Friday, 5 November 2021

Awaklah SonataKu...Bab 49

 

Petang tadi aku sudah menyiapkan lima hidangan istimewa seperti yang telah aku janjikan dengan Yen. Walaupun ada pelbagai jenis tetapi aku masak dalam kuantiti yang sedikit. Cukup untuk hidangan dua orang. Tatkala Yen muncul di ruang makan ini, pandangannya terarah pada hidangan di atas meja. Kemudian dia mengalih pandangan kepadaku seketika. Aku melemparkan senyuman bangga kerana telah berjaya menunaikan janjiku pagi tadi. Yen terus melabuhkan duduk di kerusi bertentangan denganku. Nasi di dalam pinggan bersama semangkuk sup sayur tauge kuletak di depan Yen. Sudah menjadi kemestian setiap hidangan dilengkapi dengan sup.

“Banyak awak masak hari ni,” ujar Yen mula bersuara.

“Kan saya  kata pagi tadi nak masak sedap untuk awak,” jelasku mengingatkan pada bicaraku pagi tadi. Yen terus menghirup sup sayur tauge. Kemudian menyuap nasi bersama isi ikan masak tomato. Aku turut menikmati hidangan makan malam ini. Sesekali melirik ke wajah Yen. Tampak berbeza dengan reaksi wajah ketika berucap di depan warga TSM pagi tadi. Wajah yang ceria itu sudah bertukar menjadi wajah yang bersahaja dan dingin. Persis diri Yen memiliki dua dunia dan beberapa perwatakan.

Gomawoyo (terima kasih) atas pertolongan awak hari ni,” ujarku. Yen memandangku sekilas. Kemudian kembali fokus pada hidangan di atas meja.

“Saya tak sangka yang awak ni boleh berlawak,” ujarku tersenyum menambah bicaraku sekali gus mengungkit reaksinya pagi tadi. Yen memandangku lagi. Lama kali ini.

“Saya pun tak sangka boleh berbicara begitu sebab saya ni lebih suka mendiamkan diri,” sahut Yen buat aku tersenyum. Bicara Yen mencuit hati. Namun itulah kebenaran. Yen memang tidak banyak berbicara kecuali ada masa-masa tertentu sahaja. Itupun bergantung pada emosinya.

“Awak akan berbicara banyak dengan siapa? Velvianakan?” soalku seraya meneka jawapan pada persoalanku sendiri. Yen geleng kepala.

“Siapa?” soalku ingin tahu.

“Awak,” sahut Yen buat aku terdiam. Kenyataannya mengejutkan aku.

“Saya juga jarang tersenyum dan ketawa tapi dengan awak saya boleh lakukan semua tu tanpa paksaan,” ujar Yen membangkitkan terujaku.

“Takkan dengan Velviana pun awak nak serius,” dugaku.

“Vel bagai si kecil yang setiap permintaan dan kemahuannya perlu dipenuhi. Dia gadis manja dan tak mampu berdikari seperti awak,” ujar Yen membuat perbandingan antara aku dengan kekasihnya. Aku leka mendengar bicara Yen.

“Dia gadis cantik yang jadi impian semua jejaka,” pujiku telus. Kalau aku tidak silap Velviana anak kacukan Serani-Melayu yang telah menggabungkan kesempurnaan pada dirinya. Yen tersenyum. Barangkali bangga kekasihnya dipuji sedemikian.

“Awak pun cantik juga. Awak ada sepasang mata yang indah. Saya kena banyak kali pandang awak nak pastikan sama ada awak menangis ke tak. Mata awak berkaca,” puji Yen.

“Awak ni…,” Segan aku mendengar pujian itu. Yen tersenyum.

“Jangan puji saya lebih-lebih nanti saya terperasan pula,” balasku berseloroh. Yen senyum lagi.

“Saya puji ikhlas. Saya suka kecantikan semula jadi dan wajah yang tak dipengaruhi oleh genitek campuran,” jelas Yen mendiamkan aku. Teringat aku pada Velviana yang merupakan anak kacukan persis dirinya juga. Kalau merujuk salasilah keluarga sebetulnya Yen memang orang Korea yang sedikit ada darah Melayu yang diwarisi daripada Puan Sodiah. Ikhlaskah bicara Yen ini? Hakikatnya kecantikan itu sesuatu yang subjektif. Sesiapa sahaja berhak menilai dan penilaian itu tidak sama.

“Muka awak mirip ibu ke ayah?” soal Yen ingin tahu.

“Ibu…,” sahutku pendek.

“Mesti mak mertua saya secantik isteri sayakan,” ujar Yen mengusikku. Aku tersenyum lagi. Bahagia mendengar bicara Yen ini.

“Mak mertua saya pun cantik juga,” balasku. Yen tersenyum mempamerkan lesung pipit. Nampak ibu Yen seorang selebriti daripada kalangan keluarga elit. Keayuannya begitu terserlah malah penampilan elegan.

