu. Wajah dan fizikal Aqel lebih kepada genetik ayahnya. Tiada ciri – ciri Melayu pada diri Aqel. Memang patutlah dirinya bernama Hyeon. Lalu kucatatkan tarikh malam yang mana aku dan Aqel dinobatkan menjadi pasangan ideal di belakang gambar ini. Tarikh – tarikh ini menceritakan pertemuanku dengan Haqem selepas perpisahan itu.
Pemuda itu menyandarkan tubuhnya di kerusi empuk itu dengan perasaan yang berkecemuk. Ada kegelisahan yang berpanjangan.
“Kenapa kau melarikan diri dariku, Lia? Betapa bencikah kau pada diri ni sehingga kau tidak mahu bertemu denganku lagi?” luah hati kecilnya. Haqem mendengus. Diraup kedua telapak tangan beberapa kali ke wajahnya. Terasa ada bebanan berat yang dipikulnya saat ini.
“ Atau kau masih menyimpan perasaan padaku Lia sebab itu kau tak punya kekuatan untuk berhadapan denganku” andaian keduanya pula tercetus.
Haqem menarik nafas panjang. Cuba dipujuk dirinya dengan andaian hatinya ini. Lantas sedikit memberi ketenangan padanya. Dia berharap sangat dihati gadis itu masih ada ruang untuknya. Ingin sekali dia merawat kelukaan yang ditinggalkannya pada gadis itu suatu waktu dahulu. Haqem serius ingin melakukannya andai dirinya diberi kesempatan dan peluang. Lantas Haqem mula menganyam impian – impian indah bersama gadis yang bernama Nur Dahlia.