“Hujung minggu ni awak dah balik asrama kan?” soal Yen mengubah topik perbualan. Aku mengangguk. Begitu pantas masa berlalu. Tidak sedar tempoh dua bulan lebih cuti semester ini sudah sampai ke penghujung sedangkan Mak Long masih belum sedar dan hanya terbaring di katil hospital. Hatiku dipagut kerisauan. Perlahan-lahan aku melepaskan keluhanku.

“Awak risaukan Mak Long?” soal Yen. Aku mengangguk. Berat hati hendak berjauhan dengan Mak Long. Namun untuk ulang-alik dari kampus asrama ke hospital sedikit menyukarkanku memandangkan aku tiada kenderaan sendiri. Waktu kuliah dan toturialku juga akan jadi penghalang pergerakan bebasku. Aku begitu kesuntukan masa mahu sentiasa bersama Pak Long dan Mak Long.

“Awak jadilah pelajar harian. Saya boleh hantar ambil awak kuliah,” ujar Yen menawarkan khidmat. Kutatap Yen. Terharu dengan tawaran ini.

“Awak kuliah dan toturial seperti biasa. Petang saya ambil awak dan kita jenguk Mak Long sebelum balik ke rumah. Malam kita pergi ke hosipital lagi. Kita boleh buat rutin jadual macam tu sehingga Mak Long pulih,” ujar Yen memaklumkan tentang perancangan terperinci itu. Aku terharu.

“Tak perlulah. Saya tak nak menyusahkan awak,” ujarku berhati-hati. Tajam pandangan Yen dilontar ke wajahku. Aku diam seketika.

“Nak susah apa benda, bukan saya dukung awak ke hulu ke hilir. Saya hanya perlu suruh awak duduk dalam kereta. Tak susah kan,” nada suara Yen bernada perlian. Aku mengeluh kecil. Kalau boleh aku tidak mahu bertengkar dengan Yen lagi.

“Kalau setiap hari awak hantar dan ambil saya tu dah cukup menyusahkan,” sahutku. Yen tersenyum sendiri.

“Awak dah lupa satu perkara penting,” tutur Yen menimbulkan persoalan di kepalaku. Kupandang wajah Yen. Seketika aku dengan Yen saling beradu pandangan.

“Awak dah lupa tentang hubungan kita? Saya suami awak dan saya memang berhak ke atas diri awak. Sebab itu juga awak mesti ikut arahan saya. Faham!” tegas Yen serius kembali membahangkan keadaan. Aku hanya mendiamkan diri lantas mula mengingati tentang isi kandungan perjanjian yang telah kami persetujui. Kehidupan yang tidak terikat antara satu dengan yang lain. Adakah Yen ingin membuburkan perjanjian yang telah termeterai ini lantas mencipta perjanjian baharu dengan kandungan yang baharu juga? Mungkin juga Yen terlupa pada kandungan perjanjian itu. Perlukah aku mengingatkan dirinya pada perjanjian itu?

“Kenapa awak berkira sangat dengan saya, tapi tidak dengan bos awak tak. Dia boleh hantar awak balik rumah ni pada bila-bila masa saja. Awak tak kisahpun. Awak ni benar-benar bias,” rungut Yen sambil tajam memandangku. Aku menelan liur pahit. Terasa menusuk kalbu bicara Yen. Dia mula membandingkan dirinya dengan Encik Rizal.

“Saya tak mahu awak terlalu baik dengan saya. Kalau awak terus bersikap macam ni buat saya lebih tertekan,” ujarku berterus-terang.

“Saya lakukan dengan ikhlas, tak pernah mengharapkan balasan. Mungkin awak dah lupa dengan janji saya pada hari pernikahan kita yang saya akan jaga dan lindungi awak,” ujar Yen mengungkit ikrarnya pada hari aku bergelar isteri kepadanya. Janji untuk melindungi dan menjagaku demi keluarganya. Ya demi Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin. Bukan demi perasaannya terhadapku.

“Saya tak nak bergaduh dengan awak lagi. Kalau boleh biarlah kita hidup aman di rumah ni seperti awal-awal dahulu,” ujarku berharap. Aku sungguh berharap aku dan Yen hidup harmoni di banglo ini seperti dahulu. Tika itu kami boleh berbual-bual dan bercerita pengalaman hidup masing- masing. Ada masa terluang boleh bersama-sama melakukan kerja-kerja rumah. Saat yang paling aku hargai tika Yen memasak masakan Korea untukku. Kemudian dia  mengajarku resepi tersebut. Walaupun kadangkala wujud pertengkaran kecil, namun kami tidak pernah bermasam muka. Kenapa keadaan sekarang berbeza? Adakah  perasaan yang wujud ini yang membuatkan aku begitu sensitif pada bicara dan tingkahlaku Yen? Semua ini salahku.

“Sebab tu awak perlu ikut saja apa yang saya kata,” sahut Yen.

“Kadangkala awak buat saya rasa terpaksa dan tertekan. Saya tak suka keadaan macam ni,” luahku tidak mahu berselindung lagi. Yen menatapku.

“Bukan itu maksud saya,” sahut Yen sugul. Barangkali terguris hatinya mendengar bicaraku. Aku juga tidak bermaksud mahu mengguris perasaannya itu.

“Selama ni saya cuba jadi sahabat terbaik awak, tapi sejak kebelakangan ni saya rasa tak mampu nak lakukannya lagi,” luah Yen. Bicaranya seribu makna tersirat. Yen mengeluh kecil. Adakah ini suatu petanda bahawa persahabatanku dengan Yen akan berakhir sekarang?

“Awak telah lakukan yang terbaik. Maaf ... sejak saya muncul dalam hidup awak, saya sedar saya telah banyak menyusahkan awak dan Velviana. Banyak kali juga saya berfikir suatu hari nanti bagaimana kita nak akhiri hubungan ini tanpa melukai perasaan keluarga awak dan keluarga saya agar awak dan Velviana dapat hidup bersama sebagai pasangan suami isteri,” ujarku perlahan.

“Agar awak boleh hidup bersama lelaki pilihan awak,” tokok Yen pada bicaraku. Kupandang  Yen. Kalau hati Yen bukan milik Velviana sudah pasti aku mahu bersama pemuda Korea ini sepanjang hayatku. Aku akan menjadi isteri yang terbaik buat Yen. Namun hakikatnya, aku dipertemukan dengan Yen setelah hatinya dimiliki Velviana. Kalau bukan kerana wasiat itu pasti Yen sudah bernikah dengan gadis itu. Wasiat itu telah membebankan Yen. Kasihan dia.

“Saya tak nak awak cakap perkara tu lagi. Buat masa ni bukan masa yang sesuai untuk kita membincangkannya. Pasti awak tak nak menambah tekanan pada Pak Long awak kan,” tutur Yen memperingatkan aku. Ada benarnya bicara Yen ini. Biarlah semua ini terus menjadi rahsia. Aku yakin Pak Long akan kecewa dan terus menyalahkan diri andai dia mengetahui kehidupanku dengan Yen tidak seperti pasangan suami isteri yang lain. Rahsia ini juga demi kebaikan keluarga Yen. Puan Sodiah tidak boleh menerima kejutan memandangkan dia menghadapi masalah jantung. Ya Allah, Engkau berilah petunjuk kepadaku dan Yen untuk menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin tanpa mengecewakan sesiapapun.

“Lepas makan ni siap-siap, kita ke hospital sama-sama. Mulai saat ni saya mahu awak patuh pada saya,” tutur Yen meminta aku bertindak menurut perintahnya. Kelu lidahku mahu menyahut bicara itu. Mungkin ini usaha Yen untuk mengembalikan kemesraan hubungan persahabatan kami. Mampukah aku memenuhi permintaan Yen ini? Namun hati kecilku sudah berbisik memberikan kesanggupan untuk melakukannya. Kupandang Yen yang sedang leka menikmati hidangan di meja setelah terhenti seketika tadi. Aku turut sama menikmatinya tanpa bersuara lagi. Maka diamku bermakna menyetujui sahaja permintaan Yen tadi.

 

Usai solat isyak, aku terus  membaca Surah Al-Israa' ayat 79 hingga 94 sebanyak tiga kali lalu mohon doa kepada Allah s.w.t untuk kesembuhan segera Mak Long. Menyusul Surah Al-Ahqaaf ayat 21 hingga 28, sebanyak tiga  kali selepas solat Subuh nanti. Sudah masuk  minggu keempat aku melakukan penawar penyakit strok melalui amalan bacaan ayat-ayat Kalam Allah yang telah disarankan oleh seorang ustaz pengamal perubatan Islam. Ayat-ayat suci Allah ini terlalu agung mukjizatnya. Penawar segala kesakitan, penyembuh kelukaan dan penenang jiwa raga yang berantakan. Kemudian aku terus menyiapkan diri untuk meneruskan tanggungjawabku pada Mak Long. Tatkala kakiku berpijak di anak tangga terakhir, aku nampak Yen sudah bersedia menantiku di ruang tamu. Lengkap dengan sweter merah hati menyala yang begitu padan dengan kulitnya nan putih. Sempat aku memuji ketampanan pemuda Korea ini. Lantas aku teringat pada Velviana betapa bangga dia memiliki kekasih sekacak ini. Aku cemburu.

“Awak dah siap?” aku tersentak mendengar sapaan Yen. Yen sedang menatapku. Laju aku mengangguk. Tidak senang dengan pandangan mata Yen yang memerhatikan gelagatku seminit yang lalu. Selebihnya aku segan kerana tertangkap oleh pandangan mata Yen ketika aku berkhayal seminit yang lalu.

“Kita pergi sekarang,” ajak Yen lalu mengatur langkah ke muka pintu utama. Aku mengekori langkah Yen sambil menghidu wangian semerbak dunhill. Waktu begini jalan raya tidak berapa sibuk. Maka masa dapat dipendekkan untuk sampai ke hospital. Kedatanganku dengan Yen disambut senyuman mesra Pak Long. Kemudian Yen mengajak Pak Long minum sambil bersantai-santai di kafe hospital. Pak Long dengan senang hati menerima ajakan Yen itu. Mereka berlalu meninggalkan aku dan Mak Long di bilik ini. Kutatap wajah Mak Long yang nampak cerah dan bersih namun pucat. Sudah lama Mak Long terbaring di sini terlindung dari pancaran cahaya matahari sebab itu kulit Mak Long cerah sekarang. Aku menyusap-nyusap lembut tangan Mak Long.

“Assalamualaikum Mak Long,” tuturku memulakan bicara.

“Pak Long dan Yen dah keluar minum. Kita beri peluang Pak Long mengenali Yen,” ujarku tersenyum sendiri. Kutatap wajah Mak Long.

“Mesti Mak Long tak tahukan yang saya taksub dengan artis Korea. Tak sangka pula saya akan kahwin dengan lelaki Korea yang tampan,” ujarku berbicara lagi. Timbul segan memuji diri Yen di depan Mak Long. Tatkala melihat tiada tindak balas Mak Long rasa segan itu terus sahaja padam.

“Walaupun saya dan Yen tak hidup seperti pasangan suami isteri yang lain, saya tetap nak ucapkan terima kasih pada Mak Long sebab telah penuhi salah satu impian saya. Memang saya berangan-angan nak kahwin dengan lelaki Korea,” ujarku sambil tersenyum lagi. Lili pernah kata Mak Long yang memaksa aku memenuhi wasiat datuk Yen itu. Selebihnya bicara Lili tentang hal ini tidak mahu aku ingat. Aku tidak mahu menyalahkan Mak Long atas pernikahanku dengan Yen.

“Mak Long mesti rahsiakan perkara ni nanti Pak Long kecewa,” pintaku setelah menyedari akan ketelanjuran bicaraku sebentar tadi. Aku terlepas bicara tatkala menyatakan kepada Mak Long bahawa aku dengan Yen berbeza dengan pasangan suami isteri yang lain.

“Saya bahagia hidup bersama pemuda Korea tu, Mak Long. Walaupun adakala dia buat saya menangis. Saya tetap gembira bersama Yen. Mula-mula saya tak sedar akan perasaan ni. Saya ingat perasaan ini hanya dipengaruhi oleh ketaksuban saya pada wajah Korea yang tampan itu. Lama-lama baru saya akui yang saya memang ada menaruh perasaan istimewa kepada pemuda Korea tu,” tuturku berjela. Aku melepaskan keluhan kecil.

“Saya tak tahu bagaimana nak luahkan perasaan saya pada Yen. Saya juga tak sanggup jadi seperti ibu yang membuatkan Mak Long menderita sehingga ke hari ni. Yen dah ada kekasih yang setia. Velviana nama dia. Dia cantik sangat. Mereka pasangan yang sempurna, Mak Long,” ceritaku lagi.

“Walau sedalam mana pun cinta saya pada Yen, saya takkan rampas dia daripada Velviana. Saya janji takkan ulangi perbuatan ibu dan ayah pada perempuan lain demi kepentingan sendiri. Saya akan kuburkan perasaan cinta ini perlahan-lahan. Saya yakin boleh lakukan. Namun Saya juga perlu sokongan Mak Long. Mak Long kenalah bangun sekarang,” pintaku. Terasa panas mengalir di pipiku. Laju tanganku mengesat. Pilu hatiku mengenangkan perasaan indah yang akan aku padamkan ini. Tiba-tiba sahaja aku menangis teresak-esak. Aku sudah tidak mampu mengawal diri. Menangisi kecundang cinta pertamaku dan menangisi nasib Mak Long. Sungguh aku bersedih mengenangkan nasibku persis nasib Mak Long yang gagal dalam percintaan. Paling menyedihkan aku tatkala mengenangkan ibulah punca penderitaan dan dendam kasumat Mak Long itu. Aku menangis lagi. Air mataku semakin lebat menuruni cerun pipi. Akhirnya aku hanya mampu menyembunyi mukaku dari bertatapan pandangan dengan wajah Mak Long sambil berusaha mengawal tangisan. Terhinjut-hinjut bahuku menahan sendu sedan. Sesungguhnya perasaanku tika ini telah hancu-luluh. Akhirnya aku hanya mampu membenamkan wajahku ke tilam ini. Lama. Terasa bahuku dicuit. Pantas aku mengangkat muka. Aku tergamam.

“Ya Allah, Mak Long...,” Aku tersenyum lantas memeluk tubuh Mak Long yang terbaring. Mak Long sudah sedar. Namun dia masih tidak mampu bersuara. Hanya anak matanya yang terkebil-kebil menatapku.

“Alhamdulillah Mak Long dah sedar,” ujarku memanjat kesyukuran. Lantas aku bangkit dari katil lalu memanggil jururawat memaklumkan keadaan Mak Long. Berita gembira ini segera disampaikan kepada Doktor Muaz. Kemudian aku terus menghubungi Pak Long memaklumkan berita gembira ini kepadanya. Kedengaran suara girang kesyukuran Pak Long. Aku menjarakkan diri dari katil memberi peluang kepada Doktor Muaz bersama seorang jururawat memeriksa keadaan Mak Long. Namun pandanganku tetap terikat pada wajah Mak Long. Di luar kedengaran bunyi derap langkah  yang semakin dekat. Pasti langkah Pak Long dan Yen. Sangkaanku tepat tatkala Pak Long muncul di muka pintu. Aku terus menerpa ke arah Pak Long lalu memeluk Pak Long dengan girang. Tanpa kusedar aku turut memeluk tubuh Yen. Kemas dan rapi. Sempat juga aku menangis dalam dakapan tubuh pemuda Korea itu. Hanya untuk seketika apabila aku tersedar dengan tindakanku tatkala kedengaran suara Pak Long dan Doktor Muaz  berbincang tentang keadaan Mak Long. Pantas aku menjauhi Yen. Perasaan malu menebal dalam diri. Lantas aku tiada kekuatan untuk menatap wajah Yen tika ini. Risau kalau Yen tersalah tanggapan pada perlakuanku tadi. Sempat juga aku mengutuk dan marah pada diri sendiri lantaran ketelanjuran tingkahlaku tadi.

 

Menurut Doktor Muaz, keadaan Mak Long belum pulih sepenuhnya. Mak Long perlu kerusi roda. Sebelah kanan tubuh Mak Long lumpuh. Malah mulut Mak Long herot. Semua ini akibat daripada serangan strok itu. Walaupun aku dan Pak Long berasa sedih melihat keadaan Mak Long ini, namun kami tetap bersyukur kerana Mak Long sudah sedar dan nampak perkara berlaku di sekelilingnya. Terima kasih ya Allah kerana Engkau telah makbulkan doa kami. Terima kasih ya Allah kerana Engkau masih mahu memberi kesempatan untuk Mak Long berada di alam ciptaanMu ini bersama-sama kami.

Di dalam kereta ini, aku memakukan diri di kerusi penumpang di sebelah Yen. Langsung tidak mahu menoleh ke arah Yen walaupun hanya dengan lirikan mata. Perasaan malu atas ketelanjuran tindakanku tadi membuatkan aku tiada keberanian mahu bersuara jauh sekali bertentang mata dengan Yen. Maka sepanjang perjalanan ini aku hanya mendiamkan diri.

“Kenapa awak diam je?” Kedengaran suara Yen melontar persoalan. Aku geleng kepala. Cuba menafikan. Perjalanan kali ini terasa terlalu jauh. Aku ingin segera sampai ke rumah mahu menyembunyikan diri daripada pandangan mata Yen untuk seketika.

“Muka awak merah. Awak malu dengan saya ke?” soal Yen berbaur usikan. Keningnya terangkat-angkat sambil menguntum senyuman menggoda.

“Mana ada...!” nafiku. Yen tertawa kecil.

“Awak tak berani nak tengok muka saya sekarang. Sah awak malu kat saya,” ujar Yen memaksa aku mengakui.

“Saya peluk awak tanpa disengajakanlah takde niat lain,” ujarku membela diri. Risau kalau Yen ingat aku mengambil kesempatan ke atas dirinya ataupun aku sudah tidak mampu mengawal diri tatkala berhadapan dengan lelaki tampan persis dirinya. Kereta Mercedez Benz ini memasuki perkarangan banglo. Yen mematikan enjin kereta lalu menoleh ke arahku yang masih mematungkan diri di kerusi penumpang ini.

“Awak mesti gembira sangat tadi tengok Mak Long awak dah sedar sampai awak pun tak sedar peluk saya,” tutur Yen masih mahu membicarakan perkara itu. Geram.

“Mestilah...!” balasku mengiyakan.

“Kalau macam tu awak kenalah hari-hari gembira supaya awak boleh peluk saya banyak kali,” usik Yen disusuli dengan gelak tawa.

“Miangnya awak...!” kutukku. Yen terus tertawa. Tawa Yen berlarutan sehingga masuk ke dalam rumah. Tatkala kelibatnya hilang di bilik, masih kedengaran sayup-sayup tawa Yen. Begitu tercuit hatinya. Mungkin juga kerana aku memeluknya membuatkan dia senang hati yang berpanjangan. Dalam diam aku tersenyum sendiri.

 

 

AKU mengunyah nasi di dalam mulutku perlahan -lahan. Cuba berlagak bersahaja di depan Yen biarpun sisa-sisa malu masih terasa. Pandangan mata Yen sentiasa terarah padaku membuatkan aku rimas.

“Apa hal pandang-pandang orang ni!” radangku. Yen  mengukir senyuman. Senyuman nakal yang membangkitkan tidak senangku. Pasti dia masih memikirkan kejadian tadi. Nampak teruja sangat dia dipeluk. Pelik macamlah perkara ini luar biasa baginya sedangkan sudah menjadi kebiasaan dipeluk oleh ramai perempuan selama ini. Mataku sendiri pernah menyaksikan betapa mesra dia dengan Velviana. Malah tanpa segan silu Velviana memaut tubuh Yen di khalayak ramai.

“Hari ni awak minta teksi je hantar awak ke hospital ye. Saya ada hal penting. Ttak sempat nak hantar awak dan jenguk Mak Long,” ujar Yen memulakan bicara. Aku mengangguk. Kemudian mula memikirkan tentang aktiviti Yen hari ini. Setahuku dia cuti hari ini. Kutatap Yen. Teringin aku hendak mengemukakan pertanyaan, namun hatiku menegah. Aku tidak mahu Yen tersilap tanggapan yang aku menyibuk halnya. Lantas aku pendamkan sahaja persoalan itu.

“Awak panggil teksi hantar awak ke hospital. Jangan sesekali tumpang kereta bos awak takut bertembung dengan keluarga saya di sana nanti,”  ujar Yen memberi peringatan kepadaku. Kutatap Yen. Saat ini dia masih teringatkan Encik Rizal. Bagai kewujudan Encik Rizal memberi kesan mendalam padanya. Namun tatkala aku fikirkan semula mustahil Yen ambil peduli tentang keakrabanku dengan  Encik Rizal.

“Suka hati sayalah nak tumpang kereta siapa,” sahutku tiba-tiba.

Mwo (apa)...!” Besar anak mata Yen menatapku. 

“Saya serius ni,” ujarnya lagi. Aku tersenyum. Suka melihat ekspresi wajah yang ditunjukkannya tika ini. Risau sangat rahsianya terbongkar. Aku menulikan telinga. Sengaja mahu mengusik.

“Iman ssi, awak dengar ke ni? I‘m serious!” tegas Yen. Tidak cukup dengan nada suara malah muka juga tampak serius. Aku tersenyum lagi. Kini giliranku menyakatnya. Terhibur hati dengan memperlakukan Yen sedemikian. Aku mendengar dengusan kecil Yen. Mesti dia bengang melihat reaksi yang aku tunjukkan saat ini. Padan muka dia!

 

Usia sarapan, aku terus melakukan kerja-kerja rumah. Pinggan mangkuk dicuci dan dilap sehingga kering. Kemudian disusun di rak. Siap mengemaskan dapur, aku beralih ke ruang tamu. Membuang habuk di permukaan perabot, menyusun bahan-bahan bacaan, seterusnya menyapu  lantai jubin yang sentiasa kelihatan berkilat. Maklumlah tiada anak-anak kecil yang mengotorkan. Kebetulan hanya aku dan Yen yang tinggal di sini yang tiada punya banyak masa untuk terperap di banglo ini. Kebanyakan masa seharian kami dihabiskan di luar. Usai kerja-kerja di tingkat bawah ini, aku bergerak ke bilik air untuk membasuh pakaianku dan Yen yang sudah aku kumpulkan awal-awal tadi. Semua perlu dibasuh dengan kaedah tradisional iaitu menggunakan kudrat tangan. Setengah jam kemudian, aku bergegas ke jemuran di belakang banglo ini menjemur pakaian yang sudah siap dibasuh. Kali ini banyak baju Yen yang aku basuh. Maklumlah beberapa hari lalu aku tidak berkesempatan melakukan semua kerja rutinku. Sekarang aku sudah boleh menarik nafas lega kerana Mak Long sudah sedar. Rutin terakhirku membersihkan bilik-bilik di tingkat atas iaitu bilik studio mini, bilik tetamu dan bilik Yen. Namun aku tidak berhajat mahu membersihkan bilik Yen memandangkan dia berada di dalam biliknya sekarang. Balik dari hospital nanti aku membersihkannya kerana aku tidak mahu kedatanganku ke situ mengundang masalah. Apatah lagi takut terlihat perkara yang tidak sepatutnya.

Setelah menyiapkan diri, aku mencapai beg galas yang tergantung di tepi almari lalu melangkah ke muka pintu. Hari ini Lili bersama anak-anaknya juga akan berada di hospital. Mungkin mereka sekarang dalam perjalanan ke bandar dan seterusnya ke hospital. Aku bercadang mahu mengajak Lili bersama anak-anaknya untuk singgah di banglo Yen. Nanti akan aku maklumkan perkara ini kepada Yen memandangkan mungkin dia sudah keluar untuk menguruskan hal penting itu. Langkahku terhenti di anak tangga terakhir. Aku melontar pandangan ke ruang tamu. Sungguh aku kehairanan melihat Yen yang sedang tersandar di sofa sambil mengarah pandangan ke arah tangga. Bagai sedang menanti kedatanganku.

“Awak dah siap, mari saya hantar awak ke hospital,” ujar Yen menambah hairanku. Ketika sarapan tadi dia mengarahkan aku pergi ke hospital sendiri. Sekarang beriya-iya pula dia hendak menghantar aku ke situ. Buang tabiat agaknya pemuda Korea ini. Tidak sangka dia menanti kedatanganku.

“Yang awak masih tercengat di situ buat apa! Cepatlah saya dah takde masa lagi ni,” rungut Yen memburu detik waktu.

“Awak buatlah hal awak. Saya boleh pergi sendiri,” ujarku menolak jasanya untuk menghantarku ke hospital.

“Ee... awak ni memang memeningkan saya. Cepatlah...!” arah Yen geram lalu mendekatiku lantas menarik tanganku. Aku terdorong menuruti langkah Yen ke muka pintu. Memang pelik sangat perangainya ini.

“Lepaskanlah tangan saya. Saya boleh jalan sendiri,” ujarku sambil menarik tanganku meminta Yen meleraikan pautan ini.

“Cepat, jangan buang masa saya!” tegas Yen seraya melepaskan tanganku. Aku menarik nafas lega.

“Bukan saya yang suruh awak hantar saya ke hospital,” sahutku tidak mahu dipersalahkan andai dia terpaksa bekejaran dengan waktu. Yen tidak mengendahkan kata-kataku. Sebaliknya dia terus mengatur langkah masuk ke dalam kereta. Aku membesarkan langkah mengejar lalu duduk di kerusi penumpang hadapan di sebelahnya. Sungguh selesa. Sebelum sempat Yen menghidupkan enjin kereta iPhonenya berdering. Namun tidak terus diangkat. Enjin kereta dihidupkan. Panggilan itu dijawab.

“Ye...Vel, baru je nak keluar,” ujar Yen menyahut panggilan itu. Aku yang berada di sebelah Yen mendiamkan diri. Tiada niat hendak tumpang sekaki mendengar perbualan pasangan kekasih ini.

“Kira-kira 15 minit saya sampai di sana. Awak tunggu je kat sana kejap lagi saya sampai,” jelas Yen tenang langsung tidak terganggu dengan kewujudanku di sebelah ini. Yen hendak bertemu dengan Velviana. Sekejap lagi Yen akan bersama Velviana. Mereka hendak ke mana? Ingin saja aku mengajukan pertanyaan itu kepada Yen namun aku cepat sedar. Aku tiada hak hendak ambil tahu dan mencampuri urusan mereka. Sudah semestinya Yen dan Velviana persis pasangan kekasih bahagia yang lain ingin meluangkan masa bersama-sama lantas melempiaskan kerinduan masing-masing. Oh...! hakikat menyakitkan yang terpaksa aku terima! Perlahan – lahan aku melepaskan keluhan kecilku. Mengapalah aku rasa terluka sedangkan sudah lama aku mengetahui bahawa Yen memang milik Velviana. Cinta Yen tidak akan beralih kepada gadis lain.

Wea  (kenapa)?” soal Yen. Aku tersentak namun cepat aku geleng kepala. Tidak mungkin aku meluahkan segala yang terbuku saat ini. Sukar aku bayangkan andai Yen mengetahui bahawa aku cemburu tatkala mengenangkan Velviana akan menghabiskan masa bersamanya. Sepanjang perjalanan ini aku dan Yen mendiamkan diri lantas hanyut dalam dunia sendiri sehingga Yen memberhentikan kereta di perkarangan hospital untuk menurunkan aku.

“Betul awak tak nak jenguk Mak Long dulu?” soalku meminta kepastian. Yen mengangguk. Sedikit terkilan. Dia tidak mahu memperuntukkan sedikit masa untuk menampakkan diri di depan Pak Long dan Mak Long. Baru sahaja aku melangkah setapak meninggalkannya, Yen sudah memecut Mercedez Benz hitam itu meninggalkan halaman hospital sekali gus meninggalkan aku. Tampak sangat dia tidak sabar-sabar mahu bertemu dengan Velviana. Barangkali dirinya sudah sarat menanggung rindu kepada kekasihnya itu. Aku mengeluh lagi seraya terus mengatur langkah longlai. Tatkala melihat senyuman Pak Long menyambut kedatanganku mengubat terkilanku.

 

“Yen tak dapat datang sama. Dia ada hal,” jelasku menjawab pandangan mata Pak Long yang masih terarah ke muka pintu. Aku tahu Pak Long sedang menjejaki kelibat Yen yang sejak beberapa hari lalu begitu setia bersamaku menemani Pak Long dan Mak Long di hospital ini. Malah hubungannya dengan Pak Long juga kian akrab.

Sudah sejam aku berada di bilik ini. Sudah sejam juga aku dan Pak Long bergilir-gilir mengurut tangan dan kaki Mak Long agar pengaliran darah kembali lancar. Paling penting Mak Long boleh menggerakkan semula sebahagian anggota badannya yang tidak berfungsi. Syukur ke hadrat Allah kerana otak Mak Long tidak turut terjejas. Aku menatap wajah Mak Long dengan perasaan belas kasihan. Anak mata Mak Long kelihatan tenang membalas pandanganku itu. Aku dapat rasakan bahawa Mak Long telah menerima kehadiranku.

“Bila kamu balik ke asrama?” suara Pak Long memecah kesepian.

“Hujung minggu ni, Pak Long,” sahutku sambil berpaling ke arah Pak Long yang berada di tepi katil. Sejak Mak Long koma sehingga detik ini, Pak Long tidak pernah berenggang dengan Mak Long. Cukup setia Pak Long menemani isterinya. Itulah bukti cinta telus Pak Long kepada Mak Long. Semoga Mak Long menyedari semua ini.

“Doktor Muaz ada cakap pada Pak Long, dalam sehari dua ni Mak Long kamu dah boleh balik ke rumah. Namun rawatan terapi secara berterusan akan tetap dijalankan,” ujar Pak Long. Aku mengangguk mengerti. Mak Long akan dibantu oleh pegawai kesihatan yang terlatih untuk melakukan pergerakan seperti berdiri dan berjalan serta menggerakkan anggota tubuh yang lain.

“Selain rawatan hospital, Pak Long juga akan bawa Mak Long kamu berurut. Pak Long ada dengar orang pandai mengurut pesakit yang kena angin ahmar di kampung sebelah tu,” cerita Pak Long tentang perancangan itu.

“Bagus sangatlah tu Pak Long. Kalau Pak Long perlukan apa-apa beritahu saya ye. InsyaAllah, saya akan cuba bantu semampunya,” janjiku.

“Kamu dan suami kamu dah banyak membantu Pak Long. Rasanya Mak Long kamu pun dah tahu sendiri apa yang telah kamu lakukan untuknya,” tutur Pak Long lalu mengalih pandangan pada Mak Long. Aku hanya tersenyum. Bicara Pak Long menyenangkan hatiku. Semua itu aku lakukan dengan ikhlas dan demi kasih sayangku kepada Mak Long sekeluarga. Sesungguhnya, air yang dicincang tidak akan putus. Begitu juga hubungan persaudaraan tidak akan terhapus walaupun wujud persengketaan.

 

Daun pintu ditolak. Serentak aku dan Pak Long mengarah pandangan ke situ. Yen muncul di sebalik daun pintu. Seketika aku tergamam menatapnya. Namun senyuman indah yang dilontarkan kepada Pak Long segera menyedarkan aku tentang kewujudannya di bilik ini. Aku menatap kerusi roda yang dihiasi dengan bunga reben ros merah bergabung ros putih yang sangat cantik. Sememangnya ini adalah kepakaran Yen memandangkan dia punya ramai kekasih.

“Maaf Pak Long terlewat datang menjenguk sebab saya pergi dapatkan kerusi roda ni dulu. Ini hadiah saya dan Iman untuk Mak Long,” ujar Yen ceria buat aku terkesima. Kutatap wajah Yen. Begitu tersentuh aku mendengar bicara dan tindakannya ini. Ternyata tanggapanku pada Yen pagi tadi silap.

“Terima kasih, Yen. Tak tahu macam mana Pak Long nak balas jasa-jasa kamu ni,” tutur Pak Long sebak. Yen tersenyum seraya menepuk-nepuk lembut bahu Pak Long. Lagaknya persis seorang anak yang cuba menenangkan si ayah. Aku yang menyaksikan turut sebak. 

“Saya tolong ikhlas Pak Long. Keluarga Iman keluarga saya juga. Perkara yang ada kaitan dengan Iman pasti saya takkan biarkan,” ujar Yen serius. Aku terus menatap Yen. Bicaranya menyentuh hatiku. Nampak ikhlas Yen menuturkan. Padaku sungguh besar erti di sebalik bicara yang keluar dari mulut Yen itu. Malah lebih bererti jika Yen turut merasakannya. Pak Long tersenyum.

 

“Memang kamu sayangkan Iman. Tak sia-sia Pak Long serahkan Iman pada kamu. Pak Long memang yakin kamu boleh bahagiakan Iman. Kamu jaga Iman dengan baik ye,” tutur Pak Long disusuli dengan permintaan. Yen mengangguk. Sebakku kian menebal. Mujur aku masih mampu bertahan agar tidak menitiskan air mata di depan Yen, Pak Long dan Mak Long sekarang.

 

“Maafkan Iman, Pak Long,” bisik suara hati kecilku. Terasa berdosa sangat membuatkan Pak Long merasakan semua itu sedangkan hakikat aku dan Yen bukan pasangan suami isteri yang bahagia. Hanya yang ada perasaan kasihku yang tidak bersambut. Namun tidak aku nafikan memang Yen menjagaku dengan baik. Itu ikrarnya berlandaskan hubungan persahabatan kami. Yen melangkah lalu berdiri di sebelahku.

 

“Mesti hati awak tersentuh kan? Tengok awak nak ngangis,” bisik Yen.

“Mana ada...!” nafiku serius turut berbisik. Yen tersenyum ceria. Suka sangat dia mengusikku. Yang pasti dia gembira sungguh selepas pertemuannya dengan Velviana. Cemburu masih menjalar dalam diriku.

 

Gomawoyo (terima kasih),” ujarku sambil memandang Yen. Yen tersenyum lagi dan aku jatuh cinta untuk sekian kali kepada pemuda Korea ini.

 

No comments:

Post a Comment